Anda di halaman 1dari 13

Istilah dinamika hubungan serta pengurusan tingkah laku bersifat universal dan

membawa pengertian yang cukup luas dalam bidang kajian Pengurusan bilik darjah di
Malaysia. Mauduk perbincangan topik kali ini iaitu, dinamika hubungan antara guru serta
murid dan sesama murid mencakupi pelbagai perkara yang menjadi intipati dalam
pengurusan bilik darjah oleh guru di sekolah. Menurut pandangan Richards(1990) dalam
buku nukilan Haliza Hamzah(2014), pengurusan bilik darjah dapat didefinisikan sebagai
organisasi dan kawalan guru ke atas tingkah laku, pergerakan serta interaksi murid semasa
pembelajaran berlangsung supaya pengajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Penjelasannya cukup tepat dengan pemilihan kata kunci kawalan guru dan tingkah laku.
Perubahan tingkah laku yang dimaksudkan adalah perubahan tingkah laku yang positif dari
segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Secara tuntasnya, pengurusan bilik darjah
mendukung obligasi yang cukup penting dalam mendisiplinkan murid-murid supaya proses
pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan secara optimum lagi lancar.
Sidney Poitier sebagai Mr. Mark Thackeray, watak utama yang telah memberi jiwa
kepada tayangan filem To Sir With Love, telah meninggalkan benak kita dengan warnawarni kualiti perguruan yang efektif yang perlu ada pada setiap sanubari guru yang
mewarnai profesion perguruan ini. Menganalisis filem ini komponen dinamika hubungan
antara guru dan murid serta murid dan murid, telah mempengaruhi perkembangan dan
perubahan tingkah laku anak-anak murid Mr Mark. Keikhlasan nilai keprihatinan yang
dilestarikan oleh Mr Mark telah menghidupkan hubungan yang baik dengan pelajarnya di
North Quay Secondary School. Bagi membolehkan wujudnya hubungan positif sesama
sendiri yang menjadi asas kepada perkembangan dan pengurusan bilik darjah yang baik,
dari awal lagi Mr. Mark telah mengawasi tingkah laku murid-muridnya dan sentiasa peka dan
mengambil berat terhadap kemusyikilan mereka hadapi supaya dapat membantu mereka
membebaskan diri dari belenggu tingkah laku negatif. Kendatipin, kehadiran Mr.Mark tidak
disukai oleh murid-murid di kelas tersebut namun beliau tidak pernah jemu mengambil tahu
masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajarnya. Tamsilnya, walaupun, Seales, satu-satunya
murid berkulit hitam di kelas tersebut, sentiasa berdiri di luar kelas dan merokok dan tidak
berkongsi masalahnya dengan sesiapa pun, Mr. Mark menghampirinya dan telah mendapat
tahu sebak di hati yang ditanggung oleh Seales memikirkan keadaan ibunya yang tenat dan
kemarahannya yang memuncak memikirkan ayahnya yang mencari perempuan lain. Ketika,
ibunya meninggal dunia, Seales terus memeluk Mr.Thackeray kerana dia rasa, beliau adalah
salah satu insan yang mengambil berat terhadap dirinya. Keadaan ini berlaku, disebabkan
adanya dinamika hubungan antara Mr.Mark dengan Seales.

