Anda di halaman 1dari 17

Faktor-faktor yang mempengaruhi kebolehpasaran kerja bagi pelajar berkeperluan khas

dalam PTV
BAB 1
PENDAHULUAN
1.1 Pengenalan
Setiap manusia di dunia ini dijadikan oleh Allah S.W.T dengan tujuan yang tertentu di
mana kewujudan manusia itu sendiri yang bergelar khalifah merupakan suatu amanah.
Tuntutan amanah itu mengkehendaki kita berusaha menjalani dan mengisi kehidupan ini
dengan sebaik mungkin di dalam lingkungan syariat Islam tanpa mengira taraf insan normal
atau Orang Kelainan Upaya (OKU) kerana kedua-duanya memikul amanah yang sama iaitu
mencari keredhaan Allah S.W.T demi mencapai kebahagian di dunia dan akhirat (Noraini &
Haslina, 2010).
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendefinisikan golongan OKU sebagai seseorang
yang mempunyai ketidakupayaan jangka masa panjang dari segi fizikal, mental, intelektual
atau pancaindera yang apabila berhadapan dengan pelbagai halangan mungkin tidak dapat
melibatkan diri sepenuhnya dan secara efektif dalam masyarakat (AKTA OKU 2008).
Manakala, pelajar berkeperluan khas telah dikenal pasti sebagai pelajar yang mempunyai
kekurangan fizikal-deria dan ketidakmampuan belajar. Namun, merujuk kepada Kementerian
Pendidikan Malaysia, KPM (1996), pelajar berkeperluan khas adalah mereka yang
mengalami sebahagian atau kecacatan penuh visual atau pendengaran atau ketidakupayaan
untuk belajar. Di Malaysia, pelajar berkeperluan khas ditempatkan di bahagian pendidikan
khas melainkan pelajar yang mempunyai kecacatan fizikal dan tiada masalah mental
ditempatkan di sekolah beraliran perdana bersama pelajar tipikal yang lain. Akta 550 dalam
Akta Pendidikan menyatakan bahawa program pendidikan kebangsaan hanya menerima
pelajar berkeperluan khas yang boleh dididik dan mereka boleh menguruskan diri sendiri
tanpa bantuan serta berkebolehan untuk mengikuti pembelajaran yang telah disahkan oleh
pegawai perubatan (Bahagian Pendidikan Khas, 2006; Kementerian Pendidikan Malaysia,
1996). Oleh itu, Bahagian Pendidikan Khas (BPKhas) di bawah KPM diwujudkan khusus
bagi merangka serta menyediakan program pendidikan untuk tiga jenis kecacatan tersebut
iaitu pendengaran, visual dan ketidakmampuan belajar (Manisah, Ramlee, & Zalizan, 2006).

Pendidikan adalah hak asasi semua manusia dan dari segi falsafahnya, semua insan di
dunia ini mempunyai hak untuk belajar dan mengetahui sesuatu yang baru. Apabila berbicara
tentang peluang pendidikan terhadap pelajar OKU, mereka juga mempunyai minat, hasrat
dan cita-cita yang setanding dengan individu normal. Mereka juga harus diberikan peluang
yang sama dengan individu normal lain supaya mereka tidak tersisih daripada arus
pembelajaran nasional kerana ada dalam kalangan mereka mempunyai kecerdasan kognitif
yang setanding dengan individu yang normal malah mereka mampu melebihi pencapaian
pelajar normal (Lokman & Nurul Qistina, 2009).
Oleh yang demikian, pelajar OKU ini perlu diberi peluang pendidikan yang setanding
dengan rakan mereka yang normal . Walau bagaimanapun, kini timbul persoalan setakat
mana pendidikan dan perkhidmatan khas yang disediakan untuk pelajar khas bagi menjamin
mereka boleh meningkat dalam kehidupan, berdikari dan menjadi manusia yang produktif.
Mereka hanya perlukan ruang dan peluang untuk meneruskan hidup dengan cara mereka
sendiri.
1.2 Latar belakang masalah
Kerjaya merupakan suatu aspek yang penting kepada setiap individu. Setiap individu
mempunyai kerjaya masing-masing. Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai kerjaya
seperti guru, tukang masak, jurutera dan sebagainya. Pemilihan kerjaya yang tepat dapat
menentukan corak kehidupan serta taraf hidup seseorang. Bagi orang kelainan upaya (OKU)
juga, tidak terlepas dalam mempunyai kerjaya dalam hidup. Hal ini kerana, mereka juga
memerlukan kerjaya bagi memenuhi keperluan dan kehendak hidup mereka. Namun,
menurut (Sarkees dan Scott 1986) mengatakan bahawa terdapat pandangan masyarakat
terhadap golongan OKU yang menyebabkan mereka dilayan seperti golongan kelas kedua.
Sebenarnya golongan OKU tidak terkecuali daripada menyumbang bagi meningkatkan
perubahan dalam bidang politik, ekonomi, sosial, sains dan teknologi serta teknologi
maklumat. Dasar memperuntukkan satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan
awam kepada Orang Kurang Upaya (OKU) telah dijelaskan dalam Pekeliling Perkhidmatan
Bilangan 10 Tahun 1988 (PP 10/1988) yang mula dikuatkuasakan pada 1 April 2008. Tujuan
pelaksanaan dasar ini ialah untuk membantu OKU yang memiliki kelayakan dan atau

kemahiran diberi peluang menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam.


