Anda di halaman 1dari 29

Amalan membentuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

.
.
..........Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif
kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang sihat ialah individu
tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang masalah yang boleh menjejaskan
kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula. Sudah pasti dalam kehidupan era moden yang begitu
banyak tekanan ini gaya hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera. Oleh itu, terdapat
pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini.
.
..........Tindakan awal ialah seseorang itu perlu mengamalkan satu bentuk pemakanan yang seimbang
dalam kehidupannya. Dalam keadaan kehidupan sebenar, orang ramai lebih suka mengambil makanan
yang bersifat mudah seperti mengamalkan pengambilan makanan ringan ataupun makanan segera.
Tidak kurang juga masyarakan kita hari ini yang lupa kesan pengambilan makanan berlemak ataupun
makanan yang mempunyai kandungan garam, gula atau sodium glutamit yang tinggi. Hal ini boleh
mendatangkan pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung, darah tinggi ataupun kencing manis yang
juga menjadi punca kematian tertinggi di negara kita. Orang ramai juga mesti menjauhi amalan buruk
seperti merokok atau meminum arak kerana kesannya amat membahayakan. Jelaslah, diet yang
seimbang membolehkan kita semua mencapai kehidupan yang ceria kerana semua nutrien yang
diperlukan oleh badan diperoleh menerusi pemakanan yang seimbang.
.
..........Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan yang dijalani oleh
seseorang itu lebih sihat dan menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti seperti bersukan, berekreasi,
berjalan atau berlari bersendirian atau bersama-sama keluarga ketika hujung minggu. Aktiviti senaman
seperti ini diakui oleh pakar perubatan mampu menjadikan sistem peredaran darah manusia lebih baik
serta menjadikan sistem imunisasi mereka tinggi. Mereka yang gemar bersukan biasanya memiliki badan
yang sihat dan minda yang cerdas berbanding dengan orang yang jarang bersukan. Jelasnya, semakin
kerap senaman dilakukan maka semakin tinggilah tahap kesihatan seseorang itu kerana minda yang
cerdas datangnya daripada badan yang cergas.
.
..........Orang ramai juga perlu mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan mereka
terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih,
waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan
jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan
asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan
baik agar tidak diharung lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu
selera. Sikap sambil lewa masyarakat dalam aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru,
amalan sebegini harus diutamakan agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat dalam kalangan
masyarakat.
.
..........Pada masa yang sama selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, masyarakat juga perlu
menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya
hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, orang ramai digalakkan mengadakan
gotong-royong untuk membersihkan kawasan taman perumahan dengan membersihkan sampah-sarap
atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan

pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat
pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air
mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, orang ramai akan dapat menjauhkan
diri mereka daripada pelbagai penyakit serta membentuk kehidupan yang sihat.
.
..........Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih
terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna kehidupannya
berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan
dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi
dengan efektif. Masyarakat digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama rakan
atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan
yang ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi
memperoleh gaya hidup yang sihat ini.
.
..........Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu bagi
menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu
mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan.
Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat memerlukan satu persepsi
positif daripada ahli masyarakat kita. Kepada mereka yang menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin
boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini
perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan seseorang pada perlakuan negatif seperti
mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda
seseorang itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapainya kelak.
.
..........Kesimpulannya, gaya hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua amalan yang
dipaparkan tadi. Gaya hidup sihat hanya boleh dicapai sekiranya masyarakat mengamalkan semua aspek
kehidupan berlandaskan ciri-ciri manusia sihat. Cuma sikap masyarakat yang masih memandang rendah
kepentingan gaya hidup sebeginilah yang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan timbul kelak. Kita
semua perlulah memahami bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya.

Langkah Untuk Menggalakkan Orang Ramai Menaiki Pengangkutan


Awam di Negara Kita.
Pengangkutan awam di negara kita sedang berkembang maju. Kerajaan juga telah mengadakan
pelbagai langkah untuk menggalakkan orang ramai supaya menggunakan pengangkutan awam
bagi mengatasi masalah kesesakan khususnya di kawasan bandar. Jelaskan langkah-langkah
untuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam
.
..........Zaman beralih, musim bertukar, selepas tamat penjajahan asing selama 446 tahun yang telah
lama menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali. Untuk
menyesuaikan diri di mata dunia dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia telah mengalami pelbagai
anjakan paradigma. Kerajaan telah berusaha menyediakan prasarana yang mencukupi untuk memastikan
sistem pengangkutan awam berjalan lancar. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita boleh
dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), Kereta api, komuter
dan monorel. Jikalau bukan kita sebagai warganegara Malaysia yang menyokong pengangkutan awam,
siapakah lagi yang mesti menyokongnya? Lantaran itu, langkah-langkah yang proaktif dan drastik
hendaklah diimplementasi untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.
.
..........Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak pihak mengatakan bahawa
kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan telah
mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke destinasi lain dengan penukaran
rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan sistem tiket bersepadu dengan
harga yang mampu dibeli oleh orang ramai khususnya mereka yang berpendapatan rendah supaya dapat
menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan haruslah menubuhkan sebuah
Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan pengangkutan awam di negara kita.
Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses perlaksanaan sistem tiket bersepadu yang masih dalam
peringkat kajian. Selain itu, kerajaan juga harus mengambil contoh pelaksanaannya di negara barat
seperti di Melbourne, Australia. Di Melborune penumpang hanya perlu membeli satu tiket pada kos yang
rendah untuk menaiki kereta api atau menaiki bas. Hal ini bertepatan dengan peribahasa serampang
dua mata. Pendekataan ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang golongan yang kurang berupaya
tetapi juga dapat memudahkan rakyat untuk mengatur pejalanan laluan harian mereka. Jadi jikalau sistem

tiket bersepadu ini dapat direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat mencapai sasaran yang telah
diramalkan oleh pengendali pengangkutan awam.
.
..........Langkah seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk menaiki pengangkutan awam ialah
meningkatkan kuantiti dan kualiti pengangkutan awam. Bilangan kereta api atau bas awam haruslah
dipertingkatkan jumlahnya bagi memenuhi kehendak rakyat serta mengatasi masalah kekurangan
pengangkutan awam di sesetengah kawasan yang menjadi rungutan orang ramai. Selain itu, KTM (Kereta
Api Tanah Melayu) haruslah mencontohi perkhidmatan kereta api di negara Jepun yang telah
menggunakan kuasa elektrik seprti shinkansen (bullet train) sehingga mencapai kelajuan melebihi 200
kilometer sejam. Dengan menggunakan lokomotif berkuasa elektrik, kekerapan KTM di negara kita pasti
dapat ditingkatkan. Kekerapan pengangkutan awam adalah salah satu unsur untuk menarik perhatian
penumpang terutamanya mereka yang memandu kereta atau menunggang motosikal. Dengan kekerapan
perjalanan pengangkutan awam yang tinggi, penumpang tidak akan membazirkan masa untuk menunggu
ketibaan pengangkutan awam tersebut. Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan orang ramai secara
keseluruhannya. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, kelemahan perkhidmatan dan
kelewatan jadual perjalanan pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan
menyebabkan mereka kurang berkeyakinan terhadap pengakutan awam di negara kita. Lantaran itu, cara
ini haruslah dilaksanakan untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat terhadap sistem perkhidmatan
pengangkutan awam.
.
..........Pada masa yang sama, langkah kerajaan menggalakkan pemasangan televisyen di dalam bas
ekspres mendapat banyak komen yang baik daripada orang ramai. Hal ini kerana langkah ini dapat
menghiburkan rakyat dalam perjalanan mereka. Para penumpang berpeluang untuk menonton pelbagai
siaran televisyen ketika berada dalam perjalanan mereka dan menjadikan perjalanan lebih menarik.
Perkara ini haruslah diperluaskan dalam pengangkutan awam yang lain seperti Komuter dan LRT untuk
menarik lebih banyak penumpang menaiki pengangkutan awam. Selain menghiburkan para penumpang
ketika dalam perjalanan, siaran televisyen juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dalam
kalangan masyarakat dengan menyiarkan rancangan cinta akan negara, rancangan yang mengimbas
kembali detik-detik bersejarah di negara kita dan sebagainya. Kemudahan seperti alat pendingin udara
juga perlu dipertingkatkan bagi menjadikan penumpang berasa lebih selesa apabila menaiki
pengangkutan tersebut. Kemudahan-kemudahan sampingan seperti ini pasti akan dapat meningkatkan
bilangan penumpang pengangkutan awam kerana orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan yang
berkualiti dengan banyaran yang minimum. Manisfestasinya, langkah memasang televisyen memang
dapat menarik perhatian para penumpang untuk menaiki pengangkutan awam.
.
..........Bagi mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang kurang berdisiplin, sistem perakam
perlu dipasang di semua kenderaan awam di negara kita. Pemasangan alat perakam ini dapat
merakamkan bukan sahaja perkara yang berlaku di sepanjang perjalanan malah dapat merakamkan
kelajuan pengangkutan awam tersebut. Hal ini akan dapat mengurangkan masalah kenderaan awam
seperti bas yang dipandu terlalu laju sehingga melebihi had yang dibenarkan. Pada masa yang sama,
pemasangan alat ini dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya bas yang sering
diperkatakan oleh orang ramai. Kerajaan juga perlu lebih kerap mengadakan pemeriksaan bagi
memastikan pemandu pengangkutan benar-benar mereka yang berkelayakan atau bebas daripada
sebarang penyalahgunaan dadah. Tindakan kerajaan menyenaraihitamkan pemandu yang kurang
berdisiplin akan dapat mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang tidak bersopan sekali gus

