Anda di halaman 1dari 3

1.

REFLEKSI
Alhamdulillah sekali lagi ucapan syukur yang tidak terhingga saya panjatkan kepada

Allah S.W.T di atas kurnia-Nya dapat juga saya dan rakan-rakan melaksanakan Projek
Masakan Tradisi Warisan Bangsa dengan jayanya walaupun dibatasi masa yang terhad
lantaran kesibukan tugas seharian sebagai mahasiswa pendidik. Tugasan ini memerlukan saya
untuk melaksanakannya dengan bersunguh-sunguh memandangkan projek ini menyumbang
markah sebanyak 30% daripada keseluruhan markah kerja kursus projek bagi subjek EDU3063
Budaya dan Pembelajaran.
Pada mulanya, saya dan rakan-rakan berasa amat gementar kerana kumpulan kami
telah diamanahkan untuk memasak masakan tradisi kaum Cina iaitu Yong Tau Fu. Namun
cabaran dan halangan ini tidak sesekali mematahkan semangat kami untuk cuba memasak
masakan tersebut dengan baik. Benarlah kata Prof Dr Muhaya Mohamad dalam siri
ceramahnya iaitu dalam kehidupan yang kita lalui, kita perlulah sentiasa berfikiran positif kerana
energi positif itu akan dapat membantu kita menghasilkan tindakan yang positf. Jika kita
memikirkan bahawa kita tidak mampu melakukan sesuatu perkara itu, kita akan menjadi lemah
dan sudah pasti kita tidak dapat melakukannya.
Selain itu, melalui tugasan ini, dapat melatih diri untuk berani menyahut cabaran bagi
menyediakan masakan tersebut walaupun jika sebelum ini kami hanya membeli makanan
tersebut di pasar-pasar malam tanpa mengetahui cara memasaknya dengan betul. Dengan
cara ini juga sekaligus melatih saya untuk sentiasa bersedia menghadapi apa sahaja
kemungkinan yang mendatang memandangkan tugas guru yang semakin mencabar dengan
kerenah murid-murid pada zaman sekarang. Oleh itu, projek masakan ini memberi peluang
kepada saya untuk meningkatkan kemahiran diri dalam proses menjadi seorang guru yang
berkaliber dan berkarisma.

Di samping itu, melalui projek masakan ini juga memberi peluang kepada saya
mengenali makanan tradisi masyarakat Cina. Jika sebelum ini saya hanya pandai menikmatinya
sahaja, namun dengan adanya projek ini memberi peluang kepada saya menyediakan sendiri
masakan tersebut. Ibarat kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Kesulitan yang paling rumit
dirasai ialah ketika menyediakan kuah hitam dan kuah merah bagi masakan tersebut. Proses

penyediaan kuah tersebut agak lama memandangkan tidak mempunyai pengalaman dalam
memasaknya, namun berkat kesabaran akhirnya kuah tersebut dapat disediakan dengan baik
walaupun rasanya tidak sehebat kuah Yong Tau Fu yang sebenar. Apa yang lebih
menyebabkan saya dan rakan-rakan mampu tersenyum bangga bila mana pembeli memuji
masakan yang telah kami sediakan. Hal ini sedikit sebanyak dapat memberikan satu kepuasan
yang besar buat kami.
Sepanjang program ini berjalan terdapat banyak cabaran yang terpaksa ditempuh.
Salah satunya ialah keadaan angin yang kuat menyebabkan api dapur kerap padam dan
terpaksa dinyalakan beberapa kali. Hal ini sedikit sebanyak mengganggu konsentrasi kami
memandangkan kuah sup perlu sentiasa berada dalam keadaan panas. Melalui pengalaman
inilah dapat melatih kami supaya lebih bersabar dalam menumpuh setiap ujian yang datang.
Selain itu, projek ini juga dapat memupuk semangat bekerjasama antara setiap unit yang terdiri
daripada pelbagai bangsa iaitu Melayu, Cina dan India. Walaupun kami sibuk dengan
penyediaan menu masakan masing-masing tetapi kami tetap bekerjasama antara satu sama
lain bagi memastikan projek ini dapat berjalan dengan lancar. Sikap ini perlu terus diamalkan
kerana sebagai seorang pendidik, saya pasti akan berdepan dengan sebuah organisasi yang
besar iaitu bahagian pentadbiran sekolah dan pastinya apabila sesuatu program akan
dijalankan memerlukan kerjasama yang erat daripada setiap individu tanpa mengira bangsa
dan agama agar program tersebut berjaya direalisasikan.
Secara kesimpulannya, apa jua pengalaman, kesulitan dan keseronokan yang saya
alami sepanjang projek ini berlangsung merupakan sesuatu yang amat manis untuk dikenang
sepanjang hayat. Benarlah kata orang bahawa tidak semua yang indah akan kita peroleh
kadang-kadang kepahitan itu lebih baik kerana dari situlah kita akan belajar untuk lebih
menghargai kehidupan.

Di kesempatan ini juga saya ingin merakamkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi
penghargaan kepada Dr. Zakri bin Abdullah yang terlibat secara langsung sepanjang Projek
Masakan Tradisi Warisan Bangsa ini dijalankan.

Sekian, terima kasih.

Oleh : Yussallina binti Yusof