Anda di halaman 1dari 2

Ibu Bapa yang Bekerjaya

Keluarga adalah tulang belakang bagi anak-anak muda hari ini. Mereka memainkan
peranan penting dalam membentuk watak serta sahsiah anak-anak muda. Seandainya
terdapat masalah yang menyebabkan porak-peranda keluarga itu, kehidupan anak
muda akan binasa. Sudah menjadi kebiasaan masyarakat kini apabila suami isteri
bekerja. Terdapat antara mereka yang membuat perjanjian dengan bakal pasangan
sebelum berkahwin untuk membenarkan mereka bekerja, ada juga yang berhenti
bekerja semata-mata untuk menjaga keluarga setelah berkahwin. Fenomena ini telah
menjadi satu kebiasaan. Situasi yang menunjukkan isteri bekerja suami pula menjaga
keluarga tidak kurang pula. Bekerja memang menjadi suatu keperluan untuk
kelengkapan hidup.
Di dalam zaman yang penuh panca roba ini, remaja sering kali dipengaruhi dengan
pelbagai daya tarikan di sekelilingnya. Fenomena ibu bapa yang bekerja akan memberi
kesan terhadap perkembangan anak-anak. Sebagai contoh, apabila ibu terus bekerja
setelah kehabisan cuti, sedangkan anak yang ditinggalkan dibiarkan dalam jagaan
pembantu rumah atau dihantar ke rumah pengasuh. Keadaan yang lebih menyedihkan
iaitu setelah seseorang ibu bekerja, mereka langsung tidak mempunyai masa untuk
anak mereka. Memang tidak dinafikan bahawa ia merupakan keperluan kepada wanita
kini bekerja untuk membantu keluarga, tetapi janganlah sampai anak-anak terabai,
dibiarkan membesar tanpa belaian kasih sayang daripada ibu bapa sendiri. Pada
hakikatnya, naluri kanak-kanak sentiasa mahu akan kasih sayang kedua-dua ibu bapa
mereka.
Pada zaman yang moden ini, semua orang sibuk mengejar kerjaya masing-masing. Ibu
bapa seringkali sibuk dengan tugas dan pulang rumah lewat malam sehingga tidak
berpeluang meluangkan masa untuk anak-anak mereka. Insiden ini akan membawa
kesan buruk terhadap kehidupan anak mereka kerana ibu bapa langsung tidak
mengambil berat terhadap apa-apa yang berlaku dalam kehidupan mereka. Ibu bapa
tidak mengenali rakan anak mereka yang sering bergaul, dan kegiatan luar yang
dilakukan oleh anak mereka. Anak-anak juga akan kekurangan kasih sayang serta
perhatian. Jadi, mereka akan cuba bergaul dengan anak-anak lain yang senasib seperti
mereka. Lantas mereka melakukan pelbagai cara untuk mencari kepuasan dan menarik
perhatian ibu bapa mereka.
Masyarakat yang pernah bertanya, mengapa wujudnya istilah jiwa kosong dalam diri
anak? Adakah ibu bapa terlalu menumpukan perhatian mengejar kebendaan sehingga
mengabaikan anak? Ada pihak menyalahkan bapa yang terlalu tegas atau garang
sehingga anak tiada masa menikmati zaman kanak-kanak. Bagi ibu bapa bekerja,
mereka hanya mempunyai lima hingga 10 minit berkomunikasi dengan anak. Bakinya,
apabila ibu bapa pulang ke rumah, anak masuk ke bilik masing-masing. Anak pula
terperap di bilik dan tidak berlaku proses komunikasi antara ibu bapa dengan anak.
Situasi ini menyebabkan hubungan antara anak dengan ibu bapa semakin renggang.
Apabila kemesraan tiada wujug dalam kekeluargaan, anak remaja ini akan mencari
rakan sebaya di luar sehingga mengundang pelbagai masalah lain. Perunding motivasi,
Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, berkata apabila ibu bapa terlalu sibuk dengan
kerjaya, anak akan mencari jalan keluar mengisi kesepian bertemu rakan atau mencari
hiburan lain menghilangkan kebosanan.

Salah satu faktor yang menyebabkan terjadinya dekadensi moral pada anak-anak dan
terbentuknya kepribadian yang buruk pada diri anak mereka adalah kurangnya
perhatian daripada keduadua orang tua yang sibuk bekerja. Akibat kesibukan mereka
tidak sempat untuk mengarahkan dan mendidik anak-anaknya tentang didikan agama.
Sebagai contoh, apabila seorang ayah tidak lagi peduli terhadap tanggungjawabnya
untuk mengarahkan dan mendidik serta mengawasi anak-anaknya, si ibu pula kurang
menunaikan kewajibannya dalam mendidik si anak, maka tidak diragukan lagi si anak
akan tumbuh seperti anak yatim yang tidak memiliki orang tua, ia akan hidup bagai
sampah masyarakat, bahkan suatu saat akan menjadi penyebab terjadinya kerosakan
dan kejahatan. Jadi, penghayatan didikan agama terhadap anak-anak harus diterapkan
dari mereka kecil lagi. Pepatah Melayu menyatakan melentur bulu biarlah daripada
rebungnya. Oleh itu, pendidikan agama terhadap anak-anak tidak harus diabaikan oleh
ibu bapa yang sibuk bekerja.
Namun, tidak salah jika kedua-dua ibu bapa bekerja, tetapi perhatian terhadap anakanak tidak harus diabaikan semata-mata kerana mengejar harta duniawi. Dalam hal ini,
ibu bapa perlu menitikberatkan kualiti masa bersama dengan anak-anak mereka.
Perhatian yang diberikan terhadap anak-anak menyebabkan mereka kurang mencari
hiburan di luar apabila mereka berasa gembira bersama dengan keluraga mereka
sendiri. Ibu bapa juga perlu membantu anak-anak untuk mereka memahami matlamat
penciptaan mereka di atas muka bumi ini supaya menjadi insan yang berjasa dan
berbakti
kepada
bangsa,
nusa
dan
negara.
Jadi, walaupun ibu bapa bekerja, mereka harus menunjukan contoh yang terbaik
kepada anak-anak. Sebagai contoh, mereka tidak meninggalkan sembahyang walaupun
bekerja, tidak membawa kesibukan bekerja di dalam rumah, role model yang baik
menjadi contoh tauladan. Anak-anak pasti menjadikan ibu bapa mereka sebagai idola
mereka.
Kesimpulannya, perancangan keluarga harus dibuat dalam keadaan kesibukan yang
tiada penghujungnya. Ibu bapa yang bekerjaya itu juga adalah satu ibadah. Anak-anak
juga adalah satu tanggungjawab yang tidak seharusnya diabaikan. Jadilah seorang ibu
bapa yang bertanggungjawab untuk melahirkan anak-anak yang membanggakan kita
semua kelah. Persis kata mutiara, anak-anak bagai kain putih yang dicorakkan oleh ibu
bapa masing-masing. Ibu bapa yang bekerjaya perlu lebih bijak membahagikan masa
yang terhad supaya mencapai keseimbangan dari segi kerjaya dan keluarga.