Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi bagi negara Malaysia. Kita
menggunakan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi sesama kita dalam kehidupan seharian. Namun, tahunkah kita tentang asal-usul bahasa Melayu yang kita gunakannya setiap hari? Sebagai warga Malaysia yang patriotik, kita sewajarnya mengkaji dan mengetahui susur galur dan meneroka liku-liku pertumbuhan bahasa Melayu. Bunyi cogan kata “ Maju bangsa majulah bahasa” bukan sahaja tepat bagi usaha menegakkan bahasa kebangsaan oleh sesebuah negara merdeka yang ingin membina identitinya, tetapi juga bagi pertumbuhan sesuatu bahasa dan perkembangannya.
Bahasa Melayu juga mempunyai pelbagai fungsi dalam kehidupan seharian.
Antara fungsi-fungsinya ialah bahasa Melayu dijadikan bahasa pentadbiran dan pengurusan, bahasa persuratan dan bahasa komunikasi. Hal ini menunjukkan peranan bahasa Melayu yang universal sesuai dengan gelarannya sebagai bahasa rasmi dalam negara Malaysia. Namun, terdapat juga penggunaan bahasa Melayu yang rojak dan dicampur adukkan dengan slanga-slanga moden yang dicipta oleh golongan yang kurang mencintai bahasa ibunda. Hal ini harus dibendung dengan segera kerana jika hal ini dibiarkan maka bahasa Melayu mungkin akan mengalami kemerosotan bahasa dan seterusnya hilang identiti sebagai bahasa Melayu itu sendiri.
Setiap bahasa mempunyai sistem-sistem bunyinya ynag tersendiri. Begitu
juga bahasa Melayu yang mempunyai sistem bunyi yang dikenali sebagai bunyi bahasa dan bunyi bukan bahasa. Bidang yang mengkaji bunyi-bunyi ini dikenali sebagai bidang fonetik dan fonologi. Fonetik ialah kajian mengenai bunyi-bunyi bahasa yang dihasilkan oleh manusia manakala fonologi ialah bidang linguistik yang mempelajari, menganalisis dan membicarakan bunyi bahasa.