Anda di halaman 1dari 25

Soalan 3

‘Dasar KPM adalah untuk memartabatkan profesion perguruan dengan


meningkatkan kualiti guru, kerjaya dan kebajikan guru. Matlamat KPM adalah
untuk menjadikan profesion keguruan dihormati dan dipandang tinggi sesuai
dengan amanah yang dipikul dalam pembinaan generasi masa hadapan Negara.”
-pelan Induk Pembangunan Pendidikan
m.s. 106

Bincangkan bagaimana anda sebagai seorang pendidik berperanan untuk


memastikan hasrat tersebut dapat dilaksana dalam organisasi anda.

1.0 PENDAHULUAN

Dalam memartabatkan profesion perguruan semua agensi yang berkaitan perlu

memainkan peranan mengikut bidang kuasa masing-masing bagi memastikan

profesion ini terus dihormati dan dipandang tinggi dan dapat menyumbang

sepenuhnya kepada pembangunan Negara dan kesejahteraan masyarakat

Malaysia seluruhnya. Guru bukan sahaja bertanggungjawab membekalkan murid

dengan ilmu pengetahuan tetapi juga dengan pembentukan peribadi yang mulia

yang sesuai dengan kejayaan di dunia dan buat bekalan untuk ke akhirat.

Namun, pada hari ini guru tidak mendapat pengiktirafan yang sepatutnya kerana

berlakunya perubahan dalam budaya masyarakat lantaran sebab-sebab tertentu,

sudah menjadi begitu terkeliru dan tidak tentu arah. Umpamanya jika dahulu

masyarakat percaya bahawa kita perlu membalas budi dan berterima kasih

apabila kita menerima sesuatu, sebagaimana pantun Melayu yang berbunyi:


Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati

Muthakhir ini, ada pendapat yang mengatakan bahawa kita tidak lagi perlu

terhutang budi dan berterima kasih dengan apa yang kita terima kerana apa yang

kita terima memang pun hak kita, sebagaimana guru menerima gaji bulanan hasil

penat lelah mereka sendiri. Pendapat inilah akhirnya menimbulkan kekeliruan

dalam masyarakat, termasuklah dalam kalangan guru sendiri. Pendapat ini sekali

gus telah menjatuhkan martabat profesion perguruan itu sendiri dan profesion

perguruan tidak lagi menjadi pilihan kerjaya, tidak dihormati dan dipandang tinggi

oleh masyarakat.

Dalam keadaan kekeliruan ini, seorang guru sebagai pendidik perlulah berusaha

dengan lebih proaktif untuk mempertingkatkan keupayaan diri sama ada dari segi

kemahiran, komunikasi dan aspek-aspek lain bagi menjelaskan kepada

masyarakat nilai mana yang patut dipegang supaya masyarakat yang cemerlang,

gemilang dan terbilang dapat dibina. Y.B. Menteri Pelajaran Malaysia , Dato’ Sri

Hishamuddin bin Tun Hussein dalam Perutusan Hari Guru 2006 telah meletakkan

guru sebagai golongan yang berada di barisan hadapan dalam menjayakan

wawasan negara. Oleh itu, guru memainkan peranan utama untuk meningkatkan

martabat profesion perguruan agar Misi Nasional dapat disempurnakan.

drwzwi/08/ptk/610613035547 2
Misi Nasional yang menjadi teras pada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9)

yang telah menggariskan lima teras utama iaitu; 1. Meningkatkan ekonomi dalam

rantaian yang lebih tinggi; 2. Meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi

negara serta memupuk minda kelas petama; 3. Menangani masalah

ketidakseimbangan sosioekonomi yang berterusan secara membina dan produktif;

4. Menekan peningkatan tahap dan kemampuan kualiti hidup dan 5. Mengukuh

kupayaan institusi pelaksanaan, adalah merupakan rangka kerja bagi agenda

pembangunan negara dalam tempoh 15 tahun yang mensasarkan pada tahun

2020 Malaysia menjadi sebuah negara maju. Oleh itu, bidang pendidikan

memainkan peranan yang amat besar untuk melakukan lonjakan terakhir untuk

merealisasi matlamat Wawasan 2020.

Peranan sektor pendidikan telah ditekankan dengan lebih jelas lagi pada teras ke-

2 dan ke-3 Misi Nasional ini. Teras ke-2 memberikan penekanan kepada

penambahbaikan sistem penyampaian pendidikan dan latihan , memperkasakan

Sekolah Kebangsaan dan merapat jurang prestasi antara sekolah luar bandar

dengan sekolah di bandar. Selain itu, teras ini menekankan kepada pembinaan

masyarakat yang inovatif dengan keupayaan Sains dan Teknologi yang kukuh

serta pembangunan modal insan. Teras ke-3 pula menekankan usaha untuk

meluaskan akses kepada program pendidikan serta latihan bagi meningkatkan

bilangan pengurus termasuk profesional bumiputera sama ada dalam sektor awam

mahupun dalam sektor swasta.

