Anda di halaman 1dari 1

Penggunaan Sumber

Kepentingan sumber adalah suatu kepentingan yang asasi. Berbeza dengan


penulisan karya kreatif kesusasteraan, sumber bagi pengkajian dan penulisan
sejarah adalah sesuatu yang mesti wujud. Tanpa sumber ahli sejarah tidak
berupaya menghasilkan pensejarahannya. Samalah keadaannya dengan sasterawan
tanpa ilham akan terkapai-kapai mengahadapi alam mayanya. Justeru itu, ahli
sejarah haruslah mencari dan mendapatkan sumbernya.
Sumber juga penting sebagai punca maklumat, bukan sahaja mengenai bentuk
kehidupan politik, sosial, ekonomi dan kebudayaan masyarakat manusia pada
masa lampau, bahkan juga dapat menggambarkan corak pandangan dan alam
pemikiran seorang penulis atau pengkaji terdahulu atau terkini terhadap
perkara dan alam persekitaran pada masa lalu. Melalui penulisan mereka itu,
sekurang-kurangnya ahli sejarah yang kini dapat membayangkan bagaimana corak
pemikiran mereka pada masa lalu dan seterusnya mengimaginasikan rentetan
sejarah yang berlaku pada masa lalu itu.
Ini kerana pemikiran penulis pada masa lampau adalah juga melambangkan
pemikiran masyarakat ataupun pemerintah sezamannya. Misalnya, karya klasik,
seperti, Sulalatus Salatin (1615) oleh Tun Sri Lanang (1565-1659); Hikayat
Abdullah (1843) oleh Abdullah bin Abdul Kadir Munshi (1796-1854), dan;
Thufat- Al-Nafis (1865) dan Kitab Salasilah Raja-Raja Melayu dan Bugis (1890)
oleh Raja Ali Haji (1808-1872), dapat menggambarkan corak pemikiran
pemerintah dan masyarakat di Melayu pada zaman dahulu.
Penggunaan sumber juga penting untuk mengukuhkan hujah dan menguatkan lagi
suatu kenyataan yang ingin dijelaskan oleh ahli sejarah mengenai peristiwa
yang dikajinya. Yang lebih penting bagi ahli sejarah ialah, dengan adanya
sumber, ahli sejarah dapat membuktikan dan mengesahkan bahawa kenyataan dan
fakta sejarah yang dikajinya adalah tepat dan benar belaka.
Misalnya, seorang ahli sejarah yang ingin mengkaji tentang kekuatan angkatan
tentera Jepun sewaktu menyerang Sabah semasa Perang Dunia Kedua perlu
mengukuhkan hujah atau kenyataannya, bukan sahaja meneliti sumber utama, juga
harus meneliti sumber kedua. Barangkali sumber utama yang akan digunakan
adalah fail rasmi yang tersimpan di London Record Office di England. Manakala
sumber kedua yang digunakan adalah, seperti buku, Sabah (North Borneo) Under
the Rising Sun Government? (1990) oleh Stephen R. Evans, dan: Japanese Army
in World War II: Conquest of the Pacific 1941-1945 (2005) oleh Gordon L.
Rottman & Duncan Anderson. Dalam pada itu, ahli sejarah itu juga memerlukan
maklumat tambahan atau yang terbaru agar dapat mengukuhkan lagi kenyataannya,
iaitu dengan menggunakan sumber lisan. Ahli sejarah perlu menjalankan
temuramah dengan para saksi atau individu yang pernah mengalami kehidupan
semasa pemerintahan Jepun.
Akhir sekali, sumber juga penting dalam memberikan keyakinan kepada ahli
sejarah dan masyarakat umum, yakni peranan dan sumbangan sumber sejarah
sebagai rekod yang menyimpan pengetahuan tentang masa lampau yang pasti tidak
akan kembali lagi. Melalui peninggalan sumber sejarah yang ada, masyarakat
masa kini sedar terhadap apa yang telah berlaku pada masa lalu haruslah
diambil sebagai pengajaran dan pedoman hidup pada masa akan datang.

Anda mungkin juga menyukai