Anda di halaman 1dari 8

PENDAHULUAN

Dalam era globalisasi kini yang mencabar akal dan minda, sering kali kita dengar
gejala sosial dalam kalangan remaja semakin berleluasa. Masalah ini sebenarnya
merupakan masalah utama negara kita dan perkara ini sangat membimbangkan pelbagai
pihak terutama yang melibatkan isu seksualiti. Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4 (2005),
seksualiti bermaksud sifat, tabii atau dorongan seks. Perkara ini merupakan sesuatu yang
normal dalam proses perkembangan setiap remaja. Namun, sekiranya dorongan seks ini
tidak dapat dikawal, pelbagai masalah lain lagi yang akan timbul dan mencemarkan imej
agama, bangsa, dan negara kita sekaligus melahirkan generasi yang rosak pemikirannya
dengan perkara-perkara yang negatif.
Seksualiti ini merupakan proses sepanjang hayat bagi setiap manusia bermula dari
kelahirannya sehingga kematiannya. Setiap individu ialah makhluk seksual. Tambahan pula,
seksualiti bukan sahaja terjadi antara manusia, malah haiwan juga mengalami proses yang
sama. Seksualiti setiap individu dibentuk oleh nilai kendiri yang dipengaruhi oleh keluarga,
rakan, media, agama, budaya, persekitaran, dan undang-undang masyarakat. Perkara ini
bukan sekadar hubungan seks semata-mata tetapi meliputi aspek perasaan, emosi,
pemikiran, tingkah laku sebagai seorang wanita atau lelaki, identiti seksual dan orientasi
seksual. Seksualiti juga secara menyeluruh mempunyai kaitan dengan peranan dan identiti
gender, imej diri, luahan perasaan kasih sayang dan keintiman kepada individu yang kita
pilih serta kesejahteraan kesihatan seksual dan reproduktif.

ASPEK-ASPEK SEKSUALITI

Budaya

ASPEKASPEK
SEKSUALITI

Etika /
Kerohanian

Psikologi

Biologi

Menurut laman web rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (2012), terdapat empat
aspek seksualiti yang boleh diketengahkan dalam kehidupan manusia iaitu aspek psikologi,
budaya, biologi, dan kerohanian. Keempat-empat aspek ini memberi pengaruh yang sangat
besar dalam kehidupan kita untuk menjadikan seksualiti ini ke arah yang lebih baik dan
selamat.
Seksualiti menurut aspek budaya dipengaruhi oleh norma dan peraturan masyarakat
yang menentukan perilaku yang boleh diterima dalam sesuatu kelompok manusia. Aspek ini
lebih berfokus tentang pandangan sesuatu budaya itu terhadap keperluan seksual serta
perilaku dalam masyarakat. Seperti yang kita sedia maklum, tingkah laku dan pemikiran
seseorang individu itu, dipengaruhi oleh rangkaian sosial mereka dan cenderung untuk
melakukan apa-apa yang digariskan oleh persekitaran mereka. Aspek budaya ini juga
memberi impak ke atas pendapat dan pandangan seseorang mengenai isu seksualiti.
Kebanyakan masyarakat memandang enteng isu seksualiti ini. Mereka malu untuk
berbincang mengenai isu ini dengan orang lain. Namun, perkara ini sebenarnya merupakan
suatu perkara yang sangat penting untuk diberikan pendedahan kepada umum.
Berdasarkan

pemerhatian

yang saya

lakukan

secara menyeluruh,

budaya

masyarakat di Malaysia baik Melayu, Cina atau India, hanya ikatan perkahwinan yang sah
sahaja boleh membenarkan dua pasangan yang berlainan jantina melakukan hubungan
2

