Anda di halaman 1dari 2

Tanggungjawab sesebuah keluarga untuk memupuk amalan

membaca
Apabila seseorang itu cuba mengkaji dan mendalami kandungan yang tersurat mahupun tersirat
daripada Surah Al Alaq, nescaya jawapan yang diperoleh tentulah amalan membaca adalah
merupakan suatu kewajipan. Kewajipan membaca bukan sekadar menjadi pelengkap kepada
sesuatu peperiksaan, sebaliknya menjadi tanggungjawab untuk melahirkan umat yang berjaya,
bijaksana, dan hebat menguasai dunia keilmuan. Namun demikian, saranan membaca
menatijahkan nilai yang paradoks apabila masyarakat Malaysia khususnya amat liat untuk
membaca. Sama ada pada peringkat masyarakat umum ataupun pada peungkat pusat-pusat
pengajian, amalan membaca gagal dibudayakan. Walaupun pelbagai kempen dan insentif
diberikan untuk menyemarakkan amalan tersebut, hasil yang diperoleh amatlah mengecewakan.
Oleh itu, sejajar dengan sesuatu amalan itu bermula dari rumah, nescaya keluarga haruslah
memainkan peranan aktif untuk memupuk semula amalan membaca.
Berpandukan peribahasa, cahaya yang cerah bermula daripada lampu di tengah rumah
membuktikan semua amalan yang baik hendaklah bermula daripada keluarga. Demikianlah
dengan budaya membaca, keluargalah yang perlu membudayakan amalan tersebut. Amalan
membaca perlu dibudayakan dan bukan sekadar dibiasakan. Apabila sudah menjadi budaya,
maka semua pihak akan berasa seperti suatu keperluan untuk membaca. Setiap ahli keluarga
terutama ibu bapa harus menjadikan diri mereka umpama lampu yang menyinari kehidupan
keluarga. Lampu tersebut sudah tentulah sikap yang gemar kepada percambahan ilmu melalui
tradisi membaca. Dalam tradisi Islam, setiap anak perlu dididik dengan amalan membaca Al
Quran sejak berumur lima tahun lagi. Oleh itu, amalan ini haruslah diperluas kepada bidang
pengetahuan yang lain melalui amalan membaca. Seandainya aktiviti lain seperti menonton
televisyen, beriadah dan makan bersama boleh dibudayakan, masakan amalan membaca tidak
boleh dilaksanakan? Barangkali inilah persoalan yang perlu dijawab oleh sebahagian besar
institusi keluarga.
Peribahasa yang menyatakan getah daun akan mengalir ke perdu juga menunjukkan bahawa
segala tingkah laku yang baik daripada ibu bapa akan menjadi turutan anak-anak. Al hasil, sikap
yang positif daripada ibu bapa seperti gemar mambaca, bercakap perkara yang baik dan
melakukan kerja-kerja yang berfaedah sudah tentu akan singgah dan melekat pada diri anak-anak
juga. Tanamlah sifat positif dalam kalangan anak seperti sifat gemar meneroka dan mencari
maklumat baharu dengan membaca. Membaca juga boleh dijadikan sebagai suatu aktiviti
penerokaan minda yang membolehkan anak-anak menjadi lebih matang daripada usia mereka.
Malang sekali, belakangan ini akibat tekanan kerja dan masa yang terhad minat membaca dalam
kalangan ibu bapa sendiri pun amat rendah. Masing-masing telah terbawa-bawa dengan gaya
hidup baharu yang tidak boleh lekang dengan budaya WhatsApp, Facebook, Twitter dan
Instagram mereka. Sesungguhnya, inilah virus yang sedang bergerak aktif untuk meletakkan
manusia pascamilenium terperap dalam kopompong kebodohan ciptaan sendiri.
Ibu bapa juga bertanggungjawab menyediakan prasarana dan sumber bacaan yang cukup kepada
anak-anak. Hal ini amatlah mustahak kerana kebanyakan ibu bapa masa kini cukup serius dalam

menyediakan keselesaan fizikal kepada anak-anak seperti bilik tidur berhawa dingin, peranti
elektronik dan peti televisyen. Akhirnya, semua kemudahan tersebut akan melalaikan anak-anak
daripada membaca. Tidak salah kepada ibu bapa untuk melengkapi anak-anak mengikut
kemampuan, namun tugas yang paling utama untuk mempertajam minda anak-anak tidak boleh
diabaikan. Oleh itu, ibu bapa hendaklah menyediakan kemudahan pembacaan dan
mempelbagaikan bahan bacaan mengikut minat dan tahap. Dalam pemilihan bahan bacaan pula,
ibu bapa tidak boleh cakap banyak atas permintaan anak-anak kerana minat dan bakat
sememangnya tidak pernah sama dengan ibu bapa. Dengan sebab itu, kenalilah minat anak-anak
serta didiklah mereka menjadi insan yang berjaya menyelak jendela ilmu dengan gemar
membaca dan meneroka perkara-perkara yang baharu.
Langkah yang paling proaktif ialah ibu bapa perlu meluangkan masa mengadakan rutin tetap
mingguan atau bulanan untuk berkunjung ke kedai buku atau pameran buku. Aktiviti sambil
menyelam minum air ini akan memberikan suntikan baharu kepada anak-anak untuk gemar
membuat koleksi bahan bacaan. Anak-anak akan terasa diri mereka dihargai atas kesudian ibu
dan ayah membawa mereka bersiar-siar dan bersantai di samping memberi mereka baja minda
dengan berkunjung ke kantor-kantor bacaan untuk memberikan inovasi dan perspektif baharu
kepada anak-anak tentang perkembangan dunia buku. Sekiranya usaha ini diperkasakan oleh
setiap keluarga di Malaysia, nescaya dalam satu dekad lagi kita akan dapat melihat rakyat
Malaysia akan bergulat dengan buku sama ada di dalam bas, LRT dan di mana-mana sahaja
tempat yang masanya terluang.
Hidup dengan membaca ibarat minda yang sedang bergerak untuk meneroka ke seluruh isi alam.
Membaca umpama kita sedang berinteraksi atau berdialog dengan seseorang insan bijaksana
melalui huruf dan angka yang disusun untuk menjadi fakta. Oleh itu, keluarga yang sentiasa
membaca boleh diibaratkan sebagai sedang mengembara ke seluruh polosok alam. Dengan hal
yang demikian, pupuklah minda ahli keluarga dengan amalan membaca.

Anda mungkin juga menyukai