Anda di halaman 1dari 21

Dibentangkan di Seminar Ulang Tahun INSPEM, UPM , 12 Mei 2009

Pembawaan dan Penyerlahan Jiwa Kemanusiaan yang Berbeza mengikut Penghayatan


Bahasa dalam Sains Matematik

Shaharir b.M.Z.
Karyawan Bebas

Abstrak

Sains matematik ditunjukkan ada jiwa kemanusiaannya yang bergantung pada bahasa pengajaran dan
pendidikan serta bahasa penyelidikannya. Bahasa tabii sesuatu bangsalah yang mampu memberi
pengertian tersendiri dan nilai ilmu serta cetusan idea baru dan sekaligus menjadi peregam hak milik
ilmu ini sama seperti yang berlaku dalam bidang persuratan dan kesusasteraan jua. Ini dihuraikan
dengan beberapa contoh sumbangan sarjana besar seluruh dunia dan unsur sains matematik sekolah dan
universiti sehingga ke peringkat penyelidikan (2 × 5=10, F=ma,probable lwn barang kali, possible lwn
mungkin/mumkin, existlwn wujud, space and time lwn ruang dan masa, symmetry lwn
simetri/samukur/setangkup, interest lwn bunga/faedah, dan loanlwn pinjaman/mudharabah). Berkaitan
dengan hal ini, polemik penggunaan bahasa Inggeris di dalam pengajaran “sains dan matematik” yang
hanya menumpukan kepada kepentingan komersilisme bahasa semasa tanpa pertimbangan nilai atau
jiwa yang dibawa oleh ilmu itu menerusi pelbagai bahasa lain, khususnya bahasa sendiri, adalah suatu
manifestasi kesalahfahaman epistemologi yang besar yang hanya merugikan bangsa sahaja.

Pendahuluan
Satu daripada andaian besar tentang tabii matematik ialah bahawasanya matematik itu berdiri di atas
landasan mantik dan mantik itu dapat diturunkan sebagai nombor sahaja menerusi penomboran Godel
(Lihat umpamanya, Latif 1996). Oleh itu tabii matematik berlandaskan mantik (mantikisme) adalah tabii
nombor sahaja. Atas landasan ini maka tesis sarat-nilainya sains matematik bolehlah dikatakan
diutarakan pertama kalinya oleh Oswald Spengler pada 1918-22 dalam bahasa Jerman dan diterjemahkan
kepada Inggeris sebagai “The Decline of The West”dalam tahun 1926-1932, menerusi hujah-hujahnya
yang berfalsafah tentang tabii nombor (ditunjukkan nombor itu sarat budaya), dan kemudiannya
ditambah lagi oleh Leslie White 1947, “The Locus of Mathematical Reality: An Anthropological
Footnote” yang dicetak semula dalam Hersh (2006), dan Tobias Dantzig 1930-an, Number: The
Language of Science (snt barunya 2005) yang juga memaparkan kefahaman pelbagai makna sesuatu
nombor di sisi pelbagai suku kaum primitif yang dikajinya. Berabad-abad sebelum mereka ini sebenarnya
beberapa orang sarjana Islam khsususnya kelompok sarjana yang menggelar diri mereka sebagai Ikhwan
al-Shafa’ secara tidak langsung juga menunjukkan tidak neutralnya makna sesuatu nombor. Miskipun
mantikisme terbukti gagal menjadi landasan matematik sepenuhnya (dibuktikan oleh penegak utama
mantikisme juga, iaitu Russell), namun dengan bukti saratnya nilai nombor terbukti jugalah saratnya
nilai pada sebahagaian besar matematik itu. Sebenarnya, seseorang patut membuktikan sarat nilanya
mantik bagi membuktikan demikianlah halnya dengan matematik. Secara falsafahnya ini memang telah
dibuktikan oleh Heidegger (1928) dalam makalahnya yang diterjemah 1984 sebagai “The metaphysical
foundation of logic”, walaupun para penegosiasi antarabangsa sudah menyedari hakikat kebergantungan
mantik dengan bangsa itu sejak zaman berzaman lagi. Para ahli mantik besar kemungkinan percaya pada
hakikat ini sejak mereka berjaya membina beberapa mantik baru yang berikut:
(1) Mantik n-nilai yang dimulai oleh Łukasiewicz 1917 dengan n=3 dan kemudiannya bersama dengan
Tarski untuk n yang lebih besar drp 2.
(2) Mantik quantum oleh von Neumann 1930-an (dan penambah-baikannya selepasnya) yang berbeza
daripada mantik klasik 2-nilai bagi memenuhi keperluan fenomenon yang berlaku dalam mekanik
quantum.
(3) Mantik Heyting atau mantik intuisis Heyting 1932 bagi keperluan matematik yang berlandaskan
falsafah intuisisme Brower atau binaisme dan oleh itu mantiknya juga dikenali sebagai mantik binais.
(4) Mantik tak terhingga nilai (yang lain daripada mantik kebarangkalian klasik), iaitu mantik kabur yang
dikemukan oleh Zadeh 1965 yang kini sudah dilaksanakan dalam penciptaan pelbagai teknologi seperti
yang terkenalnya mesin basuh yang canggih itu.
(5) Mantik ragaman/modus yang mengambil kira ragam bahasa yang membabitkan perkataan seperti
“dahulunya”, “bisa/boleh/harus”, “mungkin”, “barangkali”, “mesti”, “perlu” (Inggerisnya formerly, can,
could, might, may, possibly, probably, must, necessary) yang dimulai oleh Lewis 1918 (dalam karyanya,
A Survey of Symbolic Logic yang diterbitkan semula oleh Dover 1960) dan kemudiannya bercabang
kepada mantik epistem, mantik tempo(h)an, mantik deontik, mantik doksastik dan mantik niat. Kini
mantik ini mendapat perhatian yang luar biasa daripada kalangan bahasa komputer (bidang mantik
pengiraan/komputasi).
(6) Mantik nyah-tersaur ciptaan Nute (1994) yang dikatakan bertujuan memformalkan mantik yang biasa
terbabit dalam undang-undang, bahasa peguam dan kini juga mendapat perhatian di kalangan ahli
kepintaran buatan.
(7) lain-lain lagi.

Walau bagaimana pun tesis atau pandangan Spengler, White, Dantzig, Heidegger serta perkembangan
mantik matematik itu tidak mendapat sambutan sehebat kesan tesis Kuhn 1962 (yang diterjemah ke
dalam pelbagai bahasa termasuklah Melayu 1992) tentang adanya beberapa persetujuan arena dan
kaedah perolehan ilmu yang berubah secara revolusi (yang diistilahkannya sebagai paradigma sains) dan
diperluaskan ke dalam matematik (sejak akhir 1980-an) oleh ramai sarjana lain terutamanya oleh para
sarjana yang dikumpul oleh Gillies (1996). Livingston (1986) berjaya memperkukuhkan lagi tesis
kebergantungan budaya dalam matematik apabila beliau membuktikan kaedah pembuktian “bukti Godel”
yang masyhur itu pun sarat dipengaruhi nilai budaya Jerman dan beliau menamai kaedah pembuktian
begitu sebagai etnotatakaedah/etnometodologi. Sementara itu ketakneutralan ilmu termasuk sains dan
teknologi juga beroleh hujah-hujah baru daripada pandangan sarjana Muslim khasnya Nasr (1964) yang
membentangkan tentang adanya peranan kosmologi (pandangan alam sesuatu bangsa, ajaran agama atau
falsafah) dalam sains (walaupun sehingga kini belum terbukti dengan jelasnya akan termasuknya juga hal
ini ke dalam “matematik tulen”); al-Attas (1978) tentang keperluan pengIslaman ilmu kontemporer
kerana ilmu ini dihujahkannya sarat dengan fahaman yang bertentangan dengan Islam, khususnya
sekularisme; dan al-Faruqi (1982) dengan lebih lantang lagi memaparkan tentang keperluan
pengIslaman/Islamisasi ilmu (kemanusiaan dan sains sosial) kerana ilmu-ilmu ini dibuktikannya sarat
nilai Barat yang tidak sesuai dengan ajaran Islam (walaupun imbauan sebegini telah dibuat oleh ramai
pihak dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi yang bergerak sebagai persatuan ilmuwan
seperti ASASI di Malaysia sejak 1978 lagi). Dalam perspektif lainnya, D’Ambrosio (1977) menyerlahkan
kepincangan penulisan sains matematik selama ini kerana terlampau berkiblatkan Eropah dan buat
pertama kalinya beliau mengutarakan istilah etnomatematik dan mengimbau keperluan penghakisan
dokongan eropusatisme (fahaman segalanya bermula/berpusatkan di Eropah) dalam penulisan dan
pendidikan sains matematik sehingga melahirkan program etnosains dan terutamanya etnomatematik itu
dalam tahun 1980-an dalam konteks pendidikan matematik (Perinciannya dalam buku terbarunya,
Ethnomathematics 2006). Gagasan D’Ambrosio ini diperluaskan Shaharir (2000/2002) dalam skop
penyelidikan etnomatematik yang dipersuakan dengan matematik kontemporer, gagasan pengIslaman
ilmu dan gagasan pemeribumian ilmu yang disemainya sejak 1995 (Shaharir 1995/1997). Apa pun semua
sumbangan sarjana yang disebut itu menunjukkan tidak neutralnya sains (termasuklah “sains
matematik”). Namun sehingga kini pun, sains amnya dan terutamanya sains matematik masih terkenal
sebagai ilmu yg paling neutral, iaitu bebas budaya, bebas nilai,…, dan tentunya bebas bahasa. Jika
demikian tiadalah istilah matematik Barat, matematik sekular, matematik ateis atau matematik Islam,
apatah lagi matematik Anglo-Saxon (Inggeris), matematik Hindia, matematik Tiongkok atau matematik
Melayu dan sebagainya; yang ada hanya matematik sahaja (yang serupa untuk semua bangsa) dan bahasa
hanya alat pengungkapan semulanya sahaja tanpa penjejasan kepada ilmu itu. Oleh sebab makalah ini
membicarakan hubungan bahasa dengan sains matematik, maka kepercayaan umum bahawa sains
matematik [termasuk “matematik tulen” atau “matematik murni” (Melayu Indonesia) [yang di dalam
bahasa-bahasa penjajah rumpun Melayu ini dikenali sebagai pure mathematics (Ing.), puur
wiskunde/mathematica (Belanda),matematica pura (Feringgi/Pertugis/ Portugis), matematicas
puras (Sepanyol), dan mathematiques pures (Perancis)] itu “bebas bahasa” itulah yang hendak disangkal
dengan huraian yang dipadatkan di sini dan perinciannya diisayaratkan kepada bahan rujukan
berkenaannya.