seks kerana negara kita masih mengekalkan budaya ketimuran yang mementingkan adab
dan kesopanan. Hubungan seks yang dilakukan mestilah berlandaskan nilai tanggungjawab
antara kedua-duanya. Setiap remaja mestilah mempunyai jati diri yang kuat untuk berfikir
secara rasional mengenai segala risiko yang perlu mereka ambil setelah mereka melakukan
hubungan seks sama ada sebelum perkahwinan atau sebaliknya.
Kita beralih pula kepada seksualiti menurut aspek psikologi. Psikologi secara
umumnya bermaksud pemikiran dan perlakuan seseorang atau sesuatu kumpulan tertentu.
Setiap manusia mempunyai pendapat dan pandangan yang berlainan terhadap sesuatu
perkara. Faktor latar belakang seseorang individu itu merupakan salah satu punca kepada
perbezaan tersebut baik dari segi latar belakang keluarga, akademik, budaya, genetik,
perbezaan agama, dan sebagainya. Setiap manusia tidak terkecuali daripada menjadikan
seksualiti ke arah yang salah. Sering kita lihat di dada-dada akhbar, isu seorang ustaz
meliwat anak muridnya, pelajar pintar menjual dirinya kerana wang, dan seorang bapa
menjadikan anak perempuannya tempat untuk melampiaskan nafsu serakahnya. Perkara ini
sering menjadi persoalan dan tanda tanya dalam diri kita. Tidakkah mereka fikir akan
kesalahan yang mereka lakukan? Tidakkah mereka berasa berdosa? Sesungguhnya, telah
tertulis di dalam Al-Quran bahawa syaitan itu akan sentiasa berusaha untuk menyesatkan
anak dan cucu cicit Nabi Adam dan membawa kita ke arah kemungkaran. Oleh itu, sebagai
umat Islam kita mestilah sentiasa berdoa agar dijauhkan daripada segala hasutannya.
Selain itu, ibu bapa sememangnya memberi pengaruh utama kepada anak-anak
kerana mereka merupakan insan pertama yang anak-anak jumpa sejak lahir. Bak kata
pepatah, anak-anak ibarat kain putih, ibu bapa yang mencorakkannya. Kasih sayang ibu
bapa yang dicurahkan kepada anak-anak yang berlandaskan ajaran yang betul, mampu
mendidik psikologi generasi muda terutama dalam kalangan remaja untuk bersikap baik dan
mempunyai moraliti yang tinggi. Ibu bapa terlebih dahulu perlu dididik untuk menerapkan
pemikiran anak-anak mereka bahawa seksualiti bukanlah suatu perkara yang salah untuk
diperkatakan dan dibincangkan kerana banyak perkara baik dan manfaat yang boleh kita
peroleh bersama. Pemikiran negatif masyarakat berkaitan isu seksualiti ini sebenarnya
disebabkan oleh pelbagai masalah sosial remaja kini yang menyalahgunakan nafsu seksual
mereka terutama yang berkaitan dengan masalah rogol, sumbang mahram, khalwat,
pelacuran, lari rumah kerana mengikut pasangan, dan lain-lain.
Aspek ketiga yang akan dibincangkan ialah aspek biologi dalam seksualiti manusia.
Dimensi ini bersifat luas bukan sahaja mengenai hubungan seks semata-mata, malah
berfokus kepada penjagaan diri dan organ reproduktif. Aspek ini berkaitan dengan anatomi
dan fungsi organ reproduktif manusia termasuk cara-cara untuk menjaga kesihatan organ
3

tersebut dan manjadikannya berfungsi secara optimum. Misalnya, organ reproduktif lelaki
dan wanita yang berbeza, memerlukan kaedah rawatan dan penjagaan yang berbeza baik
secara internal mahupun eksternal. Aspek biologi ini mempengaruhi dorongan seksual,
fungsi seksual, dan kepuasan seksual seseorang.
Tambahan pula, hubungan seksual yang dilakukan dengan betul memberi manfaat
bagi kesihatan manusia. Contohnya, menurut buku Manfaat Seks bagi Kesihatan yang
ditulis oleh Ibnu Khalis, seks dapat membantu untuk meningkatkan tindak balas otak,
mengurangkan masalah jantung, mengurangkan stres, mengekalkan awet muda, dan
menghilangkan sakit kepala akibat

