Anda di halaman 1dari 10

CERMIN, POTRET DAN IMEJ

Jika saya bertanya pada cermin, apa yang dapat saya lihat dari dalam cermin? Cermin
menjawab, anda akan dapat melihat wajah anda. Tetapi bagi rakan saya, ia mahu
melihat wajahnya pada cermin sebelum dunia ini diciptakan. Subahanallah.

Setiap potret dalam kesan yang sama, membalikkan diri potret yang diimejkan kepada
pemerhati. Setiap potret itu menyerahkan pada mata untuk melihat dan mencari
kepuasan. Dari potret itu secara luarannya kita ternampak secara fizikal mata, hidung,
mulut, telinga dan sebagainya. Tetapi dari potret itu secara dalamannya bukan semua
yang dapat dilihat kecuali pelukis potret yang mendapat anugerah Allah sedikit ilmu
untuk menelah isi yang tersirat. Sebijaknya pembuat seni yang ramai itu, sebahagian
besar boleh mentafsir imej tersirat di sebalik catan abstrak namun bukan semua yang
dianugerahi pengetahuan untuk melihat hati sebenar wajah serta peribadi di sebalik
lukisan potret yang dilukiskan.

Setiap karya potret itu adalah cermin. Imej cermin bagi seseorang itu seperti makhluk
yang gagal dan berjaya yang menjadi pembalikan kepada realiti. Jika anda diberi pilihan
untuk mengambil cermin dan membawanya ke mana-mana bersama anda, ianya akan
menjelmakan cahaya dari sesuatu peristiwa. Hal dijelmakan itu mengimbas kembali hal
diri kita atau menjangkau ke depan suatu imaginasi. Apa yang dijelmakan itu diperolehi
seperti suatu realiti dan tidak diyakini sama ada suatu kebenaran atau kepalsuan.

Cermin Diri: Catan Potret Diri dan Imej Pembalikan kepada Realiti

Tahap antara realiti dan kebenaran, kepalsuan dan keaslian itu bergantung pada
penampilan imej yang dipamerkan dari cermin. Dalam seni dekorasi pada batu nisan di
pusara, selepas pertengahan abad pertama sebelum masihi, dekorasi batu nisan
dijadikan objek monumen yang berseni. Bahan marble yang mahal dan bermutu tinggi
menghidupkan refleksi simati bagi membuka wajah potret dalam suatu dunia yang baru.
Ketika itu akan ada antara kita yang memikirkan imej apa dan bagaimana yang harus
dipakai untuk meletakkan cermin di satu tempat yang baru. Tempat yang baru di alam
yang baru di kenali “alam Barzah”. Tempat baru di dunia lain yang menawarkan
ganjaran setimpal dengan amalan baik dan jahat sewaktu hidup. Semuanya berlaku
sebaik sahaja bermulanya kematian.

Dalam sebuah villa misteri dan di satu penjuru kanan pada ruang tamu tergantung
sebauh potret bersaiz 20 kaki x 28 kaki. Ada beberapa figura yang terdiri dari potret
anak-anak muda sedang minum di dalam catan potret tersebut. Di sebalik mereka ada
anak muda bersendirian memegang topeng di hadapan cermin. Imejnya bersama
topeng memantul wajah sendiri yang sedang terbakar.
Melihat potret diri pada cermin janganlah kita menyangka dan berfikir itulah diri kita. Ia
bukan diri kita yang sebenar. Imej yang kita lihat itu yang dipantul semula bukan lagi
kita yang sebenarnya dalam realiti ia adalah jelmaan imej lain. Benar atau salah kita
tidak tahu. Kita yang berdepan dengan cermin itu percaya dan yakin itu adalah
kebenaran. Tetapi bukan itu wajah sebenar yang kita tampilkan. Hal yang sama akan
berlaku dan kali ini diekspreskan menjadi sebuah catan potret oleh seorang pelukis.
Potret yang sama dilukiskan dan hasilnya lebih menarik, hidup, terjelma wajah yang
lebih muda dan segar dari wajah potret sebenar. Akhirnya sipemotret itu tenggelam
dalam pujian lalu menjadi alpa. Dalam mimpinya di siang hari kata-kata ini masih
berbisik di telinganya.

