Anda di halaman 1dari 14

BAB 11

KEMAHIRAN PEMIKIRAN DALAM


KOMUNIKASI

OBJEKTIF BAB
Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya dapat:
1. Menjelaskan takrifan pemikiran kritikal, kreatif dan saintifik.
2. Menghuraikan ciri-ciri setiap jenis pemikiran tersebut.
3. Membincangkan aplikasi pemikiran tersebut dalam bidang
komunikasi.

11.1

PENGENALAN

Dalam bab-bab yang terdahulu anda telah didedahkan dengan proses


komunikasi dan seterusnya bidang-bidang komunikasi secara khusus. Jika
diamati dengan baik, sedar atau tidak bahawa komunikasi merupakan
satu bidang pengajian yang agak luas. Misalnya dalam bab enam,
komunikasi diperlihatkan sebagai satu bidang yang memerlukan
kemahiran tertentu pada tahap-tahap yang tertentu. Cara kita
berkomunikasi apabila berhadapan dengan seseorang adalah berbeza
apabila berhadapan dengan sekumpulan kecil manusia atau dalam
kumpulan yang besar. Kemahiran yang pelbagai juga diperlukan apabila
kita mengurus aplikasi komunikasi yang berlainan.
Sebagai seorang pelajar komunikasi yang bakal menterjemahkan ilmu
melalui tugas serta peranan masing-masing, kita memerlukan kemahiran
berfikir sebelum kita boleh bertindak. Dalam bab tujuh hingga sepuluh
umpamanya, komunikasi diperlihatkan sebagai satu bidang yang dinamik
dan memerlukan kreativiti dalam perancangan dan pelaksanaan. Justeru
itu bab ini akan membincangkan tiga bentuk pemikiran yang berguna
dalam memikirkan idea-idea untuk melaksanakan aktiviti komunikasi.
Tiga jenis pemikiran yang dimaksudkan ialah Pemikiran Saintifik,
Pemikiran Kreatif dan Pemikiran Kritis.
Walau bagaimanapun, sebelum kita membincangkan ketiga-tiga jenis
pemikiran tersebut, adalah lebih baik jika dibincangkan asas-asas
pemikiran yang mendasari diri kita. Hal ini akan dikupas di bahagian
berikutnya.
175

11.2

LATAR BELAKANG SISTEM PEMIKIRAN MANUSIA

Pemikiran adalah hasilan minda yang merupakan satu pemberian dan


nikmat Allah kepada manusia. Pemikiranlah dikatakan antara aspek yang
membeza manusia dengan kehidupan lain di dunia. Malah keupayaan
pemikiran juga telah menjadikan kita sesama manusia berlainan. Menurut
Mohd. Yusof (1994), pemikiran asas manusia boleh dikategorikan kepada
emapat atau dikenali sebagai 4L iaitu luhur, lahir, logik dan lateral.
Rajah 11.1
Sistem Pemikiran
LUHUR

LOGIK

LAHIR

LATERAL

Pemikiran luhur merupakan pemikiran yang tinggi tahapnya dan


dikaitkan dengan minda yang membicarakan tentang ketuhanan. Luhur
adalah pemikiran yang dianggap sebagai suci berdasarkan kepada aspek
ketauhidan (hal-hal ketuhanan), keimanan dan ketakwaan. Pemikiran
luhur jika dibina dengan teguh pastinya mempengaruhi pemikiranpemikiran lain ke arah kebaikan. Sementara itu pemikiran lahir pula
merujuk kepada keupayaan berfikir manusia ketika di peringkat rahim
hinggalah ke enam tahun. Pemikiran lahir jelas menunjukkan bahawa
manusia telah dan boleh berfikir sejak awal lagi. Pemikiran di peringkat
inilah dikatakan seterusnya mempengaruhi pemikiran seseorang apabila
meningkat kanak-kanak, remaja dan dewasa.
Di samping keupayaan manusia berfikir tentang ilmu-ilmu ketuhanan,
Allah juga menganugerahkan manusia dengan dua lagi ilmu pemikiran
untuk manusia hidup di dunia. Pemikiran logik merujuk kepada satu
bentuk pemikiran yang membolehkan manusia mempelajari, memahami
dan menjelaskan ilmu-ilmu sains dan matematik. Pemikiran logik ini
merupakan pemikiran yang didasari di bahagian otak sebelah kiri
manusia. Logik memerlukan manusia untuk menyatakan bukti, hujah,
fakta, alasan dan kebenaran. Manakala bagi pemikiran lateral pula ia
mampu menghasilkan minda yang bersifat kreatif, inovatif, imaginasi,
176

