Anda di halaman 1dari 3

TEKS PIDATO KELUARGA BAHAGIA MEMBENTUK PERIBADI MULIA

Oleh: Nur Ardini Izzati binti Abd Aziz (PISMP TESL JUN 2015)
Bismillahirrahmanirrahim.
Masak lemak dengan kelapa,
Kelapa dicari oleh sang kera,
Cintai serta sayangi keluarga,
Pasti hidup aman sejahtera.
Assalamualaikum WBT dan salam keluarga bahagia.
Sejambak kasih seharum kasturi buat saudara penerju majlis, panel juri yang teguh
saksama, seluruh warga dewan berbahagia dan seterusnya rakan-rakan seperjuangan yang
dihormati. Berdirinya saya disini adalah untuk menyampaikan pidato yang bertajuk Keluarga
Bahagia Membentuk Peribadi Mulia.
Hadirin yang dihormati.
Berkenaan tajuk, marilah kita bersama menyingkap dan mengupas tiga perkara iaitu
senario institusi kekeluargaan pada masa kini, peranan ibu bapa serta impak kebahagiaan
keluarga terhadap individu. Namun sebelum itu, adalah penting untuk kita mengetahui definisi
sebenar tajuk. Merujuk Kamus Dewan edisi keempat, keluarga membawa maksud seisi rumah
tangga manakala bahagia, didefinisikan sebagai suasana senang dan aman. Peribadi pula
memberi makna sifat-sifat atau kelakuan seseorang dan mulia membawa maksud kehormatan
menurut Kamus Pelajar Edisi Kelima.
Bebas di laman-laman sosial mengenai video-video berkaitan menghukum anak
mahupun memukul isteri dengan ekstrim yang menjurus kepada penderaan. Lantas
membuatkan kita berfikir sejenak adakah benar medium kekasaran mampu mendidik jiwa
setiap individu. Senario sebegini seperti sudah sinonim dengan rakyat Malaysia secara
realitinya dan menakutkan seolah-olah masyarakat kita sudah hilang nilai perikemanusiaan
ketika marah menjelma. Benar niat sebenar mungkin untuk mangajar namun apabila syaitan
menguasai diri, kita menjadi lupa dan alpa.
Sidang pendengar yang budiman,

Peranan ibu bapa dalam membentuk keluarga bahagia adalah amat penting kerana ibu
bapa menjadi role-model kepada anak-anak justeru haruslah sentiasa manunjukkan teladan
yang baik sebagai contoh kepada anak-anak. Contohnya, seorang bapa perlu berinteraksi
dengan lemah lembut dengan isteri dan anak-anak serta menghormati antara satu sama lain.
Melihatkan keharmonian tersebut, anak-anak akan meneladani sikap positif tersebut kerana
bapak borek, anak rintik.Seterusnya, ibu bapa haruslah meluangkan masa dan memberikan
sepenuh perhatian kepada anak-anak. Pada era yang penuh dengan persaingan yang sengit
ini, masyarakat bertambah sibuk dengan usaha mencari nafkah bagi meningkatkan taraf hidup
masing-masing. Hal ini disebabkan kos sara hidup masa kini yang semakin meningkat. Statistik
telah menunjukkan bahawa hampir 90 peratus ibu yang bekerja hanya bercakap dengan anakanak mereka selama empat minit sehari. Hal ini merupakan perkara yang amat menyedihkan
kerana anak-anak merupakan golongan yang memerlukan kasih sayang dan perhatian yang
secukupnya daripada ibu bapa mereka.
Para hadirin yang dihormati,
Seandainya sesebuah keluarga itu bahagia, sudah tentu anak-anak akan mempunyai
nilai moral yang baik. Hal ini dapat menghalang anak-anak daripada terjebak dalam kegiatan
yang tidak diingini seperti jenayah mencuri, merompak dan penagihan dadah. Anak-anak yang
daripada keluarga bahagia pasti hidup lebih selesa dan dapat menumpukan perhatian
sepenuhnya terhadap pelajaran. Anak-anak yang lahir dalam keluarga bahagia mempunyai
fikiran yang tenang dan bermotivasi tinggi serta positif dan komited dalam mencapai sesuatu
yang diingini. Selain itu, keluarga yang bahagia akan melatih individu untuk mengamalkan sikap
yang baik dan berterusan kepada perkembangan generasi seterusnya yang bersifat positif dan
bertingkah laku baik.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Konklusinya disini saya dapat simpulkan bahawa semuanya bermula daripada peringkat
akar umbi iaitu didikan keluarga dalam pembentukan peribadi mulia seseorang individu. Nilainilai tradisi dan akhlak mulia masih utuh mendasari prinsip keluarga bahagia. Ayuhlah
bangsaku, kita kekalkan warisan gemilang selagi hayat dikandung badan. Marilah kita lakarkan
potret kegemilangan Malaysia pada masa hadapan.
Sekian, Salam Keluarga Bahagia. Wabillah hitaufiq walhidayah wassalamualaikum WBT.
RUJUKAN

Darwis. (2012, 4 Jun). Teks Pidato Bahasa Melayu Tonggak Perpaduan Bangsa
Malaysia. [Weblog]. Diakses pada 20 Julai 2015, daripada
http://bmseta.blogspot.com/2012/06/teks-pidato-bahasa-melayu-tonggak.html
Haryanto, S. .P.D. (2013). Cara Menulis Naskah Pidato. Retrieved 20 Julai, 2015, from
http://belajarpsikologi.com/cara-menulis-naskah-pidato/
Mat Saat Baki. (2000). Panduan Mendidik Anak, Kuala Lumpur: Karya Bistari Sdn. Bhd.
Nur Zahidah Hj Jaapar & Raihanah Hj Azahari. (2011). Model Keluarga Bahagia Mengikut
Islam. Journal of Fiqh, 08(25-44), 26-32.
Profesor Madya Dr Mustafa Hj Daud. (2005). Pendidikan Keibubapaan: Satu Pengenalan
Ringkas. Perlis, Malaysia: Universiti Utara Malaysia.