Anda di halaman 1dari 3

Larangan Khianat dan Menyia-nyiakan Amanah

Assalamualaikum Para pembaca yang budiman. Tujuan saya menulis tajuk ini bukanlah untuk memburukkan
sesiapa pun, namun ingin berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman saya kepada pembaca-pembaca sekalian. Tajuk
ini amat bagus untuk kita renungi bersama-sama. Moga kita tidak tergolong dalam kalangan orang-orang yang suka
mengkhianati sesama manusia. InsyAllah.
Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan
keikhlasan dengan melakukan segala suruhannya, dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita
menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.
Muslimin yang berbahagia,
Setiap orang yang hidup di dunia ini mempunyai tanggungjawab masing-masing yang menjadikan amanah untuk
dilaksanakan, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadith baginda:Maksudnya:
Dari Abdullah bin Umar Radiallahu-Anhuma berkata : Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
bersabda : Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu sekalian akan diminta bertanggungjawab tentang apa yang
kamu pimpin. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
Apa itu Amanah?
Amanah adalah merupakan segala hak yang dipertanggungjawabkan ke atas seseorang, baik hak itu terhadap Allah
Subhanahu Wataala seperti mentaati perintahnya dan menjauhi larangannya, mengerjakan ibadat, berbuat amal
salih dan sebagainya. Ataupun hak terhadap sesama manusia seperti menepati janji, berlaku jujur, berbaik sangka,
menunaikan tanggungjawab sebagai seorang suami atau isteri dan sebagainya. Agama Islam telah memerintahkan
umatnya supaya melaksanakan amanah itu dengan jujur dan sempurna.
Oleh yang demikian adalah menjadi kewajipan ke atas kita melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan
kerana jika sekiranya kita ingkar dan tidak menunaikannya, maka ini bererti kita telah melakukan khianat dan
khianat itu merupakan salah satu daripada tanda orang munafik
Jadi jelaslah disini ya para pembaca, amanah ini adalah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh setiap
manusia tidak kira lah orang itu seorang kawan, seorang anak, seorang suami, seorang isteri dan sebagainya.
Namun begitu ya para pembaca, masih ada lagi manusia yang pecah amanah sehingga menyebabkan orang lain
hidup dalam kesengsaraan akibat perbuatan tersebut. Tidakkah kita berfikir sejenak dua akan kesalahan yang telah
kita lakukan??? MasyAllah, Tuhan Maha Kuasa. Setiap ujian yang diturunkan kepada hambaNya itu memberi banyak
hikmah dan pengajaran buat kita semua.
Saya berkata demikian kerana diri saya sendiri pernah di khianati oleh kawan baik saya sendiri. Bertapa marahnya
saya ketika itu taktala syaitan menguasai kemarahan. Berminggu-minggu saya terpaksa menghadapi dugaan
akibat dikhianati. Bayangkan kehidupan saya seharian terganggu, rumah saya didatangi oleh orang yang yang
pernah saya kenali. Saya tidak tahu dari mana "orang itu" ambil alamat rumah saya dan berjaya mengesan rumah
baru saya di ibu kota. Dari minggu itu saya hidup dalam ketakutan, saya risau akan suami saya yang tidak bersalah.
Inilah akibat daripada khianat, orang yang berdendam dengan kita bila-bila masa sahaja boleh merosakkan
kehidupan kita. Akibat hidup dalam ketakutan saya kehilangan nyawa yang baru ingin mengenali dunia baru.
Namun Alhamdulillah umur saya masih panjang lagi. Tapi saya sedih dengan kehilangan insan baru untuk keluarga
kami. Hanya Tuhan yang tahu segala-galanya akibat "stress" dengan kejadian yang menimpa.
Para pembaca sekalian,
Khianat ialah seseorang yang telah diberi kepercayaan kepadanya oleh orang lain tetapi ia tidak mematuhi dan
menunaikan amanah yang dipercayakan kepadanya. Sebagaimana contoh, seorang suami telah diamanahkan oleh
agama supaya memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya tetapi tidak menunaikannya bahkan
mengabaikannya, maka dalam hal ini ia telah melakukan khianat.
Jika diberi amanah memilih pekerja ia akan memilih dari kalangan ahli keluarganya walaupun ada orang yang lebih
layak memenuhi syarat-syarat yang ditentukan untuk menjawat jawatan tersebut, begitu juga halnya dengan
orang yang mungkir janji, berdusta, menipu, mendedahkan rahsia orang lain, maka semua contoh yang disebutkan
tadi dinamakan sebagai perbuatan khianat.
Terdapat banyak hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang menyebut tentang perbuatan khianat,
antaranya ialah sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:Maksudnya:
Dari Ibnu Abbas Radiallahu-Anhuma ia berkata, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Barangsiapa
mengambil seseorang untuk bekerja di sebuah jabatan kerana ada hubungan kekeluargaan, padahal ada orang lain
yang lebih disukai oleh Allah daripadanya, maka sesungguhnya ia telah berlaku khianat kepada Allah dan Rasulnya
dan kepada orang mukmin. (Riwayat Al-Imam Al-Hakim)