rekaan dan khayalan. Pemikiran ini yang didasari oleh otak sebelah kanan
membolehkan manusia untuk melihat atau menilai sesuatu perkara secara
subjektif berbanding dengan pemikiran logik bersifat objektif.
Berdasarkan kupasan di atas maka ia menjelaskan kepada kita bagaimana
sistem pemikiran kita berfungsi. Oleh itu, tiga bentuk pemikiran yang
bakal kita bincangkan dengan lebih lanjut merupakan pemikiran yang
dikategorikan dalam pemikiran logik dan lateral. Walau bagaimanapun,
sebagai seorang insan, setiap pemikiran logik mahupun lateral perlu
ditunjangi oleh pemikiran luhur. Kedua-dua pemikiran tersebut tidak
bersifat sendirian tetapi bergantungan dengan pemikiran luhur. Apabila
pemikiran luhur itu diabaikan atau lemah, maka inilah yang menyebabkan
idea atau pemikiran kita menghasilkan keburukan dan bencana kepada
masyarakat.
Sebagai contoh, keupayaan pemikiran manusia mencipta media massa
umpamanya adalah satu kehebatan yang dikurniakan oleh Tuhan kepada
kita. Tetapi apabila pemikiran lateral yang digunakan tidak lagi
bertunjangkan pemikiran luhur, kita menjadi terlalu kreatif menghasilkan
pelbagai filem yang melalaikan dan mencemarkan masyarakat. Orang
politik dikurniakan pemikiran logik yang hebat oleh Tuhan namun
apabila tidak bersandarkan pemikiran luhur maka cakapnya saja yang
petah tetapi tindakannya kosong. Begitulah halnya dalam masyarakat kita
hari ini, pelbagai idea dan produk yang menjejaskan masyarakat
dihasilkan. Kesemua ini berlaku akibat kelogikan dan kelateralan
pemikiran manusia sudah tidak lagi bertunjangkan kepada pemikiran
luhur. Dalam erti kata lain tindakan kita adalah hasil pemikiran lateral.
Sekiranya setiap pemikiran lateral dan tindakan kita tidak ditunjangi
pemikiran luhur maka hasilnya adalah idea, produk atau tingkah laku
yang bertentangan dengan ajaran agama.
Jika anda berminat untuk mendapatkan penjelasan lanjut
berhubung sistem pemikiran 4L anda disaran merujuk
Mohd. Yusof Hasan. (1994). Pemikiran saintifik (SP4L).
Sintok: Sekolah Bahasa & Pemikiran Saintifik, UUM.
11.3

PEMIKIRAN SAINTIFIK

Masihkah anda ingat tentang hubungan komunikasi dengan sains sosial


seawal perbincangan di bab satu? Apakah yang dikatakan sebagai sains
sosial itu? Apabila kita menyebut tentang sains, ia merujuk kepada usaha
memikir dan menganalisis sesuatu secara sistematik dan empirikal.
Menurut Schafersman (1994), sains ialah satu kaedah menyelidik kejadian
alam bagi tujuan memastikan sesuatu ilmu dan pemahaman. Maka
pemikiran saintifik ialah satu proses berfikir tentang kejadian alam yang
177

