Anda di halaman 1dari 9

Perjanjian Burney 1826

Pengenalan:Pengaruh Siam di negeri-negeri Melayu Utara


membimbangkan British kerana perkembangan ini menjejaskan
pendudukan British di Pulau Pinang serta kepentingan British di Tanah
Melayu. Akibatnya pada Disember 1825, Kapten Burney dihantar oleh
Robert Fullerton bagi mengadakan rundingan dan menandatangani
perjanjian dengan Siam. Henry Burney telah diarah berbincang
mengenai hubungan perdagangan dan persahabatan antara Siam
dengan British, kepentingan British di Tanah Melayu mengenai
perdagangan, masalah pembahagian takhta, Sultan Ahmad Tajuddin
dan soal kemerdekaan Perak dan Selangor. Selepas berada di Siam
selama 6 bulan, Henry Burney berjaya menandatangani perjanjian
pada 20 Jun 1826.
Syarat-syarat perjanjian
1. Pedagang-pedagang British dibenarkan berdagang di Bangkok
dan dikenakan cukai yang berpatutan.
2. Mengenai Kedah:
a. Kedah kekal sebagai tanah jajahan Siam.
b. Sultan Kedah tidak dibenarkan tinggal di Pulau Pinang,
Seberang Perai, Perak, Selangor atau Burma.
c. British bertanggungjawab untuk menghalang Sultan Kedah
dan pengikut-pengikutnya menyerang Siam dan wilayah-
wilayahnya.
d. British dibenarkan berdagang di Kedah tetapi tidak boleh
campur tangan dalam hal pentadbiran.
e. Siam mengiktiraf pendudukan British di Pulau Pinang dan
Seberang Perai.
3. Mengenai Perak:
a. Siam mengiktiraf kemerdekaan Perak dan Selangor.
b. British dibenarkan berdagang di Perak tetapi tidak boleh
campur tangan dalam hal pentadbiran.
c. Siam dibenarkan menghantar perwakilan antara 40-50 orang
ke Perak tetapi tidak dibenarkan menyerang, mengancam dan
mencabul Perak.
d. British bertanggungjawab menghalang Selangor menyerang
Perak.
e. Mengenai penghantaran bunga emas dan lain-lain hantaran
ke Siam, negeri Perak diberi kebebasan sama ada menghantar
atau tidak. Sekiranya Perak bersetuju menghantar ke Siam,
maka British tidak berhak untuk menghalang.
4. Mengenai Kelantan dan Terengganu:
a. Siam berjanji tidak akan mengganggu perdagangan British di
Kelantan atau Terengganu.
b. British dibenarkan berdagang di Terengganu tetapi tidak
boleh campur tangan dalam hal pentadbiran.
c. Kelantan dan Terengganu akan terus menghantar ufti yang
berupa bunga emas kepada Siam tiap-tiap 3 tahun sekali.
Kesan-kesan perjanjian
1. Kedah:Perjanjian Burney yang telah ditandatangani
mengecewakan Sultan Ahmad dan baginda tidak dapat
menerimanya. Baginda kecewa kerana dengan terang British telah
memperdayakannya. Oleh itu, Sultan Ahmad yang masih menetap
di Pulau Pinang mengambil keputusan melancarkan serangan ke
atas Siam. Dengan bantuan orang Melayu Kedah, Kelantan dan
Terenngganu, Sultan ahmad menyerang Kedah pada tahun 1831,
1836 dan 1838 tetapi kesemua serangan ini gagal kerana British
telah mengepung dan melindungi Kedah daripada serangan Sultan
Ahmad. Malah, Sultan Ahmad telah dipindahkan dari Pulau Pinang
untuk menetap di Melaka. Baginda terpaksa menetap di Melaka
sehingga 1842 bagi mematuhi syarat-syarat Perjanjian Burney.
