Anda di halaman 1dari 6

TITIK VISUAL YANG DILIHAT OLEH MATA

Dalam tradisi melihat dan menghayati lukisan sebahagian kecil tarikan berjaya
ditangkap oleh mata. Hasil yang dilihat oleh mata adalah usaha dari pembuat seni
yang cuba menonjolkan sesuatu untuk penikmat menghayatinya sebagai karya seni.
Dalam seni tampak ia menjadi landasan yang melibatkan bentuk-bentuk ke atas subjek
sebagai hal benda yang hendak dihasilkan. Peranan mata adalah penting untuk
mendaftar imej-imej yang tidak tersusun. Manakala otak mengambil peranan
melengkapkannya menjadi bentuk-bentuk dan rupa bentuk yang sempurna bagi
mengindahkan lagi keadaan di sekelilingnya.

Walaupun rupa bentuk di sekeliling kita sudah disempurnakan oleh peranan otak
namun masih ada satu fokus yang cuba didekati. Fokus itu adalah keprihatinan
pembuat seni untuk menonjolkannya menjadi titik visual yang menarik dalam sesesuatu
karya. Dari beberapa titik visual yang masuk ke mata dan ditapis oleh otak hanya
sebahagian kecil yang dikumpulkan menjadi paten. Otak masih lagi menyusunnya
menjadi satu aturan yang kemas.

Apabila dilihat adanya jurang dalam sesuatu reka bentuk maka sesuatu yang samar
itu boleh mencacatkan persepsi tampak. Fungsi otak dan mata yang dipunyai oleh
pembuat seni cuba mengurangkan jurang tersebut. Diulangi hasil tersebut supaya
menjadi lebih baik, ada irama, pergerakan, pengulangan dan rentak yang terbaik untuk
dimainkan dengan penonjolan unsur harmoni untuk menghadirkan nilai-nilai estetik.

Dalam seni tampak moden kehadiran idea dalam mengharmonikan bentuk, warna,
garisan, ruang dilihat sebagai menghadirkan nilai estetik yang impresif. Ini yang
dihujahkan pada awal perbincangan berhubung dengan satu titik visual. Menurut
Herbert Read, titik visual yang dilihat oleh mata, memberi kesan kontra. Dalam karya
seni tradisional itulah yang nampak berkesan oleh mata dan diindahkan lagi oleh nilai
seninya untuk pengekalan keharmonian. Mata menzahirkan paten dan ia menumpukan
pada satu hal benda menjadi satu pemusatan yang dipanggil “titik fokus”.
Dalam seni lukis moden, Herbert Read merujuk pada dominasi bentuk. Banyak
bentuk perlu dikawal oleh kuasa tarikan mata. Kaedah-kaedah tindanan, superimpos
dan olahan-olahan yang unik diperlukan untuk meletakkan titik keindahan. Maka paten-
petan yang harmoni perlu diwujudkan melalui teknik-teknik tertentu.

Dalam mengkaji struktur keindahan beberapa contoh mudah seperti kertas hiasan
dinding sebagai paten boleh disusun menjadi struktur imej. Apa akan terjadi pada mata
jika berjaya menangkap suatu kualiti dalam gambar tersebut. Mata tidak akan lagi
menarik hanya pada satu bentuk malah dari pengulangan paten akan melahirkan
gambar yang tersendiri. Inilah yang terjadi dalam karya-karya Rococo secara
sentimentalnya menarik mata untuk melihat dengan pendekatan yang lebih terkawal.
Walaupun banyak bentuk yang diadakan dalam sesebuah karya namun bentuk-bentuk
itu perlu dikawal oleh pembuat seni.