Khianat adalah merupakan perbuatan buruk dan keji dan termasuk dalam golongan dosa besar, ianya bukan sahaja
boleh menimbulkan permusuhan, tetapi juga boleh merosakkan agama. Perbuatan khianat itu adalah perbuatan
orang-orang munafik. Sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :Maksudnya:
Dari Abi Hurairah Radiallahu-Anhu : Dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tanda orang munafik itu ada
tiga perkara iaitu jika ia berbicara sentiasa berdusta, dan apabila berjanji sentiasa mungkir janji, dan apabila diberi
kepercayaan ia mengkhianatinya. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
Para pembaca sekalian,
Ketahuilah bahawa seseorang yang benar-benar mengaku dirinya sebagai orang Islam tidak akan sanggup berlaku
khianat terhadap agamanya seperti menyebarkan ajaran-ajaran yang bertentangan dengan ajaran Islam dan tidak
akan menyelewengkan akidah dirinya dan saudara-saudara Islamnya yang lain. Dan mereka juga tidak akan
mengkhianati negaranya dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam
seperti melakukan rasuah, mengedar wang palsu, menyalahgunakan kuasa dan membocorkan rahsia yang
diamanahkan kepadanya. Kerana perbuatan-perbuatan tersebut adalah amat merbahaya dan boleh mengancam
keselamatan sesebuah negara, dan boleh menimbulkan kekacauan, dan huru-hara, meruntuhkan kestabilan
ekonomi dan melumpuhkan pembangunan negara dan seterusnya menghancurkan negara.
Perlu juga diingat, seorang pemimpin atau ketua yang telah diberi kepercayaan untuk memimpin, baik negeri,
jabatan atau sebarang organisasi dan kumpulan, hendaklah melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan
dengan sempurna dan berpegang dengan firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah An-Nisaa, ayat 58:Tafsirnya:
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya yang berhak
menerimanya dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum
dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan suruhannya itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu.
Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat.
Yang demikian itu adalah menjadi kewajipan seorang pemimpin. Manakala orang yang dipimpin pula, hendaklah
taat dan patuh terhadap arahan dan peraturan selagi tidak bercanggah dengan lunas-lunas Islam kerana dengan
berbuat demikian sahajalah boleh menghasilkan kejayaan dan keuntungan, baik kepada individu, kumpulan atau
kepada jabatan dan seterusnya negara.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Khianat atau pecah amanah adalah suatu perbuatan yang amat merbahaya dan berdosa yang mesti dijauhi.
Ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara, semua yang kita miliki hanyalah pinjaman dan tidak
kekal, dan ianya merupakan ujian dari Allah Subhanahu Wataala. Oleh itu tunaikanlah amanah-amanah yang telah
dipertanggungjawabkan dengan sebaik-baiknya, mudah-mudahan kita akan selamat di dunia dan di akhirat.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Anfaal, ayat 27:- Tafsirnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati amanah Allah dan Rasulnya, dan janganlah kamu
mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui salahnya.
Diharap agar semua pembaca mengambil iktibar dan pengajaran melalui perkongsian ilmu yang saya kemukakan
ini. Bersama-samalah kita menjadi orang yang amanah dan hindari melakukan kemungkaran kepada Tuhan yang
Satu. Amin
Kisah Tentang Seseorang dan Amanah!
Diriwayatkan bahawa seorang lelaki yang telah menuju ke Baitullah al-Haram ( Kaabah ) untuk menunaikan haji.
Setelah tiba di Kota Makkah, dia lalu menyimpan wang sebanyak 1000 dinar kepada seorang yang jujur dan
berakhlak baik. Kemudian, orang kaya itu menuju ke Arafah untuk berwuquf di sana.
Setelah selesai wuquf dan amalan hajinya yang lain, dia kembali ke Makkah dan mendatangi rumah yang dititipkan
wangnya itu, maka didapatinya orang itu sudah meninggal dunia. Orang kaya tersebut lalu bertanya hal itu kepada
keluarganya tentang wang yang disimpan pada orang itu dan keluarganya menjawab, Kami tidak tahu pun tentang
simpanan itu.
Akhirnya orang kaya itu bertanya kepada seorang ulama di Makkah dengan memberiahu tentang keadaannya dan
wangnya yang disimpan kepada orang yang jujur itu. Ulama itu menjawab, Nanti pada tengah malam, pergilah
engkau ke perigi ZamZam, dan lihat ke dalamnya. Kemudian panggillah nama si fulan itu. Jika dia termasuk dalam
penghuni syurga, maka dia akan menjawab panggilanmu.
Maka orang kaya itu pergilah menuju ke perigi Zamzam pada waktu malam, lalu memanggil nama orang itu. Sekali
dan dua kali, dan seterusnya. Namun tidak ada yang menjawab panggilan itu.
Pada keesokan harinya, orang kaya itu menemui sekali lagi ulama Makkah serta menceritakan apa yang telah
berlaku pada malam tadi. Mendengar khabar itu, ulama itu terus mengucapkan kalimah istirja ( Inna lillahi wa inna
ilaihi rojiun ). Aku khuatir bahawa temanmu itu, jangan-jangan dia tidak termasuk penghuni syurga. Sekarang
cuba kamu pergi ke Yaman, di sana ada satu pergi Barhut namanya, yang pernah dikatakan orang bahawa perigi itu
adalah mulut neraka Jahannam. Lalu datanglah pada malam hari. Serta panggillah nama si Fulan itu. Jika dia