melenyapkan pekerja yang tidak berkualiti. Pemeriksaan oleh pihak berwajib seperti Jabatan
Pengangkutan Jalan atau pihak polis juga perlu menyeluruh bukan sahaja kepada kakitangan
pengangkutan awam tetapi perlu juga melihat pada keadaan dan keselamatan pengangkutan awam yang
digunakan bagi memastikan keselamatan pengguna pengangkutan tersebut terjamin. Dengan cara itu,
keyakinan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam di negara kita akan meningkat.
.
..........Pihak pengurusan atau pengendali pengangkutan awam juga perlulah lebih peka untuk
menyediakan kemudahan hiliran bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan ini. Di kawasan stesen
komuter atau LRT umpamanya, tempat meletakkan kenderaan perlu ditambah bagi mengelakkan orang
ramai meletak kenderaan mereka di tepi-tepi jalan atau di tempat lain yang tidak sesuai. Hal ini sentiasa
menjadi rungutan orang ramai kerana bukan sahaja boleh mengakibatkan kesesakan malah pada masa
yang sama turut menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya. Begitu juga halnya dengan
pengangkutan tambahan atau bas fider yang dikatakan menjadi masalah kepada pengguna komuter
dan LRT. Kekurangan pengangkutan bas tambahan ini telah menyukarkan pengguna pengangkutan
tersebut jika kawasan stesen tersebut jauh dari pejabat. Justeru adalah penting sekiranya bas-bas
tambahan ditambah bilangannya bagi memudahkan dan mempercepat perjalanan seseorang dari rumah
ke destinasi yang dituju. Jarak atau lokasi pengangkutan awam seperti komuter dan LRT juga perlu
ditambah dari semasa ke semasa agar lingkungan pengguna yang dapat menaiki kemudahan awam
tersebut turut meningkat. Biarpun langkah ini memerlukan biaya yang agak tinggi namun kesannya pada
sistem perhubungan di negara kita adalah amat besar. Oleh itu langkah-langkah menyediakan
kemudahan tambahan bagi meningkatkan kualiti pengangkutan awam tersebut perlu dilaksanakan agar
pengangkutan awam di negara kita tidak dianggap indah khabar dari rupa.
.
..........Seperti kata peribahasa Melayu yang berbunyi melentur buluh biarlah dari rebungnya, pendidikan
sejak kecil juga merupakan salah satu langkah untuk menggalakkan rakyat tempatan menaiki
pengangkutan awam. Pihak sekolah dicadangkan supaya memberi penerangan tentang kebaikankebaikan menggunakan perkhidmatan awam dan keselamatan menggunakan pengangkutan awam
supaya dapat menanam konsep yang mendalam kepada fikiran pelajar agar menaiki perkhidmatan
awam. Usaha ini bukan sahaja perlu ditumpukan kepada para pelajar, tetapi harus juga diperluas kepada
mereka yang dewasa untuk mengubah imej dalam hati mereka apabila menaiki pengangkutan awam.
Melalui pendidikan, kita dapat melahirkan golongan yang bergantung pada perkhidmatan awam seperti
kereta api dan bas sebagai pengangkutan utama mereka.Hal ini dapat meningkatkan bilangan
penumpang untuk menaiki pengangkutan awam. Walaupun mereka memiliki kendera sendiri, tetapi
mereka tetap akan menggunakan perkhidmatan awam sebagai pengangkutan utama mereka jika konsep
kebaikan menggunakan pengangkutan awam tertanam dalam jiwa mereka.
.
..........Kesimpulannya, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan kepada masyarakat di
negara kita seperti dapat mengurangkan kesesakan dan kemalangan, mengurangkan pencemaran
udara, menjimatkankan masa malah mengurangkan kos kehidupan kita sehari-hari. Oleh itu, sebagai
pengguna jalan raya yang bijak, kita perlulah menyahut seruan kerajaan agar menggunakan
pengangkutan awam sebagai kaedah untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Kita
juga berharap agar dengan langkah-langkah yang telah dan sedang dilaksanakan ini maka pengangkutan
awam di negara kita akan menjadi lebih maju setanding dengan pengangkutan awam di negara-negara
lain seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Australia.
.

Masalah Pengangkutan Awam Di Negara Kita


Pengangkutan awam merupakan salah satu pengangkutan yang amat penting di negara kita.
Namun begitu, masih banyak kelemahan yang kerap menjadi sungutan orang ramai. Terangkan
kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam di negara ini.
.
.
..........Dalam sistem perhubungan, pengangkutan awam menjadi pilihan orang ramai untuk bergerak dari

satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Sistem pengangkutan ini turut menjadi pilihan golongan
marhaen khususnya bagi mereka daripada golongan masyarakat pertengahan dan yang kurang
berkemampuan. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita adalah seperti pengangkutan bas awam,
teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), monorel dan sebagainya. Memang sudah banyak usaha yang
dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu,
pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani
masalah yang sudah berlanjutan sekian lama.
.
..........Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam
kita ialah kos atau tambangnya yang agak mahal. Kadar tambang terutamanya bagi penumpang teksi dan
LRT adalah dianggap mahal terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah serta menghalang
mereka daripada menggunakan sistem pengangkutan itu dengan lebih kerap. Kadaan ini menyebabkan
jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh. Kebanyakan
daripada mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya apabila terdesak atau hanya untuk ke
pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat
negara ini berduyun-duyun menggunakan pengangkutan awam tersebut.
.
...........Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan dengan amalan pengurusannya yang
tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam terutamanya bas awam tidak boleh
diharap dari segi ketepatan waktu operasinya. Kelewatan bas kerap berlaku dan tidak mengikut jadual
perjalanan yang ditetapkan. Hal ini menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka
tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah kelewatan sampai ke tempat kerja menjadi isu
utama akibat kegagalan pihak pengurusan mengatasi masalah tersebut. Masalah penjagaan bas awam,
LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori yang mengecewakan kerana penyelenggaraannya
yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja kecewa melihat kegagalan pengangkutan
awam mematuhi jadual perjalanan malah pada masa yang sama kegagalan untuk menjaga kualiti
perkhidmatan pengangkutan awam turut dirasai.
.
..........Kita juga sering terdengar rungutan orang awam yang mengatakan bahawa tumpuan perkhidmatan
awam di negara kita tidak menyeluruh. Kemudahan stesen LRT umpamanya hanya terletak di kawasan
tertentu yang kadang-kala menyukarkan orang ramai tiba ke pejabat. Hal ini bertambah rumit kerana
masalah kekurangan pengangkutan tambahan atau fider bus di kawasan itu. Kalau anda sering
menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem
pengangkutan, contohnya di antara stesen monorel dengan stesen LRT atau di antara stesen bas dengan
tesen monorel. Hal ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa beratur untuk
membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula. Dalam era globalisasi yang
mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap merumitkan kehidupan masyarakat.
Maka, satu sistem tiket yang bersepadu harus diadakan oleh kerajaan sebelum kemelut ini menjadi
semakin rumit untuk diselesaikan.
..
..........Malah, pengangkutan awam turut turut terjejas akibat tindakan segelintir pekerja mereka seperti
pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu
kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan
yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif
kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara kerana seekor kerbau