Penampilan dan bahasa badan Mr.Mark juga turut memodifikasikan hubungan guru
dan murid yang sedia ada sebelum ini di sekolah tersebut. Penampilan dan perwatakan
guru memberi persepsi yang baik kepada murid di sekolah tersebut lama-kelamaan. Mr
Mark telah menjadi role model kepada murid-murid kelasnya dan juga sesetengah guru di
sekolah tersebut. Murid-murid kelasnya suka bertanya tentang autobiografi Mr.Mark dan
terharu dengan kesusahan yang dialaminya ketika menimba ilmu dan mereka mula
bersemangat tinggi untuk belajar dengannya. Keterampilan Mr.Mark yang sentiasa memakai
pakaian kemas ke sekolah menjadi tumpuan murid yang tidak mementingkan penampilan
diri yang bersih dan kemas. Malah, menyedari hal ini Mr. Mark ingin menanamkan sikap
mementingkan nilai kebersihan dalam kalangan murid-murid kelasnya. Mr. Mark juga telah
meminta Miss Dare, salah seorang guru di sekolah tersebut untuk mengajar pelajar-pelajar
perempuan kelasnya untuk bersolek kerana mereka akan meniti kedewasaan kelak dan
akan melangkah ke dalam alam pekerjaan tidak lama lagi. Berbincang tentang tingkah laku
guru yang membina hubungan dinamika pula, Mr.Mark telah menampakkan personaliti guru
yang asertif, iaitu, tidak terlalu kasar dan tidak terlalu peramah dan sentiasa tegas dari awal
lagi dengan mereka yang mempunyai masalah salah laku. Beliau mengetahui bahawa sikap
guru kasar akan menimbulkan rasa kebencian terhadap dirinya jadi, beliau sangat berhatihati apabila bercakap dengan mereka. Kendati pun, tindakan mereka mengeruhkan situasi
kelas dan menimbulkan kemarahannya, namun Mr Mark sentiasa berhemah dan tegas
dengan mereka. Mr.Mark juga telah menunjukkan teladan yang baik dalam kelasnya dengan
menampakkan kesopanan dalam percakapan dan saya amat yakin bahawa cerminan watak
beliau yang baik adalah salah satu aspek yang telah membantu murid-muridnya mengubah
tingkah laku mereka kepada yang diingini.
Menyedari strategi-strategi untuk membina hubungan yang baik sesama murid
Mr.Mark telah memperkenalkan satu konsep baru dalam kelas, iaitu memanggil setiap
pelajar perempuan dalam kelas tersebut dengan pemberian gelaran miss manakala,
pelajar-pelajar lelaki pula harus dipanggil menggunakan surname ataupun nama mereka
sendiri bagi mewujudkan kesopanan dan kesusilaan dalam kalangan mereka. Hal ini secara
tidak langsung, telah mengukuhkan hubungan murid-murid di kelas terebut. Murid-murid
berasa diri mereka dihormati apabila Mr Mark mengeluarkan pernyataan sedemikian dan
rasa dihormati itulah menjadi permulaan kepada sifat menghormati diri sendiri dan orang
lain dalam kelas tersebut. Murid-murid mula bercakap dengan sopan sesama mereka dan
mereka menyedari digniti diri dan penerimaan kendiri yang perlu dipelihara. Institusi paling
asas inilah yang telah membina semangat kekitaan dan kepunyaan dalam kelas mereka dan
telah menanamkan sifat prihatin sesama mereka. Kejayaan hubungan erat murid-murid ini

lebih terserlah ketika mereka sebagai satu kelas berjaya mengadakan jamuan perpisahan
bagi menyatakan penghargaan yang tidak terhingga mereka kepada Mr Mark Thackeray.
Guru yang mengingati nama murid-muridnya dan menyebut nama mereka
dengan betul akan lebih cepat membina hubungan guru-murid yang efisien dan hal ini
dapat dilihat dengan jelas apabila selang beberapa hari sahaja, Mr Mark dapat mengenali
nama setiap satu pelajar dalam kelasnya dan sekiranya mereka lakukan kesalahan beliau
terus menerus memanggil nama dan menegur kesalahan tingkah laku mereka. Beliau turut
memastikan tiap-tiap murid dalam kelasnya dipanggil dengan nama masing-masing secara
sopan tanpa mengidentifikasikan mereka dengan nama gelaran dan diketawakan. Beliau
juga sentiasa mengekalkan kontak mata dengan anak-anak muridnya dan tidak pernah
memanggil mereka dengan menuding jari. Pendekatan humour dalam bilik darjah juga
dikatakan dapat melahirkan suasana pembelajaran yang rileks dan ceria. Penyerapan unsur
kecindan ketika proses pengajaran pula dapat dilihat ketika, beliau mengatakan gaya
rambut terkini mereka sudah lama pupus dimamah zaman kira-kira 200 tahun dahulu dan
mereka terus ketawa melihat Mr Mark menyindir mereka. Sindiran beliau bertujuan untuk
menggembirakan hati mereka dan bukannya untuk mengguris hati mana-mana pihak malah
murid-murid kelas beliau lagi seronok belajar dengan beliau. Titik inilah yang telah
membantu membina hubungan yang baik antara Mr Mark dengan murid-muridnya.
Hubungan dinamika guru murid dapat diwujudkan sekiranya terdapat bibit-bibit
budaya penyayang dalam proses penerapan ilmu pengetahuan berdasarkan Larrivee
(2005). Menurut ahli cendekiawan terulung itu, budaya penyayang terbentuk apabila ahli-ahli
dalam sesebuah komuniti itu mengutamakan kebajikan ahli-ahlinya, berkomunikasi secara
terbuka antara satu sama lain dan jujur semasa berhubungan melalui corak interaksinya.
Dalam komuniti yang mengamalkan budaya penyayang, ahli-ahlinya saling hormatmenghormati, mengambil berat, berkongsi emosi atau perasaan secara jujur dan saling
berkongsi idea tanpa rasa prejudis dan diskriminasi. Aspek inilah yang ditekankan oleh
Mr.Mark dalam pengajaran dalam kelasnya di sekolah North Quay walaupun secara tidak
keseluruhan, tetapi ada juga unsur-unsur kualiti budaya penyayang dalam diri sanubarinya
yang telah diaplikasikan oleh Mr Mark secara eksklusif dalam kelasnya. Menelusuri aspek
utama dalam budaya penyayang tadi, iaitu hormat, meliputi konsep asas, iaitu, penerimaan.
Penerimaan ini boleh dijelaskan sebagai rasa diterima oleh murid-murid, perasaan dihargai,
pendapat dihormati dan sebagainya oleh guru mereka. Guru mendengar dan memberi
peluang kepada murid untuk menyuarakan emosi dan masalahnya dan guru menghormati
perkara yang disuarakan diikuti dengan maklum balasnya dengan jujur tanpa prejudis.
Apabila dirinya rasa dihormati dan diambil berat murid akan mula menaruh kepercayaan
terhadap guru mereka dan mula berkongsi masalah yang dihadapi apabila timbulnya rasa

