Anda di halaman 1dari 17

Falsafah Pendidikan

Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah


memperkembangankan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu
untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani,
emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada
Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu,
bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi
sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. "

PENGENALAN
Dewasa ini, sistem pendidikan di Malaysia berkembang dengan begitu pesat seiring
perkembangan global seantero dunia dalam kalangan negara maju. Oleh itu, kerajaan
menjadikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai panduan utama dalam
memajukan Sistem Pendidikan Malaysia.
Untuk menetukan haluan, asas dan inprisasi kepada usaha dan rancangan dalam
memajukan bidang pendidikan maka Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah digubal.
Salah satu perkara yang ditekankan oleh kerajaan dalam membangunkan pendidikan
ialah Pembangunan Modal Insan ini adalah kerana kerajaan memerlukan kepakaran
hasil daripada sistem pendidikan untuk membawa negara ke arah negara maju
menjelang tahun 2020. Bagi menjana pembangunan modal insan yang seimbang, aspek
jasmani, emosi, rohani dan interlek sangat diberikan penekanan seperti mana yang
terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Laporan Razak dan Penyataan Rahman Talib serta Akta Pelajaran 1961 dijadikan asas
bagi pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu;
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan
potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang
seimbang dan hormonis dari segi intelek, rohani, emosi dan berakhlak mulia,
bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi
sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.
(Kamarudin Hj Husin & Kamarul Azhar, 1994).
Falsafah Pendidikan Kebangsaan menjadi pengetahuan umum pada tahun 1988, telah
menjadi teras dan tunjang kepada sistem pendidikan negara kita sejak sekian lama.
Justeru itu, semua perancangan dan aktiviti pendidikan hendaklah merupakan hasil
daripada nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan

Kebangsaan. Sememangnya kemunculan Falsafah Pendidikan Kebangsaan akan


membawa impikasi-implikasi kepada sistem pendidikan. (Mohd Fathi Bin Adnan, Rohana
Bt Hamzah & Amirmudin Bin Udin: Jurnal Implikasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Dalam Pendidikan Teknik Dan Vokasional Di Malaysia).
Menurut pengkaji, implikasi yang dapat dilihat daripada kemunculan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan adalah implikasi terhadap kurikulum, implikasi terhadap guru dan implikasi
terhadap institusi. Implikasi terhadap kurikulum adalah seperti perubahan pendidikan
sekolah adalah selaras dengan cita-cita dengan tujuan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
iaitu perubahan sukatan pelajaran, penyerapan nilai-nilai murni dalam semua mata
pelajaran, orientasi pendidikan ke arah umum dan alam pekerjaan dan latihan yang
sesuai bagi melahir pelajar berkemahiran dalam bidang masing-masing. Implikasi
terhadap guru adalah seperti menjadikan perubahan strategi dan teknik pengajaran yang
bersesuaian bagi melahirkan insan berilmu, berketerampilan dan berakhlak mulia. Guru
yang berjaya memahami kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan akan dapat
memartabatkan pendidikan sekolah masing-masing ke arah lebih tinggi dan berdaya
saing.
Implikasi terhadap Institusi pula adalah perubahan organisasi sekolah ke arah
mewujudkan situasi yang sesuai untuk melahirkan pelajar-pelajar mengikut tujuan dan
cita-cita Falsafah Pendidikan Kebangsaan seperti perubahan dari segi kemudahankemudahan bagi mengembang potensi pelajar secara menyeluruh dan aktiviti-aktiviti
sekolah yang lebih memupuk nilai-nilai murni dalam jiwa pelajar.
Seiring dengan kajian seperti ini para guru, pelajar dan ibu bapa harus memahami hasrat
kerajaan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Ini akan membawa kepada ke arah
pencapaian matlamat kebangsaan bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi
jasmani, emosi dan intelek pelajar. Usaha ini juga perlu seiring dengan hasrat kerajaan
untuk mengembangkan potensi individu secara menyeluruh bagi tujuan kemajuan
negara pada masa akan datang.

MATLAMAT PENDIDIKAN/MISI KPM


Matlamat pendidikan di Malaysia adalah sejajar dengan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Matlamat pendidikan di Malaysia dapat ditinjau dari beberapa aspek iaitu
individu, sosial, ekonomi, politik, perpaduan rakyat, pengurangan jurang perbezaan,
penekanan pendidikan sains dan matematik dan pemeliharaan cara hidup demokrasi
(Ee Ah Meng,1990).
Dari segi individu, pendidikan bertujuan mengalakkan perkembangan individu yang