Menjelang tahun 1840, sikap Sultan Kedah, Raja Siam dan British
mulai berubah. Sultan Ahmad yang telah lanjut usianya merasai
penentangan terhadap Siam tidak berfaedah kerana pihak British
tetap menyebelahi mereka. Pihak Siam pula merasa
penglibatannya dalam hal ehwal negeri Kedah tidak lagi penting
kepada mereka. Pertempuran-pertempuran yang berterusan hanya
akan membebankan negeri Siam. Melalui kesedaran itu, Sultan
Ahmad mengambil jalan yang lebih berkesan iaitu melalui
rundingan. Dengan kerjasama British, satu perwakilan yang
diketuai oleh Putera Sultan Ahmad, iaitu Tengku Daik telah
dihantar ke Bangkok pada tahun 1841 bagi membincangkan soal
pembahagian takhta Sultan Ahmad Tajuddin. Pada tahun 1842,
Sultan Ahmad Tajuddin diserahkan kembali takhtanya dan Kedah
mestilah kekal sebagai jajahan takluk Siam dan menghantar bunga
emas tiap-tiap 3 tahun sekali. Kedah juga diperkecilkan
kawasannya iaitu Setul dan Kubang Pasu diletakkan di bawah
pemerintahan Siam dan Perlis dipisahkan dan diperintah oleh Syed
Sapee dengan gelaran Raja Perlis.
2. Perak:Siam tidak mematuhi Perjanjian Burney berkaitan dengan
Perak. Pada bulan Ogos 1826, pihak berkuasa di Selatan Siam, iaitu
Raja Ligor telah menghantar satu angkatan tentera ke Perak
dengan alasan untuk membantu Perak dalam hal ehwal
pentadbiran. Muslihat Raja Ligor yang sebenarnya ialah untuk
memaksa Raja Perak menghantar bunga emas ke Siam. Pada
September 1826, Sultan Perak telah memohon bantuan British bagi
menghapuskan naungan Siam ke atas Perak. Akibatnya, Gabenor
Fullerton telah menghantar satu angkatan ke Perak yang terdiri
daripada 40 orang askar yang diketuai oelh Kapten James Low ke
Perak. James Low telah diarahkan untuk menasihati Sultan Perak
mengenai haknya untuk memilih sama ada hendak menghantar
bunga emas ke Siam atau tidak. Selain itu, Low juga memberi
jaminan bantuan kepada Sultan Perak jika Perak diserang oleh
Siam. Setelah di Perak, Low berjaya menggulingkan golongan pro-
Siam. Askar-askar Siam juga berundur dari Perak. Pada 18 Oktober
1826, Low telah melampaui arahan dan menandatangani
persetiaan dengan Sultan Abdullah. Syarat-syaratnya ialah:
a. Perak berjanji tidak akan mengadakan hubungan politik
dengan Siam atau negeri-negeri lain.
b. Perak bersetuju tidak akan menghantar bunga emas atau lain-
lain persembahan kepada Siam atau negeri-negeri Melayu lain.
c. British beratnggungjawab untuk melindungi Perak daripada
sebarang serangan luar.
d. Pedagang-pedagang dari mana-mana negeri dibenarkan
berdagang di Perak asalkan mereka tidak campur tangan dalam
hal ehwal Perak.
e. Sultan Perak tidak akan membenarkan wakil-wakil yang lebih
daripada 30 orang lelaki daripada negara-negara lain masuk ke
Perak dengan tujuan untuk campur tangan dalam hal ehwal
politik.
f. Dinding dan Pulau Pangkor diserahkan kepada British.
James Low juga berjaya menghancurkan kegiatan lanun di Sungai
Kurau selepas tertangkapnya ketua lanun, iaitu Nakhoda Udin yang
pro-Siam. Tindakan British ini telah berjaya menyelamatkan Perak
daripada menerima nasib seperti Kedah dan menghentikan
kemaraan Siam.
3. Kelantan/Terangganu:Perjanjian Burney tidak menentukan
dengan jelas hubungan Kelantan dan Terengganu dengan Siam.