hormat terhadap tingkah laku positif guru dalam kelas. Tamsilnya, Pamella menawarkan diri
untuk menceritakan masalah keluarganya kepada Mr Mark dengan keyakinan beliau akan
cuba mencari penyelesaian yang baik kepadanya. Kita tidak boleh menerima perkara ini
sewenang-wenangnya, kerana seorang remaja tidak mudah berbicara dari hati ke hati
tentang masalah yang didapinya dengan orang ketiga, lebih-lebih lagi pelajar bermasalah
seperti Pamella. Jadi, tonjolan sikap saling menghormati antara guru-murid di sini telah
mencambahkan rasa kasih sayang dan iklim dihormati dalam bilik dajah Mr Mark.
Aspek yang seterusnya pula ialah autentik. Guru yang mempunyai kualiti autentik
ini berupaya menjadi dirinya sendiri dan jujur dalam setiap perkara di hadapan muridmuridnya. Hal ini sangat bersesuaian dengan karakter Mr Mark yang memberi maklum balas
yang jujur apabila murid-muridnya menanyakan soalan yang bervarisi tentang dirinya,
pengalamannya serta kariernya. Tanpa segan silu beliau telah berkongsi pengalamannya
yang pernah bekerja di sebuah kedai sebagai pembuat burger, pelayan di restoran, pernah
mencuci pinggan mangkuk, kereta dan sebagainya. Tetapi beliau yakin, perkara-perkara
tentang dirinya ini dapat mewujudkan motivasi dalam kalangan pelajarnya iaitu usaha
tangga kejayaan, dengan bermodelkan usaha seseorang itu dapat mencapai impiannya
melalui apa cara jua sekalipun ataupun dalam persis kata Mr.Mark sendiri iaitu, if you work
hard you can almost do anything. Luahan pengalaman Mr Mark yang mempunyai kelulusan
pendidikan tinggi dan memiliki kelayakan dalam profesion kejuruteraan yakni dapat
meningkatkan aspirasi kecerdasan emosi dalam diri sanubari murid-muridnya seterusnya
membentuk budaya penyayang dalam bilik darjah.
Adunan kombinasi pengurusan bilik darjah dan tingkah laku yang berkesan akan
dapat mengawal disiplin daripada menjejaskan keberkesanan kelancaran aktiviti dalam bilik
darjah. Mr Mark telah mengorak pelbagai intervensi untuk membendung masalah disiplin
dalam kelas seperti pastoral care dan bimbingan dan kounseling. Pastoral care yang
mempraktikkan guru untuk menjaga kebajikan peribadi dan sosial murid-muridnya dari segi
isu-isu kesihatan, pendidikan moral dan pengurusan tingkah laku. Mr Mark, pembimbing
yang mempunyai komitmen tinggi terhadap murid-muridnya telah berkongsi tentang
penjagaan kesihatan dan kebersihan dalam kelas supaya, murid-muridnya senantiasa
menjaga kebersihan rambut, tangan, gigi dan diri. Seterusnya pula, beliau beralih kepada
pemanggilan setiap murid dalam kelasnya dengan sapaan yang sopan sebagai langkah
pertama menjadikan disiplin sebagai cerucuk utama pengurusan tingkah laku anak-anak
muridnya. Satu lagi suntikan intervensi yang berkesan juga dapat dilihat ketika Mr Mark
memberi kounseling kepada Pamella bagi membantunya menangkis masalah yang sedang
dia alami serta membantunya mengurus kehidupannya dengan lebih baik. Beliau ingin
membantunya untuk membuat keputusan berhubungkait dengan hal peribadi dan