seimbang melalui perkembangan mental, emosi, jasmani, moral dan estetik. Hasil
daripada sistem pendidikan negara seharusnya melahirkan insan yang stabil dari segi
emosinya, berakhlak tinggi, sihat dari segi jasmani, cekap dalam menjalankan tugas
serta mempunyai nilai estetik untuk menikmati keindahan alam semula jadi.
Dari segi sosial pula, individu yang dididik akan memahami warisan ekologi dan budaya,
nilai-nilai serta amalan-amalan sosial dan pelbagai desakan dan cabaran daripada
masyarakat. Dengan adanya kefahaman ini, individu dapat memenuhi kewajipannya
serta tanggungjawab terhadap negara sebagai seorang warganegara. Jika dilihat dari
segi ekonomi, matlamat pendidikan negara bertujuan melahirkan individu yang mahir
serta cekap untuk membolehkannya menjadi seorang pekerja yang produktif. Dengan
adanya pengetahuan yang mendalam dan kemahiran yang tinggi, individu akan dapat
menjadi perancang, pereka, pengeluar dan pengguna yang rasional dan cekap. Dalam
konteks ini, individu dapat memberikan sumbangan terhadap kemajuan serta
perkembangan negara.
Politik merupakan unsur yang begitu besar pengaruhnya terhadap halatuju negara.
Dengan sistem pendidikan yang ada, individu penerapan mengenai pemahaman dan
penerimaan prinsip dan cita-cita unggul demokrasi berpelembagaan. Penerapan nilainilai taat setia kepada negara, cintakan negara serta menyedari hak dan tanggungjawab
sebagai warganegara dalam sebuah negara demokratik. Kesedaran tentang kewajipan
dan hak terhadap negara perlu kerana rakyatlah yang berperanan menentukan
kekuasaan dan masa depan politik negara.
Unsur perpaduan merupakan tunjang kepada kesejahteraan negara. Bagi memupuk
unsur perpaduan dalam kalangan rakyat, sukatan pelajaran yang sama haruslah
digunakan di sekolah-sekolah. Bahasa pengantar yang sama, iaitu bahasa Malaysia
digunakan di semua sekolah kebangsaan untuk membolehkan semua rakyat berhubung
dengan mudah di antara satu sama lain. Sistem pendidikan perguruan yang lebih teratur
serta bercita-cita kebangsaan disediakan untuk semua guru.
Selain itu, matlamat pendidikan adalah untuk merapatkan jurang perbezaan dalam
pendidikan pelajar-pelajar. Dalam kajian yang telah dilakukan oleh penyelidik
menunjukkan bahawa prestasi murid adalah dipengaruhi oleh kemudahan-kemudahan
yang sedia ada. Jurang perbezaan dalam pendidikan wujud terutamanya antara
golongan murid yang berada dengan golongan murid yang miskin. Bagi mengatasi
masalah ini, pihak kerajaan telah menyediakan kemudahan-kemudahan kepada muridmurid di kawasan luar bandar. Kemudahan-kemudahan yang perlu disediakan seperti
pemberian buku pinjaman, menyediakan makanan yang berkhasiat, memberi biasiswa
kepada pelajar-pelajar miskin, memberi pakaian seragam secara percuma dan
sebagainya.

Subjek matematik dan sains sangat penting sejak akhir-akhir ini. Oleh itu, matlamat
pendidikan telah memberi penekanan kepada subjek ini di sekolah-sekolah di seluruh
negara bagi memenuhi aspirasi masyarakat yang progresif. Sekolah-sekolah sains yang
berasarama penuh telah dibina untuk mempercepatkan proses meningkatkan bilangan
pelajar yang akan mengikuti pengajian dalam jurusan sains dan matematik.
Matlamat pendidikan yang terakhir adalah berkaitan dengan pemeliharaan cara hidup
demokrasi. Mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan telah diperkenalkan
kepada murid-murid supaya mereka tahu tentang latar belakang sejarah negara kita dan
kefahaman mengenai konsep demokrasi. Ini bertujuan melahirkan individu yang akan
menjadi ahli masyakarat yang bertanggungjawab dan berusaha bersama kea rah
mewujudkan masyarakat yang progresif, adil dan saksama.

STRATEGI MEREALISASIKAN FPK


Dalam membicarakan strategi merealisasikan FPK, sememangnya memerlukan usaha
dari dua pihak iaitu di pihak Kementerian Pelajaran Malaysia sendiri dan di pihak guru di
sekolah. Gabungan daripada kedua-dua belah pihak ini akan dapat merealisasikan FPK
ini.
4.1) Peranan Kementerian Pelajaran Malaysia
Dalam membincangkan strategi merealisasikan FPK, KPM menggunakan pendekatan
strategik untuk merealisasikan FPK seperti yang termaktub di dalam buku Dasar
Pembangunan Pendidikan Kebangsaan. Strategi yang dilakukan oleh KPM merangkumi
tiga bidang iaitu pembangunan insan, pembangunan sumber manusia dan penyelidikan
dan pembangunan.
Dalam strategi pembangunan insan, matlamat utamanya adalah membangunkan dan
mengembangkan potensi yang ada pada diri inidividu secara menyeluruh dan
bersepadu. Strategi pembangunan insan ini, mempunyai beberapa perkara yang
ditekankan. Antaranya ialah penyediaan kurikulum yang relevan dengan mengubah suai
kandungan sukatan pelajaran mengikut keperluan semasa, penyediaan sistem
penyampaian yang berkesan dengan memperkenalkan sistem teknologi maklumat (ICT)
yang serba moden.
Selain daripada itu, penekanan juga diberikan kepada pendidikan agama dan moral
dengan penerangan nilai-nilai agama dan moral dalam semua peringkat persekolahan
dan dalam semua mata pelajaran. Begitu juga dengan peluang pendidikan ditingkatkan
melalui pelbagai bidang dan pendekatan altenatif. Sebagai contohnya wujudnya
Pendidikan Jarak Jauh (PJJ), wujudnya Open University (OUM), kursus-kursus
professional, Pendidikan komputer dan sebagainya. Selain daripada itu, penekanan