drwzwi/08/ptk/610613035547 3
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pula, sebagai menyahut cabaran yang

terdapat di dalam Misi Nasional telah menggariskan misinya berlandaskan

Falsafah Pendidikan Negara(FPN) iaitu ” Membangunkan sistem Pendidikan

Berkualiti yang Bertaraf Dunia bagi Memperkembangkan Potensi Individu

Sepenuhnya dan Memenuhi Aspirasi Negara Malaysia” . Sehubungan dengan itu,

KPM telah menyediakan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-

2010, yang bermatlamat “Pendidikan Berkualiti untuk Semua Orang” selaras

dengan keperluan semasa dan akan datang. Terdapat enam teras strategik PIPP

dalam tempoh RMK-9 iaitu:

1. Membina Negara Bangsa


2. Membangunkan Modal Insan
3. Memperkasakan SekolahKebangsaan
4. Merapatkan jurang pendidikan
5. Memartabatkan Profesion Perguruan
6. Melonjakkan kecemerlangan Institusi Pendidikan

Jadi, memandangkan keperluan pendidikan untuk menyokong usaha-usaha dalam

menyahut seruan kerajaan, maka profesion perguruan diharapkan dapat membuat

anjakan paradigma menerusi peranan para guru itu sendiri.

2.0 Peranan Guru Dalam Meningkatkan Kualiti, Kerjaya dan Kebajikan

Guru Dalam Memartabatkan Profesion Keguruan

Pelbagai pendekatan perlulah diambil oleh para guru agar martabat profesion

perguruan dapat dipertingkatkan dan menjadi satu profesion yang dihormati dan

dipandang tinggi, serta hasrat murni seperti yang terdapat di dalam Misi Nasional

drwzwi/08/ptk/610613035547 4
serta Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) dapat dicapai dengan

jayanya.

Para guru di dalam setiap organisasi sekolah perlulah bersedia untuk berubah dan

membuat anjakan saujana daripada pelbagai sudut seperti peningkatan kualiti

keguruan, kerjaya guru sebagai satu profesion dan juga kebajikan guru itu sendiri

demi memastikan profesion yang murni ini mendapat penghormatan dan

dipandang mulia di sisi masyarakat sesuai dengan amanah yang dipikul sebagai

pembentuk generasi penerus pada masa akan datang.

3.0 Peningkatan Kualiti Profesion Perguruan

Para guru hendaklah sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan tahap

profesionalisme mereka agar tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak . Mereka

harus mempunyai pelbagai kemahiran, baik dari segi pedagogi, psikologi mahupun

interpersonal serta mempunyai keperibadian yang mulia dan daya kepimpinan

yang cemerlang di dalam dan di luar persekitaran sekolah.

Dalam pada itu, para guru juga perlulah mematuhi konsep akauntabiliti dalam

profesion kerana ia merupakan teras dalam perkhidmatan demi menjaga

kemurnian profesion perguruan. Para guru perlu bertanggungjawab dalam apa jua

tindakan ataupun keputusan yang dilakukan dan menjadi ‘role-model’ kepada

orang lain dengan menjaga segala tindak-tanduk mereka. Mereka juga mestilah

sentiasa bersih dari salah laku dan kelihatan bersih pada pandangan umum. Para

drwzwi/08/ptk/610613035547 5
guru mestilah bersih dari segi rohani dan jasmani, penyalahgunaan kuasa, rasuah,

penyelewengan dan pelbagai salahlaku samada dalam perkhidmatan mahupun

dalam masyarakat.

3.1 Etika keguruan

Dalam usaha memartabatkan profesion perguruan, umum akan melihat kepada

pelbagai isu yang yang berkaitan, meliputi pelbagai aspek seperti keilmuan,

agama , penampilan diri, budaya, dan juga kebertanggungjawaban guru itu sendiri

terhadap profesion yang diceburi.

Nilai dan etika penting dalam perkhidmatan perguruan kerana ia merupakan salah

satu cabaran Wawasan 2020 iaitu, “Mewujudkan masyarakat bermoral dan

beretika , dengan rakyatnya memiliki nilai-nilai kerohanian dan agama yang kukuh

serta mempunyai standard etika yang tinggi”. Dengan itu, guru harus

mementingkan nilai dan etika dalam perkhidmatan kerana ia dapat membimbing

mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab berpandukan kaedah yang

ditetapkan mengarah kepada pencapaian objektif atau matlamat yang ditetapkan.

Antara nilai dan etika yang perlu dipatuhi ialah taat setia, amanah, bersih, jujur,

bertanggungjawab,adil dan saksama, berkecuali, prestasi cemerlang dan

berkualiti, ketetapan masa, perkhidmatan ramah mesra, berjimat cermat ,

menepati masa dan bersikap positif, responsif ,berdaya cipta dan “ enterprising “.

drwzwi/08/ptk/610613035547 6
Dengan kata lain , guru yang mematuhi kod etika perkhidmatan merupakan guru

yang peka serta akur pada pekeliling –pekeliling yang dikeluarkan oleh pihak KPM,

JPN dan lain-lain. Sebagai contoh ada beberapa pekeliling sepert; Surat Pekeliling

