Anda di halaman 1dari 6

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI PENDERAAN KANAK-KANAK

Dalam meniti kehidupan pada marcapada ini,gejala pembuangan bayi dan penderaan
kanak-kanak amat berleluasa di negara kita, Malaysia. Namun,gejala-gejala tersebut bukan
lagi isu yang hangat lagi kerana telah menjadi kebiasaan bagi rakyat negara ini. Hampir setiap
hari media massa memaparkan berita yang berkaitan dengan gejala pembuangan bayi dan
penderaan kanak-kanak,tidak ketinggalan juga di corong-corong radio tempatan yang juga
sering menyampaikan masalah-masalah tersebut. Namun, golongan yang tidak
bertanggungjawab tersebut masih tidak mempunyai kesedaran serta perasaan malu apabila
berita-berita sedemikian disebarkan sehingga setiap lapisan masyarakat menyaksikan
perbuatan kejam yang telah mereka lakukan ke atas golongan yang tidak berdosa ini.
Walaupun mereka telah ditangkap dan dipenjarakan sehingga terdapat kes yang membawa
mereka untuk dijatuhkan hukuman sampai mati. Hal ini jelas menunjukkan hanya manusia
yang tidak mempunyai nilai moral yang boleh bertindak kejam seperti binatang yang tidak
mempunyai akal fikiran seperti manusia.Bak kata pepatah janganlah sudah terhantuk baru
tergadah.
Pelbagai pihak telah bersinergi untuk menangani masalah tersebut daripada berlaku,
namun tetap menghampakan kerana tidak begitu efektif. Hal ini terbukti apabila gejala
pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak semakin meningkat dari hari ke hari sehingga
tahap yang kritikal. Bagi membendung masalah-masalah seperti ini daripada terus menular
dalam kalangan golongan yang tidak bertanggungjawab ini, masyarakat sendiri haruslah
memainkan peranan mereka untuk membantu mengatasi gejala-gejala tersebut. Masyarakat
haruslah membuang sikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing
dengan mementingkan diri sendiri sehingga mengabaikan keadaan di sekeliling mereka. Oleh
sebab itu, masyarakat haruslah menanamkan sikap jaga tepi kain orang untuk mengetahui
apa yang telah berlaku di sekeliling mereka terutamanya dalam usaha membendung gejalagejala sosial tersebut daripada berlaku dalam kalangan remaja ataupun muda-mudi pada
zaman moden ini. Sementelahan pula, masyarakat haruslah mempunyai semangat kejiranan
yang tinggi. Hal ini amat penting bagi mereka untuk saling mengambil berat serta
mengeratkan lagi hubungan silaturahim.Tambahan pula, perpaduan antara masyarakat dapat
dikukuhkan lagi. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu membanteras gejala sosial
daripada berlaku kerana adanya semangat bersatu-padu dalam kalangan masyarakat.
Selain itu,masyarakat juga haruslah memainkan peranan mereka dalam mendidik anakanak mereka sejak dari kecil lagi. Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Hal ini amat penting bagi mendidik anak-anak mereka dari kecil supaya dapat membezakan
antara kebaikkan dan keburukkan dalam melakukan sesuatu tindakan. Hal ini penting bagi ibu
bapa untuk memainkan peranan mereka. Bagi sesiapa yang bergelar ibu dan bapa kapada
anak-anak mereka, wajarlah mereka bersikap tegas terhadap anak-anak supaya mereka
mempunyai tahap disiplin yang tinggi serta rasa hormat dan taat kepada orang tua tersemai
dalam diri mereka. Ibu bapa haruslah memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dalam
pergaulan sosial yang melampau seperti pergaulan bebas daripada berlaku. Justeru, ibu bapa
memainkan peranan yang penting dalam mengawal segala aktiviti harian anak-anak mereka

