Anda di halaman 1dari 5

Guru abai tanggungjawab calar imej profesion perguruan

Date: Tuesday, January 05 @ 05:20:21 MYT


Topic: onfire1
Guru abai tanggungjawab calar imej profesion perguruan
BEBERAPA persatuan guru mengakui wujud kes terpencil guru lebih mengutamakan 'kerja
luar' berbanding tugas hakiki mereka di sekolah kerana mengejar pendapatan lumayan.
Pada masa sama mereka mencadangkan guru terbabit sedar tanggungjawab dan amanah
diberikan, jika tidak pun terus melepaskan jawatan bagi menjaga nama baik profesion
keguruan dan masa depan anak didik.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, Loke Yim Pheng, berkata
tindakan segelintir guru yang lebih rajin mencari pendapatan tambahan itu umpama nila
setitik rosak susu sebelanga.
Ia boleh mencalarkan imej golongan pendidik kerana kebanyakan guru komited menjalankan
tanggungjawab masing-masing.
Tidak dinafikan, di kalangan lebih 300,000 guru seluruh negara ada kes terpencil guru
menjalankan kerja luar hingga hilang tumpuan terhadap tugas mengajar dan mereka ini perlu
ada kesedaran untuk keluar daripada profesion perguruan.
Hak guru mencari pendapatan tambahan tidak boleh disekat, malah ada membuktikan
mereka mampu mengimbangi tuntutan kedua-dua tanggungjawab dengan baik, katanya
kepada Berita Harian.
Buat masa ini, Loke berkata, memadai jika pentadbir sekolah diberi kuasa memantau dan
mengambil tindakan terhadap guru yang lebih mengutamakan kerja luar.
Mengenai cadangan pelaksanaan semula sijil kelayakan mengajar, katanya, ia memerlukan
kajian jangka panjang terutama dari aspek pelaksanaan dan perundangan.
bagaimanapun, Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia menyokong penuh cadangan
pewujudan semula pensijilan itu sebagai mekanisme mengembalikan guru kepada tugas
hakiki mereka iaitu mengajar.
Yang Dipertuanya, Ruslan Madon, berkata langkah itu membantu usaha pentadbir sekolah
memantau guru yang sibuk dengan kerja luar hingga mengganggu tugas mengajar.
Walaupun tiada halangan guru menjana pendapatan tambahan termasuk menerusi perniagaan
jualan langsung dan MLM, kita tidak menggalakkan mereka berbuat demikian jika gagal
memanfaatkan masa antara pengajaran dan kerja luar.
Jika ingin dilaksanakan, kami cadang ia diperbaharui tiga tahun sekali supaya tidak memberi

tekanan kepada pendidik dan membolehkan penilaian lebih adil serta menyeluruh
dilaksanakan, katanya.

Fokus: Angkara kerja luarOleh Rosniza Mohd Taha


yoniza@bharian.com.my
BPG cadang laksana semula sijil layak mengajar supaya guru utamakan P&P
WALAUPUN cuti sekolah akhir tahun masih berbaki tiga atau dua minggu, lazimnya
kebanyakan guru sudah pun kembali bertugas bagi menguruskan pelbagai persiapan
menghadapi sesi persekolahan baru.
Apabila persekolahan bermula, pelbagai tugas tambahan pula perlu dilakukan
golongan itu, selain tanggungjawab hakiki mereka iaitu mengajar.
Antaranya terpaksa melaksanakan pelbagai kerja pekeranian seperti merekod
maklumat murid, menerima yuran, pinjaman buku teks dan tidak kurang pula
menguruskan perkara berkaitan hingga peringkat pejabat pelajaran daerah serta
negeri.
Lambakan tugas tambahan itu antara faktor menjadikan profesion itu kini kian
mencabar dan tidak kurang pula menyifatkannya membebankan hingga kesatuan
menerima pelbagai aduan guru mengalami tekanan kerja.
Di sebalik pelbagai keluhan akibat kekangan tugas dan waktu itu, segelintir guru pula
dikatakan masih mempunyai masa untuk membuat kerja luar bagi menambah
pendapatan hingga ada antaranya melebihi gaji bulanan.
Pelbagai kerja luar dilakukan, antaranya membuka kelas tuisyen, menjalankan jualan
langsung, sistem perniagaan pemasaran pelbagai peringkat (MLM), mencetak buku dan
menceburi pelbagai peluang perniagaan lain.
Senario itu membimbangkan kerana dikhuatiri bukan saja mengganggu tumpuan guru
terhadap tugas hakiki, malah menjejaskan usaha kerajaan yang mahu golongan
pendidik mempunyai tahap pendidikan tertinggi.
Dengan minat berganda terhadap kerja luar berbanding berusaha melanjutkan
pelajaran ke peringkat lebih tinggi atau meningkatkan profesionalisme, mampukah
Kementerian Pelajaran mencapai sasaran 50 peratus guru sekolah rendah dan 100
peratus di sekolah menengah memiliki ijazah?
Sikap sesetengah guru yang lebih mementingkan kerja luar itu juga menimbulkan rasa
tidak puas hati di kalangan pendidik lain yang bersungguh-sungguh dan melakukan
pelbagai pengorbanan bagi meningkatkan kelayakan profesionalisme hingga peringkat
ijazah doktor falsafah (PhD).
Seorang guru sekolah rendah berkelulusan sarjana dari Rawang, Selangor, yang hanya
mahu dikenali sebagai Cikgu Ju, berkata beliau kecewa kerana tidak mendapat insentif
sewajarnya berbanding guru terbabit perniagaan jualan langsung.
Banyak pengorbanan dilakukan guru yang melanjutkan pengajian pasca siswazah

