Anda di halaman 1dari 15

Malangnya Nasib Bahasa Melayu sebagai Bahasa Sains dan Matematik: Bala yang Perlu Dikendala

Shaharir b.M.Z.
Mantan Profesor Fizik Matematik UKM &
Mantan Profesor Matematik UMT

Malang yang menimpa sesuatu kaum memang nasib ketentuan Allah jua. Namun Allah menegaskan,
kaum itulah yang menempahnya seperti (mengikut sebuah hadith) sering memilih “ketua” pada sesuatu
tahap kerja atau pengurusan daripada kalangan orang yang tidak selayaknya. Pada abad ini kita
menyaksikan banyak sekali nasib malang kaum Melayu yang seperti ini dan satu daripadanya ialah nasib
malang bahasanya sendiri. Malang demi malangnya nasib Melayu abad ini menyebabkan sudah pun ada
orang yang begitu kecewa sehingga menyatakan Hang Tuah (atau penulisnya) itu salah sama sekali
kerana Melayu memang sedang menuju kepupusannya. Apa salahnya bangsa yang sejak abad ke-7
dikenali sebagai Moloyu atau Maliyul (oleh penulis Tiongkok ketika itu) atau sebelumnya sebagai Kunlun,
Pnom atau Funan (yang setiap satunya bermakna gunung) itu? Kaum ini juga pernah dikenali dengan
ejaan dalam bahasa-bahasa Eropah (selain Inggeris) dalam abad ke-13M sebagai Malayo, Malayu,
Malayur, Malaiyur, Malaiur, Malaio, bahkan Malai; dan mengikut ejaan Jawi abad ke-19, dikatakan patut
diRumikan sebagai Milayu. Kini pun Melayu dalam bahasa bekas penjajahnya ialah Malayo (Sepanyol),
Malaio (Ferenggi/Portugis), Malaeis (Belanda), Malais (Perancis), saam-laa-yoo (Siam), dan malai
(Vietnam).

Punca malangnya nasib bangsa inilah yang dibicarakan di sini dengan memaparkan 7 perkara yang
diharap dapat sama-sama difahami, disedari dan diinsafi situasinya agar Hang Tuah masih benar juga
akhirnya, jika beberapa tindakan sewajarnya dapat diambil bersama kelak.

1. Orang Melayu bukannya mudah lupa tetapi mudah ikut ketua

Nasib orang Melayu dalam segala hal khasnya dalam hal bahasanya banyak terletak pada sifat orang
Melayu yang tidak berubah sejak zaman Tamadunnya yang terawal, Kerajaaan Funan (berpusat di
Kemboja sekarang) dan Kerajaan Campa yang berpusat (di Vietnam sekarang) yang wujud mulai abad ke-
2M dahulu, dan diwarisinya pada Zaman Sriwijaya dan Kesultanan Melaka, Kesultanan Petani, Johor-
Riau dan lain-lain lagi di Alam Melayu ini hinggalah sekarang. Sifat yang dimaksudkan itu ialah bukannya
“mudah lupa” yang dicanang oleh Dr. Mahathir Muhammad itu tetapi sifat mudah ikut ketua, iaitu suatu
ciri feudalisme yang amat sedikit terhakisnya, walaupun agama orang Melayu sejak abad ke-14M, iaitu
Islam melarangnya bersifat demikian. Beberapa contoh berikut cukup menjelaskan sifat Melayu itu:

B1) Batu bersurat Melayu Campa bertarikh sekitar abad ke-4 M (bahasa Melayu bertulis yang tertua)
mencatatkan (6 baris) bagaimana hukuman penderhaka (bahasa asalnya, urang paribhu) kepada raja,
orang itu akan hidup sengsara tujuh keturunannya (asalnya tjuh kulo ko) yang diibaratkannya sebagai
berada di neraka selama seribu tahun (sarivu thun davam di naraka), sedang orang yang hormat setia kpd
raja akan beroleh anugerah dari syurga (labuh nasi svarggah). [Malaysia Kita, INTAN 1993]
B2) Pada batu bersurat bertarikh abad ke-11M yang dijumpai di Kemboja tercatat adanya “aku janji” para
pentadbir dan pembesarnya Melayu Funan yang diwajibkan bersumpah atas nama rajanya dan
dihadapan api yang suci, Brahmana dan Archarya untuk berbakti kepada rajanya dengan apa cara
sekalipun dan rela menerima apa jua hukuman ke atasnya dan keluarga dan keturunannya daripada
rajanya jika “aku janji” itu ditafsirkan sudah tidak dipatuhi lagi.

…hidup kami semata-mata didedikasikan kepada perhambaan kepada raja walaupun membawa kami
kepada kematian….kami akan cuba menjalankan titah perintah itu dengan penuh setianya hinggalah
kepada perkara-perkara yang sekecil-kecilnya. Jika kami tidak mengotakan janji kami, maka bersedialah
kami menerima apa jua hukum raja ke atas jasad kami… relalah kami dilahirkan semula dalam tiga puluh
dua naraka selagi adanya Matahari dan Bulan ini.

Jika kami dengan setianya melaksanakan semua yang telah kami janji, maka moga-moga Yang
Mahamulia mempertahankan landasan agama negara kami dan menyediakan makan-minum kepada
keluarga kami --- dan moga-moga kami beroleh anugerah yang setimpalnya daripada kebaktian kami
kepada tuan kami, bukan sahaja di alam maya ini tetapi juga di alam selepas ini. 
[Petikan drp buku Shaharir b.M.Z. 2008. Pembinaan Semula Teori Kepemimpinan dan Kepengurusan
Rumpun Melayu. K.Terengganu: UMT]

Kisah yang menghayati nilai feudal ini dinukilkan dan digubah dalam banyak cerita dan mitos Melayu
tentang bahana atau bala yang menimpa seseorang yang ingin menegakkan kebenaran tetapi terlanjur
sehingga dianggap “menderhaka” kepada rajanya seperti yang berlaku pada Hang Jebat dengan Sultan
Mahmud yang zalim; dan Laksamana Bentan (Laksamana Megat Seri Rama) dengan Sultan Mahmud
Mangkat Dijulang itu. Kedua-dua-duanya dipastikan mati dengan keadaan yang tidak patut dipuji
walaupun perjuangannya suci! Tidak hairanlah orang Melayu tidak pernah lupa tetapi menerimanya
sahaja siri “titah perintah rajanya” atau “kerenah rajanya” yang berhubung dengan bahasa Melayu yang
kini berada dalam keadaan tragedi dan menyayatkan tetapi tetap tiada yang berani berdiri menyanggah
bahkan yang ada hanya tunduk gundah sahaja:

1960: Pengisytiharan huruf Rumi sebagai aksara rasmi bahasa Melayu sehingga perlahan-lahanlah
Melayu Jawi (yang kaya denga khazanah ilmu sejak abad ke-13M ) tersingkir dan terfosil. Orang Melayu
akur kerana ketuanya berkata “demi memudahkan bangsa asing mempelajari bahasa Melayu, dan
memudahkan orang Melayu mempelajari ilmu moden yang memang dalam Rumi”.

Walaupun demikian, bahasa Melayu Rumi berkembang pesat (mungkin jika Jawi dahulu dipertahankan
kepesatannya sama juga dan bernilai tambah pula kerana sekaligus terus mewarisi ilmu yang sedia ada
dan mengembangkannya lagi), khususnya sains dan matematik dalam bahasa Melayu Rumi (berasaskan
sumber Inggeris) melalui liku-liku kemajuannya yang menakjubkan antara 1960-1990-an sehingga ke
peringkat Sarjana dan D.Fal sains dan teknologi (lebih tepat lagi sains, sains kesihatan, kejuruteraan dan
teknologi, atau ringkasnya SAKTI). SAKTI dalam bahasa Melayu Malaysia mulai mengatasi SAKTI dalam
bahasa Melayu Indonesia (yang bermula kira-kira 20 tahun lebih awal) sehingga ratusan pelajar
Indonesia datang belajar di Malaysia di peringkat Sarjana dan D. Fal. dan ratusan juga pelajar dari negara
Timur tengah dan Benua Hindia berbuat demikian. Dalam tahun 1990-an itu bahasa Melayu terbayang
akan menjadi satu daripada bahasa SAKTI antarabangs mulai alaf ke-21. Malangnya, beberapa peristiwa
berikut yang dicetuskan oleh pemimpin Melayu berkuasa membantutnya dan kini tinggal umbisi yang
berada di bawah tanah yang tidak digemburkan lagi sehingga menunggu reput dan pupus sahaja jika
tidak digali pada masa yang sesuainya untuk dijadikan bibit baru lagi!

