Anda di halaman 1dari 18

HSR 3023 :

PENYELIDIKAN DAN PENULISAN SEJARAH


KERTAS CADANGAN PENYELIDIKAN TAHUN AKHIR
HUBUNGAN MASYARAKAT BAJAU DAN DUSUN DI TUARAN, SABAH PADA
TAHUN 1900-1967.

NAMA

: NOORLIYANA BINTI JAPAR

NO. MATRIK

: D20121058803

KUMPULAN

:C

SEMESTER

:6

NAMA PENSYARAH

: DR NABIR HAJI ABDULLAH

KERTAS CADANGAN PENYELIDIKAN TAHUN AKHIR


Oleh
NOORLIYANA BINTI JAPAR
HUBUNGAN MASYARAKAT BAJAU DAN DUSUN DI TUARAN, SABAH PADA
TAHUN 1900-1967
1.1 PENGENALAN
Sabah merupakan salah satu negeri yang terdapat dalam Malaysia dan terletak di utara pulau
Borneo, yang merupakan pulau ketiga terbesar di dunia. Sabah terletak di bahagian timur
Malaysia, dan dipisahkan daripada tanah Semenanjung oleh Laut China Selatan. 1 Sabah
merupakan sebuah negeri yang bukan sahaja kaya dengan flora dan fauna bahkan juga kaya
dengan kepelbagaian etnik yang terdapat di Sabah. Terdapat lebih daripada 30 etnik yang
terdapat di Sabah. Etnik terbesar di Sabah ialah Kadazan Dusun, Bajau dan Murut. Walaupun
terdapat banyak perbezaan terutama dari segi bahasa, agama dan adat istiadat, hubungan antara
masyarakat masih dapat berjalan dengan baik.
Kewujudan hubungan antara masyarakat di Sabah dapat dibuktikan melalui kajian-kajian sejarah
sosial yang dijalankan oleh para pengkaji. Walaupun masyarakat di Sabah, khususnya
masyarakat Bajau dan Tuaran mendiami kawasan yang berbeza disebabkan oleh kegiatan
ekonomi mereka, hubungan antara kedua-dua masyarakat ini masih dapat berjalan dengan baik.
Black (1968) turut menjelaskan perkara ini dalam penulisan beliau yang mengatakan :

1 Dayu Sansalu. 2008. Kadazandusun di Sabah: Pendidikan dan Proses Pemodenan


1881-1967. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 1.

Namun perbezaan petempatan ini tidak pula menyebabkan mereka


hidup secara sendiri-sendiri, sebaliknya, keadaan ini telah mewujudkan
hubungan yang bersifat timbal-balik antara kedua-dua suku kaum ini2
Melalui laporan tersebut, dapat dipastikan bahawa hubungan antara masyarakat Bajau
dan Dusun ini berlaku kerana mereka memerlukan antara satu sama lain. Hal ini kerana
masyarakat Bajau yang mendiami kawasan pesisir pantai merupakan golongan nelayan dan juga
terlibat dengan aktiviti perdagangan, manakala masyarakat Dusun yang mendiami kawasan
pedalaman merupakan golongan petani. Oleh itu, hubungan antara masyarakat Bajau dan Dusun
di Tuaran, Sabah ini wujud dengan baik disebabkan oleh hubungan saling bergantung dan saling
memerlukan antara mereka.
Hubungan saling bergantung antara masyarakat Bajau dan Dusun ini dapat dilihat dari
institusi tamu. Tamu merupakan pasar terbuka dan berlaku pada tempoh yang tertentu dan tempat
yang tertentu sahaja seperti kawasan tumpuan orang ramai. Di Tuaran, Sabah, tamu dijalankan
pada hari Ahad dari waktu pagi hingga petang di Pekan Tuaran, yang mana merupakan pusat
tumpuan masyarakat di Tuaran, Sabah. Melalui institusi tamu ini, masyarakat Bajau dan Dusun
akan saling berhubung antara satu sama lain untuk mendapat barangan keperluan mereka yang
hanya dihasilkan oleh sebelah pihak sahaja, yang mana hasil laut oleh masyarakat Bajau dan
hasil pertanian oleh masyarakat Dusun. Selain itu, tamu ini juga telah menjadi medium
pertemuan dan juga menjadi pusat interaksi antara masyarakat Bajau dan Dusun di Tuaran,
Sabah.

