Anda di halaman 1dari 12

BAB 9

TEKNOLOGI KOMUNIKASI

OBJEKTIF BAB
Setelah mempelajari bab ini, anda seharusnya dapat:
1. Menjelaskan konsep umum teknologi komunikasi.
2. Mengenal pasti peranan teknologi komunikasi.
3. Membincangkan kepentingan teknologi komunikasi.

9.1

PENGENALAN

Sebagaimana anda semua sedia maklum masyarakat hari ini didedahkan


dengan pelbagai bentuk alat teknologi untuk berkomunikasi. Saya rasa
anda sendiri mempunyai sekurang-kurangnya satu alat teknologi
komunikasi. Contoh alat yang dikategorikan sebagai alat teknologi
komunikasi adalah seperti televisyen, satelit, radio, telefon bimbit,
komputer, CD/DVD dan sebagainya. Kebanyakan alat ini bukan sahaja
digunakan untuk berkomunikasi, menyalurkan maklumat malah menjadi
medium hiburan yang berkembang pantas dengan inovasi yang canggih.
Kita tidak boleh mengelak daripada menggunakan teknologi komunikasi
dalam mengharungi kehidupan yang semakin mencabar dan kompleks.
Dunia sekarang adalah dunia perlumbaan dan pemilikan maklumat.
Sehubungan itu, kemahiran dan pembangunan teknologi maklumat dan
komunikasi (ICT) sejak sedekad lalu telah mendapat perhatian serius
pembuat dasar sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
Inovasi teknologi komunikasi membentuk hubungan antara manusia
yang tiada batasan malah merentasi sempadan dunia dan budaya
masyarakat.
9.2

SEJARAH PEMBANGUNAN TEKNOLOGI KOMUNIKASI

Falsafah penciptaan teknologi dari dahulu sehinggalah sekarang adalah


dengan tujuan untuk membantu manusia menjalani kehidupan yang lebih
baik dan selesa. Pernahkah anda terfikir bilakah teknologi komunikasi
yang pertama dicipta? Berdasarkan catatan sejarah, teknologi komunikasi
bermula dengan terciptanya mesin cetak oleh Johanes Guttenberg pada
tahun 1456. Kejayaannya telah membawa kepada perubahan dalam
123

bidang penerbitan buku dan surat khabar. Kemudian, revolusi elektronik


bermula pada tahun 1700-an sehingga akhir 1800-an. Telegraf yang
pertama dicipta oleh Charles Wheatstones dan Samuel Morse pada tahun
1840. Teknologi telegraf telah berjaya menghubungkan manusia dalam
jarak jauh.
Teknologi komunikasi berkembang lagi dengan terciptanya telefon oleh
Alexander Graham Bell pada 10 Mac 1876. Kemudian dengan penemuan
gelombang Hertz (Hz) pada tahun 1887 oleh Heinrich Hertz telah
menyumbang kepada perkembangan teknologi radio, iaitu mesej dapat
disampaikan melalui gelombang. Seterusnya teknologi komunikasi
berkembang lagi dengan teknologi wayang atau filem pada tahun 1894
oleh gabungan beberapa orang iaitu Eteinne Jules Marey (ahli sains),
Eadweard Muybridge (jurufoto), Thomas Edision (ahli sains), William
K.L Dickson (pembantu Edison), Auguste Luimere dan Louis Luimere
(juruteknik kamera dan projektor filem). Filem hitam putih tanpa suara
mula diperkenalkan pada tahun 1920-an.
Teknologi televisyen mula diuji pada tahun 1930-an dan telah
berkembang sebagai alat hiburan pada tahun 1940-an. Manakala
teknologi komputer pula dicipta sekitar tahun 1950-an. Apabila transistor
diperkenalkan, saiz komputer telah diperkecilkan. Ini juga telah
menyebabkan lebih banyak ciptaan teknologi diperkenalkan bagi
memudahkan kehidupan manusia. Teknologi komunikasi terus
berkembang dengan kejayaan pelancaran sistem satelit antarabangsa
INTELSAT pada tahun 1971. Teknologi satelit ini juga telah
menyebabkan komunikasi dapat dilakukan dalam masa yang lebih singkat
kerana perhubungan antara benua dapat dilakukan dengan lebih cepat.
Kini inovasi teknologi komunikasi berkembang begitu pantas dan penuh
dengan idea-idea kreatif.
9.3