1995: Kerajaan yang berketuakan Mahathir membenarkan universiti Awam (IPTA) menggunakan bahasa
Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam SAKTI. Dasar baru ini sudah membayangkan bahawa bahasa
Melayu perlu digantikan dengan bahasa Inggeris kerana pada masa itu semua kursus SAKTI di IPTA
menggunakan bahasa Melayu kecuali kursus-kursus yang dikendalikan oleh pensyarah asing (yang
sentiasa ada dan diadakan demi pertukaran ilmu antarabangsa). Sejak 1995 itu, kecuali UKM, universiti
awam yang lain telah mula menyisih dengan gahnya penggunaan bahasa Melayu dalam kursus-kursus
SAKTI-nya.

1996: Akta IPTS yang memberi laluan mudah untuk mengadakan kolej dan universiti swasta dalam
bahasa Inggeris dan disambut geger-riuh oleh orang Melayu (mendendangkan retorik ketuanya) sebagai
satu lagi kemajuan besar dalam pendemokrasian pendidikan di Malaysia dan persediaan yang wajar bagi
“menyahut globalisme”, dan mereka ini bak Pak Kadok tanpa kesedaran terhadap nasib bangsanya yang
mula terlondeh meratanya.

2003: PPSMI dilaksanakan dengan penuh sokongan juak-juak ketua Melayu itu dan para pendekar
sekutunya atas nama pemimpin Badan Bukan Kerajaan (BBK). Mereka ini membuka “langkah gelombang
dua belas” dan dengan “tongkat enam sembilan” masing-masing mengikut rentak ketuanya yang
melaungkan langkah itu “sebagai sebuah anjakan paradigma yang tepat bagi memperkasakan diri dalam
persaingan arus globalisasi” tanpa kesedaran diri terhadap implikasi retorik itu sebenarnya lagi.

200X: Entah apa lagi dasar drp ketua Melayu yang akan dipatuhi lagi.

Benarlah, malang biasanya tidak berbau tetapi malang yang berbau sekalipun nampaknya orang Melayu
tetap mahu menghidunya!

2. Malangnya pemimpin Melayu mendokong konsep pensejagatan yang salah


Konsep pensejagatan atau lebih dikenali dengan “globalisasi” tajaan para sarjana Barat alam tahun 1990-
an itu sebenarnya berkembang di kalangan sarjana Barat sehingga menjadi dua aliran besarnya. Pertama
yang didokongi oleh para pemimpin Helangan seperti Thatcher-Reagon dan Bush-Blair dengan
gandingan falsafah liberalisme baru, yang menganggap kesuperioran kebudayaan bangsa Anglo-Saxon
dan tidak memerlukan kebudayaan lain lagi bagi kelangsungan kemajuan dunia ini, malah wajar
dihapuskan sahaja menerusi kekerasan yang disesuaikan dengan teori buatan sarjana upahannya, “Teori
Pertelagahan Peradaban”, atau melalui kelembutan liberalisme baru seluruh dunia (dasar peniadaan
peranan kerajaan dalam perjalanan sosioekonomi negara). Bagi golongan ini “dunia tanpa sempadan”
akibat kemajuan TM (teknologi maklumat) itu ditakrifkan sebagai peniadaan sempadan kebudayaan dan
pentakhtaan nilai Anglo-Saxon itu serata dunia dengan agresifnya sehingga sarjana golongan ini
(setengahnya sarjana upahan, pengampu atau penyempat itu) mengeluarkan pelbagai teori “berakhirnya
x” seperti “berakhirnya ideologi”, “berakhirnya negara-bangsa”, “berakhirnya sejarah”, “berakhirnya
kebajikan”,… dsbnya. Inilah yang didokongi oleh para pemimpin Melayu (yang dipertuankan) sejak
Mahathir hingga kini. Pemimpin Melayu tidak mahu mendokong pensejagatan kedua yang lebih
menjanjikan kebahagian sejagat lagi sebagaimana yang terbukti dengan kegagalan dasar liberalisme baru
tajaan para sejagatis/globalis jenis pertama itu di seluruh dunia sekarang. Konsep pensejagatan yang
kedua bermaksud pengongsian dan simbiosis kebudayaan bangsa-bangsa bagi menjana idea baru bagi
kelangsungan kemajuan manusia sejagat. Golongan ini akan menangis tidak berlagu lagi terhadap
kematian sesebuah bahasa atau kebudayaan akibat amalan sejagatisme jenis pertama itu lebih daripada
kematian sesuatu spesies biologi yang ditangisi oleh para pejuang alam sekitar itu. Mereka melihat setiap
bahasa dan kebudayaan bangsa itu suatu aset dunia yang besar, selain daripada aset bangsa berkenaan itu
sendiri kerana setiap bahasa ada menyimpan khazanah ilmu yang tersendiri yang belum tergali dan perlu
digali, atau mampu menjadi mangkin penjanaan idea berilmu yang tersendiri. Isu bahasa dengan ilmu ini
menjadi perkara besar dalam wacana perjuangan menegakkan sesuatu bahasa dan oleh itu dibicarakan
berasingan lagi. Yang hendak dibangkitkan di sini ialah betapa bebalnya pemimpin kita yang memilih
untuk mendokong sejagatisme atau globalisme jenis pertama itu sehingga sanggup memusnahkan
kebudayaannya sendiri.

3. Malangnya pembuat dasar PPSMI hanya mengikut nafsu dan keras kepala sahaja
Tujuan PPSMI diwujudkan sering berubah terutamanya apabila terbuntu atau terperangkap dalam
perbahasannya. Dalam ulasan terbarunya tentang PPSMI, arkitek dan juruteranya, Dr. Mahathir (dalam
blognya bertarikh 5 Januari 2009) menyatakan tujuannya bukan untuk mempelajari dan meningkatkan
kefasihan berbahasa Inggeris (Ini tentu mengejutkan juak-juaknya!). Tujuan PPSMI ditegaskannya
sebagai untuk menguasai “bahasa sains dan matematik yang berlainan daripada bahasa Inggeris biasa”.
(Dari mana pula dia dapat ajaran sesat beliau yang baru ini, Allah saja yang tahu). Namun dalam ulasan
pertamanya tentang PPSMI (dalam blognya 23 Ogos 2008) beliau menegaskan penguasaan sains dan
matematik hanya boleh dilakukan menerusi bahasa Inggeris biasa yang sering diucapkannya juga berupa
bahasa asal sains dan matematik (satu lagi fakta yang salah dan impian yang menyasar). Jelas Dr.
Mahathir bercelaru fikirannya di sini, bukan sekadar perkara-perkara yang ditegaskannya itu adalah
kesilapan (yang telah dicatatkan di atas itu) tetapi pernyataan beliau itu penuh swa-percanggahan
(percanggahan diri sendiri). Sangkalan penuh terhadap pandangan beliau yang pertama itu telah
dilakukan oleh penulis ini pada Nov 2008 (yang diposkan kpd blognya dan disiarkan dalam blog
komshaha, laman asasi atau kesturi, laman pts, laman perihatin dan beberapa yang lain lagi, atau taip
sahaja di google “jawaban mahathir”) dan pembaca diundang melawatinya. Sementara itu, oleh sebab
beliau tidak pernah mempersoalkan kemampuan pelajar dalam “bahasa Inggeris biasa” ke tahap untuk
memahami sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, sedangkan hakikatnya itulah yang menjadi isu
besarnya (iaitu mengajar dalam bahasa yang pelajar tidak tahu atau tidak semahir bahasa ibundanya,
kecuali segelintir pelajar daripada keluarga yang elitis yang menggunakan bahasa Inggeris lebih banyak
daripada bahasa datuk-neneknya) maka juak-juaknya sentiasa menegaskan PPSMI itu bertujuan
mengukuhkan atau meningkatkan kefasihan berbahasa Inggeris di kalangan pelajar di samping
mempelajari sains dan matematik dengan lebih mudah dalam bahasa asal kedua-dua ilmu itu. Apa pun
kita boleh buat dua kesimpulan berikut:
PPSMI bertujuan meningkatkan kefahaman pelajar dalam sains dan matematik; dan sekaligus
meningkatkan kemahiran pelajar berbahasa Inggeris.