Walaubagaimanapun, selaras dengan usaha untuk mempertingkatkan pembangunan
modal insan dan menjadikan rakyat Malaysia sebagai masyarakat penyayang, kerajaan telah
bersetuju supaya pekeliling perkhidmatan berkenaan diperkemaskan dan pengambilan OKU
pada kadar sekurang-kurangnya 1% dalam perkhidmatan awam tercapai.
1.3 Penyataan masalah
Pekerjaan adalah satu hala tuju penting dalam kehidupan seseorang individu dan tidak
terkecuali golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) (Zinaida, 2009). Cabaran paling besar
golongan OKU di Malaysia pada hari ini adalah mendapat peluang pekerjaan. Faktor yang
menghalang OKU di Malaysia mendapatkan pekerjaan termasuklah sikap negatif dan
diskriminasi ekoran kurangnya kesedaran mengenai keupayaan golongan tersebut (Rohani
Ibrahim, 2010). Golongan kurang upaya ini masih dipertikaikan lagi keupayaan mereka oleh
masyarakat menyebabkan ramai yang masih tidak mempunyai pekerjaan walaupun sudah
berada di sekolah sehingga umur 19 tahun.
Kebanyakan masyarakat mempertikaikan dalam mengambil pekerja OKU. Hal ini
kerana, apabila seseorang OKU datang menemuduga, dalam pemikiran penemuduga pasti
mempunyai 1001 satu persoalan yang negatif tentang kebolehan yang ada pada golongan ini.
Misalnya, bolehkah dia merlakukan pekerjaan ini?, bagaimanakah dia dapat menerima
arahan? dan sebagainya. Hasilnya, menyebabkan OKU tidak dapat diterima dalam
pekerjaan. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Haward (2000) mendapati terdapat 50 %
hingga 70 % golongan OKU yang tidak mempunyai pekerjaan dan ada dalam kalangan
mereka yang menerima pendapatan yang minimum. Masalah ini berkaitan dengan sikap
golongan masyarakat yang menunjukkan sikap negatif dan memandang rendah terhadap
keupayaan yang dimiliki oleh golongan OKU untuk bekerja.
Selain itu, terdapat sesetengah majikan yang masih belum terbuka dan belum bersedia
dalam memberi peluang pekerjaan kepada golongan OKU. Antara faktornya ialah pekerja
kurang upaya memerlukan cuti sakit, kadar insurans yang tinggi, keselamatan di tempat kerja
terganggu, memerlukan kemudahan khas, dan mungkin beberapa perubahan terpaksa
dilakukan di tempat kerja bagi menjamin keselamatan pekerja kurang upaya. Jadi, ini akan
melibatkan perbelanjaan yang tinggi jika majikan mengambil mereka bekerja. (Zinida Ariffin
(2009)).
Masyarakat yang mempunyai pandangan yang sterotaip akan menyebabkan golongan

kurang upaya akan didiskriminasikan. Oleh itu, masyarakat harus diberikan pendedahan yang
sewajarnya dalam memberi peluang kerjaya kepada golongan OKU. Berfikiran terbuka dan
berfikir diluar kotak harus disemaikan dalam diri masyarakat supaya mereka dapat
mengetahui manfaatnya jika mengambil pekerja golongan OKU.
Sebenarnya, walaupun kita lihat golongan OKU serba kekurangan tetapi mereka
mempunyai kelebihan yang di anugerahkan oleh Allah kepada mereka. Jadi, tidak salah jika
mereka diberi peluang dalam mendapat peluang pekerjaan. Mungkin dengan pemberian
peluang ini dapat meningkatkan diri kita dalam memberi bantuan kepada golongan sebegini
dan seterusnya bersama-sama memajukan ekonomi dan pembangunan negara.
Saya tidak hanya menyalahkan 100 % golongan normal yang tidak memberi peluang
pekerjaan kepada golongan OKU. Namun, golongan OKU seharusnya bijak dalam membuat
persediaan awal dan meningkatkan kemahiran dalam diri supaya diri dapat diterima untuk
bekerja. Sebagai contoh, golongan OKU seharusnya mempunyai kemahiran sosial. Hal ini
kerana, kemahiran sosial ini penting kerana golongan OKU dapat mengetahui cara
berhubung dengan masyarakat.
Kemahiran sosial yang mesti perlu dikuasai seperti kemahiran mengikut arahan,
menerima kritikan, meminta bantuan, kemahiran bekerjasama, kemahiran memahami
perasaan orang lain, dan kemahiran berinteraksi. Oleh itu, jika kemahiran ini dapat dikuasai
maka senang bagi seseorang OKU dapat bersosial dengan masyarakat secara mudah.
Golongan OKU juga, perlu berusaha supaya sentiasa produktif, berdisiplin, mengikis dan
mengubah sikap supaya tidak menyerah kepada takdir dan menunjukkan kemahiran dalam
sesuatu bidang yang dikuasai seperti orang lain (Zinaida Ariffin 2009). Menurut Clark dan
Klostoe (1995) golongan OKU perlu bersedia menerima sebarang cabaran dan menguasai
sesuatu kemahiran dalam sesuatu bidang kerjaya yang ingin diceburi.
Zainida Ariffin (2009) mengatakan bahawa golongan OKU perlu bersikap lebih berani
dan terbuka dalam pemikiran bagi menerima cabaran baru jika mereka ingin meraih
kejayaan. Bidang kerjaya yang diceburi lebih luas iaitu melibatkan semua golongan
masyarakat dan tidak tertumpu kepada sesuatu kumpulan minoriti sahaja. Sikap ingin
bersama-sama dengan rakan senasib perlu dikikis. Mereka perlu berfikiran terbuka dan tidak
takut menghadapi cabaran. Keupayaan dan kebolehan fizikal serta intelek perlu difikirkan
bagi menjamin individu mampu menguasai bidang yang diceburi.

