Anda di halaman 1dari 8

Beban Tugas Guru

Oleh : Hawa Jamilah Bt Hasani

Guru merupakan insan yang amat berjasa sehinggakan Usman Awang


mengungkapkan kata-kata penghargaan beliau kepada guru dalam
sajak karangan beliau yang bertajuk Guru Oh Guru. Tidak ada
permulaan seseorang manusia yang berjaya tanpa kehadiran seorang
guru.
Perkataan pengorbanan amat sinonim
dengan guru.Namun, disebalik pengorbanan dan jasa seorang guru,
dunia perguruan juga tidak sunyi dengan kehadiran pelbagai isu yang
menarik perhatian masyarakat untuk diperkatakan dan wajar diambil
perhatian agar kebajikan dan professionalism keguruan dapat
dipertingkatkan.
Di era globalisasi yang amat pesat, antara isu yang melingkari bidang
perguruan adalah isu beban tugas guru.Hal ini berlaku kerana
kepesatan perkembangan teknologi menuntut guru untuk bergerak
seiringan dengan perkembangan semasa bagi memastikan apa yang
disampaikan sentiasa releven dan murid yang dididik mampu
mendepani perkembangan yang berlaku dipersekitaran mereka.Guru
tidak boleh menjadi seperti katak di bawah tempurung, yang tidak
tahu perkembangan semasa, mengajar dan mendidik pelajar dengan
kaedah dan cara yang lama.
Banyak pihak mengkaji dan memberi pandangan agar isu beban tugas
guru mempunyai jalan keluar agar kebajikan guru lebih terjamin
seterusnya membolehkan mutu pendidikan dapat dilonjakkan ke tahap
yang maksimum.Antara langkah yang telah diambil oleh kerajaan
adalah dengan memperkenalkan sistem kerja sembilan jam dalam
kalangan guru.Sistem kerja sembilan jam agak asing dalam bidang
perguruan.Terdapat pelbagai pandangan dari masyarakat baik dari
mereka yang terlibat dalam bidang perguruan mahupun yang tidak
terlibat secara langsung dalam bidang ini. Ada yang menyokong
perlaksanaan sistem ini dan tidak kurang juga yang tidak menyokong
dengan sistem yang diperkenalkan ini.Masing-masing mempunyai
pendapat dan pandangan yang tersendiri.
Artikel Cadangan Kerja Sembilan Jam atasi Beban Tugas Guru ?
yang ditulis menggunakan tajuk berbentuk persoalan kepada pembaca
yang disiarkan melalui laman web Berita Harian Online bertarikh 2
Februari 2012 cuba mengetengahkan penolakan NUTP terhadap

program perintis sistem kerja sembilan bermula 8.00 pagi hingga 5.00
petang yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia
bermula Januari 2012 yang melibatkan 5000 orang guru di empat buah
negeri di Malaysia Berdasarkan artikel yang ditulis, NUTP tidak
menyetujui program ini dilaksanakan kerana menurut NUTP tugas-tugas
guru sebenarnya tidak tamat selepas waktu persekolahan.
Pendirian NUTP yang diketengahkan oleh penulis ini benar. Hal ini
kerana, walaupun waktu pengajian tamat sekitar 2.40 petang. Tetapi
masih terdapat kerja-kerja yang tidak melibatkan pengajaran dan
pembelajaran yang perlu diselesaikan dan dibawa pulang kerumah
untuk disiapkan. Antaranya seperti menanda buku tulis pelajar yang
sememangnya tugas hakiki bagi seorang guru, membuat laporanlaporan program yang dilaksanakan di sekolah, menanda buku
kemajuan pelajar, kerja-kerja pengkeranian yang melibatkan panitia,
kokurikulum dan sebagainya. Kadangkala kerja-kerja ini terpaksa
dibawa pulang ke rumah oleh guru untuk disiapkan.
Walaubagaimanapun, Kementerian Pelajaran mahu pihak NUTP amnya
dan pihak guru khususnya mengambil pendirian untuk berlapang dada
dengan program yang akan diperkenalkan ini. Hal ini kerana, program
ini masih diperingkat projek rintis yang belum melibatkan dan
mewajibkan kepada semua guru di Malaysia. Program ini masih di
peringkat percubaan dan belum lagi muktamad dan keputusan
seterusnya bergantung kepada keputusan dan respon pihak sekolah
dan guru-guru yang terlibat dengan program rintis ini. Pihak NUTP
seharusnya memberi peluang kepada pihak Kementerian Pelajaran
melaksanakan program rintis ini dan membuat penilaian samada
sistem kerja sembilan jam ini dapat mengurangkan beban tugas guru
atau menambahkan lagi beban tugas guru kerana terpaksa pulang
lewat dan membawa kerja-kerja sekolah di rumah. Menurut Ka Siong,
program ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk menangani
isu beban tugas guru yang semakin hangat diperkatakan.
Kenyataan Ka Siong ini disokong oleh kajian yang telah dilakukan
Jawatankuasa Khas Menangani Masalah Beban Tugas Guru. Menurut
laporan kajian, jawatankuasa ini telah menyenaraikan sebelas faktor
atau punca berlakunya beban tugas guru iaitu, tugas rencam yang
tidak berkaitan dengan P&P, Waktu kerja, aktiviti kokurikulum,
ekspektasi stakeholder, persekitaran dan kebajikan, kurusus dalam
perkhidmatan (KDP) pentaksiran, arahan bertindih, bidang tugas, saiz
kelas dan penempatan. Berdasarkan hasil kajian jawatankuasa ini tugas
rencam menjadi punca utama yang menyebabkan timbulnya isu beban
tugas guru atau yang menjadi punca utama guru terbeban dengan
pelbagai tugas guru.