Bolehkah tujuan ini tercapai? Adakah kementerian pendidikan/pelajaran telah membuat kajian terlebih
dahulu tentang perkara ini? Tentunya tidak pernah kerana PPSMI dilaksanakan tanpa projek perintis
sedikit pun, walaupun itulah yang sepatutnya dilakukan terlebih dahulu untuk mendapat petunjuk bagi
sebarang perubahan kaedah pengajaran! Tidaklah juga diketahui bahawa pihak kementerian mengetahui
hasil-hasil penyelidikan di luar negara tentang isu yang serupa ini yang menunjukkan tidak mungkin
tercapainya hasrat itu sebagaimana yang dibuktikan oleh contoh-contoh kajian yang berikut:

P1) Penyelidikan yang dilakukan di Amerika Syarikat sejak tahun 1980-an di kalangan pelajar Hispanik
(pelajar yang berbahasa ibundanya bahasa Sepanyol) dan peribuminya (Hindia Merah) yang selama ini
belajar sains dan matematik dalam bahasa rasmi negaranya, bahasa Inggeris dan berprestasi amat
buruk!. Timbullah projek LEP (Least English Proficiency) yang mempersaksikan dunia keperluan
pengajaran sains dan matematik dalam dwibahasa (kepada suku-suku kaum ini).

P2) Penyelidikan yang dilakukan di Kanada sejak 1990-an di kalangan pelajar dari keluarga Perancis yang
selama ini banyak yang belajar sains dan matematik dalam bahasa Perancis tetapi oleh sebab bahasa
rasmi kedua Kanada, bahasa Inggeris yang lebih dominan, maka ada kecenderungan pihak tertentu mahu
melihat anak-anak Perancis ini belajar dalam bahasa Inggeris sahaja. Timbullah projek French/English
Bilingual Program yang agak berbeza daripada projek LEP di AS itu.

P3) Penyelidikan di Hongkong pada tahun 2000 yang mahu melihat kemungkinan anak-anak berbahasa
Tionghua diajar sains dan matematik di dalam bahasa Inggeris sahaja dengan tujuan yang sama seperti
yang dikehendaki Mahathir itu (Meningkatkan kefahaman sains dan matematik dan meningkatkan
pencapaian bahasa Inggeris). Hasilnya hasrat itu tidak tercapai.
P4) Penyelidikan di Eropah sejak 1990-an. Contohnya projek mengajar matematik dalam bahasa Arab di
Sweden untuk pelajar-pelajar berbahasa ibundanya bahasa Arab, sedangkan bahasa sains dan matematik
sekolah di negara itu ialah bahasa kebangsaannya, bahasa Sweden.

P5) Penyelidikan di Afrika khususnya di Nigeria dan di Afrika Selatan pada tahun 1980-an lagi yang
menginsafi kepentingan bahasa ibunda dalam pengajaran sains dan matematik sedangkan bahasa rasmi
negara ialah bahasa Inggeris. Penyelidikan ini mencetuskan pelaksanaan beberapa projek printis yang
masih berterusan hingga kini tentang kemultibahasaan dalam pengajaran sains dan matematik dalam
kelas-kelas yang berpelbagai kumpulan etnik yang wujud di kedua-dua negara itu (dan tentunya di
negara-negara lain lagi di Afrika dan bukan Afrika sekali pun). 

Pendeknya kajian-kajian ini menunjukkan tidak akan tercapainya matlamat PPSMI itu. Malah
“kebenaran” kesimpulan daripada hasil penyelidikan di atas itu terhadap PPSMI itu telah dibuktikan pula
menerusi penyelidikan sarjana-sarjana kita sendiri seperti kumpulan di UPSI yang diketuai oleh Prof.
Ishak Haron (pakar pendidikan matematik), di UKM yang diketuai oleh Dr. Nurhashimah (pakar bahasa),
kumpulan Dr. Juriah UKM (pakar pendidikan), dan Prof. Ratnawati & Prof Ismail (pakar pendidikan
UIA), dan kumpulan penyelidik PEMBINA (yang melibatkan bebrapa buah univ. tempatan kita). Namun
para pemimpin Melayu yang berkuasa itu tetap bungkam sahaja terhadap hasil-hasil penyelidikan yang
berwibawa ini, malah mengeluarkan kononnya indeks-indeks kejayaan PPSMI menerusi analisis
pihaknya terhadap hasil peperiksaaan UPSR yang menunjukkan kontra daripada hasil-hasil penyelidikan
di atas seperti pelajar semakin bagus keputusannya, pelajar semakin berminat dengan sains dan
matematik dsbnya itu. Apakah tahap kebolehpercayaannya retorik kementerian ini?

Peperiksaan awam yang menggunakan taburan untuk penentuan gred tidak mewakili prestasi sebenar
pelajar. Hasil peperiksaan itu hanya menunjukkan prestasi relatif di kalangan pelajar itu sahaja.
Peperiksaan yang soalannya sesuai dengan pelajar akan menghasilkan graf pencapaian relatif pelajar itu
dalam bentuk loceng yang simetri sepenuhnya [Graf berapa orang pelajar yang memperoleh sesuatu
markah atau selang markah]. Graf simetri inilah yang boleh menghasilkan keputusan yang cantik seperti
5% gagal dan 5% bergred A, 90% bergred antara C dengan B dan sebagainya.

Bagi peperiksaan yang soalannya tidak sesuai dengan kebanyakan pelajar seperti kes peperiksaan PPSMI
ini (soalan tak mungkin sesuai dengan kebanyakan pelajar kerana pengajaran dalam bahasa Inggeris yang
mereka tidak faham) besar kemungkinannya grafnya tidak simetri tetapi pencong ke arah ke bawah
daripada 40 markah umpamanya, iaitu ramai pelajar yang mendapat markah antara 0-40 sahaja. Dalam
hal seperti ini, penilai prestasi peperiksaan itu terpaksa menetapkan markah lulusnya yang sesuai supaya
tidak ramai yang gagal. Inilah yang dikatakan PPSMI ini berkemungkinan besar dimanipulasikan markah
lulus dan seterusnya gred-gered itu mengikut kehendak ketua pemeriksa atau lebih atas lagi sahaja.

Bagaimana dengan gembar-gembur pelajar semakin berminat dan semakin mendapat kefahaman yang
lebih dalam PPSMI seperti yang pernah disiarkan dalam akhbar beberapa tahun yang lepas lagi dan
ulasan pertama Dr. Mahathir terhadap perkara ini ialah kononnya keputusan itu tidak sepatutnya
mengejutkan sesiapa pun kerana pengajaran dilakukan dalam bahasa asal sains dan matematik (bahasa
Inggeris) akan lebih menarik dan memudahkan pelajar!

Ini memang politik semata-mata. Bukankah anak-anak orang Inggeris sendiri di UK, AS, Kanada,
Australia dan New Zealand juga menghadapi masalah belajar sains dan matematik? Lagi pun, jika benar-
benar jujur mahu membuktikan PPSMI lebih baik daripada PPSMM (pengajaran dan pembelajaran sains
dan matematik dalam bahasa Melayu) dahulu, kita perlu mewujudkan dua sistem ini serentak dengan
segala kemudahan yang serupa dan kumpulan pelajar yang berkebolehan yang serupa. Hasil peperiksaan
daripada dua sistem ini diambil dan dilakukan dalam beberapa tahun berturut-turut (inilah yang
dikatakan projek printis itu). Lepas itu barulah pihak kementerian boleh bercakap dengan lebih wibawa
lagi! Hal sebegini memang tidak pernah dibuat dan sudah tidak boleh dibuat dalam masa 6 tahun
kebelakangan ini kerana “kawalan”-nya (istilah dalamkaedah statistik), PPSMM, sudah dimansuhkan
sama sekali dengan megahnya pula. Yang boleh dilakukan ialah di sekolah-sekolah Tionghua kerana
sepanjang 6 tahun kebelakangan ini kedua-dua sistem nampaknya masih berjalan, hasil perjuangan para
pendidik dan ahli politik mereka yang tidak bebal serta sifat orang Tionghua yang kurang feudal (ketua
tidak semestinya betul). Ini memang dilakukan, dan keputusan yang mereka peroleh memang
menunjukkan PPSMI tidak sebaik PPSMT (pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam
bahasa Tionghua) dan hanya sekitar 10% pelajar Tionghua yang menjawab dalam bahasa Inggeris dan
keputusan pelajar yang menjawab dalam bahasa Inggeris tidak sebaik yang menjawab dalam bahasa
Tionghua. Ini jelas menunjukkan orang Melayu memang Pak Kadok sahaja.