2 Black, I.D. 1983. The ending of Brunei rule in Sabah 1872-1902. JMBRAS 41 (213) :
178-199.

Kepelbagaian etnik yang terdapat di Sabah telah menyebabkan wujudnya hubungan


antara satu masyarakat dengan masyarakat yang lain di Sabah. Bahkan, hubungan antara
masyarakat ini juga berjalan dengan baik walaupun berlaku perselisihan faham yang kecil. Oleh
itu, hubungan antara masyarakat Bajau dan Dusun di Tuaran, Sabah seharusnya dikaji untuk
melihat secara mendalam tentang bentuk hubungan antara kedua-dua masyarakat ini.
1.2 LATAR BELAKANG KAJIAN
Masyarakat merupakan satu konsep yang paling penting untuk memahami hubungan etnik.
Masyarakat didefinisikan sebagai kumpulan manusia yang hidup bersama di sesuatu tempat
dengan peraturan yang tertentu.3 Secara umumnya, masyarakat boleh didefinisikan sebagai
sekumpulan manusia yang hidup bersama, saling berhubungan san bekerjasama antara satu sama
lain, mempunyai kesatuan sosial dan juga membina kebudayaan. Ciri-ciri masyarakat boleh
dibahagikan kepada tujuh, iaitu masyarakat terdiri daripada manusia yang hidup dalam satu
kumpulan, masyarakat melahirkan kebudayaan, masyarakat berubah, masyarakat saling
berhubungan, masyarakat mempunyai kepimpinan, stratifikasi sosial dan sistem sosial.
Konsep hubungan ras dan etnik sering kali

dicampur aduk sehingga menyebabkan

maknanya menjadi lebih kurang sama. Namun demikian, istilah ras sebenarnya merujuk kepada
sekumpulan manusia yang memiliki ciri-ciri fizikal yang sama seperti warna kulit, rambut dan
warna mata yang mudah untuk dikesan kerana melibatkan ciri fizikal sesuatu ras tersebut. Ras
juga merupakan kategori untuk sekumpulan manusia yang secara turun-temurunnya memiliki ciri
fizikal yang sama. Perkataan ras berasal dari bahasa Perancis dan Itali iaitu razza yang boleh
didefinisikan sebagai perbezaan variasi penduduk atau perbezaan ciri ciri manusia dari segi
3 Kamus Dewan Edisi Keempat. 2005. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

fizikal seperti rambut, warna kulit dan bentuk yang secara tradisional ada tiga iaitu Kaukasoid ,
Negroid dan Mongoloid. Selain itu, ras juga boleh dikenal pasti melalui perangai atau gelagat
manusia.4
Konsep ras ini sangat berbeza dengan konsep etnik, dan ras juga lebih mudah untuk
diperhatikan dalam seorang atau sekumpulan manusia. Konsep etnik ini berasal daripada
perkataan bahasa Inggeris iaitu ethnic. Etnik lebih merujuk kepada ciri-ciri budaya, adat
resam, dan pengalaman sejarah yang dilalui oleh sesuatu kelompok masyarakat. Etnik boleh
didefinisikan sebagai sekelompok manusia yang mengamalkan budaya yang hampir sama,
termasuklah adat resam, pakaian dan juga kegiatan ekonomi. Etnik juga dapat dikelaskan melalui
perbezaan budaya antara satu kelompok masyarakat dengan kelompok masyarakat yang lain,
yang mana dapat dilihat berdasarkan ciri budaya seperti adat resam, pakaian, orientasi politik,
kegiatan ekonomi dan juga hiburan. Etnik pada dasarnya bersifat etnosentrik iaitu menganggap
ciri-ciri budayanya adalah wajar dan lebih utama berbanding dengan budaya etnik lain.
Di Sabah, masyarakat Bajau merupakan antara suku kaum yang terbesar. Masyarakat Bajau amat
sinonim dengan kehidupan berperahu dan tinggal berpindah-randah dari satu tempat ke tempat
yang lain pada suatu ketika dahulu. Namun demikian, perubahan zaman telah menyebabkan
masyarakat Bajau ini mula menetap di sesuatu kawasan. Selain itu, masyarakat Bajau di Sabah
juga boleh dikelompokkan kepada Bajau Pantai Barat dan juga Bajau Pantai Timur yang mana
dapat dibezakan dari segi kegiatan ekonomi dan juga lokasi kediaman mereka. Namun demikian,
asal usul Bajau ini masih tidak dapat dikenal pasti sehingga sekarang disebabkan oleh kekangan
sumber sejarah dan kewujudan pelbagai beberapa sumber yang berlainan antara satu sama lain.
4 Alo Liliweri. 2011. Komunikasi: Serba Ada Serba Makna. Jakarta : Prenada Media
Group. Hlm. 18-19.