Akibatnya, Kelantan menerima pertuanan Siam tetapi
Terengganu menolaknya. Terengganu menganggap negerinya
tidak pernah dijajah oleh Siam. Penghantaran bunga emas hanya
menjadi tradisi dan mengekalkan persahabatan dengan Siam.
Oleh itu, Siam berusaha untuk mengukuhkan pengaruhnya di
Terengganu dan mengekalkan pengaruhnya ke Pahang. Usaha
ini dijalankan dengan melibatkan diri dalam perang saudara di
Pahang (1857-1863) antara Wan Ahmad dan Wan Mutahir. Pada
Oktober 1862, satu angkatan Siam telah tiba di Kuala
Terengganu dalam usaha membantu Wan Ahmad menyerang
Pahang. Selain itu, kehadiran angkatan tersebut juga bertujuan
membantu Sultan Mahmud dari Lingga merampas takhta
Terengganu daripada bapa saudaranya, Sultan Omar yang tidak
menerima pertuanan Siam. Kekacauan yang berlaku bukan
sahaja mengganggu perdagangan di Pahang tetapi juga di
Kelantan dan Terengganu. Akibat dari desakan pedagang-
pedagang, gabenor Negeri-negeri Selat, iaitu Cavenagh telah
menghantar sebuah kapal perang ke Kuala Terengganu pada
November 1862 dengan tujuan hendak mendesak Siam dan
Sultan Mahmud dari Lingga berundur dari Terengganu dan tidak
melibatkan diri dalam perang saudara Pahang. Keengganan Siam
telah menyebabkan kapal perang British membedil Kuala
Terengganu pada 4 November 1862. Akibatnya, angkatan
tentera Siam dan Sultan Mahmud dari Lingga mengundurkan diri.
Tindakan British ini berjaya menghalang pengaruh Siam dan
merebak ke Pahang.

Perjanjian Sulit Inggeris Siam 1897


Pengenalan:Selepas berjaya menyekat pengaruh Siam dari mara
ke selatan, pihak British mula memikirkan rancangan untuk mengambil
4 buah negeri Melayu di utara dari kekuasaan Siam. Matlamat British
ialah untuk menyatukan negeri-negeri itu dalam suatu gabungan iaitu
Tanah Melayu. Ketika ini, British sudah berjaya meletakkan Perak,
Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang di bawah pentadbiran mereka.
Satu perjanjian sulit antara Inggeris dengan Siam telah diadakan pada
tahun 1897 sebagai perintis untuk mengambil keempat-empat buah
negeri Melayu di utara dari Siam.
Faktor-faktor yang membawa kepada perjanjian
1. British berasa bimbang selepas mendapat berita bahawa kuasa
Perancis berminat meluaskan pengaruhnya ke Lembah Menam
Chao Phraya dan merancang untuk membina “Terusan Kra” pada
tahun 1880.
2. British juga bimbang akan peluasan pengaruh Jerman apabila
mendapat berita bahawa negara Jerman sedang berusaha untuk
membina sebuah pangkalan di kawasan Siam selatan terutama di
Pulau Langkawi.
Syarat-syarat perjanjian
1. Kebimbangan campur tangan kuasa-kuasa barat tersebut
mendesak British untuk menandatangani Perjanjian Sulit dengan
Siam pada 6 April 1897.Menurut perjanjian ini:
2. Raja Siam bersetuju tidak akan memindahkan sebarang kawasan
di Selatan Muang Bang Tapan dekat Tenasserim.
3. British mengakui hak Siam di Selatan Muang Bang Tapan
berhampiran pantai Tenasserim hingga ke negeri-negeri Kedah,
Kelantan dan Terengganu.
4. British akan membantu Siam jika ia diserang.
5. Jika Raja Siam memutuskan hendak membuat sebarang
pemberian tanah kepada kuasa asing, ia mestilah terlebih dahulu
mendapat kebenaran bertulis dari British.