Malang Melayu kerana pemimpinnya tidak tahu atau tidak pernah mahu mengambil iktibar daripada
kejayaan PPSMBI (pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa ibunda) berbanding
dengan PPSMA (pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa asing) bukan sahaja
dari sekolah Tionghua seluruh Malaysia itu bahkan juga dari segenap pelusuk dunia. Mereka sering
melawat Eropah tetapi tidak pernah mengambil iktibar sistem pendidikan di sana dan sifat kesayangan
setiap bangsa di Eropah itu terhadap bahasanya, walaupun bilangannya amat kecil berbanding dengan
Melayu Malaysia apatah lagi Melayu Nusantara. Kesatuan Eropah (KE) kini berjumlah 26 anggota dan
setiap anggotanya mahu bahasa mereka tidak diabaikan lalu terjadilah 23 tiga bahasa rasmi Kesatuan
Eropah (ada puluhan jurubahasa semasa KE bersidang), walaupun bahasa persuratan KE ialah Inggeris,
Jerman, Perancis dan Sepanyol atau Italia sahaja. Sesiapa sahaja yang berpengalaman melawat sesebuah
negara di Eropah akan menyaksikan betapanya bahasa bukan bahasa rasminya, khususnya bahasa
Inggeris, tidak digunakan dengan berleluasa seperti yang berlaku di negara kita. Baru-baru ini seorang
rakan penulis menceritakan yang beliau terserempak dengan Menteri Pelajaran kita semasa penerbangan
balik dari Eropah dan semasa bertegur sapa itu rakan penulis itu menceritakan kepadanya bagaimana
rakyat Finland (negara yang baru dilawatinya kerana persidangan ilmunya, Statistik) begitu kental
menghayati bahasanya sendiri sehingga sukar baginya untuk berinteraksi, maka reaksi pak menteri kita
itu ialah “itulah yang kita tidak mahu berlaku di negara kita”. Tidakkah dia tahu dan sedar bahawa di
Finland itu sekitar 60% rakyatnya celik bahasa Inggeris tetapi tidak mahu menggunakannya sewenangan
di tempat yang tidak sepatutnya terutama di dalam negaranya sendiri? Tidak hendak belajar apa-apakah
dia tentang dasar pendidikan negara itu yang menghasilkan rakyat sedemikian rupa?

Sehubungan dengan ini juga, para pemimpin kita juga tidak mahu mengambil iktibar dasar pengajaran
dan pembelajaran sains Negara-Negara Maju yang kini mengikut penilaian PBB berjumlah 40 buah (27
buah di Eropah) termasuk yang terbarunya Hongkong, Israel, Korea Selatan, Malta, Singapura, Siprus,
Slovenia, dan Taiwan. Hanya dua buah sahaja Negara Maju ini, iaitu Andorra (sebuah negara yang kecil
bersempadan dengan Sepanyol dan Perancis) dan Singapura, yang pendidikan sains dan matematiknya
bukan dalam bahasa ibunda rakyat terbanyaknya, masing-masingnya menggunakan Sepanyol dan
Inggeris. Ini bermakna kita mahu meniru Singapura sahaja! Apa hebatnya Singapura segi sains dan
matematik? Sains dan matematik Singapura tidaklah semaju di Negara Maju yang lain itu. Singapura
sebenarnya lebih menjadi satelit Negara Maju sahaja: tempat pengurusan perniagaan yang
menguntungkan. Ramai ahli sains dan matematik Singapura datangnya dari Malaysia, selain daripada
negara-negara lain; dan yang lebih relevan dengan Melayu, ahli sains dan matematik Melayu Singapura
tidaklah lebih hebat daripada yang di Malaysia. Sudahlah begitu, yang dahsyatnya, kini dianggarkan 40%
daripada rakyat Singapura sudah hilang bahasa ibunda asalnya (terutamanya Tionghua, Tamil, dan
Melayu) dan menghayati sebuah bahasa baru campuran Inggeris dengan bahasa-bahasa ibunda asalnya
itu yang dikenali sebagai Singlish (bahasa Inggeris seperti dalam siri TV Singapura, Phua Choo Kang itu).
Mereka ini dikatakan ramai yang rasa kecewa kerana tidak dapat menjadi betul-betul Inggeris. Bangsa
yang berbahasa seperti ini memang tidak mungkin melahirkan pemikir (khususnya ahli sains, ahli
matematik) besar yang lebih besar daripada pemikir daripada bangsa idamannya, Inggeris (lebih am lagi,
Anglo-Saxon) dan tidak juga akan menerbitkan idea-idea berasaskan sumber kebudayaan tempatan yang
berkemungkinan amat berbeza daripada pemikiran Anglo-Saxon itu (oleh itu berkemungkinan
mengalahkannya) kerana mereka sudah tercabut daripada akar kebudayaan bangsa asalnya. Ini tabii
sains dan matematik yang dibicarakan lagi kemudian ini. Yang ingin ditegaskan di sini, jika PPSMI
diteruskan, maka Malaysia juga mampu menjadi kaya dengan per kapita yang tinggi sepertinya dan
melahirkan manusia seperti 40% rakyat Singapura itu, iaitu yang boleh dinamai rakyat Malaysia yang
berbahasa Malinglish pula. Ini agak munasabah berlakunya kerana dengan PPSMI itu sekurang-
kurangnya 60% rakyat Malaysia akan melalui pendidikan aliran sains (satu daripada hasrat kerajaan)
yang berada dalam kebudayaan Inggeris sepanjang persekolahannya kerana sekitar 65% subjeknya dalam
bahasa Inggeris; dan 40% daripada rakyat Malaysia (satu lagi hasrat kerajaan juga) akan berada di pusat-
pusat pengajian tinggi yang 90% berada dalam kehidupan berilmu menerusi kebudayaan Inggeris kerana
sebanyak itu subjek sains dan matematik di peringkat tersebut. Ini pun boleh dianggap ramalan
positifnya yang jauh kemungkinan berlakunya kerana Singapura itu contoh terpencil Negara Maju yang
tidak mungkin berlaku pada negara lain. Hukum pembangunan sains dan matematik yang menjanjikan
kejayaan ialah yang berlaku pada 38 buah Negara Maju itu. Bebalnya jika kita menganggap “Malaysia
boleh!” lain daripada Negara-Negara Maju itu dan mahu juga cara Singapura! Ramalan yang lebih besar
kebarangkaliannya berlaku lagi, ialah seperti yang berlaku di India dan Filipina (Contoh terdekat), iaitu
kerana dasar pendidikan sains dan matematik dalam bahasa asing bangsanya, maka hanya sekitar 20%
sahaja rakyatnya yang mampu menggapai ilmu itu di sekolah. Impian mahu melahirkan bangsa yang
mampu bersaing peringkat sejagat yang selalu dilaung-laungkan oleh para pengasas dan penyokong
PPSMI itu akan tinggal “sedap cakap” sahaja: riuh-rendah, kampung tergadai!