Ikhtisas Bil. 12/1999 dan 7/2001 tentang Garis Panduan Pakaian Guru Ketika

Bertugas di Sekolah, Pekeliling Bil. 16/2000 yang menggariskan Salah laku

Memasukkan Unsur Politik Dalam Soalan peperiksaan atau ujian di Sekolah dan

Pertubuhan dan Pekeliling Bil. PKPA 1/2005 yang mengariskan bahawa setiap

sekolah mempunyai Piagam Pelanggannya patut menjadi garis panduan kepada

semua guru. Ini adalah bertepatan dengan hasrat Y.A.B Perdana Menteri Malaysia

dalam ucapannya menyatakan:

“Bagi mempastikan perkhidmatan awam terus berlandaskan


etika yang kukuh , adalah penting bagi pihak pengurusan
mengiktirafkan dan memberi penghargaan kepada tingkah laku
yang berbudi mulia . Sebaliknya kegiatan penyelewengan dan
pecah amanah harus dijawab dengan tindakan yang tegas dan
pantas . Ini memberi mesej yang jelas bahawa perkhidmatan
awam mengutamakan penghayatan nilai dan etika yang luhur
dalam kalangan kakitangannya.”

3.2 Peka kepada Perkembangan Pendidikan dan Tenologi

Dalam mendepani cabaran dan tuntutan perubahan dari segi kurikulum mahupun

kokurikulum, guru hendaklah berusaha melengkapkan diri dengan strategi

pengajaran dan pembelajaran berkesan di dalam dan di luar bilik darjah.

drwzwi/08/ptk/610613035547 7
Sehubungan dengan itu, para guru perlulah menambahkan ilmu pengetahuan

serta melibatkan diri di dalam wacana keilmuan di peringkat yang lebih

tinggi. Adalah diharapkan dengan penglibatan tersebut para guru akan

menjadi insan yang berhemah tinggi, berfikiran waras, dapat mengemukakan

idea yang bernas dan menyumbang ke arah menjadi warga dunia yang

berketrampilan di abad ke-21 ini.

Dalam persaingan global kini, negara kita memerlukan tenaga kerja yang

berpengetahuan tinggi atau lebih dikenali sebagai `knowledge workers'. Mereka

merupakan pekerja yang menggunakan ilmu sebagai asas kepada pekerjaannya

dan bukan tenaga semata-mata. Maklumat yang didapati berkaitan dengan

setiap tugasan akan memberi peluang untuk memilih cara yang terbaik agar

hasil kerja menjadi lebih berkualiti dan dengan penjimatan dari segi kos.

Dalam pembentukan ciri-ciri individu dan masyarakat bangsa Malaysia maju pada

tahun 2020 , pendidikan negara kita harus bertaraf dunia. Kriteria ini merupakan

salah satu matlamat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk menghadapi

alaf baru. Reformasi pendidikan harus disegerakan kerana segala perubahan yang

berlaku amat pantas terutamanya dalam era teknologi maklumat. Sekolah yang

bercirikan Pendidikan Bertaraf Dunia ialah sekolah yang cemerlang dalam semua

aspek pendidikan seperti akademik, kokurikulum dan sahsiah serta sentiasa

terkawal atau tiada rekod salah laku.

drwzwi/08/ptk/610613035547 8
Program Pembestarian Sekolah, mengoptimumkan peranan guru dalam

pengajaran dan pembelajaran (P&P) berbantukan teknologi canggih seperti

penggunaan komputer atau internet sebagai sumber ilmu, bertujuan mengubah

budaya P&P dari yang berasaskan ingatan dan hafalan kepada budaya berfikir

dan berfikrah. Untuk merealisasikannya para guru perlu bersedia untuk mengambil

peluang menyertai pelbagai kursus dan latihan yang dianjurkan oleh semua pihak

demi melengkapkan diri dengan kemahiran ini. Sebagai persediaan untuk

menghadapi persaingan global, latihan dan latihan semula perlu diterima oleh

guru kerana teknologi ICT merupakan sesuatu yang sentiasa berubah dan

pelbagai pendekatan terkini perlu diketahui dan diperbaharui mengikut peredaran

masa. Dalam hal ini, Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh(SMSPP) telah

mensasarkan menjelang tahun 2010 , semua guru akan berada di paras

kemahiran pertengahan atau intermediate dengan 30 % merupakan mereka yang

berkemahiran tinggi dalam ICT.

3.3 Peka kepada Perubahan

Dalam era globalisasi dan K-ekonomi, pendidikan Malaysia perlu relevan dengan

perkembangan dunia semasa. Pendidikan memainkan peranan yang amat penting

dalam merealisasikan objektif negara ke arah mewujudkan sumber manusia yang

boleh bersaing dalam arena globalisasi dan K-ekonomi. Bagi membolehkan

Malaysia bersaing di peringkat antarabangsa dan mewujudkan satu pendidikan

yang dinamik, maka guru perlu memainkan peranan sebagai pendidik yang

menghayati aspek profesionalisme dan berketrampilan.

drwzwi/08/ptk/610613035547 9
Salah satu usaha yang boleh menjadikan profesion perguruan disanjung tinggi

adalah melalui Kajian Tindakan. Salah satu teras strategik yang termaktub dalam

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang telah dilancarkan YAB

Perdana Menteri pada 16 Januari 2007 ialah ”Memartabatkan Profesion

Keguruan”. Satu strategi pelaksanaan dalam teras ini adalah memberi penekanan

kepada Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bagi menjadikan penyelidikan

sebagai budaya kerja pendidik. Oleh itu, untuk meningkatkan peranan dan

keberkesanan guru, maka guru perlulah kreatif dalam menyampaikan pengajaran.

