Anda di halaman 1dari 3

Anak pemimpin tak usah lebih sudu daripada kuah

Siapa yang dapat menafikan kehebatan dan peranan media sosial dalam kehidupan seharian seorang manusia dengan hampir setiap orang kini mempunyai sekurang-kurangnya satu akaun media sosial sekali gus menjadikan seantero dunia tahu apa kita lakukan, mahukan dan fikirkan.

Di Malaysia misalnya, rakyat negara ini antara pengguna paling aktif menggunakan media

sosial dengan segenap lapisan masyarakat menggunakannya tidak kira orang biasa, ahli perniagaan, ahli politik, pemimpin kerajaan malah kalangan kerabat diraja dan Sultan juga.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri begitu aktif menggunakan medium media sosial dan tidak lagi bergantung kepada media konvensional untuk meluahkan atau berkongsi perasaan dengan rakyat.

Namun dalam setiap kebaikan ciptaan manusia, pasti ada keburukannya kerana tiada yang sempurna diciptakan manusia, begitu juga dengan laman sosial.

Akaun Facebook, Instagram atau Twitter yang digunakan bagi meluahkan perasaan atau berkongsi pendapat, dalam sedar atau tidak, penggunanya pasti terdedah kepada persepsi negatif masyarakat laman sosial (netizen).

Ini terjadi kepada anak pemimpin politik dan kerajaan yang lantang membela bapa masing-

masing yang bertugas untuk rakyat. Sebenarnya tidak salah untuk membela nasib bapa mereka yang menerima kutukan atau cemuhan netizen tetapi ia juga membawa keburukan kepada pemimpin itu sendiri.

Lihat saja bagaimana anak Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menggunakan laman sosial untuk "membelasah" netizen kerana mengutuk bapanya berhubung isu 1.5 juta pekerja

Bangladesh hingga mengundang amarah rakyat. Apa yang berlaku selepas itu berpanjangan apabila dia pula dibelasah kerana gagal menyelami kehendak rakyat di peringkat akar umbi.

Sedar atau tidak, pembelaan anak pemimpin kerajaan ini, terhadap bapa mereka sebenarnya, membawa lebih keburukan daripada sudut impak politik kerana rakyat sudah pasti mempunyai persepsi betapa ahli keluarga pemimpin ini gagal menyelami dan memahami denyut nadi rakyat di peringkat akar umbi.

Sikap "lebih sudu daripada kuah" anak pemimpin ini menyebabkan bukan saja pemimpin berkenaan terpalit dengan persepsi negatif tetapi turut menerima tempiasnya adalah kerajaan dan parti itu sendiri, iaitu Barisan Nasional (BN) serta Umno yang kini jelas berdepan krisis keyakinan daripada rakyat terutama sekali mereka yang tinggal di kawasan bandar serta separa bandar.

Sebagai anak pemimpin, mereka seharusnya menunjukkan contoh dan teladan baik kepada rakyat khususnya, generasi muda dan tidak berlebih-lebihan dalam membuat komen bagi membela bapa masing-masing kerana sebagai pemimpin politik, apa yang dinyatakan mempunyai maksud tersurat dan tersirat serta berkaitan dasar kerajaan.

Sikap anak pemimpin berkenaan kadang-kadang berlebihan hingga menimbulkan rasa jelik dan meluat netizen yang kemudiannya pasti menular kepada rakyat. Ada sesetengah anak pemimpin pula cepat "berpaling tadah" dengan mengutuk jentera kerajaan apabila bapanya tidak lagi berada dalam koridor kekuasaan, dan sewenang-wenang melemparkan komen berbentuk sinikal.

Contoh terkini ialah tindakan anak bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan gambar tertentu pada logo polis dan kemudian dimuat naik ke akaun Instagramnya.

Ia nampak sangat tindakan kebudak-budakan yang tidak melambangkan kewibawaan sebagai anak bekas pemimpin negara kerana sebelum ini, bapanya melafazkan sumpah taat setia melindungi kerajaan dan perkhidmatannya. Lepas kecoh mengenai gambar itu, pandai pula padamkan ia daripada akaunnya.

Seharusnya, jika mereka ini bercita-cita untuk menjadi ahli atau pemimpin politik, pilih platform dalam mana-mana parti politik dan luahkan segalanya seperti yang dilakukan Nurul Izzah. Anak Datuk Seri Anwar Ibrahim bukannya bersikap seperti "baling batu, sembunyi tangan" dengan hanya sembang gah dalam laman sosial.

Perlunya sikap lebih matang, telus serta berkredibiliti ditunjukkan anak pemimpin ini dalam laman sosial kerana segala apa yang dikatakan mempunyai impak amat besar dan boleh menjadi "viral" sekelip mata sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pimpinan kerajaan BN dan Umno.

Jangan buat rakyat menyampah pada bapa anda dengan sikap "tidak fikir panjang" anda, wahai anak pemimpin.

Bak kata pepatah Melayu lama, "kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai", itulah seharusnya menjadi pegangan anak pemimpin ini, apabila melihat atau mendengar bapa masing-masing dicemuh atau dituduh pelbagai cacian ketika menjalankan tugas.

Hendak jadi pemimpin politik, itulah asam garamnya dan anak mereka menikmati segala "perks" sebagai anak "orang ada-ada". Jadi, kalau sesekali orang kutuk bapa anda, telan sajalah, tidak perlu melatah. 24 Februari, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/opinion/srihanasham- noordin/article/anak-pemimpin-tak-usah-lebih-sudu-daripada-kuah