Karya yang baik tidak semestinya menjadi tarikan mata. Alasannya ialah bentuk –
bentuk yang dilahirkan hanya berlatarbelakangkan sesuatu yang biasa secara
semulajadinya hanya untuk hiasan semata-mata. Seharusnya ada satu titik visual yang
istimewa yang mampu dilihat oleh mata dan minda berulang kali tanpa jemu dan tanpa
menyedari kehadiran titik-titik lain. Mata akan memberi kesan awal bagi
menyeimbangkan satu bentuk dalam keadaan yang bertindan-tindih ke atas bentuk-
bentuk yang lain. Titik fokus itu adalah suatu kekuatan yang dapat dilihat dalam
keindahan struktur seni. Cara interpretasi yang berbeza melalui bentuk-bentuk yang
disusunatur melahirkan sesuatu tampakan yang eksklusif dalam gaya yang baru.

Apabila satu pilihan titik fokus dibuat kita tidak dapat lagi melihat bentuk yang asal
secara langsung. Kalau terpandang sekalipun hanya sekilas toleh kerana bentuk yang
asal itu telah dilapisi oleh satu bentuk baru yang menjadi pemusatan mata. Bentuk baru
ini tidak menjemukan penikmat. Pendekatan dalam titik fokus ini juga melahirkan
sesuatu yang kontra dan cuba mengalih sesuatu menjadi penegasan yang baru dan
indah.

Persoalan yang selalu ditimbulkan ialah kenapa gambar yang asli seperti ini dalam
karya-karya seni lukis moden perlu diolah menggunakan penonjolan titik fokus? Titik
visual yang dilihat oleh mata mahukan sesuatu yang cantik dan mulai menjemukan jika
penonjolannya diulang-ulang. Bagi menghilangkan jemu dan mengelak dari bentuk asal
menjadi kaku maka kedudukannya perlu diubah. Contohnya dengan dua imej menjadi
satu, merupakan imej baru seperti yang dilakukan oleh Picasso. Imej gitar yang
ditindan menjadi tubuh manusia oleh Picasso telah menjadikan kedua-dua imej itu
bergabung dalam bentuk baru. Bentuk-bentuk yang distrukturkan itu menjadi gambar
yang imejnya sebagai titik fokus.

Mainan latar belakang juga penting bagi menarik mata melihat struktrur yang
nampak terkehadapan. Retina mata akan melihat sesuatu imej dan dikaitkan dengan
minda. Dalam bentuk-bentuk semi abstrak, abstrak, bentuk geometri dan mainan warna
diolah menjadi bentuk-bentuk baru. Orang biasa yang tiada berpengetahuan seni hanya
melihat satu paten hanya dari dalam. Sebenarnya apa yang difikir dan dilihat itu
melampaui di luar paten, kombinasi elemen-elemen seni, mainan ruang, kekuatan
bentuk melintasi sempadan sebenar. Hal tersembunyi di bawah permukaan adalah
keseluruhan yang patut dilihat oleh mata dan minda. Dari pandangan dalam lukisan
moden, tidak terhasil yang indah jika apa yang ditonjolkan semata-mata figura
sedangkan ada lagi yang tidak dapat disembunyikan yang boleh ditafsir oleh mata.
Kewujudan latar belakang, cahaya dan rupa bentuk yang melawan sifat semulajadi
adalah hal sebenar yang boleh divisualisasikan hanya dengan satu titik visual yang
boleh dilihat oleh mata.

Pembuat seni yang tahu menonjolkan secara impresif imej-imej yang tersembunyi
telah mematangkan pengalaman mereka dalam sebuah karya. Hal yang tersirat dan
tersurat seharusnya dimanipulasikan menjadi keseluruhan pengalaman visual sehingga
berjaya meneroka dan mendedahkan mainan persepsi visual yang melibatkan minda.
Minda telah dimainkan dalam sebuah hasil lukisan melalui perbezaan persepsi dan
emosi. Dipergunakan setiap ruang dengan lapisan awal dari suatu kesan psikologi
untuk melibatkan kecerdasan mental dalam mentafsir. Persepsi yang jauh daripada
minda cuba didekatkan.