Di sini kami tidak berhajat untuk mengulangi atau memaparkan semula hujah-hujah Spengler, Heidegger
dan sebagainya itu lagi kerana bukan sahaja hujah mereka ini bersifat kefalsafahan yang kurang menarik
perhatian khalayak di sini, tetapi contoh-contohnya mereka ini tidaklah mengenai bahasa yang ingin
diperkatakan di sini. Yang pentingnya, sekarang ini terutamanya yang berhubung dengan isu projek
kerajaan 2003, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI), kami ingin menghujah
balas terhadap pandangan yang selalu berkumandang yang berbunyi berikut: “Tiada salahnya mengajar
sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, kerana ilmu itu tidak akan berubah dan kita pun tidak akan
berubah menjadi bangsa lain, khususnya KeMelayuan seseorang tidak akan luntur jika sekali pun dia
belajar ilmu sepenuhnya dalam bahasa Inggeris”. (Lihat internet: minta “kritikan kedua terhadap
Mahathir”). Sebenarnya ada banyak lagi persoalan yang timbul daripada projek PPSMI sejak 2003 itu,
tetapi untuk makalah ini kami ingin menumpukan kepada persoalan yang tersirat di dalam pernyataan
bebalis di atas itu sahaja. Di samping itu, kami juga menganggap pandangan pro-PPSMI selama ini
terhenyot atau terherot kerana persoalan PPSMI itu berhenti pada tahap mengajar sains dan matematik
(untuk lulus periksa) tetapi langsung tidak menyentuh persoalan pengaryaan atau penciptaan (iaitu
penyelidikan) ilmu itu. Jadi dalam makalah ini, kami menumpukan kepada isu peranan bersaling antara
bahasa (khsususnya bahasa Inggeris dan Melayu) dan sains matematik dalam pengajaran, pendidikan
dan penyelidikan.
1. Pemilikan Ilmu menerusi Penjiwaan Tambahan dan Kritis kepada Ilmu Lani

Pemilikan ilmu dari kebudayaan lain (semestinya bahasa lain) itu hanya berkemungkinan menjadi milik
sendiri menerusi pemindahan ilmu itu sahaja menerusi bahasa ibunda sendiri sebagaimana yang
dihuraikan oleh penulis ini beberapa tahun yang lepas (Shaharir 1998, 2003a). Ini ialah kerana ilmu
dalam bahasa A membawa nilai ilmu itu dengan tambahan nilai daripada bahasa A, jika bahasa A itu
bukan bahasa asal ilmu itu (seperti yang berlaku pada kebanyakan ilmu Inggeris). Ilmu berbahasa A itu
akan tertapis atau tertambah nilai dan sekaligus mengalami pemeriksaan yang kritis dengan bersahajanya
apabila dipindahkan ilmu itu kepada bahasa B yang lain lagi. Berikut ini ialah beberapa unsur sains
matematik yang melalui proses pemindahan ilmu Barat kepada ilmu Melayu (menerusi bahasa Melayu)
dan sekaligus beroleh nilai tambahnya atau menerima kritikan kea rah penambah-baikannya sesuai
dengan teori amnya yang digariskan di atas itu:

1. Ich un Uch/I and You/I and Thou/Aku dan Kau? (Shaharir 2009a)
2. pimpin/lead dan urus/manage (Shaharir 2008a)
3. exist/wujud (Shaharir 2007a)
4. logic/mantik/nyaya (Shaharir 2007a)
5. consumption/kepenggunaan (Shaharir 2006)
6. the best/terbaik/optimum (Shaharir 2006 & 2009a)
7. Tuhan/God/Allah (Lihat Taufik al-Attas Mingguan Malaysia, 12/April/2009)
8. kebahagiaan/happiness (Shaharir 2008b)
9. Ruhe/rest/diam, bewegung/motion/gerakan,Energie/energy/tenaga, Ereignissen/ event/peristiwa
mengikut Einstein (bahasa Jerman-agama-kosmik) dan Whitehead (Inggeris-Kristian, bukannya
Inggeris-sekular ) dan Melayu. (Shaharir 2006/2009).
10. 2 × 5=10 (Shaharir 2009b)
11. Hukum Newton, F=ma (Shaharir 2009b)
12. Raum und Zeit /space and time/ruang dan masa (Shaharir 2006/2009)
13. probable/barang kali, possible/mungkin/mumkin, permissible/harus/mubah/ja’iz (Shaharir 2007a)
14. indah/beauty khususnya simetri/symmetry/samukur/setangkup (Shaharir 2007b)
15. bunga/faedah/interest, pinjaman/loan, syarikat/musyarakah/mudharabah/usaha sama/ joint
venture(Maheran & Shaharir 2004-2006)
16. simpul/knot (Alinor 2003)
17. ilmu (pengetahuan)/sains/knowledge/science, matematik(a)/mathematics (Shaharir 2008c)

Dalam makalah ini hanya perkara 10 hingga 15 sahaja (yang menyangkut juga perkara 3 dan 4) yang
dibicarakan semulanya bagi tujuan khalayak ini (ahli sains matematik INSPEM)

1.1. Apa ada dalam 2 x 5?


Ambil pertimbangan yang mudah tentang “2 kali 5” itu yang bermakna dua longgok benda (katalah buah
pauh) yang setiap satu longgoknya ada 5 biji pauh (kalau ilmu ini diajar dalam bahasa Inggeris tentunya
buah yang lebih mesra dengan bahasa Inggeris itu akan dipertimbangkan (pastinya bukan mango); ini
pun manifestasi perbezaan nilai yang dibawa oleh pemakai bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu
sehingga PPSMI itu mampu memberi sumbangan besar dalam memfosilkan nama-nama buah tempatan,
dan apa pun benda tempatan amnya). Setiap biji pauh tidak ada yang serupa serba-serbinya dan ini
dibezakan dengan menimbangnya, memeriksa kulitnya, jenisnya, asal-usulnya,…. dan banyak lagi
pertimbangannya bergantung kepada ketelitian seseorang yang berminat kepada pauh itu. Jika semua ini
diabaikan (bagi tujuan keperluan jumlah buah pauh secara kasarnya) maka barulah boleh dikatakan “dua
kali lima itu sepuluh”. Bagi mereka yang teliti, mereka tentunya enggan menerima jumlah/jawaban itu,
lebih-lebih lagi di tempat-tempat lain lagi! Nilai di sini ialah terbit daripada “ketelitian” memeriksa pauh
itu satu persatu.

Atas pertimbangan lain lagi, “dua kali lima sama sepuluh” itu boleh dianggap terbit daripada
pertimbangan “10 bahagi 2 sama dengan 5”. Pertimbangan ini menerbitkan lebih banyak dan menarik
lagi “nilai” atau “hati budi” yang tersirat di dalamnya sehingga membabitkan “keadilan” (suatu nilai yang
amat penting sepanjang zaman). Persoalan akan timbul, adakah adil bagi setiap dua orang itu menerima
haknya daripada 10 benda yang hendak dibahagi 2 itu mendapat 5 seorang? Jawabannya, bergantung
pada perjanjian dua orang itu, sumbangan mereka,…, hubungan syarak dan sebagainya hingga jawaban 5
itu tidak semestinya berlaku sepanjang masa dan situasi. Secara tabiinya akan timbul nilai-nilai Melayu-
Islam pula.

Pertimbangan peribahasa Melayu yang terkenal “dua kali lima” yang diambil daripada situasi unggul
2×5=5×2 jelaslah sekarang amat sarat dengan nilai yang para pembaca diharap dapat mengungkapkan
sendiri pula (Ingat 5×2 bermakna, dalam konteks longgokan buah pauh di atas bermakna 5 longgokan
buah pauh yang setiap longgoknya mengandungi dua biji pauh yang sebenarnya lebih sukar lagi mencapai
bilangan sepuluh itu). Peribahasa ini juga merujuk kepada satu daripada konsep keindahan, khasnya
simetri Melayu yang dibincangkan berasingan dalam 1.5.

Konsep nombor itu sendiri pun sarat nilai sebagaimana yang dijelaskan oleh para ahli matematik
Tamadun Islam dahulu (terutamanya di kalangan Ikhwan al-Shafa), dan di Eropah oleh ahli falsafah
Jerman, Spengler, awal abad ke-20 itu, dan penemuan ahli sejarah sains Tobias Dantzig tahun 1930-an
dan ahli antropologi Leslie White tahun 1940-an tentang konsep nombor bagi pelbagai suku kaum
primitive (lihat rujukannya di bahagian “Pendahuluan” makalah ini), yang sebahagian besarnya
memanglah tidak sesuai untuk bahan pendidikan di peringkat sekolah tetapi perlu disedari oleh pembuat
dasar pendidikan negara. Namun tentang perbezaan “satu” dalam bahasa Melayu-Islam dengan “one”
dalam bahasa Inggeris-Kristian mungkin masih boleh dibicarakan di peringkat sekolah pun kerana nilai
dalam perkataan ini berkait rapat dengan tawhid (dalam Islam) dan teologi (dalam Kristian). Perbezaan
makna setiap nombor bagi sesuatu kaum yang ditemui oleh ahli antropologi itu sudah pun termanifestasi
dalam konsep nombor mengikut teori set yang diajar diperingkat sekolah lagi itu. Umpamanya nombor
dua ialah bilangan set yang ada dua unsur, atau bilangan dua set daripada set dua unsur, atau bilangan
set kepada set kepada set dua unsur, …, dan sebagainya. Pandangan Spengler tentang bagaimana
“nombor dalam sesuatu budaya itu mampu mengungkapkan kewujudan manusia berbudaya itu”
memanglah sesuai dibicarakan pada peringkat universiti sahaja, tetapi lagi sekali pembuat dasar
pendidikan perlu menghargai perkara ini. Ringkasnya Spengeler menyorot perkembang konsep nombor
di Eropah daripada nombor sebagai sukatan geometri (panjang, luas, isi padu dan binaan), iaitu kuantiti
tersetimpalkan (commensurable (Ing.)/kommensurabel (Jer)) yang terdiri drp nombor bulat dan nombor
nisbah itu, diiukuti dengan nombor sebagai punca persamaan aljabar (membabitkan kuantiti yang tak
tersetimpalkan (incommensurable (Ing.)/ inkommensurabel (Jer.)) seperti nombor tak nisbah, dan
nombor sebagai fungsi seperti nombor kompleks, dikaitkannya dengan tahap-tahap perkembangan
kebudayaan bangsa. Apa pun semua ini menunjukkan numbor dalam sesuatu bahasa itu membawa nilai
tersendiri yang terbudaya dalam bangsa yang berbahasa berkenaan itu. Memanglah diharapkan pembaca
semakin dapat faham agaknya daripada perbincangan singkat ini pun bahawa peminggiran bahasa
sendiri dalam S & T akan menghilangkan nilai-nilai bangsa itu yang memang ada dalam S & T.