diberikan juga dalam meningkatkan semangat patriotisme melalui penerapan dalam


semua subjek mata pelajaran di samping penerapan melalui aktiviti kokurikulum dan
aktiviti khidmat masyarakat seperti yang ada dalam subjek Pendidikan Sivik dan
Kenegaraan.
4.2) Pembangunan Sumber Pendidikan
Dalam pembangunan sumber pendidikan ini, matlamat KPM melalui strategi ini adalah
untuk meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia. Dalam strategi ini, terdapat beberapa
perkara yang ditekankan. Antaranya ialah, dalam penyediaan input pendidikan yang
mencukupi, lengkap dan terkini dengan mempertingkatkan kuantiti dan kualiti guru,
prasarana yang lengkap serta program sokongan dari semasa ke semasa dan mengikut
keperluan semasa.
Selain daripada itu, penekanan juga diberikan dalam pelaksanaan program pendidikan
mengikut perancangan dengan memastikan matlamat pendidikan dan rancangan
Malaysia tentang keperluan terhadap guna tenaga mahir dapat dicapai dan diperolehi. Di
samping itu, KPM juga menekankan tentang meningkatkan keberkesanan proses
pengajaran dan pembelajaran dengan penyediaan tenaga pengajar yang berkualiti serta
persekitaran pembelajaran yang kondusif. Contohnya kemudahan untuk mengakses
maklumat melalui internet, keadaan bilik darjah yang elok dan selesa, lengkap dengan
kemudahan asas dan sebagainya.
4.3) Penyelidikan dan Pembangunan
Dalam strategi ini, tujuan KPM menggalakkan usaha penyelidikan dan pembangunan
adalah bertujuan mengemas kini ilmu, membaiki serta mempertingkatkan sistem
pendidikan kebangsaan di masa akan datang. Oleh yang demikian, KPM memberi
tumpuan kepada perkara-perkara seperti penyediaan tenaga pengajar untuk membuat
penyelidikan dengan mengajar dan memberi latihan kepada para guru dan pegawai
pendidikan untuk mempertingkatkan kemahiran dengan menjalankan penyelidikan dalam
pendidikan. Selain daripada itu, mencari dana atau sumber kewangan untuk membiayai
projek penyelidikan dan pembangunan dalam pendidikan serta merangka dasar
pendidikan untuk menggalakkan para guru untuk membuat penyelidikan khasnya dalam
bidang penyelidikan.
4.4) Peranan Guru
Secara tuntasnya, guru sebenarnya memainkan peranan yang sangat penting dalam
merealisasikan matlamat FPK melalui strategi yang dirangka oleh KPM. Ini sejajar
dengan matlamat FPK serta misi KPM iaitu membangunkan sistem pendidikan bertaraf

dunia serta menjadi pusat kecemerlangan ilmu di rantau atau pelusuk dunia. Justeru itu,
usaha guru dalam merealisasikan strategi KPM adalah ditumpukan kepada beberapa
penekanan. Antaranya penekanannya ialah pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum
yang dapat mengembangkan potensi pelajar dari aspek jasmani, emosi, rohani dan
intelek secara menyeluruh dan bersepadu.
Selain daripada itu, pelaksanaan pengurusan dan pentadbiran dengan penyelengaraan
prasarana atau infrastruktur yang lebih efektif dan efisyen supaya kemudahan
pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan licin dan optimum serta dalam
keadaan yang baik dan selamat. Seterusnya ialah mengadakan perhubungan yang erat
antara pihak guru dengan masyarakat iaitu dengan mewujudkan perkongsian pintar di
antara warga sekolah dengan masyarakat supaya dapat melahirkan semangat
kerjasama untuk membantu membangunkan sekolah dari segi kewangan ataupun
tenaga.

KERELEVENAN FPK DALAM DAPATAN KAJIAN LEPAS


Dapatan kajian lepas ini melihat beberapa kerelevanan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan ini diaplikasikan yang mana kami melihat sejauh manakah ia telah
berfungsi dan berjaya untuk mencapai matlamatnya.
Dapatan Kajian Lepas Pertama
a) Kajian Kerelevenan Falsafah Pendidikan Kebangsaan Dengan Kurikulum Pendidikan
Islam Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
Dapatan kajian lepas ini adalah berdasarkan kajian lepas yang telah ditulis oleh Alias
Mat Saad, Nik Mohd. Rahimi Nik Yusoff dan Ruhizan Mohammad Yassin dari Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Hasil daripada penelitian kami mendapati bahawa penyelidikan yang ditulis oleh pengkaji
ini bertujuan untuk melihat adakah Kurikulum Pendidikan Islam Politeknik relevan
dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mana pengkaji telah menggunakan
kaedah reka bentuk analisis dokumen untuk membuat kajian. Dapatan kajian daripada
pengkaji adalah mendapati objektif Pendidikan Islam Politeknik adalah releven dengan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Ini menunjukkan Kurikulum Pendidikan Islam
Politeknik KPTM tidak lari dari landasan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Bukti

