Anda di halaman 1dari 2

Assalamuaalaikum dan Salam Sejahtera,

Berdasarkan Modul KRB3013, Prinsip Pengajaran Bacaan, bacaan intensif dilakukan


bertujuan untuk memperkembangkan kebolehan dalam meneliti, memahami dan mentafsir apa
sahaja yang dibaca dengan tepat. Fokusnya adalah terhadap ciri-ciri tatabahasa, pembentukan
dan penggunaan perkataan dan pemakaian bahasa dalam konteks yang berlainan. Bacaan intensif
ini memerlukan bimbingan dan pengatur-caraan dari guru sekiranya murid menghadapi masalah
untuk mendapatkan jawapan.

Kebaikan yang boleh diperolehi oleh murid-murid melalui aktiviti bacaan intensif
ini ialah murid boleh merujuk atau bertanya secara langsung dengan guru bahasa sekiranya
terdapat masalah seperti kurang faham dengan ayat atau perbendaharaan kata yang dibaca. Murid
juga boleh merujuk kamus atau buku rujukan tatabahasa untuk mendapatkan maklumat
tambahan. Aktiviti bacaan senyap dan pantas juga dapat menjimatkan masa murid. Aktiviti
pengajaran dan pembelajaran yang pelbagai dari guru untuk bacaan intensif ini seperti soaljawab tentang maksud perkataan mengikut konteks, aktiviti merujuk kamus untuk mendapatkan
maklumat tambahan, aktiviti membaca senyap dengan kepantasan yang sesuai dan sebagainya
akan meningkatkan lagi minat dan kecenderungan murid untuk belajar. Kebaikan bacaan intensif
yang lain kepada murid ialah murid dapat membaca dengan baik dari segi intonasi dan sebutan
kerana adanya bimbingan secara langsung dari guru, murid juga dapat mengembangkan
kebolehan mentafsir, menilai dan mengulas isi-isi bahan bacaan di samping nilai-nilai estitika
yang terdapat di dalam bahan bacaan.

Kelemahan ketara untuk guru dalam aktiviti bacaan intensif ini ialah guru mestilah
mempunyai pengetahuan bahasa yang tinggi serta perbendaharaan kata yang banyak agar boleh
memberi penjelasan, penerangan atau contoh yang mudah kepada murid bermasalah bahasa.
Guru juga perlu menyediakan perancangan terperici dari segi bahan, aktiviti dan kekangan masa
yang mungkin berlaku sekiranya mengajar murid yang lemah atau sederhana. Kelemahan murid
pula adalah kebergantungan kepada guru sepenuhnya untuk mendapatkan penerangan atau
jawapan walaupun terdapat kamus atau buku rujukan. Biasanya, istilah atau konsep bahasa yang
digunakan dalam kamus atau buku rujukan adalah lebih sukar difahami oleh murid.

Bacaan ekstensif pula bermaksud bacaan meluas yang dilakukan di luar bilik darjah.
Bacaan ekstensif ini menitikberatkan aspek pengukuhan asas bacaan, mempertingkatkan
kemahiran memaham dan menaakul isi bacaan, meningkatkan kepantasan membaca, membina
dan mengukuh minat membaca dan kebolehan memetik isi-isi penting bahan bacaan. Di samping
memperolehi kepuasan dan keseronokan semasa membaca, murid-murid dapat menimba ilmu
pengetahuan yang banyak dan berguna hasil dari pembacaan meluas. Dalam bacaan ekstensif ini,
tugas guru hanyalah sebagai perunding atau pembantu sahaja seperti dalam pemilihan bahan
bacaan yang bersesuaian dan teknik bacaan.

Antara kebaikan yang boleh diperolehi daripada bacaan ekstensif ini ialah murid
boleh memperolehi pengetahuan am yang luas dan berguna melalui pembacaan yang tiada had
melalui buku, majalah, surat khabar, jurnal dan sebagainya. Minat murid untuk membaca juga
akan bertambah kerana murid sudah boleh membaca pantas dan mendapatkan maklumat dengan
cepat. Kreativiti murid melalui pembacaan bahan berbentuk prosa mahupun puisi akan
berkembang. Murid juga dapat memperkaya, memperluaskan dan meningkatkan lagi tahap
penguasaan, daya berfikir dan penggunaan bahasa yang betul, di samping pendedahan laras-laras
bahasa yang pelbagai dalam bahan bacaan yang tidak terhad.

Kelemahan nyata yang boleh didapati hasil daripada bacaan ektensif ini ialah
kawalan ke atas bahan bacaan. Bacaan ekstensif tidak memerlukan kawalan dan penyediaan
bahan bacaan yang bersesuaian oleh guru ke atas murid. Guru hanya mengesyorkan untuk murid
memilih bahan yang sesuai dibaca tetapi murid boleh mengakses atau bebas membaca apa sahaja
bahan termasuklah bahan-bahan lucah, buku-buku fahaman barat yang tidak sesuai dengan
agama dan nilai-nilai ketimuran dan sebagainya. Penyalahgunaan kebebasan membaca
seumpama ini haruslah dibendung agar generasi muda kita mempunyai pengetahuan dan
kemahiran positif yang boleh digunakan secara bijaksana pada masa depan. Murid yang lemah
dari segi bacaan, kefahaman tentang konsep dan kurang kosa kata akan menghadapi masalah
untuk membuat rujukan kerana bacaan ekstensif ini lebih kepada bacaan luar kelas. Murid
seumpama ini tidak dapat membaca buku, majalah, surat khabar dan sebagainya dengan baik
kerana masalah kefahaman dan memerlukan guru sebagai pembimbing sebagaimana bacaan
intensif.

Anda mungkin juga menyukai