1.2. Apa ada dalam F=ma?


Berkenaan hukum Newton itu, dalam keadaan yang unggul sekali pun di bilik-bilik makmal, hukum itu
bukannya maksum, iaitu tertakluk kepada ketakpastian. Ini boleh dan perlu ditekankan di peringkat
sekolah sekalipun, kerana nilai ketakpastian alam sains amat penting yang membawa kepada ketuhanan
(menjauhi sekularisme, ateisme atau sainsisme). Di pihak lainnya, hukum Newton itu memang disangkal
oleh Einstein tentang kewajarannya. Namun oleh sebab aspek nilai ilmu ini berhubung-kait pula dengan
teori Einstein di peringkat yang tidak sesuai dengan sekolah (yang relevan dengan PPSMI), maka di sini
ingin ditunjukkan saratnya nilai hukum ini berasaskan pada tiga istilah dalam hukum Newton itu (yang
dikira sesuai di peringkat sekolah), iaitu nilai yang tersirat di dalam perkataan “daya” (drp Inggeris
force daripada Latin fortis yg berupa terjemahan kpd Arab quwwaht yang memberi perkataan Melayu
klasik, kuat, itu), “jisim” (daripada Arab jism yang diLatinkan sebagai massa dan diInggeriskan kepada
mass), dan “pecutan”/“percepatan” (daripada Inggeris acceleration yang berasal daripada Latin,
acceleratus, terjemahan kpd Arab, ta‘jul) sehingga hukum Newton itu menyerlah nilai yang terkandung di
dalamnya berasaskan nilai-nilai daripada bahasa Arab, Latin, dan Melayu itu.

Mengikut hukum Newton, perkara yang menggerakkan sesuatu yang berjisim itu ialah
daya/force/fortis/quwwaht. Jika orang Melayu tidak terputus tamadunnya oleh penjajahan Barat (yang
sedang dihakiskan selama ini menerusi pendidikan sains dalam bahasa Melayu) maka
istilah force Inggeris itu tentu tidak diterjemah kepada “daya” (atau “gaya” atau “kakas” bagi Melayu
Indonesia) tetapi kepada yang lebih asli iaitu “kuat” atau sebagai istilah khusus fizik, quwwaht, yang
mempunyai makna yang ada hubungan dengan ketuhanan Islam (Allah). Istilah force/fortis itu suatu
terjemahan Latin dan Inggeris kepada quwwaht itu yang sudah hilang nilai ketuhanan Islam itu, kalau
pun masih ada unsur ketuhanannya. Dalam buku-buku berbahasa Inggeris (yang tentunya menjadi
rujukan atau teks setia dalam PPSMI) force dalam hukum Newton itu datangnya daripada interaksi
zarah-zarah atau benda-benda berjasad di alam semesta ini yang terjadi dengan sendirinya
(Natural/natural, katanya, dengan N besar atau kecil bagi mengganti God/god) termasuklah dengan
zarah khayalan ahli sains bernama Higg (oleh itu dinamai zarah Higg, yang bagi mereka yang masih
bertuhan secara sinisnya, zarah ini dinamainya zarah Tuhan/God’s particle; seolah-olah zarah lain itu
bukan milik Tuhan!); dan daripada manifestasi tenaga yang sedia ada dalam setiap objek secara natural
(tanpa Tuhan). Tersirat dalam konsep force ini (yang diringkaskan sebagai “tarikan graviti”) ialah
kejadian luar biasa pada jarak jauh seperti tarikan antara matahari dengan bumi (sejarak hampir 200 juta
km) dan lebih jauh lagi dari sudut alam semesta ini ke bumi ini, dan fenomenon ini Newton menamainya
“tindakan sesaujana” (action at a distance daripada Latin, action in distans) yang beliau sendiri amat
tidak senang hati kerana kejadian ini berlaku tanpa selang masa sedikit pun (segera/seketikaan) dan
ketiadaan peranan Tuhan Kristiannya lagi, sehingga menyebabkan beliau meninggalkan fizik beliau ini
untuk menyelesaikan kemusykilan jiwanya dengan cara lain lagi, iaitu menerusi semacam amalan sufi
pula (walaupun beliau tidak berjaya). Einstein (yang menghayati nilai Jerman) berjaya meniadakan
“tindakan sesaujana” tetapi teori tentang asal-usul daya dalam teori Einstein lebih bersifat kebendaan
atau materialis (yang digemari Marxis dan ateis) pula yang tidaklah sesuai dihuraikan di sini. Ringkasnya,
“daya” daripada sumber fizik Inggeris atau fizik yang diInggeriskan (istilah force) memberi makna yang
berbeza daripada “daya” daripada sumber fizik Melayu-Islam. Kefahaman “daya” yang membawa dua
pertembungan nilai yang berbeza ini (nilai keagamaan Islam, dan nilai keagamaan Kristian atau sekular
ini hanya muncul apabila fizik diajar dalam bahasa Melayu kerana bahasa Melayu mempunyai sejarah
dan nilai yang berbeza daripada bahasa Inggeris. Pengajaran fizik dalam bahasa Inggeris pastinya
menjauhkan diri seseorang pelajar itu dengan nilai-nilai Melayu-Islam yang ada dalam istilah “daya” yang
semakin terpanggil menghayati istilah quwwaht itu menerusi pengajaran fizik dalam bahasa Melayu
selama ini.

Jisim dalam bahasa Melayu-Islam berbeza dengan mass Inggeris drp Latin massa itu (yang malangnya
bentuk Latin itu didokongi sepenuhnya dalam fizik Melayu Indonesia). Jisim sebagai terjemahan
sepenuhnya daripada Inggeris mass itu ialah sukatan banyaknya jirim atau matter (drp Latin materie)
dalam sesuatu benda yang dikaitkan dengan atom benda, dan konsep atom Inggeris itu amatlah sekular
sehingga ada usaha sarjana Barat menggantikan atom itu dengan monad. Teori monad tajaan Leibniz
yang sezaman dengan Newton itu memang sarat dengan ketuhanan Kristian tetapi oleh sebab ahli sains
Barat lebih selesa dengan sekularisme atau ateisme maka teori ini disingkirkan daripada fizik dan teori
atom yang sekular atau ateis itu tetap bertakhta hingga kini, walaupun sedang ditandingi oleh teori-teori
lain lagi hasil ketidakpuasan sarjana Barat sendiri terhadap teori atom itu (tetapi bukannya atas
pertimbangan agama). Oleh sebab, mengikut hukum Newton itu, jisim dan daya bagi sesuatu benda
adalah berkadaran terus antara satu dengan yang lainnya, maka penjelasan makna jisim yang sama
seperti penjelasan daya itu juga terpakai. Oleh itu, lagi sekali konsep mass Inggeris adalah sekular
sedangkan konsep jisim Melayu-Islam amatlah berkait rapat dengan ketuhanan Islam menerusi konsep
jawhar dalam fizik Tamaun Islam itu. Jelaslah, pengajaran fizik dalam bahasa Inggeris tidak mungkin
membawa nilai-nilai Melayu-Islam dalam konsep mass itu bila-bila masa pun. Jika konsep jisim Melayu-
Islam yang ada dalam teori kejadian menerusi Martabat Tujuh dan Nur Muhammad, iaitu martabat Ijsam
itu dapat dipermudahkan sehingga layak diturunkan ke dalam alam penjelasan jisim dalam fizik sekolah
sekalipun, maka “nilai ketuhanan” yang ada dalam perkataan jisim itu menjadi lebih dalam dan
bermakna lagi. Namun ini tentunya memerlukan pengolahan yang baru dan menunggu sarjana yang insaf
akan warisan ilmunya sebelum kedatangan ilmu Barat ini. Kesedaran dan keinsafan yang ada kini akan
terhakis dan akan tanpa penggantinya jika PPSMI berjaya diteruskan.

Dalam hukum Newton itu juga ada konsep pecutan/percepatan


atau accelaration/ accelaratus/ta‘jul (Ing./Latin/Arab) itu yang juga sarat dengan nilai bangsa masing-
masing kerana di situ terlibat konsep kedudukan (position) dan masa (time), dan kedudukan itu
melibatkan konsep ruang (space). Dalam Hukum Newton itu, ruang dan masa dianggap tidak berjerait
antara satu dengan lain: kedua-duannya wujud secara bebas dan berasingan sama sekali semutlaknya. Ini
bertentangan dengan konsep masa dan ruang mengikut bahasa Melayu (kajian etimologi dan peribahasa
Melayu berkenaan masa) dan warisan Islam yang contohnya dikupas oleh Iqbal (1934/2004). Konsep
masa dan ruang Barat sekalipun ada dua aliran sejak zaman Yunani lagi: masa dan ruang terpisah bebas
secara mutlaknya dan yang satu lagi sebaliknya. Sebagai contoh peranan bahasa dalam ilmu yang
membabitkan ruang dan masa ini, masa dianggap berkait dengan ruang menerusi geist dan bewegung
(kedua-duanya bahasa Jerman kerana wacana baru tentang masa dan ruang di Barat dimulai oleh para
sarjana Jerman seperti Hegel itu). Sarjana Inggeris menterjemah dua istilah ini kepada “motion” sahaja
(yang tentunya akan menjadi “gerakan” dalam bahasa Melayu bagi penterjemah ilmu Inggeris-Melayu
yang berketuanan Inggeris sahaja), sedangkan ada sarjana Inggeris lain (berjiwa keagamaan) yang
memadankan geist dengan istilah keagamaan Kristian, anima; dan bewegung itu pula dianggap tidak
sama dng motion bagi mentakrifkan pecutan itu. Contoh ini jelas menunjukkan lagi betapanya istilah
sains dan matematik itu bukannya bebas nilai. (Perinciannya di dalam Shaharir 2006/2009). Hanya
pengajaran dan pendidikan sains dan matematik yang membisu (kerana gurunya kurang berilmu atau
tidak mahir berbahasa sahaja) yang berlakunya ketiadaan nilai dalam ilmu ini. Banyak sumber yang boleh
dipercayai menyatakan “pengajaran bisu” berlaku lebih berleluasa menerusi PPSMI, sedangkan satu drp
akibatnya ialah penyahsuburan daya pengaryaan/penciptaan pelajar.

1.3. Berbezanya makna ruang dan masa berbanding dengan space and time
Iqbal (1934/2004) yang karyanya diterjemah ke dalam bahasa Melayu Indonesia dua kali (1966, 2002)
dan Whitehead (1924/1978, 1922/2004) yang disorot dengan kritisnya oleh Fowler (1975) memulakan
kritikan terhadap konsep ruang-masa dalam teori Einstein masing-masing berasaskan pada bahasa Arab-
Islam dan Inggeris-Kristian berbanding dengan istilah-istilah asli dalam teori Einstein itu dalam bahasa
Jerman. Baru-baru ini Shaharir (2006c, 2007b) menggunakan bahasa Melayu pula untuk
menyemarakkan pradigma kritikan Iqbal dan Whitehead itu. Samalah yang didapati oleh Whitehead
bahawa istilah-istilah Einstein dalam bahasa Jerman itu tidak serasi dengan nilai-nilai Inggeris-Kristian,
kami juga mendapati ketidakserasiannya dengan nilai Melayu-Islam. Selanjutnya kami memeriksa tabii
istilah “masa” bagi orang Melayu sejak abad ke-5 M dan kami mendapati “masa” dan “ruang” adalah
kontinum serupa dengan yang diutarakan oleh sarjana Tamadun Islam dan dalam teori Einstein tetapi
secara terperincinya “masa Melayu” dan “masa Islam” itu tidak dihayati sepenuhnya di dalam teori
Einstein itu. Penemuan ini berpotensi untuk dieksploitasi seterusnya bagi memperoleh formulasi baru
teori Kenisbian kita sendiri yang mungkin mampu menyaingi teori Einstein itu.