Guru perlu sentiasa memikirkan pendekatan baru dan menyesuaikan amalan

mereka kepada kehendak serta kesesuaian pelajar. Dalam hal ini, penggunaan

kaedah Kajian Tindakan boleh dijadikan satu platfom bagi guru menuju ke arah

penambahbaikan keberkesanan dan pembestarian pengajaran.

Para guru juga perlu bersedia untuk menghadapi perubahan yang melanda dunia

pendidikan global kini dengan melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan

ilmu yang terkini dengan menyertai pelbagai kursus yang ditawarkan, maka

martabat profesion keguruan akan terus dapat dipertingkatkan dan akhirnya

profesion perguruan sebagai pemegang amanah untuk mendidik dan membina

generasi kelas pertama pada masa hadapan akan dihormati dan dipandang tinggi.

3.4 Peranan Dalam Organisasi

Sebagai ahli dalam organisasi Sekolah Berasrama Penuh (SBP) seperti Sekolah

Menengah Sains Pasir Puteh (SMSPP) adalah menjadi tangungjawab semua

drwzwi/08/ptk/610613035547 10
untuk mempastikan tahap profesionalisme dan kualiti guru sentiasa berada di

tahap maksimum.

Akauntabiliti dalam perkhidmatan menjadi tangungjawab bersama warga SMSPP

untuk mempastikan bahawa konsep kebertanggung jawaban telah di patuhi dan

dipraktikkan secara total. Ini buka sahaja dari segi isu isu berkaitan dengan hal hal

kewangan sahaja malah dalam kerja buat sehaian seperti dalam pengajaran dan

pembelajaran, kokurikulum dan juga perhubungan sosial di kalangan warga

sekolah. Sebagai contoh, penulisan perancangan pengajaran yang lengkap dan

berkualiti akan memberkan impak yang amat besar keada pengukuhan

akauntabiliti guru tersebut. Setiap unit atau tajuk perkara yang dijalankan semasa

P&P akan dapat dilihat dan dinilai secara objektif oleh semua pihak. Perhatian

yang serius juga harus diberikan kepada mendokumentasikan setiap

perancangan dan aktiviti atau program yang dijalankan di sekolah. Ini akan

mempertingkatkan lagi tahap akauntabiliti dalam organisasi. SMSPP sentiasa

menitik beratkan kepada keperluan dokumnetasi yang mana ianya merupakan

prasyarat kepada kelulusan pihak pentadbir sebelum aktiviti atau program itu

dapat dijalankan.

SMSPP juga amat prihatin kepada pematuhan kod etika perguruan, dimana setiap

guru perlu mempamerkan tatacara pemakaian dan penampilan diri yang terbaik

sesuai dengan profesion keguruan dan juga sentiasa menjadi ‘role-model’ kepada

para pelajar. Sebagai contoh, pemakain talileher, kemeja berlengan panjang dan

drwzwi/08/ptk/610613035547 11
kasut berwarna hitam di kalangan guru lelaki adalah merupakan pakaian rutin

harian setiap guru SMSPP. Ini ditambah pula dengan kursus dalaman tentang

tatacara pemakaian di mana para guru lelaki dan wanita didedahkan kepada

tatacara pemilihan warna dalam berpakaian supaya sentiasa kelihatan kemas

sesuai dengan profesion mereka.

Guru guru di SMSPP juga sentiasa didedahkan kepada kursus-kursus secara

berkala di mana pada setiap akhir bulan, satu kursus peningkatan profesionalisme

akan diadakan. Dalam kursus tersebut para guru akan didedahkan kepada

pekeliling-pekeliling dan juga arahan-arahan yang terkini. Sebagai contoh, kursus

yang diadakan pada penghujung Februari 2008 membincangkan secara jelas

tentang pekeliling dan arahan tentang penglibatan guru dalam pilihanraya. Kursus

ini telah dapat memberikan gambaran yang jelas kepada warga SMSPP tentang

bagaimana mereka boleh berperanan semasa proses piliharaya diadakan.

Pembangunan modal insan merupakan teras ke-2 dalam PIPP. Generasi masa

hadapan yang ingin dilahirkan menjelang tahun 2020 adalah bangsa Malaysia

yang berilmu pengetahuan serta mempunyai kepakaran tinggi bagi penyediaan

guna tenaga dalam pelbagai jenis pekerjaan. Oleh itu, guru yang berkualiti adalah

guru yang sentiasa peka kepada perubahan dan kreatif dalam mengguna teknik

P&P yang berkesan dengan menggunakan pelbagai kaedah pengajaran seperti;

penyelidikan atau “researching”, “mastery learning”, “peer consultation”,

drwzwi/08/ptk/610613035547 12
sumbangsaran atau “brainstorming”, kolaboratif dan sebagainya dengan

penggunaan teknologi dan ICT secara optimum.