dengan lebih ketat. Di samping itu, ibu bapa sendiri haruslah menjadi teladan yang baik
kepada anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana remaja mudah terpengaruh dengan faktor
persekitarannya. Bak kata pepatah bagaimana acuan begitulah kuihnya. Oleh sebab hal
yang demikian, ibu bapa haruslah mempunyai pendidikan keagamaan yang kukuh supaya
dapat disemaikan dalam diri anak-anak mereka. Pendidikan keagamaan merupakan satu
langkah yang terbaik dalam mencegah segala perbuatan negatif yang menyumbang kepada
gejala pembuangan bayi aakibat pergaulan seks bebas dalam kalangan golongan yang tidak
bermoral ini.
Dalam usaha membanteras kes penderaan kanak-kanak daripada berlaku,peranan
masyarakat haruslah diutamakan. Masyarakat haruslah sentiasa peka dengan keadaan di
sekelilingnya. Jika mendapati terdapat salah seorang jiran yang melakukan penderaan
terhadap anak-anak, mereka haruslah segera melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis
secepat yang mungkin tanpa mempedulikan ancaman daripada jiran mereka. Selain itu,
pengawalan keselamatan di sekeliling kediaman penduduk haruslah diperketatkan. Hal ini
amatlah penting bagi memastikan tidak ada seorang pun yang berani membuang bayi secara
sesuka hati serta dapat memastikan kanak-kanak mendapatkan perlindungan daripada didera
serta disakiti oleh mana-mana pihak yang tidak bermoral itu. Dalam usaha ini, penduduk
setempat sendiri haruslah melakukan rondaan secara bergilir-gilir untuk memastikan tiada
sebarang kejadian yang tidak diingini serta mencurigakan daripada berlaku.
Akhir sekali, masyarakat haruslah menanamkan nilai-nilai murni dalam kehidupan
seharian serta amalkan gaya hidup sihat. Masyarakat juga haruslah mempunyai kesedaran
yang tinggi tentang natijahnya jika terlibat dengan gejala-gejala negatif seperti gejala
pembuangan bayi akibat perhubungan yang terlanjur dan tidak ingin mempunyai anak haram
serta dipandang hina oleh orang lain sehingga menemui jalan buntu iaitu membuang bayi
yang tidak berdosa tersebut di merata-rata tempat. Sebaliknya masyarakat haruslah
melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah yang telah dianjurkan oleh pihak
kerajaan mahupun swasta seperti Kempen Membanteras Gejala Pembuangan Bayi. Hal ini
dapat mendedahkan natijah yang akan diperoleh seandainya terjerumus dengan perbuatan
negatif tersebut. Dengan adanya kesedaran yang tinggi, masyarakat secara automatik akan
menjauhkan diri daripada terlibat dengan sebarang gejala sosial. Hal ini akan menurunkan
kadar gejala pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak.
Sebagai intihanya, masyarakat haruslah bersinergi dengan pelbagai pihak dalam usaha
menangani gejala pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak daripada berlaku serta
mencari resolusi hingga ke akar umbi supaya gejala buruk ini dapat dibanteras dan dihalang
daripada terus membelenggu setiap lapisan masyarakat di negara ini. Bak kata pepatah sikap
bagai aur dengan tebing haruslah diamalkan antara satu sama lain. Hal ini penting bagi
menjadikan negara kita bebas daripada gejala buruk supaya pembangunan negara tidak
terjejas disebabkan oleh segelintir masyarakat yang tidak bermoral ini. Tambahan pula,
matlamat negara untuk mencapai Wawasan 2020 akan direalisasikan serta imej negara
dipandang tinggi di mata dunia.