Satu lagi malangnya nasib Melayu dengan bahasanya ialah kerana pemimpinnya tidak mahu mengambil
iktibarnya ialah hasil peperiksaan penilaian sains dan matematik yang terkenal tanpa penggunaan
taburan normal (oleh itu tanpa kemungkinan manipulasinya). Peperiksaan yang dimaksudkan itu ialah
Olimpiad Antarabangsa dalam setiap subjek sains (biologi, fizik, kimia, teknologi maklumat) dan
matematik (setiap tahun) dan TIMSS= Trends in International Mathematics and Science Study
(katurtahunan/caturtahunan). Berkenaan TIMSS, yang terbaru diadakan tahun 2007 yang prestasi
Malaysia begitu merosot sehingga kementerian pelajaran kita tidak mahu mendedahkannya kpd
masyarakat…. tetapi didedahkan oleh Lim Kit Siang dlm blognya baru-baru ini. Yang patut pemimpin
Melayu ambil iktibarnya daripada siri peperiksaan ini ialah betapanya negara-negara yang mengajar sains
dan matematik dalam bahasa ibundanya sahaja (menjawab soalan peperiksaan/penilaian ini dalam
bahasa ibunda masing-masing) yang menjanjikan kejayaan yang besar, kerana negara-negara inilah yang
sentiasa berada di kedudukan 10 atas setiap tahun/kali penilaiannya. Sekali sekala memang ada
pengecualiannya yang dikejutkankan oleh Singapura dan India tetapi lagi sekali, bebal-lah kita mengikut
hukum pengecualian sahaja dengan semata-mata berpegang kepada “Malaysia Boleh!”. Bukannya negara
yang jauh-jauh yang patut dicontohi kerana Vietnam dan Thailand umpamanya sering mengatasi prestasi
Singapura dan India ini, sedangkan kedua-dua negara ini amat kental dengan dasar pendidikan dalam
bahasa kebangsaannya masing-masing, sementara Filipina yang terkenal lamanya mengabaikan
bahasanya sendiri itu sentiasa tercorot.

Jika kita melihat bangsa-bangsa yang menyumbang sains dan matematik pula sehingga bangsa ini
beroleh Hadiah Nobel dan anugerah keilmuwan besar yang lain lagi, maka lebih jelas lagi betapanya
bangsa yang mendokong dan menghayati bahasa sendiri itulah yang lebih berdaya karya dan oleh itu
banyak berjayanya menggondol hadiah-hadiah besar itu. Bahkan bangsa bukan Anglo-Saxon
(terutamanya Jerman, Perancis dan Rusia) lebih ramai berjayanya sehingga sudah ada pakar daya
pengaryaan seperti de Bono meembuat hipotesis bahawa bahasa bukannya bahasa yang berdaya banyak
mencetuskan idea baru. Yang terbarunya pemenang Hadiah Nobel Fizik 2008 terdiri daripada 3 orang
ahli fizik Jepun (dua daripadanya rakyat Jepun dan mengajar fizik dalam bahasa Jepun). Anehnya, ada
orang yang sombong-bebal di Malaysia yang menulis di akhbar mengatakan “sayangnya ahli fizik Jepun
itu tidak fasih berbahasa Inggeris!” sedangkan sepatutnya mereka ini memberi kekuatan kepada kita
untuk memansukhkan PPSMI itu. Sikap ini seakan-akan sama dengan pendirian Dr. Mahathir sendiri,
arkitek PPSMI itu, yang pernah menyuarakan yang dia tidak mahu Malaysia maju seperti Jepun yang tak
tahu Inggeris! Sebenarnya ahli sains dan ahli matematik Jepun bukannya tidak celik bahasa Inggeris
kerana mereka boleh memahami karya-karya dalam bahasa Inggeris dan boleh juga menulis karyanya
dalam bahasa tersebut, cuma mereka tidak petah bercakap dan sepertilah dengan bangsa-bangsa di
Eropah, sarjana Jepun itu tidak mahu bergaya dengan bahasa Inggeris terutama di dalam negaranya.

4. Malangnya orang Melayu tidak sedar warisan sains dan matematik daripada
tamadunnya sendiri.

Orang Melayu, sebahagiannya menerusi dasar pendidikan negara yang pincang, tidak mengetahui
kewujudan tamadunnya yang kaya dengan sains dan matematik yang pernah mendahulu Inggeris sejak
abad ke-2M hingga ke-15M. Kurikulum sekolah dan pemimpin Melayu yang berpengaruh sering
menegaskan bahawa orang Melayu telah wujud dan menjadi “tuan” di Malaysia ini sejak abad ke-14M
(Kesultanan Melaka) atau paling jauhnya (tetapi amat kurang ditekankan kerana pusatnya bukan di
Malaysia dan bukan Islam) ialah sejak abad ke-7M (zaman Sriwijaya). Namun tiadalah ditonjolkan
pencapaian sains dan matematik bagi tamadun Melayu ini sehingga sains dan matematik dianggap hanya
warisan Inggeris sahaja. Malah bapa pengkhinat moden bahasa Melayu, Dr. Mahathir, berulang kali
menegaskan bahasa Inggeris adalah bahasa asal sains dan matematik….dan disambungnya lagi “oleh itu
wajar dan lebih mudahlah ilmu-ilmu ini diajar dalam bahasa asalnya”. Sejarawan Tiongkok, dan
Orientalis sudah lama mengiktiraf kehebatan tamadun Melayu dalam seni bina (menerusi candi-candi
dan kuil-kuil) seperti Borobudur, di Jawa Tengah, yang dibina pada abad ke-8M, Candi-Candi Mison di
Vietnam yang dibina pada zaman kerajaan Melayu Campa abad ke-5M lagi (semua ini diakui dunia
sebagai teknologi atau bayangan pencapaian sains dan matematik Melayu yang menakjubkan). Satu lagi
kehebatan teknologi Melayu yang diiktiraf dunia ialah teknologi perkapalan dan pelayaran (yang
dipercayai dipupuskan oleh Feringgi/Portugis dengan mengambil para ahli teknologi perkapalan di Alam
Melayu ini ke negaranya dan membina teknologi perkapalan mereka pula. Selain daripada itu yang lebih
baru disedari dalam abad ini ialah betapanya sistem angka dan nombor seperti sekarang ini (cuma
simbolnya sahaja yang berbeza) sudah ada dalam tamadun Melayu sejak abad ke-6M lagi (mendahului
semua tamadun di dunia). Ini terbukti apabila ahli bahasa mendapati perkataan kosong hingga sepuluh
itu hampir semuanya (pengecualiannya perkataan “satu” dan “dua” sahaja) adalah asli Melayu,
sedangkan zero, one , two hingga ten (bahasa Inggeris) itu semuanya pinjaman daripada Arab, Yunani,
Sanskrit atau Latin. Bahasa Melayu pada zaman dahulu (abad ke-2M hingga abad ke-12M) yang dirujuk
oleh Tiongkok sebagai bahasa Kunlun (dipercayai dari istilah Pnom/Gunung) dan oleh Yunani (di
Eropah) sebagai Kolan/Coelan; tetapi oleh Orientalis (dan diikuti oleh sarjana kita) sebagai bahasa
Melayu Kuno/Kuna/Purba (yang tulisannya beraksara huruf Palawi). Bahasa Kunlun ini sudah menjadi
bahasa ilmu sejak abad ke-5M sehingga ribuan buku/manuskrip dalam bahasa tersebut disalin,
diterjemah atau dibawa seasalnya ke negara Tiongkok, Jepun dan ke Hindia, malah sesetengah karya
terjemahan ini ada tersimpan di negara-negara tersebut yang masih belum dikaji oleh sarjana kita kerana
pengabaian terhadap warisan ilmu kita selama ini. [Sepatutnnya bahasa Kunlun itu wajarlah dinamai
bahasa Melayu pra-klasik kerana semua bersetuju bahasa Melayu abad ke-14 hingga abad ke-19M sebagai
bahasa Melayu klasik yang tulisannya beraksara Arab, huruf Jawi. Ilmu sains pengurusan (menjadi satu
bidang sains dan metematik besar sekarang) juga telah wujud dalam tamadun Melayu pra-Islam lagi
apabila Orientalis Perancis mendedahkan adanya sebuah batu bersurat di Vietnam bertarikh abad ke-11M
(zaman kerajaan Melayu Campa) yang menyatakan 32 sifat “pemimpin dunia” (istilah asalnya dalam
bahasa Melayu pra-klasik: “cakravantin”) yang sebahagian besar masih relevan dengan teori sekarang;
dan yang lebih penting lagi ilmu Melayu ini jauh lebih awal daripada unsur-unsur ilmu ini yang ditulis
dalam bahasa Inggeris (terawalnya dalam abad ke-17M) bahkan dengan tamadun Eropah seluruhnya
yang bermula dengan karya Machiavelle abad ke-16M.