termasuk bertungkus-lumus belajar dengan separuh gaji, meninggalkan keluarga yang


disayangi, malah ada yang membuat pinjaman bank.
Segelintir guru malas menyambung pengajian bagi meningkatkan tahap akademik
mereka, sebaliknya lebih rajin menjalankan perniagaan jualan langsung atau MLM
yang turut menjejaskan tumpuan terhadap tugas.
Dengan pendapatan tambahan diperoleh, ada antara mereka yang hanya berjawatan
gred DGA29 tetapi mampu memiliki kereta mewah, sedangkan kami lulusan sarjana
dan PhD hanya terdaya memandu kereta buatan tempatan.
Malah gaji bersih selepas melunaskan pinjaman sekadar cukup menampung
perbelanjaan harian, katanya menerusi e-mel kepada Berita Harian.
Pada dasarnya, kementerian tidak menghalang guru menambah pendapatan menerusi
perniagaan atau sumber lain selagi ia tidak menjejas mutu dan kelancaran tugas hakiki
mereka iaitu mengajar.
Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Datuk Zulkifly Mohd Wazir,
bagaimanapun berkata kelonggaran itu diberikan tertakluk kepada syarat tertentu
termasuk mendapat kebenaran ketua jabatan dan dalam tempoh tertentu.
Sebagai contoh, katanya, guru mengajar di kelas tuisyen diberi tempoh empat jam
seminggu bagi memastikan mereka memberi tumpuan utama terhadap proses
pengajaran dan pembelajaran (p&p) di sekolah.
Beliau berkata, guru yang gagal mematuhi ketetapan itu boleh dikenakan tindakan
berdasarkan Pekeliling Am Jabatan Perkhidmatan Awam, bermula dengan amaran
hingga langkah terakhir dilucutkan jawatan jika berterusan gagal memberi komitmen
terhadap tugas hakiki.
Kementerian maklum sesetengah guru terbabit dalam perniagaan terutama jualan
langsung bertujuan menambah pendapatan, namun kebanyakannya tetap komited dan
mengutamakan tugas hakiki.
Dalam hal ini, pentadbir sekolah perlu memastikan guru terbabit mematuhi syarat
dan tidak teragak-agak mengambil tindakan jika mereka gagal mengikutinya atau
mutu perkhidmatan terjejas kerana sibuk menguruskan kerja luar, katanya.
Dalam perkembangan sama, Bahagian Pendidikan Guru (BPG) pula kini meneliti
pelaksanaan semula sijil layak mengajar sebagai instrumen bagi memastikan hanya
pendidik benar-benar komited kekal dalam profesion keguruan.
Pengarahnya, Dr Khair Mohamad Yusof, ketika ditemui berkata pensijilan itu
sebahagian cadangan dalam rangka hala tuju baru BPG yang dibentangkan pada
Seminar Pendidikan Guru di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Katanya, menerusi pensijilan itu, keupayaan guru dinilai dalam empat aspek, iaitu
p&p, pengurusan kelas, hubungan dengan masyarakat serta profesionalisme.

Sambil menjelaskan cadangan itu masih di peringkat kajian awal dan akan mengambil
kira pandangan umum, beliau berkata, guru yang memenuhi keperluan pensijilan itu
akan dianugerahkan sijil layak mengajar untuk tempoh tertentu dan perlu
diperbaharui secara berterusan.
Pensijilan guru pernah dilaksana sebelum ini, dikenali sebagai lesen mengajar dan
BPG bercadang mewujudkannya semula bagi memastikan guru benar-benar
menumpukan kepada p&p serta pembangunan profesionalisme secara berterusan.
Menjadi kebimbangan apabila wujud kecenderungan sesetengah guru melakukan
kerja yang terkeluar dari tugas utama p&p terutama jualan langsung dan MLM hingga
menjadi budaya di sesetengah sekolah dan boleh menyebabkan perkhidmatan mereka
terjejas.
Jika pelaksanaan semula pensijilan ini diluluskan, ia membolehkan kita secara
perlahan-lahan meminggirkan golongan yang tidak mempunyai jiwa pendidik daripada
sistem pendidikan negara, katanya.

