Anda di halaman 1dari 4

Soalan: Usaha-usaha dalam memajukan industri pelancongan

Dasawarsa ini, negara kita sedang menempuh arus globalisasi dan modenisasi
sehingga negara kita mengalami pembangunan yang pesat sekali. Sehubungan dengan
itu, industri perlancongan di negara kita kian berkembang maju seiring dengan
kemajuan yang kita kecapi pada hari ini. "Pendapatan indsutri pelancongan
mencatatkan peningkatan 7.2 peratus dengan nilai RM103.3 bilion pada tahun 2013
dalam menjana ekonomi Malaysia, kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin. Hal ini menunjukkan peningkatan ekonomi negara Malaysia yang
memberangsangkan telah dibawa masuk melalui industri pelancongan. Kerajaan telah
megambil pelbagai inisiatif untuk menggerakkan semua agensinya untuk memastikan
sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembangunan negara kita yang
pesat. Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi salah satu
sumber pendapatan negara yang penting. Hal ini menyebabkan tempat pelancongan di
negara ini dibuka dengan banyak seperti cendawan selepas hujan. Namun begitu,
rakyat negara Malaysia telah menyaksikan pelbagai musibah dan tragedi yang
menimpa negara kita sejak belakangan ini. Misalnya, insiden yang menimpa negara
baru-baru ini dengan kejadian misteri iaitu kehilangan pesawat Malaysian Airlines
Systems (MAS) MH371 dari China dan MH17 yang ditembak lalu terhempas di Ukraine
sedikit sebanyak boleh menjejaskan industri pelancongan negara bak kata pepatah
sudah jatuh ditimpa tangga. Kebanyakan pelancong dari dalam atau luar negara berasa
terancam untuk datang ke Malaysia apatah lagi tahun 2014 diisytiharkan sebagai Tahun
Melawat Malaysia. Sekiranya masalah seperti ini berlaku lagi adakah kita dapat
berpeluang lagi untuk memajukan industri perlancongan negara kita? Semua rakyat
Malaysia sudah pasti mengimpikan ekonomi negara kita dapat berkembang maju
seperti negara yang besar yang lain bak kata pepatah duduk sama rendah dan berdiri
sama tinggi dengan negara maju sepeti Jepun, Amerika Syarikat dan Russia. Bertitik
tolak daripada perkara ini, pelbagai prakarsa dengan segera kerana kalau tidak
dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Pada hemat saya, pelbagai usaha dapat kita lakukan untuk memajukan lagi
industri perlancongan negara kita misalnya kerajaan dan rakyat Malaysia boleh
bergabung tenaga dan bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk mengadakan
kempen promosi pelancongan di dalam dan di luar negara. Kempen Cuti-Cuti Malaysia
dan Tahun Melawat Malaysia yang telah dijalankan setiap tahun bagi mempromosikan
Malaysia memberi kesan yang positif dan meningkatkan bilangan kedatangan
pelancong asing ke negara kita. Kita boleh mempromosikan tempat-tempat yang
menarik dan indah di Malaysia seperti Pulau Langkawi, Pulau Redang, Cameron
Highland dan banyak lagi. Hal ini demikian kerana, para pelancong dapat mengetahui
destinasi yang ingin dilawati apabila adanya promosi sebegini yang menunjukkan
pelbagai tempat menarik yang boleh dilawati dan tawaran pakej-pakej perlancongan

yang murah bak kata mutiara tak kenal maka tak cinta. Dalam kempen ini, banyak
perkara yang dapat diketengahkan. Antaranya ialah tempat-tempat menarik di negara
ini, makanan yang pelbagai, dan juga keunikan kebudayaan masyarakat pelbagai
kaum. Oleh hal yang demikian, ekonomi negara akan menunjukkan peningkatan kerana
kedatangan pelancong asing juga bertambah. Berdasarkan huraian tadi, jelaslah
dengan mempromosikan negara kita dalam sektor pelancongan dapat memajukan lagi
industri perlancongan di negara kita.

Langkah yang tidak kurang pentingnya untuk dibincangkan ialah kerajaan


Malaysia juga wajar menganjurkan pelbagai acara antarabangsa dengan lebih kerap.
Pelbagai acara antarabangsa dapat diadakan di negara ini. Sebagai contoh,
penganjuran acara sukan antarabangsa seperti Monsoon Cup, perlumbaan Formula 1,
kejohanan badminton, dan seumpamanya merupakan acara yang sangat mendapat
perhatian peminat antarabangsa. Dalam bidang seni pula, negara kita menjadi tuan
rumah kepada beberapa acara antarabangsa, contohnya Festival Muzik Dunia yang
diadakan di Sarawak pada setiap tahun. Hal ini membawa konotasi bahawa rakyat
daripada luar negara yang mungkin meminati acara-acara seperti ini dapat mengenali
negara kita kerana mereka akan datang untuk menyokong acara tersebut. Sejajar
dengan itu, mereka berpeluang untuk melawati tempat-tempat yang menarik di
Malaysia setelah menghadiri acara yang mereka minati sebelum balik ke negara asal
bak kat peribahasa Melayu sambal meyelam minum air. Setelah itu, mereka akan
berkongsi pengalaman melawati negara Malaysia bersama rakan yang lain dan hal ini
dapat membuatkan negara Malaysia menjadi lebih terkenal di seantero dunia.
Intihannya, dengan menganjurkan acara antarabangsa di negara kita dapat menjadikan
negara kita sebagai pusat pelancongan yang terkenal.