1.4. Apa ada dalam kebarangkalian dan probability?


Persoalan sarat nilainya istilah kebarangkalian atau probability telah dibicarakan dengan lebih
terperincinya dalam makalah Shaharir (2007a). Di sini dibicarakan lebih ringkas tetapi dengan
penekanan ang lebih kepada isu bahasa.

Pertamanya, perlulah disedari bahawa konsep kebarangkalian Melayu kini yang masih diambil
sepenuhnya daripada probabilityberkait rapat dengan mantik dan teori set [mantik drp bahasa Arab, atau
dahulunya nyaya daripada Sanskrit (kini yang ada hanya perkataan lawannya sahaja, “aninyaya”), dan
apabila Islam tiba, perkataan itu digantikan dengan mantik dan kemudian dengan kedatangan penjajah
Eropah, dipopularkan pula perkataan lojik/logik/logika daripada Yunani-Latin-Belanda-Inggeris].
Perbezaan nilai yang di bawa oleh istilah mantik dengan lojik/logik(a)/logic memang menarik dan
penting juga tetapi tidak dibicarakan di sini. Oleh itu mantik yang berbeza atau teori set yang berbeza
akan melahirkan teori kebarangkalian yang berbeza. Dalam hal ini sudahlah lama disedari dan diakuri
bahawa setiap bangsa atau kebudayaan itu mempunyai mantik yang berbeza dan ini diinsafi sepenuhnya
oleh para penegosiasi antarabangsa dan diplomat yang ikhtisas dan bijaksana (Lihat bahagian
“Pendahuluan” makalah ini). Namun ahli matematik masih belum berjaya menerbitkan teori
kebarangkalian atau kemungkinan yang sesuai dengan setiap kebudayaan ini kerana aljabar mantik atau
aljabar setnya masih belum berjaya dilakukan. Pendidikan yang sarat dengan bahasa Inggeris seperti
PPSMI itu sudah tentu jarang akan melahirkan orang yang sedar akan kebudayaannya sendiri apatah lagi
dengan kebitaraan mantiknya yang memungkinkannya mencipta asas-asas teori set yang baru yang lain
daripada aljabar Boole atau Boolean itu dan seterusnya teori sukatan yang lain daripada yang berlaku
pada set Borel atau Borelan itu.

Teori kebarangkalian/probability yang sedia ada kini memang mengandaikan peristiwa sebagai unsur set
naïf yang kewujudannya berasaskan pada mantik dwinilai sahaja, dan oleh itu amatlah terhad ruang
lingkupnya! Perubahan kepada teori set atau mantik akan memberi teori kebarangkalian baru.
Bagaimana nak ubah teori set atau mantik? KELUAR DARIPADA TEMPURUNG! Ini sering disebut
sebagai pengimbauan kepada kosmologi baru, iaitu seseorang sarjana berpindah kosmologinya selama ini
iaitu memupuk kesedaran kebudayaan baru, kebudayaan/kosmologi sendiri, mulai dengan bahasa. Itulah
kata bistari “Bahasa kaya dengan ilmu.”

Orang Melayu sepertilah dengan kebanyakan bangsa lain juga tidak menghayati mantik dwinilai bukan
semata-mata kerana perkara yang diminatinya tidak tertakrfi rapi tetapi tertakrif secara kabur (yang
menerbitkan teori set kabur dan matematik kabur amnya) tetapi kerana mereka tidak mudah membuat
keputusan dengan Ya atau Tidak sahaja, walaupun terhadap perkara yang tertakrif rapi sebagai unsur set
naif itu. Umpamanya, Lim (2003) berpandangan, berasaskan peribahasa Melayu, bahawa orang Melayu
membuat keputusan berasaskan budi, lalu beliau menamakan mantik orang Melayu sebagai mantik budi.
Apakah struktur aljabar mantik budi ini? Jika kita mampu menerbitkan mantik budi ini maka terbitlah
pula kebarangkalian budi!

Dalam kebudayaan Melayu-Islam sesuatu perkara itu tidak cukup hanya dengan menentukan “tertakrif
rapi” atau “tidak tertakrif rapi” sahaja, seperti dalam penentuan set naïf itu. Bagi orang Melayu-Islam
perkara itu seterusnya sentiasalah dikelaskan kewujudannya kepada kategori hukumnya: wajib, haram,
sunat, makruh, dan harus/mubah/jaiz.

Bagaimanakah aljabar set dan mantik multi-nilai ini berbanding dengan mantik berasaskan bahasa
Inggeris dan nilai Inggeris/Barat yang sudah sedikit sebanyaknya dibangunkan dalam mantik
ragaman/modal logic dan mantik deontik/deontic logic mereka itu? Semua ini dijangkakan mampu
menerbitkan kritikan membina kepada teori sukatan dan set Borelan yang sedia ada kini dan berpotensi
pula menerbitkan teori yang baru lagi.

Hasil kajian etimologi


Kajian dan keinsafan kepada asal-usul atau etimologi sesuatu perkataan dalam sesuatu bahasa itu
memang sering menerbitkan konsep sains dan matematik yang canggih. Begitulah yang berlaku dengan
etimologi probability dalam matematik Inggeris pada masa sarjananya menterjemahkan
(memeribumikan) ilmu ini dari bahasa dan kebudayaan lain di Eropah. Perkataan probability itu terbit
daripada probable yang berasal daripada Latin probabilisdan lebih asas lagi probare yang bermakna
menguji atau mendemonstrasi; dan probare itu diInggeriskan menjadi probe. Namun probable itu telah
berubah sedikit maknanya menjadi “ke arah boleh jadi berlaku”, “condong atau cenderung ke arah
berlaku/terjadi”; manakala probe bermakna cocuh (perkataan Kelantan yang bermaksud cucuk-cucuk
benda yang ingin diketahui dengan benda yang tumpul), atau konteks lainnya, siasat dng halusi atau
kuar. Oleh sebab istilah matematik probabilitybukan asli Inggeris tetapi terjemahan daripada istilah
matematik dalam bahasa Latin ciptaan sarjana Italia dan Perancis dan Jerman, maka kefahaman
pemikiran asal istilah ini perlulah dirujuk kpd istilah dalam bahasa-bahasa
tersebut: probabilis(Latin), probabile (Italia), probable (Perancis/Inggeris),
danwahrscheinlich (Jerman). Kamus Italia-Inggeris dan Jerman-Inggeris memberi makna perkataan-
perkataan ini, antara lainnya, juga sebagai yang dapat dipadankan dengan Inggeris “likely” atau padanan
Melayunya “boleh jadi” atau “condong terjadi” itu. Oleh itu segi etimologinya, probability ialah “sukatan
kecenderungan berlakunya sesuatu setelah dicerap/diuji/ didemonstrasinya”.

Dalam bahasa Melayu, kata dasar “kebarangkalian”, iaitu “barang kali” bermakna “tak pasti berapa kali
berlakunya” dan tidak pernah membawa makna probare Latin atau probe Inggeris itu. Sarjana Melayu
dahulu (tahun 1970-an) tidak memilih perkataan terkuarkan/boleh kuar =probe+ able; atau “boleh jadi”
bagi menterjemahkan probable itu dalam usaha mereka memeribumikan ilmu probability yang besar
mungkinnya disangka daripada Inggeris itu. Jika tidak probability itu diterjemahkan kepada
“keterkuaran” atau “kebolehjadian” sahaja, yang tidaklah begitu salah tetapi ilmu ini akan membawa nilai
yang berbeza lagi daripada kebarangkalian itu. Perkataan “boleh jadi” itu dikhaskan untuk dipadankan
dengan istilah dalam bidang ini yang lain lagi, iaitu likelihood (menjadi “kebolehjadian”) yang berasal
daripada likely itu, iaitu sejenis sukatan yang rapat dengan “kebarangkalian” itu. Ternyata istilah Melayu
“kebarangkalian” itu jauh lebih baik drp istilah Inggeris, probability itu, kerana istilah Melayu itu hampir
terus menerus memberi makna sains dan matematik istilah tersebut (iaitu bilangan kali terjadi dalam
banyak kali cerapan yang mencukupinya) sedangkan istilah Inggeris itu agak sipi-sipi sahaja membawa
makna tersebut! Apabila sudah di Melayukan ilmu ini sedemikian rupa maka bagi sarjana Melayu yang
insaf dengan mendalamnya akan bahasa dan kebudayaannya akan semakin dicabar oleh nilai bahasa dan
kebudayaanya lagi sehingga bidang kebarangkalian dalam acuan Inggeris itu akan semakin dirasainya
penuh kepincangannya pula dan perlu diperbaiki lagi. Penggalian khazanah bahasa Melayu seperti
bahasa Melayu Campa mungkin memberi pengujaan barunya lagi dalam usaha penginovasian ilmu ini
kerana dalam bahasa Melayu Campa ada beberapa perkataan yang membawa makna likely atau “boleh
jadi” dan oleh itu boleh dijadikan calon istilah ilmu ini yang membawa makna “kebarangkalian baru”
kelak. Istilah-istilah itu ialah cadu/sadu, buon/bon dan sanat(Aymonier & Cabaton 1906).

Spektrum pasti-mustahil lwn certain-impossible


Dalam teori probability/kebarangkalian sekarang kita menyukat darjah keberlakuan atau kewujudan
sesuatu peristiwa itu dengan dua istilah ektrimnya: pasti/mesti/certain/sure dan mustahil/impossible,
dan antaranya mungkin/possible/may be, boleh jadi atau likely atau harus (konteks Malaysia). Jika kita
keluar daripada tempurung Inggeris, istilah pasti (amat rapat dengan makna wajib), mustahil dan
mungkin atau harus dalam bahasa Melayu itu terasa amat berbeza maknanya dengan padanan biasa kita
dengan bahasa Inggeris itu. Ini boleh mencetuskan kritikan baru tentang kebarangkalian/probability itu
yang akhirnya akan membuahkan teori baru. Lebih konkrit lagi berlakunya keadaan ini jika kita menggali
khazanah ilmu Melayu Jawi seperti yang kami paparkan di bawah ini.
Manuskrip MS1659 (tanpa tarikh dan penulisnya) ada sebuah makalah berjudul Mutiara Putih (oleh
Syaykh Abdul Rauf bin Syaykh? yang dianggarkan karya abad ke-17M) yang membicarakan perihal
WAJIB, MUSTAHIL dan JA’YZ yang setiap satunya dibahagikan kepada dua kategori: zaaty dan ‘aradhy.
Katanya, sifat yg wajib pada Allah itu zaaty bukan ‘aradhy. Contoh wajib ‘aradhy itu ialah masuknya
syurga Sahabat Nabi yang Sepuluh itu. Adapun yang wajib pada Allah itu ialah Sifat yang Dua Puluh itu
(terkenal dengan ringkasnya sebagai “Sifat 20” dalam tawhid itu). Begitu juga sifat yg mustahil pada Allah
itu mustahilzaaty bukan mustahil ‘aradhy. Contoh mustahil ‘aradhy itu ialah masuknya syurga Abu
Lahab; dan yg mustahil pada Allah itu lawan “Sifat 20” itu. Adapun sifat yang ja’yz (=mubah atau harus
Malaysia) pada Allah itu ja’yz zaaty bukan ja’yz ‘aradhy. Contohja’yz ‘aradhy itu ialah masuknya syurga
orang ma‘kshiaht(maksiat); dan ja’yz pada Allah ialah Ia menjadikan alam ini. Manuskrip MS1659 (pp
137-146, makalah Mutiara Putih itu juga) ada menyebut 4 “wajah” mumkin (asalnya perkataan Melayu
kini “mungkin” itu). Pertama, mumkin mawjud, iaitu contohnya mumkin yg ada sekarang seperti adanya
bumi dan langit ini. Keduamumkin wajidwu anqadhy, iaitu mumkin yg sudah dijadikan pada hal sudah
berlalu masanya seperti nabi Adam. Ketiga mumkin saywuajid, iaitu mumkin yg lagi akan datang seperti
hari kiamat. Keempat mumkin ilmu Allah innahu lam yuwajid, iaitu mumkinyg diketahui Allah
ta‘ala bahawasanya tiada dijadikan seperti seseorang yang bersepuluh kepalanya. Manuskrip al-Ranyry
Ms 781(2) juga ada menceritakan perkara mumkin dan mustahil yang agak berbeza lagi daripada yang
dipaparkan di atas. Pendeknya semua ilmu Melayu (abad ke-17M) berkenaan dengan istilah-istilah yang
cukup intim dengan ilmu yang terkandung dalam teori kebarangkalian/probability sekarang begitu
mencabar bidang ilmu ini. Inilah peranan bahasa yang cukup mahal harganya yang tidak patut dijual-beli
seperti yang berlaku pada bahasa Melayu yang mengikut Ketua Muslimah Pas (secara lisan pada awal
2009) dengan harga ansuran 5 bilion atas nama urusniaga PPSMI itu.