“Tuhan yang mencipta malam.


Segala mimpi yang nampak di sebalik gelas berkaca.
Kepada kita yang selalu mendekati-Nya akan mendapat tahu wajah kita sebenarnya.
Ketika ini kita akan takut, rasa ngeri dan menyeramkan”

Bersambung lagi dalam mimpi di siang hari…

“Kadangkala wajah kita di waktu tengahari yang dapat kita lihat dari dalam cermin
penuh bercahaya.
Apabila wajah ini dipotretkan di atas kanvas, harapannya sama seperti imej pada
cermin kerana cermin tidak pernah berbohong. Adakah ini mengingatkan wajah kita
yang sebenar”.

Sepanjang perjalanan hidup ini, wajah kita sentiasa berubah. Umur, pengalaman,
emosi, kejadian yang berubah seperti cahaya yang gelap, terang kembali gelap atau
kembali cerah. Perubahan ini mengajar kita percaya kepada wajah sendiri. Cermin yang
memantulkan wajah kita tidak akan menipu tetapi ada waktunya ia akan memeranjatkan
kita. Ketika ini tiada wajah lain dari itu…

Apabila kita berfikir untuk mencapai sesuatu dan mengimbau kembali perubahan wajah
yang lalu, adakah kita sedar bahawa perubahan telah berlaku di wajah kita dalam
setiap detik? Kadangkala ia berubah menjadi sesuatu yang lain. Ia menggali kembali
masa silam dan masa depan. Setiap sudut gambaran dilahirkan semula menggantikan
sudut yang lama dan penggantian ini terjadi dalam satu pusingan. Wajah dikembalikan
pada zaman kanak-kanak dan wajah itu berombak dan kembali tenang. Adakalanya
menyerupai wajah anak-anak kita dan ada mirip wajah kita pada wajah cucu kita. Wajah
itu tidak pernah mengambil tahu siapakah kita? Ketika ini kita sendiri yang perlu ambil
tahu. Semuanya berada dalam proses dilahirkan semula.
Proses Kelahiran Semula Suatu Gambaran dalam Potret Diri

Kelahiran menggantikan kematian. Hari ini ada jiran kita yang meninggal. Esok ada jiran
kita yang baru melahirkan cahaya mata. Semalam ada rakan sepejabat kita mati
kemalangan dan bulan hadapannya ada manusia baru yang dilahirkan menggantikan
kematian.

Cermin, potret dan imej kematian adalah isyarat untuk kita berhenti seketika dan
menoleh ke belakang mengambil dan memegang kembali cermin untuk “melihat cermin
wajah kita”. Bermula dari isyarat amaran itu, bermulanya perubahan. Tetapi sebelum
itu, kita disuruh berhenti sementara di hadapan cermin. Inilah ketikanya ada debu-debu
pada wajah kita dan itulah wajah akhir kita yang boleh kita terima sebagai wajah
sebenar kita.

Jika nasib menyebelahi kita, waktu itu kita ditunjukkan dengan wajah kita yang sebenar
dan akan terjadi tanpa diduga. Kenapa terjadi sesuatu tanpa diduga? Jawapannya
mengingatkan dan menyedarkan kita dari satu isyarat yang tidak diduga. Jika kita sedar
dalam keadaan masih alpa isyarat itu akan datang dalam mimpi kita. Jika kita tidak
mengendahkannya kerana percaya ada ramai yang berkata, mimpi adalah permainan
tidur maka isyarat itu akan datang dalam sedar ketika menonton TV.

Saya telah menerima pesan dari seorang rakan yang pernah melihat saya melukis
potret diri. Kira-kira 20 tahun lalu potret itu masih saya simpan sebagai cermin diri.
Pesanan rakan saya ini ialah katanya;
“Kita mulai sedar atau tidak, orang berkata kita gila. Berangan-angan lebih,
berimaginasi, berkhayal dengan melukis potret diri dan dikembangkan menjadi karya
untuk potret orang lain dan itulah jiwa insan seni”

Sebenarnya itulah isyarat akhir dari Tuhan untuk saya berbuat sesuatu. Mata saya akan
menjeling pada tuannya. Hidung saya nampak seperti menyendat dan melepaskan
udara. Apabila saya melihat wajah sendiri, potret diri yang pernah saya lukis dahulu
mengingatkan saya pada banyak hal yang tersirat dan tersurat. Pensyarah saya ketika
mengajar kami melukis potret diri dengan memandang wajah sendiri dari dalam cermin.
Hampir satu semester dengan sebelah tangan melukis dan sebelah lagi memegang
cermin. Melihat wajah dicermin dan melukis potret diri sejujurnya.