Jika ditinjau dari sudut yang lain, prakarsa yang harus dilaksanakan ialah
mengurangkan cukai belian barangan di negara ini. Berdasarkan rekod Perbadanan
Pelancongan Malaysia (TDC), pelancong asing yang datang ke sini bukan sekadar
untuk menikmati keindahan alam semula jadi negara, bahkan juga untuk membeli-belah
khususnya kepada kaum wanita. Mereka ingin menjadikan percutian di Malaysia
sebagai serampang dua mata bagi mereka dengan membeli barang-barang yang boleh
dijadikan kenangan dan juga kegunaan seharian. Sehubungan dengan itu, pihak yang
berkenaan perlu mengambil inisiatif untuk mengurangkan cukai belian di negara kita.
Namun begitu, kualiti barangan yang dijual haruslah terpelihara dengan baik supaya
para pelancong berasa puas hati ketika membeli-belah di negara kita dan janganlah
indah khabar dari rupa. Selain itu, peraturan-peraturan imigresen perlu dilonggarkan
kepada mereka yang berhasrat melancong ke negara ini. Manakala pusat-pusat
perkhidmatan tukaran wang asing perlu ditambah dan disediakan di lokasi-lokasi yang
strategik seperti di hotel, pusat pelancongan dan pekan-pekan kecil. Kesannya, para
pelancong asing dapat menukar wang di pengurup wag berlesen dengan mudah dan

senang kerana banyak terdapat di kawasan yang strategik. Rentetan itu, jelaslah
bahawa dengan menyediakan kemudahan-kemudahan ini, para pelancong akan tertarik
untuk berkunjung ke Malaysia. Izharlah bahawa penghapusan dan pengurangan cukai
belian barangan dapat merancakkan industri pelancongan negara.

Salah satu langkah yang dominan yang perlu dilaksanakan ialah langkahlangkah keselamatan juga perlu diambil kira bagi menjamin kepuasan dan
kesejahteraan pelancong semasa datang melawat di negara kita. Faktor kawalan
keselamatan yang terjamin di sesuatu destinasi pelancongan sering menjadi kayu
pengukur untuk mereka datang ke destinasi pelancongan yang menjadi pilihan di hati
mereka. Kita tidak seharusnya lupa dengan gelagat segelintir masyarakat Malaysia
yang tidak ada nilai kemanusiaan dengan mengambil kesempatan ke atas pelancong.
Oleh itu, Unit Keselamatan Pelancong perlu ditubuhkan untuk membantu pihak polis
menangani jenayah ke atas pelancong. Kejadian-kejadian rogol, mencabul kehormatan,
menghendap, peras ugut, rompak dan tipu harus ditangani secepat mungkin. Ini perlu
dilakukan agar pelancong asing terus berkunjung ke negara ini dan berasa selamat.
Kerajaan Malaysia perlu mengambil langkah yang drastik dan primitif misalnya bilangan
keanggotaan pasukan keselamatan perlu ditambah supaya rondaan dapat dilakukan
dengan lebih kerap di kawasan tumpuan pelancong. Sehubungan dengan itu,
pelancong dapat melancong di negara kita dengan lebih selesa dan sekali gus imej
negara terpelihara di mata dunia supaya tidak menjadi seperti kata orang-orang tua
kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Sudah terang lagi bersuluh langkah-langkah
keselamatan perlulah ditingkatkan dan mengambil tindakan undang-undang yang tegas
kepada mereka yang melakukan kesalahan jenayah agar kegiatan pelancongan dapat
terus dimajukan di negara kita.

Secara tuntasnya, pelbagai prakarsa dapat dilakukan oleh semua pihak untuk
memajukan lagi industri perlancongan di negara kita. Rakyat juga tidak harus bersikap
lepas tangan dan membiarkan sahaja kerajaan menangani maslah ini, kerana sikap
bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing akan merugikan diri
sendiri dan negara kita yang tercinta ini. Semoga kita dapat bersatu padu untuk
memajukan negara dari segi industry perlancongan agar kita disanjung dan dapat
berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Jika
tidak, segala keunikan dan kehebatan budaya pelbagai kaum di negara ini akan sia-sia
dan tidak dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh pelancong tempatan dan
mancanegara. Kerjasama dan kesungguhan semua pihak yang terbabit akan
menonjolkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di dunia.
Menurut Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Mantan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan
Warisan, industri pelancongan di dalam negara boleh berkembang setanding dengan
destinasi pelancongan di luar negara seperti Pulau Bali, Disneyland dan lain-lain
sekiranya usaha memperkenalkan Malaysia dilakukan secara giat malah disokong oleh

rakyat jelata. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah mentari terus bersinar dan
biarlah industri pelancongan negara kita terus meniti dari bibir ke bibir umat manusia di
seantero dunia demi menjana pendapatan yang lebih lumayan untuk kemaslahatan dan
juga kebaikan bersama.

Anda mungkin juga menyukai