Falsafah Pendidikan Kebangsaan merupakan pernyataan yang boleh dilihat sebagai


pedoman, arah tuju atau pandangan-pandangan terhadap perkara-perkara yang
berkaitan dengan pendidikan. Falsafah Pendidikan mengandungi kepercayaan, sistem
nilai dan harapan yang akan diperolehi daripada sistem pendidikan yang dihasilkan oleh
falsafah berkenaan.
Berdasarkan dapatan kajian, objektif Pendidikan Islam Politeknik Mengetahui konsep
ilmu seterusnya mendorong mereka mengkaji dan menghayatinya relevan dengan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan dari aspek Perkembangan potensi individu secara
menyeluruh.
Dapatan kajian juga menunjukkan objektif Pendidikan Islam Politeknik Memahami
Tasawwur Islam untuk dihayati dalam kehidupan releven dengan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan dari aspek percaya kepada Tuhan serta seimbang dan harmonis.
Percaya kepada Tuhan dan patuh kepada perintahNya akan melahirkan insan yang
berupaya untuk mencapai kesejahteraan diri dan akhirnya dapat memberi sumbangan
kepada agama, keharmonian masyarakat dan kemakmuran negara. Justeru itu,
penekanan objektif Pendidikan Islam Politeknik tentang kerelevenan falsafah pendidikan
kebangsaan ini dilihat perlu untuk melahirkan insan seimbang dari aspek rohani,
jasmani, emosi dan intelek.
Dapatan kajian juga menunjukkan objektif Pendidikan Islam Politeknik Memahami dan
menghayati konsep dan ruang lingkup ibadah dalam Islam serta dalam kehidupan
seharian juga releven dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dari aspek percaya
kepada Tuhan, unsur rohani dan seimbang serta harmonis.
Seterusnya berdasarkan dapatan kajian, objektif Pendidikan Islam Politeknik
Mengetahui dan memahami konsep dan hikmah perundangan Islam serta peranan alQuran, as-Sunnah,al-Ijmak dan al-Qias sebagai sumber hukum juga releven dengan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan dari aspek Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab,
Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan serta Rakyat Malaysia yang dapat
memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.
Justeru itu, penekanan kepada aspek ini akan melahirkan pelajar yang jiwa mereka
terdidik dengan mematuhi peraturan dan mampu menjauhkan mereka dari melakukan
perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Kajian juga mendapati objektif kurikulum Pendidikan Islam Politeknik, iaitu Memahami
konsep kekeluargaan dalam Islam serta mampu melaksanakan tanggungjawab dan
menangani permasalahan dalam kehidupan berkeluarga releven dengan elemen
Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu antaranya elemen Rakyat Malaysia berakhlak
mulia dan bertanggungjawab dan Rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan
terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Oleh itu, penekanan
kepada objektif ini akan melahirkan pelajar yang faham tentang proses pembentukan

sesebuah keluarga seperti mana yang dikehendaki oleh Islam.


Kesimpulannya, pengkaji telah menunjukkan terdapatnya kerelevenan objektif
Pendidikan Islam dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pengkaji mencari
kerelevenan objektif Pendidikan Islam dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan kerana
sesuatu subjek yang ditawarkan kepada pelajar perlu mempunyai pengalaman
pembelajaran yang terarah serta dapat membantu mereka berdepan dengan keadaan
masyarakat sebenar. Kajian menunjukkan objektif Pendidikan Islam Politeknik KPTM
mempunyai ciri-ciri seperti yang dikehendaki oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu
ilmu pengetahuan, ketrampilan,berakhlak mulia, bertanggungjawab, berkeupayaan
mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran masyarakat dan negara.
Dapatan Kajian Lepas Kedua
b) Kerelevenan Falsafah Pendidikan Kebangsaan Melahirkan Sekolah Berprestasi
Tinggi.
Menerusi dapatan kajian lepas kedua ini pula kami melihat aspek Kerelevenan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan ini melalui pemerhatian kami terhadap wujudnya Sekolah
Berprestasi Tinggi di negara kita bermula tahun 2010.
Sekolah Berprestasi Tinggi sebagaimana ditakrifkan sebagai sekolah yang mempunyai
etos, watak, identiti yang tersendiri dan unik serta menyerlah dalam semua aspek
pendidikan. Sekolah ini mempunyai tradisi budaya kerja yang sangat tinggi dan
cemerlang dengan modal insan nasional yang berkembang secara holistik dan
berterusan serta mampu berdaya saing di persada antarabangsa sesuai dengan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis
dari segi JERI, melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta
memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat
dan negara.
"Status itu (SBT) akan diberi kepada sekolah terbaik yang mempunyai identiti unik yang
membolehkan pelajar mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan.
Sekolah-sekolah ini akan mempunyai budaya kerja yang kuat dan cemerlang dan
melahirkan modal insan yang dinamik untuk pembangunan negara.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kementerian Pelajaran Malaysia menetapkan matlamat sebanyak 100 buah sekolah
berprestasi tinggi pada tahun 2012. Memang tidak dapat dinafikan bahawa pada masa

sekarang terdapat banyak sekolah berlumba-lumba untuk mencapai matlamat tersebut.