membawa lumpur, semuanya terpalit. Ada di antara mereka yang masih mengamalkan sikap ingin
menjadi sang juara di jalan raya. Hal ini bukan sahaja membahayakan penumpang kenderaan tersebut
malah pada masa yang sama turut membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Justeru,
semua pekerja pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra
pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan serta masyarakat awam yang lain.
.
..........Banyak juga aduan yang sering kita baca di dada-dada akhbar mengenai rungutan orang awam
tentang kekurangan tempat letak kereta di stesen LRT dan komuter. Hal ini berlaku kerana kurangnya
perancangan yang teliti sebelum projek tersebut dilaksanakan. Kelemahan ini bukan sahaja menyukarkan
orang ramai meletakkan kenderaan mereka malah menghalang orang ramai untuk menaiki kemudahan
awam tersebut. Di beberapa buah stesen komuter dan LRT di ibu kota Kuala Lumpur umpamanya,
kekurangan tempat untuk meletakkan kenderaan menyebabkan orang ramai meletakkan kenderaan
mereka sesuka hati atau di tepi-tepi jalan. Hal ini bukan sahaja menyebabkan berlakunya kesesakan
malah kadang-kala boleh menyebabkan berlakunya kemalangan. Lebih malang pula, ada sebahagian
kenderaan tersebut turut di saman oleh pihak polis biarpun masalah ini timbul akibat kelemahan
pengurusan terbabit. Jelasnya, rungutan pengguna pengangkutan awam tersebut perlu ditangani dengan
baik agar pengangkutan awam di negara kita tidak menjadi indah khabar dari rupa.
.
..........Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam di negara kita amat perlu diambil berat oleh pihak
yang terbabit. Sekiranya perkara tersebut masih terus didiamkan tanpa sebarang tindakan, kita bimbang
hasrat kerajaan untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai salah satu pengangkutan utama di
negara kita akan terkubur. Kesungguhan pihak kerajaan untuk mengambil langkah awal dalam
menangani masalah ini amat ditagih dan pihak berwajib tidak harus bertindak hanya apabila isu itu
menjadi tatapan masyarakat dalam media massa negara. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan
bertindak tegas dalam kemelut ini dan bukan bersikap sudah terhantuk baru terngadah.
.

Karangan SPM 2012...Peranan ibu bapa dalam pemupukan semangat cinta akan
negara dalam jiwa anak?

Salah satu tanggungjawab ibu bapa kepada tanah air ialah membentuk
dan mengasuh anak-anak menjadi warganegara yang berjiwa patriotik dan
cinta akan negara.
Huraikan peranan ibu bapa bagi memupuk semangat patriotik dalam jiwa
anak-anak itu.

Rakyat yang patriotik diibaratkan seorang individu yang sanggup mengorbankan


dirinya untuk kepentingan negara tanpa banyak alasan. Antara tindakan yang
dilihat sebagai cinta akan negara meliputi amalan bekerja dengan rajin, tidak
menimbulkan masalah seperti terlibat dalam jenayah, dan membantu rakyat lain
yang miskin. Pihak media massa terutama akhbar telah menggunakan konsep
patriotik ini dalam banyak karya penulisan mereka sebagai cubaan untuk menanam
semangat ini dalam jiwa rakyat. Sebenarnya, ibu bapa mempunyai peranan besar
untuk memastikan semangat ini dimiliki oleh anak-anak generasi muda Malaysia.
Tindakan yang paling mudah ialah ibu bapa sering membawa anak melancong ke
tempat bersejarah di negara ini terutama ketika musim cuti sekolah. Anak akan
lebih mengerti perjuangan tokoh negara seperti Dato Bahaman dan Mat Kilau
apabila mereka dapat melihat sendiri kawasan pertempuran yang berlaku antara
pejuang negara dengan penjajah British itu. Mereka boleh membaca penulisan yang
biasanya menerangkan serba ringkas perjuangan pejuang ini di kawasan bersejarah
itu lalu menimbulkan rasa bangga dan berterima kasih atas perjuangan tokoh
tersebut. Jadi, anak akan lebih tinggi semangat cinta akan negaranya apabila sering
melawat tempat bersejarah di negara ini.
Selain itu, ibu bapa sendiri hendaklah memaparkan semangat nasionalisme yang
tinggi kepada anak sendiri kerana kita tidak mahu digelar umpama ketam mengajar
anaknya berjalan lurus pula. Pemaparan teladan ini dilakukan menerusi
percakapan, tindakan, penghayatan dan sebagainya yang menjurus ke arah
pengorbanan negara terhadap kehidupan mereka selama ini. Anak telah diyakini
akan meniru kelakukan orang tua mereka bak kata pepatah bapa borek anak rintik
terutama apabila sering didedahkan dengan kelakuan patriotik sebegini. Jadi,
teladan ibubapalah yang membawa penyemaian benih nasionalisme dalam jiwa
remaja kita tersebut.

Negara kita menyambut kemerdekaan setiap tanggal 31 Ogos dan seharusnya ibu
bapa membawa anak untuk sama-sama melihat sambutan hari kebangsaan ini.
Biasanya, kawasan sambutan ini akan dipenuhi dengan pelbagai acara yang cuba
meniupkan semangat cinta akan negara ini dalam hati mereka yang hadir itu.
Suasana yang penuh dengan semangat nasionalisme ini pasti menimbulkan rasa
bangga dalam hati anak yang menontonnya itu. Oleh itu, amalan membawa anak
ke tempat sambutan hari kebangsaan boleh memupuk rasa cinta akan negara.
Malah, ibu bapa zaman moden ini boleh menggunakan teknologi untuk
menghuraikan semangat patriotik kepada anak mereka. Penggunaan teknologi
seperti internet dan telefon pintar membolehkan ibu bapa menyalurkan lebih
banyak informasi tentang sejarah negara dengan satu sentuhan sahaja. Ibu bapa
boleh melayari internet untuk mendapatkan maklumat tentang sejarah negara yang
kadangkala begitu mengelirukan itu juga. Sesungguhnya, penggunaan teknologi
sebegini mampu memudahkan tugas ibu bapa untuk memastikan anak mereka
memiliki rasa cinta akan negara.
Malahan, semangat cinta dan sanggup berkorban demi negara ini boleh disemai
dalam jiwa anak menerusi amalan penceritaan ibu bapa. Kisah dahulu ketika negara
belum mengalami kemodenan harus diterangkan kepada pelajar agar mereka
memahami erti pengorbanan pejuang dan pemimpin negara yang telah membawa
perubahan besar itu. Anak yang selalu mendengar itu akan mula perlahan-lahan
menghargai jasa pejuang negara terdahulu lalu memasang impian untuk turut
membuat jasa kepada bangsa dan nusa pula. Lantaran itu, ibu bapa yang bijak akan
sering bercerita mengenai perubahan pembangunan negara supaya anak
memahami kehidupan yang dialami sekarang berpunca daripada pengorbanan
orang terdahulu.
Konklusinya, usaha memupuk semangat cinta akan negara ini memang menjadi
tugas ibu bapa. Golongan ini perlulah mahir menggunakan peluang dan situasi yang
wujud untuk memudahkan anak memahami makna pengorbanan rakyat yang
sebenarnya. Jika ibu bapa masih mengamalkan sikap lepas tangan dalam
menangani isu semangat cinta akan negara ini sudah pasti generasi muda kita akan
hilang rasa hormat terhadap negara. Kita harus sedar semua yang berlaku pada
masa hadapan berpunca daripada pengorbanan orang terdahulu.

Bagaimana Menjadi Pengguna Bijak


BAGAIMANA MENJADI SEORANG PENGGUNA YANG BESTARI DEMI MENGATASI MASALAH
EKONOMI NEGARA.