Konsep “ada” atau “wujud” dalam Melayu-Islam yang masih terfosil.


Dalam manuskrip Ms1514 (mengikut pengelasan Perpustakaan Negara Malaysia) bertarikh 1343H = skt
1922M yang pengarang?/penyalinnya? ialah Muhamad Yusof al-Jari ibn Budah memaparkan tiga konsep
“wujud”: khatdab, a‘yan khaarijaht dantajally. Konsep-konsep ini muncul dalam Martabat Tujuh,
sebuah teori kosmologi-kosmogeni Melayu abad ke16M lagi dan sehingga kini pun masih perlu ditelaah
dalam usaha mencari idea baru bagi memperbaiki konsep wujud dalam sains kini yang masih belum
memuaskan ramai sarjana seluruh dunia.

Dengan dasar PPSMI (sekalipun dengan versi yang kedengaran kini akan dimulai di Sekolah Menengah
sahaja), pada amnya mustahil ‘aradhy kita dapat melahirkan sebilangan yang ampuh sarjana yang
perihatin kepada bahasa Melayu sebagai alat pelangsungan penyelidikannya seperti yang digariskan ini?
Mungkinkah ada jiwa-jiwa Melayu-Islam dalam karya sarjananya kelak? JAUHLAH PANGGANG DARI
API.

1.5. Berbezanya Simetri dengan Symmetry?

Isu simetri/symmetry ini pernah dibicarakan oleh Shaharir (2008b) dan di sini diungkapkan semula
dengan sedikit penambahan “fakta” sana-sininya. Ahli matematik dan fizik Barat banyak beroleh inspirasi
dan konsep matematiknya berasaskan pada fahaman makna mereka kepada keindahan atau kecantikan
yang terbit daripada bentuk yang dinamainya Inggeris symmetry(dan bahasa-bahasa lain di Eropah
dengan sedikit perubahan ejaannya sahaja kerana semuanya daripada Yunani-Latin,symmetria,
symmetros) yang mulanya dipadankan kepada bahasa Melayu dengan “setangkup” dan “samukur”
(=sama+ukur) tetapi kemudiannya bersetuju untuk mengambil perkataan “simetri” sahaja lalu
menghayati makna perkatan itu daripada sistem nilai Barat (Inggeris khususnya) sahaja tanpa banyak
soal lagi, seolah-seolah orang Melayu juga berkongsi sepenuhnya makna kecantikan khususnya simetri
dengan orang-orang Barat (Inggeris khsususnya). Baru-baru ini, ahli etnomatematik dari New Zealand,
Barton, memberi ulasan sepintas lalunya di seminar etnomatematik yang dianjurkan oleh INSPEM 2008,
tentang “simetri Melayu” yang beliau cerap pada bentuk-bentuk geometri pada anyaman Melayu. Katanya
simetri pada anyaman Melayu itu nampaknya berbeza daripada konsep simetri dalam matematik Barat
selama ini yang dimodelkan sebagai sebuah struktur aljabar yang dinamai Kumpulan di Malaysia dan
Grup di Indonesia (daripada perkataan Group yang berupa transkripsi Inggeris kpd istilah matematik
Perancis Groupe yang muncul dalam abad ke-19M). Jika kita ingin memperbaiki matematik Kumpulan
kini kerana ternyata teori Kumpulan itu berasaskan konsep simetri yang dirasai tidak sama dengan
simetri kita (Melayu khususnya) maka selain daripada mencerapi sebanyak mungkin anyaman Melayu
itu, kajian etimologi perkataan dalam bahasa Melayu yang lebih asli seperti “setangkup” dan “samukur”
serta perkataan Melayu pra-Islam yang membawa makna semacam perasaan keindahan yang selama ini
dinamai simetri itu juga amat berguna. Untuk ini Kamus Khmer purba (yang dipercayai berkongsi bahasa
dengan Melayu Funan) memaklumkan perkataan “sama” daripada Sanskrit samma itu bermakna simetri.
Kamus Melayu Campa dan Sriwijaya, bahkan Majapahit; dan kajian peribahasa Melayu juga berguna
(seperti yang pernah juga disebut oleh Barton, “seperti pinang dibelah dua”, dan yang lainnya yang kami
ingat serta-merta lani ialah “seperti cincin dengan permata”, “dua kali dua” dan “2 kali lima”). Bagi
Inggeris Symmetry itu (yang diperkenalkan dalam abad ke-16M) boleh membawa makna kesepadanan
(similitud dan kecitaan/afniti), keberkadaran dan keseimbangan; dan makna yang lebih aslinya daripada
Yunani-Latin itu ialah “persetujauan dalam matra, perkadaran dan susunan” dan “susunan harmoni”
(Mengikut kamus Oxford dan etimologi di internet). Ternyata keindahan dalam anyaman Melayu itu lebih
daripada takrif simetri Barat yang dipaparkan di atas itu.

Sebenarnya ahli matematik Barat sudah pun mengkaji kesenian Parsi, Hindia dan “Keseniaan KeIslaman”
dan memadankan dengan teori Kumpulan mereka. Mereka mendapati produk kesenian ini mempunyai
struktur aljabar yang berbeza yang mengayakan teori Kumpulan mereka itu. Bagaimana dengan kesenian
Melayu? Barton dengan seorang pelajar Melayu Malaysia kini (yang selalu juga berhubung dengan Dr.
Alinor, di UKM/INSPEM/KDH) sebagai perujuk mereka) sedang melakukannya dalam arena anyaman
tetapi hasilnya yang lebih menarik daripada yang pernah dibentangkan oleh mereka ini di Seminar
Enomatematik di INSPEM itu masih belum kami ketahui. Isunya, dengan “pendidikan sains dan
matematik” dalam bahasa Melayu selama ini pun kita masih menghasilkan ramai sarjana yang terbenam
dalam kepumpung dan tempurung Barat, apatah lagi dengan PPSMI selama 30 tahun nanti?

1.6. Bunga/Faedah dan Interest, Pinjaman Bank/Mudharabah dan Bank Loan

Sejak bank Islam ditubuhkan di Malaysia 1980-an dahulu istilah-istilah urusan perbankan dalam bahasa
Melayu dan Inggeris mula menonjol perbezaan maknanya yang kemudiannya membawa kepada pelbagai
model matematik yang baru bagi menggantikan rumus matematik bunga/faedah (mathematics of
interest) yang dipakai selama berkurun-kurun itu. Ini dianggap satu anjakan paradigma dalam
pengurusan kewangan dan matematik kewangan dunia. Sekaligus menunjukkan sistem nilai begitu besar
peranannya dalam kemajuan sains dan matematik. Segi bahasanya, sebelum munculnya bank Islam lagi,
begitu jelas berbezanya semantik kita terhadap istilah “bunga” (yang kekal di Indonesia hingga hari ini)
dan “faedah” (sengaja diperkenalkan tahun 1970-an dahulu untuk melunturkan hukum haram terhadap
interest) dan sekaligus berubah juga semantik kita terhadap interest itu. Dengan pengenalan urusan
perbankan Islam dengan pelbagai istilah keIslaman yang diMelayukan seperti yang terkenalnya
“mudharabah” itu maka lagi sekali bahasa Melayu berubah maknanya terhadap bunga, faedah dan
interest, pinjaman bank dan bank loan itu. Model matematik kewangan yang benar-benar berasaskan
kepada mudharabah pun hampir berjaya sepenuhnya dilakukan oleh Maheran dan Shaharir di sepanjang
tahun 2002-2006 yang dapat disasksikan dalam siri penerbitan mereka berdua ini atau dalam tesis D.Fal
Maheran bt Jaafar yang diserahkan kepada Jabatan matematik UKM pada 2006 dan telah diluluskan itu.

2. Positifnya Peranan Bahasa dalam pemindahan dan penerokaan ilmu

Dengan beberapa contoh yang telah dihuraikan di atas, maka diharapkan jelaslah istilah-istilah dalam S &
T itu berasal daripada bahasa pencipta ilmu itu yang memang sarat nilai daripada bahasa itu sejak
mulanya muncul ilmu ini lagi dan kemudiannya dapat diperkukuhkan lagi atau menerima tandingan nilai
itu apabila ilmu itu dijelaskan dalam bahasa lain lagi. Pendeknya bahasa pembinaan dan penjelasan ilmu
itulah yang menilai ilmu itu. Pemindahan ilmu daripada Inggeris ke Melayu yang telah berlaku sejak 50
tahun ini sedikit sebanyaknya berupa pemindahan nilai yang ada dalam S & T Inggeris, dan kerana dalam
proses itu biasanya akan berlaku pertembungan nilai secara tabiinya, maka sekaligus proses itu mampu
mengubah dan memberi nilai baru kepada ilmu tersebut, terutamanya bagi mereka yang sedar akan
warisan ilmu tersebut dalam kebudayaannya sendiri sebelum kedatangan ilmu yang dianggap ilmu
Inggeris itu (walaupun sebenarnya asalnya bukan ilmu Inggeris, tetapi ilmu terjemahan/pemindahan
Inggeris). Pemindahan ilmu sehingga berlakunya perubahan nilai atau kritikan ilmu itu hasil daripada
penilaian berasaskan bahasa dan dan kebudayaan sendiri itu tentunya membuahkan penyelidikan dalam
ilmu itu. Inilah yang positifnya berlaku dalam pemindahan ilmu itu dan yang memang dilalui oleh setiap
Negara Maju itu. Ini tidak akan bersemarak berlaku, atau tiada mangkin yang berfungsi untuk
berlakunya, jika ilmu itu tetap diajar dalam bahasa Inggeris seperti menerusi PPSMI itu.