mementingkan soal pengkaedahan menyelidik bukannya berasaskan


kepercayaan. Dengan erti kata lain pemikiran saintifik adalah kaedah
berfikir yang berusaha membuktikan kebenaran sesuatu kepercayaan.
Dalam pemikiran ini apa yang ditegaskan ialah tentang apa yang berlaku
atau realiti kejadian sesuatu perkara. Untuk itu terdapat tiga komponen
mendasari pemikiran saintifik iaitu bukti empirikal, penghujahan logik
dan sikap mencurigai (scepticism). Apabila kesemua prinsip tersebut
diamalkan maka satu proses penghasilan rumusan yang sistematik dan
rasional telah wujud.
11.3.1 Bukti Empirikal
Bukti empirikal merujuk kepada bukti secara nyata. Pemikiran saintifik
berkehendakkan sesuatu bukti yang boleh menepati keadaan seperti
dilihat, didengar, disentuh, dirasa atau dihidu. Dengan kata lain hujahhujah dalam pemikiran saintifik merupakan hujah yang boleh dikesan
oleh salah satu atau semua deria manusia. Bukti empirikal penting
menurut pemikiran ini kerana ia dikatakan bukti yang boleh dipercayai
memandangkan boleh dikesan oleh deria manusia. Selain itu, bukti
empirikal juga dikatakan bukan sahaja boleh dikesan oleh individu yang
mengkaji malah turut boleh dikesan oleh pihak lain juga. Dengan
demikian pembuktian yang wujud adalah dianggap sebagai nyata dan
bukan sekadar andaian memandangkan ia turut dialami oleh pihak ketiga.
Sebagai contohnya kalau saya katakan cara saya berkomunikasi adalah
berkesan maka buktinya bukan sahaja boleh dikesan oleh saya malah
anda dan orang lain juga boleh mengenalpastinya.
11.3.2 Penghujahan Logik
Rasionalisme atau penghujahan berasaskan logik merupakan satu
komponen pemikiran saintifik yang merujuk kepada hujahan yang tepat
dan betul. Hujah logik adalah hujah yang bukan dipengaruhi atau
didasarkan kepada perasaan. Penghujahan logik adalah penjelasan
mengenai sesuatu perkara menurut realiti kejadian. Kita seringkali
memberi jawapan atau hujah terhadap sesuatu perkara namun selalunya
dipengaruhi oleh perasaan. Adalah dikatakan bahawa memang sukar
untuk manusia berhujah secara logik. Namun ia boleh dibina menerusi
kaedah pengucapan, penulisan dan juga kemahiran matematik. Apabila
kita berucap atau menulis tentang sesuatu perkara, kita akan cuba sedaya
upaya untuk memberikan kefahaman kepada pembaca dan juga membuat
mereka percaya dengan apa yang ingin disampaikan. Kebiasaannya hal ini
dilakukan dengan mengemukakan hujah-hujah yang bernas atau
berasaskan fakta-fakta yang nyata. Matematik juga boleh meningkatkan
penghujahan logik seseorang kerana setiap jawapan yang diberikan
178

melalui prinsip-prinsip dan prosedur-prosedur tertentu. Jawapan hanya


akan betul dan boleh diterima apabila proses mencari jawapan adalah
betul.
11.3.3 Sikap Mencurigai (Skepticism)
Keperluan untuk sentiasa mempersoal kepercayaan dan rumusan tentang
sesuatu perkara juga merupakan elemen yang membentuk pemikiran
saintifik. Sikap tersebutlah yang diertikan sebagai skeptisisme. Demi
mendapatkan bukti dan huraian terbaik dan betul maka sesuatu perkara
itu harus dipersoal dari masa ke masa. Dengan kata lain pemikiran
saintifik memerlukan individu peka dan sentiasa bersikap ragu untuk
menilai bukti, penjelasan dan sebab musabab secara berterusan.
Seseorang tidak boleh mudah menerima sesuatu rumusan dengan
mudah. Sebaliknya rumusan atau sesuatu jawapan itu mesti dinilai dan
diselidiki kebolehpercayaannya. Dengan berbuat demikian maka
seseorang membuka ruang bagi menerima kemungkinan-kemungkinan
yang bakal wujud untuk mengukuhkan lagi jawapan atau sesuatu
rumusan. Dalam bahasa akademiknya wujud skeptis bukanlah satu
bentuk pemikiran yang sempit sebaliknya ia mengasuh membuka minda
kita untuk meraih jawapan dan ilmu yang terbaik.
Awan mendung menyebabkan hujan. Apakah kenyataan
tersebut merupakan satu hujah logik?
11.4 PEMIKIRAN KREATIF
Anda sering mendengar atau diseru untuk berfikiran kreatif. Apakah
sebenarnya yang dimaksudkan dengan pemikiran kreatif? Menurut Harris
(1998) pemikiran kreatif merupakan pemikiran yang mempunyai
keupayaan, sikap dan proses ke arah penambahbaikan. Pemikiran kreatif
ialah kemampuan memikirkan sesuatu yang baru melalui pelaksanaan
perubahan, gabungan atau aplikasi semula sesuatu idea. Individu kreatif
juga dirujuk sebagai bersikap mampu menerima perubahan dan
pembaharuan. Proses dalam pemikiran ini bersifat berterusan ke arah
keadaan atau idea yang lebih baik secara berperingkat.
Untuk menjelaskan dengan lebih lanjut tentang pemikiran ini, terdapat
lima prinsip atau asas yang membentuknya. Kelima-lima prinsip tersebut
ialah evolusi, sentisis, revolusi, aplikasi-semula dan perubahan aliran.
Apabila anda meneruskan bacaan terhadap kelima-lima prinsip tersebut
anda akan mendapati bahawa setiap satunya ada menghasilkan
pembaharuan atau perubahan. Keadaan tersebutlah yang mewujudkan
kreativiti.
179