............Keperluan membentuk kesedaran dalam kalangan para pengguna demi memantapkan ekonomi
negara adalah satu agenda yang berkepentingan tinggi dalam usaha kerajaan untuk melaksanakan suatu
aliran Pengguna Perkasa. Jika pada suatu masa dahulu, penjual, pembekal atau pun pengilang boleh
bertindak menaikkan harga sesuatu barangan di pasaran terutamanya apabila menjelang sesuatu musim
perayaan mengikut suka hati mereka, hari ini dengan kesedaran dalam kalangan pengguna khususnya
bahawa kekuatan sebenarnya berada dalam tangan pengguna sendiri, keadaan-keadaan seperti ini telah
semakin berkurangan. Kegiatan yang tidak bertanggungjawab ini, jika tidak dibendung dengan berkesan
akhirnya akan membahayakan ekonomi negara dan akibatnya masyarakat juga yang akan menanggung
rugi.
............Jika pengguna terasa ditipu dengan sesuatu produk, maka pengguna boleh bertindak memboikot
barangan berkenaan. Tindakan ini akhirnya akan memberi kesan kewangan negatif kepada syarikat
pembuat barangan berkenaan, dan ini akan memberi kesedaran kepada mereka tentang kuasa
pengguna. Kesedaran dan keprihatinan ini perlu datang daripada para pengguna sendiri. Contohnya
apabila kita membeli tepung sekampit yang ditulis berat bersihnya 1 kilogram, adalah wajar bagi kita
menimbang semula kampit tepung berkenaan dan memastikan bahawa berat bersih produk berkenaan
adalah benar-benar 1 kilogram. Sebagai pengguna prihatin, kita juga perlu mengambil tahu dengan lebih
teliti tentang barangan yang kita beli. Apakah ramuannya? Adakah bahan pewarna yang digunakan
menepati syarat-syarat kesihatan pengguna seperti yang telah di tetapkan oleh kerajaan? Adakah produk
berkenaan mengandungi MSG? Adakah produk itu benar-benar berstatus halal? Adakah harga jualannya
menepati harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan? Ketika membeli belah, berapa ramaikah yang akan
membelek-belek dan membaca setiap satu pek atau tin barangan yang hendak dibeli dan membuat
perbandingan harga setiap produk yang dibeli? Isu-isu sebeginilah yang perlu menjadi perhatian para
pengguna hari ini.

............Fenomena kenaikan harga barangan keperluan ini bukanlah suatu masalah yang cuma berlaku di
Malaysia sahaja, malahan telah menjadi suatu permasalahan global hari ini. Pada Oktober 2007, rakyat
Itali telah memboikot keluarangan barang-barang pasta apabila harga makanan ini naik melebihi 20
peratus dalam masa seminggu. Hasil daripada tindakan ini pengeluar Pasta terpaksa akur kepada
sentimen kuasa pengguna Itali, dan menurunkan semula kadar harga barangan berkenaan. Mekanisma
penyebab pada kenaikan harga barangan sememangnya berhubung rapat antara satu sama lain.
Contohnya di Mexico, apabila permintaan meningkat untuk minyak bio-diesel yang dipanggil Ethanol
yang dihasilkan daripada jagung, maka harga jagung di pasaran terus melambung dan ini menyebabkan
timbulnya masalah bekalan jagung kepada penternak lembu tenusu yang juga memerlukan jagung
sebagai makanan utama untuk haiwan ternakan mereka. Ekoran ini harga susu, keju, dan mentega pula
turut naik di pasaran Mexico. Mengikut kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Pertanian dan Pemakanan
Sedunia yang beribu pejabat di Brussels, harga pasaran makanan sedunia pada hari ini naik sebanyak 70
peratus berbanding dengan harga pada tahun 2000. Jadi sebagai pengguna yang bijak, mereka perlu
bertindak dengan menggunakan "kuasa pembeli" mereka.
............Hakikatnya pada hari ini, dengan meningkatnya taraf hidup bagi penduduk-penduduk di negaranegara membangun dunia yang besar seperti China dan India, maka permintaan dunia untuk barangan
seperti gandum, beras, minyak masak dan bahan-bahan keperluan asas kehidupan yang lain akan terus
juga meningkat. Faktor lonjakan harga minyak dunia juga bererti bahawa kos dalam proses pembuatan
serta penghantaran akan terus meningkat dan ini akan menyumbang pada peningkatan harga barangan
di pasaran. Faktor cuaca juga memainkan peranan yang penting bagi sektor penanaman sedunia.
Permintaan bahan mentah seperti jagung, gandum dan lain-lain lagi untuk diproseskan menjadi bio-fuel
atau ethanol adalah juga merupakan faktor penyumbang kepada kestabilan harga barangan pasaran.
............Manusia memerlukan tiga perkara asas untuk kehidupan iaitu makanan, pakaian dan tempat
tinggal. Akibat krisis bekalan makanan yang gagal dikawal, akan membawa kepada kemelut kenaikan
harga bekalan makanan di pasaran dan ini akan akhirnya menyebabkan berlakunya inflasi pada ekonomi
sesebuah negara. Oleh itu, pemantauan dan usaha berterusan perlu diperhebatkan lagi dalam usaha
untuk menangani apa-apa jua krisis bersangkutan yang berkemungkinan akan timbul pada masa depan.
Kita sebagai pengguna yang bijak adalah agen pemerhati harga barangan di pasaran yang paling efektif
untuk membantu pihak kerajaan memantau pergerakan harga-harga pasaran. Selain itu, akta undangundang perlindungan pengguna yang membawa kepada hukuman yang lebih drastik mestilah terus
digubal demi untuk perlindungan jangka panjang kepada pengguna.
............Kementerian yang telah dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk menjaga hal ehwal
pengguna ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Pelbagai langkah
proaktif telah diambil oleh kementerian terbabit demi memastikan kebajikan pengguna benar-benar
terjamin. Antara langkah-langkah berikut adalah dengan menubuhkan Stok Penimbal Kebangsaan serta
Penubuhan Majlis Harga Negara. Kerajaan juga turut mengenakan larangan membawa keluar barangan
kawalan dari Malaysia serta memberi pengetahuan dan kefahaman kepada pengguna tentang hak-hak
mereka melalui penggubalan rang undang-undang Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan penubuhan
Mahkamah Tribunal Pengguna. Pada masa yang sama, kerajaan juga menggerakkan sektor pertanian
negara secara aggresif sebagai langkah membangunkan Sarawak sebagai Negeri Jelapang Padi Kedua
Negara.

............Tindakan-tindakan ini telah berjaya mengawal kestabilan harga barangan di pasaran dan juga
dengan bantuan padu beberapa agensi berwajib yang lain, telah dapat mengurangkan kadar aktiviti
penyeludupan bahan makanan ke negara jiran. Hasil daripada pemantauan berterusan dan beberapa lagi
langkah susulan proaktif kerajaan, kebajikan dan kesejahteraan kita sebagai pengguna telah dapat
dimantapkan lagi. Dengan terlaksananya perubahan-perubahan kritikal ini, telah dapat membantu untuk
memangkinkan lagi ekonomi negara. Justeru marilah kita sebagai pengguna bersama-sama memupuk
kesedaran tentang hak-hak kita, langsung menjalankan tanggungjawab sosial kita dan juga
memartabatkan diri kita sebagai Pengguna Bestari.

Peranan Persatuan Pengguna


PERANAN PERSATUAN PENGGUNA DI NEGARA KITA.
(Ubah suai karangan ini supaya sesuai untuk SPM)
............Saban tahun kita kerap membaca berita mengenai pengguna yang tertipu akibat kerakusan
peniaga. Hal ini berlaku kerana kejahilan pengguna sendiri yang tidak tahu peranan mereka sebagai
pembeli. Keadaan ini menyebabkan kita terfikir apakah peranan persatuan pengguna dalam menangani
masalah pengguna di negara ini.Sebenarnya, persatuan pengguna memainkan peranan penting untuk
membantu pengguna mengatasi masalah penipuan oleh penjual.
............Isu kenaikan harga barang-barang mula mendapat perhatian media massa terutama selepas
kerajaan memberikan kenaikan gaji kepada pekerja kerajaan. Hal ini bertambah parah apabila berlaku
kenaikan harga minyak sehingga mengakibatkan penjual mengambil kesempatan menaikkan harga
barangan yang dijual. Berita kenaikan harga barang mula dipaparkan dan pelbagai tindakan telah
dilakukan terutama oleh kerajaan untuk membanterasnya. Ada yang berjaya dan ada juga yang

