Anda di halaman 1dari 1

Karangan A SPM : Kepentingan Mengadakan Rumah Terbuka Pada Hari Perayaan

Sudah terang lagi bersuluh, hari perayaan merupakan sambutan rasmi yang lazim dilakukan di di
negara Malaysia. Setiap perayaan di negara kiat berbeza-beza mengikut bangsa masing-masing. Tamsilnya,
bangsa Melayu menyambut Hari Raya Aidilfitri, bangsa Cina menyambut Tahun Baru Cina dan bangsa
India menyambut Deepavali. Sehubungan dengan itu, rumah terbuka acap kali diadakan semasa
menyambut perayaan-perayaan ini. Majlis rumah terbuka sudah menjadi amalan masyarakat Malaysia.
Kerajaan juga menggalakkan rakyat mengadakan rumah terbuka supaya penduduk yang berbilang kaum
dapat mengenali antara satu sama lain. Secara tidak langsung, hal ini dapat mewujudkan perpaduan kaum
dalam kalangan masyarakat di negara ini. Terdapat banyak kepentingan mengadakan rumah terbuka pada
hari perayaan.
Salah satu kepentingan menganjurkan rumah terbuka ialah majlis ini mendorong masyarakat
mengeratkan silaturahim tanpa mengira kaum dan agam. Dalam majlis yang diadakan, semua tetamu yang
menghadiri majlis rumah terbuka itu dapat bertanyakan khabar dan berkenalan antara satu sama lain sambil
menikmati makanan yang disajikan. Dengan itu hubungan silaturahi dapat dipererat dan secara tidak
langsung perpaduan dapat dicapai. Perpaduan yang terjalin sekali gus dapat memudahkan pencapaian misi
dan visi negara dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa. Jadi, setiap kaum di Malaysia
boleh berkunjung ke rumah terbuka kaum lain tanpa sebarang halanganyang perlu dibimbangi. Tegasnya,
konsep penyatuan antara kaum dapat dihidupkan melalui amalan rumah terbuka.
Di samping mengeratkan silaturahim, amalan rumah terbuka ini juga dapat membantu masyarakat
mengenali budaya sesuatu kaum. Mereka hanya akan merayakan perayaan itu bersama-sama walaupun
mereka berbeza latar belakang, budaya dan juga agama. Amalan ini juga membolehkan setiap kaum
mengenali juadah kaum-kaum lain, memahami antara satu sama lain selain didedahkan kepada adat resam
dan pantang larang dalam kalangan rakan-rakan mereka sendiri. Sebagai contoh, orang-orang India, Cina,
Iban, Kadazan dan sebagainya merayakan sambutan Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayu dan
begitu juga sebaliknya. Hal ini dapat membantu mereka mempelajari budaya dan adat kaum lain lain serta
budaya yang sihat juga dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita.
Pendek kata, budaya dan adat resam kaum lain dapt dipelajari melalui amalan murni ini.
Selain itu, amalan rumah terbuka dapat melahirkan perasaan hormat dan bermaaf-maafan. Hal ini
wujud apabila kita menghadiri rumah terbuka yang tuan rumahnya lebih berusia, tetamu yang muda akan
berasa hormat dan menyalamnya. Bukan itu sahaja, amalan bermaaf-maafan juga menjadi tradisi apabila
datangnya hari perayaan. Di samping itu, amalan rumah terbuka dapat mengurangkan perasaan rendah diri
akibat perbezaan taraf hidup. Hal ini kerana apabila majlis rumah terbuka dianjurkan, semua tetamu
dijemput hadir tanpa mengira miskin atau kaya. Tuan rumah akan melayan semua tetamu yang hadir
dengan layanan yang sama rata. Dengan itu, mereka yang miskin akan berasa dihargai dan gembira dengan
layanan yang diberikan oleh tuan rumah.
Bayangan yang samar kian jelas bahawa amalan rumah terbuka lebih banyak membawa kepentingan
serta kebaikan kepada negara dan masyarakat. Oleh itu, konsep rumah terbuka perlu dihayati dengan
mendalam oleh semua pihak. Sekiranya konsep ini tidak difahami dan dihayati, ditakuti amalan ini akan
mendatangkan keburukan atau sekadar syarat sahaja untuk menganjurkannya. Kita tidak mahu menjadi
seperti rumah sudah siap baru pahat berbunyi apabila menganjurkan rumah terbuka. Jika amalan murni ini
dibudayakan sudah pasti hasrat negara untuk mencapai Gagasan Satu Malaysia akan menjadi realiti dan
bukannya angan-angan Mat Jenin. Walaupun negara kita merupakan satu titik kecil di dalam peta dunia
namun usaha untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa dapat dijadikan teladan kepada mata
dunia.