PUNCA-PUNCA PENDERAAN KANAK-KANAK

Memang tidak dapat dinafikan bahawa kanak-kanak itu seperti kain putih. Dia
dilahirkan dalam keadaan bersih dan tidak berdosa, dan kedua-dua ibu bapa merupakan pihak
yang bertanggungjawab untuk mencorakkan kain putih tersebut. Ini menunjukkan peranan ibu
bapa yang begitu afdal dalam menentukan anak yang dilahirkan menjadi insan yang
sempurna. Si anak perlulah diberi kasih sayang yang secukupnya. mereka haruslah dibelai,
didodoi, dan diberi segenap perhatian. Walau bagaimanapun, apa yang berlaku, harapkan
pagar dan pagar makan padi. Pada hakikatnya, kenyataan ini mempunyai kebenarannya. Ini
telah terbukti apabila sesetengah ibu bapa terlibat dalam penderaan kanak-kanak. Jika diselak
dada akhbar sesekali kita akan digemparkan dengan berita penderaan kanak-kanak yang
dipaparkan di dada akhbar. Mengapakah fenomena negatif ini akan berlaku? Adakah ibu bapa
telah melupakan tanggungjawab mereka dalam mencorakkan kain putih tersebut? Kita semua
haruslah mengkaji masalah ini secara mendalam dan berusaha dengan giat bagi mengatasi
masalah yang semakin kronik dan melarat ini dengan konsep jika tiada angin yang bertiup
masakan pokok akan bergoyang dan dengan keyakinan bahawa setiap penyakit pasti ada
penawarnya.
Salah satu punca berlakunya fenomena negatif ini adalah kerana masalah dalaman
sesebuah keluarga. Kajian menunjukkan penderaan sering dilakukan oleh orang yang
berdekatan atau mempunyai pertalian darah dengan anak-anak yang menjadi mangsa.
Contohnya, pihak yang biasanya menjadi titik permulaan kepada penderaan kanak-kanak
termasuklah ibu bapa, ayah dan ibu tiri, ataupun ibu dan bapa saudara. Dalam banyak kes,
penderaan dilakukan oleh ibu bapa yang menghadapi konflik kekeluargaan seperti hubungan
yang rapuh antara suami dan isteri akibat daripada campur tangan pihak ketiga. Apabila
keadaan ini berlaku, produktiviti terhadap kerja ibu bapa tentulah akan merosot. Mereka
seterusnya akan diberi tekanan oleh majikan supaya meningkatkan produktiviti. Kalau tidak,
ibu bapa akan menghadapi risiko untuk dipecat oleh majikan. Dalam perjalanan pulang ke
rumah pula, ibu bapa terpaksa menghadapi masalah kesesakan jalan raya yang akan
menambahkan ketegangan mereka. Apabila sampai di rumah pula, ibu bapa terpaksa
menghadapi karenah anak-anak yang selalunya menginginkan perhatian dan kasih sayang
daripada ibu bapa. Semua masalah yang bertali arus ini amat menekan perasaan. Keadaan ini
menjadi lebih serius apabila ditambah pula dengan kenaikan harga minyak belakangan ini
yang menyebabkan kos kehidupan semakin tinggi. Apabila tertekan, ibu bapa pula akan
menjadikan anak-anak sebagai tempat melepaskan geram dan anak-anak itu didera.
Selain itu, sejarah hitam ibu bapa pada masa kecil juga menjadi satu punca berlakunya
penderaan kanak-kanak. Kajian menunjukkan bahawa penderaan kanak-kanak sering
dilakukan oleh orang yang pernah menjadi mangsa penderaan semasa mereka dalam alam
kanak-kanak dahulu. Keadaan ini berlaku kerana ibu bapa beranggapan bahawa mereka
pernah menjadi mangsa penderaan dan anak-anak mereka pun patut mengalami kesakitan dan
penderitaan yang pernah dialami oleh mereka. Biasanya, keadaan ini akan berlaku kerana ibu
bapa mengalami penyakit mental dan mempunyai emosi yang tidak stabil. Penderaan yang
berterusan pada peringkat umur yang rendah sememangnya akan meninggalkan kesan trauma