TAKRIFAN TEKNOLOGI KOMUNIKASI

Perkataan teknologi berasal daripada perkataan Latin texere yang


bermaksud membentuk atau menubuhkan yang juga bermaksud sebagai
cara, peralatan, bahan atau perisian untuk melakukan, membuat atau
membina sesuatu. Rogers (1986) mentakrifkan teknologi komunikasi
sebagai alat perkakasan, struktur organisasi dan nilai-nilai sosial yang
dialami oleh individu semasa mengumpul, memproses dan bertukartukar informasi dengan individu yang lain. Menurut Musa (2002) pula
teknologi maklumat sebenarnya adalah kaedah, peralatan dan perisian
yang digunakan dalam kegiatan menjana, mengumpul, memproses,
mengurus, menyebar dan menyimpan maklumat. Oleh yang demikian
dapatlah disimpulkan bahawa teknologi bukan sahaja dianggap sebagai
sistem perkakasan yang mempunyai fungsi tersendiri malah ia adalah
124

sebahagian daripada kehidupan masyarakat hari ini. Justeru itu, gabungan


perkakasan dan nilai-nilai sosial semasa, kegiatan menjana, mengumpul,
memproses, mengurus, menyebar dan menyimpan maklumat dengan
individu yang lain dikatakan teknologi komunikasi.
9.4

CIRI-CIRI TEKNOLOGI KOMUNIKASI

Berdasarkan takrifan ringkas di atas, bolehkah anda mengenal pasti


beberapa ciri-ciri teknologi komunikasi?
Kaye dan Medoff (2001) (dlm. Mohd Baharudin Othman & Mohd
Khairie Ahmad, 2004) telah mengenal pasti lima ciri teknologi
komunikasi iaitu khalayak, masa, paparan dan penyebaran, jarak dan
penyimpanan.
9.4.1

Khalayak

Setiap media teknologi komunikasi berbeza dari segi keupayaannya


menemui sasaran pengguna. Contohnya, radio dan televisyen berupaya
untuk sampai kepada jumlah audien yang ramai secara serentak,
manakala telefon boleh menghubungi seorang penerima sahaja pada
satu-satu masa (kecuali telesidang yang boleh menghubungkan beberapa
orang secara serentak). Internet pula boleh dicapai oleh pengguna di
serata dunia.
9.4.2

Masa

Media teknologi komunikasi boleh dibezakan dengan keupayaannya


untuk menghantar mesej dalam bentuk selari dan tidak selari. Mesej selari
tidak melibatkan kelewatan masa, seperti radio, televisyen dan telefon.
Mesej tidak selari seperti CD-ROM, buku, majalah, pita video dan filem
telah diterbitkan terlebih dahulu. Dalam konteks internet, terdapat
beberapa perkhidmatan yang dikategorikan sebagai selari dan tidak selari.
World Wide Web (WWW), mel elektronik, mailing list dan Usenet adalah
contoh tidak selari kerana mesejnya disimpan dahulu sebelum dicapai
oleh penerima. Forum chat dan persidangan maya pula adalah contoh
selari kerana mesejnya ditaip oleh penghantar dan terus diterima oleh
pihak penerima. Dari media yang berbentuk selari ini, maka wujudlah
proses interaktiviti. Interaktiviti melibatkan komunikasi dua hala yang
saling berpengaruh antara sumber dan penerima. Dengan kata lain,
maklum balas mempengaruhi komunikasi tersebut.
9.4.3

Paparan dan Penyebaran

Media juga berbeza dari segi kaedah ia memaparkan dan menyebarkan


maklumat. Ini melibatkan unsur-unsur teknologi seperti video, audio dan
125

teks yang dihantar melalui kabel sepaksi (coaxial cable), penyiaran melalui
udara dan kuasa elektrik. Sebagai contoh, televisyen melibatkan
penglibatan audio dan imej visual yang disiarkan melalui udara, kabel
gentian optik ataupun satelit. Radio pula merupakan medium berasaskan
audio sahaja yang disiarkan melalui gelombang udara. WWW
memaparkan teks, grafik, audio dan video yang diagihkan antara satu
komputer dengan komputer yang lain menggunakan teknologi rangkaian
dan kaedah elektronik.
9.4.4

