Anda di halaman 1dari 5

SUATU PERBANDINGAN MAKNA DALAM SIMBOL YANG MEWAKILI IMEJ

KOMUNIKASI TAMPAK

1. Pendahuluan

Simbol dalam komunikasi tampak berfungsi menyampaikan mesej. Sama ada ia secara
langsung dan tidak langsung melalui karya seni atau melalui media massa yang
bermotif tertentu. Berbagai bentuk media massa menggunakan simbol dari peringkat
paling asas hingga kepada konkrit dengan beberapa prasyaratnya. Umpamanya mudah
difahami dan boleh ditafsir bagi mewakili sesuatu imej dalam komunikasi tampak.

Simbol yang mewakili imej komunikasi tampak menjelma dalam kehidupan seharian
dan berkembang subur. Setiap simbol terisi kekuatan mesej dan dalam masa yang
sama, ianya mampu merangsang emosi, daya intelek dan membawa kepuasan dalam
penghayatan tampak. Makna-makna yang penting dalam simbol itu boleh diperincikan
dan memberi kesan kekuatan yang tersendiri selagi ia berkait dan boleh merangsang
sesiapa sahaja yang melihatnya. Keadaan ini sentiasa berlaku dan terjadi dalam
lingkungan persekitaran dan masa.

2. Sejarah Komunikasi Manusia

Sejak zaman prasejarah, komunikasi manusia bermula dengan imej-imej grafik yang di
lakar pada dinding-dinding batu dan gua. Imej-imej grafik tersebut mewakili simbol
haiwan, manusia, orang yang terdekat dan membawa bukti penceritaan berkaitan
aktiviti seperti memburu dan sebagainya. Kesan penting dari imej-imej grafik ini
diterokai dan menjadi permulaan kepada generasi baru yang mulai sedar akan
kepentingannya. Visi kehidupan manusia yang bertamadun sentiasa memikirkan
bagaimana untuk memudahkan orang ramai berhubung, cepat memahami maksud dan
untuk tujuan apa sesuatu imej itu. Setiap simbol dicipta bagi tujuan berkomunikasi yang
membawa perbezaan tanggapan, persoalannya adakah simbol yang mewakili imej itu
boleh mewakili satu kelompok sahaja atau menjadi milik orang ramai? Persoalan lain
juga difikirkan dalam sejarah komunikasi manusia tentang bagaimana sesuatu simbol
itu dengan mudah diterima sebagai ejen komunikasi.

3. Kajian Penciptaan Simbol Kesejagatan

Simbol yang mewakili imej tertentu dicipta dan dibentuk berasaskan elemen asas yang
terdiri dari garisan dan titik. Elemen-elemen ini menyumbang ke arah menjadi bentuk
dan rupa bentuk dan dapat diaplikasikan pada simbol-simbol rekaan. Kajian yang
banyak dibuat menunjukkan makna itu lahir dari simbol-simbol yang dipetik dari subjek
di sekeliling. Ia diterjemahkan mengikut persepsi yang bergantung kepada faktor umur,
gender dan budaya. Walaubagaimanapun terdapat beberapa kajian yang membuktikan
simbol sangat berguna dalam menampilkan logo perniagaan. Logo yang menjadi imej
tampak membantu menonjolkan identiti syarikat, badan korporat atau sesuatu institusi.
Fungsi yang sesuai itu sangat sukar dicipta. Kesukarannya kerana setiap citarasa yang
berbeza akan menilai dari sudut yang berbeza. Keadaan sebegini jika didapati sesuai
dan tepat dengan kehendak sasaran boleh dijadikan contoh dan ia meninggalkan kesan
kekal lama dalam ingatan orang ramai. Segala yang menarik di sebalik imej-imej itu
terpilih mewakili identiti dan digunapakai oleh pihak lain. Sama ada imej yang dijadikan
simbol itu telah diubahsuai atau diolah menjadi baharu dianggap menarik apabila
diterima menjadi kepunyaan identiti sejagat.

Kajian penciptaan simbol mendapati dalam dunia tanpa sempadan, persoalan tentang
simbol yang mewakili imej itu boleh dikongsi menjadi milik orang ramai. Ianya telah
diterima menjadi hak bersama. Perbezaan budaya dan jurang yang jauh terasing sudah
didekatkan. Asimilasi budaya serta penerimaan yang serasi dan mudah telah
berkembang melalui budaya pemakanan, fesyen, filem, muzik dan pengiklanan.