Terdapat pelbagai pendapat yang menceritakan tentang asal usul Bajau, antaranya pendapat yang
mendakwa bahawa Bajau berasal dari Zamboanga di Selatan Filipina. Selain itu, terdapat juga
pendapat yang mendakwa bahawa etnik Bajau berasal dari Johor.5 Kedua-dua pendapat ini turut
disokong oleh sumber linguistik, demografi, geografi, budaya dan tradisi lain yang menyebabkan
satu rumusan mengenai asal usul Bajau tidak dapat dilakukan sehingga sekarang.
Masyarakat Dusun merupakan suku kaum yang terbesar di Sabah dan seterusnya diikuti oleh
Bajau. Masyarakat Dusun terkenal sebagai masyarakat petani dan juga pengeluar beras utama di
Sabah. Hal ini disebabkan oleh kawasan petempatan mereka yang terletak di lembah sungai yang
rata dan juga kawasan pergunungan. Namun demikian, masyarakat Dusun tidak menjalankan
aktiviti perikanan kerana mereka lebih tertumpu pada aktiviti pertanian, yang mana
menyebabkan mereka bergantung dengan masyarakat Bajau untuk mendapatkan hasil laut,
Seperti Bajau, terdapat juga pelbagai pendapat mengenai asal usul nama Dusun. Antaranya
ialah nama Dusun dipercayai oleh Owen Rutter berasal daripada perkataan dusun yang
merujuk kepada kebun atau kawasan pedalaman. Orang Dusun juga bermaksud orang dari kebun
atau desa atau men of the orchards or gardens. Menurut Rutter:
The Pagans are usually divided into two main tribes, to which are
given distinguishing names of Murut and Dusun. These names are,
however, never used by the tribes themselves, but appear to have been
applied to them by the Mohammedan invaders. The word Murut is
derived from the Bajau belud hill and Dusun from the Malay dusun

5 Gusni Saat. 2003. Komuniti Samah-Bajau di Bandar. Bangi: Penerbit Universiti


Kebangsaan Malaysia. Hlm. 51.

orchard so that orang Murut and orang Dusun meand men of the hills
and men of the orchards or gardens6
Daerah Tuaran merupakan daerah yang terletak di Residensi Pantai Barat Sabah, dan
Tuaran terletak di zon Pantai Barat Selatan. Jika dilihat dari segi sejarah, daerah Tuaran ini
pernah diletakkan di bawah pentadbiran North Keppel bersama-sama dengan daerah Kota Belud
yang mana pusat pentadbirannya adalah terletak di Tuaran. Pada masa ini, daerah Tuaran
mempunyai tiga daerah kecil iaitu daerah kecil Tamparuli, Kiulu dan juga Tenghilan. Penduduk
yang banyak terdapat di daerah Tuaran ini adalah penduduk yang terdiri daripada suku kaum
Bajau dan juga suku kaum Dusun.
Oleh itu, penulis berpendapat bahawa kajian mengenai hubungan masyarakat Bajau dan
Dusun di Tuaran, Sabah ini perlu dijalankan. Hal ini demikian kerana kedua-dua masyarakat ini
bukan sahaja merupakan antara suku kaum yang terbesar di Sabah, bahkan turut mempunyai
bilangan penduduk yang ramai yang menetap di Tuaran, Sabah. Selain itu, penulis juga
berpendapat bahawa kajian ini adalah penting bagi membuktikan wujudnya hubungan antara
masyarakat Bajau dan Dusun di Tuaran, Sabah.
1.3 PERMASALAHAN KAJIAN
Sabah merupakan sebuah negeri yang mempunyai kepelbagaian etnik. Antara etnik yang terdapat
di Sabah ialah Dusun, Murut, Bajau, dan Irranun. Berdasarkan sejarah awal pantai Barat Sabah
(Kota Belud dan Tuaran), hubungan masyarakat Bajau dan Dusun bermula pada abad ke-19, iaitu
setelah masyarakat Bajau mengambil peranan pedagang Brunei sebagai pembekal barangan