Dari satu sudut apa yang saya lukis itu dilihat dari sisi yang sedikit menyerong dan ada
cacat celanya pada potret diri saya. Rakan studio ketika itu yang ketawa melihat wajah
sendiri juga ketawa meliaht potret orang lain. Saya sendiri tersenyum kerana lubang
hidung potret saya yang besar sebelah, mata yang juling dan mulut yang terserong
kerana sambil melukis sambil menjeling wajah pada cermin. Ketawa dan senyum,
mengejek dan mencemuh adalah balikkan pada diri sendiri tanpa disedari.

Tidak dibenar menggunakan cermin besar. Masing-masing disuruh menggunakan


cermin sekecil tapak tangan oleh pensyarah yang ketika itu tidak mahu berkata-kata
lebih. Apabila disoal oleh kami, sentiasa enggan menjelaskan kenapa tak boleh itu, tak
boleh ini, mengapa gunakan cermin dan sebagainya. Akhirnya objektif menghasilkan
potret diri itu adalah muhasabah diri yang ikhlas dari dalam cermin. Di sebalik
muhasabah diri itu ada nilai kejujuran yang hendak diterapkan dalam kehidupan
sebenar. Dalam realiti kehidupan di sebalik kejujuran ada kepura-puraan, kepalsuan,
ketulenan, kesemulajadian yang ketentuannya hanya Allah s.w.t yang mengetahui
rahsia di sebalik cermin diri.

Potret Diri – Muhasabah Diri

Potret dari dalam cermin dan insan seni yang dikatakan gila berangan harus dipandang
positif. Apa sahaja panggilan dan gelaran boleh menjadi landasan menyedarkan diri
bahawa selama ini ada di kalangan anak seni yang jujur dan tidak hepokrit. Ada anak
seni yang berprinsip hidup bukan meminta-minta kontrak berjuta-juta. Ada yang tidak
pernah bersekongkol dengan pengadu domba yang siang-malam menjadi penfitnah
dan tukang pecacai.

Wajah yang dilukis sama ada wajah sendiri atau potret diri orang lain adalah imej yang
dapat dilihat dan disebut selalu dalam aturan “nature”. Kritikan oleh Roger Caillois dari
segi hujahnya mengambil kembali aturan “nature” atau fitrah semulajadi sentiasa dekat
dengan kita dan berada di persekitaran kehidupan yang melihatnya dari setiap ruang.

Wajah yang ditunjukkan ialah imej yang dapat dilihat dan disebut selalu. Menurut
Jacques Lacau seorang psiktris Perancis menyatakan teori “nature” mudah digunakan
dan dijelaskan bagi manusia yang menerima dan menoleh imej sendiri. Menurut beliau
identiti kanak-kanak yang dilihat dari luar imej sama ada melalui imej cermin, kedua-
duanya mengundang kepakaran dan pengalaman. Beliau menolak hujah bahawa imej
tidak dilihat dari pembalikan imej cermin.

Seorang lagi ahli psiktris Amerika iaitu Daniel N. Stern berpendapat imej diri boleh
ditunjukkan melalui tanda yang ada pada wajah itu. Hujahnya menggunakan teori
“nature” yang melihat perkembangan imej diri iaitu dari awal perkembangan kanak-
kanak. Semasa muda, dewasa dan tua adalah peringkat perkembangan secara
“nature”. Cermin imej dari dalam cermin adalah refleksi keseluruhan imej itu dan tidak
boleh dinilai ketika itu.
Dalam memahami wajah dan imej diri secara objektifnya patut kita bersedia mencari
siapakah kita. Kita perlu melihat wajah kita di luar diri kita iaitu “we must see ourselves
outside ourselves”. Hal inilah yang kita tidak sedari menjadi faktor membantu dalam
meneroka imej diri secara luaran dan dalaman.