keluarganya serta membantunya memahami masalah sebenar yang dihadapinya. Sesi


khidmat nasihat ini menampakkan sifat Mr Mark yang mengambil berat terhadap diri muridmuridnya bukan setakat dalam kelasnya sahaja.
Soalan kedua tugasan pengurusan bilik darjah kali ini yang memfokuskan
pengintegrasian dan pemilihan strategi ataupun intervensi dalam pengendalian bilik dajah
oleh guru dan keberkesanannya dengan isu yang dibincangkan dalam filem To Sir With
Love, mewajibkan para guru pelatih memanifestasikan fikiran dalam menghubungkaitkan
model pengurusan tingkah laku yang paling tepat dengan isu yang dirungkai berdasarkan
perspektif sendiri. Menurut Bear, wolf, Risley (1968), tindakan manusia merujuk kepada
semua perkara manusia yang boleh diperhati, diukur dan dinilai. Pada pendapat saya salah
satu model modifikasi tingkah laku yang mendepani kebenaran yang telah dipaparkan
dalam filem ini adalah, model Terapi realiti William Glasser. Model ini mendukung teori
pilihan yang membawa penjelasan, setiap tingkah laku yang ditunjukkan oleh individu
berasaskan pilihan yang dibuat dan pilihan yang telah dibuat oleh individu pula berdasarkan
keperluan-keperluan asas mereka. Merujuk kepada model ini murid-murid lebih cenderung
kepada masalah disiplin dan berpeleseran kerana mereka gagal memenuhi keperluankeperluan psikologi asas iaitu, kasih sayang ataupun dipunyai, mempunyai kuasa ataupun
kawalan, kebebasan serta bersuka ria dan pada pandangan Glasser pula, aspek-aspek
inilah yang mendorong tingkah laku individu. Mr Mark telah mengambil langkah sederap
untuk menjelmakan nilai-nilai tersebut dalam diri murid-muridnya bermula dengan perasaan
dipunyai ataupun kasih sayang. Beliau telah memberi perhatian dan mengambil berat
terhadap kebajikan murid-murid dalam kelasnya supaya mereka berasa disayangi dan
dipunyai dalam persekitaran bilik darjah. Contohnya, Mr Mark telah dengan tulus hatinya
mengambil berat terhadap Seales dan yang menghadapi pergolakan jiwa dengan masalah
keluarganya. Walaupun, beliau dibenci hebat oleh Seales pada mula-mulanya namun beliau
tidak pernah berputus asa dalam memberi perhatian terhadapnya. Saya mengkategorikan
diri Mr Mark sebagai seorang yang bersikap, altruisme iaitu, insan yang mengutamakan
kebajikan orang, sesuai dengan aspek kasih sayang yang dititikberatkan dalam model ini.
Seterusnya pula adalah, elemen mempunyai kuasa dan kawalan yang
menyarankan murid-murid mempunyai pilihan untuk memilih aktiviti bilik darjah yang
bersesuaian dengan minat dan kecenderungan mereka dan kesedaran ini akan seterusnya
membawa kepada perasaan dipunyai dan adanya rasa kepentingan mereka dalam kelas.
Apabila, Mr Mark menceritakan tentang perubahan manusia yang dipamerkan dari zaman
kuno sehingga kini di muzium, murid-murid kelasnya menunjukkan keinginan mereka untuk
mengunjunginya. Lawatan projek yang diadakan ini juga adalah berdasarkan kemahuan dan
minat mereka sendiri dan bukannya paksaan daripada Mr Mark. Contoh yang disisipkan ini

juga menekankan satu lagi aspek nilai dipunyai yang penting, iaitu kebebasan. Lawatan ke
muzium Victoria juga menampakkan, murid-murid ini diberi emansipasi atau kebebasan oleh
Mr Mark untuk membuat pilihan sendiri dalam proses pembelajaran dan beliau hanya
menjadi sebagai penasihat kepada mereka. Hal ini juga telah membangkitkan rasa
taggungjawab mereka untuk melaksanakan aktiviti yang mereka pilih sendiri ini dan tidak
menimbulkan sebarang masalah ketika lawatan tersebut.
Elemen terakhir ialah keseronokan dan apabila keperluan ini dipenuhi murid-murid
akan lebih fokus terhadap pelajaran mereka. Aktiviti pembelajaran yang sama akan
menimbulkan kebosanan murid rentetan itu, Mr Mark telah menjadikan pengajarannya
fleksibel

dengan

pemilihan

kaedah

pengajaran

yang

memberangsangkan

seperti

demonstrasi bagi melibatkan sekali murid-muridnya dalam pengajarannya supaya mereka