Kesan-kesan perjanjian:
1. Dengan perjanjian ini, permintaan Jerman untuk dibenarkan
bertapak di Langkawi
ditolak oleh pihak Siam.
2. British berjaya menyekat Negeri-negeri Melayu dan wilayah Siam
di utara Semenanjung Tanah Melayu dari jatuh ke tangan kuasa-
kuasa asing.
3. Oleh sebab perjanjian ini ditandantangani secara sulit, tidak ada
pihak lain yang mengetahuinya. Sesetengah sultan telah berasa
hampa berada di bawah naungan Siam dan cuba bertindak secara
bebas. Keadaan ini memaksa British dan Siam menandatangani
satu perjanjian yang dinamakan Perjanjian Sempadan (1899) untuk
menentukan sempadan antara negeri-negeri Siam, Kedah, Perak,
Kelantan dan Terengganu. Di bawah perjanjian ini, Reman menjadi
wilayah Siam sementara Kedah, Kelantan dan Terengganu hanya
sebagai wilayah jajahan Siam.
4. Ekoran daripada perjanjian ini, timbul pula isu Duff yang
mendorong Siam dan British menandatangani satu pengisytiharaan
pada 1902. British mengakui secara rasmi hak Siam ke atas Negeri-
negeri Melayu Utara. Ini adalah disebabkan keinginan British untuk
mengekalkan kemerdekaan Siam supaya Siam dapat dijadikan
negara penampan yang memisahkan British dengan Perancis
kerana sempadan bersama boleh menimbulkan peperangan di
antar kedua-dua pihak itu.

Pengisytiharaan Inggeris-Siam 1902


Pengenalan:Antara tahun 1899 dan 1900, Jerman telah beberapa
kali cuba mendapatkan Pulau Langkawi walaupun ditolak oleh Siam.
Dalam tahun 1900, timbul pula isu Duff di Kelantan menyebabkan
hubungan Inggeris-Siam terjejas. Memandangkan keadaan yang
demikian British berasa satu rundingan harus diadakan dengan Siam
bagi menyelesaikan masalah ini. Hubungan Siam dengan British
bertambah runcing apabila Siam mengambil tindakan ke atas Pattani
yang cuba melepaskan diri dari kekuasaan Siam. Pada bulan Disember
1901, Setiausaha Negara bagi Tanah Jajahan iaitu Joseph Chamberlin
telah mengarahkan Menteri Inggeris di Bangkok mendesak Siam
supaya mengadakan rundingan dengan Inggeris. Hasil daripada
peranan Frank Swettenham, satu pengisytiharaan telah diadakan pada
bulan Oktober 1902.
Sebab-sebab yang membawa kepada pengisytiharaan
1. Kebimbangan campur tangan kuasa asing: Kebimbangan
Inggeris terhadap penguasaan kuasa di Negeri-negeri Melayu Utara
semakin bertambah. Pada tahun 1901, Inggeris mendengar khabar
angin yang ada pihak-pihak tertentu di Pattani dan Kelantan yang
cuba mendapat sokongan Jerman untuk membebaskan negeri-
negeri itu daripada cengkaman Siam. Antara tahun 1899-1901
kuasa Jerman, Rusia dan Amerika Syarikat pula berusaha untuk
mendapatkan hak-hak kewilayahan di Negeri-negeri Melayu Utara.
Jerman telah mempergiatkan usahanya pada tahun 1899-1900
untuk memperoleh Pulau Langkawi untuk digunakan sebagai
pangkalan laut di Asia Tenggara. Rusia juga berikhtiar memperoleh
Ujong Salang (Pulau Phuket) untuk dijadikan sebagai pangkalan
arang batu. Amerika Syarikat berusaha untuk mendapatkan
konsesi kewilayahan di Terengganu dan pulau-pulau di sekitarnya.
Dengan itu, Inggeris berasa bimbang kalau-kalau Siam tunduk
kepada tekanan kuasa-kuasa asing ini.