yang mendalam dalam jiwa anak-anak. Di samping itu, ibu bapa juga berpendapat mereka
dapat memuaskan diri dari segi psikologi apabila mendera anak-anak. Semua ini telah
menyebabkan titik permulaan di mana si anak akan dimarahi, ditengking dan tidak dihiraukan
ataupun dipedulikan. Keadaan ini akan menjadi lebih kronik apabila ibu dan bapa
mengamalkan salah guna bahan berbahaya seperti dadah dan minuman keras untuk mencari
ketenangan. Apabila ibu bapa berada dalam keadaan mabuk akibat meminum minuman
beralkohol atau berkhayal akibat penyalahgunaan dadah , mereka tidak akan menyedari akan
pembuatan mereka sendiri apabila mendera anak-anak mereka. Anak merupakan anugerah
tuhan yang tidak ternilai harganya. Adalah menjadi tanggungjawab setiap insan menjaga dan
membimbing anak tersebut ke arah yang benar.
Selain itu, kesempitan hidup yang dihadapi oleh sesebuah keluarga juga menjadi antara
faktor berlakunya penderaan kanak-kanak. Ini kerana ibu bapa tidak mampu menanggung
perbelanjaan membesarkan si anak dan terpaksa menyerahkan anak kepada orang lain,
misalnya saudara terdekat untuk menjaga dan membesarkannya dengan janji akan
memberikan kadar upah wang yang tertentu pada setiap bulan. Maka, saudara tersebut pula
berjanji untuk menjaga si anak dengan harapan akan mendapat upah wang seperti yang
dijanjikan pada setiap bulan. Walau bagaimanapun, apabila ibu bapa gagal untuk memberi
upah wang seperti yang dijanjikan, maka saudara yang tidak memberi pertimbangan pula akan
menyebabkan si anak menghadapi akibatnya. Kadang-kala, penjaga akan memukul si anak
dengan tali pinggang, mencucuk si anak dengan puntung rokok ataupun membiarkan si anak
dalam keadaan kelaparan. Yang menyedihkan lagi , terdapat sesetengah penjaga akan
mengejutkan masyarakat apabila si anak tersebut dianiaya melalui keganasan seksual. Apabila
si anak bertemu dengan ibu bapa semula, ibu bapa yang prihatin akan mendapati bahawa
tubuh si anak menjadi lebam dan lemah dan seterusnya akan melaporkan kejadian ini kepada
pihak polis. Walau bagaimanapun, sesetengah ibu bapa pula tidak mempedulikan hal ini
kerana tidak mahu menjejaskan hubungan kekeluargaan antara mereka dengan saudara
mereka.
Di samping itu, kurangnya pendidikan agama dalam kalangan pasangan suami isteri
juga merupakan antara penyebab masalah penderaan kanak-kanak. Memang tidak dapat
dinafikan bahawa kebanyakan ibu bapa ada memperoleh didikan agama. Walau
bagaimanapun, tidak ramai dala kalangan ibu bapa yang mengamalkan ajaran agama mereka.
Keimanan ibu bapa pula akan menjadi tidak utuh akibat daripada penghayatan agama yang
tidak kuat. Jika penghayatan agama kuat, tidak mungkin ibu bapa akan berkelakuan bagai
haruan makan anak dan sanggup mendera darah daging sendiri. Sebagai orang dewasa, ibu
bapa perlulah berfikir dengan alasan dan bukti yang nyata dan haruslah mencurahkan kasih
sayang dan perhatian yang sewajarnya terhadap anak-anak dan bukannya melepaskan geram
kepada mereka. Kajian menunjukkan mereka yang sanggup mendera darah daging sendiri
merupakan pasangan muda. Ini kerana pasangan muda menganggap bahawa hidup mereka
masih remaja dan tidak berfikir secara logik ataupun rasional. Selain itu, mereka pun belum
bersedia untuk memikul dan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa. Di
samping itu, orang muda pula sering berdarah panas dan mudah naik marah dengan
kesalahan-kesalahan kecil yang dilakukan oleh anak-anak seperti merosakkan harta benda

