Anda di halaman 1dari 9

Ahad, 2009 Februari 22

Tingkah Laku Bermasalah

PENGENALAN

Tingkah laku bermasalah boleh didefinisikan sebagai tingkah laku yang tidak normal dan
terkeluar dari nilai dan norma sosial masyarakat,tidak kira di dalam kehidupan
bermasyarakat atau termasuk sekolah. Secara konsepnya, ia bertentangan dengan tingkah
laku yang lazimnya dianggap sebagai persepsi, perasaan, dan perlakuan yang pada
kebiasaanya dialami oleh banyak orang dalam sesebuah masyarakat sama ada di kawasan
pedalaman mahupun bandar.

Berdasarkan dari kajian dan pemerhatian oleh pakar psikologi, didapati tingkah laku
bermasalah ini timbul kerana kurangnya keupayaan individu dalam proses mengadaptasi
atau akomodasi apabila menghadapi perubahan situasi dalam alam persekitaran. Ini
menyababkan berlakunya gangguan emosi dan aktiviti kehidupan individu serta
seterusnya mengganggu kestabilan dan keharmonian persekitarannya.

Dalam konteks pendidikan, tingkah laku bermasalah merujuk kepada sebarang tingkah
laku yang yang boleh merosakan kelancaran dan keberkesanan proses pengajaran dan
pembelajaran khususnya di dalam bilik darjah. Kajian terhadap masalah murid sekolah
ini membawa kepada dua pecahan utama tingkah laku murid bermasalah iaitu, positif dan
negatif.

Tingkah laku bermasalah positif yang dikenal pasti seperti perlakuan ingin tahu, cepat
belajar, pintar cerdas dan proaktif. Manakala untuk tingkah laku bermasalah negatif pula
ialah perlakuan distruktif iaitu tingkah laku anti sosial, disruptif berkaitan tingkah laku
mengganggu, dan akhirnya tingkah laku bergantung yang berlebihan.

PRINSIP ASAS DISIPLIN

Bagi melaksanakan disiplin yang baik dan berkesan, setiap sekolah hendaklah berasaskan
kepada prinsip-prinsip berikut:

• Keadilan dan layanan yang sama rata.


• Pertimbangan minat dan keperluan murid.
• Kebebasan yang berdasarkan undang-undang.
• Amalan menghormati seseorang individu.
• Perhubungan sihat sesama manusia untuk kehidupan berharmonis.
• Perpaduan masyarakat dan negara.

Sama ada seseorang murid itu mempunyai masalah bertingkah laku positif dan negatif, ia
akan membawa kesan yang tidak baik dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di
dalam bilik darjah. Oleh yang demikian, guru haruslah mengambil tahu dan segera
merancang dan melaksana strategi dan tindakan yang sesuai untuk mengubah tingkah
laku yang negatif itu.

Hal ini sangat penting demi menjamin dan mengawal keadaan bilik darjah yang kondusif
dan mempertingkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Esei ini akan
cuba menerangkan jenis-jenis tingkah laku bermasalah dengan memberi contoh keadaan
yang bersesuaian. Perbincangan terhadap teknik mengenal pasti atau metodologi
mengenal pasti serta strategi untuk memodifikasi tingkah laku tersebut di sebuah sekolah
yang dikaji akan di tunjukkan.

MASALAH TINGKAH LAKU MURID BERKEPERLUAN KHAS (PKBP)

Guru sering menghadapi masalah untuk melaksanakan proses pengajaran dan


pembelajaran pengurusan tingkah laku. Secara umumnya masalah tingkah laku atau
disiplin bagi murid-murid masalah pembelajaran mempunyai ciri-ciri tertentu. Antara
ciri-ciri yang ada pada murid-murid yang bermasalah tingkah laku ialah penumpuan yang
singkat, memencil dan menarik diri daripada aktiviti kelas, terlalu bergantung kepada
seseorang, tidak mesra dengan guru dan orang lain, gopoh dan tidak sabar, motivasi
kendiri rendah, agresif, melanggar perintah, sentiasa mempunyai perasaan negative,
memberi jawapan sesuka hati, kurang kemahiran mengawal emosi, perlakuan hiperaktif
dan sering resah serta kurang kepercayaan terhadap kebolehan diri.

