Anda di halaman 1dari 4

SKRIP PERTANDINGAN

BERCERITA
TAHAP 2
TAJUK:
KASUT KELOPAK
JANTUNG

Yang dihormati tuan pengerusi majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana,
seterusnya hadirin sekalian.
Kawan-kawan, mahu mendengar cerita? Saya ada sebuah cerita.
Kasut Kelopak Jantung tajuk diberi. Kalau tak dengar rugi. Kalau dengar, banyak
nilai murni. Dengar-dengarkan ya dan selamat beramal.
Tanggal 16 Mei, itulah tarikh keramat bagi seorang insan bergelar guru. Saban
tahun, Cikgu Harun pasti menerima sebuah bungkusan yang berisi sepasang kasut.
Hadiah tersebut telah membangkitkan ingatan Cikgu Harun ketika beliau
mengajar murid tahun lima di sebuah sekolah luar bandar, 30 tahun dahulu.
Loceng telah berbunyi menandakan bermulanya sesi pembelajaran. Pada
hari itu, seperti kebiasaannya, Cikgu Harun akan masuk ke kelas Tahun Lima
Murni. Setelah menerima ucapan selamat pagi daripada murid-murid, Cikgu Harun
meminta murid untuk duduk dan bersedia untuk memulakan sesi pembelajaran.
Mata Cikgu Harun tertancap pada meja seorang muridnya yang bernama
Ahmad. Seperti kebiasaannya, muridnya itu belum tiba lagi.
Ish setiap hari mesti datang lewat . getus Cikgu Harun di dalam hatinya
tanpa mengetahui punca sebenar muridnya itu selalu hadir lewat ke sekolah. 15
minit selepas sesi pembelajaran bermula, Cikgu Harun terdengar bunyi ketukan
pintu kelas Tahun Lima Murni itu.
Cikgu, bolehkah saya masuk? tanya Ahmad terketar-ketar kerana dia sudah
tahu guru mata pelajaran Pendidikan Jasmani itu pasti akan memarahinya.
Belum sempat Ahmad duduk di kerusinya, Cikgu Ahmad terus memarahinya
kerana datang lewat ke sekolah. Kemarahan Cikgu Ahmad menjadi-jadi apabila
terpandang kaki Ahmad yang tidak berkasut.

Mengapakah kamu tidak memakai kasut?! bentak Cikgu Ahmad. Sudahlah lewat
datang ke sekolah, malah berkaki ayam pula! Tambah Cikgu Ahmad lagi.
Ahmad hanya tertunduk tanpa memberikan sebarang jawapan. Ahmad tahu
akan kesalahannya yang tidak memakai kasut ke sekolah. Bagi Cikgu Harun, dia
terpaksa bertindak demikian supaya Ahmad memberitahu ibu bapanya agar
membelikan kasut sekolah untuknya. Cikgu Harun tidak mahu murid-murid yang
lain mencontohi sikap Ahmad yang tidak memakai kasut ke sekolah.
Kemarahan Cikgu Harun memuncak lagi apabila Ahmad tidak memakai
pakaian Pendidikan Jasmani pula apabila mereka melakukan aktiviti Pendidikan
Jasmani di padang.
Kawan-kawan hendak tahu apa yang telah dilakukan oleh Cikgu Harun?
Akibat tidak tahan dengan sikap Ahmad, Cikgu Harun telah mendenda
Ahmad. Beliau telah meminta seorang murid untuk mengambil beberapa keping
kelopak jantung pisang yang bertaburan di tepi pagar sekolah.
Cikgu Harun telah menyerahkan kelopak jantung pisang itu kepada Ahmad
dan meminta Ahmad mengikat kelopak jantung itu dengan tali rafia.
Cikgu mahu kamu memakai kasut kelopak jantung ini! tegas Cikgu Ahmad.
Tanpa membuang masa, Ahmad mengikat tali rafia pada kedua-dua belah
kakinya. Dia tidak dibenarkan menanggalkan kasut baharunya itu selagi dia tidak
membeli kasut sekolah. Ahmad berasa sangat sedih. Dia telah ditertawakan oleh
kawan-kawan sekelasnya.
Sejak kejadian itu, Ahmad tidak lagi hadir ke sekolah. Cikgu Harun mula
rasa bersalah dengan tindakannya. Beliau mengambil keputusan untuk ke rumah
Ahmad.

Apabila Cikgu Harun tiba di rumah Ahmad, Ahmad tiada di rumah kerana
mengambil upah memetik cili di sebuah kebun sayur. Beberapa minit kemudian,
Cikgu Harun ternampak kelibat Ahmad di belakang rumah. Cikgu Harun terkejut
kerana kasut kelompak jantung itu masih terlekat pada tapak kaki Ahmad.
Ahmad memberitahu bahawa dia masih tidak mempunyai wang yang mencukupi
untuk membeli kasut sekolah.
Cikgu Harun berasa menyesal dengan tindakannya. Pada petang itu juga,
beliau menunggang motosikal ke pekan yang berdekatan untuk membeli sepasang
kasut sekolah untuk Ahmad. Cikgu Harun meminta maaf dan menyerahkan kasut
yang baru dibelinya itu kepada Ahmad.
Oh, ya, kawan-kawan, siapakah yang mengirimkan bungkusan yang berisi sepasang
kasut itu?
Setelah tamat persekolahan, Ahmad telah bekerja sebagai pengurus besar
di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka di bandar. Dialah yang
mengirimkan bungkusan yang berisi kasut itu kepada Cikgu Harun.
Kawan-kawan, pengajaran daripada cerita ini ialah, kita mestilah membantu
orang yang berada dalam kesusahan dan kita perlulah berfikir terlebih dahulu
sebelum membuat sesuatu tindakan. Sekian, terima kasih.