rumah, menangis sepanjang waktu , menconteng buku, dan sebagainya. Ini akan
menyebabkan kesabaran ibu bapa mula cair dan anak-anak pula akan menjadi sasaran
kemarahan ibu bapa.
Tekanan di tempat kerja merupakan salah satu pemangkin berlakunya kes penderaan
kanak-kanak. Bagi ibu bapa yang bekerja, mereka pastinya menghadapi tekanan di tempat
kerja. Ibu bapa yang tidak dapat mengawal emosi mereka akan menjadikan anak-anak sebagai
medium melepaskan geram dan tekanan yang mereka hadapi. Ibu bapa yang tidak berfikir
panjang berisiko tinggi melakukan kes penderaan ke atas anak-anak seperti menerajang,
mencucuk puntung rokok atau sebagainya. Patutkah anak-anak yang tidak berdosa ini
diperlakukan seperti binatang? Tepuk dada tanyalah selera. Kes penderaan kanak-kanak turut
ditunjangi oleh faktor tekanan ekonomi yang dihadapi oleh para orang tua. Kos hidup yang
semakin meningkat pada masa ini, memaksa golongan ini berhutang demi memastikan
kelangsungan hidup seisi keluarga. Masalah yang kewangan sering berlaku menyebabkan
para ibu bapa berasa terbeban. Semua ini dilepaskan kepada sang kecil yang saat itu
membutuhkan kasih sayang daripada kedua-dua insan mulia ini. Keadaan ini pasti
menyedihkan sesiapa sahaja yang mendengar kes penderaan ini. Anak yang sepatutnya diberi
perlindungan dan dibelai oleh ibu bapa, kini menjadi mangsa sepak terajak mereka yang
terbeban dengan krisis kewangan yang dihadapi.
Konklusinya, punca berlakunya kes-kes penganiayaan terhadap kanak-kanak ini
bermula dari rumah. Ibu bapa sepatutnya membela, memberi naungan dan memelihara hak
kanak-kanak bagi menjamin kehidupan mereka yang sempurna. Ibu bapa juga haruslah
berusaha untuk mencurahkan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya kepada anak-anak
di samping menanam sikap sayang-menyayangi antara mereka. Selain itu, semua pihak seperti
ibu bapa, guru-guru, kerajaan serta masyarakat juga perlulah bertanggungjawab dalam
menyelesaikan masalah ini. Setiap pihak perlulah berganding bahu untuk menyelesaikan
masalah ini dan bukannya menuding jari ke arah pihak lain. Sebenarnya, pelbagai usaha telah
diambil untuk mengatasi fenomena negatif sebelum ini tetapi usaha tersebut bagai hujan jatuh
ke pasir kerana usaha yang diambil tidak berterusan serta tidak berkekalan. Oleh itu, usaha
baik yang diambil oleh setiap pihak perlulah dilakukan secara konsisten dan bukanlah hangathangat tahi ayam sahaja.

KESAN PENDERAAN KANAK-KANAK


Trauma-ketakutan melampau apabila berdepan dengan orang dewasa (fobia),
Luka dan cedera yang kekal, rosak saraf otak dan urat saraf (cacat seumur hidup)
Perkembangan mental lembap kerana menderita akibat ketegangan saraf.
Menjejaskan perkembangan kognitif, kesihatan mental, kestabilan emosi dan penyesuaian
sosialnya
ponteng sekolah, tidak minat dengan pelajaran, suka mencuri, berbohong, kelihatan murung,
sering mengasingkan diri dan lari dari rumah sebanyak dua kali.
luka dalam kemaluan, penyakit kelamin, mengandung, traumatik,, stigma (malu, rasa
bersalah) dan tidak berkuasa (untuk melawan).