Penulis juga menyatakan hanya guru dan mereka yang mempunyai


keluarga yang terlibat dalam bidang guru memahami isu ini.Kenyataan
penulis ini benar kerana terdapat pihak yang mempertikaikan isu beban
tugas guru ini diketengahkan.Kerja-kerja guru tidak seperti sesetengah
pekerjaan yang hanya berfokus dalam jangka masa tertentu dan skop
tertentu sahaja. Malah, melibatkan masa yang tidak menentut dan skop
yang pelbagai.Buktinya, pada hari ini, guru bukan sekadar mengajar
dan menyampaikan ilmu di dalam kelas malah kerja-kerja guru juga
melibatkan tugas-tugas diluar bidang tugas mengajar seperti melatih
murid untuk pertandingan persembahan, mengiring pelajar ke
pertandingan-pertandingan, menjadi jawatankuasa dalam programprogram yang pelbagai. Tidak mustahil guru juga menjadi tukang
masak, mengurus teknikal dalam program dan sebagainya. Terdapat
juga guru yang bertugas mengagih-agihkan makanan setiap pagi
kepada murid dalam program RMT, dan ada juga guru yang bertugas di
pagar sekolah memastikan pengawas dan murid bertugas dengan baik
dan hadir awal ke sekolah. Situasi-situasi ini menunjukkan betapa skop
bidang tugas guru tidak ada sempadan, tidak seperti sesetengah
profesion yang lain.
Sebagai kesinambungan kenyataan beban tugas guru hanya difahami
oleh guru dan mereka yang mempunyai ahli keluarga yang terlibat
dalam bidang ini, penulis mengetengahkan tujuh punca berlakunya
masalah beban tugas guru. Punca-punca yang disenaraikan oleh
penulis sejajar dengan punca yang telah disenaraikan oleh
Jawatankuasa Khas Menangani Masalah Beban Tugas Guru. Antara yang
diketengahkan oleh penulis dalam artikel ini ialah tugas yang tidak
terikat dengan waktu persekolahan. Hal ini berlaku kerana, kadangkala
guru dikehendaki mengiringi pelajar, melaksanakan kelas tambahan
atau tuisyen di sekolah.Kadangkala bagi sekolah yang cemerlang dan
menjaga prestasi kelas tambahan dilaksanakan tidak mengira waktu
sehingga ada kelas yang dilaksanakan pada waktu malam lebih-lebih
lagi ketika hampir dengan waktu peperiksaan.
Penulis juga mempunyai pendapat yang sama dengan sumbersumber yang lain iaitu membawa kerja sekolah untuk disiapkan
dirumah menjadikan guru terbeban dengan tugasan. Tindakan ini
menyebabkan kebajikan dan hak guru untuk mendapat rehat yang
mencukupi setelah penat bekerja seharian tidak dapat dipenuhi dan
menyebabkan perhatian terhadap keluarga terabai. Punca yang
seterusnya ialah membuat kerja yang tidak ada kaitan dengan tugas
mengajar seperti menghadiri mesyuarat sekolah, mengikuti program
pelbagai peringkat samada daerah mahupun negeri atau menjadi wakil
kepada pentadbir sekolah , menyebabkan guru-guru tidak punya

