Anda di halaman 1dari 5

Aktiviti-aktiviti yang dapat memupuk perpaduan kaum di sekolah.

Sekolah memainkan peranan penting dalam usaha memupuk semangat


perpaduan kaum dalam kalangan murid. Jelaskan aktiviti-aktiviti yang
dapat memupuk perpaduan kaum di sekolah.

Perpaduan merupakan suatu elemen yang sangat penting untuk


mengekalkan keharmonian rakyat dan keamanan negara. Dalam konteks
negara kita yang rakyatnya terdiri daripada berbilang kaum, semangat
bersatu-padu, hormat-menghormati dan bertolak ansur sangat penting
dan perlu dipupuk sejak di bangku sekolah lagi. Selaras dengan pepatah
melentur buluh biarlah dari rebungnya, usaha-usaha memupuk perpaduan
perlu dijadikan keutamaan dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan di
peringkat sekolah supaya murid-murid dapat dipupuk dan disemai dengan
nilai-nilai perpaduan antara kaum sejak di peringkat awal lagi.
Sebenarnya, aktiviti di dalam kelas seperti perbincangan dalam
kumpulan turut memainkan peranan menyemai nilai-nilai perpaduan
dalam sanubari murid-murid yang masih mentah. Guru-guru mesti
memastikan setiap kumpulan dianggotai oleh murid-murid berbilang
kaum. Melalui aktiviti kumpulan ini, murid-murid akan belajar nilai
bekerjasama, tolong-menolong, bertolak-ansur dan hormat-menghormati
dalam usaha menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru. Contohnya,
dalam menyiapkan tugasan Bahasa Melayu, mereka akan bekerjasama
mengumpul isi-isi, saling bertukar idea dan pendapat, bersatu-hati

memastikan tugasan dapat disiapkan sebaik mungkin mengikut tarikh


yang ditetapkan dan seterusnya mendapat pujian dan penghargaan
daripada guru. Jelaslah, melalui aktiviti berkumpulan ini murid-murid
dapat mengamalkan semangat bersatu-padu tanpa mengira kaum.
Aktiviti seumpama ini mesti terus dipraktikkan di sekolah sebagai usaha
untuk mencapai aspirasi perpaduan kaum, bak kata pepatah kalau tidak
dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Pelajar Cina manis dan sopan berbaju kurung

Sebenarnya pihak sekolah telah pun merancang aktiviti-aktiviti dalam


program RIMUP yang dilaksanakan oleh pihak kementerian pelajaran di
sekolah-sekolah. Program Rancangan Intergrasi Murid Untuk Perpaduan
ini bertujuan untuk mengeratkan perpaduan antara murid-murid pelbagai
kaum melalui aktiviti yang dilaksanakan oleh pihak sekolah. Program
Sambutan Hari Raya di peringkat sekolah umpamanya merupakan satu
program RIMup yang hebat dalam usaha memupuk perpaduan. Melalui
aktiviti ini, murid-murid Cina dan India berpeluang mempelajari dan
mengalami sendiri budaya masyarakat Melayu ketika menyambut
perayaan hari raya. Contohnya, murid-murid lelaki Cina dan India begitu
tampan mengenakan baju Melayu lengkap bersamping, manakala yang
perempuannya pula manis mengenakan baju kurung dan berkebaya.
Murid-murid juga bekerjasama menyiapkan kerja-kerja untuk memastikan
sambutan berjalan lancar. Justeru, program RIMup memang dapat
memenuhi aspirasi memupuk perpaduan melalui penglibatan murid
pelbagai kaum dalam acara-acara yang diatur oleh pihak sekolah.

Dua murid lelaki tampan bergaya


berbaju Melayu lengkap bersamping

Selain itu, aktiviti kokurikulum di sekolah juga dapat memupuk


semangat perpaduan. Pihak sekolah mesti memastikan penglibatan
murid berbilang kaum dalam aktiviti kelab, persatuan dan badan-badan
beruniform. Hal ini demikian kerana aktiviti kokurikulum ini mampu
memupuk sikap saling bekerjasama, bertolak ansur, hormat-menghormati
serta bersatupadu. Contohnya, dalam aktiviti perkhemahan Pengakap,
ahli-ahli akan bekerjasama mendirikan khemah, memasak makanan,
melakukan aktiviti berkumpulan membina gajet dan sebagainya. Hal ini
akan memupuk semangat muhibbah dalam kalangan murid berbangsa
Cina, Melayu dan India. Oleh itu, kegiatan kokurikulum sebenarnya satu
alat yang sangat berkesan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan
murid di sekolah.