Kajian demi kajian yang dilakukan untuk mencari makna di sebalik simbol dan dapat
mewakili imej komunikasi tampak telah dilakukan secara terperinci. Beberapa faktor
diambil kira antaranya persepsi, budaya, fungsi, mewakili imej yang establish dan aspek
psikologi. Dalam kajian yang pernah dilakukan, setiap perbezaan persepsi itu dijadikan
item soalan yang bertujuan untuk melihat kenapa dan mengapa sesuatu simbol dan
imej visual boleh mewakili banyak pihak dan boleh mempengaruhi banyak pihak.

Terdapat kajian yang menyenaraikan kembali setiap interpritasi untuk mencari makna
ke atas 12 jenis simbol grafik berbentuk abstrak dari makna yang berbeza-beza. Hasil
yang dikumpulkan disusun mengikut beberapa kategori bagi mewakili setiap makna.
Contoh dari perkataan ‘cinta’ dan ‘rangsangan cinta’ telah dikumpul dalam satu kategori
makna. Hasil yang diperolehi menunjukkan begitu banyak sekali interpritasi yang
diberikan tentang makna cinta. Indikator menunjukkan aras variasi yang tinggi mewakili
interpritasi makna bagi simbol ‘cinta’ mengikut tafsiran yang berbeza dari segi budaya.

Manakala dalam kajian yang menggunakan kaedah pengiklanan untuk mengkaji


hubungan antara persepsi terhadap mesej yang disampaikan. Keputusan menunjukkan
lebih separuh responden memperlihatkan persepsi yang berbeza. Makna-makna yang
dilihat di sebalik simbol-simbol abstrak begitu sukar untuk ditafsir.

Perbezaan yang sangat ketara dalam mentafsir simbol-simbol abstrak menunjukkan


satu kesimpulan bahawa perbezaan budaya atau silang budaya memberi kesan tafsiran
bagi menunjukkan adanya jurang yang terlalu jauh dalam persepsi mencari makna di
sebalik simbol. Jurang ini timbul disebabkan ada perkaitan dengan perbezaan budaya
dan setiap budaya mempunyai kefahaman yang berbagai. Ada simbol yang membawa
tafsiran negatif jika disalah letak, umpamanya berkaitan sensitiviti agama dan budaya.
Pada pandangan sesetengah pihak, beberapa elemen asas dalam reka bentuk atau
design seperti jenis-jenis garisan lurus, lengkong, atau antara simetri dan tidak simetri
boleh ditafsir serupa mengikut budaya tertentu dan dapat diterima bersama. Dengan
lain perkataan, manusia boleh berkongsi makna bagi sesuatu simbol garisan dan
memberi respon persepsi dengan makna yang serupa ke atas sesuatu simbol yang
berkait dengan garisan. Persamaan makna ini berkait rapat sekiranya elemen yang
digunakan itu adalah bentuk-bentuk komunikasi visual yang mempunyai asas budaya
kesamaan dan diterima sejagat.

Walaupun simbol-simbol itu telah diabstrakkan, ramai yang bersependapat menyatakan


tidak semua simbol yang berbeza itu menjadi sukar untuk ditafsir. Sebenarnya ada
simbol yang masih boleh difahami dan mudah ditafsir kerana elemen asal itu sudah
diterima sejagat.

Kontrakdiksi dan perbezaan ini, boleh diatasi sekiranya elemen simbol yang
digunapakai itu boleh diterima ramai apabila setiap bentuk membawa makna yang
sama. Pendapat ini boleh diterima apabila penggunaan elemen asas dalam design
yang digambarkan selalu wujud menjadi imej dalam lain-lain budaya.

Dalam budaya Amerika, sesuatu yang simbolik itu tidak semudah untuk difahami oleh
budaya di tempat lain. Dalam hal ini, simbol-simbol budaya yang terpilih sebagai imej
kolektif dan diterima oleh sesuatu masyarakat pada hakikatnya telah merintasi suatu
proses asimilasi yang panjang dalam tranformasi budaya. Proses tranformasi dan
asimilasi ini juga ada berkaitan dengan sesuatu tamadun. Sebagai bukti, suatu tamadun
yang lebih awal akan berkembang dan mempengaruhi tamadun baru.