Oleh hal yang demikian, pelbagai usaha yang dilakukan oleh setiap sekolah demi
mencapai tahap sekolah berprestasi tinggi.
Bukti
Sekolah Kebangsaan Ulu Lubai, Sarawak.
SK Ulu Lubai adalah sekolah pedalaman pertama di negara ini diiktiraf sebagai Sekolah
Berprestasi Tinggi. SK Ulu Lubai membuktikan bahawa berada di luar bandar bukanlah
halangan mencapai kejayaan. Walaupun keadaan sekolah yang sederhana dan
bangunan kayu, sekolah ini menunjukkan pencapaian akademik amat cemerlang apabila
Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mendapat 100 peratus lulus sejak 2006
sehingga kini dan sentiasa menjadi sekolah terbaik di Sarawak. Menduduki tempat ke-54
pada 2009 dan melonjak naik ke tempat pertama pada 2010 merupakan satu
kebanggaan bagi semua warga sekolah tersebut.
Selain daripada itu, SK Ulu Lubai juga memenangi dua anugerah pada peringkat
antarabangsa iaitu johan anugerah Commonwealth Education Good Practice Awards
2009, finalis Commonwealth Education Good Practice Awards 2009 yang dianugerahkan
Sekretariat Komanwel dan Kerajaan Malaysia.
Tidak cukup dengan itu, sekolah ini juga merangkul lima anugerah di peringkat
kebangsaan, 14 di peringkat negeri dan 46 di peringkat bahagian dan daerah. Di
samping itu SK Ulu Lubai juga aktif dalam mewujudkan program jalinan dan jaringan
dengan institusi luar negara pada 2009 dan 2010 membabitkan Universiti Bristol United
Kingdom (UK), Jin Shan Primary School Singapore, Kingsford Community School UK
dan Deptford Green School UK.

CADANGAN PENAMBAHBAIKKAN
Sesungguhnya peranan sekolah begitu besar dalam melaksanakan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Sekolah merupakan institusi formal pertama di mana murid-murid
memperoleh ilmu dan kemahiran asas. Sekolah juga adalah tempat pemupukan minat
setiap murid untuk terus mencari ilmu dan seterusnya memberi sumbangan kepada
khazanah ilmu yang sedia ada.
Untuk merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, aspek-aspek
kepemimpinan, budaya sekolah, aktiviti ko-kurikulum, peranan guru dan disiplin murid
perlu diberi perhatian dan diaktifkan secara menyeluruh.

a) Aspek Kepemimpinan
Aspek pertama yang perlu diambil perhatian ialah kepemimpinan. Pemimpin sekolah
iaitu pengetua atau guru besar merupakan orang penting dalam memajukan institusi
pelajaran di Malaysia. Mereka perlu berfikiran kreatif dalam pengurusan dan
berhubungan dengan guru dan juga murid. Mereka bertanggungjawab menetapkan
falsafah sekolah, membentuk wawasan sekolah, membentuk visi dan misi sekolah yang
berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Selain itu, pihak sekolah juga perlu memastikan aspek-aspek seperti budaya sekolah,
aktiviti ko-kurikulum, peranan guru dan juga disiplin murid diberi penekanan dan
perhatian yang sewajarnya supaya hasrat FPK dapat direalisasikan.
Perkembangan semasa memperlihatkan peningkatan peranan guru besar sebagai
peneraju utama di sekolah-sekolah. Perubahan peranan pentadbir sekolah perlu berlaku
dalam aspek-aspek tertentu seperti kepemimpinan, tuntutan kerja, orientasi perniagaan,
tanggungjawab, pengurusan sumber manusia, membuat keputusan, komunikasi, kuasa,
dan perancangan. Peranan pengetua dan guru besar merupakan antara faktor utama
yang akan menentukan kejayaan dan kecemerlangan sesebuah sekolah. Pengetua dan
guru besar yang berkesan mampu mengubah keadaan sesebuah sekolah menjadi
cemerlang.
Dalam melaksanakan amanah menyediakan sumber manusia menjelang tahun 2020,
fungsi kepemimpinan, pengurusan, dan pentadbiran sekolah menjadi semakin
mencabar. Peranan kepemimpinan di peringkat sekolah mestilah dalam bentuk
instructional leader yang memainkan peranan tertentu pada tahap serta kedudukan
masing-masing untuk melaksanakan sesuatu progam pendidikan. Kepemimpinan
pendidikan juga haruslah berperanan sebagai transformational leader iaitu sebagai agen
transformasi perubahan.
Pemimpin sekolah yang proaktif akan sentiasa membuat jangkaan-jangkaan tentang
perubahan yang sedang dan bakal berlaku agar sentiasa berada dalam keadaan
bersedia. Pemimpin sekolah mestilah juga mampu dan berupaya membimbing guru-guru
di bawah pengawasannya untuk menjadi lebih berkesan.
Sekolah yang berkesan dapat dilihat berdasarkan stail kepemimpinan yang bukan
sekadar mampu bertindak sebagai pemimpin pengajaran dan pembelajaran yang
berkesan tetapi juga harus mampu membawa perubahan. Justeru itu, di mana-mana
sekolah, guru besar merupakan individu yang paling berpengaruh dan
bertanggungjawab terhadap sesuatu perubahan.
Menurut kata Wilson dan Corcoran (1988), segala kejayaan dan kegagalan murid