2. Kegiatan R.W. Duff di Kelantan:Dengan keadaan ini, pada
tahun 1900, Sultan Kelantan telah bertindak seolah-olah merdeka.
Baginda telah memajakkan tanah seluas 2000 batu persegi atau
hampir satu pertiga daripada keluasan Kelantan kepada R.W. Duff,
seorang saudagar Inggeris tanpa kebenaran daripada Raja Siam.
Tindakan Sultan Kelantan ini telah menimbulkan kebimbangan dan
kerumitan Inggeris kerana kemungkinan penyerahan serupa akan
dibuat kepada kuasa-kuasa asing yang lain. Justeru itu, Siam pula
membantah kepada Inggeris tentang perbuatan Duff itu. Pada
tahun 1902, Sultan Terengganu menerima permohonan Amerika
Syarikat untuk melombong di Pulau Redang. Dalam keadaan ini,
Duff meminta sokongan pihak Inggeris bagi menentang bantahan
Siam terhadap pajakan tanah itu. Beliau mengancam mendapatkan
sokongan Perancis atau Jerman jika Kerajaan Inggeris enggan
menyokong hak pajakannya di Kelantan.
3. Rusuhan dalam negeri :Rusuhan dalam negeri akibat daripada
dasar Siam untuk mengetatkan kekuasaannya ke atas Negeri-
negeri Melayu Utara juga merupakan faktor yang membawa
kepada Pengisytiharaan Inggeris-Siam. Raja Abdul Kadir dari
Pattani dan Sultan Mahmud IV dari Kelantan telah meminta
bantuan Inggeris untuk mengelakkan ancaman dari Siam. Hal ini
kerana Raja Abdul Kadir telah dipenjarakan oleh Siam dalam bulan
Februari 1902, manakala Sultan Mahmud IV berasa bimbang akan
kedudukannya. Kalau Inggeris tidak memberi bantuan,
kemungkinan besar mereka akan meminta bantuan daripada kuasa
Eropah yang lain.
4. Peranan Swettenham:Pada masa itu, Frank Swettenham ialah
Gabenor Negeri-negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri
Melayu Bersekutu. Swettenham menyokong kuat tuntutan Duff
sebagai alasan untuk meluaskan pengaruh Inggeris di Negeri-
negeri Melayu Utara naungan Siam khususnya ke atas Kelantan
dan Terengganu. Beliau mencadangkan kepada Kerajaan Inggeris
supaya melantik pegawai-pegawai Inggeris yang berkhidmat di
Bangkok sebagai penasihat untuk menguruskan hal-ehwal negeri-
negeri Kelantan dan Terengganu. Cadangan ini dibuat atas
pendapat bahawa Siam tidak berupaya menguruskan hal-ehwal
tempatan negeri-negeri Melayu berkenaan dan berkemungkinan
besar Siam akan mendapatkan bantuan daripada kuasa-kuasa
Eropah yang lain. Sistem penasihat ini diharap akan memelihara
kepentingan Inggeris di negeri-negeri tersebut dan juga melindungi
negeri-negeri itu daripada ancaman kuasa-kuasa asing yang lain.
Cadangan Swettenham mendapat bantahan kuat daripada Siam
tetapi beliau telah menggugut akan mengiktiraf Kelantan dan
Terengganu sebagai negeri yang bebas jika sekiranya Siam enggan
berunding dengan Inggeris untuk menerima cadangan tersebut
sebelum bulan September 1902. Siam berasa terancam dengan
ugutan ini dan bersetuju menandatangani satu perjanjian baru
pada 6 Oktober 1902.
Syarat-syarat Pengisytiharaan
1. Siam akan menguasai hubungan luar negeri-negeri Kelantan dan
Terengganu.
2. Siam tidak akan campur tangan dalam hal-ehwal dalam negeri
Kelantan dan Terengganu.
