Anda di halaman 1dari 7

ISIS Pecah dan perintah

3
Hishamuddin Rais

23 Jul 2015, 6:41 petang

7 Ogs 2015, 2:35 petang

[The

Yinon plan] is an Israeli strategic plan to ensure Israeli regional superiority. It insists and
stipulates that Israel must reconfigure its geo-political environment through the
balkanization of the surrounding Arab states into smaller and weaker states."

Minggu lalu saya telah menulis tentang strategi global Anglo-Amerika untuk
meneruskan Perang Dingin dan Perang Terkawal. Saya juga telah menulis tentang The
Yinon Plan. Mengikut Yinon Plan, secara terang dan jelas Israel telah merancang untuk
memecahkan negara-negara Arab demi keselamatan Israel.

Negara Arab yang berpotensi melawan Israel wajib dipecahkan. Negara-negara ini wajib
dilemahkan. Ini adalah strategi geo-politik strateji yang bersangkutan dengan alam,
kawasan dan wilayah.

Ketika saya menulis ini Rancangan Yinon ini sedang berjalan lancar. Projek ini sedang
diuruskan oleh Monshe Yaalon bekas ketua Special Branch dan kini Menteri

Pertahanan Israel.

Justeru, warga dunia sedang melihat Iraq diserang dan kini sedang dipecahkan untuk
menjadi tiga wilayah Sunni, Shiah dan Kurdish. Selama tiga tahun bermula dari tahun
2013, Syria telah diserang hingga ke hari ini. Dunia melihat kehancuran yang sedang
dihadapi oleh Syria. Negara Arab ini sedang menuju kehancuran dan akan menjadi failed
state' atau daulah yang gagal. Ketika ini daulah Syria tidak lagi ada keupayaan untuk
menjaga keselamatan sempadan.

Lebanon telah berkali-kali lunyai diserang Israel. Sudan telah pecah menjadi Sudan
Selatan dan Sudan Utara semenjak tahun 2011. Libya sedang dalam proses pemecahan.
Mesir dalam keadaan yang amat miskin. Semua ini adalah hasil dari perancangan yang
tersusun dalam projek untuk mewujudkan apa yang di panggil Greater Israel Israel
Raya.

Israel Raya ini akan bermula dari Sinai Mesir, Palestin, Lebanon, Jordan dan Syria.
Ramai warga dunia tidak sedar bahawa hingga ke hari ini Israel masih tidak memiliki
peta yang menunjukkan wilayah dan sempadannya. Ini kerana proses untuk mewujudkan
apa yang dipanggil Israel Raya masih berjalan. Gaza dan Lebanon Selatan itu hanyalah
aji-no-moto dalam Projek Yinon yang lebih besar.

Ketika kancah politik Timur Tengah hangat berkecamuk dan mengelegak, kuasa
imperialis Amerika tmengeluarkan satu dokumen penting. Dokumen National Military
Strategy of the United States of America 2015 ini melakarkan strategi Amerika untuk
dunia hari ini. Secara jelas dokumen ini menyatakan siapa kawan dan siapa musuh
Amerika.

Mengikut dokumen ini, di Timur Tengah, Amerika akan sentiasa membantu Jordan, Arab
Saudi, Kuwait, Qatar, UAE, Bahrain dan Pakistan.

Dalam masa yang sama dokumen ini juga menunjukkan bahawa Jordan, Saudi, Kuwait,
Qatar dan Pakistan adalah negara-negara yang sedang membantu dan mendanai
kumpulan ektremis Islam yang sedang menghuru-harakan dunia.

Dengan jelas dan tuntas mengikut dokumen ini musuh Amerika pada ketika ini ialah
Rusia, China, Iran dan Korea Utara. Amerika melihat Rusia dan China memiliki potensi
ekonomi dan kekuatan tentera yang boleh menandingi Amerika.

Satu dokumen dasar Project for the New American Century (PNAC) yang telah
diajukan ke Rumah Putih pada tahun 1997 oleh pemikir berhaluan kanan kini diguna
pakai sebagai dasar Amerika. Dasar PNAC ialah Amerika tidak akan membenarkan
mana-mana negara untuk memiliki kuasa ekonomi dan tentera yang boleh menandingi
kuasa Amerika. Justeru China dan Russia adalah musuh.