Jarak

Teknologi komunikasi berupaya menghantar mesej mengikut jarak


tertentu. Sesetengahnya berjarak dekat dan yang lain pula berjarak jauh.
Peralatan elektronik biasanya dapat menghantar mesej menggunakan
gelombang udara, wayar kabel dan telefon, satelit dan gentian optik yang
dapat menjimatkan masa dan kos untuk penghantaran maklumat jarak
jauh. Telefon misalnya, berupaya menghubungkan dua individu yang
berjarak beratus kilometer. Radio pula disiarkan melalui frekuensi yang
tertentu di kawasan yang berlainan. Teknologi internet boleh diakses oleh
sesiapa sahaja, tanpa mengira jarak dan sempadan.
9.4.5

Penyimpanan

Teknologi komunikasi terkini berupaya menyimpan maklumat dalam


kapasiti yang banyak. Contohnya, teknologi CD-ROM yang mampu
menyimpan data sehingga 650 Mbytes, manakala Digital Video Disc (DVD)
mempunyai kapasiti data antara 4.7 hingga 17.0 Gbytes. Ini berbeza
dengan media cetak seperti buku dan surat khabar yang terhad
kandungannya. Internet menggunakan sepenuhnya proses digitasi yang
membolehkan ianya hampir berkeupayaan menyimpan maklumat tanpa
had. Menyentuh tentang keupayaan internet ini, pernah suatu ketika
dahulu, Vannevar Bush, seorang jurutera Amerika mengutarakan ideanya
yang dipanggil memex. Semua maklumat di dalam dunia ini boleh
disimpan di dalam satu peranti atau mesin dan boleh dicapai oleh semua
individu (Winston, 1998). Malangnya memex tidak berjaya dilaksanakan
kerana skopnya terlalu besar. Namun begitu, fungsi dan konsep internet
juga seakan-akan memex.
Sebagai kesimpulannya, komunikasi yang terbentuk melalui jaringan
teknologi komunikasi bukan sahaja mampu mempercepatkan proses
komunikasi tetapi penyebaran mesej dan maklumat yang lebih mudah
dan berkesan malah melangkaui jarak yang jauh.

126

Cuba anda kenal pasti ciri-ciri teknologi komunikasi pada


peralatan yang selalu anda gunakan.

Sila akses laman web


http://www.industryspecific.co
.uk/what_is_communication_te
chnology.html untuk
mendapatkan maklumat
terperinci sejarah pembangunan
teknologi komunikasi dan
inovasi teknologi komunikasi
terkini.

SOALAN DALAM TEKS

1. Jelaskan TIGA (3) ciri-ciri teknologi komunikasi


menurut Kaye dan Medoff.
Semak jawapan anda di akhir bab ini.
9.5

PERANAN DAN
KOMUNIKASI

KEPENTINGAN

TEKNOLOGI

Apakah peranan teknologi komunikasi? Cuba anda fikirkan satu peranan


teknologi komunikasi dalam bidang pekerjaan anda? Bagaimanakah ia
berperanan dalam membantu urusan di sesebuah organisasi? Terdapat
beberapa peranan besar yang dimainkan oleh teknologi komunikasi
terhadap masyarakat hari ini. Berikut kita akan bincnagkan beberapa
peranan teknologi komunikasi berdasarkan bidang seperti pendidikan,
ekonomi, ketenteraan dan perhubungan sosial.
9.5.1

Peranan Teknologi Komunikasi dalam Bidang Pendidikan

Internet adalah salah satu contoh teknologi komunikasi yang digunakan


secara intensif di kebanyakan organisasi. Di institusi pengajian tinggi,
para pelajar dan pensyarah menggunakan internet mencari bahan
127

pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan dalam bentuk digital seperti


artikel, buku, majalah gambar dan audio visual.
Selain internet, usenet juga adalah satu lagi kemudahan yang digunakan
pelajar dan golongan pendidik. Usenet adalah sistem diskusi teragih yang
mempunyai set newsgroup tertentu dan dapat digunakan sebagai satu
medium komunikasi antara pensyarah dan pelajar. Teknologi komunikasi
berpotensi memberikan sumbangan besar dalam proses Pengajian Jarak
Jauh (PJJ). Haslinda, Hajar dan Wan (2000), menyatakan kemudahan
seperti desktop video conferencing, bulletin board, internet dan mel elektronik
amat sesuai sekali digunakan dalam pendidikan khususnya dalam
program pendidikan jarak jauh. Justeru itu dengan adanya inovasi
teknologi komunikasi dalam pendidikan maka usaha-usaha
pendemokrasian dan promosi pendidikan sepanjang hayat dapat
direalisasikan tanpa mengira batasan waktu dan sempadan geografi
pelajar.
9.5.2

