Anda di halaman 1dari 1

Syirik, Murtad, Nifaq & Fasiq

SYIRIK
Syirik bermakna mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain
daripada sifat uluhiyyahnya ( berhak disembah, dicintai, dipatuhi
perintahNya dan didoakan kepadaNya ) ataupun sifat rububiyyahnya
( menjadikan, mentadbir, dan menguruskan alam ).
Sesiapa yang menganggap mana-mana satu daripada sifat-sifat yang
tersebut itu ada pada selain daripada Allah, sesungguhnya dia telah
melakukan syirik dengan Allah walaupun dia pada masa itu masih
mengaku beriman dengan Allah.
Perkataan kufur juga mempunyai makna yang sama dengan syirik
walaupun terdapat di kalangan ulama yang membezakan di antara kufur
dengan syirik tetapi apabila dilihat kepada mafhumnya maka ianya
tidaklah mempunyai perbezaan yang boleh dianggap bahawa dua
perkataan itu mempunyai makna yang terlalu berlainan.

MURTAD
Murtad bermakna kembali setelah Islam. Ijma ulama menyatakan
bahawa seseorang Muslim yang ingkar kepada apa-apa yang telah
ditetapkan oleh Allah adalah murtad; iaitu kafir setelah Islam kecuali
jika dia benar-benar jahil. Tetapi sekiranya diberitahu dan ditegakkan
hujjah namun dia masih tetap dengan keingkarannya maka dia
dihukumkan dengan kufur dan murtad.
NIFAQ
Nifaq ialah sifat dan amalan yang dilahirkan oleh seseorang yang
berupa amalan dan sifat seorang Muslim pada zahirnya tetapi
hakikatnya dan juga apa yang ada di dalam hatinya tidak demikian.

Jika apa yang tersembunyi di hatinya itu berupa perasaan yang tidak
menafikan iman, maka tidaklah menjadi kufur. Sekiranya terdapat
perasaan yang menafikan iman walaupun lidahnya berikrar, maka dia
tidak beriman di sisi Allah. Tetapi di kalangan kita, dia adalah orang
Islam, bermuamalah dengannya sebagai seorang Islam selagi tidak lahir
kekufurannya.
Sesungguhnya Allah hanya memberitahu kepada kita tanda-tandanya
sahaja dan terserahlah kepada si munafiq itu untuk menyedari bahawa
sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala yang tersembunyi di
hatinya. Di dalam Al-Quran, Allah telah mendedahkan sifat-sifat orang
munafiq seperti berikut:
Dan di antara manusia ada yang mengatakan: Kami beriman kepada
Allah dan hari akhirat, padahal mereka bukanlah orang yang beriman.
Mereka hendak menipu Allah, padahal mereka menipu diri mereka
sendiri sedangkan mereka tidak sedar.

FASIQ
Fasiq pada umumnya ialah maksiat, meninggalkan perintah Allah, dan
keluar dari jalan yang dibenarkan. Di dalam Al-Quran, istilah fasiq ini
digunakan bagi menerangkan perbuatan-perbuatan tersebut:
1.

Maksiat kepada Allah dalam meninggalkan tauhid, maka ini adalah


syirik ( As-Sajadah:18 )
2. Maksiat kepada apa yang dibawa oleh Rasulullah saw, maka ini adalah
kufur ( At-Taubah:80 )
3. Maksiat kepada Deen tanpa syirik dan kufur ( Al-Maidah:25 )
Dikeluarkan oleh Syukbah Dakwah dan Pendidikan, Masjid Negeri Sabah.

Siri 34/06