Intipati dari dasar PNAC ini ialah: Kepimpinan Amerika adalah baik untuk Amerika dan
baik untuk dunia.

Ini adalah dasar yang sedang digunakan oleh Amerika. Semua tindak tanduk, dasar luar,
dasar ketenteraan, perjanjian ekonomi dan dasar budaya Amerika berlandaskan intipati
PNAC ini.

Negara-negara lain dalam dunia ini hanyalah wilayah jajahan dalam empayar Amerika.
Oleh kerana ia memiliki kekuatan ekonomi dan bala tentera yang maha agung, Amerika
melantik dirinya sendiri untuk menjadi kuasa hegemoni menjadi empayar.

Berlandaskan dokumen ini, dunia sedang melihat Dasar Pertahanan Amerika telah beralih

ke Asia. Dasar baru ini dipanggil Pasak Asia atau Pivot Asia. Pasak Asia ini dimulakan
oleh Presiden Obama pada tahun 2012. Dasar pertahanan Amerika yang baru ini tidak
lari dari dasar PNAC. Malah Pasak Asia memperkukuh dasar PNAC.

Justeru, kita akan melihat perubahan mendadak di wilayah Asia Tenggara. Bala tentera
Amerika akan dialih untuk berlabuh dan berpengkalan di Asia. Kawan setia Amerika
seperti Siam dan Filipina telah menyediakan tapak untuk pengkalan tentera darat dan
udara. Kapal laut dan kapal selam Amerika akan mengawal Selat Melaka. Latihan bala
tentera akan sering berlaku di Asia Tenggara. Singapura akan menjadi kedai pomen
untuk membaiki alat jentera yang rosak.

Secara tiba-tiba, warga Malaysia diberitahu bahawa Encik Barack Obama akan datang
sekali lagi ke Malaysia. Kali ini Enciik Obama datang untuk meminta tanah. Encik
Obama bukan hendak membuka ladang tebu atau membuka kolam udang tetapi meminta
kawasan untuk pengkalan soldadu Amerika. Mustahil Encik Obama datang untuk
membeli petai dan tempoyak.

Bagaimana semua ini kait-mengait dengan ISIS. Apa pula hubungan semua ini dengan
Zionis Israel?

Saya nyatakan di sini bahawa satu kesilapan jika kita gagal untuk melihat perancangan
global Amerika ini berkait rapat dengan Israel dan berkait rapat dengan ISIS.

Negara yang dipanggil Israel diwujudkan pada tahun 1948. Israel adalah sebuah negara
yang diwujudkan oleh kuasa Anglo-Amerika. Bumi Palestin telah dirampas dan dijajah
untuk mendirikan apa yang dipanggil Israel.
Negara yang bernama Israel ini sebenarnya adalah pengkalan tentera Amerika. Peranan
Israel ialah memastikan bahan bakar petroleum dari Timur Tengah akan terus menerus
sampai ke pasaran dunia.

Bahan bakar petroleum ini adalah asas ekonomi dunia hari ini. Jika tersekat, jika
terganggu gugat pengaliran bahan mentah ini maka dunia kapitalis akan tutup kedai.
Justeru Israel dan kaum Zionis lebih diyakini oleh kuasa imperial Anglo-Amerika untuk
menjadi polis yang setia di Timur Tengah.

Dasar Pertahanan Amerika, dasar PNAC dan Yinon Plan - semuanya dalam kerangka
yang sama. Semua ini adalah projek Zionis-Anglo-Amerika untuk mengawal dan
mendominasi.

Minggu lalu secara tuntas telah dinyatakan bahawa ISIS ini bertelor, mengeram dan
menetas dalam reban CIA dalam kandang Amerika. Sama seperti Zionis Israel,
gerombolan Isis juga sedang melunaskan dasar dan strategi pertahanan Amerika.

Jika Isreal digunakan oleh imperialis Anglo-Amerika sebagai soldadu untuk menjaga dan
mengawal Timur Tengah maka ISIS sedang digunakan sebagai samseng yang membuat
huru-hara.