daripada rangsangan daripada hormon yang

dirembeskan di dalam badan ketika melakukan hubungan seks tersebut. Seperti yang kita
sedia maklum, hubungan seks yang dilakukan tanpa langkah keselamatan, boleh
menyebabkan berlakunya persenyawaan antara sperma dan ovum yang kelak boleh
mewujudkan janin di dalam rahim wanita. Perkara ini merupakan sesuatu yang normal dan
biasa. Walau bagaimanapun, perkara utama yang ingin saya tekankan di sini ialah
penerimaan wanita tersebut terhadap bayinya. Adakah kelahiran tersebut membawa malu
kepadanya atau kegembiran yang tidak terhingga?
Aspek kerohanian atau etika dalam seksualiti dapat dilihat sekiranya kepuasan
seksual melebihi batas etika individu tersebut. Apabila perkara ini berlaku, konflik akan
timbul dalam diri individu tersebut seperti perasaan bersalah, berdosa, menyesal, dan
sebagainya. Walaupun kebanyakan masyarakat memegang teguh dengan ajaran agama
mereka dengan melakukan hubungan seks selepas berkahwin, namun masih wujud
individu-individu yang melanggar etika tersebut. Kebanyakan individu sedar perbuatan
mereka itu salah, namun akibat beberapa faktor yang menghalang mereka daripada
berkahwin seperti masalah kewangan, halangan keluarga, hubungan kekeluargaan, dan
sebagainya, menyebabkan mereka mengetepikan akal yang waras untuk menidakkan
perbuatan tersebut.
Walau bagaimanapun, sekiranya seseorang itu mempunyai keimanan yang teguh
dan pegangan agama yang kuat, pelbagai gejala sosial dan tingkah laku berisiko dalam
kalangan remaja dapat dielakkan. Setiap perkara yang kita lakukan dalam dunia ini ada
risikonya, sama ada risiko yang membina diri kita ke arah yang lebih baik atau
menghancurkan masa depan kita. Bak kata pepatah, menyesal dahulu pendapatan,
menyesal kemudian tidak berguna. Tamsilnya, apabila seseorang remaja perempuan telah
melahirkan anak luar nikah, maruahnya secara tidak langsung telah tergadai malah
dipandang serong oleh masyarakat. Penyesalan yang dirasakan tidak akan dapat

mengembalikan mahkota remaja tersebut sebagai seorang gadis kerana nasi telah menjadi
bubur.

ASPEK KESELAMATAN YANG DAPAT MEMBANTU REMAJA MENGELAKKAN


DIRI DARIPADA GEJALA SOSIAL DAN TINGKAH LAKU BERISIKO
Institusi kekeluargaan menjadi aspek keselamatan yang paling utama bagi
membantu mengelakkan para remaja daripada terjebak dengan gejala sosial dan tingkah
laku berisiko. Perkara penting yang perlu ibu bapa titik beratkan ialah tentang didikan
agama. Asas agama yang teguh dalam diri remaja dapat memastikan mereka tidak akan
sewenang-wenangnya terjerumus ke dalam kancah kehinaan dan kehancuran. Peranan ibu
bapa sangat penting, terutama sebagai contoh teladan yang baik kepada anak-anak.
Mereka perlu memantau segala aktiviti anak-anak baik di rumah atau di luar rumah terutama
aktiviti anak-anak bersama rakan-rakan mereka kerana individu yang bergelar rakan juga
mempunyai pengaruh yang besar dalam mencorakkan peribadi anak-anak.
Kesibukan bekerja tidak boleh dijadikan alasan sebagai penghalang kepada ibu bapa
untuk mengambil berat tentang hal anak-anak. Mereka perlu tahu berperanan dan
menggunakan masa yang berkualiti dengan anak-anak dengan berkomunikasi dan
mengambil tahu tentang masalah mereka. Dalam era teknologi kini yang semakin canggih,
anak-anak sukar untuk dididik dengan merotan. Langkah yang paling bijak adalah dengan
menjadi kawan kepada anak-anak dengan memahami serta mendalami perasaan mereka.
Hal ini dapat mengelakkan anak-anak terutama para remaja daripada terjebak dengan
gejala sosial.
Guru di sekolah pula bukanlah sekadar pembimbing akademik bagi meningkatkn
prestasi sekolah semata-mata, tetapi harus menjadi rakan kepada remaja kerana guru
merupakan individu kedua yang paling banyak berhubung dengan anak-anak kerana dari
kecil lagi secara kebiasaannya kanak-kanak akan ke sekolah untuk belajar dan menuntut
ilmu sehinggalah mereka berada di sekolah menengah. Guru yang diingati oleh remaja ialah
guru yang boleh dibawa berbincang dan sama-sama menyelesaikan masalahnya. Seolaholah guru tersebut memahami perasaan pelajar tersebut sebagai seorang remaja yang
sangat berkeinginan untuk mencuba sesuatu yang baru.
Sebagai seorang guru, mereka bukan sahaja perlu menunjukkan teladan yang baik
kepada para pelajarnya, tetapi juga bertanggungjawab bagi memastikan pelajar-pelajar
mempunyai tingkah laku yang baik terutama ketika di sekolah melalui peraturan-peraturan
sekolah yang ditetapkan. Suasana dan persekitan sekolah yang baik mendorong mereka
untuk mengamalkan nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, bertanggungjawab,
5