hanya cakap-cakap angin sahaja. Cuma, kita tertanya-tanya mengenai peranan persatuan pengguna
dalam kemelut yang semakin mencengkam rakyat ini.
............Dalam menangani situasi negatif ini persatuan pengguna perlulah menjelaskan dan menerangkan
hak serta kepentingan pengguna dengan lebih mendalam. Persatuan pengguna boleh menjalankan
kempen bagi menjelaskan betapa pentingnya pembeli berbelanja dengan bijak. Penerangan ini mampu
menyedarkan sebilangan penngguna yang akan memastikan mereka hanya membeli keperluan yang
penting dan bukan berbelanja mengikut kemahuan. Kempen penerangan ini seelok-eloknya dijalankan
dalam kalangan pelajar terutama pelajar sekolah agar orang ramai terdidik tentang isu kepenggunaan
sejak mereka kecil lagi keranamelentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini membolehkan kesannya
dirasai dalam jangka panjang apabila masyarakat terdidik dengan ilmu-ilmu kepenggunaan.
............Tambahan pula, persatuan pengguna boleh mendedahkan kepincangan dan penipuan yang
dilakukan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab. Nama-nama peniaga ini boleh didedahkan di dada
akhbar atau di media massa yang lain untuk makluman orang ramai. Menyenaraikan nama peniaga yang
tidak bertanggungjawab di akhbar pengguna dapat mengelakkan orang ramai daripada terus berbelanja
di premis mereka dan secara tidak langsung akan membimbangkan peniaga daripada menipu orang
ramai. Maklumat seperti ini mampu membantu pengguna untuk berbelanja dengan bijak kerana mereka
sudah pasti tidak mahu ditipu oleh peniaga jenis ini.
............Selain itu, pengguna yang mempunyai masalah dengan peniaga setelah membeli produk atau
barangan mereka boleh merujuk kepada persatuan pengguna. Kini, semakin banyak kes pengguna ditipu
oleh peniaga tetapi pengguna tidak tahu tempat untuk mengadu. Antara kes penipuan peniaga
termasuklah dari segi harga, kualiti, kandungan mahupun tarikh sah luput barangan yang dibeli malah
barangan yang dijual sebenarnya indah khabar dari rupa. Justeru, kehadiran persatuan pengguna dalam
memberi nasihat kepada pengguna untuk mengambil langkah susulan menangani masalah mereka
amatlah besar kesannya. Keadaan ini boleh menyebabkan nasib pengguna terbela dan tidak terus
ditekan oleh golongan peniaga yang tidak bertanggungjawab.
............Tambahan pula, kewujudan persatuan pengguna memastikan adanya "pemerhati" senyap di
antara pengguna dengan peniaga. Maksudnya, peniaga akan lebih berhati-hati sebelum cuba menipu
pengguna kerana sedar setiap tindakan mereka akan dipantau oleh persatuan pengguna. Dalam masa
yang sama pengguna pula berasa nasib mereka menerima pembelaan yang sewajarnya. Jadi, kewujudan
persatuan pengguna akan memastikan keadaan pasaran sentiasa dalam keadaan baik kerana semua
pihak sedar ada pihak ketiga yang memerhatikan keadaan pasaran ekonomi negara.
............Malahan, persatuan pengguna boleh menjalankan perniagaan mereka sendiri. Persatuan
pengguna boleh menubuhkan koperasi atau syarikat yang mampu menjual produk kepada pengguna
dengan harga yang lebih murah. Kemahiran persatuan pengguna dalam hal-hal meletakkan harga barang
sudah pasti memudahkan mereka menjual produk tanpa masalah. Koperasi atau kedai ini boleh dijadikan
satu rangkaian di seluruh negara untuk memudahkan masyarakat. Dengan adanya penglibatan persatuan
pengguna dalam bidang perniagaan, pengguna berpeluang memperoleh sesuatu barangan keperluan
dengan harga yang lebih rendah dan kompetatif. Pertandingan sihat antara persatuan pengguna dengan
peniaga lain juga akan mewujudkan persaingan sihat yang bakal mengawal harga pada tahap yang
sentiasa rendah.

............Ringkasnya, persatuan pengguna mempunyai tanggungjawab yang besar dan penting di negara
ini. Kewujudannya telah menyebabkan kita sebagai pengguna berasa selamat dan peniaga pula lebih
berhati-hati. Cuma sejauh manakah keberkesanan persatuan ini yang masih belum terjawab biarpun
ramai pihak beranggapan bahawa badan bebas ini berfungsi sebagai payung untuk melindungi
pengguna. Mungkin persatuan pengguna harus mencari jalan yang lebih berkesan untuk menyelesaikan
kemelut yang melanda pengguna masa kini.

Semangat kejiranan
................(ubah suai supaya sesuai dengan SPM)

Semangat kejiranan sudah longgar dalam masyarakat kita kalau kita lihat sejak akhi-akhir ini.
Keadaan ini menimbulkan pelbagai spekulasi kepentingan semangat ini diamalkan.Pada pendapat
anda, apakah langkah-langkah untuk meningkatkan semangat ini dan kepentingannya.
.............Semangat kejiranan merujuk semangat membantu masyarakat setempat terutama jiran
bersebelahan dalam kehidupan seharian mereka. Sememangnya semangat kejiranan ini semakin hilang
dalam masyarakat kita sehingga menimbulkan pelbagai isu semasa pula. Jadi, ada banyak kaedah yang
boleh dilaksanakan untuk memastikan semangat ini berterusan kerana memang ada kepentingannya.
.............Langkah awal ialah masyarakat menghidupkan semua konsep rukun tetangga di kawasan
perumahan mereka. Rukun tetangga berfungsi untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan
terutama pada malam hari. Aktiviti ini memerlukan pembabitan semua pihak tanpa mengira kaum yang
mampu menanam semangat kejiranan ketika melakukan rondaan bersama-sama. Oleh itu, hubungan
rapat yang terjalin melalui rukun tetangga ini mengeratkan lagi perhubungan antara jiran.
.............Selain itu, semangat ini mampu dipupuk dengan mengadakan pelbagai majlis yang bercorak
setempat. Majlis perkahwinan, rumah terbuka dan hari keluarga mampu menghidupkan semula semangat
yang murni ini. Semua jiran akan beramah mesra dan mengenali satu sama lain melalui majlis seperti ini.
Sesungguhnya, semangat kejiranan berupaya tumbuh dengan subur berdasarkan majlis sebegini.
.............Kerajaan turut mampu memainkan peranan dengan mengadakan kempen kesedaran semangat
kejiranan ini. Penggunaan media massa seluas mungkin dengan iklan yang menarik sudah pasti
berupaya menarik perhatian masyarakat terhadap isu ini. Masyarakat akan mula mempersoal tahap
semangat kejiranan mereka dan berusaha ke arah mengekalkan serta meningkatkan semangat itu di
kawasan mereka. Sememangnya kerajaan berperanan penting dalam memulakan usaha memupuk
semangat mulia ini.
.............Dalam masa yang sama sikap dan persepsi masyarakat perlu berubah. Masyarakat hendaklah
memandang semangat kejiranan ini sebagai satu perkara penting dalam kehidupan bermasyarakat.
Semangat ini perlulah diutamakan dalam sebarang tindakan yang ingin dilaksanakan oleh masyarakat.
Jelaslah, paradigma yang baru ini memastikan semangat kejiranan akan terus mekar dalam masyarakat
kita.
.............Kepentingan semangat ini sudah pasti dalam mewujudkan semangat perpaduan. Dalam
masyarakat berbilang kaum yang wujud di negara ini pemupukan konsep perpaduan amat strategik.
Sesuatu masyarakat sesebuah negara itu terbentuk daripada individu yang saling berjiran sebelum
berkembang menjadi satu umah. Oleh itu, semangat kejiranan menjadi titik tolak pembentukan konsep
perpaduan nasional.
............Kesimpulannya, semangat kejiranan memang boleh dicapai melalui beberapa kaedah yang
dijelaskan tadi. Semua pihak perlulah berusaha untuk memastikan semangat ini terus diamalkan oleh
masyarakat di negara ini. Mungkin kita semua harus bertanya diri sendiri "siapakah jiran kita?

Penderaan Kanak-kanak
............Anak-anak merupakan anugerah Allah yang amat berharga kepada setiap pasangan suami isteri.
Mereka merupakan penyambung zuriat dan pewaris sesebuah keluarga. Adanya anak justeru
bertambahlah rezeki yang Allah berikan kepada setiap pasangan yang telah berkahwin. Mereka juga
sebagai penghibur di dalam rumah tangga dengan hilai tawa dan tangisan yang senantiasa memerlukan
belaian kasih sayang secukupnya daripada ibu bapa. Namun, sekarang kita telah mendengar pelbagai
keg penderaan kanak-kanak berlaku di sana sini yang semakin berleluasa sebagaimana yang telah
disiarkan di dalam akhbar dan berita di televisyen. Pendera-pendera ini boleh dikategorikan sebagai tidak
berhati perut kerana ada antara pendera-pendera itu ialah ibu bapa kandung kepada mangsa.

............Terdapat banyak faktor atau punca berlakunya kes-kes penderaan kanak-kanak ini. Antaranya
ialah, bagi ibu bapa yang bekerja mungkin mereka menghadapi tekanan di tempat kerja. Masalah dan
tekanan di tempat kerja dibawa balik ke rumah dan mereka melepaskan tekanan tersebut kepada anakanak yang tidak berdosa. Tabiat anak-anak yang masih kecil memang stika merengek kerana mereka
perlukan perhatian daripada ibu bapa. Tindakan ibu bapa yang melepaskan geram dan tekanan mereka
kepada anak-anak yang merengek kerana perlukan sesuatu adalah merupakan satu tindakanyang tidak
masuk akal. Ibu bapa yang tidak berfikiran matang ini mungkin akan memukul, menerajang, mencucuk
putung rokok, atau sebagainya. Apalah dosa mereka sehingga diperlakukan sebegitu.