3. Makna Ilmu Melayu dan Ilmu Malaysia

Dalam 1997 kami menghuraikan makna “sains Melayu” yang dikatakannya sebagai sains yang terhasil
daripada persoalan yang terbit daripada kehidupan orang-orang Melayu, pandangan hidup dan
kosmologi Melayu yang penyelesaiannya dibina untuk keperluan orang-orang Melayu yang kemudiannya
mugkin tetapi ternyata mampu juga sedikit sebanyaknya menyelesaikan masalah bangsa lain,
terutamanya apabila diubahsuai sewajarnya, sebagaimana yang berlaku pada sains Barat itu (Shaharir
1997/2005). Perkara yang berlaku pada sains ini tentunya berlaku pada matematik juga jika matematik
itu dianggap sebagai subset bagi sains. Malangnya ramai ahli matematik sendiri tidak mengganggap
ilmunya berupa sains kerana kononnya sumber sains berbeza daripada matematik, sedangkan ahli
falsafah besar abad ke-20 dan tiada yang mengatasinya lagi hingga kini, Feyerabend, Kuhn, Lakatos dan
Popper memang menganggap matematik itulah sebahagian besar sains, terutamanya sains yang dianggap
tinggi martabatnya. Itulah sebabnya ungkapan “sains dan matematik” masih amat laku dan perlu
terutamanya di Malaysia ini, lebih-lebih lagi dengan riuh-rendahnya projek terbaru kerajaan dalam
pendidikan ilmu bukan sastera yang dikenali sebagai PPSMI mulai 2003 itu. Oleh itu di sini kami
tidaklah mahu berpolemik tentang sains atau tidaknya matematik. Sebaliknya kami terus memaparkan
bagaimanakah matematik itu sarat bahasa dan oleh itu sarat nilai (bahagian 1 di atas) sehingga wajarnya
istilah matematik berbahasa bangsa A (ringkasnya matematik A) dibezakan dengan matematik B,
khasnya matematik berbahasa negara-bangsa Malaysia, ringkasnya matematik Malaysia berbeza dengan
matematik Inggeris. Oleh sebab bahasa bangsa Malaysia yang bertaraf nasionalnya ialah bahasa Melayu
maka istilah matematik Malaysia itu semestinya antara lainnya bermakna matematik dalam bahasa
Melayu sahaja. Matematik (atau ilmu apa pun) dalam bahasa bukan Melayu, seperti Inggeris, semestinya
tidak diiktiraf sebagai matematik (ilmu) Malaysia; manakala matematik Melayu menjadi hanya
sebahagian (walaupun besar) daripada matematik Malaysia. Matematik Malaysia ialah perluasan arena
atau skop sumber dan tujuan matematik Melayu sehingga merangkumi kehidupan semua suku kaum
bangsa Malaysia tetapi bahasanya tetap bahasa Melayu. Justifikasinya dihuraikan di bawah ini.
Persoalan yang ingin dileraikan di sini ialah apakah yang menentukan ilmu itu milik sesuatu bangsa B
sehingga layak diistilahkan sebagai ilmu B, khususnya ilmu Melayu atau rumpun Melayu, seperti sains
Melayu, fizik Melayu, sajak Melayu, Novel Melayu dan matematik Melayu. Kami berpegang kepada takrif
bahawasanya ilmu bangsa A ialah ilmu yang ditulis dalam bahasa bangsa tersebut, khasnya ilmu rumpun
Melayu ialah ilmu yang ditulis dalam bahasa rumpun tersebut oleh sesiapa sahaja dalam dunia ini
terutamanya yang berasaskan pada sumber rumpun Melayu. Takrif ini berasaskan pada sejarah tamadun
manusia sepanjang zaman dan sifat ilmu yang sarat nilai itu. Ini dihuraikan lagi di bawah ini. Bahagian
ini dipetik drp buku penulis ini (Shaharir 2008a).

Pertamanya, seluruh dunia mengiktiraf bahawa tamadun Melayu amat kaya dengan manuskrip lamanya,
terutamanya manuskrip Melayu Jawi (sesetengahnya mengatakan yang terbanyak di dunia kerana kini
dianggarkan sebanyak kira-kira 6 ribu seperti yang dikelaskan oleh Shaharir 2003a), dan mereka ini juga
bersetuju dengan takrif ‘manuskrip Melayu’ (karya sebelum abad ke-19M) dengan maksud tulisan pada
kertas, daun tar (lontar), kulit pokok atau haiwan, dan pada batu (yang biasa disebut batu bersurat atau
prasasti) dalam bahasa Melayu sahaja (bukan dalam bahasa Sanskrit atau Arab atau bahasa-bahasa lain,
yang juga agak banyak terutamanya dalam Tamadun Melayu Funan dan Campa abad ke-2M hingga ke-
16M). Ini sesuai pula dengan persetujuan mereka terhadap makna karya Inggeris, karya Perancis, karya
Jerman dan sebagainya.

Dalam tahun 1960-an dahulu para budayawan dan sasterawan di negara kita pernah berpolemik di
kalangannya untuk mentakrif “sastera nasional” atau “sastera Persekutuan Tanah Melayu” dan “Sastera
Malaysia” untuk tujuan pengiktirafan rasmi kerajaan dan dunia amnya. Ada pihak yang mahu
memasukkan sastera dalam bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa suku kaum di Malaysia, yang ditulis oleh
seseorang rakyat Malaysia juga dianggap “sastera nasional”. Ternyata kehendak kumpulan minoriti ini
tidak mendapat tempat yang diingininya seperti yang disaksikan dalam penapisan hadiah-hadiah sastera
peringkat nasional seperti anugerah “Sasterawan Negara” itu; tetapi tidak pula berlaku dalam bidang ilmu
seperti anugerah “Ahli Sains Negara”, atau “Saintis Muda”. Dalam dua anugerah atau hadiah kepada ahli
sains itu, kriteriumnya, antara lainnya, hanya rakyat Malaysia dan tiadalah berkehendakkan karya-karya
mereka itu dalam bahasa kebangsaan (Bahasa Melayu). Ini manifestasi kita membezakan karya sastera
dengan karya sains, iaitu karya bukan sains dianggapnya sarat nilai, manakala karya sains itu bebas nilai
hingga kononnya tiadalah ertinya membezakannya mengikut bahasa perantaraaannya. Kita
sepatutnyalah akur dengan pandangan bersama para sarjana yang telah disebut sepintas lalu di bahagian
pendahuluan makalah ini (walaupun setengah daripada hujah mereka masih boleh dipertikaikan),
bahawa sains juga sarat nilai, maka hadiah untuk ahli-sains Malaysia itu tidak wajar dianggap sebagai
pengiktirafan kepada mereka yang memenuhi syarat sekarang ini sahaja, iaitu kerana sumbangannya
dalam bahasa apa pun dan di mana jua pun asalkan mereka rakyat Malaysia. Jika Malaysia dianggap
sebuah negara-bangsa yang berbahasa pembangunannya (nasional/kebangsaan) bahasa Melayu,
bukannya sebuah negara “satelit Inggeris” seperti yang tersirat dalam PPSM itu (iaitu negara yang
memancarkan kebudayaan Inggeris dengan dominannya), maka karya dalam bahasa Inggeris atau
bahasa-bahasa lain selain daripada bahasa Malayu tidak wajar dianggap karya sains Malaysia. Sehingga
kini oleh sebab karya sains “ahli sains rakyat Malaysia” hampir semuanya dalam bahasa Inggeris, dan
ditambah pula memang yang dinilai hanya yang dalam bahasa Inggeris (dalam bahasa lain khasnya
dalam bahasa Melayu dianggap tidak bermutu), maka lebih tepat lagi mereka yang diiktiraf itu
sebenarnya diterima sebagai penyumbang “sains Inggeris Malaysia”, iaitu penyumbang sains dalam
bahasa Inggeris oleh rakyat Malaysia. Bagi menjustifikasikan pandangan ini, marilah kita tinjau karya-
karya tokoh besar zaman berzaman dan melihat bagaimanakah penentuan hak milik atau jenama karya
ini.

3.1. Naipul Penyumbang Ilmu Siapa?


Pemenang Hadiah Nobel Persuratan 2001, Vidiadhar Surajprasad Naipaul namanya di beri kepada beliau
atas nama United Kingdom (UK) bukan sekadar kerana beliau berkerakyatan UK, tetapi juga kerana
karya-karyanya memang semuanya dalam bahasa nasional/kebangsaan UK (Inggeris) sahaja. Beliau
dilahir di Trinidad berketurunan India dan mungkin sekali tidak tahu bahasa nenek moyangnya (bahasa
dari suku kaum di Hindia/India). Orang Hindia tentunya tidak mengiktiraf Naipul sebagai penulis Hindia
semata-mata kerana beliau berketurunan Hindia; manakala orang Trinidad tidak menganggapnya penulis
Trinidad kerana semata-mata dia dilahirkan di Trinidad sedangkan karyanya tiada kena mengena dengan
bangsa Trinidad atau Hindia. Walaupun bahasa Inggeris menjadi bahasa nasional/kebangsaan (bahasa
pembangunan) Hindia dan Trinidad, dan karya Naipul dalam bahasa tersebut, namun Naipul masih
sukar dianggap juga sebagai penulis kedua-dua negara itu kerana kewarganegaraannya adalah negara
berbahasa asli Inggeris. Bagaimana dengan perkara dalam karya Naipul? Adakah perkara ini
mempengaruhi jenama sesebuah karya? Karya Naipul yang menyebabkan beliau melonjak terkenalnya
ialah berkenaan kehidupan orang-orang Islam di Indonesia dan Malaysia dalam bukunya,. “Among the
Believers” 1981 dan “Beyond Belief “1998 (lihat Internet 1: minta Naipul). Namaun tiadalah rasannya
orang rumpun Melayu yang termakan (terasuah) dan mahu mengiktiraf karya Naipaul itu sebagai karya
persuratan Melayu atau ilmu Melayu kerana bahasa karya tersebut bukannya bahasa Melayu. Pendeknya,
Naipul memang hanya layak dianggap penulis agung Inggeris sahaja kerana karya-karya agungnya dalam
bahasa Inggeris. Asal keturunannya dan perkara yang dibicarakan dalam karyanya tidak mengubah taraf
jenama karyanya itu.

3.2. Novel Somerset Maugham


Satu lagi contoh yang menarik dipertimbangkan ialah karya sasterawan terkenal berketurunan Ireland
tetapi berkerakyatan United Kingdom, Somersat Maugham namanya. Beliau pernah menghasilkan novel,
cerpen dan sandiwaraan terkenal yang berlatar belakangkan masyarakat di Asia seperti On a Chinese
Screen 1923, The Gentleman in the Parlour 1930, The Letter 1927, dan The Painted Veil 1925 sehingga
lamalah beliau berada di rantau Asia bagi menyiapkan tulisan-tulisannya itu (Internet 2: minta nama
novelis ini), tetapi karya-karyanya itu tetap dianggap sastera Inggeris kerana bahasanya memang bahasa
Inggeris; dan tidak juga dianggap sastera (bangsa) Ireland, walaupun bangsa Ireland sudah pun
meninggalkan bahasanya yang asal, Seltik, kerana mendokong bahasa Inggeris sejak abad ke-19 lagi
sebahagi bahasa pembangunannya (bahasa kebangsaan atau bahasa nasional).