6 Rutter, Owen. 1929. The Pagans of North Borneo. London: Hutchinsons & Co. Hlm.
30

keperluan kepada masyarakat Dusun. Walaupun terdapat penulisan tentang hubungan antara
kaum di Sabah, namun kajian yang dilakukan adalah bersifat umum dan tidak dikhususkan
kepada masyarakat Bajau dan Dusun di daerah Tuaran. Oleh itu, penulis berpendapat bahawa
satu kajian yang mengkhususkan kepada hubungan antara masyarakat Bajau dan Dusun di
Tuaran, Sabah perlu dijalankan. Dalam penulisan ini, penulis ingin melihat sejauh mana dasar
yang dijalankan oleh Kompeni British dan Jepun mempengaruhi hubungan masyarakat Bajau
dan Dusun di Tuaran, Sabah pada tahun 1900 hingga 1967.
1.4 SKOP KAJIAN
Skop kajian dalam penulisan ini meliputi jangka waktu selama 67 tahun iaitu dari tahun 19000
hingga 1967. Perbincangan tentang hubungan masyarakat ini hanya dihadkan kepada masyarakat
Bajau dan Dusun yang menetap di daerah Tuaran, Sabah. Selain itu, penulis juga akan
menyentuh serba sedikit tentang latar belakang sejarah masyarakat Bajau dan Dusun. Namun
demikian, perkara utama yang akan dibincangkan dalam penulisan ini adalah mengenai dasar
Kompeni British dan Jepun yang mempengaruhi hubungan antara masyarakat Bajau dan Dusun
di Tuaran, Sabah bermula tahun 1900 hingga 1967.
1.5 TUJUAN KAJIAN
Kajian ini dilakukan untuk memperlihatkan hubungan yang wujud antara masyarakat di Sabah,
khususnya antara masyarakat Bajau dan Dusun di daerah Tuaran. Penulisan tentang hubungan
masyarakat di Sabah sebelum ini adalah bersifat umum dan hanya tertumpu pada daerah yang
tertentu sahaja. Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk membuktikan wujudnya hubungan antara
masyarakat Bajau dan Dusun di Tuaran, Sabah.

1.6 OBJEKTIF KAJIAN


Kajian ini dijalankan oleh pengkaji dengan tujuan untuk:
i.
ii.

Mengkaji sejarah hubungan masyarakat Bajau dan Dusun di Tuaran, Sabah.


Mengkaji dasar Kompeni British yang mempengaruhi hubungan masyarakat Bajau

iii.

dan Dusun di Tuaran, Sabah.


Mengkaji dasar pemerintahan Jepun yang mempengaruhi hubungan masyarakat Bajau

iv.

dan Dusun di Tuaran, Sabah.


Mengkaji kesan hubungan masyarakat Bajau dan Dusun di Tuaran, Sabah kepada

kedua-dua kelompok masyarakat ini.


1.7 ULASAN KAJIAN LEPAS
Untuk mengkaji tentang hubungan masyarakat di Sabah, penulis telah merujuk kepada beberapa
penulisan yang berkaitan dengan masyarakat Bajau dan Dusun. Terdapat banyak penulisan yang
menceritakan tentang masyarakat Bajau dan Dusun di Sabah. Namun demikian, kebanyakan
penulisan ini adalah berbentuk umum dan tidak menjurus kepada hubungan yang wujud antara
masyarakat Bajau dan Dusun.
Penulis telah merujuk penulisan yang telah dihasilkan oleh Saidatul Nornis Hj. Mahali
yang bertajuk Bajau Pantai Barat. Dalam penulisan yang dihasilkan oleh beliau ini, beliau
menjelaskan tentang masyarakat Bajau itu sendiri, iaitu dari segi latar masyarakat, organisasi
sosial, adat istiadat dan juga sistem ekonomi yang dijalankan oleh masyarakat Bajau.
Berdasarkan penulisan ini, beliau menjelaskan tentang asas pembahagian antara Bajau Pantai
Barat dan Bajau Pantai Timur. Menurut beliau:
Dua kawasan yang dikenal pasti menjadi petempatan utama etnik
Bajau di Sabah ialah di Pantai Barat dan di Semporna di Pantai Timur.
Di Kota Belud, etnik ini dikenali sebagai Bajau Darat manakala di

