Anda di halaman 1dari 13

UNIT 1

SEJARAH KARYA AGUNG MELAYU


1.1

OBJEKTIF

i) Mendefinisi istilah karya agung.


ii) Meneliti pengaruh asing, khususnya pengaruh HinduBuddha dan Islam terhadap karya agung Melayu.
iii) Membincang perkembangan kesusasteraan Melayu klasik.

1.2

PENGENALAN
Dalam pengertian umum, karya agung merujuk kepada karya sastera yang dapat
bertahan berabad lama dan masih diminati dan dikaji orang bak kata orang tua-tua
tak lut ditelan zaman. Sesebuah karya sastera dianggap agung adalah disebabkan
karya berkenaan isimewa dari segi bentuk, kandungan, memiliki nilai keindahan
(estetika), cara penyampaian yang istimewa dan nilai intelek. Sesetengah pengkaji
sastera menggunakan istilah karya klasik, yang menurut Harun Mat Piah et. al (2000:
7) merujuk kepada karya yang mempunyai nilai dan mutu tinggi serta popular
sepanjang zaman. Bagi Harun Mat Piah et.al (2000: 8), sastera tradisional yang
mantap turut memiliki ciri-ciri klasik. Dengan kata lain, banyak karya sastera
tradisional yang bakal dibincangkan dalam modul ini tergolong sebagai karya agung
belaka. Dalam modul ini, kata karya agung dan karya klasik adalah dianggap seerti.
Bangsa yang bertamadun tua seperti orang Yunani memiliki karya agung
mereka, iaitu Iliad and Odyssey. Karya ini pada asalnya diceritakan oleh seorang
pencerita buta, iaitu Homer dan pada hari-hari terkemudian menjadi karya agung
kebangaan orang Yunani tua. Orang Hindu memiliki epik agung mereka, iaitu kitab

Ramayana dan Mahabharata, yang mempengaruhi tradisi sastera, seni ukir dan
wayang kulit di rantau ini. Begitu juga dengan bangsa Cina dan banyak lagi bangsa
lain di serata dunia turut mempunyai karya agung masing-masing. Dalam konteks
karya agung Melayu, karya-karya klasik seperti Sulalatus Salatin atau Sejarah

Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Maha Wangsa dan Misa Melayu
(sekadar beberapa contoh) dianggap pengkaji sastera tradisional sebagai karya
agung jua. Rakyat Malaysia harus berbangga dengan karya agungnya kerana karya
agung ada lambang ketinggian karya sastera sesuatu bangsa.

Jika diamati, kemunculan karya agung berkait rapat dengan terciptanya sistem
tulisan oleh manusia. Kisah yang terkandung dalam karya agung seperti Iliad and

Odyssey, Ramayana dan Mahabharata, Sulalatus Salatin dan banyak lagi karya
agung klasik lain pada asalnya merupakan cerita mulut yang diturkan oleh rakyat
jelata yang kreatif. Apabila terciptanya sistem tulisan, maka pengarang tempatan
yang kreatif telah menyusun cerita rakyat semula dalam bentuk bahasa yang indah
agar kisah-kisah berkenaan diabadikan. Winstedt (1969:3), seorang pengkaji sastera
tradisional Melayu menyatakan:

Literature strictly came into being with the art of writing, but long
before letters were shaped, there existed the material of literature:
words spoken in verse to wake emotion by beauty of sound, and
words spoken in prose to appeal to reason by beauty of sense.
Pernyataan Winstedt (1969) di atas jelas menunjukkan bahawa tradisi lisan
dalam bentuk puisi dan prosa mendahului karya sastera bertulis. Sehubungan itu,
Harun Mat Piah et.al (2000: 27) menegaskan bahawa istilah sastera hanya menjadi
matang dan sempurna setelah wujudnya bentuk sastera lisan dan tulisan.
Dalam menjejaki sejarah karya agung Melayu awal, tiga tahap perkembangan
kesusasteraan Melayu tradisional penting, iaitu tahap hubungan alam Melayu dengan
budaya India, tahap kedatangan Islam ke alam Melayu dan tahap Kesultanan Melayu
Melaka akan dibincang.
1.3