seronok belajar dan beliau pula lebih bermotivasi untuk mengajar. Beliau telah mengajar
murid-muridnya survival training dengan mendemonstrasikan cara untuk menghasilkan
salad. Mereka berasa cukup seronok dengan aktivit-aktiviti sebegini dan menggiatkan diri
mereka secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Glasser menangkis kurikulum sekolah yang yang mewajibkan penghafalan fakta
dan semata-mata berorientasikan peperiksaan tanpa dihubungkaitkan dengan kehidupan
sebenar. Hal ini juga disedari oleh Mr Mark bahawa silibus sedemikian menjadi kongkongan
yang membelenggu pemikiran anak-anak muridnya dan tidak berguna kepada mereka.
Wajah baru yang disulami tekad Mr Mark telah membawa satu kaedah pembelajaran baru
(new approach) di mana, beliau tidak menggunakan buku malah, ilmu kehidupan dijadikan
sebagai panduan dalam penyampaian proses pengajaran dan pembelajarannya. Jadi,
beliau mengambil keputusan bahawa biarlah aspek pendidikan itu tunjangnya dipaterikan
dengan kehidupan. Beliau ingin memberikan pembelajaran yang menyeronokkan kepada
murid dengan mengambil tahu benar kebolehan dan minat mereka. Beliau telah menjadikan
perbincangan sebagai agenda utama dalam kelasnya dengan menitikberatkan kaedah
berpusatkan pelajar dan menginginkan murid-muridnya melibatkan diri secara aktif dalam
pembelajaran. Ketika berbincang juga beliau membenarkan murid-muridnya mengutarakan
pendapat mereka dengan meneroka topik yang dikongsikan pada hari tersebut. Murid-murid
juga digalakkan untuk bertanya dan seterusnya mengembangkan kefahaman mereka
secara mendalam dalam isu yang dibincangkan dan mengaplikasikannya dalam situasi yang
memerlukan. Hal ini dikatakan demikian kerana, secara holistiknya, segala perkara yang
dibawa untuk perbincangan dalam kelas oleh Mr Mark adalah berkaitan dengan kehidupan.
Psikiatari tersohor, Glasser juga mengatakan mutu pengajaran dapat ditingkatkan melalui
beberapa aspek dan setelah menilai pengajaran Mr Mark, saya mendapati terdapat dua
cara telah digunakan oleh beliau iaitu, guru bersifat sebagai pembimbing ataupun fasilitator.

Mr Mark telah menjadi seorang penyalur ilmu kepada murid-muridnya dan tidak pernah
menjadi pengarah yang memaksa dan mencampakkan arahan kepada mereka. Tamsilnya,
Mr Mark mencadangkan Denham untuk mencuba karier sebagai jurulatih tinju setelah
menyedari kebolehannya tanpa memaksanya. Yang keduanya pula ialah, tugasan-tugasan
yang dilestarikan olehnya pula, lebih berkaitan dengan kehidupan seharian murid-murid.
Beliau

menggabungjalinkan

topik

perbincangan

dengan

pengalaman

murid

dan

kegunaannya kepada murid secara tidak langsung. Apabila adanya kegunaan ilmu tersebut
dalam kehidupan, mereka lebih berminat untuk mempelajarinya. Contohnya, murid-murid
khusyuk belajar cara memasak dalam kelas survival training Mr Mark, setelah beliau
menjelaskan kepentingan belajar memasak dalam rutin harian mereka.
Model pengurusan tingkah laku kedua yang ingin saya mengetengahkan di sini
ialah, model modifikasi tingkah laku B.F Skinner. Dari kaca mata beliau tingkah laku
manusia banyak dipengaruhi oleh apa-apa yang berlaku sebaik sahaja sesuatu tingkah laku
ditunjukkan dan penerangan ini cukup jelas dan dapat dilihat ketika pengurusan bilik darjah
oleh Mr Mark yang penuh dengan peneguran dan pemujian dalam mengurus tingkah laku
anak-anak muridnya yang terkenal dengan tingkah laku yang cukup mengecewakan. Seperti
yang kita tahu, model ini mengandungi prinsip peneguhan iaitu, peneguhan positif dan
peneguhan negatif yang menjurus kepada elemen-elemen luaran yang merangsang
peingkatan tingkah laku yang diingini. Satu perkara yang telah saya perhatikan dengan
tajam dalam filem ini ialah, Mr.Mark telah bermula dengan kawalan tingkah laku secara
luaran dahulu iaitu, ekstrinsik dan beransur-ansur kepada kawalan dalaman ataupun kendiri
secara intrinsik.
Mr. Mark juga telah menggunakan peneguhan negatif yang juga dikenali sebagai
hukuman tarik bagi meningkatkan tingkah laku yang diingininya daripada murid-muridnya
terutamanya pemberian tumpuan dalam kelas. Peneguhan negatif yang melibatkan proses
penyingkiran dalam kelas telah dilakukan oleh Mr Mark dengan merampas majalah
Denham, pelajar yang sangat nakal dalam kelas dan mengoyakkannya, menyimpannya
balik ke dalam desktop meja dan menutupnya dengan kuat supaya Denham tidak
mengulangi perkara itu dan memberi tumpuan dalam kelas. Ada juga seorang pelajar yang
sentiasa memakai cermin mata gelap dalam kelas tersebut ketika proses pengajaran dan
pembelajaran dijalankan. Mr Mark telah memberi teguran secara tidak langsung pada mulamulanya dengan menanggalkan cermin matanya itu dan apabila perkara itu diulang sekali
lagi oleh murid tersebut Mr Mark telah merampasnya. Hal ini adalah bagi membolehkan
pelajar tersebut memberikan tumpuan ketika pengajaran berlaku. Satu perkara yang telah
saya perhatikan dengan tajam dalam filem ini ialah, Mr.Mark telah menggunakan peneguhan
dengan membawa anak-anak muridnya ke muzium sebagai kaedah berkesan bagi