Semporna, mereka lebih terkenal dengan panggilan Bajau Laut. Selain


dua petempatan ini, beberapa lokasi lain turut menjadi tumpuan dan ini
antaranya termasuklah Tuaran, Kota Kinabalu, Kudat, Putatan dan
Papar di Pantai Barat, Sabah. Turut menjadi tumpuan ialah beberapa
pulau berhampiran, antaranya Pulau Mantanani di Kota Belud, Pulau
Banggi di Kudat serta Pulau Gaya dan Sepanggar di Kota Kinabalu.7
Hal ini membuktikan bahawa masyarakat Bajau di Sabah boleh dibahagikan kepada masyarakat
Bajau yang mendiami kawasan Pantai Barat Sabah dan kawasan Pantai Timur Sabah. Di Pantai
Barat Sabah, masyarakat Bajau ini lebih memilih untuk menetap di bandar dan menjalankan
aktiviti bentuk moden seperti bekerja di pejabat. Namun demikian, selain menetap di bandar,
Bajau Pantai Barat ini juga tertumpu pada kawasan kampung yang geografinya berdekatan
dengan laut. Bahkan, wujud juga petempatan yang didiami oleh masyarakat Bajau dengan
masyarakat lain seperti Kadazan Dusun dan Iranun, khususnya di Kota Belud. Di Pantai Timur
Sabah, masyarakat Bajau di kawasan ini yang dikenali sebagai Bajau Laut lebih tertumpu di
daerah Semporna, Lahad Datu dan juga Sandakan. Bahkan, masyarakat Bajau di kawasan ini
lebih banyak menetap di pulau-pulau seperti Pulau Dinawan, Pulau Omadal, Pualau Siamil,
Pulau Gaya dan juga Pulau Bum-Bum. Selain dikenali sebagai Bajau Darat dan juga Bajau Laut,
terdapat gelaran lain yang diberikan kepada masyarakat Bajau di Sabah. Masyarakat Bajau di
Pantai Barat Sabah dikenali sebagai cowboy of the east kerana kemahiran dan kecekapan
mereka dalam menunggang kuda, manakala masyarakat Bajau di Pantai Timur Sabah dikenali

7 Saidatul Nornis Hj. Mahali et. al. 2012. Latar Masyarakat Bajau. Dlm. Saidatul
Nornis Hj. Mahali (ed.). Bajau Pantai Barat. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan &
Buku Malaysia Berhad. Hlm. 2-3.

sebagai sea gypsie disebabkan oleh cara hidup mereka yang masih mengamalkan kehidupan
tradisional seperti menangkap ikan.8
Namun demikian, penulisan yang dihasilkan oleh beliau ini lebih tertumpu pada masyarakat
Bajau di Pantai Barat, dan tidak menumpukan secara khusus kepada masyarakat Bajau di Tuaran.
Hal ini kerana kawasan Pantai Barat Sabah ini sangat luas sehingga dibahagikan kepada Pantai
Barat Utara dan juga Pantai Barat Selatan. Penulisan yang dihasilkan oleh beliau ini
sememangnya sangat menjurus kepada masyarakat Bajau di Pantai Barat tetapi beliau tidak
menceritakan hubungan langsung yang wujud antara masyarakat Bajau dan Dusun di Pantai
Barat, khususnya di Daerah Tuaran.
Selain itu, penulis juga mengkaji artikel yang bertajuk Masyarakat Bajau dan Dusun di
Sabah Sebelum Tahun 1900 oleh Yunus Sauman Sabin. Dalam artikel ini, beliau menumpukan
hubungan yang wujud antara masyarakat Bajau dan Dusun di Kota Belud dan Tuaran sebelum
tahun 1900. Beliau menerangkan bahawa pada peringkat awal ini, sememangnya wujud pelbagai
perkara yang menyebabkan hubungan awal antara kedua-dua masyarakat ini sering kali
terganggu dan seterusnya menjadi retak. Berikut merupakan pendapat beliau mengenai punca
keretakan hubungan awal masyarakat Bajau dan Dusun:
Perselisihan antara masyarakat Bajau dengan masyarakat Dusun
berlaku sebagai akibat daripada sikap masyarakat Bajau yang terkenal
sebagai pencuri kerbau. Masyarakat Dusun tidak berpuas hati dengan
sikap masyarakat Bajau dan kesannya ialah masyarakat Dusun di

8 Lawan Web Rasmi Kerajaan Negeri Sabah. Diperoleh daripada


https://www.sabah.gov.my/main/ms-MY/Home/About pada 1 Mei 2015.