Apabila orang dewasa cuba mevisualisasikan sesuatu dari sudut pandangan kanak-
kanak, perkara yang dilihat dan apa yang difikirkan turut berbeza. Kanak-kanak tidak
dapat mengerti hal benda di sebalik penindihan imej (superimpos) kerana
pengetahuannya berbeza daripada orang dewasa. Penindihan imej dapat difahami
apabila mereka kembali kepada mimpi dan fantasi yang tertinggal di bawah sedar yang
boleh dijelmakan kembali sewaktu sedar melalui melihat sebuah hasil seni. Karya-karya
sebegini boleh dirujuk dalam seni naive dan adalah satu contoh mudah yang boleh
dilakukan dengan mengembalikan ingatan dan kesedaran lampau. Persepsi psikologi
dan emosi dimainkan dengan imej visualisasi dan percubaan ini memperjelaskan suatu
pertindihan imej berjaya dilakukan yang dikaitkan bersama mimpi yang dilihat dari satu
titik.

Dalam membuat analisis terhadap seni tampak, sempadan antara minda seseorang
itu berlaku dalam kitaran bebas. Penstrukturan imej yang bebas dalam seni lukis moden
diperjelaskan melalui lapisan awal minda iaitu apa yang pertama dilihat oleh mata.
Paten-paten awal akan ditangkap oleh mata dan bentuk makna akan ditafsir melalui
lapisan kedua secara penindihan imej, perlapisan dan sempadan pada garis luar dari
permukaan objek sebenar akan direpresentasikan ke dalam sempadan sebenar. Hasil
dari bentuk penindihan, tindanan dan perlapisan distruktur dalam minda sebagai satu
keaslian.

Suatu evolusi dalam seni tampak terjadi menerusi titik, garisan dan membentuk imej-
imej sebagai satu ciptaan yang menjadi “letupan” tersembunyi di sebalik sesebuah
gambar. Di sebalik gambar, lukisan, objek-objek arca dan instalasi keseluruhannya
adalah nilai seni yang mempunyai penstrukturan yang terancang. Walaupun secara
peribadi ada pembuat seni mengisytiharkannya sebagai spontan, terjadi secara tidak
sengaja, berlaku tanpa diduga. Dalam falsafah seni lukis moden hal ini telah dijelaskan
dan apa yang terjadi sebenarnya telahpun dirancang konsep dan ideanya sewaktu di
dalam minda. Akhirnya segala permukaan digubah dengan kepelbagaian teknik dan
terhasil sehingga menjadi penting.

Ahli falsafah yang bernama Bergson mengambil pendirian di dalam hal ini dengan
melihatnya sebagai suatu evolusi. Bergson memanggilnya sebagai intuisi metafizikal
yang bebas pada awalnya dan kembali terancang. Satu kenyataan beliau telah dipetik
iaitu:
“ Apabila saya mengarahkan perhatian pada diri. Pertamanya saya membayangkan
suatu kepadatan pada permukaan, semua persepsi yang muncul adalah jelas,
padu dan menjadi satu objek..tetapi jika saya melukis untuk menuju satu titik
tengah didapati semuanya berbeza”.

Apa yang dimaksudkan dalam kenyataan di atas ialah titik yang dilihat oleh mata
akan berbeza dengan titik yang akan ditafsir oleh minda. Contoh yang diambil oleh
Bergson dalam lukisan perspektif titik tengah adalah suatu analogi yang menunjukkan
minda boleh melihat banyak perspektif berbanding apa yang boleh dilihat oleh mata.
Kenyataan Bergson di atas adalah suatu persepsi ilusi pada permukaan objek tetapi
tidak ada sifat kedalaman. Apa yang dapat disimpulkan ialah permukaan yang rata dan
mendatar itu seperti mata yang melihat satu titik visual yang boleh dilihat dan
divisualkan oleh minda dengan lebih luas serta tidak terbatas yang dikenali sebagai
“illusion of space”.