amanah, jujur, dan sebagainya. Pihak sekolah dengan kerjasama ibu bapa dan guru-guru
perlu menggembleng tenaga bagi memastikan para pelajar sedar tentang bahana terlibat
dengan gejala sosial. Pelbagai aktiviti boleh dijalankan di sekolah bagi meningkatkan
kesedaran para pelajar tentang keburukan terlibat dengan gejala sosial seperti pameran
kesedaran, ceramah, penekanan khusus tentang pendidikan seks, dan lain-lain.
Setiap usaha yang dilakukan dalam apa-apa permasalahan tidak akan berjaya jika
masyarakat di tempat tersebut tidak turut sama berganding bahu bagai aur dengan tebing
bagi mengatasi masalah tersebut. Isu seksualiti sering diperkatakan oleh masyarakat tetapi
bukan dari sudut positif. Kepentingan seksualiti untuk melahirkan generasi terbilang tidak
pernah difikirkan langsung oleh masyarakat tetapi lebih banyak kepada sindiran dan ejekan
kepada individu-individu yang menyalahgunakan keinginan seksual mereka. Masyarakat
seharusnya berusaha untuk mendekatkan diri dengan mereka kerana biasanya remaja yang
terlibat dengan gejala sosial kurang mendapat perhatian dan kasih sayang. Sifat manusia
yang mencintai dan ingin dicintai merupakan fitrah yang diciptakan buat manusia.
Pihak kerajaan juga boleh memainkan peranan yang penting dalam menangani
permasalahan remaja. Hal ini kerana pihak kerajaan mempunyai autoriti dalam negara
kerana mempunyai kuasa sumber kewangan dan boleh menggubal undang-undang negara.
Beberapa program untuk remaja perlu dirangka dan dilaksanakan secara berterusan agar
nilai-nilai murni dapat diamalkan oleh golongan remaja. Contohnya, Program Latihan
Khidmat Negara (PLKN) adalah satu program yang baik kepada remaja di Malaysia. Bagi
remaja yang melanggar undang-undang negara, tindakan tegas hendaklah diambil oleh
pihak kerajaan bagi membendung perlakuan negatif tersebut bukan setakat menghantar
mereka ke Sekolah Henry Gurney. Sebaliknya, mereka perlu diberikan nasihat, motivasi,
dan teguran yang berterusan agar lama-kelamaan mereka boleh memikirkan baik buruk
kesalahan yang mereka lakukan.
Sudah terang lagi bersuluh, pihak berkuasa tidak boleh mengharapkan remaja untuk
menjauhi kehidupan bebas dan liar dengan sendiri, tetapi pada masa yang sama turut
menyediakan ruang untuk perkara seperti minum arak, seks bebas, dan penagihan pil
ecstacy. Kelab-kelab malam dan pusat-pusat pelacuran masih banyak terdapat dalam
negara kita. Persekitaran yang tidak sihat ini harus dibanteras, seiring dengan usaha
pembentukan remaja itu sendiri. Gejala remaja yang gemar menonton video lucah misalnya,
tidak boleh dituding semata-mata kepada ibu bapa dan guru. Kita tidak boleh menyalahkan
mereka seratus peratus kerana bahan untuk tontotan lucah dan pornografi masih berlambak
di pasaran tanpa kawalan. Seharusnya, pihak berwajib menutup semua tempat-tempat
perlacuran, perjudian, pub, dan kelab-kelab malam kerana mana-mana agama melarang
6