Rajah 11.2
Lima Prinsip Pemikiran Kreatif

SENTISIS

EVOLUSI
APLIKASI
SEMULA

Pemikiran
Kreatif
PERUBAHAN
ALIRAN

REVOLUSI

11.4.1 Evolusi
Menurut pemikiran kreatif, perubahan adalah secara peningkatan.
Sesuatu itu akan berubah akibat apa yang dimiliki pada masa lalu. Perkara
baru adalah peningkatan atau bertambah baik daripada situasi yang lama.
Apabila perubahan ini berterusan (evolusi), akhirnya perubahan itu
kelihatan satu yang besar atau hebat. Masihkah anda ingat bagaimana
rupa telefon bimbit pada peringkat awal diperkenalkan iaitu sekitar awal
tahun 1990-an? Saiznya agak besar, berat, hanya boleh berkomunikasi
secara lisan sahaja dan pemaparannya adalah hitam-putih sahaja. Setelah
lebih sedekad, kini rupanya lebih canggih, kecil dan menyediakan
pelbagai fungsi. Inilah yang dimaksudkan dengan kreatif secara evolusi.
11.4.2 Sintesis
Pemikiran kreatif adalah pemikiran yang senantiasa membicarakan
tentang pembentukan kesatuan dalam kepelbagaian. Idea-idea yang
difikirkan rasional dan perlu, digabungjalinkan membentuk satu idea
besar yang satu. Satu-satu idea dalam pemikiran kreatif sebenarnya
merupakan idea terbaik hasil penyatuan idea-idea lain yang bersesuaian.
Kalau dahulu orang buta tidak berpeluang menggunakan internet, kini
mereka boleh berbuat demikian kerana sudah ada internet yang bersuara
dengan memberi penjelasan terhadap mana-mana bahagian yang
diklikkan. Contoh tersebut menggambarkan tentang kreativiti secara
sintesis.
11.4.3 Revolusi
Dalam pemikiran kreatif, adakalanya perubahan atau pembaharuan
secara total dapat menjana sesuatu yang baru. Prinsip revolusi
menerangkan bahawa adakalanya perkara sedia ada ditukar terus dengan
180

yang baru. Dalam bidang teknologi komunikasi umpamanya, automasi


pejabat seperti mesin taip tidak lagi digunakan memandangkan komputer
bukan sahaja boleh mengambil alih fungsi mesin taip tetapi pelbagai
peranan boleh dilaksanakan oleh komputer. Kalau dahulunya surat perlu
ditaip dan dihantar kepada penerimanya, tetapi kini dengan penciptaan emel surat boleh sampai dengan lebih pantas dan tepat. E-mel telah
dijadikan sebagai pengganti kepada surat biasa.
11.4.4 Aplikasi-Semula
Satu lagi prinsip pemikiran kreatif ialah aplikasi-semula iaitu melihat
dengan cara yang baru terhadap perkara sedia ada atau lama. Terdapat
beberapa perkara sedia ada yang agak sukar digantikan atau diubah
kerana ia masih sesuai. Namun pemikir kreatif akan memikirkan
kesesuaian perkara tersebut untuk diaplikasikan terhadap aspek lain.
Pemikiran kreatif tidak mengamal prejudis tetapi memikir mencari
aplikasi baru untuk sesuatu perkara. Sebagi contoh telefon, dari dahulu
kita tahu bahawa alat telekomunikasi tersebut berfungsi sebagai alat
interaksi. Tetapi kini ia juga telah digunakan sebagai alat perniagaan
seperti teleperbankan dan sebagainya. Dengan asas yang sama alat
tersebut kini telah dipelbagaikan fungsinya pula.
11.4.5 Perubahan Aliran
Kecelikan kreatif yang merujuk kepada perubahan aliran adalah
merupakan satu kaedah menilai dan meninjau sesuatu dari sudut yang
berbeza. Pencarian jalan penyelesaian merupakan matlamat dalam
pemikiran ini. Sesuatu perkara harus difikirkan berasaskan kepada punca
kejadiannya dan bukan andaian terhadap kejadian tersebut. Perubahan
aliran mendidik individu untuk sentiasa mencari jalan penyelesaian
menerusi fokus atau perspektif yang berbeza.
SOALAN DALAM TEKS
1. Untuk menarik minat pelanggan khususnya
kaum lelaki, syarikat C telah menonjolkan imej
lelaki separuh bogel yang kelihatan begitu segar
apabila menggunakan sabun syarikatnya.
Apakah dalam konteks masyarakat kita iklan
sebegini boleh dianggap sebagai kreatif?
Semak jawapan anda di akhir bab ini.
181