Kampung Bongal telah menyokong masyarakat Irranun di Pandasan


untuk melawan orang Bajau. 9
Walaupun masyarakat Bajau ini terkenal dengan sikap mereka yang suka mencuri kerbau,
mereka tidak pernah merompak dan mengganggu masyarakat Dusun. Bahkan, hubungan antara
kedua-dua masyarakat ini berjalan dengan baik dan tidak wujud bukti atau catatan yang
membuktikan bahawa masyarakat Bajau pernah merompak masyarakat Dusun dan masyarakat
Dusun juga tidak pernah menyerang masyarakat Bajau. Namun demikian, konflik-konflik kecil
masih berlaku antara kedua-dua masyarakat ini dan perkara ini tidak dapat dielakkan. Walaupun
masyarakat Bajau dianggap sebagai lanun oleh masyarakat Dusun, mereka masih bergantung
antara satu sama lain terutamanya dari segi ekonomi. Masyarakat Bajau memerlukan bahan
makanan daripada masyarakat Dusun yang banyak menjalankan aktiviti pertanian, manakala
masyarakat Dusun pula memerlukan barangan seperti ikan, garam, kain dan barangan tembikar
daripada masyarakat Bajau.
Namun demikian, artikel ini lebih menumpukan kepada hubungan masyarakat Bajau dan
Dusun di Sabah, iaitu daerah Kota Belud dan Tuaran sebelum tahun 1900. Artikel ini
menceritakan tentang perjuangan Mat Salleh, yang mana hubungan baik antara masyarakat Bajau
dan Dusun dapat dilihat melalui sokongan mereka terhadap perjuangan Mat Salleh dalam
menentang penjajah. Selain itu, artikel ini juga menceritakan tentang institusi tamu yang wujud
sebelum tahun 1900 yang berperanan sebagai medium pertemuan etnik-etnik di Sabah,
khususnya Bajau dan Dusun. Institusi tamu ini juga secara tidak langsung berkembang menjadi
satu saluran penting dalam menggerakkan kegiatan ekonomi dan hubungan sosial antara kaum.
9 Yunus Sauman Sabin. 2000. Masyarakat Bajau dan Dusun di Sabah Sebelum
Tahun 1900. Malaysia dari segi Sejarah (28). Hlm. 44-59.

Walau bagaimanapun, penulis tidak menumpukan kepada hubungan masyarakat Bajau dan
Dusun di Tuaran sahaja, sebaliknya turut menumpukan kepada daerah Kota Belud juga. Di
samping itu, penulis juga hanya menumpukan hubungan yang wujud

antara kedua-dua

masyarakat ini sebelum tahun 1900 sahaja.


Di samping itu, penulis juga merujuk kepada penulisan yang dihasilkan oleh Dayu
Sansalu yang bertajuk Kadazandusun di Sabah: Proses Pendidikan dan Proses Pemodenan
1881-1967. Dalam penulisan ini, beliau memfokuskan kepada perubahan yang berlaku dalam
bidang politik, ekonomi dan sosial masyarakat Kadazandusun di Sabah. Selain itu, beliau juga
menceritakan tentang faktor yang menyebabkan berlakunya perubahan dan pemodenan dalam
masyarakat Kadazandusun yang mana selama ini dianggap sebagai kumpulan peribumi yang
agak jauh ketinggalan dari segi pemodenan berbanding dengan kaum lain yang wujud di Sabah.
Namun demikian, beliau tidak menceritakan hubungan etnik yang wujud antara masyarakat
Bajau dan Dusun.
1.8 HIPOTESIS KAJIAN
Hubungan antara masyarakat di Sabah dipercayai wujud sebelum abad ke-19 lagi iaitu sejak
zaman Kesultanan Brunei lagi, yang mana berlakunya hubungan antara masyarakat Dusun
dengan pedagang Brunei. Hubungan antara masyarakat Dusun dan pedagang Brunei ini berlaku
secara langsung, iaitu melalui kegiatan ekonomi yang mana pedagang-pedagang Brunei ini akan
bertemu dengan masyarakat Dusun di tempat-tempat yang tertentu seperti di kawasan lapang,
muara sungai dan juga pinggir pantai untuk menjalankan kegiatan tukar barang atau sistem
barter. Namun demikian, kehadiran masyarakat Bajau pada abad ke-19 telah menyebabkan
hubungan antara masyarakat Dusun dan pedagang Brunei menjadi merosot. Hal ini kerana

masyarakat Bajau telah mengambil peranan pedagang Brunei sebagai pembekal barangan
keperluan kepada masyarakat Dusun. Oleh itu, penulis berpendapat bahawa dengan mengambil
alih peranan pedagang Brunei ini, masyarakat Bajau akan sentiasa bertemu dengan masyarakat
Dusun yang menyebabkan wujudnya interaksi yang berbentuk malar dan seterusnya
menyebabkan wujudnya hubungan antara masyarakat Bajau dan Dusun.
1.9 KAEDAH KAJIAN
Berikut merupakan kaedah yang digunakan oleh pengkaji dalam menjalankan kajian tentang
hubungan masyarakat Bajau dan Dusun di Tuaran, Sabah :
i.