Peranan Teknologi Komunikasi dalam Bidang Ekonomi

Teknologi komunikasi telah mengubah corak kita menjalankan kegiatan


ekonomi. Kebanyakan syarikat masa kini dilihat telah menggunakan
teknologi komunikasi dalam urusan perniagaan mereka seperti
menjalankan urusan jual beli produk mereka di internet selain daripada
mempromosikan syarikat mereka untuk pengetahuan orang luar. Selain
itu, teknologi komunikasi juga dikenal pasti dapat membantu negaranegara membangun dalam menyediakan kemudahan kesihatan,
pendidikan dan mengurangkan kemiskinan. Contohnya, Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengatur pelbagai inisiatif untuk
meningkatkan taraf hidup masyarakat dunia melalui program United
Nations Development Programme (UNDP). PBB telah merangka untuk
membantu 131 buah negara membangun dengan latihan, dan kemudahan
asas teknologi komunikasi dan maklumat.
9.5.3

Peranan Teknologi Komunikasi dalam Merapatkan Jurang


Digital

Jurang digital merujuk kepada jurang antara mereka yang mempunyai


capaian kepada rangkaian serta aplikasi komunikasi dan multimedia yang
mana jurang ini dilihat apabila terdapat golongan yang kaya maklumat
dan miskin maklumat (Nuraizah, 2002). Jurang digital ini wujud
disebabkan perkembangan teknologi maklumat yang begitu pantas
sehinggakan penerimaan dan pemilikan teknologi di kalangan masyarakat
agak tidak seimbang. Ini menyebabkan sesetengah pihak dapat
mengaplikasikan sepenuhnya penggunaan teknologi komunikasi
manakala sebahagian yang lain masih lagi dalam keadaan buta ICT. Di
128

Malaysia, usaha-usaha merapatkan jurang digital banyak diprogram oleh


kerajaan melalui agensinya seperti MIMOS. Di samping latihan asas,
agensi kerajaan dengan kerjasama syarikat IT juga turut mempromosi
pakej celik IT di kalangan masyarakat luar bandar.
MIMOS merupakan sebuah
agensi kerajaan yang
bertanggungjawab
menjalankan penyelidikan
dan pembangunan khusus
dalam industri teknologi
komunikasi dan maklumat,
dan mikro elektronik. Lawat
laman web www.mimos.my/
untuk mendapatkan
maklumat lanjut tentang
MIMOS dan program agenda
ICT negara.

9.5.4

Peranan Teknologi Komunikasi dalam Perhubungan Sosial

Lazimnya perhubungan sosial berlangsung secara bersemuka tetapi


dengan inovasi teknologi komunikasi masa kini kita dapat berkomunikasi
dengan rakan-rakan kita yang berada jauh di perantauan. Malah
perkenalan seseorang yang tidak dikenali dan tidak pernah ditemui boleh
terjalin secara atas talian. Komunikasi yang berasaskan komputer dan
internet ini dapat menyatukan penerima dan sumber mesej walaupun
berada pada tempat yang berbeza. Antara aplikasi teknologi komunikasi
yang dapat merealisasikan perhubungan maya ini ialah e-mel, newsgroup,
internet messager, chat rooms.
9.5.5

