Anda di halaman 1dari 3

BAGAIMANA MEMBUDAYAKAN AMALAN PDP 21?

NOR AZURA BINTI MAULUD


Sebagaimana yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia,
pembelajaran abad 21 merupakan suatu bentuk transformasi dalam sistem
pendidikan negara yang menuntut perubahan, terutamanya dalam bidang pengajaran
dan pembelajaran. Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran abad 21 ini
bermatlamat untuk menganjak paradigma kehidupan masyarakat dan seterusnya
menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau Asia dan
juga di peringkat antarabangsa (Tan Sri Datuk Dr. Madinah Mohamad, 2014).
Pengajaran dan pembelajaran abad 21 merupakan satu pendekatan yang
baharu yang perlu diaplikasikan oleh semua warga pendidik. Pdp 21 ini menuntut
kesanggupan, perubahan, pengorbanan dan segala kemahiran seorang guru dalam
merealisasikan aspirasi pendidikan ini seterusnya mencapai kecemerlangan
pendidikan dalam negara. Pdp 21 merangkumi aspek penyediaan kelas
berorientasikan abad 21, suasana pembelajaran yang ceria dan kreatif dan paling
utama adalah dalam pdp yang berpusatkan murid. Namun begitu, membudayakan
amalan pdp 21 ini memerlukan beberapa cara yang perlu dilaksanakan oleh pelbagai
peringkat.
1) Penyediakan kewangan yang mencukupi
Seperti yang semua maklum, kos merupakan aspek yang paling penting dalam
melaksanakan sesuatu projek atau program. Oleh hal yang demikian, penyediaan kos
yang mencukupi bagi semua sekolah di negara tidak kira sekolah berprestasi tinggi
atau sekolah harian biasa memerlukan sumber kewangan yang mencukupi untuk
menyediakan kelas dan pembelajaran pdp 21. Kerajaan pusat haruslah meperuntukkan
sejumlah wang yang mencukupi untuk melaksanakan program ini. Hal ini kerana,
sebagai pelaksana atau guru mereka terpaksa mengorbankan wang untuk
menyediakan segala keperluan bagi mengaplikasikan pendidikan pdp 21 ini. Pdp 21
menuntut guru dan pelajar menyediakan kelas pembelajaran yang ceria, bermakna dan
selesa dengan tampalan poster, aneka carta yang menarik, alat-alat pembelajaran
seperti penggunaan lampu isyarat dan semuanya memerlukan wang untuk disediakan
tetapi pihak sekolah tidak mampu untuk menyediakan peruntukan yang sewajarnya.
Bagaimana pdp 21 ini akan tercapai sedangkan yuran PIBG untuk program
pembelajaran pelajar juga tidak mampu dibayar oleh ibu bapa. Dari mana sumber
kewangan yang perlu dicari oleh guru, ibu bapa hatta pelajar jika semata-mata untuk
menguruskan kelas berorientasikan pdp 21?Akhirnya, proses pembelajaran pelajar
juga tertangguh kerana membincangkan isu kewangan. Oleh itu, penyediaan
kewangan yang mencukupi boleh membantu warga sekolah mengaplikasikan pdp 21
di sekolah.
2) Mengutamakan hanya KBAT di sekolah menengah
Pembudayaan keseluruhan pembelajaran abad 21 yang merangkumi kelas
pembelajaran, penyediaan alat pembelajaran dan pdp itu sendiri seharusnya diberi
penekanan terutamanya kepada pelajar-pelajar tahun 1 dan pelajar sekolah rendah
amnya kerana mereka merupakan tunas yang mudah menerima pembaharuan dan
masih boleh diasuh dan dididik dengan pdp 21. Manakala, bagi sekolah menengah
biarlah penekanan lebih kepada membudayakan pengajaran yang berasaskan