terletak kepada pihak sekolah, iaitu guru besar dan guru. Kepemimpinan guru besar pula
dikenal pasti sebagai pemboleh ubah yang penting sekali, yang mempengaruhi kualiti
dan kuantiti hasil sekolah walaupun proses dalaman dan persekitaran sosial (iklim), atau
budaya sekolah juga merupakan pemboleh ubah yang mempengaruhi dan
menyebabkan perbezaan dalam pencapaian akademik murid (Rutter et al,1979).
b) Aspek Budaya Sekolah
Aspek kedua yang perlu diberi penekanan ialah budaya sekolah. Budaya sekolah,
kadang kala dikenali sebagai iklim sekolah merupakan salah satu aspek yang penting
dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Iklim sekolah yang terbuka
menggalakkan murid bebas berinteraksi di antara murid dengan murid, murid dengan
guru serta bebas melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sekolah. Guru pula boleh bekerja
dalam keadaan yang mesra, berasa tenteram serta melaksanakan tugas dengan adil,
dedikasi, gembira dan sempurna.
Iklim sekolah yang terbuka seperti ini merupakan iklim sekolah yang demokratik dan
iklim ini akan dapat membantu sekolah mencapai aspirasinya seperti membentuk murid
lebih berdedikasi, lebih berinisiatif, lebih rela bekerjasama, lebih ramah dan mesra, lebih
spontan dan berkreativiti serta lebih tinggi motivasinya.
Budaya sekolah atau iklim sekolah ini mengandungi empat aspek utama iaitu aspek
fizikal, aspek sosial, aspek perkembangan intelek dan aspek penggunaan bahasa.
Aspek fizikal merangkumi perkara-perkara seperti kebersihan kawasan sekolah,
keselamatan anggota-anggota sekolah, kemudahan-kemudahan sekolah yang lengkap,
keselesaan yang kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran dan juga keindahan
sekolah.
Dari aspek sosial pula, ia merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan
keharmonian di antara anggota-anggota sekolah seperti budaya hormat-menghormati
dan mengucap salam, kerjasama, rasa tanggungjawab, perpaduan, kemesraan dan
keadilan.
Seterusnya aspek perkembangan intelek. Ia merangkumi aspek budaya ilmu seperti
semangat mahu belajar sama ada dalam bilik darjah atau di perpustakaan sekolah.
Sebagai contoh, sekolah memainkan peranannya melalui penganjuran program-program
akademik seperti Program NILAM dengan tujuan membudayakan aktiviti membaca
dalam diri murid-muridnya. Program ini secara tidak langsung dapat mengembangkan
daya pemikiran murid sama ada kritis atau kreatif. Menurut Ee (1994), tamadun atau
bangsa hanya dapat dibina melalui masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu. Cara
utama membina budaya ilmu ialah melalui amalan tabiat membaca yang berterusan.

Aspek yang terakhir ialah penggunaan bahasa. Aspek ini meliputi penggunaan bahasa
secara betul dan jitu sama ada di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah. Untuk
meningkatkan prestasi dalam aspek penggunaan bahasa, aktiviti pertandingan,
perbahasan, syarahan dan pidato boleh dianjurkan oleh pihak sekolah sebagai galakan
penggunaan bahasa. Penggunaan bahasa kedua Bahasa Inggeris juga perlu diberi
perhatian sejajar dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin
melahirkan modal insan yang mampu berdaya saing di peringkat global.
Suasana sekolah yang ceria, kondusif dan meransang pembelajaran diwujudkan
bertujuan menghasilkan murid-murid yang berkembang secara harmonis dan
menyeluruh dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.
c) Aspek Ko-kurikulum
Aspek ketiga pula ialah ko-kurikulum. Untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan, sekolah juga perlu memainkan peranan yang berkesan dalam
melaksanakan gerak kerja ko-kurikulum. Gerak kerja ko-kurikulum merupakan gerak
kerja bercorak pendidikan yang dijalankan di dalam dan di luar waktu sekolah. Gerak
kerja merupakan aktiviti-aktiviti kumpulan secara informal. Gerak kerja ko-kurikulum
berasaskan pembelajaran di bilik darjah adalah kesinambungan kurikulum yang
dilaksanakan di sekolah. Walaupun aktiviti-aktiviti ko-kurikulum lebih bercorak informal,
tetapi gerak kerja yang dijalankan adalah terancang.
Gerak kerja ko-kurikulum dilaksanakan di sekolah diharapkan akan menyemai sifat-sifat
kepemimpinan, kerjasama, tolong-menolong dan sedia berkhidmat di kalangan murid.
Aktiviti ko-kurikulum juga perlu dirancang supaya semua murid mempunyai
perseimbangan antara perkembangan mental dengan perkembangan sosial, jasmani
dan rohani. Pelaksanaan ko-kurikulum cuba melihat minat dan bakat murid-murid.
Melalui kegiatan kumpulan, semua murid boleh dididik dan mendidik diri sendiri.
Sekolah ialah institusi yang bertanggungjawab dan boleh memainkan peranan dalam
mendidik murid-murid untuk mengembangkan minat dan bakat. Begitu juga masyarakat
yang bertanggungjawab boleh memainkan peranan mereka dalam mendidik muridmurid. Ini disebabkan alam masyarakat di luar sekolah sebenarnya amat kaya dengan
ilmu pengetahuan yang boleh dimanfaatkan oleh murid-murid. Aktiviti-aktiviti yang boleh
dilaksanakan dalam gerak kerja ko-kurikulum ialah pasukan unit beruniform,
persatuan/kelab dan juga sukan. Pihak sekolah perlu memastikan semua murid
melibatkan diri dalam ko-kurikulum ini kerana gerak kerja ini dianggap sebagai
sebahagian daripada kurikulum sekolah dan sebagai satu bidang pendidikan.
Gerak kerja ko-kurikulum dilaksanakan di sekolah mempunyai beberapa matlamat