termasu,k penghuni neraka, maka dia akan menjawab panggilanmu itu. Dan tanyakanlah kepadanya tentang di
mana wangmu itu?
Maka pergilah orang kaya itu menuju ke Yaman. Lalu bertanya tentang tempat beradanya perigi Barhut itu.
Akhirnya dia ditunjukkan orang tempat itu. Pada malam harinya, dia datang ke perigi Barhut itu, lalu memanggil
nama orang yang pernah menerima barang simpanannya itu. Maka dengan serta merta orang itu menjawab. Orang
kaya itu bertanya,
Dimanakah engkau simpankan wang yang pernah aku titipkan itu?
Orang itu menjawab, Aku telah menyimpannya di suatu tempat di rumahku. Dan aku tidak percaya kepada sesiapa
pun. Sekalipun anakku sendiri. Sekarang pergilah engkau ke tempat ( ini dan itu ), dan galilah di situ. nescaya
engkau akan menemui wang dinarmu itu.
Kemudian orang kaya itu bertanya, Apakah yang menyebabkan engkau berada di sini, sedangkan engkau orang
baik, dan kami semua bersangka baik terhadapmu?
Maka orang itu menjawab, Aku mempunyai seorang saudara perempuan yang miskin, dan aku tidak
mempedulikannya dan bertanyakan hal keadaannya serta tidak merasa kasihan kepadanya. Maka, kerana itulah
ALLAh telah menyeksaku di sini dan menempatkan ku di neraka jahannam.
TAMAT.
Setiap hari. Setiap saat. Kita masing-masing memikul amanah. Moga ALLAh mengampuni diri kita kerana
kelemahan yang ada pada diri.
Teringat teka teki Imam al-Ghazali, Apa yang paling berat di dunia ini? Maka jawapannya,
Memikul Amanah!
Astaghfirullahaladzim!
Semoga ALLAh merahmati

Anda mungkin juga menyukai