Masalah tersebut secara umumnya telah dipengaruhi oleh beberapa faktor. Antara faktor
yang mempengaruhi pengurusan tingkah laku dan disiplin di dalam kelas seperti
kedudukan tempat duduk murid yang jauh dari guru. Susun atur peralatan seperti meja,
kerusi, almari memainkan peranan penting dalam mewujudkan kelas yang kondusif dan
mempunyai ruang untuk murid dan guru bergerak. Selain itu, alat bahan mengajar yang
dipamerkan hendaklah sentiasa ditukar.

Guru hendaklah peka di dalam penyediaan bahan yang bersesuaian dengan murid-murid
keperluan khas ini. Terdapat sesetengah guru menggunakan muzik latar semasa membuat
aktiviti. Hal ini menyebabkan kebisingan di dalam kelas, tindakan agresif, mengada-
ngada dan sebagainya. Sekiranya mempelbagaikan suasana tempat belajar iaitu di luar
bilik darjah. Oleh kerana mereka mudah tertarik kepada persekitaran, mereka akan hilang
tumpuan untuk belajar di luar bilik darjah dan mereka lebih banyak bermain.

TINGKAH LAKU BERMASALAH

Sudah menjadi lumrah duniawi setiap menusia mengalami pertumbuhan dan


perkembangan sehingga ke peringkat matang. Perkembangan manusia merujuk
perubahan dari aspek jasmani, kognitif, emosi, sosial dan rohani. Hampir semua
perkembangan tersebut berkaitan dengan faktor baka dan persekitaran. Berikut adalah
berdasarkan pengalaman saya sepanjang mengikuti program Pengalaman Berasaskan
Sekolah (PBS) di sebuah sekolah yang terlatak di sebuah bandaraya yang terkenal.
Sekolah ini mempunyai kelas untuk murid masalah pembelajaran (PKBP) di dapati
terdapat pelbagai tingkah laku di kalangan murid di sekolah tersebut. Walaupun secara
puratanya tingkah laku normal murid-murid adalah lebih ketara di sekolah tersebut,
namun tingkah laku bermasalah juga wujud sehingga menyukarkan proses pengajaran
dan pembelajaran berlangsung dengan teratur. Supaya lebih mudah difahami, saya akan
menerangkan dahulu tingkah laku bermasalah dan kemudian akan menerangkannya di
dalam perenggan tersebut beserta contoh agar dapat memahami dengan baik.

Sepertimana yang telah dijelaskan dalam pengenalan, tingkah laku bermasalah


diklasifikasikan kepada dua kategori utama iaitu tingkah laku bermasalah positif dan
negatif. Tingkah laku bermasalah positif dalam aspek proses pengajaran dan
pembelajaran merujuk kepada perlakuan pelajar yang ingin tahu secara keterlaluan, cepat
belajar, pintar cerdas dan proaktif turut berlaku atau di sekolah dipanggil hiperaktif
positif. Walaupun secara umumnya perlakuan tersebut dilihat adalah sangat baik dan
positif dari segi pembelajaran seorang murid, namun sebaliknya ia mengganggu
kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlaku. Sebagai contoh kes
yang berlaku di sekolah, murid A yang berperilaku ingin tahu yang keterlaluan akan
menyebabkan murid A itu suka bertanya tidak pututs - putus sehingga mengganggu
proses penerangan sesuatu topik yang dipelajari semasa proses pembelajaran dan
pengajaran berlaku . Begitu juga perilaku proaktif akan menyebabkan murid lain yang
sedang cuba memahami atau memberi fokus terhadap sesuatu topik pembelajaran dan
memerlukan kosentrasi serta suasana yang kondusif turut mengalami gangguan dari
murid A.

Selain itu, tingkah laku bermasalah positif cepat belajar dan pintar cerdas juga akan
menyebabkan ketidakseimbangan dalam proses pembelajaran yang sedang berlangsung.
Pemerhatian yang dapat dilihat ialah, apabila berlaku perlakuan murid seperti ini akan
menyebabkan gangguan emosi bukan sahaja kepada murid dalam kelas itu sendiri, malah
guru juga turut akan menerima kesannya. Perkara yang dapat dilihat ialah, murid yang
bermasalah ini akan cuba untuk memperkatakan perkara yang mereka fahami dalam topik
yang sedang diajar oleh guru. Hal ini menyebabkan murid-murid lain yang sama kelas
kehilangan minat untuk belajar kerana berasa rendah diri melihat rakan sekelas telah
mempunyai pengetahuan yang lebih dalam topik itu selain lebih berminat bertanya murid
tersebut berbanding guru yang sedang mengajar.