Pencapaian sains dan matematik Melayu Zaman Islamnya (mulai abad ke-13M) tidak juga kurang tinggi
tahapnya berbanding dengan pencapaian di Eropah. Mengikut catatan bangsa-bangsa Eropah sendiri
juga, kekalahan kerajaan Melayu Campa kepada Vietnam 1471, Melaka kepada Feringgi/Portugis 1511,
dan Petani (kini di-Thai-kan menjadi Pattani) kepada Siam 1785 bukannya kekalahan dalam teknologi
peperangan tetapi kerana perpecahan dan pengkhianatan sesama sendiri. Sarjana Melayu-Islam juga
nampaknya mampu berkarya dalam psikologi dengan mengembangkan karya sarjana Tamadun Islam
tentang tahap-tahap kemahuan manusia yang mendahulu teori Barat, dan jika diolah lagi ilmu ini mampu
menyaingi teori Barat kini sekalipun. Yang lainnya lagi mengutarakan teori kosmologi-kosmogeni yang
agak komprehensif yang terkenal dengan nama “Martabat Tujuh” yang yang antara lainnya menegaskan
mula asal alam semesta ini dari kosong sekosong-kosong dan tidak mengalami evolusi, walaupun
mekanismenya masih belum diformulasikan dengan kemasnya dan oleh itu menunggu sarjana kini
melakukannya. Teori ini pun berpotensi menyaingi teori kejadian alam semesta Barat kini yang bersifat
evolusi dan masih bertikai tentang permulaannya daripada ada atau daripada tiada benda, walaupun
persetujuan tiadanya atau tidak pentingnya pencipta alam ini sudah dipersetujuinya. Banyak lagi contoh
unsur-unsur sains dan matematik Melayu (dalam bahasa Melayu) yang mendahulu bahasa-bahasa
Eropah yang boleh dipaparkan. Siapakah yang akan berminat dengan ilmu-ilmu warisan bangsa ini kelak
jika pendidikan ilmu-ilmu ini dilakukan dalam bahasa Inggeris? Bukankah dasar PPSMI ialah sebuah
dasar yang pastinya akan mengabaikan atau menidakpedulikan ilmu-ilmu warisan bangsa sendiri ini dan
seterusnya menghapus sebuah tamadun yang terbukti besar ini? Alangkah bebal dan khianatnya pembuat
dasar PPSMI! 

5. Malangnya Pemimpin Melayu yang berkuasa tidak tahu pencapaian ilmu sains dan
matematik dalam bahasa lain khususnya dalam bahasanya sendiri

Bahasa sains dan matematik kini bukan sahaja bahasa Inggeris sahaja, walaupun benarlah yang
dominannya memang bahasa Inggeris kerana kekuatan tentera dan ekonomi. Berasaskan penulisan sains
dan matematik dalam jurnal (majalah yang memuatkan perkara-perkara baru dalam sesuatu bidang
ilmu) bahasa-bahasa sains dan matematik sekarang selain daripada Inggeris ialah Perancis, Jerman,
Sepanyol, Italia, Feringgi/Portugis, Rusia, Jepun, Tionghua (bahasa Tiongkok/Sin/China/Cathay), malah
yang amat kurang diketahui di dunia sebelah sini, bahasa Ceska/Czech dan Finland. Jumlah jurnal dalam
sekurang-kurangn dwibahasa (yang disenaraikan oleh penilai Barat, Scopus) ialah sekitar 10% yang
diakui kecil tetapi tidak semestinya dampaknya juga kecil. Jurnal keluaran Amerika Syarikat sendiri pun
ada yang berupa jurnal dwibahasa (Inggeris dan Sepanyol) dan tribahasa (Inggeris, Perancis, dan
Jerman) dan jurnal-jurnal ini memang berada di senarai atas. Jurnal terbitan Malaysia dalam dwibahasa
(Melayu dan Inggeris) juga sudah mula diiktiraf dunia dan sekaligus karya sains dan matematik dalam
bahasa Melayu ternyata sudah dirujuk oleh sarjana-sarjana pelbagai bangsa di dunia. Sekaligus juga
menyangkal tidak benarnya tulisan sains dan matematik dalam bahasa Melayu tidak bermutu atau tidak
tersebar luas dan ahli sains Malayasia tidak dikenali dunia semata-mata kerana berkarya dalam bahasa
Melayu. Sarjana Melayu sebenarnya, sepertilah dengan sarjana-sarjana bangsa yang maju (dan bukan
daripada kaum Anglo-Saxon) itu, berkarya dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu (bahasa sendiri)
dengan karya dalam bahasa Inggeris itu tidak semestinya lebih bermutu atau lebih banyak dirujuki orang
brbanding dengan yang dalam bahasa Melayu (bahasa sendiri). Malah mengikut MyAis (Malaysian
Abstract in Science), makalah terbitan dalam negara yang paling banyak dirujuk/dibaca ialah makalah
dalam bahasa Melayu. Namun benarlah juga karya sains dan matematik dalam bahasa Melayu Malaysia
atau Indonesia (Brunei atau Singapura) masih tidak sebanyak dalam bahasa-bahasa yang disebut di atas,
sehingga belumlah lagi dapat dilihat merata, sebahagiannya kerana ahli sains dan matematik kita
sebenarnya belum biak berkarya dalam bahasa apa pun! Ini ialah kerana tradisi berkarya dalam bidang
ini baru bermula sekitar 30 tahun (bermula dengan penubuhan UKM 1970) atau 50 tahun bermula
dengan penubuhan universitas di Indonesia dalam tahun 1950-an, sedangkan bangsa-bangsa berbahasa
yang lain yang tersebut di atas sudah lebih daripada ratusan tahun. Persoalannya, kenapalah jahatnya
pemimpin Melayu yang berkuasa selama ini tiba-tiba (dalam tahun 2002) hendak mematikan
perkembangan sains dan matematik dalam bahasa Melayu yang sudah pun menunjukkan kejayaannya
berada di serambi pura kencana ilmu ini di serata dunia? Hanya pengkhianat bangsa sahaja yang sanggup
menyekat perkembangan ini seperti menerusi PPSMI itu?

6. Malangnya Pemimpin Melayu yang berkuasa tidak kenal intan-permata bahasanya


sendiri

Tujuan kita mengajar dan memberi sumbangan sendiri kepada sains dan matematik, antara lainnya, ialah
supaya bangsa kita boleh memahami kejadian dan fenomenon alam tabii ini dan bersyukur serta
memungkinkan kita mentadbir, mengurus alam dan makhluknya dengan penuh keadilannya atau tanpa
kezalimannya. Ini kefahaman ahli sains Melayu-Islam tentang sains dan matematik yang jika ditukar
kepada atau diungkapkan semula ke dalam bahasa Inggeris akan berubahlah terus atau beransur-ansur
berubah mengikut semantik bahasa Inggeris itu pula. Perhatikan bagaimana perkataan-perkataan biasa
yang penting (telah menjadi istilah dalam sains dan matematik) dalam ungkapan di atas, yang condong
dan ditebalkan itu, cukup berbeza maknanya dengan perkataan-perkataan yang biasa dipadankan dalam
bahasa Inggeris sebagai teaching, science, mathematics, understanding the natural events and fenomena,
gratitude, possible, administer, manage, world, nature, creature/being, justice, cruelty . Ini sifat yang ada
pada setiap bahasa, iaitu “zahirnya sama tetapi batinnya berbeza” yang cukup dalam implikasinya kepada
pemahaman (oleh itu pengajaran dan pembelajaran) dan pembinaan (menerusi penyelidikan) ilmu
khususnya sains dan matematik.