Pasti ada pembaca yang akan merasa kurang senang apabila saya menyatakan secara jelas
bahawa ISIS ini adalah anak syarikat imperialis Amerika. Pasti ada pembaca akan
terganggu dengan pernyataan saya kerana ISIS muncul dengan retorik Islam, dengan
bacaan ayat suci, dengan takbir dan dengan niat untuk mendirikan sistem khalifah.

Sebenarnya bukan susah sangat untuk memahami projek ISIS ini. Mari kita lihat kembali
sejarah Tanah Melayu. Parti Komunis Malaya (PKM) telah ditubuhkan pada tahun 1930.
Tujuan PKM ialah berjuang untuk menghalau penjajah British dari Tanah Melayu. Musuh
PKM ialah penjajah British.

Tetapi apabila Jepun melanggar Tanah Melayu (1941), British bekerjasama dengan PKM
dalam usaha untuk menentang Jepun. British telah menghantar senjata kepada gerila
PKM. Apabila selesai perang dan Jepun berundur, PKM dan British menjadi musuh
kembali. Ini fakta sejarah.

Pekara yang sama berlaku pada tahun 1979 apabila Zbigniew Brzezinski penasihat
keselamatan negara Presiden Jimmy Cater (1977-1981) telah menubuhkan Mujahidin di
Afghanistan. Dari perancangan ini munculnya Al-Qaeda dan Usama bin Ladin. Dari
reban yang sama muncul pula Abu Musab al-Zaqarwi, Jabhat al-Nusra , ISIS dan Abu
Bakr al-Baghdadi

Di Afghanistan, kumpulan dan suku kaum yang menentang kerajaan Kabul telah diberi
latihan, dana dan diberi senjata oleh Amerika. Peshawar di Pakistan menjadi pengkalan
Mujahidin. Tok Arab Ibni Saudi pula memberi dinar dan dolar untuk membeli senjata. Ini
juga fakta sejarah.

Hari ini mondus operandi yang sama sedang diguna pakai di Iraq dan Syria. Pemainnya
bertukar kalau dulu yang bertempur ialah anak-anak muda Afghan, hari ini ia
dijalankan oleh anak-anak muda Arab. Malah dengan teknologi Internet, jala Isis telah
meluas. Jala ini telah berjaya memerangkap anak-anak muda Islam dari Eropah termasuk
dari Malaysia.

Amerika dan konco-konconya dalam NATO gagal menjatuhkan Bashar al-Assad di


Damascus. Ini kerana 1) rakyat masih menyokong Bashar dan 2) Syria mendapat bantuan
dari Rusia dan Iran.

Justeru Amerika memerlukan strategi baru. Strategi ini ialah dengan menggunakan gerila
dan gerombolan yang menentang Baghdad dan Damascus. Kalau di Afghanistan pecah
perintah mengikut suku kaum. Ada Tajik, Hazara, Baloch dan ada Pashtun. Suku kaum

ini diadu-domba untuk memastikan mereka tidak akan bersatu menentang kuasa
imperialis.

Di Iraq dan Syria Sunni dan Shia menjadi strategi penting untuk pecah dan perintah.
Bangsa Kurdish juga mendapat bantuan dolar dan senjata.

Melalui pandangan ini, kita akan melihat bahawa Isis ini hanya paku dan tukul dalam
strategi Zionis-Anglo-Amerika. ISIS hanya alat sama saperti Mujahidin di Afghanistan.

Alat dan perkakas ini diperlukan oleh kuasa imperial Amerika untuk terus mendominasi
dunia. Amerika ingin mengawal dan menguasai dunia kerana ingin mempertahan sistem
yang ada sekarang.

Sistem ekonomi kapitalis yang wujud hari ini memberi nikmat kepada 1 peratus warga
dunia manakala 99 peratus yang lain beramok sesama sendiri. Bergaduh tentang mazhab.
Bergaduh tentang hudud. Bergaduh tentang dunia kayang-kayangan yang tidak berdiri di
bumi nyata.
http://www.malaysiakini.com/columns/305984