11.5

PEMIKIRAN KRITIKAL

Seterusnya anda akan dibawa untuk memahami satu lagi bentuk


pemikiran yang agak berbeza dengan prinsip dua pemikiran yang
terdahulu. Pemikiran ini dikatakan antara kaedah pemikiran yang sudah
bertapak sejak 2500 tahun dahulu. Socrates dikenal pasti sebagai
golongan awal yang mempelopori pemikiran ini. Pemikiran ini secara
reflektif bersifat mempersoal kebiasaan, kepercayaan dan penjelasan
tentang sesuatu perkara. Hal ini disebabkan para pengasas pemikiran ini
percaya bahawa sesuatu fenomena selalunya berbeza dengan apa yang
kelihatan pada zahirnya. Sebagai tambahan, pemikiran ini tidak percaya
terhadap perkara yang kelihatan disebabkan ia dianggap hanya bersifat
permukaan tidak mendalam. Daripada penjelasan-penjelasan ringkas tadi,
dapat kita simpulkan bahawa pemikiran kritikal bersifat memahami
sesuatu perkara secara mendalam, meluas, sistematik dan komprehensif
(Paul, Elder & Bertell, 1997).
Rajah 11.3
Enam Prinsip Pemikiran Kritikal
KESIMPULAN
HAKIKAT

ANALISIS
PENTAFSIRAN

Pemikiran
Kritikal

KAWALAN
DIRI

PENJELASAN
PENILAIAN

Sebagai usaha mendapat penjelasan tentang pemikiran ini, terdapat


beberapa ciri atau prinsip yang mampu menghuraikannya. Facione (1997)
telah menggariskan enam prinsip utama dalam pemikiran kritikal seperti
yang akan dijelaskan seterusnya.
Untuk mengetahui secara
lanjut tentang pemikiran
kritikal anda disarankan
mengunjungi laman
http://www.criticalthinking.
org/aboutCT/briefHistory
CT.shtml

182

11.5.1 Pentafsiran
Pentafsiran ialah proses memahami dan menyampaikan makna yang
pelbagai terhadap pengalaman, situasi, data, kepercayaan dan penilaian.
Pentafsiran juga dapat dijelaskan sebagai pengkategorian, penjelasan kod
yang signifikan dan penjelasan makna. Prinsip ini secara tidak langsung
menjelaskan bahawa ke arah pemikiran kritikal ia memerlukan satu
proses dan penilaian yang mempunyai asas. Ia tidak hanya bersifat di
permukaan (surface) tetapi memahami sesuatu perkara dengan merujuk
kepada aspek yang menyeluruh. Setiap satu perkara dijelaskan menerusi
pelbagai sudut. Misalnya dalam menjelaskan kenapa kanak-kanak mudah
terpengaruh dengan televisyen, bukan sahaja hujah dari sudut rancangan
yang menarik diutarakan tetapi dijelaskan juga dari segi persekitaran
fizikal, keluarga dan tahap psikologi. Inilah yang dimaksudkan dengan
pentafsiran secara menyeluruh atau kritis.
11.5.2 Analisis
Analisis merupakan satu usaha mengenal pasti hubungan kenyataan,
persoalan, konsep dan huraian yang bertujuan melahirkan sesuatu
kepercayaan, penilaian, sebab musabab mahupun pandangan. Dalam
usaha memikirkan sesuatu perkara, pemikiran kritikal berkehendakkan
kepada penilaian dilakukan terhadap idea dan penghujahan. Sesuatu idea
dan hujah itu seringkali memerlukan ianya dibahas dan dipersoal
sehingga ianya menjadi kukuh. Apabila sesuatu hujah itu tidak dapat
dipersoalkan lagi maka secara tidak langsung ia telah menjadi satu hujah
yang tidak dapat dipertikaikan sekurang-kurangnya pada masa tersebut.
Proses ini akan menjadikan idea menerusi pemikiran kritikal ini
mendalam dari segi penjelasannya.
11.5.3 Penilaian
Prinsip ini merujuk kepada penilaian terhadap kenyataan atau elemenelemen yang mewakili sesuatu sumber itu. Penilaian harus dilakukan
terhadap sumber yang memberikan idea atau hujah dengan merujuk
kepada persepsi, pengalaman, kepercayaan dan situasi sumber itu.
Sebagai contoh, jika sesebuah stesen media itu dimiliki oleh pihak A,
kebiasaannya apa sahaja yang disiarkan akan mewakili atau menzahirkan
unsur-unsur yang ada pada A. Dengan kata lain penilaian ini merujuk
kepada proses mengenal pasti kebolehpercayaan terhadap sumber.
11.5.4 Kesimpulan Hakikat
Seterusnya pemikiran kritikal menekankan kepada satu proses yang
kukuh dalam menghasilkan rumusan. Sesuatu rumusan yang munasabah
183