Seterusnya, aktiviti bergotong-royong yang sering dijalankan di


sekolah turut membantu menyemai semangat perpaduan dalam
kalangan murid berbilang kaum di sekolah. Sebagai contoh, dalam
kegiatan bergotong-royong menceriakan dan membersihkan kelas atau
kawasan sekolah, murid-murid akan belajar nilai bekerjasama dalam
menyiapkan sesuatu tugas bak kata pepatah, yang berat sama dipikul,
yang ringan sama dijinjing. Murid-murid akan bekerjasama mengelap
cermin tingkap, menanam pokok bunga, membuang sampah, mengecat

dinding dan sebagainya. Oleh itu, secara tidak langsung, aktivii ini akan
mewujudkan perpaduan dalam kalangan murid berbilang kaum.

Tidak kurang pentingnya, guru-guru di sekolah sewajarnya


sentiasa mengingatkan dan menanam kepentingan perpaduan dalam
sanubari murid-murid di sekolah. Umpama air yang menitis ke batu, lama
kelamaan batu yang keras akan lekuk juga, begitu jugalah perumpamaan
diri murid-murid. Jika setiap hari lima minit sebelum memulakan proses
pengajaran dan pembelajaran guru-guru memberi maklumat tentang
kepentingan perpaduan serta sentiasa menitikberatkan penglibatan murid
berbilang kaum dalam aktiviti kumpulan perbincangan di dalam kelas,
sudah tentu semangat perpaduan ini akan berkesan di hati mereka. Tidak
lupa, guru-guru sebagai contoh teladan yang akan diperhatikan dan
dicontohi oleh murid-murid mesti mengamalkan semangat perpaduan
dalam kalangan guru-guru dan kakitangan sokongan di sekolah.

Tambahan pula, perpaduan juga boleh dipupuk melalui aktiviti


sukan. Sementelahan pula, sukan merupakan aktiviti yang sangat
penting di sekolah-sekolah. Rumah-rumah sukan dibentuk dengan ahlinya
terdiri daripada murid-murid berbilang kaum. Mereka berlatih bersamasama, berusaha bersungguh-sungguh sebagai satu pasukan untuk
mencapai satu impian iaitu memastikan rumah sukan mereka menang

dalam acara Sukan Tahunan di sekolah ataupun sekolah mereka menjadi


juara di peringkat daerah, mahupun di peringkat kebangsaan.

Contohnya, di sekolah ada rumah sukan Laksamana, Bendahara, Bentara


dan sebagainya. Semangat kesukanan tanpa mengira batas kaum ini
sudah pasti memupuk sikap sayang-menyayangi dan hormat-menghormati
antara murid-murid yang berbilang kaum. Justeru, aktiviti sukan di
sekolah dapat memupuk semangat perpaduan antara murid berbilang
kaum .
Kesimpulannya, pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan di sekolah dalam
usaha memupuk perpaduan kaum dalam kalangan murid-murid. Umpama
menyemai benih yang diharapkan hidup subur dan menghasilkan buah
yang manis, bibit-bibit perpaduan mesti disemai, dibaja dan disiram
dengan penuh kesabaran suapaya menghasilkan murid yang bersatu-padu
dan saling menghormati. Perpaduan merupakan tonggak kekuatan dan
keamanan negara. Justeru, murid-murid yang bakal menjadi pemimpin
pada masa hadapan mesti memiliki semangat bersatu-padu untuk
memajukan negara dan mengekalkan kemedekaan dan keharmonian
negara. Oleh itu, komitmen semua pihak turut diharapkan agar aspirasi
murni negara iaitu mengekalkan perpaduan kaum dapat direalisasikan
supaya negara kita kental daripada diancam oleh anasir-anasir yang cuba
untuk memecahbelahkan rakyat. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Anda mungkin juga menyukai