Sesungguhnya, jika masyarakat berfikiran terbuka, dan golongan OKU mengubah sikap
dalam diri, maka interaksi antara kedua-dua pihak akan dapat dijalinkan. Setiap individu
mempunyai kelebihan masing-masing. Kelebihan itu akan terserlah jika individu dan
masyarakat berusaha untuk meningkatkannya. Kesannya, pembangunan dan keharmonian
sesebuah negara akan dapat dicapai kerana unsur unsur diskriminasi dan pandangan negatif
dihakis oleh seluruh masyarakat.
1.4 Objektif kajian
Objektif-objektif kajian ini adalah :
i.
Mengenalpasti tahap kepercayaan keupayaan diri golongan OKU.
ii.
Mengenal pasti terhadap tingkah laku dari aspek kematangan kerjaya pelajar
iii.

berkeperluan khas.
Mengkaji tahap keberkesanan program pendidikan khas melalui kebolehpasaran kerja
golongan OKU.

1.5 Skop kajian


Skop kajian ini akan dijalankan di Sekolah Menengah Vokasional Pendidikan Khas
Kulaijaya. Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Indahpura menggabungkan 3
kategori murid berkeperluan khas di dalam sebuah premis yang pertama di Malaysia dan di
dunia. Murid-murid yang diterima terdiri daripada murid berkeperluan khas lepasan PMR.
Skop kajian ini menumpukan kepada usaha untuk mendapatkan data dan maklumat berkaitan
untuk mengenalpasti tahap kepercayaan keupayaan diri pelajar berkeperluan khas
berdasarkan penilaian terhadap beberapa indikator terpenting seperti pengalaman
penguasaan, psikologi, pembelajaran imaginatif dan pujukan sosial. Seterusnya untuk
mengenalpasti sejauh mana pelajar berkeperluan khas ini dapat memasuki alam pekerjaan
dan menyesuaikan diri bersama masyarakat. Skop kajian ini juga tidak boleh tersasar jauh
dari untuk mengenalpasti tahap keberkesanan program pendidikan khas melalui
kebolehpasaran kerja pelajar berkeperluan khas ini.
1.6 Batasan kajian
Bidang yang dikaji ialah program pendidikan khas dan kajian ini hanya mengkaji tahap
keberkesanan program pendidikan khas dalam kalangan pelajar OKU dalam kemahiran teknikal.
Data yang dikumpul dari borang soal selidik yang diedarkan kepada responden dan jawapan
yang diberikan adalah mengikut keikhlasan responden.

1.7 Rumusan
Bab ini menerangkan tentang pengenalan terhadap kajian yang dijalankan dari latar
belakang masalah, pernyataan masalah, objektif kajian, persoalan kajian, skop kajian,
kepentingan kajian, batasan kajian dan definisi operasi. Latar belakang mengenai
kajian yang diperihalkan dalam bab ini akan dijelaskan dalam bab seterusnya iaitu
Bab 2.

BAB 2
2.1 Pengenalan
Dalam bab ini, kajian literatur dikemukakan untuk menyokong dan mengukuhkan tajuk
kajian. Bab ini juga menerangkan sejauh mana signifikan kajian yang telah mendorong pengkaji
untuk menjalankan kajian ini. Terdapat beberapa faktor penting tujuan kajian literatur ini
dijalankan antaranya ialah untuk mengelak sebarang pencarian yang tidak diperlukan. Kebaikan
membuat kajian literatur ini adalah untuk membantu pengkaji membuat fasa rekabentuk kajian,
membuat keputusan tentang apakah jenis- jenis pemboleh ubah yang harus diambil kira dan uji,
membuat prosedur kajian dan sebagainya (Borden & Abbott, 2002). Kebanyakkan sumber yang
diperolehi adalah adalah daripada jurnal, buku rujukan, tesis, penulisan teknikal dan sebagainya.
Pemahaman tentang kajian literatur adalah sangat penting kerana ia akan menyokong fakta-fakta
yang diperolehi melalui kajian.