terhasil melalui pengumpulan fakta yang lengkap, pembentukan andaianandaian, dapatan bukti dan akhirnya menggariskan dapatan. Bagaimana
sesuatu idea itu sampai kepada kesimpulannya merupakan aspek penting
dalam menghakiminya.
11.5.5 Penjelasan
Prinsip berikutnya ialah keupayaan dan kekukuhan dalam membuat
penjelasan. Penjelasan merujuk kepada keupayaan untuk menyatakan
sesuatu idea berserta sebab musabab yang wajar. Penjelasan juga merujuk
kepada keupayaan untuk membentuk suatu piawaian bagi menunjukkan
bahawa sebab musabab itu ada kualiti. Dalam pemikiran kritikal, sesuatu
idea perlu dilengkapi dengan hujah-hujah yang konkrit. Selain itu, yang
dimaksudkan mempunyai piawai ialah sandaran-sandaran hujah itu
adalah didasarkan kepada idea atau sarjana yang sudah diakui. Dengan
berbuat demikian maka penjelasan itu menjadi kukuh.
11.5.6 Kawalan Diri
Pemikiran kritikal bukan sahaja satu bentuk pemikiran yang berpusat
kepada mempersoal apa yang dinyatakan oleh pihak lain, tetapi ia juga
turut mempersoal pemikiran kita sendiri. Inilah yang dimaksudkan
dengan kawalan diri. Terdapat dua bentuk aspek dalam kawalan diri ini
iaitu pengujian-diri (self-examination) dan pembetulan-diri (self-correction).
Bagi menjamin idea yang bakal seseorang itu hasilkan, maka perlu
dipersoalkan diri sendiri agar idea dan hujah yang bakal dihasilkan tidak
bias dan menjauhi kepentingan diri. Seterusnya seseorang itu juga perlu
ada keupayaan untuk memperbetul idea dan hujahnya dari semasa ke
semasa. Dengan berbuat demikian maka idea yang dikemukakan adalah
yang terbaik.
11.6 HUBUNGAN KOMUNIKASI DENGAN PEMIKIRAN
Kini anda berada semakin hampir dengan penghujung kursus ini.
Masihkah anda ingat akan proses komunikasi? Jika tidak, sila rujuk
kembali Bab 3 modul ini. Sekadar mengimbas sepintas lalu, komunikasi
merupakan satu proses pengaliran mesej dari satu pihak kepada pihak
lain dengan menggunakan saluran tertentu dengan tujuan tertentu. Kalau
anda amati betul-betul, ringkasnya ada peringkat dalam menghasilkan
satu-satu komunikasi. Peringkat yang pertama ialah penilaian yakni kita
sebagai komunikator menilai keupayaan kita untuk berkomunikasi
dengan orang lain dan juga kita menilai penerima dari segi keupayaannya
menerima mesej kita. Peringkat yang kedua pula ialah perancangan. Ini
bermaksud setelah kita mempunyai maklumat awal tentang kita dan juga
penerima maka kita akan membuat perancangan bagaimana komunikasi
184

itu hendak dilaksanakan dengan cara terbaik. Seterusnya setelah


persiapan dibuat maka proses pelaksanaan pula berlaku iaitu
komunikator mengaplikasikan segala perancangannya untuk menyalurkan
mesej tersebut.
Berdasarkan penerangan di atas, setiap peringkat atau proses komunikasi
itu memerlukan komunikator dan juga komuniken untuk melaksanakan
proses pemikiran. Dikenal pasti bahawa setiap peringkat komunikasi
mempunyai hubungan dengan bentuk-bentuk pemikiran tertentu.
Fenomena ini dapat digambarkan menerusi Rajah 11.4 berikut:
Rajah 11.4
Hubungan Proses Komunikasi dengan Pemikiran