............Faktor lain yang menjadi punca penderaan kanak-kanak adalah kerana masalah kewangan yang
dihadapi oleh sesebuah keluarga itu. Masalah kewangan yang melanda sesebuah keluarga akan
menyebabkan mereka bertindak ganas terhadap anak-anak. Jika anak-anak meminta duit belanja atau
keperluan lain, sudah semestinya anak akan menjadi mangsa sepak terajang mereka. Keadaan sebegini
amat menyedihkan kerana anak-anak tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu pada usia mereka yang
masih memerlukan kasih sayang dan perlindungan. Jika masalah kewangan melanda sesebuah keluarga
janganlah dilepaskan kepada anak-anak dan fikirlah cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah.
Mintalah pertolongandaripada Allah supaya hati kita lebih tenang.

............Ada juga antara ibu bapa yang mendera anak-anak mereka kerana krisis rumah tangga yang
berlaku seperti pergaduhan antara suami isteri dan mungkin disebabkan gangguan pihak luar.
Contohnya, suami akan menjadi lebih garang dan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga
kerana mempunyai kekasih barn. Hasilnya pergaduhan antara suami isteri sering berlaku dan anak-anak
pastinya menjadi mangsa pergaduhan.

............Selain itu, faktor paling utama berlakunya masalah penderaan anak-anak ini ialah kurangnya

pendidikan agama di kalangan ibu bapa. Ilmu agama amat penting di dalam rumah tangga kerana ia
boleh memberi panduan yang terbaik dalam menguruskan keluarga. Setiap masalah yang berlaku pasti
ada penyelesaiannya jika berlandaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Islam telah menerapkan sikap
yang baik yang perlu dicontohi oleh setiap umatnya seperti tahap kesabaran yang tinggi terutamanya
dalam melayan kerenah anak-anak. AI-Quran juga telah menjelaskan kepada kita iaitu azab yang pedih
bagi sesiapa yang tidak menjaga amanahnya dengan baik seperti juga anak-anak yang merupakan
amanah Allah kepada kita.

............Masalah penderaan kanak-kanak ini perlulah dibendung dan diatasi dengan segera. Antara cara
untuk mengatasinya adalah dengan mengadakan kempen Keluarga Bahagia bagi menyedarkan ibu
bapa tentang tanggungjawab mereka. Semestinya setiap orang mengimpikan keluarga yang bahagia
kerana keluarga adalah segala-galanya bagi kita. Tanpa keluarga tercinta hidup pasti tidak bermakna.
Sesungguhnya kita memerlukan insan-insan tersayang di samping kita. Jadi, dengan adanya kempen ini
sedikit sebanyak boleh mengelakkan daripada berlakunya kespenderaan anak-anak.

............Pihak yang berkuasa juga haruslah mengambil tindakan yang lebih tegas seperti mengenakan
hukuman yang berat bagi ibu bapa atau sesiapa sahaja yangmendera kanak-kanak. Mempertingkatkan
penguatkuasaan undang-undang boleh menyebabkan pendera-pendera berasa takut akan hukuman
yang bakal mereka hadapi akibat perbuatan sendiri yang tidak berperikemanusiaan.

............Pihak-pihak yang berwajib juga perlulah mengadakan kelas-kelas bimbingan bagi memberikan
pendidikan keibubapaan kepada setiap pasangan yang akan mendirikan rumah tangga. Pendidikan ini
amat penting kepada setiap pasangan bagi menyedarkan mereka akan tanggungjawab yang besar harus
dipikul setelah berumah tangga. Mereka aka:n lebih jelas tentang cara-cara untuk mendidik anak-anak
dan kaedah untuk melayan suami atau isteri dengan baik. Dengan itu, masalah penderaan kanak-kanak
akan dapat diatasi.
............Kesimpulannya, penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang keras oleh
agama. Hal ini kerana perbuatan sebegitu seolah-olah bertujuan untuk menjahanamkan aset penting
negara pada masa akan datang dan memusnahkan keturunan kita sendiri. Ingatlah, anak-anak
merupakan amanah Allah yang sangat suci dan bersih. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk
membentuknya menjadi seorang yang baik atau sebaliknya. Jika mereka selalu diperlakukan dengan
tindakan negatif semasa kecilnya, tidak mustahil mereka akan menjadi lebih ganas apabila meningkat
dewasa. Jadi, sayangilah anak-anak dan jauhilah kes penderaan kanak-kanak kerana ia tidak
menguntungkan mana-mana pihak malah dosa yang akan kita dapat di akhirat nanti.

Keburukan penglibatan pelajar dalam industri hiburan tanah air.


...............Dewasa ini, industri hiburan tanah air semakin berkembang maju. Kemajuan industri ini dapat
dilihat melalui monopoli media massa tempatan baik media cetak mahupun media elektronik yang lebih
cenderung pada berita-berita bercorak keseronokan berbanding dengan berita bercorak pengetahuan.
Namun apa yang amat dikesali, ada juga golongan yang cuba meraih keuntungan mudah dengan
mengeksploitasi para remaja khususnya golongan pelajar agar melibatkan diri dalam dunia hiburan
biarpun sepatutnya mereka perlu menggalas wadah memajukan diri dalam bidang pendidikan. Lantaran
budaya berhibur melebihi keutamaan menuntut ilmu, situasi kini sudah pasti memberi impak yang negatif
kepada generasi akan datang. Justeru, apakah kewajaran yang membolehkan golongan pelajar
melibatkan diri dalam dunia hiburan dan apakah pula kesannya?
...............Antara kesan negatif yang bakal timbul ialah kesukaran pelajar untuk membahagikan waktu di
antara melibatkan diri dalam dunia hiburan dengan tugas utama mereka iaitu menuntut ilmu. Dalam usia
yang masih terlalu muda, dunia pelajar seharus ditumpukan sepenuhnya untuk memperoleh ilmu sebagai
menggalas aspirasi menjadi insan yang berilmu dan berpengetahuan. Namun jika mereka terlibat dengan
dunia hiburan, masa yang ada terpaksa dibahagikan pula dengan tanggungjawab mereka untuk
memajukan diri dalam bidang hiburan. Hal ini sudah tentu akan menjejaskan keupayaan mereka
meluangkan waktu pada pelajaran dan kesannya bakal memberi impak yang tidak baik kepada pelajar itu
sendiri. Sekiranya seseorang pelajar terlibat secara langsung dalam bidang nyanyian atau lakonan,
mereka memerlukan masa yang panjang bukan sahaja untuk mengikuti penggambaran atau pertunjukan
yang diadakan malah masa untuk berlatih juga perlu diambil kira. Justeru, kesannya akan menyebabkan
kesukaran kepada mereka untuk memperuntukan waktu yang secukupnya pada pelajaran.
...............Pada masa yang sama, penglibatan pelajar dalam Program Realiti Hiburan seperti yang kerap
kita lihat di kaca televisyen akan menjejaskan peluang pelajar bergiat dalam aktiviti yang dijalankan di
sekolah. Penglibatan mereka juga menyebabkan pelajar terpaksa mengambil cuti untuk melaksanakan