Dalam pada itu, tindak-tanduk pelajar yang mempunyai kelebihan positif pintar cerdas
juga menyebabkan guru tidak selesa untuk mengajar. Hal ini dapat dilihat sekiranya guru
tersebut kurang bijak mengawal murid-murid dan tidak tegas dalam mengawal murid-
murid. Sebagai contoh yang berlaku di sekolah, murid yang hiperaktif positif, ini apabila
diberi sesuatu tugasan yang perlu disiapkan akan mengganggu pelajar lain yang masih
sedang menyiapkan tugasan yang diberi kerana dia mampu menyiapkannya dengan lebih
awal.

Murid pintar cerdas ini, bukan sahaja ada di sekolah aliran perdana namun ianya juga ada
di aliran PKBP. Walaupun majoriti murid PKBP adalah murid yang berkeperluan khas
namun ada sebahagian daripada murid-murid ini yang pintar cerdas. Pertanyaan,
mengganggu,dan menjawab soalan sering berlaku sehingga menganggu proses
pembelajaran dan pengajaran seperti aliran perdana. Murid yang menjadi pintar cerdas ini
adalah murid yang mengalami masalah lembam kerana di dalam kalangan murid PKBP
ini merekalah yang lebih berpengetahuan sikit, cuma kurang daya ingatan.

Murid-murid ini bersifat demikian adalah kerana inginkan perhatian yang lebih daripada
guru yang mengajar, malah murid ini juga cuba mengganggu rakan mereka dan
menyebabkan rakan terasa terpinggir dan malu untuk menonjolkan diri ketika di dalam
kelas.

Penyelesaiannya, guru seharusnya lebih tegas agar murid lebih menghormati , dapat
mengelak daripada murid lebih aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Selain
itu, guru boleh memfokuskan murid agar tumpuan dapat diberikan murid sepenuhnya.

Tingkah laku bermasalah negatif pula terbahagi kepada tiga bahagian iaitu perlakuan
distruktif iaitu tingkah laku anti sosial, disruptif berkaitan tingkah laku mengganggu, dan
akhirnya tingkah laku bergantung yang berlebihan. Tingkah laku distruktif sering berlaku
di kalangan murid yang berusia 10 hingga 15 tahun. Sikap agresif mereka sering
ditunjukkan dalam bentuk tingkah laku merosakkan sama ada melalui sindiran atau
melalui perbuatan fizikal seperti tumbuk-menumbuk, bergaduh, melukai atau menyakiti
seseorang yang lain. Tingkah laku merosakkan ini mungkin melibatkan permusuhan
nyata, vandalisme dan klik. Tindakan agresif kepada pihak lawan akan ditunjukkan
akibat rasa tidak puas hati, benci, marah atau dendam. Tingkahlaku destruktif sebenarnya
dipelajari sama ada melalui masyarakat, ibu bapa mahupun televisyen. Di sekolah yang
saya melakukan PBS terdapat juga berlaku pergaduhan kecil semasa mereka. Walaupun,
dilihat sebagai pergaduhan kecil yang melibatkan kanak-kanak namun ianya akan
memberi kesan yang buruk kelak.
Tingkah laku masalah ini dicatit di dalam buku disiplin sekolah . Tindakan akan diambil
adalah berbentuk amaran untuk pertama kali dan kedua kali dilakukan. Apabila ianya
kerab dilakukan maka murid itu akan diambil tindakan berjumpa dengan waris sebelum
sekolah mengambil tindakan susulan. Terdapat buku peraturan sekolah dan tindakan yang
akan diambil termasuk merotan mengikut undang-undang yang ditetapkan sekolah
dengan perserujuan ibubapa dan Jabatan Pendidikan.

