Anda di halaman 1dari 5

1.

TUJUAN PENILAIAN
Pengujian dan penilaian dalam pengajaran dan pembelajaran adalah sama

pentingnya dengan proses pengajaran dan pembelajaran itu sendiri. Matlamat


utama penilaian ialah untuk memperbaiki pengajaran dan pembelajaran. Sekiranya
ditinjau dari aspek yang lebih luas, penilaian yang dijalankan memberi manfaat
besar kepada guru, pelajar dan ibu bapa, malah kepada pihak sekolah serta
Kementerian Pelajaran sendiri.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, hasil penilaian yang dijalankan dapat
dijadikan asas kepada guru untuk membuat keputusan berhubung dengan aktiviti
pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Sepanjang guru mengajar, beliau
akan menggunakan maklumat yang diperoleh bagi membuat keputusan untuk
meningkatkan keberkesanan pengajaran guru dan pembelajaran pelajar. Tujuan
atau kepentingan penilaian dalam pendidikan khususnya dalam bilik darjah,
dijelaskan berasaskan beberapa tujuan seperti membuat diagnosis, melihat
pencapaian, membuat pemilihan dan menempatkan serta memberikan bimbingan
dan kaunseling kepada pelajar.
1.1 Diagnosis
Penilaian yang dijalankan oleh guru dalam bilik darjah akan dapat
memberikan maklum balas kepada guru tentang tahap penguasaan pelajar terhadap
pengetahuan dan kemahiran yang telah diajar. Selain itu, penilaian ini juga dapat
memberi maklum balas tentang masalah yang dihadapi pelajar dalam pembelajaran.
Dengan itu, guru dapat mengenal pasti kemajuan seseorang pelajar, sama ada pada
tahap yang sangat memuaskan, memuaskan, sederhana, lemah atau tidak ada
sebarang kemajuan langsung. Daripada penilaian yang dijalankan juga, guru dapat
mengenal pasti pelajar yang cepat/cergas, yang memerlukan aktiviti pengayaan dan
pelajar yang lemah yang memerlukan aktiviti pemulihan. Guru juga perlu membuat
keputusan sama ada untuk mengubah strategi pengajaran, supaya ia lebih
bersesuaian dengan keperluan pelajar atau mengulang pelajaran dengan
menggunakan strategi yang sama dan sebagainya.
Penilaian yang dijalankan sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran
akan memperlihatkan kemajuan pelajar dalam jangka masa tertentu. Pengesanan
1

kemajuan pelajar secara berterusan ini akan memberi maklum balas kepada guru
tentang masalah yang dihadapi pelajar. Adakah pelajar mempunyai masalah dalam
mempelajari dan menguasai pengetahuan dan kemahiran yang telah diajar?
Sekiranya pelajar menghadapi masalah, guru akan menyelidik punca masalah
tersebut. Maklumat berkenaan akan digunakan guru untuk mengubah pendekatan
pengajaran atau menyediakan latihan yang khusus supaya masalah yang dihadapi
pelajar dapat diatasi. Tanpa bantuan khas ini, pelajar-pelajar akan terus menghadapi
masalah dan akibatnya mereka akan terus ketinggalan dalam pembelajaran.
1.2 Pencapaian
Penilaian yang dijalankan pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran
dapat memberikan maklumat tentang tahap penguasaan para pelajar terhadap
pengetahuan, kemahiran dan sikap yang ingin disampaikan guru. Selain itu,
penilaian yang dijalankan pada akhir tempoh pengajian; misalnya pada akhir Tahun
6 (UPSR), Tingkatan 3 (PMR) dan Tingkatan 5 (SPM); adalah bertujuan untuk
menentukan gred pencapaian para pelajar secara keseluruhan. Penilaian pada
peringkat ini lebih bercorak formal dengan tujuan akhirnya untuk memberi sijil
kepada pelajar.
Hasil penilaian ini akan menunjukkan pencapaian akademik pelajar
mengikut gred yang diberikan, seperti cemerlang, sederhana atau gagal. Pihak
sekolah akan dapat menentukan keupayaan keseluruhan seseorang pelajar
berdasarkan pencapaian yang ditunjukkan dalam peperiksaan yang diduduki untuk
tindakan selanjutnya, seperti pemilihan dan penempatan.
1.3 Pemilihan dan Penempatan
Penilaian adalah penting sebelum pengajaran dan pembelajaran bermula
kerana guru perlu meninjau sejauh manakah pelajar-pelajarnya menguasai
pengetahuan dan kemahiran asas kepada tajuk yang hendak diajar. Misalnya,
seseorang guru Bahasa Melayu yang akan mengajar pelajar bukan penutur asli
bahasa Melayu, perlu mengetahui aspek pengetahuan dan kemahiran manakah
yang telah mereka kuasai, seperti tatabahasa, perbendaharaan kata dan
sebagainya. Maklumat ini penting untuk guru membuat keputusan dalam
menentukan peringkat yang bersesuaian untuk memulakan pengajaran.
2