SMSPP sebagai Sekolah Bestari sentiasa menitik beratkan para guru untuk

sentiasa peka kepada perubahan dan bertindak sebagai pemudah cara dengan

pembelajaran yang lebih berpusat pada murid dengan bantuan pelbagai alat bantu

yang terkini seperti penggunaan LCD, “Video Conferencing”, Internet dan pelbagai

aplikasi terkini sebagai satu strategi untuk memantapkan lagi P&P di sekolah.

Dalam sistem penyampaian pendidikan di SMSPP, para guru perlu menjadi ‘role-

model’ kepada para pelajar. Dengan persiapan diri yang mantap dan nilai murni

yang ditampilkan para guru di SMSPP akan dapat menjadi contoh yang baik

kepada anak didik mereka. Dengan demikian jugalah dengan nilai-nilai lain boleh

diketengahkan dalam membentuk modal insan yang berketerampilan di kalangan

generasi yang akan datang sesuai dengan misi SMSPP untuk melahirkan Modal

Insan MindaKelas Pertama yang Bertaraf Dunia. Pembentukan modal insan yang

cemerlang, gemilang dan terbilang serta bertaraf dunia bermula dari

penterjemaham ilmu yang dapat digunakan dengan baik oleh generasi yang

menyusul dan sekali gus bangsa yang berjaya dan bertamadun tinggi dapat

dilahirkan. Secara langsung dan tidak langsung gurulah yang menentukan masa

depan bangsa dan negara.

4.0 Mempertingkatkan Kerjaya Keguruan

drwzwi/08/ptk/610613035547 13
Dalam konteks ini, para guru harus sedar bahawa mereka memikul

tanggungjawab yang besar untuk memartabatkan profesion perguruan. Mereka

juga harus tahu dan berkeyakinan bahawa bagi melaksanakan segala dasar dan

perancangan yang telah digariskan oleh kerajaan, tenaga dan sumbangan mereka

amat diperlukan.

Para guru merupakan agen keberkesanan pendidikan, oleh itu, mereka harus

menjadikan kerjaya sebagai seorang guru itu sebagai satu kerjaya yang hebat

dan berkualiti serta mengekal dan mempertingkatkan kehebatan dan kualiti

tersebut sepanjang tempoh perkhidmatannya sehinggalah mereka bersara dari

profesion perguruan nanti.

4.1 Bangga dengan Kejaya Sebagai Seorang Guru

Para guru harus berasa bangga kerana memilih profesion perguruan sebagai

kerjaya mereka. Ini adalah kerana kerjaya tersebut merupakan satu profesion

yang memerlukan keupayaan intelek yang tinggi, kemampuan menyampaikan ilmu

yang berkesan dan kepakaran dalam bidang yang dipertangungjawabkan. Guru

juga harus memahami dengan jelas tanggungjawab yang harus mereka pikul serta

mementingkan kualiti dalam perkhidmatan di samping amat berdedikasi dalam

menjalankan tugas.

Profesion keguruan juga merupakan bidang kerjaya yang bukan sahaja mengajar

atau mendidik anak bangsa, malah, mereka juga bertindak sebagai pentadbir,

drwzwi/08/ptk/610613035547 14
pengurus, perancang, pelaksana, penilai, penyelia, pengawal dan sebagainya.

Sebagai pentadbir atau pengurus, guru harus berani membuat keputusan dalam

melaksanakan sesuatu tindakan dan menilai semula hasilnya, malah harus

bertanggungjawab akan keputusan yang dibuat. Dalam hal ini, keputusan yang

dibuat seharusnya selepas berlakunya proses pengumpulan maklumat, mencari

alternatif lain, meramal kemungkinan atau merancang perkara di luar jangkaan

dan diakhiri dengan menentukan risiko yang mungkin dihadapi.

4.2 Peningkatan Diri

Dalam mempertingkatkan kerjaya dalam profesion perguruan, seorang guru yang

berjaya merupakan individu yang sentiasa membuat penyelidikan dan

pembangunan (R&D) terhadap apa jua permasalahan yang dihadapi. Mereka juga

harus proaktif dalam menjalankan tugas sekali gus mencerna ide-ide baru dalam

pengajaran dan pembelajaran menjurus kepada kecemerlangan dan

kegemilangan anak bangsa pada masa hadapan.

Dalam mempertingkatkan kerjaya mereka sebagai dalam profesion keguruan, para

guru juga harus berlumba-lumba untuk mengikuti kursus-kursus peningkatan

profesion yang ditawarkan oleh pelbagai pihak seperti Kementerian Pelajaran,

Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah dan juga badan badan

lain yang berkaitan. Kursus-kursus dalam perkhidmatan seperti kursus kemahiran

ICT dan alat bantu, Kursus Peningkatan Profesionalisme Keguruan, Kursus

drwzwi/08/ptk/610613035547 15
Kepengetuaan dan juga kursus-kursus kepimpinan yang lain akan membantu

meningkatkan kerjaya mereka di samping peningkatan kemahiran dan ilmu para

guru itu sendiri. Segala input dan kemahiran yang didapati dari kursus-kursus yang

dihadiri akan memberikan nilai tambah yang signifikan kepada para guru malah

profesion ini akan sentiasa dihormati dan dipandang tinggi seterusnya dapat

memartabatkan profesion perguruan di negara Malaysia yang dicintai ini.