kehendak penganjur hiburan mengadakan pertunjukan di mana-mana juga. Akibat terikat dengan kontrak
bersama dengan syarikat hiburan, para pelajar terpaksa melupakan tugas utama mereka dalam usia
muda iaitu melaksanakan aspek pembelajaran dan mengikuti aktiviti kokurikulum yang telah ditetapkan.
Hal seperti ini akan menyebabkan para pelajar yang terbabit ketinggalan dalam pelajaran dan
menjejaskan prestasi mereka dalam peperiksaan. Bayangkanlah, apa yang bakal berlaku kepada
generasi kita pada masa depan jika rakyatnya tidak berilmu lantaran memilih bidang hiburan dan
mengetepikan ilmu pengetahuan. Janganlah pula sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong
keciciran.
...............Realiti hidup sebagai seniman sebenarnya adalah terlalu kompleks dan penuh dengan tipu
muslihat. Persoalannya, mampukah golongan remaja seperti pelajar mengharungi kehidupan dan
menyahut cabaran dalam dunia artis yang penuh cabaran? Bakat yang dimiliki sahaja mungkin tidak
mencukupi jika ilmu di dada tidak seberapa. Menyertai bidang hiburan memerlukan seseorang yang
mampu mendepani segala rintangan, apatah lagi dunia hiburan masa kini berdepan dengan pelbagai
saingan yang terlalu rumit. Dalam usia setahun jagung, kemungkinan untuk menempa nama dalam dunia
hiburan adalah terlalu kecil, lantas mereka berdepan pula dengan kemungkinan menghadapi kegagalan.
Mampukah golongan semuda ini berdepan dengan kegagalan? Kita amat bimbang, kegagalan akan
menjerumuskan golongan pelajar dalam gejala sosial yang tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah,
sek bebas dan sebagainya. Justeru, sebelum menceburi bidang hiburan, remaja khususnya pelajar
perlulah bijak menilai dan memilih sebelum membuat keputusan.
...............Selain itu, dunia hiburan dan pendidikan dilihat sebagai dua dunia yang begitu berbeza. Lihat
sahaja pertuturan seorang artis, pergaulan bebas sesame peminat, pakaian malah keseluruhan gaya
hidup mereka. Hal ini amat berbeza sama sekali dengan objektif pendidikan yang berperanan melahirkan
insan yang seimbang dari segi rohani, emosi dan jasmani. Ambil sahaja contoh rambut seorang artis,
bergaya, panjang dan berwarna. Hal ini amat bertentangan dengan kehendak didiplin yang telah
ditetapkan oleh kerajaan. Persoalannya nanti, mahukah golongan golongan pelajar yang telah masuk
dalam golongan artis berpakaian kemas, berambut pendek dan menggayakan perlakuan sopan di
khalayak ramai? Mampukah mereka merendahkan rasa ego mereka apabila berada di sekolah bersama
rakan-rakan mereka yang lain? Kesannya lebih menjurus pada keburukan dan boleh mewujudkan konflik
dalam diri pelajar terbabit. Hal inilah yang perlu difikirkan dengan serius sebelum mengambil pendirian
untuk menyertai bidang hiburan.
...............Ada pula pandangan yang mengatakan bahawa mereka yang menyertai bidang hiburan adalah
individu yang mementingkan glamour dan bersifat meterialistik. Kenyataan ini mungkin ada
kebenarannya jika dilihat dari situasi industry hiburan kita pada hari ini. Kejayaan seseorang pelajar
dalam dunia hiburan mungkin bakal melahirkan pelajar yang bersifat bongkak, sombong dan memandang
rakan dan guru sebagai manusia yang tidak patut dihargai. Lihat sahaja perlakuan seorang artis remaja
ketika bercakap dengan seorang jururawat di sebuah hospital. Apa pula pandangan anda jika seorang
artis remaja mengherdik seorang pengawal di sebuah lapangan terbang di Sepang? Sikap bongkak ini
lahir apabila mereka merasakan diri mereka terlalu glamour sehingga memandang rendah orang lain
yang bukan golongan artis. Natijahnya, sikap negatif sebegini lahir disebabkan kurangnya nilai-nilai moral
yang sepatutnya mereka pelajari di sekolah. Malangnya, oleh sebab terlalu banyak waktu digunakan
untuk dunia hiburan, nilai-nilai moral sebegini terus dilupakan.
...............Intiharnya, dunia hiburan masa kini bukanlah dunia seorang pelajar. Sebagai pelajar, mereka

perlu mempunyai acuan sendiri iaitu menyahut cabaran mendepani bidang ilmu yang terlalu luas dan
tidak bertepi. Menuntut ilmu memerlukan komitmen yang menyeluruh dan bukan sekadar melepaskan
batuk di tangga. Andai terbuka hati untuk menyertai industri hiburan, berilah ruang untuk memenuhi ilmu
di dada terlebih dahulu kerana hanya ilmu yang mampu membina impian masa depan gemilang.

Karangan SPM 2012...Peranan ibu bapa dalam pemupukan semangat cinta akan
negara dalam jiwa anak?

Salah satu tanggungjawab ibu bapa kepada tanah air ialah membentuk
dan mengasuh anak-anak menjadi warganegara yang berjiwa patriotik dan
cinta akan negara.
Huraikan peranan ibu bapa bagi memupuk semangat patriotik dalam jiwa
anak-anak itu.

Rakyat yang patriotik diibaratkan seorang individu yang sanggup mengorbankan


dirinya untuk kepentingan negara tanpa banyak alasan. Antara tindakan yang
dilihat sebagai cinta akan negara meliputi amalan bekerja dengan rajin, tidak
menimbulkan masalah seperti terlibat dalam jenayah, dan membantu rakyat lain
yang miskin. Pihak media massa terutama akhbar telah menggunakan konsep
patriotik ini dalam banyak karya penulisan mereka sebagai cubaan untuk menanam
semangat ini dalam jiwa rakyat. Sebenarnya, ibu bapa mempunyai peranan besar
untuk memastikan semangat ini dimiliki oleh anak-anak generasi muda Malaysia.
Tindakan yang paling mudah ialah ibu bapa sering membawa anak melancong ke
tempat bersejarah di negara ini terutama ketika musim cuti sekolah. Anak akan
lebih mengerti perjuangan tokoh negara seperti Dato Bahaman dan Mat Kilau
apabila mereka dapat melihat sendiri kawasan pertempuran yang berlaku antara
pejuang negara dengan penjajah British itu. Mereka boleh membaca penulisan yang
biasanya menerangkan serba ringkas perjuangan pejuang ini di kawasan bersejarah
itu lalu menimbulkan rasa bangga dan berterima kasih atas perjuangan tokoh
tersebut. Jadi, anak akan lebih tinggi semangat cinta akan negaranya apabila sering
melawat tempat bersejarah di negara ini.
Selain itu, ibu bapa sendiri hendaklah memaparkan semangat nasionalisme yang
tinggi kepada anak sendiri kerana kita tidak mahu digelar umpama ketam mengajar
anaknya berjalan lurus pula. Pemaparan teladan ini dilakukan menerusi
percakapan, tindakan, penghayatan dan sebagainya yang menjurus ke arah
pengorbanan negara terhadap kehidupan mereka selama ini. Anak telah diyakini
akan meniru kelakukan orang tua mereka bak kata pepatah bapa borek anak rintik
terutama apabila sering didedahkan dengan kelakuan patriotik sebegini. Jadi,
teladan ibubapalah yang membawa penyemaian benih nasionalisme dalam jiwa
remaja kita tersebut.
Negara kita menyambut kemerdekaan setiap tanggal 31 Ogos dan seharusnya ibu
bapa membawa anak untuk sama-sama melihat sambutan hari kebangsaan ini.
Biasanya, kawasan sambutan ini akan dipenuhi dengan pelbagai acara yang cuba
meniupkan semangat cinta akan negara ini dalam hati mereka yang hadir itu.
Suasana yang penuh dengan semangat nasionalisme ini pasti menimbulkan rasa
bangga dalam hati anak yang menontonnya itu. Oleh itu, amalan membawa anak
ke tempat sambutan hari kebangsaan boleh memupuk rasa cinta akan negara.
Malah, ibu bapa zaman moden ini boleh menggunakan teknologi untuk
menghuraikan semangat patriotik kepada anak mereka. Penggunaan teknologi
seperti internet dan telefon pintar membolehkan ibu bapa menyalurkan lebih
banyak informasi tentang sejarah negara dengan satu sentuhan sahaja. Ibu bapa
boleh melayari internet untuk mendapatkan maklumat tentang sejarah negara yang
kadangkala begitu mengelirukan itu juga. Sesungguhnya, penggunaan teknologi
sebegini mampu memudahkan tugas ibu bapa untuk memastikan anak mereka
memiliki rasa cinta akan negara.
Malahan, semangat cinta dan sanggup berkorban demi negara ini boleh disemai
dalam jiwa anak menerusi amalan penceritaan ibu bapa. Kisah dahulu ketika negara
belum mengalami kemodenan harus diterangkan kepada pelajar agar mereka

memahami erti pengorbanan pejuang dan pemimpin negara yang telah membawa
perubahan besar itu. Anak yang selalu mendengar itu akan mula perlahan-lahan
menghargai jasa pejuang negara terdahulu lalu memasang impian untuk turut
membuat jasa kepada bangsa dan nusa pula. Lantaran itu, ibu bapa yang bijak akan
sering bercerita mengenai perubahan pembangunan negara supaya anak
memahami kehidupan yang dialami sekarang berpunca daripada pengorbanan
orang terdahulu.
Konklusinya, usaha memupuk semangat cinta akan negara ini memang menjadi
tugas ibu bapa. Golongan ini perlulah mahir menggunakan peluang dan situasi yang
wujud untuk memudahkan anak memahami makna pengorbanan rakyat yang
sebenarnya. Jika ibu bapa masih mengamalkan sikap lepas tangan dalam
menangani isu semangat cinta akan negara ini sudah pasti generasi muda kita akan
hilang rasa hormat terhadap negara. Kita harus sedar semua yang berlaku pada
masa hadapan berpunca daripada pengorbanan orang terdahulu.