3.3. Ilmu beberapa orang Pemenang Hadiah Nobel Sains


Bagaimana pula status beberapa orang pemenang Hadiah Nobel sains diterima oleh bangsa yang
berketurunan Negara Ketiga yang karyanya bukan dalam bahasa negara pertiwinya (nenek-moyangnya)?.
Contohnya, ialah dua orang sarjana berketurunan Hindia (Tamil), Chandrasekhar (berkerakyatan AS)
dan Raman (berkerakyatan Hindia) yang masing-masing beroleh Hadiah Nobel fizik pada tahun 1983 dan
1930; Ahmad Hassan Zewail (berbangsa dan berkerakyatan Arab-Mesir tetapi menetap di AS), pemenang
Hadiah Nobel kimia 1999; Abdus Salam yang berkerakyatan Pakistan dan menetap di UK, mendapat
Hadiah Nobel fizik 1979; Earnest Walton (rakyat Ireland) pemenang Hadiah Nobel Fizik 1951. Mereka
semua ini berkarya dalam bahasa Inggeris sahaja. Ilmu mereka ini tidaklah dipertikaikan lagi pemiliknya,
iaitu Inggeris! Bahkan negara atau rakyat negara pertiwi sarjana ini mampu hanya menumpang sekaki
tersipu-sipu sahaja atas kemasyhuran mereka ini.

Berkenaan dengan Ferid Murad, yang memperoleh Hadiah Nobel Perubatan 1998 memang penyumbang
perubatan Amerika-Inggeris bukan sahaja kerana berkerakyatan AS tetapi kerana karyanya semuanya
dalam bahasa Inggeris, walaupun beliau berasal daripada bangsa Albania Muslim (sebelah bapanya yg
berhijrah ke AS) yang beremakkan seorang Kristian Baptis; dan beliau sendiri pun sudah murtad menjadi
Kristian mazhab Protestan jenis Episcopalian dan beristerikan seorang Prebyterian.

Sebaliknya, ilmu karya para pemenang Hadiah Nobel (atau sarjana amnya) dari Jepun, Tiongkok,
Perancis dan Jerman umpamanya memang tanpa ragu-ragu lagi diiktiraf sebagai ilmu atau ilmuwan (ahli
sains) bangsa-bangsa berkenaan itu kerana banyak karya mereka itu ditulis juga dalam bahasa negara-
bangsanya sendiri di samping bahasa-bahasa sains yang lain terutamanya, yang paling disanjungi rakyat
Malaysia, Inggeris itu.

3.4. Newton Sarjana Siapa?


Karya ilmuwan bangsa Inggeris yang terkenal, Newton, yang asalnya Philosophiae Naturalis Principia
Mathematica 1687 dalam bahasa Latin itu, tidak dianggap karya Inggeris sehinggalah karya itu
diterjemah kepada bahasa Inggeris 42 tahun kemudian, 1729 oleh Andrew Motte. Begitulah besarnya
peranan bahasa dalam penentuan pemilik sains itu. Ini sesuai pula dengan peranan nilai dalam ilmu
sedangkan bahasa amat sarat dengan nilai.

3.5. Apa bezanya Wallace dengan Ahli Sains Hayat dari Malaysia?
Contoh yang lebih menarik lagi, Wallace, seorang ahli alam tabii UK terkenal abad ke-19 yang berada 8
tahun di Alam Melayu bersama ramai pembantu penyelidiknya dari kalangan rumpun Melayu, antaranya
yang disebut dalam bukunya ialah seorang yang bernama Ahmad, merakamkan begitu banyak spesies
flaura dan fauna di Alam Melayu (sekitar 35 ribu spesies) pada akhir abad ke-19 dan menjadi rujukan
besar Darwin bagi menerbitkan hipotesisnya yang kini dikenali sebagai “Teori Evolusi” itu. Karya beliau
tidak pernah pun dianggap sebagai sains Melayu kerana rakaman penyelidikan itu dalam bahasa Inggeris
sahaja (Lihat karya Wallace 1869, “The Malay Archipelego: The Land of Orang-Utan and the Bird of
Paradise”, yang terbitan ulangannya cukup banyak (dng berlainan Pendahuluan) dan yang agak barunya
terbitan 2001 disorot oleh Mat Rofa 2006). Bukan sains-Melayu-nya ilmu karya Wallace ini dapat
dimengerti dengan lebih mendalam lagi apabila seseorang mempertimbangkan tujuan ilmu bagi sesuatu
bangsa; iaitu supaya bangsa itu memahami segala selok-belok kebudayaan dan alam persekitarannya dan
memajukan diri atau bangsanya menerusi amalan dan ramalan daripada ilmu ciptaannya itu. Dalam hal
ilmu Wallace itu, sungguhpun dengan puluhan ribu spesies flaura-faunanya yang dapat dicaminya,
namun orang Melayu masih belum mengenali ratusan spesies haiwan dalam negara/kebudayaan
berasaskan karya Wallace itu, seperti burung pingai, cendrawasih, jentayu, berkik, bubut,
pokko/sesumpah dan serindit; beberapa haiwan lain lagi seperti belalang kunyit, tuma, hama, anai-anai,
dan puluhan ikan laut seperti kembung, selar dan jolong-jolong yang besar kemungkinannya masih
belum diketahui nama sainsnya hingga kini (terutamanya jika padanan Inggerisnya belum
diketahui/pasti) seperti yang dibincangkan dalam Shaharir (2003b & 2005). Jelaslah ilmu Wallace itu
bukan ilmu sains hayat Melayu kerana bahasanya!
Jika karya Wallace itu diterjemah ke dalam bahasa Melayu (dengan memastikan semua istilah spesies
flora-fauna yang telah diInggeriskannya itu dikembalikan kepada bahasa rumpun Melayu, maka pastinya
ilmu Wallace itu dengan mudahnya menjadi ilmu milik Melayu. Sehubungan dengan ini, apakah bezanya
karya Wallace itu dengan kebanyakan ahli sains hayat berkerakyatan Malaysia kini yang hanya berkarya
dalam bahasa Inggeris sahaja juga?

3.6. Apa beza nya ahli matematik Sir Rohan Hamilton dengan ahli Matematik rakyat
Malaysia kini?
Contoh yang lebih menarik lagi ialah tentang Sir Rohan Hamilton (abad ke-19) yang karyanya menjadi
perebutan milik sains dan ‘jenama’ ahli sains Ireland dan UK kerana masalah bahasa ini (bangsa lain
tetapi mendokong bahasa pembangunan yang sama). Sebenarnya atas dasar yang sama segelintir orang
Melayu yang cita Inggeris (yang memperjuangkan PPSMI) juga mungkin ingin berebut karya Hamilton
ini kerana Hamilton juga boleh berbahasa Melayu! Dalam hal ini tiadalah bezanya dengan orang Melayu
yang hanya berkarya dalam bahasa Inggeris. Namun sebahagian besar orang Melayu tidak akan
menerima karya matematik Hamilton sebagai khazanah karya ilmu Melayu semata-mata kerana beliau
fasih berbahasa Melayu sedangkan karyanya dalam bahasa Inggeris sahaja.

3.7. Sarjana Melayu abad ke-6 hingga abad ke-19M


Sarjana rumpun Melayu sejak abad ke-6M lagi berkaraya dalam banyak bahasa tetapi termasuklah dalam
bahasanya sendiri, bahasa Melayu (sebelum abad ke-13M terkenal dengan nama Kunlun oleh bangsa
Tiongkok dan Kolan oleh Yunani). Antara sarjana itu ialah Subhodi dan Paramartha (zaman kerjaan
Melayu Funan yang berpusat di Kemboja abad ke-2M hingga ke-9M) yang berkarya dalam bahasa
Sanskrit, Melayu dan Tiongkok; Atisa, Dharmakirti dan Suryakirti sarjana zaman kerajaan Melayu
Sriwijaya abad ke-7 hingga ke-13M). Atisa adalah sarjana yang berasal dari Tibet tetapi hampir menetap
di Sriwijaya (Palembang) sambil mengajar dan berkarya dalam bahasa Melayu juga sehingga beliau
diiktiraf sebagai sarjana Melayu. Ini hampir sama dengan yang berlaku pada sarjana zaman Melayu-
Islam, Nur al-Dyn al-Ranyry dalam abad ke-17M, seorang sarjana dari Hindia (Ranir/Ranyr) tetapi
kemudiannya mentapnya di Aceh serta banyak berkarya dalam bahasa Melayu dan Arab sahaja, setiap
satu yang ditulis dalam bahasa Melayu itu (kecuali judulnya, biasanya dalam bahasa Arab) dianggap
dunia sebagai karya Melayu (atau manuskrip Melayu). Karya berjudul Bahr al-Lahut dianggap manuskrip
Melayu abad ke-12 kerana dalam bahasa Melayu walaupun bersifat terjemahan (oleh penterjemah yang
tidak diketahui) sehingga ada salinannya yang berjudul Bahr al-Dahut daripada karya asalnya dalam
bahasa Arab itu; begitu juga dengan karya terjemahan 1590 daripada bahasa Arab, ‘Aqa‘id al-Nasafi (juga
oleh penterjemah yg tidak diketahui) dianggap manuskrip Melayu yang tertua (yang jelas tarikhnya)
kerana bahasanya. Kedua-dua manuskrip ini ialah berkenaan dengan fizik dan falsafah sains warisan
tamadun Islam yang mendahului Barat itu, dan malah layak dianggap fizik Melayu atau kosmologi
Melayu (tetapi tidak berlaku demikian kerana orang Melayu sendiri kini tidak pernah mengiktiraf adalah
sains dalam tamadunnya akibat sistem pendidikan yang dilaluinya memang berpusatkan tamadun
Eropah). Pada zaman Tamadun Melayu-Islam (dianggap antara abad ke-14 hingga akhir abad ke-19M)
ratusan ilmuwan Melayu berkarya dalam bahasa Arab dan Melayu yang telah kami perkatakan
sumbangan puluhan sarjana pilihan dalam bidang SAKTI (sains, kesihatan, kejuruteraan dan teknologi)
di dalam Shaharir (2009a). Yang ingin ditegaskan di sini ialah bahawasanya mereka ini berkarya dalam
bahasa Melayu di samping bahasa ilmu semasa yang lebih luas sebarannya, iaitu bahasa Arab.
Umpamanya dua orang sarjana polimates: Ahmad al-Fatdany akhir abad ke-19 (agama, bahasa, sastera,
sejarah, siasah/politik, penerbitan, kosmologi, matematik dan perubatan) dan Nwur al-Dyn al-Ranyry
abad ke-17 (mantik, fizik atom, falak/astronomi, kosmologi-kosmogeni, kepemimpinan-kepengurusan
dan falsafah). Ahmad al-Fatdany dikatakan menghasilkan lebih drp 160 buah karya dalam pelbagai
bidang itu tetapi setakat ini yang dijumpai ialah 63 buah, iaitu 26 dalam bahasa Melayu, 28 dalam bahasa
Arab dan 9 buah yang belum dikatahui bahasanya (Melayu atau Arab atau dwibahasa) kerana belum
ditelaah/dicatat oleh sesiapa lagi yang kami ketahui. Al-Ranyry pula ditemui berhasil sebanyak 40 buah
karyanya yang terdiri daripada 36 buah dalam bahasa Melayu dan 4 buah dalam bahasa Arab.