Peranan Teknologi Komunikasi dalam Bidang Ketenteraan

Penggunaan teknologi komunikasi dalam bidang ketenteraan


sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Teknologi komunikasi dapat
memantau tahap keselamatan dan pertahanan negara secara siap siaga.
Konsep tanpa wayar dapat memberikan pelbagai kemudahan kepada
pihak tentera dalam mengawal pertahanan negara. Contohnya, sistem
komunikasi satelit yang boleh digunakan untuk penghantaran suara dan
video. Di Malaysia kita masih lagi bergantung harap kepada inovasi
teknologi komunikasi yang berkaitan dengan persenjataan dan sistem
pengawasan keselamatan dari negara maju seperti Perancis, German, Itali
dan Britain. Sehubungan itu, kemajuan teknologi komunikasi dalam
bidang ketenteraan telah mewujudkan persaingan agak kurang sihat
apabila negara-negara utama pengeluar senjata memasarkan teknologi
129

ciptaan mereka kepada negara lain tanpa kawalan untuk kegunaan


perang. Lihat apa yang berlaku di Iraqteknologi komunikasi digunakan
secara intensif oleh pihak bersekutu Amerika Syarikat.

SOALAN DALAM TEKS

2.

Jelaskan peranan teknologi komunikasi dalam


perhubungan sosial.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

9.5.6

Peranan Teknologi Komunikasi dalam Bidang Penyiaran

Bidang penyiaran merangkumi penyiaran radio, televisyen, rakaman suara


dan filem. Perkembangan teknologi digital menyebabkan penghasilan
visual dan audio yang lebih berkualiti, jelas dan dapat memuaskan
penonton. Kelebihan teknologi digital dilihat daripada kemampuannya
memindahkan data menerusi teknologi penyiaran kepada khalayak yang
luas. Selain itu, teknologi digital telah mempelbagaikan bentuk rakaman
audio yang terdapat di pasaran. Di samping itu, teknologi digital juga
dapat mewujudkan kesan khas dalam penghasilan filem.
9.5.7

Peranan Teknologi Komunikasi dalam Bidang Percetakan


dan Penerbitan

Bidang percetakan yang merangkumi akhbar, majalah dan buku


mengalami perubahan yang besar dengan perkembangan teknologi
komunikasi ini. Dengan adanya teknologi satelit penghantaran akhbar
berserta reka letak gambar dari agensi editorial yang berada jauh di
cawangan yang merata tempat dapat dilaksanakan dengan cepat. Selain
itu, internet membolehkan penyebaran berita dilakukan dengan lebih
meluas. Penggunaan teknologi komunikasi dalam aktiviti percetakan dan
penerbitan dapat mengurangkan kos operasi. Di samping itu, laman web
yang mempunyai elemen interaktiviti dapat memudahkan penerbit
menerima maklum balas dengan cepat daripada pengguna.

130

SOALAN DALAM TEKS

3.

Huraikan peranan teknologi komunikasi dalam


bidang penerbitan dan pencetakan.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.


9.6

RUMUSAN

Teknologi komunikasi dilihat telah mengubah pengalaman


berkomunikasi masyarakat masa kini. Keperluan komunikasi masa kini
dilihat tidak lagi bergantung kepada media tradisional seperti televisyen,
radio, muzik, filem dan media cetak. Sebaliknya komunikasi masa kini
menuntut interaksi antara individu yang kini berlaku di ruang siber dan
ianya terjalin secara online. Kewujudan satu demi satu inovasi teknologi
komunikasi telah menjadikan hidup kita lebih mudah, kondusif dan
efisien. Masalah-masalah yang timbul akibat daripada inovasi teknologi
komunikasi tidak membantutkan usaha untuk mencipta teknologi
komunikasi yang lebih canggih untuk memberikan kemudahan,
keselesaan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI


1.

Nyatakan peralatan teknologi komunikasi yang sering digunakan


oleh rakyat Malaysia?

2.

Berikan contoh hubungan peribadi yang melibatkan peranan


teknologi komunikasi dalam menjayakan hubungan peribadi
anda?

3.

Bagaimana teknologi
penyiaran radio?

komunikasi

mempengaruhi

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

131

bidang

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS


1.

Ciri-ciri teknologi komunikasi menurut Kaye & Medoff:


(i)

Khalayak
- Keupayaan untuk sampai kepada khalayak berbeza.
- Contoh, radio dan televisyen berupaya untuk sampai
kepada jumlah audien yang ramai secara serentak,
manakala telefon boleh menghubungi seorang
penerima sahaja pada satu-satu masa dan internet pula
boleh dicapai oleh pengguna di serata dunia.