Apa yang kita lihat dari dalam cermin adalah imej pantulan dan ia bukan imej sebenar.
Adakah anda bersetuju dengan kenyataan ini? Kenyataan yang dibuat oleh pengamal
teori “nature” ini menyatakan di sebalik pembalikan imej dari dalam cermin itu kita perlu
sedar ia adalah hanya topeng. Kita perlu mencari imej di sebalik topeng itu. Untuk
mengenali diri seperti Tuhan mengenali lebih tentang diri kita. Ini memerlukan kejujuran
kita melihat wajah sendiri di sebalik wajah-wajah yang lain. Imej kita yang pernah dilihat
berbeza-beza pada zahirnya dikumpulkan dan dikaji. Buktinya kenapa imej kita
berubah-ubah dan disebabkan apa ianya berubah. Walaupun cermin dapat
membalikkan kebenaran namun imej dalam diri kita yang hanya kita sendiri perlu
fahaman dan mencarinya melalui muhasabah diri.

Sejarah Cermin Diri

Dalam zaman purba di China terdapat sebuah cermin lama yang telah menyebabkan
ramai orang menjadi gila apabila melihat wajah sendiri. Ada syaitan di sebalik cermin itu
apabila diletakkan pada pesakit untuk melihat wajah sendiri, pesakit akan menjerit-jerit
ketakutan. Sewaktu pemerintahan empayar pertama Dinasti Ch’in, Maharaja pertama
Ch’in Shih Huang mempercayai keajaiban cermin lalu menyimpan sebuah cermin yang
boleh memantul imej semulajadi dari sudut dalaman diri seseorang. Sejauhmana ia
menjadi suatu kebenaran belum terbukti hanya sebagai suatu kisah klasik.

Di sekeliling kita ada banyak imej yang boleh diambil menjadi pengetahuan. Secara
perbandingan ianya memantulkan makna seperti cermin. Di zaman pertengahan
Renaissance, cermin itu dianggap suatu unsur representasi yang membalikkan imej
melalui pelukisan semula. Yang meniru imej asal itu boleh disamakan dengan
pembalikan imej pada cermin. Wajah yang kita lihat dalam cermin itu boleh menjadi
wajah kita, wajah yang bertindan dengan wajah orang lain yang setiap imej itu perlu
dicari untuk mengetahui identiti sendiri.

Dalam cemin diri boleh terjadi pada satu tahap kita bertanya pada diri sendiri;
“Saya adalah saya, Aku adalah aku yang boleh dicari dari dalam cermin diri”

Selepas abad ke-20, ikon-ikon yang terpilih sebagai signifikan dan mudah
mempengaruhi minda masyarakat sejagat ditonjolkan. Ikon yang terpilih antaranya
pakaian atau fesyen bermula di Loan, Genoa dan Rom hingga terkenal sebagai
Basilica dan St. Peter. Dalam seni tampak imej-imej diri dijadikan “Pop Art” dan
mempengaruhi orang ramai sebagai simbol propaganda, pengiklanan, budaya
makanan, dari imej negatif kepada positif dan menjadi bahan ideologi politik, ekonomi
dan budaya. Andy Warhol misalannya antara artis yang menonjolkan imej cermin diri
dalam potret diri melalui imej Marilyn yang begitu popular di New york sekitar tahun
1960-an.

Kisah perihal cermin ini menunjukkan ada berkaitan dengan cerminan Tuhan dan
cerminan sesama manusia. Setiap manusia mempunyai cermin yang masing-masing
membalikkan imej fizikal dan rohaniah bagi mencari antara realiti dan khayalan. Kedua-
duanya mempunyai kualiti yang dapat dipilih antara wajah sendiri dan wajah dari imej
persekitaran dan dikaitkan dengan kekuasaan Tuhan. Ada kata-kata yang pernah
diucapkan oleh bijak pandai;

“Kami mencipta cermin bukan untuk melihat wajah tetapi cermin yang kami cipta untuk
memberi amaran dan mengingatkan kehidupan sebenar”

Sebagai alat, cermin menjadi kesayangan dan diletakkan diberbagai tempat dan sudut.
Kita dapat melihat wajah sendiri secara jujur dari setiap sudut dan penjuru.
Kesempurnaan yang terdapat pada wajah kita membantu kita membetulkan imej diri,
ketrampilan dan sebagainya. Jika cermin besar dan memanjang seperti potret akan
dilihat imej pada cermin itu dari hujung kepala hingga ke hujung kaki. Apakah
maksudnya ini?