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Kita semua maklum bahawa sistem
pendidikan negara masih mempunyai peperiksaan awam seperti PT3, SPM dan STPM
dan bentuk soalan kertas peperiksaan juga menuntut pelajar mengapliaksikan
kemahiran berfikir oleh itu, penyediaan kelas alaf 21 tidak sesuai untuk pelajar
sekolah menengah. Mereka perlu dibentuk dengan banyak proses pembelajaran
berpusatkan murid dan membentuk pemikiran kreatif dan inovatif sejajar dengan
hasrat pdp 21 itu. Penciptaan kelas abad 21 dan penyediaan alatan-alatan
pembelajaran yang berwarna warni hanyalah membuang masa pelajar sedangkan
proses mencipta kemahiran berfikir itu yang paling utama.
3) Memantapkan Teknologi ICT
Pembelajaran pdp 21 memerlukan pelajar mencorak pemikiran mereka dengan
aras yang tinggi dan belajar secara kendiri. Namun begitu, alatan sokongan seperti
kemudahan internet merupakan aspek utama yang boleh membudayakan pdp 21
dilaksanakan. Pelajar perlu mencari maklumat melalui proses masteri, penerokaan dan
sebagainya bagi menjayakan sesuatu tugasan. Namun, jika kemudahan internet juga
tidak disediakan dan tidak mencukupi bagaimana pelajar harus mencari bahan dan
mereka akan kembali bergantung kepada guru untuk menyediakan jawapan dan
memberi nota. Oleh itu, makmal komputer dan kemudahan internet yang mencukupi
membantu pembudayaan pdp 21 diamalkan di sekolah.
4) Kurangkan Karenah Birokrasi
Pembelajaran pdp 21 juga tidak tertakluk kepada pembelajaran di dalam kelas
sahaja tetapi merangkumi pembelajaran di luar bilik darjah. Umum mengetahui
bahawa aspek keselamatan merupakan aspek utama yang harus dititikberatkan jika
melakukan aktiviti pembelajaran diluar bilik darjah. Namun, jika semua pihak
bertanggungjawab dan melaksanakan program mengikut prosedur boleh
mengurangkan risiko berlakunya kemalangan. Apa yang menjadi masalah ialah guruguru perlu mengambil masa yang lama untuk memproses dan memohon kebenaran
daripada pelbagai peringkat untuk melaksanakan aktiviti di luar bilik darjah. Perkara
ini menyebabkan guru menjadi malas untuk melakukan aktiviti pembelajaran di luar
bilik darjah. Oleh itu, pihak yang sewajarnya harus memikirkan cara untuk
memendekkan masa proses kebenaran aktiviti luar bilik darjah supaya menggalakkan
warga sekolah mengaplikasikan pdp 21 di luar bilik darjah.
5) Jalinan kerjasama warga sekolah dan agensi luar
Pembelajaran pdp 21 diakui boleh membantu negara melahirkan masyarakat
yang berfikiran positif, kreatif, inovatif dan mahir dalam pelbagai bidang. Oleh itu,
satu cabang pembelajaran yang baik untuk mengembangkan potensi pelajar dan
meningkatkan bakat mereka adalah melalui proses pembelajaran melalui pengalaman.
Pelajar-pelajar alaf 21 menuntut mereka meneroka bidang yang diluar kotak
pemikiran mereka dan salah satu cara bagi pihak sekolah membantu mereka adalah
melalui jalinan kerjasama dengan beberapa agensi luar seperti MOSTI, PDRM,
BOMBA, KASTAM, JKKN, KBS, AADK dan sebagainya. Pihak-pihak ini boleh
menyediakan dana dan program yang setara dengan kemahiran pelajar dan
melaksanakannya di pelbagai lapangan supaya melatih, memberi pengalaman dan
menarik mainat pelajar untuk berusaha memajukan diri dalam pendidikan. Impak
program boleh membantu pelajar mencungkil potensi diri dan membentuk kemahiran
dalam sesuatu bidang pada masa akan datang.

6) Peranan Media Massa


Pembudayaan pdp 21 tidak boleh hanya berkisar di sekolah sahaja tetapi
perlulah merangkumi semua akses yang diperoleh pelajar diluar waktu sekolah.
Medium utama adalah media massa. Oleh itu, media massa memainkan peranan yang
penting menyebarluaskan pendidikan pdp 21 untuk kefahaman seluruh masyarakat,
menyediakan kandungan program penyiaran yang bermutu dan berorientasikan negara
yang matang berfikir dan setara dengan membentuk kemahiran berfikir aras tinggi
masyarakat dan membantu pihak Kementerian Pendidikan dalam pelbagai kempen
pendidikan. Semua ini akan membuka mata banyak pihak untuk memahami hasrat
kerajaan terutamanya ibu bapa dan secara tidak langsung mereka juga boleh
membantu anak-anak membentuk kemahiran berfikir yang tinggi.
Kesimpulannya, pembudayaan pdp 21 tidak hanya tertumpu kepada warga
sekolah sahaja tetapi perlulah dibudayakan oleh semua pihak kerana hasrat kerajaan
adalah untuk melahirkan modal insan yang cemerlang pada masa depan. Oleh itu,
adalah menjadi tanggungjawab semua untuk memahami konsep pdp 21 dan
mengamalkannya di pelbagai peringkat.

Anda mungkin juga menyukai