Murid yang mempunyai tingkah laku desruptif pula sentiasa menganggu dan menjejaskan
kelicinan perjalanan pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, tingkah laku menganggu
ini juga berlaku di luar bilik darjah sama ada sesama adik beradik mahupun rakan sebaya.
membuat bising iaitu tingkah laku yang mengganggu atau disruptif. Kebiasaan masalah
ini wujud apabila keadaan murid keperluan khas ini tidak kondusif ketika mengikuti
pengajaran dan pembelajaran. Boleh dikatakan kebanyakkan mereka akan membuat
bising sama ada ketiadaan guru atau sebaliknya. Mereka akan bercakap sesama mereka,
menjerit, mengganggu rakan sekelas dan sebagainya. Hal ini juga disebabkan kurangnya
guru mengendalikan murid-murid tersebut seperti tidak mempelbagaikan kaedah
penyampaian mengajar, guru menghadirkan diri ke mesyuarat dan meninggalkan mereka
tanpa pengawasan, sikap semulajadi murid-murid keperluan khas seperti hiperaktif.
Kebiasaan mereka akan hilang minat untuk mengikuti pembelajaran selepas waktu rehat
atau melakukan aktiviti luar seperti pendidikan jasmani. Bagi mengatasi kebisingan di
dalam kelas guru mesti memainkan peranan dengan menggunakan kaedah modelling iaitu
modifikasi tingkah laku melalui ubah suai luaran. Modifikasi ini merujuk kepada
peniruan melalui pemerhatian tingkah laku seorang model yang disanjung dan secara
tidak langsung mengubah tingkah lakunya. Teori ini telah diperkenalkan oleh Bandura
yang menjelaskan pelbagai tingkah laku sosial yang dipelajari oleh kanak-kanak. Jenis-
jenis tingkah laku desruptif termasuk hiperaktif, terlalu membuat bising, pergerakan
melampau, menganggu rakan sebaya, gelak terbahak-bahak serta menunjukkan
keagresifan fizikal seperti tolak-menolak. Biasanya, tingkah laku ini dialami oleh pelajar
lelaki berusia 10 hingga 11 tahun. Selalunya tingkah laku desruptif akan menjadi punca
terjadinya tingkah laku destruktif jika emosi tidak terkawal dan melibatkan aspek balas
dendam, tidak puas hati dan sebagainya.

Pemerhatian yang telah dibuat dalam sebuah sesi pengajaran dan pembelajaran yang
sedang berlangsung, memang didapati masalah ini banyak berlaku terutamanya di kelas-
kelas hujung dalam sesuatu darjah. Kebiasaannya golongan murid ini memang gemar
mengganggu pelajar lain dengan membuat bising atau melakukan perlakuan agresif dari
segi perilaku dan lisan terutamanya apabila mereka tidak dapat memahami sesuatu
tugasan yang diberi.

Murid yang tingkahlaku bermasalah hiperaktif merupakan murid yang tidak dapat
mengawal diri sendiri dan sentiasa melakukan sesuatu aktiviti yang akan menganggu
murid lain. Malah murid ini juga boleh membahayakan dirinya sendiri dan juga murid
yang lain .Sebagai contoh yang berlaku di sekolah, murid hiperaktif ini memanjat pagar
tingkap. kemungkinan murid itu jatuh dan tercedera atau pagar itu jatuh terkena pada
murid lain yang boleh menyebabkan kecederaan. Murid hiperaktif ini merupakan murid
Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP). Murid aliran perdana juga ada yang
hiperaktif seperti ini. Murid ini akan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran
dengan bertindak luar dari kawalan seperti berlari di dalam kelas, membuat bising dan
menganggu murid lain.

Murid aliran perdana yang menjadi hiperaktif adalah disebabkan oleh kurang berdisiplin
ketika dirumah ataupun kurang perhatian ibu bapa yang sentiasa sibuk dengan tugasan
kerja. Murid ini berkemungkinan mengalami tekanan dan seterusnya memberontak ketika
di sekolah. Bagi murid PKBP pula, Murid ini dikenali sebagai ‘Hiperaktf-impulsf’ kerana
bagi muird keperluan khas jenias ini , petunjuk utama adalah gabungan antara hiperaktif
iaitu jumlah pergerakan sangat tinggi dan impulsive iaitu melakukan sesuatu tanpa
berfikir. Murid jenis ini kerap mengetuk-ngetuk meja dan menggoyang-goyang kerusi,
selalu berlari-lari, sentiasa aktif dan banyak bercakap.
Terdapat beberapa kaedah dalam mengatasi, membendung dan mengurangkan
tingkahlaku bermasalah ini daripada semakin berleluasa. Antaranya adalah dengan
menggunakan kaedah memenuhi kehendak pelajar seperti memahanmi keperluan pelajar
tersebut. Apabila kehendaknya dituruti barulah lama kelamaan murid tersebut dapat
memberi perhatian dalam kelas. Kaedah ini juga boleh dilaksanakan kepada murid
keperluan khas Cuma pendekatannya sahaja yang berbeza berbeza. Contohnya bagi
murid keperluan khas guru harus mengikut aktiviti pelajar itu seperti berlari tetapi semasa
berlari pengisian pembelajaran harus ada umpamanya berlari sambil mengira. Ini boleh
menimbulkan minat untuk murid itu belajar.