Pernahkah kita melihat “cermin iblis” yang menakutkan seperti yang pernah terjadi di
Sepanyol pada abad ke-16. Gambaran cermin iblis itu dilakar oleh seniman Albrecht
Durer melalui cetakan torehan kayu. Imej iblis yang bertanduk, kaki yang berkuku
panjang dengan lidah terjelir dan sungguh menakutkan. Imej iblis itu dilihat dalam
cermin sewaktu seorang perempuan sedang menyikat rambutnya. Wajah perempuan
cantik itu digambarkan dalam cermin sebagai wajah yang menunggu kematian.

Cermin dan Imej Wanita

Sejak zaman Victoria, lukisan-lukisan yang bertemakan cermin dengan gelaran “mirror
of Venus” telah menampilkan identiti wanita sebagai hal benda dan simbol kajian. Imej
wanita di abad ke-19, dicerminkan sebagai cermin kepada imej lelaki, cermin kepada
ketamadunan masa dan sebagai cerminan alam. Figura dan potret wanita diabadikan
dalam catan-catan termasyur menjadi sumber rujukan dan refleksi diri.

Cermin dianggap sebagai metapora dalam mengumpul pengetahuan sejagat.


Kebenaran pada cermin bersandarkan keasliannya memaparkan cerita tentang
kebesaran alam semulajadi sekaligus menyedarkan manusia akan kebesaran Tuhan.
Keyakinan yang dipaparkan melalui cermin dapat menyampaikan maklumat,
pengajaran, kesedaran moral dan sejarah kehidupan manusia. Tawaran yang diberikan
kepada manusia melalui buku rujukan dan buku itu ada dalam cermin sebagai cerminan
imej.

Imej wanita yang digambarkan cantik itu adalah cerminan luaran yang membawa naratif
tersirat mewakili zaman yang berbeza. Potret diri wajah wanita-wanita cantik diabadikan
sekumpulan pelukis. Manakala sekumpulan pelukis yang lain memotretkan imej wanita
melalui tubuh yang separuh telanjang sebagai kecantikan. Dua imej yang kontra
ditonjolkan sebagai cerminan kepada moraliti wanita. Manakala pihak yang ketiga di
kalangan pelukis ini mencerminkan kecantikan wanita sebagai suatu kecantikan alam
semulajadi. Ketiga-tiga kumpulan pelukis ini menunjukkan imej cermin dan imej wanita
yang berbza sudut, akhirnya terpesong jauh, leka dengan kebebasan seni dan
membawa nilai seni ke martabat yang tertinggi jatuh menjadi terhina.

Perbezaan dan jurang interpritasi dalam cerminan imej wanita ini telah berulang kali
diperbahaskan oleh berbagai pihak. Pihak agama dan moraliti melihat dari sudut
eksploitasi ke atas wanita yang mulia menjadi hina. Beberapa pihak lain menegakkan
hujah dari segi estetik seni yang membawa nilai indah itu berada dari bentuk semulajadi
tubuh wanita yang perlu dihayati dan diberi imej yang halus dan berseni. Inilah fahaman
yang lazim kita tempuh dan kefahaman ini sering mencemarkan nilai semulajadi
anugerah Tuhan kerana fikiran manusia yang bergelar pembuat seni itu alpa
menghayati sifat cermin diri sebelum mencerminkan imej-imej kesenian yang ada di
persekitaran mereka.
Cermin Sebagai Kanta Pembesar

Dalam kebanyakan lukisan potret di zaman Renaissance yang ditulis kembali oleh
penulis dan sejarawan seni mendapati peranan cermin dikaji kembali dari berbagai
sudut. Paling penting dan bermanfaat dalam mencetuskan ilham melukis, pengkaji
melihat peranan cermin banyak membantu artis menggambar semula imej dalam seni
tampak terutamanya dalam catan “self portrait” atau potret diri.