banyak waktu berada di sekolah dan memberi kesan terhadap tugas


hakiki guru.
Selain dari mengajar guru juga dikehendaki untuk melakukan tugastugas penyeliaan dan bimbingan aktiviti kokurikulum. Kadangkala
mengurus aktiviti kokurikulum bukanlah satu bebanan bagi sesetengah
guru, akan tetapi pengisian yang perlu diberikan kepada murid
sepanjang aktiviti menjadi bebanan kepada guru. Untuk memberi
pengisian ilmu kepada pelajar, guru hendaklah rajin membuat kajian,
rujukan dan pembacaan serta kursus-kursus yang perlu dihadiri yang
melibatkan bidang kokurikulum seperti badan beruniform, sukan dan
sebagainya. Amat malang sekali jika guru ditugaskan untuk
menguruskan dan mengendalikan aktiviti kokurikulum diluar bidang
latihan. Sebagai contoh, guru yang selama ini telah mendapat latihan
dalam satu-satu unit beruniform tetapi disebabkan kekangan tertentu,
terpaksa ditugaskan meguruskan unit beruniform yang lain. Keadaan ini
akan menambah bebanan baru kepada guru iaitu belajar sesuatu yang
baru.
Aktiviti pelajar bukan sekadar tertumpu disekolah semata-mata.
Mereka juga terlibat dalam aktiviti luaran seperti pertandingan,
lawatan, kursus kepimpinan dan sebagainya. Perjalanan dan
pergerakan pelajar-pelajar perlu diiringi oleh guru bagi memastikan
keselamatan murid. Keadaan ini menyebabkan guru terpaksa
mengorbankan masa bukan sekadar masa dirumah malah masa masa
P&P untuk mengiringi pelajar . Menurut artikel ini lagi, bebanan guru
bertambah apabila guru terpaksa menggunakan wang ringgit sendiri
untuk mengiring pelajar. Situasi ini membebankan guru,tambahan pula
tidak ada kemudahan bayaran lebih masa dan tuntutan perbatuan yang
juga dicatu. Keadaan bertambah teruk apabila lebihan masa untuk
tugas rasmi tidak boleh diganti sebagai cuti rehat pada keesokan
harinya.
Dalam artikel lain bertajuk Tugas guru bertambah akibat banyak
arahan. Bertarikh 13 Ogos 2012 yang disiarkan dalam laman web
Berita Harian menyatakan NUTP mendedahkan guru menanggung
beban kerja berganda akibat wujunya arahan dalam arahan yang
mana mereka terpaksa melakukan tugasan dalam skop sama berulang
kali atas arahan pihak atasan pada peringkat berbeza.
Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata senario itu berlaku
apabila Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling yang
mengarahkan guru melaksanakan program tertentu, namun pada masa
sama mereka dikehendaki menjalankan lagi program seumpama atas
arahan pentadbiran pada peringkat jabatan pelajaran negeri (JPN) atau

pejabat pelajaran daerah (PPD), walaupun semua mengandungi


pengisian hampir sama. Keadaan ini menyebabkan berlakunya bukan
sekadar pembaziran tenaga guru malah masa dan menjejaskan
tanggungjawab mereka dalam pengajaran dan pembelajaran.

Seterusnya artikel ini juga mengetengahkan beban tugas guru


memberi kesan kepada kesihatan guru seterusnya memberi kesan
kepada proses pengajaran dan pembelajaran pelajar. Berdasarkan
artikel yang dipetik dari blog Utusan bertarikh 24/1/2008 menyatakan
bahawa Guru yang terlalu terbeban bidang tugasnya dan akibatnya
merasa tertekan akan memberi kesan negatif kepada mutu pendidikan
negara. Menurut NUTP lagi, ramai guru di Malaysia kini menghidap
penyakit barah payu dara, darah tinggi, sakit jantung, malah sedang
mendapat rawatan psikiatri kerana semakin tertekan akibat bebanan
tugas yang meningkat.