Dalam pada itu tingkah laku negatif juga menyebabkan tingkah laku menghalang seperti
pergantungan berlebihan, kebimbangan, pengunduran dan pengasingan diri. Tingkah laku
pergantungan berlebihan ini kerap berlaku di kalangan kanak-kanak yang berumur
sepuluh tahun ke bawah. Namun, ianya juga mungkin akan berlarutan hingga remaja.
Pada suatu ketika, apabila orang yang diharapkan tiada, individu ini akan berasa cemas,
takut, bimbang, tertekan dan tidak tahu apa yang dilakukannya. Individu sebegini juga
merupakan individu yang pendiam, tidak aktif, rendah diri, selalu mengalami
kebimbangan dan tekanan. Di antara punca berlaku tingkah laku pergantungan berlebihan
ialah akibat ibu bapa yang mengamalkan perlindungan terlampau, suasana rumah tangga
yang tegang, autokratik dan tidak mempercayai kanak-kanak.

Kebimbangan berkait rapat dengan emosi ketakutan. Walaupun kebimbangan adalah


suatu keadaan emosi yang berlaku di peringkat dalaman murid namun ianya juga
merupakan salah satu daripada jenis tingkah laku bermasalah yang kurang ditonjolkan
permasalahannya. Seseorang yang sentiasa bimbang akan sentiasa cemas atau ‘phobia’
menghadapi sesuatu cabaran. Mengikut kajian Barat, kanak-kanak yang selalu berada di
dalam kebimbangan akan mendapat markah yang rendah berbanding dengan kanak-
kanak yang normal. Mereka banyak melakukan kesilapan. Kebimbangan adalah
fenomena yang akan menyebabkan kanak-kanak mempunyai personaliti dan kendiri yang
negatif. Individu sebegini akan menghadapi kesusahan dalam perhubungan dengan orang
lain. Antara sebab terjadi tingkah laku kebimbangan ialah percanggahan motif, konflik
diri antara tingkah laku dan nilai sebenarnya, penyesuaian diri dalam menghadapi suatu
keadaan yang baru, menghadapi suatu keadaan yang sukar diramal dan kehilangan tempat
bergantung.

Pengunduran diri merupakan penarikan diri daripada suatu situasi kurang selamat atau
mengancam. Tingkah laku ini merupakan mekanisme helah bela diri. Pada kebiasaannya,
ianya berkaitan dengan pengalaman pahit pada
masa lampau. Kanak-kanak yang pernah gagal dalam sesuatu usaha akan mengambil
keputusan untuk tidak melibatkan diri dalam sebarang tugas yang ada kaitannya dengan
pengalaman awalnya. Tingkah laku pengunduran diri ini jika dibiarkan akan
menyebabkan pembentukan konsep diri yang rendah, tidak yakin untuk berinteraksi, dan
terjejasnya perkembangan sosial, emosi dan intelek; serta kurang berupaya untuk
menyelesaikan masalah. Masalah pengunduran diri juga menyebabkan kanak-kanak
menyimpan perasaan dalam hati dan tidak mampu meluahkannya. Ini akan
mempengaruhi pemikiran dan pembentukan personaliti mereka. Sekiranya ianya terluah
pada sesuatu ketika, ianya akan memungkinkan mereka melepaskan dengan tanpa
kawalan emosi termasuk kemungkinan-kemungkinan lain yang membahayakan diri
mereka sendiri.

Pengasingan diri merupakan tingkah laku yang cuba menjauhkan diri daripada orang lain
yang kurang disenangi. Tingkah laku ini juga merupakan sejenis mekanisme helah bela
diri untuk mengelakkan diri daripada berkomunikasi dengan orang lain.Masalah ini turut
berlaku di sekolah yang saya menjalaini PBS. Sesetengah murid enggan melibatkan diri
dalam aktiviti atau sesi perbincangan yang diadakan di sesebuah bilik darjah apabila
murid merasakan dirinya tidak dapat mengikuti pembelajaran. Akhirnya ianya akan
menyebabkan murid-murid tidak mempunyai keyakinan diri, rendah diri, pemalu,
pendiam, tidak suka berkawan, tidak yakin berinteraksi dan personaliti yang tidak
seimbang.

