Amalan Gaya Hidup Sihat
Amalan Gaya Hidup Sihat
Salah satu langkah yang perlu kita beri perhatian untuk menjaga kesihatan adalah dengan
menjaga kebersihan persekitaran tempat tinggal. Keadaan di dalam dan di luar rumah
hendaklah bersih daripada sampah sarap dan tempat-tempat air bertakung. Perkara ini akan
dapat menghapuskan tempat pembiakan agen-agen penyakit seperti lalat, tikus, nyamuk dan
lain-lain. Kita perlulah menyahut seruan kempen yang dilancarkan oleh Majlis Perbandaran
Kota Bharu Bandar Raya Islam iaitu kempen Jumpa Sampah Kutip dan kempen
Memerangi LILATI (lipas,lalat dan tikus). Oleh itu, sampah perlu dibakar, dikambus atau
dibuang di tempat khas. Pasu-pasu bunga dan longkang perlu diperiksa agar air tidak
bertakung dan menjadi tempat pembiakan nyamuk. Dengan demikian, penyakit-penyakit
bawaan vektor seperti taun, malaria, dan denggi dapat dielakkan. Tegasnya, menjaga
kebersihan persekitaran merupakan langkah asas untuk kita semua ke arah mencapai tahap
kesihatan yang optimum. (131pk)
Selain itu, pemeriksaan kesihatan amat wajar dilakukan untuk memastikan kesihatan kita
berada dalam keadaan baik. Mengikut saranan pakar perubatan, seseorang perlu melakukan
pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya dua kali setahun atau enam bulan sekali.
Pemeriksaan ini meliputi tekanan darah, paras gula dalam darah, tahap kolesterol dan lainlain lagi. Tujuan pemeriksaan dibuat untuk memastikan tahap kesiahatan kita berada dalam
keadaan sihat dan dapat mengesan penyakit kronik dengan lebih awal seperti penyakit darah
tinggi, kencing manis dan sebagainya. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, Mencegah
lebih baik daripada mengubatinya. Bagi pesakit yang telah diserang penyakit ini,
keadaannya akan boleh dikawal sebelum menjadi serius seperti peribahasa,Cegah sebelum
parah. Pendek kata, kesihatan seseorang akan berada dalam keadaan baik jika kita secara
berdisiplin menjalani pemeriksaan kesihatan diri di hospital-hospital secara berjadual. (123
pk)
Mengamalkan pemakanan seimbang tidak kurang pentingnya sebagai langkah menjaga
kesihatan kita. Amalan pemakanan berkait rapat dengan kesihatan seseorang. Hal ini
bertepatan dengan peribahasa Inggeris tentang amalan pemakanan iaitu What you are, is
what you eat. Boleh dikatakan seseorang yang mengamalkan pemakanan yang seimbang
akan memperoleh kesihatan yang baik. Mengamalkan pemakanan seimbang bermakna
seseorang mengambil makanan yang berkhasiat dan berzat sesuai dengan keperluan tubuh
badan seseorang. Seseorang individu memerlukan makanan yang sesuai berdasarkan usia,
pekerjaan dan keperluan-keperluan lain. Sebagai contohnya, seorang bayi memerlukan lebih
kalsium berbanding orang dewasa yang memerlukan lebih protein. Untuk lebih jelas,
seseorang perlu merujuk kepada piramid makanan sebagai panduan untuk mendapatkan gizi
seimbang. Sehubungan dengan itu, makanan ringan dan minuman bergas perlu dielakkan
kerana boleh memudaratkan kesihatan kita. Pendek kata, langkah terbaik untuk mencapai
tahap kesihatan adalah dengan mengamalkan diet makanan seimbang. (135pk)
Seterusnya, kesihatan kita akan lebih terjamin jika kita melakukan kegiatan riadah. Amalan
riadah seperti berenang, jogging, menunggang basikal dan kegiatan sukan lain adalah baik
untuk kesihatan. Pensyarah Sains Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya
Dr. Zulkifli Abdul Kadir, menyarankan setiap individu melakukan kegiatan riadah selama 30
minit dua kali seminggu bagi mendapatkan tahap kesihatan yang optimum. Kegiatan riadah
ini akan menjadi kebiasaan jika setiap hari kita melakukannya dengan penuh disiplin dan
istiqamah sesuai dengan peribahasa, Alah bisa tegal biasa. Dengan melakukan kegiatan
riadah, otot-otot tubuh akan lebih bertenaga dan kecergasan badan akan bertambah baik. Di
samping itu, seseorang dapat menghirup udara segar semasa melakukan senaman di tamantaman permainan serta dapat mengurangkan tekanan atau stress selepas seharian penat
bekerja di pejabat. Seyogia disarankan agar kita dapat melakukan kegiatan senaman secara
untuk memperoleh kesihatan yang baik. (134 pk)
Amalan gaya hidup sihat merupakan langkah yang tidak kurang pentingnya untuk
mendapatkan kesihatan yang baik. Kini, kita dikejutkan dengan bermacam-macam amalan
hidup yang negatif telah menular dalam masyarakat kita. Antara gaya hidup yang negatif
ialah amalan seks rambang dan bebas, melanggani pelacur, penagihan dadah dan pil-pil
khayal, ketagihan arak serta lain-lainnya. Begitu juga amalan merokok yang masih menjadi
sebahagian cara hidup muda-mudi dan remaja dalam masyarakat kita seolah-olah kempen
Katakan Tak Nak Pada Rokok giat dijalankan. Sudah tentu, gaya hidup tidak sihat akan
mengundang penyakit seperti Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS), siflis dan lainlain. Amalan-amalan sebegini perlu dijauhkan seterusnya mengamalkan cara hidup sihat
berdasarkan norma-norma agama dan budaya timur kita. Lantaran itu, beralihlah kepada cara
hidup sihat bagi mendapatkan kesihatan yang baik sebagaimana kempen Gaya Hidup Sihat
yang diuar-uarkan oleh kerajaan. (132pk)
Sebagai kesimpulannya, penjagaan kesihatan perlu menjadi agenda dan keutamaan dalam
hidup kita seharian. Pelbagai langkah boleh diambil untuk memperoleh kesihatan yang baik.
Antaranya, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, mengambil pemakanan seimbang dan
melakukan kegiatan riadah. Kita haruslah lebih prihatin dan mengambil berat tentang
kesihatan diri agar dapat menjalani kehidupan yang berkualiti. Individu yang sihat akan
mampu memberi sumbangan kepada pembangunan dan kemakmuran negara selaras dengan
slogan, Rakyat Sihat Negara Sejahtera. (70pk)