Komuniken/
Komunikator

Komunikator/
Komuniken
Penilaian

Perancangan

Pelaksanaan

Saintifik
Kritikal

Kritikal
Kreatif

Kreatif

11.6.1 Hubungan Pemikiran dengan Penilaian Komunikasi


Kebiasaannya apabila kita hendak melaksanakan sesuatu aktiviti
komunikasi maka kita perlu menilai diri dan juga komuniken (penerima).
Antara aspek yang perlu diteliti ialah latar belakang dari segi bahasa
kefahaman, keupayaan fizikal, tahap pengetahuan dan sebagainya. Aspekaspek tersebut akan memberi kesan secara langsung terhadap akses dan
kesampaian mesej. Pada tahap ini penyampai seharusnya mempunyai
maklumat asas tentang penerima. Ini boleh dilaksanakan melalui
penilaian-penilaian tertentu. Dalam bidang komunikasi khususnya dalam
kursus-kursus yang bakal anda pelajari kelak, beberapa penilaian
antaranya dikenali penilaian analisis khalayak, analisis mesej dan analisis
media perlu anda lakukan. Dalam hal ini pemikiran saintifik dan
pemikiran kritikal boleh diaplikasikan.
Sebagaimana yang telah dijelaskan pada bahagian 11.3 dan 11.5,
pemikiran-pemikiran ini boleh diaplikasikan memandangkan ia dapat
menghasilkan fakta atau maklumat yang sebenar tentang sesuatu perkara.
Misalnya pemikiran saintifik, dapat menyediakan hasil maklumat yang
empirikal atau yang objektif berhubung sesuatu perkara. Ini dapat
memberikan satu gambaran tentang keadaan penerima atau sesuatu
185

komunikasi. Manakala pemikiran kritikal pula mampu menyediakan


gambaran yang mendalam berhubung sesuatu aspek komunikasi
mahupun penerima-penerima mesej. Dengan adanya maklumat yang
empirikal, logik, sahih, mendalam dan terperinci, maka ia menjadi input
yang cukup berguna kepada komunikator dan seterusnya dapat
membantu perancangan komunikasi itu pula. Maklumat awal berhubung
segala aspek sebelum sesuatu aktiviti komunikasi dijalankan adalah
penting kepada proses perancangan komunikasi seterusnya. Input yang
baik akan menjurus ke arah hasil komunikasi yang baik.
11.6.2 Hubungan Pemikiran dengan Perancangan Komunikasi
Perancangan komunikasi merujuk kepada proses-proses yang terlibat
dalam usaha membentuk strategi dan mesej yang akan digunakan.
Kebiasaannya pada peringkat ini komunikator akan menggariskan
matlamat, membentuk mesej dan memilih saluran yang terbaik.
Perancangan juga melibatkan kegiatan mengenal pasti keupayaan diri atau
organisasi dalam melaksanakan sesuatu kegiatan komunikasi.
Selain memperoleh input menerusi peringkat penilaian, sebagai
komunikator anda sewajarnya senantiasa menilai dan membandingkan
bahan-bahan komunikasi yang dihasilkan dengan keupayaan penerimaan.
Bahan-bahan yang dihasilkan dan pemilihan strategi perlu dipersoal akan
keupayaannya. Ini memerlukan anda mempunyai pemikiran yang kritikal
terhadap diri (komunikator) dan juga penerima (komuniken). Kemahiran
ini dapat dicapai melalui pelaksanaan pemikiran kritikal. Ini kerana salah
satu asas pemikiran kritikal ialah kawalan-diri yakni senantiasa
mempersoal akan sesuatu agar ia dapat menghasilkan penambahbaikan
dan bersifat sebenarnya. Di samping itu, sifat memikirkan kaedah dan
strategi terbaik serta berbeza penting dalam menjamin proses penyaluran
mesej adalah menarik dan boleh diterima. Dalam hal ini kreativiti adalah
penting. Justeru itu pemikiran kreatif merupakan satu keperluan sebagai
komunikator.
Umpamanya kemalangan jalan raya merupakan satu fenomena yang
berterusan. Sebagai langkah menangani masalah ini antara lain adalah
memberi kesedaran kepada masyarakat. Oleh yang demikian bentuk
mesej yang baru dan juga media yang baru adalah diperlukan. Jika
kaedah, bentuk dan cara yang sama digunakan maka kemungkinan
hasilnya tidak seberapa. Jadi kita memerlukan idea yang lebih inovasi,
kreatif dan sesuai dengan cita rasa khalayak masa kini. Kesemua ini hanya
akan dapat tercapai jika diaplikasikan pemikiran kreatif dalam
perancangan komunikasi.