merangsang tingkah laku positif murid-muridnya. Mr Mark berjaya juga kerana beliau dapat
melihat perubahan dalam diri murid-muridnya bermula pada hari lawatan tersebut diadakan
sehinggalah hari-hari seterusnya di sekolah tersebut.
Penghapusan juga turut berlaku dalam kelas pengendalian Mr Mark dan
menyebabkan banyak tingkah laku dihentikan dalam kelas tersebut apabila, beliau tidak
mengendahkan tingkah laku negatif mereka tanpa memberikan peneguran secara
bersemuka dengan mereka dan buat-buat tidak tahu terhadap aksi-aksi yang sudah
semestinya akan menaikkan kemarahan guru-guru biasa. Tamsilnya, Denham sengaja
menutup pintu kelas dengan kuat bagi menimbulkan kemarahan Mr Mark namun beliau
tidak memberi respon yang dia hendaki. Potter pula sengaja menggerakkan mejanya ketika
Mr Mark mengajar dalam kelas dan Miss Pamella pula sengaja menjatuhkan buku-bukunya
bagi menarik perhatian beliau dalam kelas. Kaki meja Mr Mark pula dikerat bagi
mencederakannya dan nasib baik Mr Mark tidak tercedera. Namun begitu, Mr Mark sanggup
bersabar dengan perangai murid-muridnya. Murid-murid Mr Mark sentiasa mewujudkan
bunyi-bunyi yang tidak menyenangkan dalam kelas bagi mencacatkan proses pengajaran
dan pembelajaran namun beliau tidak memberikan sebarang perhatian terhadap aksi-aksi
negatif mereka bagi memodifikasikan tingkah laku pelajarnya yang tidak diingini itu. Beliau
ingin membuatkan tindakan mereka diabai dan telah bersabar dengan mereka sekian lama
kerana hasil penghapusan ini tidak datang dengan serta merta dan pada akhirnya beliau
berjaya juga apabila murid-muridnya berhenti melakukan aksi-aksi negatif tersebut dan mula
tumpukan perhatian dalam kelas.
Model ketiga yang ingin saya menggabungjalinkan dengan tonjolan pengurusan
bilik darjah oleh Mr Mark ialah, model akibat Logikal Dreikurs. Secara amnya, saya telah
memetik cadangan Dreikurs bagi membendung tingkah laku yang tidak diingini murid seperti
yang telah dinampakkan oleh Mr Mark dalam tayangan filem ini. Rasa kepunyaan terhadap
bilik darjah merupakan matlamat utama dalam pembentukan tingkah laku murid dalam
model ini. Namun, apabila murid gagal memenuhi keperluan ini maka, timbullah salah laku
dalam kelas. Tamsilnya, Potter ingin membalas dendam dengan bertindak memukul, Mr Bell
yang berlaku tidak adil dan menyebabkan Buckley tercedera namun, Mr Mark telah
menyelamatkan Mr Bell daripada Potter. Langkah seterusnya beliau telah meminta
penjelasan daripada murid-murid kelasnya sebelum melangkah ke tindakan seterusnya
dengan meminta penjelasan daripada Mr Bell. Mr Mark mengenal pasti motif sebenar Potter
yang bertindak sedemikian dan berusaha untuk membantunya memahami tindakan
negatifnya itu. Beliau cuba memberi kesedaran kepada Potter dalam kelas bahawa, dia
telah memilih cara yang salah dalam membuktikan kesalahan Mr Bell. Kendati pun begitu,
Potter tetap berdebat dengan Mr Mark tentang tindakannya itu. Beliau ingin menerapkan