PENGARUH

HINDU-BUDDHA

DALAM

KESUSASTERAAN

MELAYU

TRADISIONAL
Richard Olaf Winstedt (1878-1966) dianggap umum sebagai pengkaji Barat yang
paling banyak menulis tentang pengaruh Hindu dalam kesusasteraan Melayu
tradisional (M. Rajantheran, 1999:7). Winstedt (1969) dalam buku tersohornya, A

History of Classical Malay Literature antaranya membincangkan pengaruh Hindu


dalam karya Melayu silam yang bercorak sejarah, karya zaman Hindu-Buddha dan
zaman peralihan Hindu-Islam. M. Rajantheran (1999:9), semasa memberikan komen
tentang buku Winstedt (1969) ini menyatakan bahawa tumpuan perbincangan
2

Winstedt (1969) hanya terhad kepada beberapa motif dan episod yang terpilih,
namun tulisannya bernilai dari segi bukti dan rujukan jitu yang disertakannya.
Dalam penelitian penulis, A History of Classical Malay Literature (1969)
merangkumi satu skop yang amat luas tentang kesusasteraan Melayu klasik.
Winstedt (1969) telah memuatkan topik-topik bermula dari sastera rakyat Melayu,
epik Hindu, karya berunsur Jawa, roman Melayu (Malay romances), sastera Melayu
pengaruh Islam, sejarah Melayu (Malay histories), kanun Melayu, puisi Melayu
tradisional dan tokoh persuratan Melayu, iaitu Munsyi Abdullah. Dari segi
kesusasteraan Melayu, Winstedt (1969[1996]) antaranya menyatakan bahawa
kesusasteraan Melayu tradisional banyak terpengaruh dengan unsur asing,
khususnya Hindu dan Arab-Parsi. Sehubungan pengaruh Hindu sebagai contoh,
Winstedt (1969: 26) mencatatkan:

Already in a survey of the Malay language and of Malay folk-tales, we


have found an inextricable thread of Indian influence. And when we
come to literature proper, we are confronted at the outset with relics of
the end of the Hindu period of Malay culture, a period that lasted more
than a thousand years.
Atas sebab pengaruh Hindu di alam Melayu telah berlanjutan hampir sepuluh
abad lamanya sebagaimana yang dilaporkan oleh Winstedt (1969: 26), maka
pengaruh Hindu atas bahasa dan kesusasteraan Melayu tradisional bukanlah sesuatu
yang menghairankan kita. Seperkara yang harus kita fahami adalah bukan semua
kesusasteraan Melayu tradisional dicipta di bawah pengaruh Hindu. Dapatan kajian
Harun Mat Piah (1989) tentang pantun Melayu sebagai contoh telah menunjukkan
bahawa pantun Melayu ialah karya sastera lisan yang dicipta oleh orang Melayu
tanpa pengaruh asing seperti Hindu, Cina dan Arab-Parsi.
Pengkaji berbalah pendapat tentang bilakah orang Hindu mula datang ke sekitar
Asia Tenggara. Nilakanta Sastri (1949: 2) dalam kajiannya melaporkan bahawa
penduduk peribumi di Kepulauan Melayu telah memiliki kemahiran perkapalan
sebelum pedagang India awal sampai di rantau ini. Penduduk awal di Kepulauan
Melayu berkembang di tebing sungai atau berdekatan dengan laut. Keadaan alam
sedemikian

mewujudkan

keperluan

penduduk

tempatan

mencipta

alat
3

pengangukatan di sungai dan laut, yakni pelbagai jenis kapal bagi tujuan pelayaran
di sungai dan di laut. Solheim (1975:157), pengkaji arkeologi Asia Tenggara dalam
kajiannya melaporkan bahawa pelayar tempatan telah berhubung dan mengenali
pantai timur India sebelum zaman Masihi lagi dan menjalin hubungan dengan
penduduk di pantai timur India pada awal abad tahun Masihi.
Menurut Harun Mat Piah et. al (2000: 30), walaupun dikatakan hubungan dunia
Melayu dan India telah berlaku pada tahun-tahun pertama Masihi lagi namun
hubungan yang menyeluruh dan meninggalkan kesan hanya berlaku dalam zaman
yang terkemudian. Jadi, kajian yang bersangkut paut dengan pengaruh Hindu atas
kesusasteraan tradisional Melayu perlu dibincang dalam konteks kerajaan HinduJawa. Menurut sejarawan, kerajaan Hindu Sriwijaya telah ditubuhkan di Palembang,
Sumatera, dan Mataram di Jawa Tengah. Di Palembang, terdapat pusat pengajian
agama Buddha dan kegiatan menyalin karya sastera sebagaimana yang dilaporkan
oleh I-Tsing, yang melawat Palembang pada 671 T.M. (Harun Mat Piah et. al , 2000:
30).
Sejarawan sastera membahagikan tahap perkembangan kesusasteraan HinduJawa kepada empat tahap. Jadual 1.1 berikut menunjukkan keempat-empat tahap
perkembangan kesusasteraan Hindu-Jawa yang dimaksudkan.
Tahap