Dalam dunia global keadaan yang dikatakan tamadun awal mempengaruhi tamadun
baru sudah tidak timbul lagi. Oleh itu perlu dicari dan dikaji setiap simbol representasi
yang hadir dan dapat diterima oleh sesuatu budaya, diperbanyak dan
diperkembangkan. Usaha ini adalah sebahagian peranan yang dipegang oleh artis
komunikasi tampak dan golongan yang berdamping dengan imej-imej visual yang
mempercepat proses tranformasi diterima ramai dalam sesuatu budaya.

Makna yang terdapat dalam simbol dijelmakan secara mudah apabila proses
tranformasi dan representasi itu berkembang dalam budaya makanan, budaya
berfesyen, hubungan sosial melalui perkahwinan, keagamaan, filem dan pengiklanan
yang tersebar sebagai suatu simbol ideologi. Sebaik sahaja ia diterima, ianya menjadi
suatu kepercayaan dan konvensi sejagat. Ini memudahkan lain-lain imej yang dikatakan
abstrak dan berkonsep itu meresap dan berfungsi dalam kehidupan.

Melalui simbol yang mengungkap idea-idea dan konsep dipupuk dan disalurkan melalui
media massa telah cepat berkembang. Makna yang dizahirkan menerusi simbol terus
dikembangkan melalui pemahaman secara konotasi (tersurat) dan denotasi (tersirat)
bergantung pada konteks budaya, semantik bahasa dan boleh jadi terbatas apabila ada
perbezaan dalam persepsi budaya.

Makna pada objek itu dijelaskan dalam interpritasi yang berbeza kerana perbezaan
dalam pemikiran. Sebagai contoh, warna kuning menjadi tanda dan simbol kepada
Maharaja China, tetapi kepada masyarakat Eropah, kuning itu bermaksud suatu
penipuan, tipu daya, helah dan perasaan takut yang menghalang dari mengemukakan
pendapat.

Perbandingan makna dalam simbol adalah persepsi terhadap sesuatu imej berulang
dalam situasi yang berbeza. Berbagai pendapat telah dirujuk antara yang menarik ialah
terdapat tiga andaian yang boleh diambil sebagai perbandingan makna dalam simbol.
Pertama, perbezaan umum tentang simbol-simbol yang merangkumi makna serupa dan
mesej yang berbagai. Kedua, simbol khusus yang boleh membezakan makna sesuatu
mesej dan ketiganya sebagai audiens, kita perlu belajar memahami makna di sebalik
simbol.

4. Kesimpulan

Peranan simbol begitu penting dalam aturan kehidupan manusia. Ianya menjadi
penggerak kepada realiti. Penegasan yang boleh dinyatakan ialah simbolisme adalah
dekat dengan kehidupan semulajadi manusia. Simbol diguna sebagai penanda. Ia
menjadi saluran komunikasi yang menjangkau batasan sempadan.

Dalam kegiatan seharian, peristiwa dan aturan hidup dizahirkan melalui simbol.
Sebagai tanda komunikasi, simbol membawa penanda aspirasi, menjadi penyampai
maklumat. Juga menjadi sistem kepercayaan yang melampaui sempadan dengan
maknanya boleh dikongsi menjadi suatu idea. Simbol dipercayai menjadi suatu sistem
yang bermain di fikiran manusia, menjadi pandu arah untuk menjelaskan sesuatu
konsep. Perbandingan makna dalam simbol mendekatkan fungsinya antara individu,
budaya, ideologi, sistem kepercayaan dan paling bahaya simbol boleh mencetuskan
prasangka fanatik yang sukar dibendung.
Apabila nasi sudah menjadi bubur, orang ramai tidak akan menyalahkan simbol tetapi
menunding jari kepada pereka simbol. Ketika itu, pereka, penggubah, pencipta simbol
akan mencari jalan melepaskan diri dengan alasan seni tampak itu suatu kebebasan
sejagat.

Rujukan:

Philip B.Meggs, Alston W. Purvis. Meggs’ History of Graphic Design. New Jersey:
John Wiley & Sons, Inc., 2006

Mitchell Beazley. Understanding Art. The Mitchell Beazley Library of Art, 1988

Melvin Raders & Bertram Jessup. Art and Human Values. New Jersey: Prentice-Hall,
Inc., Englewood Cliffs, 1976

Anda mungkin juga menyukai