3. Penasihat-penasihat berbangsa Inggeris akan dilantik oleh Siam
untuk menasihati Sultan Kelantan dan Terengganu dalam semua
hal pentadbiran kecuali perkara-perkara yang berkenaan agama
dan adat resam orang Melayu.
4. Kelantan dan Terengganu tidak berhak memberi sebarang konsesi
kepada orang asing tanpa perakuan Siam.
5. Siam akan menerima 10% daripada pendapatan jika pendapatan
Negeri-negeri Melayu Utara naungan Siam melebihi $100000.
Kesan-kesan Pengisytiharaan
1. Pada tahun 1903, Kelantan menerima W.A. Graham sebagai
Penasihat Siam dan pada tahun 1905 Kedah menerima Meadows
Frost sebagai Penasihat Kewangan.
2. Terengganu enggan mengesahkan perjanjian tersebut dan enggan
menerima penasihat Siam.
3. Mengernai Kedah pula, Inggeris cuba menguatkan kedudukannya
dengan memulihkan kewangan Kedah melalui pinjaman tambahan
kepda Siam. Pihak Siam pula bersetuju berbuat demikian dengan
syarat seorang Penasihat Kewangan bangsa Inggeris dilantik untuk
menguruskannya. Dengan itu, J.F. Williamson dilantik sebagai
Penasihat Kewangan Kedah untuk memulihkan kewangannya.
4. Walaupun persetiaan ini telah menjelaskan kedudukan Kelantan
dan Terengganu sebagai negeri naungan Siam tetapi tidak
menenangkan fikiran pihak Inggeris. Hal ini kerana pihak Jerman
ingin membantu Siam membina jalan keretapi di Siam Selatan.
5. Peringkat akhir yang membawa kepada penguasaan sepenuhnya
Inggeris ke atas Negeri-negeri Melayu Utara ialah melalui Perjanjian
Bangkok yang ditandatangani pada 9 Julai 1909.

Perjanjian Bangkok 1909


Pengenalan:Inggeris semakin bertekad untuk mengambil alih
pentadbiran ke atas keempat-empat Negeri-negeri Melayu Utara itu.
Bagi Inggeris, masanya telah tiba untuk berbuat demikian apabila
Jerman menawarkan tawaran Siam untuk membina jalan keretapi di
Siam Selatan. Matlamat Inggeris ini semakin menyakinkan apabila satu
Pakatan Inggeris-Perancis ditandatangani. Untuk mempengaruhi Siam
agar bersetuju untuk berunding, Inggeris dan Perancis telah bersedia
menamatkan hak wilayah asing yang diperolehi sejak tahun 1855 dan
1856. Siam sedar bahawa Inggeris begitu serius terhadap perkara
mengenai Negeri-negeri Melayu Utara lalu bersetuju untuk
mengadakan perundingan. Rundingan telah diadakan dan akhirnya
Perjanjian Bangkok telah ditandatangani pada 9 Julai 1909.
Faktor-faktor yang membawa kepada perjanjian
1. Pakatan Inggeris-Perancis 1904:Selepas ditandatangani
Pengisytiharaan Inggeris-Siam, sikap Inggeris terhadap Siam mulai
berubah. Hal ini adalah disebabkan Inggeris dan Perancis telah
menamatkan permusuhan mereka di Eropah dengan termeterainya
Pakatan Inggeris-Perancis pada 8 April 1904. Pakatan ini telah
manamatkan ancaman peluasan kuasa Perancis di Siam dan dasar
kemaraan di Negeri-negeri Melayu Utara. Perjanjian ini meletakkan
Siam dalam bahaya. Kemungkinan besar Inggeris tidak akan
menolong Siam sekiranya Perancis melanggarnya dari Indo-China.
Kebimbangan Siam menjadi nyata apabila Perancis merampas
Battambang dan Siem Reap, iaitu jajahan-jajahan takluk Siam di
sempadan Siam-Kampuchea. Inggeris tidak membantu Siam malah
ia bersikap berkecuali. Hal ini merugikan Siam.
