Anda di halaman 1dari 2

Soalan : Usaha-usaha Memajukan Industri Pelancongan Negara

Sebagai sebuah negara yang beriklim Khatulistiwa, Malaysia mempunyai alam semula jadi
yang unik dengan deretan pulau yang menawan. Oleh itu, negara kita mampu menjadikan industri
pelancongan sebagai sumber utama pendapatan negara jika alam semula jadi itu dieksploitasi
sepenuhnya. Berdasarkan jumlah pelancong yang semakin bertambah ke negara kita sejak
belakangan ini, jelas menunjukkan bahawa negara ini mempunyai daya tarikannya yang
tersendiri. Keunikan budaya rakyat yang berbilang kaum menjadi aset penting dalam usaha
negara menarik kedatangan pelancong. Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan,
menyarankan agar tugas menarik kedatangan pelancong harus menjadi tanggungjawab semua
pihak dan tidak terletak di bahu kerajaan sahaja. Saya berpendapat bahawa masih banyak usaha
yang perlu dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan lebih banyak pelancong mengunjungi
Malaysia dan tinggal di negara ini.
Antara faktor utama pelancong datang di sesebuah negara ialah adanya kemudahan
prasarana seperti pengangkutan dan perhubungan. Hal ini kerana pelancong yang berkunjung ke
sesebuah negara ingin keselesaan dan mencari ketenangan. Oleh itu, kerajaan wajar
memperlengkap kemudahan pengangkutan dan komunikasi yang ada khususnya untuk
memudahkan pelancong sampai ke destinasi yang akan dituju. Misalnya, banyak pelancong yang
datang ke negara kita adalah untuk menikmati keindahan pulau dan pantai. Oleh itu, kerajaan
harus menambah kemudahan perkhidmatan bot atau feri dari tanah besar ke beberapa buah
pulau di sekitar Laut China Selatan untuk memudahkan orang ramai menikmati keindahan alam
semula jadi. Tugas menyediakan kemudahan ini akan lebih berkesan sekiranya kerajaan sentiasa
mengawasi syarikat yang ditugaskan untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan tersebut.
Kemudahan penginapan yang selesa seperti hotel, chalet, dan sebagainya turut menjadi
faktor penting dalam menarik ramai pelancong mengunjungi negara kita. Kemudahan penginapan
penting kerana ini akan menentukan sarna ada seseorang pelancong itu akan tinggal lama atau
sebaliknya. Jika tempat penginapan selesa dan lengkap, hal ini akan mendorong seseorang
pelancong itu tinggal lebih lama di negara ini sekali gus membolehkan negara memperoleh lebih
banyak mata wang asing. Pembinaan hotel dan rumah penginapan yang tumbuh seperti
cendawan tumbuh selepas hujan di bandar atau di desa di seluruh negara membuktikan
kesungguhan negara dalam usaha menarik kedatangan pelancong ke negara ini. Penyediaan
kemudahan penginapan harus juga mengambil kira kadar sewa dan taraf sesebuah hotel yang
dibina itu.
Kerajaan melalui Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) wajar menyediakan
maklumat lengkap tentang sesuatu destinasi menarik yang terdapat di negara ini, khususnya di
tempat- tempat baharu yang dikenal pasti boleh menjadi daya tarikan yang menguntungkan. Hal
ini dapat dilakukan sama ada menerusi media cetak seperti risalah, buku, poster, majalah, dan
akhbar atau media elektronik seperti radio dan televisyen. Selain itu, dengan mewujudkan
halaman pelancongan dalam internet juga merupakan cara terbaik untuk memperkenalkan
Malaysia sebagai sebuah negara yang wajar dikunjungi oleh pelancong asing. Usaha LPPM
mempromosi Malaysia dengan mengiklankan negara kita pada dinding 60 buah bas di kota London
pada tahun lalu menandakan usaha serius pihak terbabit dalam nenarik lebih banyak pelancong
datang ke negara ini. Jika maklumat yang lengkap sampai ke pengetahuan pelancong, mereka
tentunya akan datang melawat negara kita pada suatu hari kelak.
Kepelbagaian kebudayaan dan adat resam penduduk tempatan juga dapat menarik banyak
pelancong datang ke negara ini. Malaysia yang memang kaya dengan pelbagai jenis kebudayaan
seperti tarian Melayu, India, Cina, dan suku kaum di Sabah serta Sarawak mampu menghiburkan
pelancong, khususnya kepada pelancong yang gemar kepada sesuatu yang baru. Kebanyakan
pelancong memang gemar melihat kehidupan masyarakat di sesuatu tempat. Rumah Budaya di
Kuching, Sarawak menempatkan pelbagai jenis rumah dan kebudayaan suku kaum di negeri
berkenaan dan sentiasa menjadi tumpuan pelancong yang berkunjung ke sana. Kementerian
terbabit harus menjadikan pelbagai budaya yang unik di negara kita sebagai daya tarikan utama
dalam membangunkan industri pelancongan dengan rnemperkemas persembahan yang sedia
ada.
Mengadakan promosi di luar negara juga merupakan langkah yang wajar dilakukan oleh
LPPM dalam usaha menarik lebih banyak pelancong mengunjungi negara ini. Pelbagai aktiviti
seperti rnengadakan Minggu Malaysia di beberapa buah negara di seluruh dunia dan acara
pertukaran delegasi kebudayaan dengan negara tertentu adalah antara usaha berkesan

memperkenalkan Malaysia kepada pelancong asing. Tindakan Kementerian Kebudayaan, Kesenian


dan Pelancongan membuka pusat penerangan di beberapa buah negara membuktikan bahawa
usaha yang berterusan telah dilakukan dalam menarik pelancong. Buktinya, program seperti
Tahun Melawat Malaysia (TMM) ternyata berjaya menarik ramai pelancong datang ke negara ini,
sekali gus memberi keuntungan besar melalui tukaran mata wang asing. Promosi pula perlu
dipertingkat bagi menarik kehadiran pelancong walaupun terpaksa rnembelanjakan wang yang
besar, namun pulangannya juga lumayan.
Berdasarkan penerangan di atas, jelas bahawa pelbagai cara boleh dilakukan dalam usaha
menarik pelancong datang ke negara ini. Oleh itu, pihak terbabit harus memikirkan kaedah lain
yang lebih berkesan, mudah, dan tidak memerlukan perbelanjaan yang besar sejajar dengan
keadaan ekonomi negara yang meruncing dewasa ini. Jadi, tanggungjawab untuk mempromosi
keunikan dan keindahan alam semula jadi negara kita kepada pelancong harus dikongsi bersama
kerana rakyat juga akan mendapat manfaatnya. Industri pelancongan di negara ini akan terus
berkembang dan menjadi penyumbang utama kepada pendapatan negara jika diusahakan secara
lebih profesional.

Anda mungkin juga menyukai