186

Begitu juga komunikasi dalam sesebuah organisasi. Mungkin hari ini satu
cara untuk meningkatkan akses maklumat maka kepelbagaian media
boleh digunakan. Maklumat yang berbentuk bercetak boleh difikirkan
diterjemahkan dalam bentuk audio dan visual. Disalurkan pula menerusi
media yang paling tinggi aksesnya terhadap penerima seperti melalui emel, internet mahupun sistem pesanan mesej ringkas atau sistem mesej
multimedia. Dengan adanya perancangan yang kreatif dan kritis maka ia
membantu pencapaian matlamat komunikasi.
11.6.3 Hubungan Pemikiran dengan Pelaksanaan Komunikasi
Seterusnya anda akan didedahkan pula dengan aspek pelaksanaan aktiviti
komunikasi dan hubung kaitnya dengan pemikiran. Pelaksanaan
merupakan satu lagi aspek yang begitu penting. Malah ada yang
berpandangan peringkat inilah yang utama dan memainkan peranan
besar dalam kejayaan sesebuah komunikasi. Apabila sesuatu perancangan
komunikasi itu hendak dilaksanakan, komunikator harus memikir cara
penyampaian yang paling berkesan. Adakalanya juga pelaksanaan itu
harus dibuat sedikit pengubahsuaian agar ia dapat menyesuaikan dengan
persekitaran penerimanya.
Pelaksanaan juga memerlukan startegi pemikiran yang inovatif dan
kreatif. Untuk itu pemikiran kreatif seringkali dikaitkan dengan aplikasi
pemikiran dalam pelaksanaan sesuatu komunikasi. Sebagaimana
dijelaskan di bahagian 11.3, pemikiran kreatif merujuk kepada pemikiran
yang menjurus ke arah perubahan secara penambahbaikan. Pemikiran ini
perlu memandangkan hakikat bahawa manusia sendiri berubah secara
evolusi dan tanpa disedari. Sesuatu kaedah pelaksanaan yang berjaya pada
masa lalu mungkin sudah tidak sesuai pada masa sekarang walaupun
kepada kumpulan penerima yang sama.
11.7 RUMUSAN
Pemikiran merupakan satu ilmu dan kemahiran yang bergerak seiring
dengan ilmu-ilmu sains sosial yang lain. Pemikiranlah yang telah
mencorakkan perubahan dan pembaharuan dalam sesuatu ilmu itu.
Begitu juga dalam bidang komunikasi, kini para sarjana berpendapat
bahawa perlunya kepelbagaian pemikiran dalam mencetus dan mengupas
sesuatu aspek komunikasi. Kejayaan berbuat demikian memperlihatkan
bahawa bidang ini terus releven (Anderson & Baym, 2004). Dalam
konteks pengajian komunikasi, satu bidang yang cukup dinamik maka
kita tidak boleh lari daripada membicarakan tentang pemikiran. Menerusi
bentuk-bentuk pemikiran yang telah kita bincangkan, dapat disimpulkan
bahawa kesemua pemikiran itu mempunyai fungsi dan peranan tertentu
bagi setiap peringkat proses komunikasi.
187

Pemikiran bukanlah satu bentuk atau ilmu baru kepada setiap kita.
Aplikasi dan pelaksanaannya telah kita amalkan selalu. Hanya kita yang
tidak sedar apakah bentuk dan kesesuaian pemikiran yang telah
dilakukan. Walau bagaimanapun, perlu dipertegas bahawa setiap
pemikiran itu akan berfungsi dengan baik dan menyumbang secara
positif jika sekiranya ia ditunjangi oleh pemikiran luhur. Dengan erti kata
lain, setiap pemikiran yang telah dikupas harus diaplikasikan seiring
dengan pemikiran yang utama iaitu pemikiran luhur.
SOALAN PENILAIAN KENDIRI
1.

Jelaskan DUA (2) perbezaan antara pemikiran saintifik dengan


pemikiran kritikal.

2.

Bincangkan dengan ringkas bagaimana ketiga-tiga bentuk


pemikiran yang telah dibincangkan mempengaruhi komunikasi
interpersonal?

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.


JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS
1.

Secara ringkasnya iklan tersebut bukan merupakan iklan yang


kreatif. Sebagaimana yang telah dijelaskan pada awal bahagian
11.2 dan juga dalam rumusan di 11.7, setiap pemikiran itu harus
seiring dengan pemikiran luhur.

188