Anda di halaman 1dari 1

Apa anda tahu mengenai kaunseling?

AUTHOR: FADZLIABUBAKAR | POSTED AT: 9:00 PM |


Ramai orang salah faham mengenai kaunseling. Ada yang kata, kaunseling itu ilmu memujuk,
menyelesaikan masalah orang ataupun suatu kemampuan menguasai pemikiran orang. Benarkah begitu?
Allah SWT. berfirman dalam surah az-Zumar ayat ke-9 yang bermaksud, "Katakanlah lagi (kepadanya):
"Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang
yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna."
Kaunseling bukan bererti nasihat walaupun terdapat nasihat yang diberikan. Malah kaunselor tidak memberi
jawapan secara langsung kepada semua persoalan klien kerana apa yang baik untuk kaunselor tidak
semestinya baik juga untuk klien.

Keistimewaan khidmat kaunseling ialah membimbing klien mengenali dirinya yang menyumbang kepada
permasalahan yang dihadapi oleh klien. Penerimaan dan perakuan diri adalah penting dalam menghasilkan
perubahan diri.

Oleh sebab kaunseling bukan nasihat, maka hubungan kaunseling adalah berbentuk dua hala. Kaunselor
cuba memahami dengan cara mendengar dan memberikan layanan serta interaksi yang baik. Manakala
klien pula menceritakan masalah mereka dan cuba memahami permasalahan tersebut. Selepas itu, klien
akan mengambil tindakan menyelesaikan masalah itu.

Kaunseling menggerakkan klien memahami diri dari segi kelemahan yang menghasilkan masalah dalam
hidup dan bagaimana klien terdedah kepada permasalahannya. Oleh itu, fokus perbincangan adalah pada
diri klien dan peranannya, bukan masalahnya.

Secara umumnya, kaunseling merupakan satu proses pembelajaran semula. Pembelajaran semula berlaku
melalui perkongsian cerita atau penglahiran perasaan. Dengan ini, klien akan mendapat pengetahuan atau
maklumat baru hasil daripada interaksi bersama kaunselor. Selain itu, klien mendapat kemahiran baru
melalui contoh atau model daripada kaunselor serta melalui main peranan.

Kaunseling merupakan suatu proses yang mempunyai ciri-ciri, iaitu suatu jangka masa tertentu untuk
membolehkan klien berubah yang mungkin memerlukan beberapa jam, beberapa sesi atau pertemuan.

Pertukaran aksi dan reaksi antara klien dengan kaunselor turut membantu klien mengenali diri dan
persoalan yang dihadapi olehnya. Melalui kaunseling, klien dapat memahami rutin permasalahan manusia,
mendapat motivasi, dan memperoleh kaedah pembelajaran yang bersesuaian dengan dirinya.

Oleh itu, proses kaunseling akan bermula apabila ada persetujuan antara dua individu, iaitu klien dan
kaunselor untuk melibatkan diri mereka dalam menguruskan sesuatu persoalan atau masalah.
Anda mungkin juga meminati:

Anda mungkin juga menyukai