2.2 Program Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia


Pendidikan khas Kementerian Pelajaran Malaysia dilaksanakan melalui Pusat Perkhidmatan
Pendidikan Khas (2011) :
(i) Sekolah khas bagi pelajar bermasalah penglihatan dan bermasalah pendengaran.
(ii)Program Pendidikan Khas Integrasi disediakan untuk pelajar khas bermasalah pendengaran,
bermasalah pembelajaran, bermasalah penglihatan. Ia diwujudkan di sekolah menengah dan
sekolah vokasional yang menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran secara
pengasingan dan separa inklusif.
Pendidikan menengah menyediakan 2 jenis aliran iaitu aliran akedemik dan vokasional di mana
pendidikan teknik dan vokasional adalah seperti :
(i) Sekolah Khas
Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan Pulau Pinang menawarkan mata pelajaran
vokasional (MPV) manakala Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam
menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia.

(ii)Sekolah Menengah Pendidikan Khas (Vokasional)


Sekolah Menengah Pendidikan Khas (Vokasional) merupakan sekolah yang diurus tadbir
sepenuhnya oleh Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia bagi memenuhi
keperluan murid berkeperluan khas bagi kategori berikut:i.
ii.
iii.

Masalah kurang upaya penglihatan


Masalah kurang upaya pendengaran
Masalah kurang upaya pembelajaran

Tempoh Belajar

Tempoh belajar minimum bagi murid-murid berkeperluan khas di sekolah menengah


(Vokasional) adalah enam (6) tahun

Tempoh ini boleh dilanjutkan hingga dua (2) tahun maksimum di mana-mana peringkat
iaitu sama ada sekolah rendah atau sekolah menengah mengikut keperluan murid
berkenaan (Pekeliling Ikhtisas Bil.16/2002)

Kursus
Sekolah Menengah Pendidikan Khas (Vokasional) menjalankan 2 jenis kursus kemahiran iaitu :i.
ii.

Matapelajaran Aliran Vokasional (MPAV)


Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)

Sukan dan Ko-kurikulum


Sekolah Menengah Pendidikan Khas (Vokasional) turut melaksanakan aktiviti ko-kurikulum
yang bersesuaian dengan kategori murid.

Kurikulum Pendidikan Khas


Falsafah Pendidikan Khas menyatakan dalam huraian antara lain mewujudkan program
transisi bagi pelajar-pelajar dengan keperluan pendidikan khas untuk mendapatkan penyesuaian
dalam budaya kerja. Selain itu dapat menghasilkan program-program berteraskan pra-vokasional
dan voksional supaya pelajar-pelajar dengan keperluan-keperluan pendidikan khas mempunyai
kemahiran-kemahiran bekerja sendiri (Falsafah Pendidikan Khas). Kurikulum Pendidikan Khas
Bermasalah Pembelajaran bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah rendah dan
menengah harian biasa adalah sama berdasarkan Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Khas
Bermasalah Pembelajaran (2003) oleh Jabatan Pendidikan Khas, KPM. Mata pelajaran
dibahagikan kepada 4 bidang iaitu Bidang Pengurusan Kehidupan, Bidang Akademik Berfungsi,
Bidang Kerohanian, Bidang Sosial, Riadah dan Kreativiti. Secara mendalamnya di dalam Bidang
Kemahiran Pengurusan Kehidupan terdiri dari 4 Mata Pelajaran iaitu Pengurusan Diri,
Kemahiran Manipulatif, Pengurusan Tingkah Laku dan Kemahiran Hidup. Di dalam Bidang
Akademik Berfungsi pula terdapat 4 Mata Pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa
Inggeris, Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Bidang Sosial, Riadah dan Kreativiti terdapat 4
Mata Pelajaran iaitu Pendidikan Jasmani, Pendidikan Seni, Pendidikan Muzik, Gerakan dan