(ii)

Masa
- Keupayaannya untuk menghantar mesej dalam bentuk
selari dan tidak selari.
- Contoh mesej selari tidak melibatkan kelewatan masa,
seperti radio, televisyen dan telefon.
- Contoh mesej tidak selari seperti CD-ROM, buku,
majalah, pita video dan filem telah diterbitkan terlebih
dahulu.
- Internet mempunyai perkhidmatan yang dikategorikan
sebagai selari dan tidak selari. Contohnya World Wide
Web (WWW), mel elektronik, mailing list dan usenet
adalah contoh tidak selari kerana mesejnya disimpan
dahulu sebelum dicapai oleh penerima dan forum chat
dan persidangan maya pula adalah contoh selari kerana
mesejnya ditaip oleh penghantar dan terus diterima
oleh pihak penerima.
- Dari media yang berbentuk selari ini, maka wujudlah
proses interaktiviti.

(iii) Paparan dan Penyebaran


- Keupayaan memaparkan dan menyebarkan maklumat
yang berbeza.
- Melibatkan unsur-unsur teknologi seperti video, audio
dan teks yang dihantar melalui kabel sepaksi (coaxial
cable), penyiaran melalui udara dan kuasa elektrik.
- Contoh, televisyen melibatkan penglibatan audio dan
imej visual yang disiarkan melalui udara, kabel gentian
optik ataupun satelit. Radio pula merupakan medium
berasaskan audio sahaja yang disiarkan melalui
gelombang udara. WWW memaparkan teks, grafik,
audio dan video yang diagihkan antara satu komputer

132

dengan komputer yang lain menggunakan teknologi


rangkaian dan kaedah elektronik.
(iv) Jarak
- Keupayaan menghantar mesej mengikut jarak tertentu.
- Peralatan elektronik biasanya dapat menghantar mesej
menggunakan gelombang udara, wayar kabel dan
telefon, satelit dan gentian optik yang dapat
menjimatkan masa dan kos untuk penghantaran
maklumat jarak jauh.
- Contoh, telefon berupaya menghubungkan dua
individu yang berjarak beratus kilometer manakala
radio pula disiarkan melalui frekuensi yang tertentu di
kawasan yang berlainan dan teknologi internet boleh
diakses oleh sesiapa sahaja tanpa mengira jarak dan
sempadan.
(v)

2.

Penyimpanan
- Keupayaan menyimpan maklumat dalam kapisiti yang
banyak.
- Contoh, teknologi CD-ROM yang mampu menyimpan
data sehingga 650 Mbytes, manakala Digital Video Disc
(DVD) mempunyai kapasiti data antara 4.7 hingga 17.0
Gbytes berbeza dengan media cetak seperti buku dan
surat khabar yang terhad kandungannya.
- Internet pula menggunakan sepenuhnya proses digitasi
yang membolehkan ianya hampir berkeupayaan
menyimpan maklumat tanpa had.

Peranan teknologi komunikasi dalam perhubungan sosial ialah


(i)
(ii)
(iii)

3.

Boleh menjalinkan perhubungan sosial walaupun


berada pada jarak yang berjauhan.
Boleh menjalinkan perhubungan sosial walaupun
saling tidak mengenali secara bersemuka.
Terdapatnya aplikasi seperti e-mel, newsgroup, intenet
messager, chat rooms dan seumpamanya telah
membentuk hubungan sosial dan juga hubungan
berbentuk peribadi.

Peranan teknologi komunikasi dalam bidang penerbitan dan


percetakan ialah
(i)

Dengan adanya teknologi satelit penghantaran


akhbar berserta reka letak gambar dari agensi
editorial yang berjauhan dapat dilaksanakan.
133

(ii)

(iii)
(iv)
(v)

Selain itu, internet membolehkan penyebaran berita


dapat dilakukan dengan lebih meluas dengan
wujudnya laman web rasmi syarikat akhbar-akhbar
yang popular.
Teknologi komunikasi dapat mengurangkan kos
percetakan, dan pengagihan akhbar dan majalah.
Persembahan kandungan yang lebih bersifat
interaktif dan kreativiti.
Laman web mempunyai elemen interaktiviti yang
memudahkan penerbit mendapatkan maklum balas
yang lebih cepat daripada pengguna.

134