Bebanan yang melampau dengan pelbagai isu pelajar dan isu


berkaitan profession yang perlu dihadapi oleh guru seperti masalah
disiplin pelajar, kekurangan guru, kekurangan bilik darjah, konflik
peranan, kekaburan peranan boleh menambahkan tekanan guru dan
boleh menyebabkan guru mengambil keputusan untuk berhenti atau
bersara awal dari dunia pendidikan.Jika, situasi ini berlarutan dunia
pendidikan akan kekurangan tenaga-tenaga kerja yang berpengalaman
dalam dunia pendidikan. Bukankah ini suatu fenomena yang merugikan
dan memberi impak yang negatif kepada pendidikan negara?
Selain itu, bebanan tugas yang melampau juga boleh kualiti kerja
guru berkurang kerana tidak dapat memberi fokus pada tugasan yang
diberikan dengan baik. Tidak dinafikan ada guru yang mampu
memberikan kualiti yang baik walaupun dibebani dengan pelbagai
tugasan. Namun, hanya segelintir sahaja guru yang mampu melakukan
pelbagai tugas dengan baik dalam satu tempoh masa.
Penulis menutup artikel ini dengan memberi keyakinan kepada
pembaca bahawa kerajaan akan mengambil kira kebajikan guru
sebelum sistem kerja sembilan jam ini dilaksanakan si seluruh sekolah
di Malaysia. Bukanlah sesuatu yang senang melaksanakan sesuatu
sistem yang baru atau mengubah sistem yang sedia ada, memerlukan
pengkajian yang teliti dan pandangan dari pelbagai pihak dan kerajaan
khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia sudah pasti akan
melaksanakan kajian dengan teliti dan mengambil kira pandang dari

pelbagai pihak dan kesannya kepada individu yang terlibat dalam


pendidikan iaitu guru dan pelajar.
Walaubagaimanapun, menurut laporan terbaru Berita Harian
bertarikh 25/8/2012 yang bertajuk Batal Kerja 9 jam oleh Veena
Rusli melaporkan Tan Sri Muhyidin Yassin telah membatalkan program
rintis ini dan tindakan ini telah melegakan hampir 5000 orang guru
yang dijangka terlibat sekiranya program ini dilaksanakan. Keadaan ini
menunjukkan pihak kementerian mengambil kira pandangan dan suara
rakyat.Malah, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa Saya
tegaskan kita tidak harus bebankan guru kerana profesion perguruan
ada keistimewaan dan berbeza dengan perkhidmatan awam lain.
Cadangan sistem kerja sembilan jam merupakan antara langkahlangkah yang cuba diambil untuk menangani Isu Beban tugas guru
yang ditimbulkan oleh NUTP kepada Y.A.B Timbalan Perdana Menteri
Pelajaran Malaysia, merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri
Muhyiddin bin Haji Mohamad. Yassin pada 30 Mac 2010. Isu ini telah
mendapat perhatian yang sewajarnya dari kementerian hal ini terbukti
apabila, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menubuhkan satu
Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru (JKMIBTG) yang
telah dipengerusikan oleh YBhg Tan Sri Dato Haji Alimuddin bin Haji
Mohd Dom, merangkap Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.
Jawatankuasa ini ditubuhkan bertujuan untuk menyenaraikan tugas dan
tanggungjawab guru, mengenalpasti faktor yang menyebabkan beban
tugas guru bertambah dan mencadangkan tindakan bagi menangani
isu yang telah ditimbulkan ini.
Jawatankuasa ini telah berjaya mengenalpasti 14 faktor yang
menyumbang kepada isu beban tugas guru dan JKMIBTG juga telah
mencadangkan 28 perakuan atau langkah-langkah bagi menangani isu
ini. Hasil daripada perakuan yang telah dikenalpasti dapat menangani
masalah ini, satu jawatankuasa baru telah ditubuh iaitu Jawatankuasa
Pelaksana Bagi Menangani Isu Beban Tugas Guru (JKPMIBTG) bagi
memastikan perakuan ini dapat direalisasikan. Jawatankuasa ini akan
bermesyuarat sebulan sekali untuk menyemak status perlaksanaan
perakuan yang telah diambil tindakan.
JKMIBTG juga telah melaksanakan kajian dan hasil dapatan awal
kajian telah mengenalpasti beberapa cadangan yang dapat menangani
masalah ini iaitu ujian amali diadakan sekali sahaja semasa
peperiksaan, kecilkan saiz kelas, tambah bilangan guru, mewujudkan
jawatan pembantu bengkel, mengurangkan waktu mengajar, adil dalam
agihan tugasan, mengutamakan kebajikan guru, menyediakan
kemudahan yang sesuai mengikut spesifikasi penjawat awam yang lain,