Kejadian Buli Dalam Kalangan Remaja


Buli semakin berleluasa di sekolah kita. Keadaan ini menyebabkan masyarakat semakin gusar.
Huraikan punca-punca dan langkah-langkah yang tercetus.
(ubah suai karangan isi agar sesuai dengan SPM)

............Apakah itu kes buli? Kes buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras
ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang
terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini, kes buli yang berlaku di
sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat merimaskan
dan membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain
lagi.
............Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar
dan semakin serius masalahnya. Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang. Oleh itu, setiap
masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti
sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini.
............Antaranya ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang sanggup
melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan
perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Ringkasnya, mereka semakin
ketandusan nilai kemanusiaan dalam diri mereka sendiri.
............Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan prihatin kapada anak juga
menjadi antara puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu sibuk mencari duit dan bersikap
materialistik telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak mereka.
............Di samping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagungdan berdarah setampuk
pinang ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan-kawannya merupakan
pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli
kumpulannya. Pengawasan yang longgar di sekolah juga menjadi puncanya kerana telah memberi
peluang kepada pelajar yang ingin menjalankan pembulian mereka terhadap pelajar lain.
............Bak kata pepatah tiada penyakit yang tiada penyembuhnya.Terdapat pelbagai langkah drastik
yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini. Antaranya ialah pihak kerajaan
seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam
pelajaran di sekolah dengan melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam,
Pendidikan Sivik dan sebagainya. Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini
merupakan satu kesalahan dan pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang kesan buruk
daripada perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkannya daripada terbabit dalam kes buli ini.
............Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti buli juga boleh diadakan secara berterusan
di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedari para pelajar agar menjauhi diri daripada gejala
buli. Aktiviti seperti kuiz tentang kes buli juga boleh dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif dalam
menangani masalah kes buli ini.
............Namun begitu, pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan bahawa pengawasan di setiap
pelosok kawasan sekolah seperti di belakang bangunan sekolah dan kaki lima sekolah yang sunyi
diperketat supaya tidak memberi sebarang peluang kepada mereka yang mempunyai keinginan untuk
membuli mangsanya.

............Pihak sekolah juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah Jenayah
di sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak pengetahuan tentang
cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi pemangsa dalam kes itu dan para
pelajar juga boleh menyebarkan informasi yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua
pelajar tahu akannya.
............Langkah yang lain ialah para pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana para pelajar
biasanya juga akan mudah terpengaruh dengan perbuatan kawannya. Contohnya, jika kawannya minat
membaca buku, maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan membaca bersama-sama. Perkara ini
sama juga jika kawan pelajar itu sentiasa melibatkan diri dalam kes buli di sekolah.
............Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha
untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi mangsa
pembuli harus memberanikan diri untuk melaporkan kepada pihak sekolah dengan segera agar masalah
itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan sekolah.
............Manakala, pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus
berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh-sungguh dan bukan sebaliknya dengan menutup
kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes buli akan semakin
bertambah dan berleluasa lagi.
.............Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan
juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mendapatkan
jalan keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut agar
dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain.
............Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk membendung
kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak
akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak mereka, perbuatan ibu bapa
adalah sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa berlakuan baik di hadapan anak-anak sahaja,
sedangkan mereka juga sering mengejek, menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah bapa
borek, anak rintih, ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget.
............Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu
bapa juga harus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah dan
memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya mereka tidak berasa sunyi
dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk anak mereka sejak kecil lagi seperti melentur buluh biarlah
dari rebungnya agar sentiasa sudi meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi
mengatasinya bersama-sama.
............Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu
bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara
kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin sematamatanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini

pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Oleh
itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini
walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya
usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan
mengangkat martabat bangsa dipersada dunia.

Punca dan langkah mengatasi masalah disiplin pelajar


Masalah disiplin pelajar semakin meruncing. Masyarakat semakin kecewa dengan kegagalan
pendidik untuk membentuk sahsiah pelajar. Jelaskan punca-punca dan langkah mengatasinya.
(Ubah suai karangan ini agar sesuai dengan SPM)
............Masalah disiplin boleh dikaitkan dengan kegagalan pelajar di sekolah untuk mematuhi peraturan
yang telah ditetapkan. Isu ini menjadi perbualan hangat masyarakat lantaran kegagalan golongan
pendidik untuk membentuk sahsiah pelajar. Jadi, apakah faktor yang mendorong masalah ini berlaku dan
apakah peranan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dan kerajaan?
............Masalah ini semakin meruncing ekoran kurangnya kasih sayang dan perhatian ibu bapa era
globalisasi ini. Ibu bapa lebih mengutamakan kerjaya mereka sehingga alpa tanggung jawab mereka
mendidik anak yang dahagakan kasih sayang mereka. Akibatnya, pelajar terbabit mencari jalan keluar
dengan melakukan tindakan-tindakan disiplin yang bertujuan untuk menarik perhatian ibu bapa mereka.
Sesungguhnya, kelalaian ibubapalah yang menyebabkan masalah disiplin menjadi-jadi.
............Sementara itu kemunculan media massa turut mendorong masalah ini memuncak dengan drastik.
Kelakuan yang tidak senonah yang mereka saksikan telah menimbulkan rasa untuk mencuba pula dalam
hati pelajar. Kebanyakan masalah disiplin dikatakan satu cubaan meniru kelakuan yang telah mereka
tonton sebelum ini. Jadi, disiplin mempunyai kaitan rapat dengan kejadian disiplin pelajar yang terus
merosot itu.
............Rakan sebaya turut menjadi punca masalah disiplin pelajar menjadi-jadi. Pelajar sering
menganggap rakan sebaya mereka sebagai rakan yang sebenar. Rakan yang mendengar dan sanggup
berkorban untuk mereka berbanding ibubapa yang gagal menjalankan tanggungjawab mereka.
Ringkasnya, rakan sebaya yang negatif akan memastikan disiplin pelajar itu akan turut merosot dengan
drastiknya.
............Tambahan pula, kegagalan pihak sekolah bertindak pantas dan telus dalam isu ini turut menjadi

faktor yang mendorong meluasnya masalah ini. Ada pihak sekolah yang merahsiakan masalah disiplin
sekollah mereka kerana tidak mahu nama sekolah terjejas. Tindakan ini menyebabkan ada pelajar yang
beranggapan tindakan mereka melanggar disiplin tidak akan dilaporkan oleh pihak sekolah. Sikap acuh
tak acuh sekolah yang turut kekurangan guru disiplin ini menyebakan pelajar semakin berani melakukan
kesalahan disiplin. Oleh itu, cara pihak sekolah menangani masalah disiplin turut menentukan
peningkatan masalah disiplin pelajar.
............Malah, ketiadaan program selepas sekolah yang sesuai dengan pelajar turut menjadi punca
masalah ini terus berleluasa. Program yang menarik dapat menghalang pelajar menghabiskan masa
mereka di pusat-pusat beli-belah dan terjerumus ke dalam aktiviti menyalahi disiplin. Masa yang mereka
habiskan untuk menjalankan aktiviti ini menyebabkan mereka lebih berdisiplin.
............Kemelut ini mudah dibendung jika ibubapa terlebih dahulu sanggup menngorbankan masa
mereka. Ibu bapa hendaklah mengutamakan masa depan anak mereka daripada kejayaan peribadi
mereka dalam kerjaya. Ibu bapa harus memberi ruang kepada anak untuk menjadi manusia yang
berhemah tinggi. Ringkasnya, ibu bapa penting dalam membanteras isu disiplin ini.
............Kesimpulannya, kemelut disiplin ini sudah lama diperkatakan oleh masyarakat. Saban hari kita
disogokkan dengan pelbagai cadangan yang tinggal cadangan sahaja terutama daripada pihak ahli
politik. Begitu juga dengan pihak media massa yang hanya tahu menyiarkan sahaja berita sensasi
tentang topik ini berulang kali . Mungkin kali ini kita perlu bertegas dan berpijak di bumi nyata.