Zaman

Masa

Zaman Mataram

Abad ke-9 abad ke-10

Zaman Kediri

Abad ke-11 abad ke-12

Zaman Majapahit awal

Abad ke-14

Zaman Majapahit akhir

Abad ke-14 abad ke-16

Jadual 1.1: Empat tahap perkembangan kesusasteraan Hindu-Jawa.


(Sumber: Harun Mat Piah et. al, (2000: 31)
Pada zaman tersebut, karya terjemahan dan karya penyesuaian daripada epik
India dan yang dikarang sendiri oleh pujangga Jawa telah ditulis dalam huruf Pallava
dan kemudian aksara Jawa-kuno atau Kawi. Ditinjau dari segi jumlah dan
kepelbagaian karya, dan sebahagian besarnya masih didapati dan diketahui umum,
tahulah kita betapa luasnya pengaruh kesusasteraan Hindu-Jawa pada masa itu.
4

Antara contohnya seperti

Kitab Candra Kirana, Kitab Ramayana, Kakawin

Arjunawiwaha dan banyak lagi karya lain (Harun Mat Piah et. al, 2000: 31).
Pengaruh kesusasteraan Jawa-Hindu ini tersebar luas ke luar Jawa, termasuk
Semenanjung Tanah Melayu melalui proses sejarah biasa seperti hubungan politik,
kebudayaan, perniagaan, pelajaran agama dan penaklukan. Dalam konteks ini,
didapati hubungan budaya Melayu dengan India yang berkait dengan perkembangan
kesusasteraan Melayu klasik berlaku melalui Jawa. Menurut Harun Mat Piah et. al,
(2000: 34), banyak hikayat Melayu lampau memperoleh inspirasi dariada dua buah
epik Hindu yang tersohor, iaitu epik Ramayana dan Mahabharata.

Pengarang

Hikayat Seri Rama sebagai contoh telah mengambil inspirasi daripada Ramayana,
yang telah disesuaikan daripada Kakawin Ramayana dalam bahasa Jawa kuno. Bagi

Mahabharata, proses yang sama turut berlaku. Ditemui beberapa judul hikayat
Melayu yang hampir sama isinya dengan Mahabharata. Antaranya termasuk Hiakayat

Pandawa, Hikayat Perang Pandawa Jaya, Hikayat Sang Samba dan banyak lagi.
Winstedt (1969: 30) turut mencatatkan bahawa:

As an example of the influence of Indias epics on Malay literature, one may


take a passage from the Hikayat Pandawa Jaya that occurs with minor
differences in the Mahabharata in the Malay Hikayat Raja-Raja Pasai, the
Sejarah Melayu, the Hikayat Hang Tuah and many Malay folk-tales and
romances.
Satu lagi genre kesusasteraan klasik yang berkembang di Jawa pada sekitar
abad yang ke-14, iaitu zaman kegemilangan Majapahit akhir ialah sastera panji.
Sastera panji turut disebut sebagai sastera pahlawan atau sastera epik wira (heroic

epic). Cerita panji Jawa mengandungi unsur pengaruh Hindu, mitologi dan mistik.
Perkembangan cerita panji ke luar Jawa, termasuk Semenanjung Tanah Melayu
adalah melalui permainan wayang kulit (Harun Mat Piah et. al, 2000: 36). Antara
karya panji yang terkenal ialah Hikayat Panji Kuda Semirang, Hikayat Misa

PerabuJawa, Syair Ken Tambuhan dan banyak lagi. Karya-karya sedemikian pernah
digunakan sebagai teks bacaan bagi pelajar sekolah di Malaysia.
1.4