Kerjaya perguruan memerlukan mereka yang berpengetahuan dengan

berlandaskan konsep pembelajaran sepanjang hayat. Seorang guru harus peka

terhadap isi-isu semasa yang meliputi pelbagai aspek seperti sosial, ekonomi,

budaya, politik dan juga perkembangan pendidikan yang terkini. Oleh itu, mereka

harus melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang dinamik iaitu sentiasa

menerima dan menambah ilmunya melalui pembelajaran sepanjang hayat untuk

disampaikan kepada para pelajar dan juga masyarakat kerana guru bukan hanya

sumber maklumat kepada para pelajar, malah juga sebagai sumber rujukan rakan

setugas dan ibu bapa.

Perubahan yang berlaku dalam dunia pendidikan masa kini juga memerlukan guru

untuk menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif supaya boleh

diaplikasikan dalam di dalam dan juga diluar bilik darjah agar guru akan menjadi

sumber rujukan kepada umum sekali gus mempertingkatkan kredibiliti dan

martabat kerjaya perguruan di mata masyarakat.

drwzwi/08/ptk/610613035547 16
4.3 Peranan Dalam Organisasi

Dalam mematbabatkan kerjaya keguruan, SMSPP menekankan kepada

peningkatan keilmuan dan profesionalisme warganya. Ini adalah bertepatan

dengan saranan Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia yang mengatakan bahawa ‘…

hanya dengan ilmu lah seseorang itu akan maju dan dipandang tinggi di mata

dunia.’ Guru di SMSPP sentiasa didedahkan kepada pelbagai kemahiran seperti

kemahiran ICT, komunikasi dan juga sahsiah diri. Dengan kemahiran yang ada

para guru di SMSPP dapat mempertingkatkan pengetahuan melalui pelbagai

sumber sekaligus menjadikan mereka individu yang sentiasa peka kepada

perkembangan ilmu yang bergerak pantas ada masa ini.

Dari segi peningkatan kemahiran dan kelulusan pula, pihak pengurusan SMSPP

sentiasa menyarankan para guru agar mengambil peluang untuk melanjutkan

pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Saranan ini telah mendapat sambutan

yang menggalakkan dari para guru di SMSPP. Sehingga kini SMSPP boleh

berbangga dengan seorang guru yang berkelulusan di peringkat ijazah kedoktoran

(PhD), 16 orang berkelulusan di peringkat sarjana (Masters) dan seramai 12 orang

lagi sedang mengikuti pembelajaran di peringkat sarjana sama ada secara

sepenuh masa ataupun secara jarak jauh.

Hasil dari pelbagai pendekatan dan kesungguhan para guru di SMSPP, kini warga

SMSPP dapat berbangga dengan kompisisi guru yang berkemahiran,

berkelayakan dan berketerampilan dalam pelbagai bidang. Perasaan bangga

drwzwi/08/ptk/610613035547 17
untuk menjadi sebahagian daripada warga SMSPP ini telah dapat dirasai oleh

seluruh warga SMSPP termasuk para pelajarnya yang melihat guru-guru sebagai

‘role-model’ mereka dan masyarakat sekitar juga sentiasa memandang tinggi pada

guru-guru SMSPP.

5.0 Kebajikan Guru

Dalam aspek kebajikan guru pula, Kementerian Pelajaran Malaysia telah

memperkenalkan beberapa pendekatan seperti memberikan pengiktirafan kepada

mereka yang berhak, memperkasakan peranan Yayasan Guru Malaysia,

menyediakan kemudahan kuaters guru, kemudahan pinjaman perumahan, kereta

dan komputer, pinjaman buku teks kepada anak-anak guru dan kemudahan-

kemudahan lain seperti kewujudan koperasi dan kesatuan guru. Semua ini adalah

demi mempastikan kebajikan para guru sentiasa dijaga dan para guru dapat

menjalankan profesion mereka dengan lebih baik lagi demi menjamin pembinaan

generasi penerus yang merupakan asset Negara pada masa akan datang.

5.1 Pengiktirafan Kepada Guru

Salah satu pendekatan yang diambil oleh KPM dalam menjaga kebajikan guru

ialah dengan memperkenalkan pelbagai insentif dan kemudahan sebagai

pengiktirafan kepada profesion yang murni ini. Pihak KPM telah menggariskan

pelbagai peluang dan kemudahan kepada para guru untuk mempertingkatkan

kemahiran dan kualiti guru, sekali gus memartabatkan profesioan perguruan

sebagai satu kerjaya yang dihormati dan dipandang tinggi. KPM telah banyak

drwzwi/08/ptk/610613035547 18
berusaha untuk memberi pengiktirafan dan insentif kepada para guru dengan

mempercepatkan proses kenaikan pangkat bagi guru yang cemerlang seperti

menerusi Anugerah Guru Cemerlang, Guru Inovatif , lantikan Pengetua Kanan,

Guru Cemerlang atau Guru Pakar, kenaikan gred secara Time-Based dan

sebagainya. Inisiatif ini adalah bertujuan untuk memartabatkan profesion

perguruan dengan harapan warga guru sentiasa komited terhadap profesionnya.