2. Kebimbangan campur tangan kuasa asing yang
lain :Perancis, Rusia dan Jerman berminat untuk membina terusan
di Segenting Kra sebab tertarik dengan kepesatan perdagangan
Asia-Eropah kesan daripada pembukaan Terusan Suez. Pada tahun
1906, Jerman pula mendapat persetujuan Siam untuk membina
jalan keretapi di Negeri-negeri Melayu Utara. Tindakan ini dianggap
oleh Inggeris sebagai satu helah untuk menguasai Negeri-negeri
Melayu Utara. Siam cuba mendapatkan bantuan modal dan buruh
dari Jerman untuk membina jalan keretapi yang akan
menghubungkan Bangkok dengan sempadannya di Kedah. Inggeris
berasa bimbang bahawa langkah Siam akan membawa kepada
kemungkinan besar Jerman campur tangan di Kedah dan
mengancam kepentingan Inggeris di situ.
3. Pembatalan hak-hak wilayah asing :Siam tidak senang hati
dengan pemberian hak-hak istimewa kepada Inggeris sejak tahun
1855. Siam kini ingin membatalkan perjanjian-perjanjian berat
sebelah seperti Perjanjian Bowring (1855) dan Perjanjian Sulit
(1897). Sudah tentu Inggeris tidak akan memansuhkan hak-hak
tersebut dengan rela tanpa sebarang ganti rugi. Oleh itu, Siam
mengambil keputusan untuk menyerahkan Negeri-negeri Melayu
Utara yang sebenarnya tidak menguntungkan kepada Inggeris.
Sebagai balasan, Inggeris akan memansuhkan segala-gala hak
wilayah asing di Siam.
4. Masalah kewangan Siam :Sementara itu, Kelantan dan
Terengganu menaruh dendam dan tidak pernah mengakui
pertuanan Siam. Kedah pula menghadapi masalah kewangan yang
teruk selepas tahun 1904 kerana sikap Sultan Kedah yang boros.
Siam terpaksa memberikan pinjaman sejumlah $2 juta kepada
Kedah.
Syarat-syarat perjanjian
1. Siam memindahkan segala haknya ke atas keempat-empat buah
Negeri-negeri Melayu Utara di bawah pemerintahannya iaitu Perlis,
Kedah, Kelantan dan Terengganu, termasuk semua pulau yang
dimiliki oleh negeri-negeri itu kepada Inggeris.
2. Siam bersetuju tidak akan menyewakan mana-mana wilayahnya
kepada kuasa-kuasa asing tanpa terlebih dahulu mendapat
kebenaran dari Inggeris.
3. Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu akan menanggung
segala hutang keempat-empat buah negeri yang diperolehinya.
Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu juga akan memberi
pinjaman wang sebanyak £4 juta kepada Siam untuk membina
jalan keretapi di Selatan Siam.
4. Inggeris menyerahkan hak wilayah asing yang diperolehinya dari
Persetiaan Persahabatan dan Perdagangan pada tahun 1855.
5. Inggeris berjanji tidak akan campur tangan di wilayah-wilayah
Siam yang lain.
6. Perjanjian Sulit Inggeris-Siam 1897 dibatalkan.
Kesan-kesan perjanjian
1. Negeri-negeri Melayu Utara berpindah tangan dari Siam kepada
Inggeris dan negeri-negeri itu menerima seorang Penasihat British
yang tugasnya seperti Residen di Negeri-negeri Melayu Bersekutu.
2. Selanjutnya Penasihat British dilantik untuk berkhidmat di Perlis,
Kelantan dan Kedah. Terengganu menerima Penasihat Inggeris
pada tahun 1919.
3. Perjanjian ini telah menetapkan sempadan di antara Siam dengan
Tanah Melayu.
4. Perjanjian ini menjamin Inggeris agar dapat menjalankan dasar
monopoli perdagangannya di Semenanjung Tanah Melayu.