Kaedah ke perpustakaan
Pengkaji menggunakan kaedah ke perpustakaan untuk mendapatkan maklumat-maklumat
dan data-data yang berkaitan dengan hubungan masyarakat di Sabah, khususnya
masyarakat Bajau dan Dusun di Tuaran, Sabah. Maklumat yang diperlukan ini boleh
diperoleh daripada sumber pertama dan juga sumber kedua. Pengkaji juga merujuk
sumber-sumber yang boleh diperoleh daripada Arkib Negeri Sabah, Arkib Negara
Malaysia, Perpustakaan Jabatan Muzium Negeri Sabah, Perpustakaan Negeri Sabah,
Perpustakaan Arkib Negara Malaysia, dan Perpustakaan Universiti Pendidikan Sultan
Idris.

ii.

Kaedah kajian lapangan


Pengkaji juga menggunakan kaedah kajian lapangan untuk menjalankan kajian yang
berkaitan dengan tajuk yang dikaji oleh pengkaji. Pengkaji akan melihat sendiri bukti

kewujudan hubungan masyarakat Bajau dan Dusun di Tuaran, Sabah dengan membuat
tinjauan secara dekat di Kampung Budaya yang terletak di Muzium Negeri Sabah.
iii.

Kaedah temu bual


Pengkaji juga menggunakan kaedah temu bual untuk mendapatkan maklumat yang
berkaitan dengan tajuk yang dikaji. Pengkaji akan menemu bual individu-individu yang
mempunyai pengetahuan yang luas mengenai hubungan yang wujud antara masyarakat
Bajau dan Dusun di Tuaran, Sabah dan juga individu-individu yang terlibat sendiri dalam
membentuk hubungan etnik antara masyarakat Bajau dan Dusun, khususnya melalui
perkahwinan dan juga kegiatan ekonomi.

1.10

KAEDAH PENGHURAIAN (PEMBAHAGIAN BAB DAN PENDEKATAN

HURAIAN)
Penulisan ini akan dibahagikan kepada enam bab, iaitu
Bab 1
Dalam bab ini, penulis telah menulis tentang latar belakang negeri Sabah secara ringkas,
khususnya dari aspek masyarakatnya khususnya masyarakat Bajau dan Dusun. Selain itu,
penulis juga telah menerangkan tentang hubungan antara masyarakat Brunei dan Dusun
untuk memberikan gambaran bahawa sebelum wujudnya perhubungan antara masyarakat
Dusun dan Bajau, masyarakat Dusun terlebih dahulu telah mengadakan hubungan dengan
masyarakat Brunei. Hal ini kerana sebelum abad ke-19, sudah ada hubungan yang berlaku
antara masyarakat Dusun dengan pedagang Brunei, sama ada disebabkan oleh kegiatan
ekonomi ataupun hubungan politik yang longgar. Namun demikian, pada abad ke-19,
hubungan antara masyarakat Dusun dengan pedagang Brunei telah merosot. Hal ini
disebabkan oleh kehadiran masyarakat Bajau yang mengambil alih peranan pedagang Brunei

sebagai pembekal barang keperluan masyarakat Dusun. Selain itu, konsep mengenai
hubungan masyarakat turut diterangkan dalam bab ini.
Bab 2
Dalam bab ini, penulis menghuraikan hubungan awal yang terjalin antara masyarakat Bajau
dan Dusun di Tuaran, Sabah sebelum tahun 1900. Dalam bab ini, penulis akan menceritakan
tentang peranan Mat Salleh dalam mewujudkan hubungan antara masyarakat Bajau dan
Dusun. Hal ini kerana perjuangan Mat Salleh menentang penjajah telah mendapat sokongan
yang kuat daripada masyarakat Bajau dan Dusun dalam usaha beliau menentang penjajah.
Walaupun terdapat segelintir masyarakat Bajau dan Dusun yang tidak berpihak kepada
beliau, tetapi perjuangan Mat Salleh jelas mendapat sokongan majoriti daripada kedua-dua
kelompok masyarakat Bajau dan Dusun. Di samping itu, penulis juga akan menerangkan
tentang peranan institusi tamu yang menjadi medium pertemuan antara masyarakat Bajau dan
Dusun di Tuaran, Sabah. Hal ini kerana melalui institusi tamu ini, masyarakat Bajau dan
Dusun akan saling berhubung antara satu sama lain untuk mendapat barangan keperluan
mereka yang hanya dihasilkan oleh sebelah pihak sahaja, yang mana hasil laut oleh
masyarakat Bajau dan hasil pertanian oleh masyarakat Dusun.
Bab 3
Dalam bab 3 ini, penulis akan menghuraikan dasar-dasar yang dijalankan oleh Kompeni
British dalam membentuk hubungan masyarakat Bajau dan Dusun di Tuaran, Sabah. Dasar
Kompeni British ini boleh dilihat daripada pembukaan ladang-ladang getah di Sabah,
khususnya di daerah Tuaran yang telah membentuk dan mempengaruhi hubungan masyarakat
Bajau dan Dusun di Tuaran, Sabah. Melalui pembukaan ladang getah, perhubungan antara
masyarakat Bajau dan Dusun semakin ketara, bahkan turut melibatkan masyarakat lain yang
turut menjadi pekerja di ladang-ladang getah yang dibuka oleh Kompeni British. Hal ini telah