Di samping itu juga KPM telah membuka banyak peluang kepada guru untuk

melanjutkan pelajaran seperti pemberian biasiswa dengan bergaji penuh kepada

mereka yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi

sehinggalah ke peringkat pasca ijazah melalui program Persarjanaan Tenaga

Mengajar manakala bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajaran melalui

program PJJ, pihak KPM telah memberikan kemudahan cuti tanpa rekod selama

30 hari setahun. Langkah ini sesuai dengan misi KPM bahawa menjelang tahun

2010, peningkatan jumlah guru siswazah melalui program Pensiswazahan Guru

akan dapat mencapai hasrat kerajaan untuk menempatkan lebih 50% guru

siswazah di sekolah-sekolah rendah dan 100% guru siswazah di semua sekolah

menengah di negara ini.

5.2 Kesatuan Guru

Selain itu, demi memelihara kebajikan para guru sendiri perlulah bersatu dalam

menghadapi segala cabaran di dalam dunia pendidikan pada masa ini. “Bersatu"

dalam erti kata yang sebenar ialah meminta warga pendidik bersatu pemikiran,

drwzwi/08/ptk/610613035547 19
pandangan dan tindakan untuk mempertingkatkan kualiti profesion dan juga mutu

pendidikan negara.

Dengan jumlah guru yang begitu ramai, dan terdiri daripada pelbagai bangsa,

agama, adat resam dan kawasan, kekuatan akan wujud sekiranya mereka bersatu

dan dengan cara inilah, kita dapat membina negara bangsa yang maju. Jika

sekiranya para guru tidak bersatu maka implikasi yang lebih besar akan berlaku

dan pelbagai masalah akan timbul dalam kalangan mereka sendiri dan akhirnya

membawa kepada kesan yang amat mendalam dalam profesion perguruan itu

sendiri. Akhirnya akan timbul pula masalah disiplin, pencapaian yang rendah dan

kegiatan serta gejala buruk yang lain dalam kalangan guru sekali gus menjatuhkan

martabat profesion perguruan itu sendiri.

Oleh itu, para guru haruslah mengambil inisiatif untuk bersama-sama didalam

pelbagai kesatuan perguruan seperti Yayasan Guru Malaysia, Kesatuan

Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan dan pelbagai lagi kesatuan agar kebajikan

mereka akan dapat disalurkan melalui saluran yang betul dan kebajikan mereka

akan mendapat perhatian dan pembelaan.

5.3 Peranan dalam Organisasi

Dalam membincangkan kebajikan guru, SMSPP berasa amat berbangga dengan

pengiktirafan yang telah diberikan kepada warga guru di sekolah ini. Pelbagai

anugerah pengiktirafan telah diterima seperti, anugerah guru cemerlang, kenaikan

drwzwi/08/ptk/610613035547 20
pangkat dan juga pemberian biasiswa kepada mereka yang ingin melanjutkan

pelajaran. Sehingga hari ini seramai 2 orang telah menerima biasiswa di peringkat

Kedoktoran Falsafah dan 7 orang telah diberikan biasiswa ke peringkat sarjana.

Beberapa orang guru jugatelah dinaikkan pangkat sebagai penolong kanan dan

juga pengetua di sekolah-sekolah harian yang lain.

Sebagai warga sebuah sekolah berasrama penuh, aspek kebajikan adalah

menjadi tanggungjawab bersama. Ini dapat direalisasikan dengan kesepakatan

dan pemaufakatan yang ditonjolkan oleh Kelab Guru dan Kakitangan SMSPP yang

mana pelbagai kemelut dan permasalahan yang dihadapi sentiasa dibincang

bersama demi kebaikan umum. Pelbagai program diatur demi menjaga kebajikan

guru seperti hal-hal yang berkaitan dengan kerjaya, kesihatan, aktiviti sosial dan

sebagainya. Dengan ini penerapan budaya penyayang dan kkekitaan dapat dirasai

di SMSPP dan telah memberikan tempiasnya kepada semua warga termasuk para

pelajar di SMSPP.

Dalam berpersatuan pula, secara majoritinya warga guru SMSPP adalah

merupakan ahli dalam beberapa persatuan guru seperti Yayasan Guru Malaysia,

NUTP, koperasi guru dan sebagainya. Ini adalah bersandarkan kepada keyakinan

para guru di SMSPP bahawa hanya dengan berpersatuan kebajikan mereka

akan terjamin dan martabat profesion perguruan itu sendiri akan dapat dijulang

dan dipandang tinggi.

drwzwi/08/ptk/610613035547 21
6.0 Penutup

Para guru perlulah mengambil inisiatif untuk menyahut seruan murni kerajaan

melalui Kementerian Pelajaran Malaysia dengan mengambil peluang yang

diberikan untuk mempertingkatkan ilmu, kemahiran dan kerjaya. Dengan lonjakan

kecemerlangan para guru, akan memberi kesan yang amat besar dalam

mempertingkatkan martabat profesion perguruan itu sendiri.

Sebagai menyahut seruan kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia, para

guru di SMSPP telah berjaya meletakkan diri mereka sebagai satu kumpulan

profesional yang dihormati dalam kalangan warga pendidik dan juga masyarakat.

Hasil aya usaha dan inisiatif para guru di SMSPP pelbagai kejayaan telah diraih

dan mendapat pengiktirafan daripada pelbagai pihak.