Drama dan yang terakhir Pendidikan Sains, Sosial Alam Sekitar. Manakala Bidang Kerohanian
hanya 2 Mata Pelajaran sahaja iaitu Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Di dalam
Komponen Mata Pelajaran Kemahiran Hidup pula hanya mengandungi sukatan tajuk-tajuk
berikut: Masakan, Jahitan, Pertukangan, Perkebunan, Pemeliharaan Haiwan dan Asas Mendobi.
Pada peringkat awal, Program Pendidikan Khas adalah memberi pendedahan kepada
berkeperluan khas mempelajari dan menguasai kemahiran hidup (Anizam, Maznah & Amla
2012). Silibus pendidikan khas pada ketika it hanya sekadar untuk tujuan keperluan hidup
(Lokman, Nurul Qistin & Mohd Hanafi 2009). Walaubagaimanapun selepas transformasi
pendidikan dan bermulalah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum
Standard Sekolah Menengah (KSSM) pada tahun 2011, Kurikulum Standard Sekolah Rendah
Pendidikan Khas (KSSRPK) Masalah Pembelajaran dibina supaya pembelajaran yang diperolehi
di dalam bilik darjah dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Kurikulum ini juga
menyediakan pendidikan berkualiti secara optimum kepada murid-murid Masalah Pembelajaran
supaya mereka menjadi insan yang seimbang, berdikari dan berjaya dalam kehidupan
(Kementerian Pelajaran Malaysia, 2011). Hasil tinjauan pengkaji kepada 2 kurikulum iaitu lama
dan KSSR didapati bahawa hanya murid Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran yang
berada di sekolah rendah telah menjalani pengajaran dan pembelajaran KSSRPK ini yang
sehingga kini baru di Tahun 4 dan kurikulum Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran di
sekolah menengah masih menggunakan kurikulum lama seperti yang dihuraikan di atas tadi.
Manakala kurikulum pelajar Pendidikan Khas di Sekolah Menengah Pendidikan Khas
(Masalah Pendengaran dan Penglihatan) mengikuti kurikulum kebangsaan seperti pelajar normal
seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Agama Islam/Moral, Sains, Sejarah,
Pendidikan Jasmani serta Sivik dan Kewargeneraan (Bahagian Pendidin Khas, 2012).
Walaubagaimanapun, pakej kurikulum elektif dan bidang kemahiran vokasional yang diberikan
kepada pelajar adalah mengikut keperluan dan kategori. Di samping itu, Sekolah Menengah
Pendidikan Khas Vokasional (Masalah Pendengaran, Penglihatan dan Pembelajaran)
menjalankan 2 jenis kursus kemahiran iaitu Mata Pelajaran Aliran Vokasional (MPAV) dan Sijil
Kemahiran Malaysia (SKM). Malah, sehingga tahun 2010, terdapat tiga buah Sekolah Menengah
Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV), sebuah Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK)
dan tiga buah sekolah menengah harian Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) iaitu 1 di
Terengganu, 1 di Sarawak dan 1 di Negeri Sembilan yang menawarkan pakej Mata Pelajaran

Akademik, MPV dan SPM, serta lima buah sekolah aliran vokasional PPKI untuk pelajar
berkeperluan khas (Bahagian Pendidikan Khas, 2011). Maka, usaha yang murni oleh Bahagian
Pendidikan Khas tersebut harus diberikan sokongan tetapi agak malang bagi Program Pendidikan
Khas Integrasi di sekolah menengah harian biasa lain yang tidak terpilih kerana masih
menggunakan kurikulum asal seperti yang dinyatakan sebelum ini.
2.3 Pendidikan vokasional untuk pelajar berkeperluan khas
Pendidikan vokasional seharusnya dibentuk untuk menyediakan pengalaman secara
praktikal dan bermakna kepada pelajar berkeperluan khas. Tujuan utama pendidikan vokasional
ialah untuk membuat penyatuan yang berkesan kepada pelajar berkeperluan khas ke alam
pekerjaan. Untuk mencapai impian ini, maka pengajaran berbentuk kemahiran kerjaya khusus
dan kemahiran asas akademik sangat diperlukan. Paling penting, kemahiran yang dipelajari amat
diperlukan dalam kehidupan alam pekerjaan yang sebenar.
Pendidikan vokasional merangkumi semua aspek pekerjaan, termasuk teori dan
kemahiran teknikal. Pendidikan vokasional yang juga dikenali sebagai pendidikan kerjaya
berpusatkan kehidupan Life-Centered Career Education ini sangat berfaedah kerana pendekatan
pengajarannya disusun berdasarkan tiga bidang kurikulum; iaitu kemahiran kehidupan seharian,
kemahiran sosial secara peribadi, dan bimbingan atau penyediaan untuk alam kerjaya. Matlamat
dan objektif pendidikan vokasional juga adalah untuk memaksimumkan keupayaan pelajar
berkeperluan khas dalam menjalankan kehidupan bebas dalam kalangan masyarakat setempat.
Jaminan pendidikan yang memenuhi keperluan pendidikan vokasional untuk pelajar
berkeperluan khas adalah sangat diperlukan. Contohnya di Amerika Syarikat, penggubabalan
Undang-Undang Perkin yang menuntut jaminan tertentu disediakan untuk membantu
memastikan terdapatnya peluang pekerjaan kepada pelajar yang berkeperluan khas. Jaminan ini
termasuk kurikulum yang bersesuaian, kaunseling pembangunan kerjaya, penilaian terhadap
minat, kemampuan dan keperluan khas dan perkhidmatan lain untuk memudahkan peralihan
pelajar berkeperluan khas tersebut ke peringkat pengajian lebih tinggi. Sekiranya pendidikan
vokasional masih lagi belum dilaksanakan sepenuhnya, maka golongan pendidik dalam
pendidikan khas haruslah menyusun dan membentuk semula program yang sesuai untuk populasi
istimewa ini (Kraska, 1996).