Setiap bahasa ada keistimewaannya dalam mencorak ilmu, malangnya pemimpin Melayu yang berkuasa
itu bebal kerana mengiktiraf hanya bahasa Inggeris sahaja yang boleh, mampu dan patut mencorakkan
ilmu. Mereka mungkin bersetuju saya tidak sama dengan I, awak tidak sama dengan you dan akur
menghayati perbezaan itu, tetapi mereka tidak sedar dan insaf akan perbezaan perkataan-perkataan yang
lebih tinggi yang disenaraikan di atas yang sarat dengan ilmu (sains dan matematik) itu. Senarai itu boleh
ditambah lagi dengan yang lebih sarat nilai lagi seperti harus tidak sama dengan permissible (atau must
atau should), haram tidak sama dengan forbidden, atau not permissible/permitted, wujud tidak sama
dengan exist, Tuhan tidak sama dengan God… tidaklah sut senarai begini. Bertentangan dengan
pandangan sesetengah pihak yang kurang arif dengan tabii sains dan matematik, seperti yang tergambar
dalam pendapat Dr.Mahathir dalam blognya (5/01/09) kononnya istilah sains Inggeris itu berbeza
daripada perkataan biasa Inggeris, kebanyakan istilah dalam kedua-dua ilmu ini memang berasal
daripada perkatan biasa ini (selain daripada yang sengaja diambil daripada Arab, Latin dan Yunani).
Pendeknya, kebanyakan perkataan Melayu (yang sarat nilai Melayu asli/pra-Islam dan Islam) berbeza
maknanya dengan perkataan yang peringkat biasa-biasanya dianggap sama maknanya dengan padananya
yang sesuai dengan perkatan Inggeris (yang sarat dengan nilai apeduli agama, sekular, bahkan
mulhid/ateis terutamanya istilah-istilah sains kerana sekurang-kurangnya 90% ahli sains fizik teori
Berbahasa Inggeris umpamanya adalah ateis). Perbezaan bahasa yang halus (peringkat tinggi inilah) yang
menjadikan istimewanya sesuatu bahasa (khususnya bahasa Melayu) dalam pemahaman ilmu yang
diimport (kebanyakan ilmu sains dan matematik sekarang) dan yang lebih penting lagi, pengaryaan ilmu
tersebut (yang sedang dilakukan oleh ahli-ahli sains dan matematik Melayu-Islam yang beroleh
pendidikan dalam kebudayaan Melayu-Islam atau yang sedar dan insaf akan kebudayaan Melayu-Islam
sejak sistem pendidikan sains dan matematik berada dalam acuan berbahasa Melayu dalam tempoh 1959-
2003. Bolehkah keadaan sebegini dilestarikan menerusi pendidikan sains dan matematik dalam bahasa
Inggeris dengan harapan orang Melayu (khususnya sarjana sains dan matematik Melayu kelak) menjiwai
nilai-nilai Melayu-Islam ini? Agak mustahil! Walaupun akan ada individu-individu yang terkecuali
(terkeluar daripada norma) yang berlaku sebaliknya.

Jika Singapura boleh menjadi contoh terdekat, berkenaan dasar pendidikan dalam bahasa Inggeris ini;
jika “berjaya” seperti Singapura (mungkin inilah yang diimpikan demikian oleh penaja dan pengikut
PPSMI itu), akan ada sekitar 40% rakyat Malaysia yang bahasa ibundanya tidak lagi bahasa Melayu,
Tamil atau Tionghua dan sebagainya tetapi bahasa Malinglish (sungguh sesuai pula sebab maling dalam
bahasa Jawa bermakna “pencuri”) yang sepadan dengan Singlish di singapura yang telah dibicarakan
sebelum ini. Bagi orang-orang ini mereka tidak tahu lagi semua perkataan yang disenaraikan di atas di
atas tadi, bagi yang lain lagi, 60% lagi itu, sebahagian besarnya perkataan-perkataan Melayu yang sarat
nilai Islam akan terhakis kerana diboboti oleh nilai-nilai yang tersirat dalam simantik setiap perkataan
daripada bahasa Inggeris itu. Kedua-dua kelompok bangsa Malaysia baru ini entah apa identitinya dan
pandangan hidupnya nanti tidaklah diketahui. Yang jelasnya, bagi yang berketurunan Melayu itu bukan
lagi Melayu sekarang dan bukan juga Inggeris! Segi sains dan matematik, tiadalah lagi orang yang
“berilmu” itu yang mahu membina ilmu itu dalam acuan Melayu-Islam sekarang dan tidak juga akan
mampu menyaingi Inggeris, sebuah bahasa dan kebudayaan yang dianggapnya mengatasi segala bahasa
dan kebudayaan lain. Dr. Mahathir sering memberi contoh dirinya sendiri tentang tiadanya hubungan
apa-apa antara bahasa dengan sahsiah, perangai, pandangan hidup seseorang (diulangai dalam blognya
yang terbaru bertarikh 05/01/09). Pandangan beliau itu amat bertentangan dengan segala kajian ahli
bahasa, psikologi, falsafah, dan ahli sosiologi ilmu pengetahuan seluruh dunia yang dihuraikan mengikut
acuan bahasa Melayu di atas. Namun yang lebih menjengkelkan lagi ialah kecetekan (atau
kesengajaannya menyesatkan pembacanya) Dr. Mahathir memahami hukum sains tentang pembangunan
sahsiah menerusi pendidikan, iaitu pada amnya bahasa berperanan mencorak pengajaran, pembelajaran,
pembentukan peribadi dan pembinaan ilmu. Contoh pengecualian daripada berlakunya sesuatu hukum
sains lebih-lebih lagi dengan contoh diri sendiri cukup rendah taraf sainsnya. Hukum fizik sekalipun,
umpamanya yang mengatakan “daya sama dengan jisim kali pecutan” ada pengecualiannya; iaitu ada
ketikanya mungkin sekali apabila Dr. Mahathir melakukan ujikajinya, hukum itu tidak berlaku. Namun
hasil itu tidak sekali-kali memansukhkan hukum itu kerana kekerapan menyimpangnya daripada hukum
itu tidak cukup tinggi. Hukum sains semuanya tertakluk kepada hukum statistik atau yang disebut
sebagai “hukum yang tidak maksum”. Berhubung dengan hal ini, lebih menjengkelkan lagi, apabila Dr.
Mahathir sering bertanyakan masyarakat Melayu “siapakah orang yang mengatakan dia tidak Melayu?”
apabila orang membangkit soal hubungan bahasa dengan identiti bangsa dalam wacana PPSMI.
Jawabannya jelas, KeMelayuannya, jika pun ada, pada amnya amat berbeza daripada ke-Melayuan
kebanyakan orang Melayu lain yang tidak mendapat pendidikan yang serupa dengannya. Itu dia hasil
daripada pendidikan Inggerisnya sejak bangku sekolah hingga kini (menerusi pembacaan sumber-sumber
pilihannya yang tentu berbeza daripada pilihan sumber orang lain) sehingga menjadikannya cukup
berbeza keMelayuannya dengan keMelayuan orang lain itu. Apa pun keMelayuan Dr. Mahathir itu tidak
harus menjadi norma identity Melayu kini dan selamanya.