Melihat kepada pencapaian akademik daya usaha dari guru yang berkualiti yang

sentiasa peka kepada perubahan dan pendekatan terkini dalam pengajaran dan

pembelajaran telah menempatkan SMSPP sebagai salah sebuah Sekolah

Berasrama Penuh yang terbaik di Negara ini. Pencapaian tempat kelima di

peringkat kebangsaan dalam keputusan PMR pada tahun 2007 merupakan hasil

dari strategi pengajaran dan pembelajaran yang mantap dan berkesan yang

sememangnya menjadi amalan setiap guru di SMSPP.

Dalam pada itu, pada tahun 2008, SMSPP juga telah dicalonkan untuk

dipertimbangkan sebagai salah sebuah Sekolah Cemerlang di peringkat nasional.

drwzwi/08/ptk/610613035547 22
Ini merupakan pengiktirafan yang amat besar dari KPM kepada SMSPP. Ini adalah

kerana pengekalan dan penambahbaikkan kualiti, kerjaya dan kebajikan dalam

kalangan warga SMSPP yang sememangnya menjadi teras kepada

kecemerlangan sekolah.

SMSPP juga sentiasa mengalakkan warga guru untuk sentiasa berusaha kearah

peningkatan ilmu. Kesedaran tentang peranan ilmu dalam profesion telah

menjadikan SMSPP sebagai pusat rujukan. Bilangan guru yang berkelulusan

pasca ijazah di SMSPP adalah merupakan yang tertinggi dalam dearah Pasir

Puteh, Kelantan. Ini sekali gus telah menaikkan martabat guru SMSPP dan

pendapat mereka sentiasa dihormati oleh pelbagai pihak. Ini dapat dibuktikan

dengan jumlah ketua pemeriksa SPM dan PMR, yang ramai bilangannya di

SMSPP, juga guru pakar, MUET dan juga sebagai AJK pengerak dalam pelbagai

jawatankuasa sama ada di peringkat daerah, negeri mahu pun di peringkat

kebangsaan.

Pengukuhan dan penambahbaikkan dari segi kualiti, kerjaya dan kebajikan guru

merupakan prasyarat kepada kecemerlangan. Jika sekiranya semua guru

bergerak sederap untuk menjayakan pendidikan bertaraf dunia, maka, wawasan

negara untuk menjadi negara maju menjelang 2020 akan dapat direalisasikan

seterusnya profesionalisme para pendidik tidak akan dipertikaikan dan martabat

profesion perguruan akan dijulang oleh masyarakat. Para guru akan diletakkan di

drwzwi/08/ptk/610613035547 23
tempat yang sewajarnya dan akan sentiasa dihormati dan dipandang tinggi sesuai

dengan amanah yang dipikul dalam pembinaan generasi masa hadapan.

7.0 BIBLIOGRAFI

Datuk Dr. Syed Othman Alhabshi (2007) Building a Caring Society Through the
Enhancement of Values. Institute of Islamic Understanding Malaysia
(IKIM)New Straits Times Press. Kuala Lumpur

Deci, E. L., & Ryan, R. M. (1985). Intrinsic Motivation and Self-determination in


Human Behavior. New York: Plenum.

Hiemstra, R. (2000) The Educative Community 3rd. Edition, Baldsville, New York,
HiTree Press

Institut Tadbir Awam Malaysia, 1194, Citra Karya : Falsafah, Nilai dan Etika dalam
Perkhidmatan Awam, Kuala Lumpur. INTAN

Institut Tadbir Awam Malaysia,(1999), Tonggak Dua Belas : Penerapan Nilai,


Norma, Etika Perkhidmatan, Kuala Lumpur. INTAN

Lewis, C., College, M., Schapps, E. & Watson, M. (2003) Building Community in
School:The Child Development Project. Developmental Studies Center .
Thousand Oaks, CA: Corwin Press.

Maklumat Kemahiran Aplikasi Teknologi Maklumat (ICT) Guru Negeri Kelantan,


Tahun 2007 , 27 Dis. 2006, JPN Kelantan

Pelan Tindakan Pembangunan Pendidikan 2006-2010, Kementerian Pelajaran


Malaysia, 2006

Pembinaan Jati Diri Pelajar SBP , Kementerian Pelajaran Malaysia 2005


Perkhidmatan Guru Bahagian 1 . Subang Jaya : Kumpulan Budiman Sdn.
Bhd.

drwzwi/08/ptk/610613035547 24
Roberts, W., Hom, A. & Battistich, V. (2007), Assessing Students' and Teachers'
Sense of the School as a Caring Community Developmental Studies Center
Oakland, CA. www.devstu.org.

Sang, M.S ( 2001 ). Pendidikan Di Malaysia Edisi ke-8 . Petaling Jaya : Kumpulan
Budiman Sdn. Bhd.

SPI Bil. 1/2001 Garis Panduan Pakaian Guru Ketika Bertugas di Sekolah

Ucapan Y.A.B. Dato` Seri Abdullah b. Hj. Ahmad Badawi, Intan, Bukit Kiara, 9hb.
Jun 2004

Utusan Malaysia , 17 hb. Jan 2007

drwzwi/08/ptk/610613035547 25