penting yang merangkumi aspek pendidikan, aspek pembelajaran, dan aspek sosialisasi.
Dari aspek pendidikan, pelaksanaan gerak kerja ko-kurikulum di sekolah diharap akan
dapat membina dan menyuburkan sahsiah yang seimbang di kalangan murid; memupuk
nilai-nilai ahklak dan pendidikan yang diingini, memajukan kemahiran, minat dan bakat
murid, meningkatkan disiplin dan kepemimpinan diri, mengukuhkan dan memperkayakan
lagi pengetahuan dan kemahiran, menjadi asas kerjaya pada masa akan datang dan
mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah dan menyeronokkan.
Dari aspek pembelajaran pula, kegiatan ko-kurikulum bertujuan untuk mewujudkan dan
mempertingkatkan suasana sekolah yang lebih menarik dan menggembirakan muridmurid. Selain itu, perhubungan antara guru dengan murid juga dapat diwujudkan.
Dari aspek sosialisasi, gerak kerja ko-kurikulum ini dilihat mampu melahir dan
membentuk murid-murid yang mempunyai semangat kekitaan dan kewarganegaraan
serta mempunyai rasa dan tanggungjawab berkhidmat untuk masyarakat.
Secara keseluruhannya, pihak sekolah perlu mempertingkatkan kualiti pengurusan kokurikulum dan sukan dengan usaha memperkembangkan lagi potensi individu,
membentuk sahsiah, membantu pertumbuhan jiwa bermasyarakat, meningkatkan mutu
disiplin para murid bagi memperkukuhkan integrasi di kalangan mereka. Selain itu, pihak
sekolah juga harus memberi peluang secukupnya kepada murid-murid untuk menyertai
pelbagai aktiviti terancang bagi memperkembangkan minat, bakat serta kemahiran
masing-masing.
d) Aspek Guru
Aspek yang seterusnya ialah guru. Peranan guru amat penting dalam merealisasikan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Guru bertanggungjawab memperkembangkan potensi
murid secara menyeluruh dan bersepadu yakni insan yang seimbang dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani.
Dengan pengenalan KBSR dan KBSM di negara kita, peranan guru di sekolah juga
bertambah lebih kompleks. Guru mula memainkan peranan sebagai pengajar, pengurus,
fasilitator, pembimbing, penggalak, penyelaras dan juga sebagai inovator, iaitu orang
yang mendatangkan pembaharuan.
Seseorang guru menjalankan seperti menggerakkan, mengatur dan menilai prestasi
murid-murid. Sebelum memulakan satu-satu pelajaran, minat murid seharusnya
ditimbulkan terlebih dahulu terhadap topik yang akan disampaikan. Proses pembelajaran
berlaku dengan lebih cepat sekiranya murid-murid mempunyai minat terhadap pelajaran
itu.
Oleh itu, adalah penting bagi guru menggerakkan muridnya dengan berbagai-bagai cara

seperti menggunakan pelbagai jenis alat bantu mengajar, mengadakan main peranan
(role playing), mengadakan simulasi dan sebagainya.
Selain itu, guru juga mengelolakan semua aktiviti yang dijalankan di dalam sesebuah
bilik darjah. Dalam aktiviti pembelajaran mesti ada langkah pertama, langkah kedua,
langkah ketiga dan seterusnya. Tiap-tiap langkah pembelajaran haruslah diatur supaya
murid-murid mendapat faedah daripada setiap aktiviti pembelajaran. Gurulah yang
menjalankan tugas mengatur setiap langkah pembelajaran. Dalam mengatur langkahlangkah pembelajaran, guru akan merancang terlebih dahulu. Apabila membuat sesuatu
rancangan, keperluan-keperluan murid, objektif-objektif pelajaran, bahan-bahan dan alatalat mengajar seharusnya dipertimbangkan. Pengajaran yang dirancangkan dengan baik
akan membawa faedah yang besar kepada murid-murid.
Guru juga membimbing murid-murid supaya mereka memahami topik yang diajar. Guru
seharusnya mengaitkan tajuk yang diajar dengan pengalaman-pengalaman murid untuk
membolehkan mereka memahami konsep-konsep dengan lebih mudah lagi. Perkataanperkataan yang digunakan oleh guru sepatutnya mudah difahami dan penerangannya
padat serta jelas. Penggunaan alat bantu mengajar seperti carta, gambar, perbandingan
dan graf dapat menjelaskan lagi sesuatu konsep yang disampaikan. Guru juga menolong
murid-murid mengatur fakta-fakta supaya menjadi konsep yang konkrit dan bermakna.
Idea yang abstrak boleh dijadikan konkrit dengan menggunakan carta dan alat bantu
mengajar lain.
Guru perlu juga menolong murid-murid mempraktikkan dan mengulangi aktiviti sehingga
pembelajaran itu menjadi berkesan. Guru juga menilai murid-muridnya dengan
menjalankan berbagai-bagai ujian. Penilaian ini akan dapat mengesani sejauh manakah
objektif pengajaran dan pembelajaran telah tercapai.
Ringkasnya, guru memikul amanah yang amat besar untuk melahirkan insan berilmu
dan bersahsiah tinggi dan berperanan untuk merealisasikan matlamat kenegaraan yang
akan menentukan jatuh bangun bangsa dan negara di masa hadapan.
e) Aspek disiplin
Aspek yang terakhir ialah disiplin. Sekolah sebagai agen sosialisasi utama
bertanggungjawab untuk membanteras masalah disiplin hingga ke peringkat akar umbi.
Iklim dan persekitaran sekolah yang kondusif perlu diwujudkan bagi merangsang
perkembangan murid dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek sejajar dengan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Dalam konteks pendidikan, sekolah merupakan institusi yang penting dalam membentuk