PENGARUH ISLAM DALAM KESUSASTERAAN MELAYU TRADISIONAL


5

Seperti pengaruh Hindu-Buddha terhadap kesusasteraan Melayu klasik, Kedatangan


Islam ke alam Melayu turut mempengaruhi perkembangan kesusasteraan Melayu
klasik. Apa yang nyata bagi kita adalah pendakwah awal Islam membawa bersama
mereka bentuk kesusasteraan Islam awal. Apabila Islam mula bertapak di alam
Melayu selepas kurun ke-11, kita tahu bahawa kesusasteraan Melayu telah
mengalami pengaruh Hindu buat sekian lamanya.
Pada peringkat awal pengaruh Islam, pengkaji menamakan tempoh itu
sebagai peringkat peralihan Hindu-Islam. Dengan kedatangan Islam, aksara India
seperti Pallava dan Kawi yang digunakan secara terhad dalam penulisan bahasa
Melayu telah digantikan dengan huruf Arab, iaitu tulisan jawi. Menurut Harun Mat
Piah et.al (2000: 37) kata jawi berkait rapat dengan panggilan yang digunakan
oleh orang Arab di Mekah terhadap

orang Melayu dari dahulu hingga sekarang.

Perkataan ini ialah kata sifat yang membawa erti orang Jawa. Huruf Jawi
diperkenalkan oleh pendakwah Islam bagi membolehkan orang Melayu membaca alQuran dan menelaah pelbagai jenis kitab dalam pelbagai bidang ilmu.Tradisi tulisan
orang Melayu disemarakkan lagi dengan kedatangan buku-buku dari Timur Tengah,
Arab, Parsi dan India, yang telah lebih dulu menerima Islam.
Pada peringkat awal perkembangan Islam di alam Melayu, bahan sastera
awal yang disebarkan ialah cerita para nabi dan tokoh-tokoh Islam dengan tujuan
menguatkan keimanan dan kepercayaan penganut baharu. Para pengkaji percaya
bahawa cerita-cerita itu diceritakan secara lisan kerana kebanyakan penduduk
peribumi masih buta huruf. Besar kemungkinan kisah Iskandar Zulkarnain,
Muhammad Hanafiah dan Amir Hamzah telah tersebar dalam kalangan orang Melayu
secara lisan sebelum kisah mereka ditulis dalam bentuk hikayat pada hari-hari
terkemudian.
Jika

diamati,

pengaruh

Hindu

dan

Islam

di

alam

Melayu

telah

menambahkayakan khazanah kesusasteraan Melayu tradisional dengan usaha


penyaduran, pengubahsuaian dan penterjemahan. Wisntedt (1969: 50) dalam
tulisannya telah memberikan komen tentang kesusasteraan Melayu dalam zaman
peralihan Hindu-Islam berikut:

Not always in time, because many belong to the Muslim period of Malay
history, but at any rate in contents and in spirit, most of them may be
assigned to the era of transition between Hinduism and Islam.
Ali Ahmad et. al (2005:7) menyatakan bahawa karya seperti Hikayat Seri Rama dan
roman yang lebih ringan seperti Hikayat Serangga Bayu yang diberikan nama
Islamnya Hikayat Ahmad Muhammad cuba diwarnai unsur-unsur Islam dengan
menukarkan nama Brahma kepada nama Allah dll, namun pewarnaan sedemikian
amat kecil tanpa menukar sifat kehinduannya.
Winstedt (1969: 52) menggunakan istilah semi-Muslim atas unsur pewarnaan
Islam dalam karya Hindu pada zaman peralihan Hindu-Islam. Dalam cerita panji

Perabu Jaya sebagai contoh, wirawati yang nama asalnya Chandra Kirana telah
dipanggil sebagai Chandra Nur Lela. Penjaga tempat berehat di bawah pokok
rendangnya dikenali sebagai Malik Indra. Apabila wira naik takhta, nama asal
Maharaja Bikrama Indra Dewa telah ditukar menjadi Paduka Sri Sultan Putra Jaya
Pati Sifat Alau-udin Syah.

Seterusnya Winstedt (1969:54) mencatatkan:

It is quite obvious that many romances of this type were not invented after
Islam was firmly established but are relics of Hinduism adapted to a
changed world. Many of this Malay works have Muslim titles as well as
Hindu.
Antara contoh yang diberikan oleh Winstedt (1969) disenaraikan dalam Jadual 1.2
berikut:
Bil.

Judul Hindu

Judul Islam

1.

Hikayat Maharaja Bikrama Sakti

Hikayat Nakhoda Muda

2.

Hikayat Marakarma

Hikayat Si Miskin

3.

Hikayat Indra Jaya

Hikayat Shahi Mardan

4.

Hikayat Serangga Bayu

Hikayat Ahmad Muhammad

Jadual 1.2: Judul Hindu yang diubah suai menjadi judul Islam.
Kedatangan Islam turut membawa sumber cerita bayan (Tales of a Parrot)
dari Parsi, yang terkenal ialah Hikayat Bayan Budiman, kemudian diikuti dengan
cerita Kalila dan Damina, campuran karya Parsi-India yang dikenali sebagai

Panchatantra serta cerita berbingkai Bakhtiar dari Parsi dan Arab. Panchatantra pada
asalnya ialah sebuah buku cerita Sanskrit yang terkenal. Setiap cerita dalam

Panchatantra diikuti dengan satu unsur moral, buku ini telah diterjemahkan ke 80
bahasa yang berlainan.
Koleksi cerita dalam Panchatantra pada asalnya bertujuan mendidik putera diraja
berkenaan aspek kelakuan dan etika melalui cerita yang menarik.
Ali Ahmad et. al (2005:7) berpendapat bahawa pengaruh Hindu-Jawa hanya
memberikan sumbangan terhad dari segi mempelbagaikan jenis kesusasteraan
ataupun dalam pengembangan fikirannya. Roman Hindu dan Jawa hanya
menonjolkan kompleksiti plot tetapi tidak memperkembangkan kepelbagaian genre
sastera yang baharu. Perkembangan cerita dengan tujuan mencari jodoh, mencari
tunang yang hilang, usaha menebus kekalahan dan banyak lagi berulang-ulang
diceritakan. Pada Ali Ahmad et. al (2005:7), persolan taakulan dan fikiran bukan
menjadi perkara yang diutamakan.
Sebagai rumusan, boleh dikatakan kedatangan Islam pada peringkat awal di
kepulauan Melayu telah membawa pengaruh besar atas karya kesusasteraan yang
dihasilkan di rantau ini. Selain itu, pengaruh Parsi dan Arab turut mengambil alih
tempat

pengaruh

Hindu

dalam

karya

kesusasteraan

di

kepulauan

Melayu.Perkembangan sastera Melayu bercorak Islam bertambah pesat dan


mencapai puncaknya setelah kerajaan Islam Melayu mencapai kegemilangannya.
Antara kerajaan Melayu yang penting adalah seperti Kesultanan Melayu Melaka
(abad ke-15 hingga ke-16), Kesultanan Acheh (abad ke-17), Riau-Lingga pada abad
ke-18 hingga ke-19 dan banyak lagi. Tumpuan perbincangan tentang kesusasteraan
Melayu klasik akan memfokuskan Kesultanan Melayu Melaka sahaja.

1.5

PERKEMBANGAN KESUSASTERAAN MELAYU TRADISIONAL DALAM ZAMAN


KESULTANAN MELAYU MELAKA
Perkembangan sastera Melayu tradisional tidak dapat dipisahkan daripada peranan
istana, raja-raja dan golongan elit pada zaman kesultanan Melayu. Mereka bukan
sahaja memberikan peluang dan kemudahan kepada pujangga untuk mengarang,
tetapi juga dijadikan sumber ilham kepada bahan karangan para pujangga.
Akibatnya, karya yang dilahirkan di istana bukan sahaja ekslusif untuk raja
mempertahankan kedudukan mereka sebagai golongan pemerintah malah menjadi
santapan rohani mereka (Ding Choo Ming, 2003: 10). Terdapat pengkaji yang
menamakan karya sastera klasik yang dihasilkan di istana sebagai sastera istana
atau sastera sejarah.
Tradisi sastera istana dianggap Noriah Taslim (1993: 128) sebagai gagah dan
abadi. Gagah kerana tradisi ini dilindungi sultan atau raja yang berupa golongan
pemerintah yang tertinggi dalam hierarki feudal. Abadi kerana karya sastera istana
ditulis dan diabadikan. Walaupun terdapat sastera istana yang tidak mementingkan
siapakah pengarangnya namun sastera istana tetap memperlihatkan ciri-ciri
keindividuan dan keterlibatan pengarang yang terbabit.
Sastera sejarah yang dihasilkan di istana kesultanan Melayu dianggap sebagai
satu genre baharu dalam warisan sastera Melayu tradisional (Noriah Taslim, 1993:
130). Sastera sejarah hanya muncul setelah kedatangan Islam pada sekitar kurun
ke-14 hingga kurun ke-15. Hal ini disebabkan pendakwah awal Islam telah
memperkenalkan huruf Arab kepada penduduk peribumi, yang dikenali dalam
konteks tempatan sebagai tulisan Jawi. Tradisi tulisan ini berkembang di istana
sultan Melayu kerana pencelik huruf Jawi perlu merakam geneologi, biografi dan
catatan harian istana, yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada asas
pembinaan teks sastera bercorak sejarah di istana (Noriah Taslim, 1993: 131).
Kesultanan Melayu Melaka merupakan titik tolak permulaan suatu tradisi,
yang menjadi dasar budaya Melayu. Penghasilan adikarya, iaitu Sulalatus Salatin
atau Sejarah Melayu dalam istana dipandang penting oleh sarjana disebabkan
hampir semua perkembangan budaya Melayu kini boleh dicari dasarnya dalam
adikarya ini (Haron Daud, 1989: 218).
9

Harun

Mat

Piah

(2000:

39)

melaporkan

bahawa

perkembangan

kesusasteraan di istana Kesultanan Melayu Melaka sukar dijejaki. Hal ini disebabkan
tidak ditemui mana-mana nashkah atau manuskrip yang dihasilkan pada zaman
Kesultanan Melayu Melaka. Sejarah Melayu atau Sulaltus Salatin, yang mengisahkan
kegemilangan zaman empayar Melayu Melaka pun dihasilkan pada zaman kesultanan
di Johor, iaitu pada tahun 1612, sebagaimana yang dicatatkan dalam karya ini.
Namun menurut keterangan Winstedt (1938: 27), isi Sejarah Melayu naskah Raffles
No. 18 sebenarnya telah ditulis pada zaman Sultan Mahmud Syah.

Sejarah Melayu ialah satu-satunya sumber maklumat penting bagi kita


mengetahui perkembangan kesussasteraan klasik pada zaman Kesultanan Melayu
Melaka. Dalam Sejarah Melayu tercatatnya orang Melaka pada masa itu sudah
mengenali beberapa buah karya agung seperti Hikayat Iskandar Zulkarnain, Hikayat

Muhammad Hanafiah dan Hikayat Amir Hamzah.


Melalui Hikayat Iskandar Zulkarnain, tahulah kita bahawa orang Melayu pada
zaman itu bukan sahaja sudah megenali wira hikayat tersebut namun membolehkan
pengarang Sejarah Melayu mengaitkan keturunan raja Melaka yang pertama dengan
nasab Iskandar Zulkarnain. Bukti berkenaan orang Melayu Kesultanan Melaka
mengenali Hikayat Muhammad Hanafiah dan Hikayat Amir Hamzah adalah melalui
catatan dalam Sejarah Melayu, yang mengisahkan pada saat-saat genting sebelum
angkatan laut Portugis menyerang kota Melaka, pahlawan Melayu yang bersedia
mempertahankan kota Melaka memohon diberikan Hikayat Muhammad Hanafiah
agar mereka memperoleh semangat perjuangan daripadanya. Akan tetapi, mereka
dibekalkan Hikayat Amir Hamzah dengan alasan jikalau ada seperti Amir Hamzah
pun padalah; maka kita beri Hikayat Amir Hamzah. (Shellabear (ed.), 1978: 265).
Dalam Sejarah Melayu juga tertonjolnya unsur cerita panji, khususnya

Hikayat Damar Wulan dan Syair Ken Tambunan. Ketika menggambarkan kehebatan
Hang Tuah serta pengisahan puteri Galuh Cendera Kirana, iaitu puteri Betara
Majapahit yang dikahwinkan kepada Raja Melaka, adalah unsur cerita panji belaka.
Puteri Galuh Cendera Kirana ialah watak utama dalam cerita panji Jawa (Harun Mat
Piah, 2000: 39).

10

Peranan istana sultan Melayu terserlah sebagai tempat menghasilkan karya


klasik Melayu, khususnya sastera istana yang bercorak sejarah jelas dilihat apabila
kita mengambil kira karya klasik yang dihasilkan di pelbagai istana di alam Melayu
secara menyeluruh. Disenaraikan beberapa contoh karya klasik bercorak sejarah
yang dihasilkan di istana-istana Melayu di rantau ini (Jadual 1.3).
Bil.

Karya sastera istana

Tempat

1.

Hikayat Raja-raja Pasai

Pasai

2.

Sejarah Melayu

Melaka

3.

Hikayat Merong Mahawangsa

Kedah

4.

Hikayat Aceh

Aceh

5.

Misa Melayu

Perak

6.

Sejarah Raja-raja Riau

Riau

7.

Hikayat Siak

Siak

8.

Hikayat Raja-raja Johor

Johor

Jadual 1.3: Beberapa contoh karya klasik yang dihasilkan di istana sultan-sultan
Melayu (Diubah suai daripada Ali Ahmad, 1987: 7-8).
1.6

RUMUSAN
Berdasarkan perbincangan tiga tahap perkembangan sejarah kesusasteraan Melayu
yang dikaji oleh beberapa orang pengkaji Barat dan tempatan, jelas bahawa unsur
asing (Hindu-Buddha dan Islam) mendominasi karya kesusasteraan Melayu awal.
Kejadian yang sedemikian menyebabkan R.O Winstedt, iaitu pentadbir selaku
pengkaji kesusasteraan Melayu yang dianggap berwibawa tentang kesusasteraan
dan kebudayaan Melayu pada zamannya melihat pegaruh asing begitu menonjol
sekali dalam kesussteraan Melayu awal. Noriah Taslim (1993: 16) semasa berbiraca
tentang teori dan kritikan sastera Melayu tradisional mencatatkan bahawa tulisan
Winstedt terpengaruh dengan teori evolusi budaya, yang melihat budaya tinggi
mendominasi budaya rendah. Dalam konteks ini, hasil kesusasteraan Melayu awal
dikelompokkan ke dalam beberapa bahagian pengaruh budaya tinggi.
Sebagai rumusan, kita tidak dapat menafikan unsur pengaruh asing dalam
kesusasteraan Melayu klasik. Masing-masing pengkaji Barat dan pengkaji tempatan
11

mempunyai bukti dan pandangan mereka tersendiri terhadap isu setakat manakah
pengaruh asing dalam kesusasteraan Melayu klasik. Dalam konteks ini, penulis
memilih kedudukan di tengah, yakni sastera Melayu klasik sememangnya
dipengaruhi budaya tinggi (Hindu-Buddha dan Islam), namun pengarang tempatan
yang kreatif turut menggunakan kreativitinyanya bagi mengubah suai dan
menyelitkan unsur-unsur tempatan ke dalam karya sastera klasik pada hari-hari
terkemudian. Terdapat juga pengarang istana yang telah menghasilkan karya sastera
sejarah.
1.7

KATA KUNCI

Karya agung Melayu

Karya klasik Melayu

Pengaruh Hindu-Buddha

Pengaruh Islam

Sastera istana

12

1.8

LATIHAN
Jawab soalan-soalan berikut:
i) Jelaskan maksud karya agung, karya klasik dan sastera istana.
ii) Bincangkan faktor-faktor yang menyebabkan karya klasik Melayu terpengaruh oleh
pandangan dunia (world view) Hindu-Buddha.
iii) Apakah yang terjadi kepada karya klasik Melayu yang dihasilkan dalam zaman
pengaruh Hindu-Buddha pada peringkat awal penyebaran Islam ke alam Melayu?

1.9

AKTIVITI
Baca buku Winstedt (1969) yang berjudul A History of Classical Malay Literature dan
buat catatan ringkas dari segi ciri-ciri karya klasik Melayu dalam zaman HinduBuddha dan zaman peralihan Hindu-Islam. Bandingkan persamaan dan perbezaan
yang terdapat dalam karya klasik Melayu antara kedua-dua zaman tersebut.

13

Anda mungkin juga menyukai