disiplin kendiri, self dicipline dalam diri Potter, lalu membantunya menukarkan matlamat
yang salahnya kepada matlamat sebenar iaitu meminta maaf kepada Mr Bell supaya
mendatangkan manfaat kepada semua pihak. Mr Mark telah bimbing Potter supaya dia
bertanggungjawab terhadap matlamat baharu yang dipilih dan beliau turut menjelaskan
akibat tingkah lakunya yang akan membawa kemudaratan kesejahteraan kepada semua
pihak termasuk diri sendirinya pada masa hadapan.
Model seterusnya yang telah dirangkaikan dengan filem ini ialah, model disiplin
asertif Canter yang melatih murid-murid untuk menerima konsekuen bagi tindakan mereka.
Pengaplikasian model ini membantu Mr Mark untuk mengajar dan menguruskan bilik darjah
dengan efektif dan sekaligus memastikan setiap murid dihormati dalam kelasnya kerana
konsep Canter berlandaskan prinsip setiap murid berhak untuk mendapat suasana
pembelajaran yang tenang dan teratur dan menjadi hak guru untuk mengajar tanpa
gangguan. Bagi merealisasiakan perkara ini, Mr Mark telah menetapkan peraturan dalam
kelasnya dan memastikan peraturan itu dipatuhi dengan tepat. Beliau jelas, yakin dan
menyatakan jangkaan serta arahan yang konsisten dengan tegas ketika mengujarkan setiap
satu peraturan dalam kelasnya. Antara peraturan yang telah dibincangkannya adalah
seperti, perlakuan sebagai seorang yang dewasa ataupun remaja, cara sapaan setiap
pelajar dalam kelas dan juga nilai murni yang perlu diamalkan terutamanya, aspek
kebersihan (cleanliness). Bagi membolehkan setiap peraturan ini dipatuhi oleh murid-murid
kelasnya, Mr Mark menjadikan dirinya sebagai teladan dalam setiap gerak gerinya iaitu,
tingkah lakunya sebagai seorang dewasa yang bitara, menegur orang lain dengan
penggunaan kata-kata yang sopan dan murni serta penampilan dirinya yang cukup bersih
dan kemas. Menelusuri model ini juga, Mr Mark juga memberi teguran dan tindakan ke atas
tingkahlaku murid dan bukan wataknya. Contohnya, bukan diri Purcell yang disalahkan
tetapi wataknya yang tidak menjaga percakapannya dan menggunakan perkataan kesat
ketika Pamella sedang membaca.
Model pengurusan kelompok Kounin pula adalah, model terakhir yang ingin saya
kongsikan di sini bagi mengaitkatkan dengan pengurusan bilik darjah oleh Mr Mark
Thackeray. Mr.Mark Thackeray telah menerapkan kata-kata, Jacob Kounin, pengasas model
ini yang menekankan pengawasan dan penyeliaan yang teliti guru dalam pengurusan bilik
darjah dengan baik sekali dalam filem ini. Withitness, iaitu, kesedaran dan kepekaan guru
dalam mengawasi pergerakan di dalam bilik darjah pada setiap masa dan menangani
masalah tersebut sebelum menjadi masalah disiplin, merupakan satu kualiti yang ada pada
Mr Mark, dalam mengendalikan kelas. Tamsilnya, Mr Mark berinteraksi dengan semua murid
dan pada masa yang sama beliau juga mengawasi tingkah laku mereka dan berjaya
mengenalpasti Denham yang membelek sesuatu di bawah mejanya bersama Potter