disiplin murid-murid. Masalah disiplin murid akan menjejaskan tumpuan mereka


terhadap pelajaran. Masalah disiplin ini seharusnya dikawal dengan kerjasama warga
sekolah iaitu guru besar, guru disiplin, guru, pengawal keselamatan, masyarakat sekitar
sekolah dan ibu bapa. Hal ini penting bagi memastikan kelancaran proses pengajaran
dan pembelajaran di sekolah.
Pihak sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh menubuhkan sebuah
jawatan kuasa menangani gejala disiplin murid peringkat sekolah dengan melantik
beberapa ahli terdiri daripada kalangan mereka yang tinggal berhampiran dengan
sekolah bagi memantau disiplin murid. Pihak sekolah juga hendaklah memantau
kawasan sekolah yang terdapat masalah disiplin.
Apa yang lebih penting, murid lemah dan berdisiplin memerlukan perhatian khas
daripada pihak sekolah. Semua ini perlu dilakukan dengan bijak supaya tidak berlaku
pengasingan dan perbezaan di antara mereka dengan murid lain di sekolah.
Peranan guru bimbingan dan kaunseling penting dalam membentuk dan membina
semula sahsiah dan disiplin murid yang bermasalah. Antara tugas utama guru bimbingan
dan kaunseling ialah menjalankan bimbingan dan kaunseling dengan murid-murid yang
mempunyai masalah disiplin dengan tujuan mewujudkan tingkah laku yang diingini.
Selain itu, guru bimbingan dan kaunseling juga berfungsi untuk membina perhubungan
dengan ibu bapa/ penjaga murid-murid yang mempunyai masalah disiplin, pegawai
kebajikan masyarakat atau pihak polis.
Disiplin yang baik membawa beberapa faedah kepada guru dan murid. Faedah-faedah
tersebut seperti pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan licin dan teratur,
keberkesanan pengajaran-pembelajaran akan dapat ditingkatkan lagi, murid-murid
menjadi lebih produktif jika mereka berdisiplin, keselamatan murid-murid dapat dijamin
kerana setiap murid dapat mematuhi peraturan-peraturan sekolah, kemalangan yang
berlaku di makmal atau bilik darjah dapat dikurangkan, segala tugasan dapat disiapkan
dalam tempoh masa yang lebih singkat dan sebagainya.
Masalah disiplin perlu ditangani dengan sebaik mungkin. Sesungguhnya persekitaran
sekolah yang kondusif dan selamat amat penting dalam membentuk imej dan keyakinan
diri murid ke arah kecemerlangan dan kegemilangan, selaras dengan hasrat negara
yang menekankan usaha pembentukan modal insan yang cemerlang,gemilang dan
terbilang.

RUJUKAN
Abdul Fatah Hasan (2007) Mengenal Falsafah Pendidikan, Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Adnan Kamis (1993) Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah: Pandangan dan Maklum
Balas, Bangi, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Amberjeet (1993) Dasar Grant dan Peruntukan Pembiayaan Serta Prestasi Pendidikan
Sains, Matematik, Teknik dan Vokasional di Malaysia, Bangi, Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Anan Nur (2010) Filsafat Pendidikan Essensialisme Retrieved on August 16, 2010,
http://anannur.wordpress.com/2010/07/08/filsafat-pendidikan-essensialisme
Omardin Ashaari (1998), Peranan Tugas Dan Tanggujawab Guru Di Sekolah, Kuala
Lumpur, Tinggi Press Sdn.Bhd.
Ee Ah Meng (1989) Pendidikan Di Malaysia Untuk Guru Pelatih, Selangor Darul Ehsan,
Peter Chongprinter Sdn Bhd.
Evelyn J. Sowell (2005) Curriculum: An Integrative Introduction: 3rd Edition, New Jersey,
Merill Prentice Hall.
Kamarudin Hj Husin & Kamarul Azhar (1994) Asas Pendidikan III: Perkembangan Dan
Pelaksanaan Kurikulum, Selangor Darul Ehsan, Logman Malaysia Sdn Bhd.

Kementerian Pelajaran Malaysia (2001) Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Matlamat dan


Misi, Pusat Pembangunan Kurikulum, Kuala Lumpur, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Kementerian Pelajaran Malaysia (2000) Tatacara Pengurusan Kewangan & Perakaunan
Sekolah, Kuala Lumpur, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Kementerian Pelajaran Malaysia (1988) Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kuala
Lumpur, Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan.
Mok Soon Sang (1992). Pedagogi 2 Strategi Pengajaran-Pembelajaran Pengajaran
Mikro Persediaan Untuk Pengajaran Praktik, Subang Jaya: Cetaktama Sdn. Bhd.
Noresah ( 2002 ), Kamus Dewan Edisi Ketiga, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa Dan
Pustaka.
Paul Procter ( 1995 ), Cambridge International Dictionary of English First Edition,
Cambridge University Press.
Sufean Hussin (2004) Pendidikan di Malaysia Sejarah, Sistem dan Falsafah. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Undang-Undang Malaysia (1996) Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), Percetakan Nasional

Berhad, Kuala Lumpur.


Widad Othman & Faridah Mariani Johari (2007) Curriculum Planning in Technical and
Vocational Education, Kuala Lumpur, Open University Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai