Anda di halaman 1dari 3

LUKISAN MUNGKIN SUKAR UNTUK DINIKMATI OLEH “ORANG BIASA”

Sebaris ayat ini saya petik dari buku “Catatan Si Malin Kundang” Di bawah tajuk artikel
“Seni dan Dunianya” (1989:200), bersama kenyataan di atas dan beberapa isi lain telah
menjadi isu untuk direnungi.

Dinyatakan dalam artikel ini antaranya; orang luar akan sangat buta huruf berhadapan
dengan perbincangan tentang seni. Perbincangannya lebih bersifat teknikal sehingga
lebih banyak difahami oleh orang yang berkecimpung dengan dunia seni itu sendiri.

Dunia seni telah dianggap bersebati dengan konsep mimesis dan sangat kuat
pengaruhnya dalam menghasilkan seni iaitu melalui peniruan alam, sehingga orang luar
menganggap dunia seni itu tidak mempunyai dunianya sendiri. Dunianya ditentukan
oleh kesanggupannya mewakili dunia lain, seni terikat kepada dunia lain. Hantu
mimesis dikatakan membayangi setiap aliran seni yang berbagai itu antaranya
realisme, naturalisme, impresionisme, surrealisme dan sebagainya.

Pengaruh mimesis yang dinyatakan sebagai hantu mimesis adalah perihalan negatif.
Hantu itu sudah jelas membayangkan gangguan, unsur menakutkan dan boleh
menghantui sesiapa sahaja. Namun konsep mimesis itu yang menyerap ke dalam dunia
seni lukis adalah melalui proses yang panjang secara evolusi dan sukar untuk
dihalangi. Sebagai perihalan kepada imej hantu, ia sentiasa membayangi setiap karya
pelukis kerana ia sudah terserap dan bersebati lama.

Apabila proses evolusi yang berkurun dan berhantu berada di setiap sisi pembuat seni
yang berkonsepkan mimesis maka untuk mengubahnya pembuat seni itu sendiri
hendaklah mengubahnya pula secara revolusi maka kesannya menjadikan seni lukis
itu berubah erti, nilai estetik ditafsir semula. Berlakulah percanggahan konsep dan lahir
aliran ideologi baharu dalam dunia seni lukis. Hal ini dinyatakan dengan contoh dari
usaha yang dilakukan oleh Piet Mondrian untuk membebaskan diri dari hantu mimesis
bersama rakan seangkatannya yang lain.

Secara keseluruhannya, pengaruh Mondrian bersama pelukis lain yang menghasilkan


lukisannya berbekalkan tiga unsur iaitu ruang, garis dan warna. Ketiga-tiga unsur ini
dikatakan sangat susah untuk mencari hubungannya dengan ’alam’. Dinyatakan
memahami lukisan Mondrian, khalayak mesti membebaskan diri dari hantu dunia
representasi.

Akhirnya apabila lukisan itu bergantung kuat pada tiga unsur di atas akan memberi
kesan dan kerugian apabila sukar untuk dinikmati oleh “orang biasa”. Bermula dari
istilah “hantu” itu mari kita tukarkan pada panggilan “bidadari” yang membawa konotasi
cantik indah, muda, segar yang boleh ditafsir makna seni halus itu adalah hasil kerja
dan idea yang halus, saling lengkap melengkap bersama peniruan alam semulajadi
(bidadari mimesis).

Ketiga-tiga unsur iaitu ruang, garis dan warna boleh dicari dan digali dari peniruan alam
semulajadi yang mengharapkan kebijaksanaan, kreativiti dan inovasi pelukis
meletakkan kehalusannya yang segar dan cantik dalam setiap karya seni walau apa
aliran sekalipun.

Apa yang dilakukan oleh beberapa pihak di kalangan artis yang mendahului Mondrian
dan usaha menonjolkan aliran Abstrak Ekspresionisme adalah pengaruh seni yang
mendahului zaman. Diakui idea dan ekspresif seni dalam Abstrak ekspresionisme
memberikan tumpuan kepada aktiviti-aktiviti fizikal dalam bercatan. Penglibatan
pergerakan tangan (gestural) yang memberi pemusatan pemikiran dengan sendirinya
cuba menolak aspek-aspek mimesis. Lebih jelas lagi aliran Abstrak Ekspresionisme
lebih berdasarkan indera serta intuisi (gerak hati). Kesudahannya dengan
mengenepikan hantu mimesis, perasaan pelukis adalah spontan sewaktu berkarya.

Hasil dari perkembangan ini suatu konsep aliran, identiti dan gaya yang bervariasi telah
melanda setiap benua serata dunia. Namun di Malaysia masih ada di kalangan
seniman yang mendukung konsep budaya tempatan, proses fikir dan citra tempatan
tidak terikut sepenuhnya dalam pengenyahan hantu mimesis. Subject Matter (pokok
persoalan) tidak mengikat pelukis. Masing-masing dengan cara tersendiri berdasarkan
falsafah yang dipegang. Contoh pelukis tanah air Yeoh Jin Leng merupakan pelukis
yang membawa identiti Malaysia dari sudut warna. Warna hijau, ungu, pinang masak,
kuning merah menjadi imej tersendiri.Dalam karya beliau “Sawah Padi” (1963)
merupakan ilham dari unsur mimesis ketika beliau mengajar di Kuala Terengganu.
Sawah padi dilukis dari sudut pemandangannya yang panoramik pada musim menuai.
Sawah padi yang kuning keemasan kelihatan bersinar kerana panahan matahari dan ia
ditimbulkan dengan cara yang ekspresif. Mata audiens dibawa menjelajah
pemandangan sebuah kampung, berlatar belakangkan sawah padi yang jauh dilihat
bersama pokok-pokok kelapa. Sapuan berus gaya spontan dari pengaruh Abstrak
Ekspresionisme membangkitkan kesan ruang dan suasana yang begitu
mengkagumkan.

Cara penggambaran yang spontan dan kepantasan seperti pengalaman kita menaiki
kereta yang dipandu laju yang sempat menangkap sekilas dari pemandangan sekitar.
Kita juga boleh menambah bahawa apa yang membezakan karyanya dengan karya
pelukis lain seperti Mondrian yang mahu meninggalkan hantu mimesis ialah rasa
optimis dan pemujaannya terhadap tenaga alam. Pelukis dan alam bergabung menjadi
satu dalam proses penciptaan. Justeru penggunaan tiga elemen iaitu ruang, garisan
dan warna adalah kebijaksanaan pelukis menukar hantu kepada bidadari mimesis.
Akhirnya, “orang biasa” boleh berkata, “Saya tidak faham satu apapun tentang seni,
tetapi saya tahu apa yang saya suka”.

Inilah proses mentafsir seni yang hadir dalam pengalaman seseorang apabila
pengalaman melihat alam sebenar secara semulajadi itu menjelma dalam karya seni
yang dilihat.

Hubungan yang wujud mempengaruhi persepsi dalam mencari makna. Apabila karya
seni dipamerkan minda dengan segera menginterpretasikan isyarat yang dihantar oleh
objek dengan makna-makna estetiknya. Hubung kait konsep dalam rangka karya
membawa seribu makna. Makna-makna estetik itu perlu dikesan segera, sebagai
contoh karya Picasso berjudul “Bull” (menonjolkan tempat duduk basikal dan
pemegangnya) atau karya Duchamp berjudul “Fountain”.

Ini adalah suatu perbezaan pengalaman mimesis yang cuba menonjolkan keaslian
memperagakan sesuatu yang selalu dilihat. Oleh itu hujahan sebenar dalam seni tidak
boleh bersandarkan pada olahan objek memang menjadi pegangan Mondrian dan
rakan-rakannya. Ia adalah representasi semula proses yang menekankan makna
estetik di sebalik objek-objek tersebut. Jika anda melampaui persepsi yang aneh dalam
karya-karya seni, anda perlu meluangkan waktu untuk proses mengadun maklumat
supaya menjadi sistem di dalam minda bukannya terus disogokkan dengan olahan
demi olahan yang bersifat pengulangan dan pada pandangan saya itulah yang berlaku
apabila Mondrian menolak hantu mimesis dengan sendirinya karya seni itu menjauhi
“alam” kesannya sukar dinikmati oleh “orang biasa”.

Rujukan:

John Hosper. Artistic Expression, New York: Appleton-Century Crofts, Meredith


Corporation, 1971.

John P. Frisby. Perception and Representation: A Cognitive Approach,


Philadelphia: Open University Press, Milton Keynes, 1986.

R.L. Gregory. Eye and Brain, London: World University Library, Weidenfeld and
Nicolson, 1973.

Umar Junus. Catatan Si Malin Kundang (Antologi Esei Umar Junus), diselenggara
oleh Jaafar Haji Abdul Rahim, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989.

Anda mungkin juga menyukai