keras penganutnya untuk melakukan perkara terkutuk tersebut kerana memberi kesan yang
sangat buruk kepada diri, agama, masyarakat, dan negara.
Tidak dapat dinafikan, setiap individu mempunyai tanggungjawab sosial yang perlu
mereka laksanakan untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan gejala sosial dan
tingkah laku berisiko. Walau bagaimanapun, persediaan diri sendiri dari aspek jasmani,
emosi, rohani, dan intelek sangat penting supaya tidak terpengaruh dengan segala hasutan
dan pengaruh luar yang tidak baik. Asas pendidikan agama sangat penting. Oleh itu, setiap
daripada kita mestilah mempersiapkan diri dengan keimanan dan pegangan agama yang
kukuh agar dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang tidak diingini daripada
berlaku sekaligus mampu menarik dan memotivasikan orang lain terutama rakan-rakan
untuk bersikap mulia. Dalam konteks seksualiti, cara yang paling berkesan untuk
mengelakkan kehamilan ialah melalui abstinen iaitu mengatakan tidak kepada aktiviti
seksual.

KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, setiap penyakit, pasti ada penawarnya. Begitu juga dengan
gejala sosial yang berlaku di negara kita. Bagi membendung masalah ini yang merupakan
satu penyakit buat negara kita, setiap individu perlu bertanggungjawab memainkan peranan
yang penting bagi memastikan negara kita mampu melahirkan generasi yang boleh
membangunkan negara ke arah yang lebih baik. Besarlah harapan saya, agar negara kita
Malaysia mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju
yang lain seperti China, Jepun, Amerika Syarikat, dan Rusia. Walau bagaimanapun,
masalah sosial dalam kalangan remaja yang kian merunsingkan pelbagai pihak ini perlu
diselesaikan terlebih dahulu bagi melahirkan generasi berminda kelas pertama. Remaja
merupakan tonggak pimpinan negara pada masa akan datang kerana pemuda harapan
bangsa, pemudi tiang negara. Akhir kata, limpahkan remaja dengan ilmu untuk kesenangan
di kemudian hari.

RUJUKAN

Aris Fazil Ujang, Borhan Yusof & Abd Halim Md Salleh. (2003). Kurikulum Bersepadu
Sekolah Menengah: Pendidikan jasmani dan pendidikan kesihatan tingkatan 5. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ibnu Khalis. (2012). Manfaat seks bagi kesihatan. Ar-Risalah Product Sdn Bhd: Selangor.
Lembaga Penduduk Pembangunan Keluarga Negara. Modul PEKERTI@IPGM.
Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.
Sari Sudarmiati. (2012). Konsep seksualiti. Fakulti Kedoktoran Universiti Diponegoro.
Nik Rubiah Nik Abd Rashid & Lim, Siow Yen. (2012). Memahami seksualiti. Dicapai pada 26
September 2015, daripada http://www.myhealth.gov.my/index.php/remaja/kesihatanseksual/seksualiti-anda#
Noresah Baharom et al. (Ed.). (2005). Kamus Dewan (edisi ke-4). Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Anda mungkin juga menyukai