mengurangkan aktiviti hari Sabtu, menjadikan Cuti rehat Khas hak


Guru, mewujudkan jawatan khas kokurikulum, meningkatkan kerjasama
komuniti dan mewujudkan jawatan pembantu guru untuk kerja-kerja
pentadbiran. Hasil daripada kajian tindakan yang dilaksanakan oleh
JKMIBTG satu cadangan tindakan segera untuk menangani masalah
beban tugas guru iaitu dengan mengeluarkan surat siaran untuk
bertugas pada hari Sabtu mesti jelas sama ada : hari sabtu minggu 1
dan 3 atau hari Sabtu minggu 2 dan 4.
Beberapa perakauan yang telah diambil tindakan ialah perlaksanaan
aktiviti pada hari Sabtu, Penyediaan Garis Panduan Penggabungan
Jawatankuasa, permohonan KPM untuk menambah jawatan pembantu
tadbir, mengurangkan kekerapan guru keluar, membangunkan Pelan
Operasi Latihan, Kursus dalam perkhidmatan online diperkenalkam,
pemansuhan penilaian tahap kecekapan (PTK), dan KPM telah
memohon peruntukan keawangan bagi menampung keperluan khidmat
Kumpulan Guru Simpanan Kebangsaan dan Guru Sandaran tak Terlatih.
Berkaitan Isu Beban tugas guru yang diketengahkan oleh pihak NUTP
terdapat pelbagai pandangan oleh masyarakat terdapat individu yang
menyokong tentang isu ini diketengahkan oleh NUTP dan tidak gurang
juga yang tidak bersetuju. Malah, apa yang menarik terdapat individu
yang merupakan seorang guru tidak bersetuju isu ini diketengahkan.
Misalnya, dalam satu artikel Utusan Malaysia bertarikh 8/2/2011 yang
ditulis oleh Mokhtar Sabah yang merupakan seorang guru dari
Keningau, Sabah menyatakan bahawa guru sebenarnya tidak terbeban
dengan tugasan seharian guru, akan tetapi guru sendiri yang mencari
kerja luar yang menyebabkan mereka rasa terbeban dan tidak
cukupwaktu untu melaksanakan tugas hakiki mereka sebagai seorang
guru dengan baik. Beliau juga menyenaraikan kerja-kerja atau aktiviti
luar yang sering dilaksanakan oleh guru disekolah antaranya terlibat
dengan pelbagai aktiviti ekonomi, terlibat dengan aktiviti luar seperti
menyampaikan ceramah bagi ustaz ustaz sehingga mengabaikan
tugas hakiki mereka, sibuk dengan kejohanan sendiri bukan untuk
pelajar.
Sebenarnya pandangan penulis artikel ini lebih bersifat peribadi dan
pengalaman peribadi beliau.Kerana suasana disekolah berbeza antara
sesebuah sekolah dengan sekolah yang lain mengikut tahap sekolah
tersebut. Biasanya guru yang bertugas di sekolah seperti sekolah
kluster dan sekolah berprestasi tinggi menghadapi pelbagai beban
tugas dan lebih banyak aktiviti yang perlu diuruskan berbeza dengan
sekolah biasa yang tugas-tugas lebih mudah berbanding sekolah
bandar dan mempunyai prestasi tinggi.Berdasarkan artikel, didapati
penulis kemungkinan berpengalaman di sekolah-sekolah biasa yang

guru-guru diberi tugasan dan waktu mengajar seperti yang telah


ditetapkan yang tidak berlaku di sekolah-sekolah yang besar dan
mempunyai pencapaian yang cemerlang diperingkat masing-masing.
Berdasarkan pembacaan dari pelbagai sumber dan penulisan, guruguru memang dibebani dengan pelbagai tugasan.Namun, para guru
tetap bersabar dan cuba melaksanakan amanah yang diberikan dengan
sebaik mungkin demi kebaikan anak-bangsa.Namun, sekiranya
mengganggu tugas-tugas menyampaikan dan memberi ilmu kepada
pelajar, suatu tindakan yang tegas dan langkah yang segera perlu
diambil oleh Kementerian Pelajaran bagi mengelakkan masalah ini
berterusan yang akan memberi kesan kepada perkembangan pelajaran
murid.
Kesimpulannya, menyedari peranan guru yang amat besar dan
tugasan yang mencabar, para guru dan bakal guru seharusnya
bersedia mempersiapkan diri agar menjadi guru yang mempunyai daya
tahan yang tinggi dan tidak kalah dengan cabaran semasa.Memetik
sebahagian Falsafah Pendidikan Negara iaitu Pendidikan di Malaysia
adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi
potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan
insan yang seimbang dan
harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, guru juga
sebelum menjadi sebahagian dari kelompok warganegara yang
membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi dan rohani,
perlulah mendidik dan melatih diri sendiri mempunyai jasmani yang
sihat, emosi yang mantap, rohani yang utuh dan intelek yang sentiasa
kehadapan.

Anda mungkin juga menyukai