2.4 Senario pembangunan kerjaya


Pada peringkat ini, mereka akan mula membuat pemilihan mata pelajaran yang ada
hubungannya dengan bidang pengajian yang akan diikuti apabila melanjutkan pelajaran ke
institusi pengajian tinggi. Pemilihan ini dipengaruhi oleh pola-pola pengetahuan dan jenis
pekerjaan yang diminati oleh mereka. Jika pemilihan ini adalah tepat, maka tidak akan ada isu
berkaitan aspirasi kerjaya dalam kalangan pelajar-pelajar ini.
Terdapat kajian yang berkaitan latihan vokasional dan penempatan pekerjaan dalam
kalangan orang kurang upaya seperti cacat penglihatan di Malaysia. Masalah penempatan
pekerjaan dalam kalangan orang kurang upaya di negara ini sebagai suatu hal yang bermula dari
sekolah. Keadaan ini disebabkan kurangnya pendedahan yang diberikan kepada pelajar khas
bermasalah pendengaran berkaitan peluang-18 peluang kerja, jenis-jenis serta bentuk pekerjaan
yang sesuai mengikut kebolehan, kesesuaian dan kemampuan pelajar. Konsep kendiri di
kalangan mereka juga tidak harus dipandang remeh oleh mana-mana pihak, ianya akan
menjuruskan kepada pelajar agar lebih beraspirasi dalam memperoleh kerjaya yang mereka
idamkan. Oleh itu, kajian-kajian yang berasaskan vokasional bagi pelajar khas bermasalah
pendengaran amat ditekan.
Berdasarkan perkembangan kerjaya individu kurang upaya, golongan ini mempunyai kemahiran
kerja yang terhad, pendapatan yang kurang, kurang peluang pekerjaan malah ada yang lansung
tidak bekerja setelah menamatkan pengajian.

Malah ada dikalangan mereka yang

meninggalkan alam persekolahan lebih awal tanpa dapat mempelajari kemahiran yang
sepatutnya akan diguna pakai untuk menjawat pekerjaan yang sesuai. Terdapat 50-70 peratus
golongan OKU yang tidak mempunyai pekerjaan di mana ia berkait rapat dengan sikap
sesetengah masyarakat yang menujukkan sikap prejudis dengan keupayaan golongan OKU untuk
bekerja (Zinaida, 2006).

2.5 Peranan sekolah menengah dalam penyediaan pendidikan tertiari, pembelajaran


sepanjang hayat dan peluang pekerjaan.
Pembangunan kerjaya adalah isu penting bagi pelajar di semua sekolah menengah.
Pelajar memperolehi faedah daripada peluang-peluang di sekolah seperti pekerjaan separuh
masa, penglibatan dalam kurikulum tambahan dan aktiviti-aktiviti komuniti, kerja sukarela,

kaunseling dan penjelajahan kerjaya, dan aktiviti penilaian kerjaya (Benz & Kochhar, 1996).
Peluang tersebut boleh membantu pelajar untuk membina kecederungan kerjaya mereka,
memperolehi kemahiran pekerjaan hands-on fokus terhadap akedemik pelajaran mereka dan
membangunkan soft skill yang mesti dimiliki oleh seseorang pekerja yang efektif seperti
kemahiran sosial dan interpersonal. Pembangunan kerjaya di sekolah menengah merupakan salah
satu aktiviti pembangunan kerjaya dan pembelajaran sepanjang hayat yang membantu
pencapaian peluang kerjaya professional (Stodden, Conway & Chang, 2003). Walau
bagaimanapun, kebanyakan pelajar khas bermasalah pendengaran tidak mempunyai capaian
kepada aktiviti yang boleh meningkatkan peluang mereka disebabkan :
Kekurangan sokongan akademik dan kemudahan seperti capaian teknologi, sokongan
peribadi yang membolehkan pelajar mempunyai masa dan sumber untuk mereka terlibat dalam
aktiviti yang boleh menggalakkan pembangunan kerjaya mereka.
(ii) Anggapan yang rendah oleh guru, kaunselor kerjaya, pentadbiran, keluarga dan pelajar lain
tentang peluang yang bersesuaian kepada pelajar khas bermasalah pendengaran selepas tamat
pengajian.
(iii) Persediaan dan latihan akademik sekolah dan kaunselor kerjaya yang lemah untuk
menyediakan panduan dan halatuju kerjaya terhadap pelajar khas bermasalah pendengaran.
(iv) Hanya memfokuskan peralihan dan pekerjaan sebagai hasil titik statik dan tunggal sahaja
berbanding sebagai proses sepanjang hayat.
(v) Kurangnya peluang untuk pelajar khas bermasalah pendengaran menggunakan kemahiran
self-determination dan self-advocay untuk mempunyai hak bagi membina konsep kendiri yang
kukuh dalam diri mereka seperti membina matlamat diri, mempelajari keperluan hidup mereka,
mengetahui kecenderungan mereka dalam pekerjaan, tahap kepercayaan keupayaan diri,
tingkahlaku mereka dalam membangunkan kemahiran lain yang berhubungkait dengan
pambangunan kerjaya seperti perancangan, penggunaan sumber dan sebagainya.
2.6 Peranan pendidikan tertiari dalam pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan
kerjaya.
Bagi pelajar berkeperluan khas yang telah menamatkan pengajiannya termasuk latihan teknikal
dan vokasional, ia dapat meningkatkan peluang untuk memperoleh kerjaya yang terjamin. Selain