Bergson mengenalpasti titik visual yang dilihat oleh mata menjadi suatu persepsi
yang menarik kepada seseorang penikmat seni apabila paras persepsi itu melihat visual
dari satu titik berdasarkan pengalaman. Banyaknya pengalaman membantu
memperkayakan persepsi visual seseorang dan tahap kekaguman juga amat berbeza
berdasarkan pengalaman. Beberapa contoh terdapat dalam karya seni tampak moden
yang menonjolkan nilai artistik yang tinggi dan penikmat seni yang juga tinggi
pengalaman persepsi visualnya menghayatinya dengan penuh kekaguman. Sebab itu
persoalan yang timbul hingga kini tentang adanya kenyataan di kalangan masyarakat
yang menolak seni kerana alasan tidak faham apa yang dilihat. Jawapannya kerana
jurang celik seni dari pengalaman persepsi visual itu tidak seiring dan seragam antara
individu dengan seorang yang lain. Ada yang melihat kerana minat, kecantikan dan
ada yang cenderung menatap serta menghayati kerana titik visual yang dilihat oleh
mata itu berbeza tafsiran mindanya dengan yang lain.

Dapatan dari kajian Bergson menyakini titik visual yang dilihat oleh mata berkait
dengan pemikiran kreatif. Segala aktiviti kreatif yang cenderung ke arah kebebasan
idea dapat diterokai dan menjadi rujukan dalam psikologi seni moden. Dikatakan oleh
Bergson bahawa kebanyakan pembuat seni menggunakan proses persepsi tampak
berunsur bebas tetapi tidak menyedarinya. Bergson mencadangkan suatu situasi yang
boleh diperbaiki iaitu sebelum ini kebanyakan kita apabila melukis akan terus
menumpukan perhatian secara eksklusif pada rupa bentuk objek sebenar. Cara ini
sebenarnya telah mengenepikan persekitaran yang menjadi persaingan objek tersebut
seperti latar belakang, simbahan cahaya dan bayang objek. Persekitaran di keliling
objek itu telah terpotong dan terpisah dari pengalaman. Disarankan oleh Bergson
supaya teknik kebebasan idea itu dibuka seluas-luasnya dan mendidik minda pembuat
seni untuk melihat secara keseluruhan.
Sebahagian pengkritik seni mengulas kembali pandangan Bergson yang melihat
lukisan dari titik tengah dianggap sudah pun meliputi keseluruhan permukaan dalam
sesebuah lukisan. Dikatakan olahan cara ini membazirkan ruang dan komposisi. Yang
penting setiap objek itu dihadirkan jika ia membawa maksud tertentu. Jika tidak perlu
cukup sekadar sebahagian yang disatukan yang membawa makna keseluruhan.
Pandangan kritis ini melihat imej yang ditatap oleh mata adalah sebahagian dari minda,
mewajarkannya sebahagian yang lain sebagai keseluruhan dan itulah peranan minda.

Apabila perkembangan seni lukis moden menekankan idea dan konsep


membolehkan karya seni ditafsir secara bebas ini menunjukkan pandangan Bergson
tidak dapat dikaitkan dengan persoalan “titik yang dapat dilihat dengan mata dan
ditafsir oleh minda”. Apapun peranan mata untuk melihat secara keseluruhan tidak
boleh dihalang oleh sesiapa kerana anugerah mata oleh Allah s.w.t. akan digunakan
semaksimum bagi membantu minda berfungsi secara rasional.

Rujukan:

Anton Ehrenzweig. The Psychanalysis of Artistic Vision and Hearing. London:


Sheldon Press, 1975

Betty Edwards. Drawing on the Right Side of the Brain(Revised and Expanded,
New color Section). New York: A Jeremy P. Tarcher/Putnam Book, 1989

David A. Lauer. Design Basics (Third Edition). New York: Holt, Rinehart and Winston,
Inc., 1990

Edmund Burke Feldman. Art as Image and Idea. New Jersey: Prentice-Hall, Inc.,
Englewood Cliffs, 1989

Anda mungkin juga menyukai