Selain itu, guru juga dapat memilih pelajar untuk dikelompokkan dalam
sesuatu kumpulan berasaskan tahap penguasaan mereka. Sekiranya penguasaan
mereka berbeza, guru perlu menempatkan mereka mengikut tahap penguasaan
masing-masing dan seterusnya merancang dan melaksanakan pengajaran mengikut
keperluan mereka yang berbeza-beza itu.
Dalam keadaan ini, tujuan penilaian ialah untuk memilih dan menempatkan
pelajar mengikut penguasaan pengetahuan dan kemahiran mereka. Selain
memulakan sesi pengajaran, tujuan penilaian juga ialah untuk memilih dan
menempatkan pelajar mengikut aliran tertentu. Misalnya, keputusan pelajar yang
cemerlang dalam mata pelajaran sains memungkinkan ditempatkan dalam aliran
sains atau mengikut kecenderungan seseorang murid berkenaan.
1.4 Bimbingan dan Kaunseling
Penilaian juga dapat digunakan untuk tujuan bimbingan dan kaunseling
kepada pelajar yang memerlukannya. Setiap pelajar sepatutnya mempunyai
motivasi untuk belajar dan ia mungkin bersifat intrinsik/dalaman, iaitu motivasi
daripada dalam diri pelajar itu sendiri. Contohnya, mereka yang belajar disebabkan
ingin mengetahui sesuatu dengan mendalam, akan memperoleh pencapaian yang
baik dan seterusnya akan dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih
tinggi. Selain motivasi yang bersifat intrinsik ini, terdapat pula motivasi yang bersifat
ekstrinsik/luaran, iaitu motivasi daripada luar, seperti dorongan daripada ibu
bapa/rakan sebaya atau nasihat daripada guru/guru besar.
Penilaian ini yang dijalankan dari masa ke masa dapat meningkatkan
motivasi pelajar untuk belajar dengan lebih gigih supaya memperoleh pencapaian
akademik yang lebih baik. Pelajar yang mendapat keputusan cemerlang akan terus
berusaha untuk mengekalkan pencapaian mereka dengan semangat yang tinggi.
Sebaliknya, pelajar-pelajar yang lemah akan dapat mengenal pasti kelemahan
mereka dan seterusnya dapat memperbaiki kelemahan tersebut. Malah, maklumat
tentang kelemahan pelajar dapat membantu guru untuk memberi bimbingan, tunjuk
ajar atau kaunseling untuk menangani masalah mereka dengan cara yang lebih
berkesan.

1.5 Tujuan Penilaian Yang Lain


Penilaian juga penting dalam menentukan kesediaan pelajar untuk
mempelajari sesuatu kemahiran baru. Penilaian ini dijalankan guru sebelum
memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran, yang dibuat melalui pemerhatian ke
atas keadaan fizikal pelajar, seperti tangan, mata, jari-jemari dan penumpuan pelajar
kepada guru. Daripada maklumat yang diperoleh, guru boleh menelah tahap
kesediaan pelajar untuk menerima pengajaran atau sebaliknya. Memulakan
pengajaran mengikut kesediaan pelajar adalah amat penting untuk memastikan
pelajar mempunyai keyakinan dan keupayaan asas untuk mengikuti sesi pengajaran
dan seterusnya memudahkan mereka menguasai kemahiran yang hendak diajar.
Hasil penilaian juga dapat memberikan input kepada guru tentang
keberkesanan pengajarannya. Melalui maklum balas yang ditunjukkan oleh pelajar,
guru dapat menilai sama ada pengajarannya berkesan atau sebaliknya. Sekiranya,
rata-rata pelajar tidak dapat menguasai sesuatu yang diajar; maka jelas
menunjukkan strategi pengajarannya kurang berkesan, yang memerlukan
pengubahsuaian segera bagi memperbetulkan keadaan.
Bagi pelajar pula, maklumat penilaian ini dapat menunjukkan tahap
penguasaan mereka terhadap sesuatu tajuk pelajaran. Seandainya mereka lemah
dalam sesuatu tajuk, mereka akan mengetahuinya dan dengan sendiri mereka akan
memberi tumpuan kepada perkara yang mereka kurang kuasai.
Seterusnya bagi ibu bapa, penilaian guru dapat memberikan maklum balas
tentang kemajuan dan pencapaian anak-anak mereka dalam semua mata pelajaran
dan juga dalam aspek sahsiah. Ibu bapa dapat mengambil tindakan sewajarnya,
seperti memberikan tumpuan yang lebih atau menghantar anak-anak mereka ke
kelas tuisyen dengan harapan pencapaian anak-anak mereka akan meningkat.

Selain itu, penilaian juga dapat memberikan maklumat yang jelas kepada
pihak penggubal dasar, khususnya penggubal kurikulum Kementerian Pelajaran
Malaysia, tentang kurikulum yang digunakan di sekolah-sekolah. Pihak Kementerian
mendapat maklum balas yang tepat tentang pencapaian objektif sukatan pelajaran,
sama ada telah dapat dicapai dengan jaya atau sebaliknya. Sekiranya maklum balas
yang diperoleh tersebut menunjukkan terdapat kekurangan yang ketara dalam
mencapai objektif tertentu, maka pengubahsuaian sukatan pelajaran serta
pendekatan pengajaran dan pembelajaran boleh dilakukan.