itu, bagi individu berkeperluan khas, terdapat korelasi yang positif dalam gaji pekerja kerana
tahap pendidikan lebih ditekankan (Stodden & Dowrick, 2001). Dapatan kajian NCSET (2001)
juga mendapati pelajar berkeperluan khas yang tidak melanjutkan pengajian adalah disebabkan
oleh tanggapan mereka sendiri dan masyarakat sekeliling tentang kepentingan pelajaran amat
rendah dan tanpa pendidikan yang tinggi, pelajar-pelajar 20 ini akan menghadapi masalah untuk
mendapat kerja dan kebanyakannya tidak begitu berketrampilan di tempat kerja.
Pembangunan kerjaya dan pembelajaran sepanjang hayat merupakan nilai-nilai yang
perlu dipelajari dan diperkukuhkan semasa diperingkat sekolah menengah dan diperingkat
tertiari agar mereka dapat mencapai kejayaan sepanjang kerjaya mereka, sama seperti pekerja
kurang upaya yang perlu bersaing untuk pekerjaan dan peningkatan sepanjang kerjaya mereka.
Menurut Grzeda (1999), elemen untuk melanjutkan pelajaran dan meneruskan pembelajaran
sepanjang hayat yang boleh menghasilkan pembangunan konsep kendiri adalah termasuk :
(i) Merasakan mereka mempunyai peluang di mana mereka boleh mengubah kerjaya dan
persekitaran pekerjaan mereka.
(ii) Kebolehan untuk merasai kepuasan seseorang yang mempunyai status yang terjamin dan
keinginan untuk mempertingkatkan diri.
(iii) Peluang untuk mengkaji kebolehan akademik dan minat terhadap kerjaya tersebut.
(iv) Pembangunan kemahiran interpersonal dan pemikiran ktitikal
(v) Kebolehan untuk memperoleh kemahiran baru dalam persekitaran yang berbeza.
Menurut (Stodden, Conway & Chang, 2003) untuk memastikan pelajar berkeperluan khas yang
melanjutkan pelajaran memperolehi kelebihan daripada pendidikan mereka dan bersedia untuk
menyertai kumpulan industri dan pekerjaan profesional, apa yang perlu adalah :
(i) Memastikan kualiti dalam penyediaan kemudahan dan sokongan dalam pendidikan tertiari.
(ii) Menggalakkan pelajar berkeperluan khas untuk mengenal pasti pelbagai jenis bidang kerjaya,
aktiviti-aktiviti pembangunan kerjaya dan pilihan kerjaya.
(iii) Membantu pelajar berkeperluan khas dengan mengatur dan menguruskan sokongan kampus
dan komuniti dan mewujudkan hubungan antara kampus dengan sokongan pekerjaan.

2.6 Definisi operasi


Dalam kajian ini, terdapat beberapa istilah yang sering digunakan. Bagi memberikan kefahaman
yang lebih jelas dan bertepatan dengan maksud kajian ini, definisi-definisi istilah tersebut
dinyatakan seperti di bawah.
(i) Pelajar berkeperluan khas
Pelajar kurang upaya iaitu bermasalah pendengaran, penglihatan, fizikal dan terencat akal.
Dalam kajian ini, pelajar-pelajar berkeperluan khas adalah pelajar bermasalah pendengara yang
mengikuti program pengajian di tiga buah Politeknik, Malaysia.
(ii) Pendidikan khas
Pendidikan khas merujuk kepada pendidikan pelajar luar biasa dari segi intelek, jasmani, sosial
atau emosi, tidak mencapai pertumbuhan dan penyuburan biasa hinggakan mereka tidak
mendapat faedah sepenuhnya dari rancangan sekolah biasa. Pendidikan khas disediakan untuk
kanak-kanak seperti bermasalah pendengaran, cacat penglihatan, terencat akal, cacat fizikal dan
termasuk pelajar pintar cerdas. Dalam kajian ini, hanyalah melibatkan pelajar bermasalah
pendengaran.
(iii) Program pendidikan khas
Program Pendidikan Khas ialah satu susunan aktiviti yang menyediakan pendidikan kepada
golongan khas yang terdiri daripada pelajar yang cacat pengilihatan, pendengaran, fizikal dan
terencat akal. Program Pendidikan Khas di Politeknik Malaysia dijalankan untuk pelajar
bermasalah pendengaran adalah untuk membantu golongan khas ini mendapatkan pendidikan
untuk menambahkan ilmu pengetahuan sama.
(iv) Kepercayaan keupayaan diri
Kepercayaan keupayaan diri ialah keupayaan seseorang individu melakukan sesuatu tugasan
hingga mencapai satu tahap yang tertentu. Pertimbangan seseorang individu terhadap kebolehan
dirinya untuk mengatur dan melaksanakan haluan diri atau matlamat diri. Dalam kajian ini
kepercayaan keupayaan diri adalah berhubungkait dengan sikap kepada diri dan kemampuan
bertindak mengikut kesesuaian situasi dan keadaan.