Bahan ini disalin daripada Berita Harian, 04/01/2010. Harap maklum.


Nota daripada tingkir8 :
Kes-kes terpencil guru-guru sebegini sepatutnya tidak dihebahkan dalam surat khabar
kerana sebenarnya kalau kita mahu meninggikan darjat profesion keguruan, perkaraperkara kurang enak sebegini lebih manis diselesaikan secara tertutup kerana
membuka pekung di dada hanya akan menyebabkan kerjaya keguruan dipandang
serong, sering disangsikan keikhlasannya hanya kerana beberapa titis 'nila'. Kalau
dikatakan bahawa apa yang dikeluarkan hanya untuk memberi peringatan atau
pengajaran ataupun tauladan kepada guru-guru yang lain, motivasi negatif sebegini
bukanlah cara yang terbaik. Bagaimana semangat dan motivasi guru mahu meningkat
kalau disajikan cerita-cerita negatif saban minggu, bulan dan tahun? Sepatutnya
ceritakan betapa hebatnya profesion keguruan dan usah memberi fokus kepada 'sisi
gelap'. Ambil contoh, jika ada dua orang anak, seorang elok budi pekertinya dan
seorang lagi kurang warasnya, adakah membuat perbandingan dan menyebutnya di
hadapan kedua-dua anak tadi tentang sifat kurang waras salah seorang daripada
mereka itu jalan terbaik mendidik anak-anak? Apa yang cuba ditunjukkan? Bahkan
dalam Islam sendiri, membuka keaiban seseorang ialah perkara yang sangat dilarang.
Kalau dikatakan ambil iktibar dari kisah buruk ini dan berfikiran secara positif,maka
pihak yang ada cerita kurang enak tentang guru ini juga perlu berfikiran
positif.Ceritalah yang baik-baik tentang guru, baru akan menyemai rasa hormat
terhadap guru. Pihak-pihak yang berkaitan profesion keguruan sepatutnya lebih
memusatkan tumpuan mereka terhadap usaha memantapkan profesion ini hingga
berjaya memantapkan kembali budaya 'hormat guru' yang pernah ada dan menebal
dalam masyarakat kita suatu waktu dulu dan duduk berfikir tentang kaedah
memantapkan method pengajaran pembelajaran, duduk berfikir tentang cara
meningkatkan sahsiah murid dan cari kaedah pembelajaran terbaik dengan hasil
maksimum, misalnya pemantapan teknik belajar dan penguasaan ilmu, fikirkan juga
kenapa ada murid tahun dua(murid normal) yang masih buta huruf atau berfikir

sedalam-dalamnya kenapa ada perbezaan yang begitu ketara bagi pencapaian sekolah
kebangsaan dengan sekolah yang lain kerana berdasarkan pemerhatian kami,
kadangkala kita lebih mementingkan perkara ranting daripada perkara pokok.Contoh
yang paling tepat ialah kadangkala ada terlalu banyak program yang dibuat untuk
menyelesaikan masalah pembelajaran murid sedangkan kalau kita berfikir lebih dalam,
masalah pembelajaran itu tidak timbul jika guru diberikan peluang menjadi guru yang
betul-betul guru(mengabdikan seluruh masanya setiap hari bersama murid-murid,
macam dulu-dulu)kerana tugas hakiki guru ialah mengajar. Kita timbulkan masalah
kemudian kita buat program untuk selesaikan masalah yang kita timbulkan itu.Kita
patahkan kaki ayam, kemudian kita bersusah payah carikan ubat di segenap pelusuk
negeri untuk merawat kaki yang patah itu sedangkan kalau kita tidak 'patahkan' kaki
itu tadi, kita tidak perlu pun cari ubat untuk merawatnya. Aneh bukan ? KEPADA
SEMUA RAKAN GURU DI SELURUH DUNIA, AYUH JANGAN PATAH
SEMANGAT.SEMATKAN DALAM HATI ANDA SEMUA "KITALAH PENDAKI
ULUNG MEMETIK KUNTUM GUNAWAN DI PUNCAK MAKRAMAT" PANDANG
TERUS KE HADAPAN KERANA KERJAYA MENCABAR INI MEMERLUKAN
ANDA SENTIASA BERFIKIRAN POSITIF, TABAH DAN SABAR SERTA
TETAPKAN MATLAMAT ANDA SEBAGAI KALAM PENGUKIR CITA DAN JAYA
DI DIARI ANAK-ANAK YANG DAMBA KE MERCU.

Anda mungkin juga menyukai