Cermin boleh berperanan sebagai kanta pembesar yang melihat imej kecil menjadi
besar. Cermin juga membantu mencari sudut pepenjuru dalam perspektif yang sesuai
dan tepat. Selain itu cermin menjadi pembalikan cahaya yang penting dalam lukisan.
Dalam sebuah tulisan berkaitan apresiasi ke atas karya Rembrandt oleh Ernst van de
Wetering dalam katalog pameran berjudul “Rembrant by Himself”, (1999) mengatakan
lukisan potret diri tidak akan hadir dan hilang begitu sahaja tanpa ditonjolkan biar
sekalipun telah berlalu berabad-berabad yang lalu.

Lukisan catan berimejkan potret diri boleh bertutur sendiri sebagai satu maksud kerana
ia boleh berdiri sendiri. Catan potret diri menjadi kegemaran Rembrandt sehingga
digelar “Rembrandt’s likeness done by himself” atau juga digelar “the portrait of
Rembrandt painted by himself”. Dari kaca mata masyarakat antara pelukis dan hal
benda, objek hal benda itu ialah diri pelukis sendiri.

Pelukis akan berdepan dengan dua sudut peranan iaitu sebagai “pemerhati” dan yang
akan “memerhati”. Di awal peranan sebagai pemerhati, pemikiran mereka menyokong
akan kebenaran bukan kerana lukisan itu tetapi pelukis melihat lukisan potret dirinya
sendiri dari luar dirinya. Peranan sebagai memerhati pula akan memahaminya sebagai
lukisan yang dihasilkan oleh artis berkaitan dirinya dan kehidupannya sendiri. Siri-siri
lukisan potret diri Rembrandt boleh membawa tanda bagi pemerhati mengenali artis.

Secara dalamannya, peranan pemerhati juga menilai emosi dan sifat diri yang hampir
dengan Rembrandt. Beliau sendiri melihat potret diri dari luar dan dalam yang orang
ramai tidak tahu akan dirinya. Manakala yang memerhati iaitu orang ramai dan diri
pelukis sendiri akan mengaitkan wajah-wajah itu dalam kehidupan secara peribadi dari
tafsiran mata yang kesannya membawa erti wajah yang sebenar.

Penutup

Kita menerima keunikan catan potret diri sebagai seni dan sebagai hasil dari kepekaan
mata, minda dan tangan seniman. Walaupun kecanggihan teknologi foto boleh
merakam semuanya, harus jangan dilupa nilai unik itu masih dipelihara oleh tangan
seniman yang berbakat yang tidak terpisah dari kejujuran. Ia berada dalam kepekaan
melalui sentuhan hati, mata dan minda. Jarang benar seseorang seniman itu mahu
menonjolkan seni catan potret diri sekiranya ia tidak cukup skil. Mudah benar
dihimpunkan segala cacat cela dalam seni ini bagi orang yang menilai kesempurnaan.

Seni potret diri bersama cermin diri adalah seni yang menyempurnakan suatu yang
telah menjadi semulajadi. Suatu yang dianggap semulajadi perlu dirakamkan dengan
baik secara semulajadi maka nilai semulajadi itu mengumpul banyak rahsia sama ada
rahsia diri maupun rahsia ketuhanan.
Rujukan:

Daniel N. Stern. The Interpersonal World of the Infant: A View from


Psychoanalysis and Development Psychology. New York: Basic
Books/HarperCollins, 1985

C.A.S. Williams. Outlines of Chinese Symbolism and Art Motives, 3d rev. ed. New
York: Dover Publications, 1976

Ernst van de Wetering. “The Multiple Functions of Rembrandt’s Self Portraits,” in


Rembrandt by Himself, ed. Christopher White and Quentin Buvelot. London & The
Hugue: National Gallery Publication Ltd. And Royal Cabinet of Paintings, Mauritshuis,
1999

Katalog “Lin & Frinds” an exhibition of portraiture by Heng Eow Ling. Kata Pengantar
oleh Professor Madya Dr. Zakaria Ali. Singapore: Rolex Singapore Private Limited,
Singapura, 1996

Anda mungkin juga menyukai