Pengasingan diri atau degan kata lain bagi murid berkeperluan khas PKBP adalah
Autisme. Autisme merupakan murid-murid yang berada dalam dunianya sendiri. 1943
Leo Kanner mengunakan istilah autistic yang bermakna ‘lari dari reality’ untuk
menjelaskan keadaan ini, Leo Kenner membezakan autisme dalam tiga perkara iaitu
mengasingkan diri secara melampau sejak dari kecil,terlalu sayang kepada sesuatu objek
tertentu dan keinginan yang kuat untuk bersendirian.

Bagi mengatasi masalah tingkah laku ini,…guru seharusnya mengabil tindakan dengan
memberi tumpuan kepada murid tersebut secara individu agar murid dapat memberi
perhatian. Tetapi tumpuan tersebut Cuma sekejap sahaja kerana murid ini cepat bosan
dan akan membuat aktivitinya sendiri. Manakala bagi murid aliran perdana Guru
seharusnya membincang dengan ibu bapa murid kerana ini berkemungkinan murid
mengalami masalah di rumah. Selain itu, guru seharusnya mengajar apa yang diminati
oleh murid kerana sedikit sebanyak akan memberi kesan terhadap murid ketika belajar.

Daripada huraian yang telah dijelaskan berkenaan tingkah laku bermasalah negatif ini,
pemerhatian yang telah dibuat mendapati murid yang mengalami simptom ini pada
kebiasaanya memerlukan perhatian yang lebih daripada guru. Mereka juga lemah dan
lambat untuk memahami setiap pelajaran yang disampaikan oleh guru serta tidak mampu
menyelesaikan tugasan atau aktiviti yang diberikan guru dengan sempurna. Dalam pada
itu, golongan yang pasif ini juga seringkali menjadi mangsa buli dan ditindas oleh pelajar
lain kerana kekurangan yang ada dalam diri mereka. Langkah mengatasi yang telah
dijalankan oleh guru untuk mengelakkan masalah ini daripada menghalang kelancaran
proses pengajaran dan pembelajaran ialah dengan mengasingkan pelajar ini dan
menghimpunkan mereka dalam satu kelompok yang digelar sebagai pelajar pemulihan.
KESIMPULAN

Masalah tinglkahlaku bermasalah ini merupaka perkara yang perlu di beri perhatian yang
serius kerana bermula dengan permasalahan yang kecil sebegini jika ianya berterusan
akan menjadikannya satu kebiasaan. Kemudian ianya akan dibawa hingga ke peringkat
dewasa dan masalah ini tidak dapat di ubah lagi.

Setiap perlakuan atau perbuatan yang terzahir adalah oleh murid-murid adalah
disebabkan faktor-faktor tertentu yang mempengaruhi perbuatan tersebut. Namun setiap
perbuatan ini mempunyai kesan-kesan tertentu yang mana kesannya adalah kepada murid
itu sendiri tetapi juga memberi kesan kepada orang lain. Oleh itu cara-cara untuk
mengatasi tingkah laku bermasalah ini hendaklah bersesuaian dengan tingkah laku
bermasalah tersebut. Cara-cara mengatasinya adalah berbeza bergantung kepada
masalah-masalah yang dihadapi.

Terdapat pelbagai teknik-teknik dan penyelesaian yang berkesan yang boleh digunakan
untuk mengatasi masalah ini. Teknik-teknik modifikasi yang boleh dipraktikkan ini
adalah untuk membantu murid mengubah tingkah laku negatif kepada tingkah laku
positif dan seterusnya melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.
Apabila tingkah laku positif dapat dibentuk, maka ini akan meningkatkan prestasi dan
pencapaian serta keberkesanan aktiviti pembelajaran.

Dalam usaha menangani masalah ini, semua pihak harus melibatkan diri samada ibu
bapa, guru, masyarakat dan juga pihak kerajaan. Usaha bersama akan membuahkan hasil
yang tidak akan mengecewakan semua pihak serta dapat melahirkan murid yang
berkaliber serta berwawasan selaras dengan wawasan Negara ke arah masyarakat yang
berpengetahuan