Kesimpulan
Sains matematik sarat nilai kemanusiaannya yang terkandung dalam nombor dan operasinya, istilahnya,
aksiomnya, dan perkara yang dipertimbangkan. Setiap bahasa mampu memberi nilai tambah kepada
sains matematik yang sedia ada atau menjadi penapisan nilai ilmu tersebut secara kritisnya sehingga
mampu menerbitkan idea baru ke arah penginovasian, atau pe-revolusian ilmu itu. Bahasa Melayu telah
berperanan sedemikian dengan contoh-contoh yang konkritnya. Sehubungan dengan tabii simbiosis ilmu
dengan bahasa itu maka ahli sains matematik Malaysia perlulah memberanikan dirinya (memohon
kebenaran jika perlu) bukan sahaja mengajar ilmunya dalam bahasa negara Malaysia, bahasa Melayu,
dengan agak seimbangnya berbanding dengan pengajarannya kini dalam bahasa Inggeris, tetapi juga
sering pula berkarya dalam bahasa Melayu agar dia layak menjadi sarjana Malaysia yang sebenarnya dan
ilmunya juga layak dijenamai sebagai ilmu Malaysia. Untuk memudahkan lagi tercapainya budaya
keilmuan seperti ini, maka ahli sains matematik perlulah turut bersama dengan para cendekiawan lain
memberi pandangan, permintaan atau desakan bermadani kepada pihak kuasawan kini agar PPSMI
dihapuskan segera. Tindakan ini sesuai dengan permintaan Menteri berkenaan kini yang mahu
mendengar apa jua pendapat pemegang kepentingan pendidikan negara; dan akuilah bahawa ahli sains
matematik adalah satu daripada kelompok tersebut.

Rujukan
al-Attas M.N.1978. Islam and Sekularism. ABIM. snt keduanya terbitan ISTAC 1993. Terjemahan di
Indonesia sebagai Islam dan Sekularisme. Bandung: Pustaka 1981.

al-Faruqi I.R. 1982, Islamizatin of Knowledge: The Problem, Principles and the Workplan: A Follow-up
Report on Seminar on 'Islamization of Knowledge'. National Hijra Centenary Committee of Pakistan. Juga
diterbitkan oleh IIIT 1982. Diterjemah sebagai Islamisasi Ilmu di Indonesia 1986, dan PengIslaman Ilmu
di Malaysia, DBP 1991

Alinor M.b.A.K. 2003,. “Pematematikan Simpulan dan Ikatan Melayu”, Kesturi 37-93

Aymonier E. & Cabaton.A.1906. Dictionnaire Cam-Francais. Paris: L’ecole Francaise D’extreme-Orient

D’Ambrosio U. 1977. Science and technology in Latin America during its discovery. Impact of Science on
Society 27 :267-274)
--------------------. 2006. Ethnomthematics. Sense Publishers

Dantzig T. 2005. Number: The Language of Science. Dikemaskinikan oleh Mazur, terbitan Pi Press
(terbitan asalnya 1930-an).

Fowler D.R. 1975. Whitehead’s Theory of Relativity. Process Studies 5(3): 159-174. Muncul juga di
internet: http:// www. Religion-online.org/ showarticle. asp?title=2390 . Kelih 25 Jun 2005
Gillies D. (pnyut.). 1996. Revolutions in mathematics, Oxford : Clarendon Press

Heidegger M. 1928. (Terj. 1984) The metaphysical foundation of logic. Bloomington: Indiana University
Press.

Hersh R. (Pnyut.). 2006. Lihat White (1947).

Iqbal A.M. 1934/2004. The Reconstruction of Religious Thought in Islam. Edited and annotated by
M.Saeed Sheikh. N.Delhi: Adam Publishers & Distributors. There are many earlier editions and reprints.
First published 1934 in London. First Indonesian Malay trans. was pub. in 1966 entitled “Pembangunan
Kembali Alam Pikiran Islam” by P.T. Bulan Bintang, Jakarta (reprinted by Thinkers Library Malaysia
1987). A new Indonesian Malay trans. is “Rekonstruksi Pemikiran Agama dalam Islam”, Al-mizan 2002.

Kuhn T. 1962. The Structure of Scientific Revolution. Univ. of Chicago Press. Snt. Ke-2, 1970, snt ketiga
1996 berbeza hanya kerana ada indeks. Terjemahan di Malaysia, Struktur Revolusi Sains, DBP 1992.

Latif A.b.S. 1996. Falsafah Matematik. K.Lumpur: DBP


Lewis C.I.1918. A Survey of Symbolic Logic. Cetakan semula oleh Dover 1960.

Lim K.H. 2003. Budi as the Malay Mind : A Philosophical Study of Malay Ways of Reasoning and
Emotion in Peribahasa. Tesis Ph.D. Asia-Africa Insitute, Dept. of Austronesian Studies, Faculty of
Oriental Studies, University of Hamburg.

Livingston E.1986. The Ethnomethodological Foundation of Mathematics. London: Routledge & Kegan
Paul

Maheran bt. J. 2006. Model Matematik Pelaburan Musyarakah and Mutanaqisah. Tesis D.Fal. Jabatan
Matematik, UKM. Tidak terbit

Mat Rofa b. I. Sorotan buku Wallace 1869, “The Malay Archipelego: The Land of Orang-Utan and the Bird
of Paradise”, terbitan ulangan 2001. Jawhar 2: 1-21

Nasr S.H.1964. Introduction to the Islamic Cosmological Doctrine. Diterjemah di Malaysia sebagai
Pengenalan Doktrin Kosmologi Islam, DBP 1992

Nute D. 1994. Defeasible logic. Dlm. Gabbay D. (Pnyut.). Handbook of Logic in Artificial Intelligence and
Logic Programming. Vol.3: Nonmonotonic Reasoning and Uncertain Reasoning. Oxford University Press:
353-395.

Shaharir b.M.Z. 2009a. Apa ada pada pada bahasa Melayu? Syarahan Umum, anjuran Institut Bahasa
dan Literasi, USM 12 April.
--------------------.2009b. Kepentingan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu Sains dan Teknologi. di
Wacana Ilmu Siri I: “Pemerkasaan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu”, di KDH, ABIM pada 19 April
2009
-------------------. 2008a. Pembinaan Teori Baru Kepemimpinan dan Kepengurursan Rumpun Melayu.
K.Terengganu: UMT
-------------------. 2008b. Ekonomi Pembangunan Lawan Ekonomi Kebahagiaan. Jawhar. Jurnal Kajian
Ketamadunan Jun/Julai 2008, 5(1):1-45)
------------------. 2008c. Malangnya Nasib Bahasa Melayu sebagai Bahasa Sains dan Matematik: Bala yang
Perlu Dikendala. Kolokuium Realiti Melayu anjuran Persatuan Melayu Perlis (PEMANIS) pada 21 Feb
2008)
-------------------. 2007a. Keperluan teori kebarangkalian baru yang lebih serasi dengan sistem nilai
sendiri”. Prosiding Sem Keb Sn Matema ke-15 PERSAMA-UiTM 5-7 Jun 2007. Pusat Penerbit Universiti
(UPENA), UiTM: 413-424
------------------. 2007b. A development in mathematical sciences in Malayonesian mould”, Proc. Internat.
Conf. on Mathematical Sciences (ICMS), PERSAMA, Bangi. CP: 94-117)
--------------------. 2007c. Beberapa judul dalam fizik matematik: perspektif acuan sendiri. Bengkel
Pemeribumian dan PengIslaman Sains & Kejuruteraan ASASI-UKM di UKM 9 Feb 2007.
----------------------.2006/2009. Bahasa Jiwa ilmu: kes teori kenisbian”, dalam Sari 2009, 27:149-171.
Asalnya makalah yg dibentangkan di Sem. Matematik & Sn Komputer UMT 2006
--------------------. 2006,.Sains Matematik dan Pengurusan. Jurnal of Quality Measurement &
Analysis/JSQA 1(1): 1-43
-----------------------.2005. Haiwan-Haiwan yang tercetus daripada peribahasa Melayu yang belum jelas
segi sainsnya: Satu cabaran terhadap ahli biologi dan ahli leksikografi di Alam Melayu. Malaysian Jour. of
Sc. & Technol. Studies 2005,3: 105-135.
---------------------. 2003a. Kaedah pemeribumian sains, teknologi dan perubatan. Makalah Khas Pusat
Penerbit dan Teknologi Pendidikan UKM
---------------------. 2003b. Etnosains Melayu tertua setakat ini: Kajian kasus etnobotani Melayu daripada
prasasti Talang Tuwo abad ke-7 Masehi dan peribahasa. Malaysian Jour. of Sc. And Technology Studies
2003, 1: 78-113
----------------------.2003c. Sains dan teknologi Melayu sebelum penjajahan Eropah. Melayu. Jurnal
Antarabangsa Dunia Melayu. 1(2): 157-204
----------------------. 2000/2002. Etnomatematik Melayu. Seminar Bersama UKM-UNRI 2002. Terbit
dalam Sari 2002, 20: 97-112.
----------------------. Penerokaan Judul Asli dan pribumi dalam sains di Malaysia. Asasains 3 (Sept.-Dis.):
8-12
-------------------.1997/2005. Pembinaan sains Melayu. Dlm Mohamed Anwar Omar Din (Pyt.), Dinamika
Bangsa Melayu. Menongkah Arus Globalisasi. Penerbit UKM 2005, 303-320. Asalnya makalah yg
dibentang di Seminar Peradaban Melayu “Pembinaan sains Melayu-Islam” di Seminar Peradaban Melayu.
Sem. Peradaban Melayu di UKM, 13 Mac, 1997, dan sebahagian isinya dimuatkan ke dalam Beri Harian
…. Dng judul “.
-------------------.1995/1997.Towards a quantum leap in the development of Islamic Science with
particular references to Malaysia. Dalam Anuar AbRazak dan Abu Bakar Majeed (Pyt./ed.), Islam Science
and Technology. Pasca-sidang 1995. IKIM, Kuala Lumpur: 47-76

White L. 1947 (Dicetak semula 2006). The Locus of Mathematical Reality: An Anthropological Footnote.
Philosophy of Science 14:289-303, dicetak semual dalam Hersh R. (Pnyut.). 2006. 18 Unconventional
Essays on the Nature of Mathematics. Springer: 304-19.

Whitehead A.N. 1928/1978. Process and Reality. New York : Free Press.
-------------------. 1958. Science and the Modern World. The New American Library
-------------------. 1922/2004. Principle of Relativity. CUP 1922. Diterbitkan semula oleh Dover Pub. 2004

http://Kampungebuku.blogspot.com

Anda mungkin juga menyukai