mewujudkan interaksi yang sangat baik antara masyarakat Bajau dan Dusun di Tuaran,
Sabah.
Selain itu, penulis turut akan menerangkan tentang pembinaan jalan-jalan yang
menghubungkan satu tempat ke satu tempat yang lain oleh Kompeni British. Pembinaan
jalan-jalan ini adalah dalam bentuk bridle path. Pembinaan bridle path ini telah berjaya
menghubungkan beberapa kawasan petempatan yang utama di Tuaran. Kewujudan bridle
path ini juga telah menggalakkan pergerakan penduduk setempat dari satu kawasan ke
kawasan yang lain di samping mewujudkan dan mengukuhkan lagi interaksi antara
masyarakat.
Bab 4
Dalam bab ini pula, penulis akan menerangkan tentang dasar yang dijalankan oleh Jepun
sewaktu Jepun memerintah di Sabah bermula pada 17 Disember 1941 dan bertahan selama 3
tahun 5 bulan. Walaupun Jepun hanya memerintah Sabah dalam masa yang agak singkat,
pemerintahan Jepun ini turut membawa perubahan yang sangat mendalam kepada hubungan
masyarakat di Sabah, khususnya masyarakat Bajau dan Dusun. Kemasukan Jepun ke Sabah
pada awalnya menyebabkan penduduk Sabah berharap agar kemasukan Jepun ini akan
mendatangkan kebaikan kepada mereka, namun perkara yang sebaliknya berlaku. Hal ini
kerana sewaktu era pemerintahan Jepun di Sabah, Jepun telah memerintah dengan agak
kejam sekali. Jepun turut mengenalkan satu undang-undang yang membolehkan askar Jepun
merampas barangan daripada masyarakat tempatan pada bila-bila masa sahaja, dan jika
mereka ingin membeli barangan tersebut, masyarakat tempatan tidak berhak menentukan
harga yang perlu dibayar kerana askar Jepun boleh membayar seberapa sahaja mengikut
kehendak mereka.
Walaupun dasar pemerintahan Jepun ini agak kejam kepada masyarakat di Sabah, dasar
mereka ini sebenarnya telah menyebabkan penduduk Sabah, khususnya masyarakat Bajau

dan Dusun lebih bersatu dan saling tolong-menolong antara satu sama lain, dan seterusnya
menyebabkan hubungan yang berkekalan antara kedua-dua kelompok masyarakat ini.
Bab 5
Dalam bab 5 ini, penulis akan menyatakan kesan yang dapat dilihat hasil daripada hubungan
yang wujud antara masyarakat Bajau dan Dusun, khususnya dari aspek adat dan budaya yang
boleh dibahagikan kepada tiga iaitu perkahwinan, kelahiran dan juga kematian. Selain itu,
kesan lain yang dapat dilihat seperti bahasa dan agama, dan juga alat muzik tradisi turut akan
diterangkan dalam bab ini. Hal ini demikian kerana wujudnya persamaan adat dan budaya,
bahasa dan agama, dan juga alat muzik tradisi yang digunakan oleh masyarakat Bajau dan
Dusun.
Bab 6
Dalam bab yang terakhir ini, penulis akan menyimpulkan tentang hubungan antara
masyarakat Bajau dan Dusun di Tuaran, Sabah di samping melihat tentang bagaimana
hubungan ini berkesinambungan dan perkaitan antara masyarakat Bajau dan Dusun sehingga
sekarang. Selain itu, pengkaji juga akan melihat hubungan antara masyarakat Bajau dan
Dusun ini dalam konteks ruang dan budaya pada masa ini.

Anda mungkin juga menyukai