walaupun, beliau asyik menjawab soalan Clark. Dalam hal ini, Mr Mark tepat dikatakan
sebagai guru yang mempunyai, eyes at the back of the head.
Seterusnya pula, cara pengurusan tingkah laku melalui aspek gelombang (ripple
effect) kesan daripada teguran atau tindakan guru terhadap seseorang murid yang
melakukan salah laku dijadikan ikhtibar oleh murid-murid lain. Hal ini dapat dilihat apabila Mr
Mark memberi teguran berbentuk sindiran kepada Denham, malah satu kelas terasanya dan
terus mendiamkan diri. Dapat diperhatikan kesan gelombang ini lebih efektif apabila Mr Mark
membuat tindakan dengan jelas, tegas dan serius. Apabila memberikan teguran pula, Mr
Mark menyatakan dengan spesifik tingkah laku yang ingin dibetulkan kepada muridmuridnya. Contohnya, Mr Mark telah menegur Denham yang tidak memanggilnya sebagai
sir tetapi Guv, dengan menyatakan nama Denham sekali tanpa memberi peneguran secara
umum. Apabila Denham masih melakukan kesalahan tersebut, Mr Mark menjadi lebih tegas
dan menggariskan kesalahannya sekali lagi dan hal ini menampakkan keseriusan Mr Mark
lalu Denham mengubah tingkah lakunya dengan memanggilnya, sir.... Mimik muka Mr.Mark
yang serius dan tegas menjadikan tegurannya lebih berkesan.
Deduksinya, profesionalisme guru dalam memberi jiwa kepada pengurusan tingkah
laku murid-murid yang berkesan menjadi kayu ukur falah bagi mengharumkan sistem
pendidikan Malaysia di jagatraya. Setelah merenung filem To Sir With Love ini dengan lebih
mendalam terdapat transformasi-transformasi dalam bidang pembelajaran yang boleh
diusahakan oleh para guru ketika pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran bagi
melahirkan benih-benih komuniti masyarakat yang berdisiplin lagi berwibawa. Meneliti filem
ini, saya dapat menggarap bahawa pengurusan diiplin yang kukuh menjadi platform kepada
pengurusan disiplin bilik darjah yang berkesan dan Mr Mark berjaya menggunakan ideologiideologi yang sesuai daripada model yang bervariasi sebagai wadah berkesan untuk
melentur tingkah laku murid-murid North Quay yang disimbolkan sebagai flirthy devil oleh
barisan guru di sekolah tersebut. Pendekatan Mr Mark berjaya mengubah tingkah laku
murid-muridnya sehingga mereka balik ke pangkal jalan dan filem ini diakhiri dengan ukiran
senyuman di bibir para penonton. Pada pendapat saya, sesuatu pengurusan yang berkesan
untuk bilik darjah tidak semestinya sesuai untuk semua situasi. Jadi, guru harus bijak menilai
dan membuat pertimbangan yang menjurus kepada situasi yang mereka hadapi dalam
kelas. Izharnya, pengetahuan yang luas dalam pengurusan disiplin bilik darjah ditambah
dengan pengalaman yang ditimba akan membantu kita, sebagai guru pelatih mensintesis
satu pengurusan yang kondusif untuk kegunaan sendiri di dalam bilik darjah masing-masing
pada muka hari nanti bagi melahirkan masyarakat yang berminda kelas pertama yang
bebas daripada masalah disiplin.

TUGASAN INDIVIDU :
PENULISAN KRITIS TERHADAP DINAMIKA
HUBUNGAN DAN PENGURUSAN TINGKAH LAKU
MURID DALAM KELAS OLEH GURU DENGAN
MENJURUS KEPADA FILEM TO SIR WITH LOVE.

RUJUKAN :
BUKU :
Carolyn M. Evertson(2000), Classroom Management For Elementary Teachers, Pearson
education, United States Of America.
Halizah Hamzah(2014), Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah laku, Oxford Fajar Sdn. Bhd,
Shah Alam, Selangor, Malaysia.
James Ang Jit Eng(2007), Pengurusan Disiplin Murid, PTS Professional Publishing Sdn
Bhd, No.12, Jalan DBP,Dolomite Business Park, Batu Caves, Selangor, Malaysia.
Kamaruddin Haji Husin(1994), Dinamika sekolah dan bilik darjah, Utusan Publications &
Distributiors Sdn Bhd, Taman Shamelin Perkasa, Cheras, Kuala Lumpur, Malaysia.
Mohd Hasani Dali(2009), Pengurusan Bilik Darjah Untuk Guru Novis, Penerbit UUM,
Universiti Sintok, Kedah, Malaysia.

LAMAN SESAWANG :
http://cikgusuepkhas.blogspot.com/2012/07/conyoh-pengurusan-tingkah-laku.htmlatas talian
pada 20 MAC 2015
http://mualimumtaz.blogspot.com/2013/03/bab-3-hubunganguru-murid-pengenalan-bab.html
atas talian pada 19 MAC 2015
http://mualimumtaz.blogspot.com/2013/03/bab-3-hubunganguru-murid-pengenalan-bab.html
atas talian pada 18 MAC 2015
https://ml.scribd.com/doc/30233572/Hubungan-Guru-Murid atas talian pada 17 MAC 2015
http://pismppklihat.blogspot.com/2013/05/pengurusan-disiplin-bilik-darjah-model.html

atas

talian pada 16 MAC 2015


http://en.wikibooks.org/wiki/Classroom_Management_Theorists_and_Theories/Rudolf_Dreik
urs atas talian pada 15 MAC 2015
http://pasarnota.blogspot.com/2011/12/model-disiplin-asertif-canter.html atas talian pada 14
MAC 2015

http://www.slideshare.net/dimidur/model-disiplin-asertif-canter atas talian pada 13 MAC 2015

Anda mungkin juga menyukai