7. Malangnya pemimpin Melayu berkuasa tidak kenal makna sains dan matematik?

Istilah “sains dan matematik” hampir mengelirukan tabii sebenar sains dan matematik kerana sains dan
matematik itu dua perkara yang terpisah, sedangkan sains itu kumpulan ilmu pengetahuan daripada akal
manusia sejak zaman Nabi Adam dahulu yang berkembang hingga kini dan kumpulan ilmu itu yang
dianggap tertingginya, terutama sejak abad ke-20 Masehi ini, ialah matematik (yang lainnya yang
terkenalnya ialah biologi, fizik da kimia). Jadi matematik jelaslah sebuah sains juga! Namun, kerana
Kementerian Pendidikan/Pelajaran kita telah lama memisahkan pentadbiran dua mata pelajaran sekolah
(Sains dan Matematik) ini, maka sukarlah diperbaiki lagi. Oleh itu dalam makalah ini pun istilah “sains
dan matematik” tetap dipakai. Perkataan “sains” dalam bahasa Melayu (Malaysia dan Indonesia) adalah
baru diterima sebagai satu perbendaharaan kata bahasa Melayu. Dahulunya orang-orang rumpun Melayu
di Alam Melayu ini (sebelum ada Indonesia dan Malaysia) menggunakan huruf Jawi dalam tulisannya
mengunakan istilah “ilmu pengetahuan” bagi istilah science dalam bahasa Inggeris, atau wetenshap
dalam bahasa Belanda. Semasa Feringgi/Portugis dan Sepanyol menjajah di Alam Melayu mereka
mungkin juga memperkenalkan istilah yang setara dengan science atau wetenshap itu, iaitu ciencia. Kalau
Belanda menterjemah ciencia kepada wetenshap, tetapi Melayu menterjemah ciencia, science dan
wetenshap itu sebagai “ilmu pengetahuan” bagi membezakannya dengan ilmu daripada ajaran Islam (‘ilm
dalam bahasa Arab itu). “Ilmu” Melayu-Islam mestilah ada hubungan dengan agama dan Tuhan;
manakala “ilmu pengetahuan” tidak semestinya demikian kerana kemungkinannya pembina/pembawa
“ilmu pengetahuan” itu hanya menggunakan akal sepenuhnya sahaja. Akhirnya dengan pengaruh
Inggeris yang kuat (yang termanifestasi daripada bahasa Melayu menjadi Rumi sepenuhnya) pada tahun
1960-an perkataan science diterima menjadi perkataan Melayu dengan ejaan “sains”. Indonesia lama
berdegil tidak mahu istilah “sains” dan mengekalkan istilah “ilmu pengetahuan” hingga tahun 1970a-an.
Semua istilah sains dalam bahasa-bahasa Eropah, khususnya Ingggeris, Feringgi dan Sepanyol itu
diambil daripada bahasa Latin, scientia. Bahasa Inggeris menerima perkataan scientia sebagai
perbendaharaan katanya dengan perubahan ejaannya sehingga menjadi science itu bermula pada abad
ke-14M sahaja yang bermaksud “pengetahuan yang diperoleh menerusi kajian” (Kamus etimologi di
Internet) yang tentunya amat luas maknanya termasuk bidang sastera sekalipun. Makna science yang
tidak termasuk bidang sastera seperti sekarang ini bermula pada abad ke-17M sahaja, dan sejak itulah
scientia itu dianggap “modern science” oleh Inggeris kerana penyisihan sastera bermakna penyisihan
unsur-unsur agama di dalamnya. Ini puncanya “sains moden” itu dianggap “sains sekular” terutamanya
jika kita setia dengan makna asalnya dalam bahasa Inggeris itu. Dengan sejarah evolusi science ini, maka
jika “berjayanya” PPSMI maka tiadalah lagi versi makna sains dalam kebudayaan Melayu-Islam itu, dan
yang dihayatinya hanyalah makna sains atau science mengikut acuan Inggeris itu sahaja; dan itupun tidak
sepenuhnya kecuali orang-orang Melayu meninggalkan agamanya sekarang sepenuhnya seperti yang
berlaku pada kebanyakan ahli sains dan matematik Inggeris meninggalkan agamanya, Kristian,
sepenuhnya. Senario ini tentulah menggerunkan sekali!

Berkenaan dengan “matematik” pula, istilah ini pun baru diterima sejak 1970-an bersama-sama dengan
“matematika” di Indonesia. Sebelum itu bidang ini lebih dikenali atas nama satu daripada kaedahnya atau
kegiatannya, iaitu hisab (ilmu hisab), hitung (ilmu hitung), atau keinginan sifatnya yang ketara, pasti
(ilmu pasti). Di peringkat tingginya, ilmu ini dikenali atas nama pemikirannya, al-Riyadhiyaht (al-‘Ulum
al-Riyadhiyaht) yang bermaksud latihan otak (ilmu latihan pemikiran). Nama ilmu hisab, ilmu hitung
atau ilmu pasti itu pun sudah nampak kaitannya dengan sains kerana yang dihisab atau yang cuba
dipastikan itu ialah perkara-perkara sains seperti pemastian keadilan dalam pembahagian harta pusaka,
pengagihan kekayaan kepada masyarakat menerusi zakat dan penentuan beribadat (sembahyang, puasa,
qiblaht, dsbnya) dan penjadualan kehidupan (taqwim) menerusi ilmu falak. Perhatikan bagaimana sarat
nilainya ilmu hisab itu kerana makna pemastian keadilan, pengagihan kekayaan, penentuan beribadat,
dan penjadualan kehidupan itu amat berbeza daripada satu bangsa dan bahasa kepada yang lain.
Ungkapan-ungkapan ini akan berubah simantiknya apabila diungkap di dalam bahasa Inggeris
umpamanya. Keadaan ini lebih ketara lagi jika berdasarkan nama pemikiran al-Riyadhiyaht itu kerana
pemikiran dan bahasa itu cukup intim sifatnya yang sebahagiannya sudah dibicarakan sebelum ini.
Penukaran istilah ini kepada matematik atau matematika (menerusi Inggeris, mathematics dan Belanda
dan Latin, mathematica) yang berasal daripada Yunani, mathematikos, ialah atas keperluan merangkumi
semua kegiatan sarjana dalam bidang ini, iaitu kegiatan memahami, menerangkan/menjelaskan,
mentelaah, mengkaji, mempelajari, menangani, dan mengurus persekitaran tabii, sosial dan politik.
Dengan kegiatan matematik yang sebegini, tidaklah perlu rasanya dijelaskan dengan panjang lebar lagi di
sini bagaimana rapatnya matematik dengan kebudayaan sesuatu bangsa. Seseorang yang mengabaikan
kebudayaan sendiri (seperti bahasa yang menjadi komponen utamanya) bermakna dia cuba memahami
atau memberi faham, menerangkan/menjelaskan, …mengurus dirinya, persekitarannya dan sosiobudaya
dan politiknya, pendeknya seluruh aspek kehidupan ini, dalam acuan bangsa lain dengan panduan ilmu
(matematik) dari acuan bangsa lain itu . Inilah yang harus ditentang!
Kesimpulan
Hujah-hujah keperluan pemansukhan PPSMI yang tersirat di dalam perbincangan tragedi nasib malang
bahasa (dan bangsa) Melayu dalam 7 perkara di atas bukanlah baru semuanya bahkan sebahagian
besarnya sudah dipaparkan oleh pelbagai pihak sejak tercetusnya PPSMI dalam tahun 2002 dalam
bentuk memorandum, resolusi seminar dan sebagainya serta dialog dengan pemimpin utama Melayu
berkuasa yang relevan (Perdana Menteri Dr. Mahathir dan Pak Lah), Timbalan Perdana Menteri dan
Menteri Pendidikan/Pelajaran. Namun semuanya ternyata tidak diendahkan oleh pemimpin Melayu yang
berkuasa itu. Kini sudah sampai ke hidung. Bangkitlah umatku. Ikutlah bisikan qalbu masing-masing;
ikutlah ketua dengan berpada-pada sahaja.

Bibliografi
Aliyu A. 2008. Teaching in mother tongue (Nigeria). http://www.mail-archive.com/
africanlanguages@yahoogroups.com/msg00630.html. Kelih 03/02/09
Cocking, R.R. dan Mestre, J.P., 1988. Linguistics and Cultural Influences on Learning Mathematics.
Hillsdale:Earlbaum
Internet . Review of language, society and education in Singapore :http: //ccat.sas.
upenn.edu/~haroldfs/messeas/handouts/ singapore/ gopi2. html. 02/01/09
Lockwood K. Limited English Proficiency Students and Mathematics. An Annotated Bibliography.
http://www.mathforum.org/~sarah/Discussion.Sessions/biblio. bilingual. html. Kelih 03/02/09
Marsh, H.W., Hau, K-T. & Kong, C-K. 2000. Late immersion and language of instruction in Hong Kong
High Schools: achievement growth in language and nonlanguage subjects. Harvard Educational Rev. Fall
Issue: 302-346
Norman K.I. & Keating J.F. 1997. Barriers for hispanics and american indians entering science and
mathematics: cultural dilemmas. AETS Conference http://www. ed.psu.edu/ci/Journals/97pap22.htm.
Kelih 04/01/09
Noren E. 2008. Mother-tongue of teaching mathematics project. Stockholm University, Sweden Email:
eva.noren@umn.su.se . Kelih 04/01/09Olarenwaju A.O. 1996. Using nigerian languages as media of
instruction to enhance scientific and technological development:an action delayed. Fafunwa Foundation
Internet Journal of Education http:// fafunwafoundation. tripod.com/ fafunwafoundation/id10.html.
Kelih 04/01/09
Setati M. 2005. Teaching mathematics in a primary multilingual classroom. Jour. for Res. In Maths Edu.
36(5): 447-466 http://my.nctm.org/ eresources/ view_media. asp?article_id=7229. Kelih 04/01/09
Warnod H. 2007. French/English Bilingual Program http://www.camberwellps. vic.edu.au/ . Kelih
04/01/09

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%% Makalah
Kolokuium Realiti Melayu anjuran Persatuan Melayu Perlis (PEMANIS) pada

http://kampungebuku.blogspot.com

Anda mungkin juga menyukai