METODOLOGI
BAB 3

3.1 Pengenalan
Metodologi kajian adalah merujuk kepada kaedah yang paling sesuai untuk
menjalankan penyelidikan dan menentukan tatacara yang efektif bagi menjawab
permasalah kajian. Bagi melaksanakan kajian ini dengan efektif, metodologi yang
dirangka adalah meilbatkan pembentukan hipotesis, pemilihan reka bentuk, kaedah
pengumpulan data, penentukan populasi dan pemilihan sampel, ujian rintis dan
kaedah penganalisisan data.
3.2 Reka bentuk Kajian

Kajian tinjauan (survey research) merupakan satu jenis reka bentuk bukan eksperimen
yang gemar digunakan oleh penyelidik dalam pendidikan. Tinjauan boleh dibezakan kepada yang
hanya deskriptif dan berbentuk korelasi.
3.3 Kaedah pengumpulan data
Kajian ini dilakukan dengan menggunakan data primer yang diperolehi menerusi
kajian lapangan. Kajian lapangan dilakukan dengan menggunakan borang soal selidik,
focus group dan temuramah. Borang soal selidik dan kumpulan fokus digunakan untuk
mendapatkan data daripada guru-guru di sekolah menegah vokasional pendidikan khas.
Manakala, kaedah temuramah akan dilakukan ke atas pengetua sekolah menegah vokasional
pendidikan khas untuk mendapatkan maklumat yang lebih mendalam.
3.4 Populasi dan Sampel Kajian
Mohd Majid (2004) mendefinisikan populasi sebagai satu set ciri yang menunjukkan
cerapan atau ukuran yang tertentu ke atas sekumpulan individu atau objek. Individu atau objek
yang dicerap mestilah mempunyai sekurang-kurangnya satu ciri atau sifat yang sama antara satu
sama lain. Populasi kajian ini terdiri daripada guru yang mengajar matapelajaran untuk pelajar
berkeperluan khas di sekolah pendidikan khas vokasional. Menurut Mohd Najib (1999), sampel
merangkumi ahli-ahli dari kumpulan kecil yang dipilih secara rawak atau tidak rawak dari
populasi untuk mengkaji sifat atau parameter populasi. Sampel kajian ini adalah pensampelan
tidak rawak jenis bertujuan iaitu hanya melibatkan guru-guru yang mengajar pelajar
berkeperluan khas di sekolah yang terpilih. Responden terdiri daripada 10 orang guru di sekolah
menengah vokasional pendidikan khas.
3.5 Tempat/ lokasi Kajian
Sekolah menengah vokasional Batu Pahat dan Sekolah Menengah Vokasional Indahputra
Kulaijaya.
3.6 Instrumen Kajian
Instrumen yang dijalankan adalah berbentuk soal selidik. Soal selidik sesuai digunakan
kerana ia dapat memberikan respon yang lebih tepat kerana responden tidak berhadapan dengan

pengkaji semasa menjawab soalan-soalan tersebut. Sebagaimana menurut Mohd Majid (2004),
soal selidik lebih praktikal dan berkesan digunakan kerana menggunakan soal selidik dapat
meningkatkan ketepatan dan kebenaran gerak balas yang diberikan sampel kerana tidak
dipengaruhi oleh gerak laku penyelidik. Responden bebas menyatakan pendapat sendiri untuk
menjawab setiap soalan yang diberikan. Oleh itu, hasil kajian yang akan di perolehi dapat
dirumuskan dengan lebih tepat.
3.7 Kaedah Analisis Data
Kajian ini mengaplikasikan analisis data secara kuantitatif dan kualitatif. Bagi data yang
diperolehi dari borang soal selidik, ia dianalisis menggunakan perisian statistical Package for
Social Science (SPSS) Version 12.0 dengan teknik-teknik statistic berbentuk deskriptif dan
inferensi. Teknik statistic deskriptif digunakan untuk meneliti taburan demografi responden.