Anda di halaman 1dari 5

SOLAT

Definisi
Solat dari segi bahasa bermaksud doa atau memohon kebajikan dan pujian. Dalam istilah
syarak ( menurut ulama fiqh ) solat bermaksud ibadah yang tersusun dari beberapa perkataan
dan perbuatan dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam dengan mengikut syarat-syarat
yang tertentu. Manakala ( menurut ulama tasawwuf ) solat bermaksud menghadapkan jiwa
kepada Allah S.W.T. secara yang boleh mendatangkan rasa takut kepadaNya, dan melahirkan
di dalam jiwa rasa keagungan, kemuliaan, kebesaran, kesempurnaan dan kekuatanNya.

Kefardhuan
Merupakan rukun yang kedua daripada rukun Islam yang lima. Menjadi kewajipan
kepada seluruh muslimin dan muslimat agar mendirikan solat lima waktu sehari semalam.
Ibadah solat merupakan ibadah yang paling istimewa kerana ianya mendapat perintah secara
langsung tanpa melalui perantaraan Malaikat Jibrail a.s . Kefardhuan solat berlaku pada
malam Isra dan Miraj. Menurut pendapat Abu Umar bin Abdul Barr dan diperkuatkan oleh
Ibnu Ishaq, bahawa Siti Khadijah mengerjakan solat bersama Rasulullah selepas peristiwa
Isra dan Miraj. Tidak terdapat pencanggahan di kalangan pengkaji bahawa pada malam Isra
dan Miraj ini, Allah S.W.T. mewajibkan solat lima waktu kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan
umat baginda. Kemudian pada keesokan harinya, ketika matahari gelincir, Allah S.W.T.
mengutuskan Malaikat Jibrail a.s. supaya mengajarkan cara melakukan solat dan waktunya
kepada baginda. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas . ( Kitab
Bimbingan Solat: m.s 76 ) . Berdasarkan pada hadis ini, dapatlah disimpulkan bahawa solat
lima waktu, bentuk dan caranya yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat
sejak ibadah solat difardhukan adalah ditunjukkan oleh Allah S.W.T.
melalui Malaikat
Jibril a.s. Dengan ini, bererti perbuatan solat yang terdiri daripada qiyam, rukuk, sujud,
tahiyat awal dan akhir, salam dan bacaan ayat-ayat Al-Quran di dalamnya bukanlah rekaan Nabi
Muhammad s.a.w.

Rahsia perlakuan dari sudut pandangan sains.


Perlakuan Rukuk
Ibadah solat mempunyai seni yang tersendiri di samping 1001 rahsia yang belum
dirungkai sepenuhnya, kecuali kita mengetahuinya sebagai ibadat diwajibkan ke atas setiap umat
Islam. Pastinya ada rahsia kerana ketenangan dapat dirasai apabila kita mengerjakan solat
dengan betul dan khusyuk.

Pergerakan rukun dalam solat yang membabitkan angkat tangan

ketika niat, takbirratullihram, sujud, rukuk, duduk iktidal sehingga memberi salam sebenarnya
mempunyai rahsia tersendiri seperti satu senaman ringan. Keistimewaan pergerakan solat inilah
mencetuskan minat sekumpulan penyelidik Universiti Malaya (UM) membuat kajian saintifik
untuk melihat hikmahnya dari segi kesan kepada kesihatan kerana solat merupakan suatu aktiviti
fizikal yang unik. Antara hasil kajian secara saintifik terhadap solat paling menarik ialah
kemampuan memulihkan masalah disfungsi ereksi atau mati pucuk yang amat ditakuti oleh
lelaki. Kajian itu diketuai Ketua Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan UM, Prof Madya Dr
Fatimah Ibrahim bersama Prof Dr Wan Abu Bakar Wan Abbas, Prof Dr Wan Azman Wan Abu
Bakar dan Ng Siew Cheok menerusi pembiayaan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Kajian itu juga dibuat hasil cetusan pemikiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad
Badawi pada tahun 2005 supaya melihat dan mengkaji dari sudut saintifik mengenai perlakuan
solat. Menurut Prof Madya Fatimah, hasil kajian biokejuteraan sains, solat yang dilakukan
pasukannya penyelidiknya dapat membuktikan masalah mati pucuk boleh diatasi dengan
menunaikan solat. Kajian lain yang masih dijalankan menerusi terapi solat secara saintifik
membabitkan

komposisi

tubuh badan, kolesterol, sistem jantung dan kardiovaskular,

gelombang otak ketika bersolat, kekuatan otot-otot tubuh badan manusia dan sakit pinggang.
Setakat ini, kajian awal sudah membuktikan bahawa manfaat fizikal seperti komposisi badan
seseorang menjadi lebih baik dan mental yang cerdas apabila seseorang itu melakukan amalan
solat menepati syarat yang ditetapkan seperti mengerjakan solat lima kali sehari selain solat
sunat, mengerjakan solat secara berjemaah, memahami bacaan dalam solat, mengerjakan rukun
solat dengan sempurna.

Beberapa keputusan lain juga mendapati solat tarawih dan ibadat

puasa didapati dapat merendahkan tahap glukos dan kolesterol yang menjadi rintangan
pengaliran darah dalam badan. Amalan itu juga mampu meningkatkan kekenyalan dinding otot
salur darah dan kadar metabolisma dalam badan. Kajian juga mendapati kadar denyutan jantung
adalah

paling rendah dalam posisi sujud yang merehatkan jantung.

Prof Madya Fatimah

berkata, kajian juga mendapati posisi rukuk dalam solat pada kedudukan sudut 90 darjah dapat
mengurangkan sakit belakang dan pinggang. Tidak boleh dinafikan bahawa amalan solat secara
betul memberi banyak manfaat dari segi kesihatan fizikal dan mental kerana pergerakan solat itu
sendiri sama seperti senaman.

Perlakuan Sujud
Di dalam perlakuan sujud itu ada simbolik dan hikmah yang harus fahami dan hayati.
Iaitu bersama terancap dan ratanya tujuh anggota badan kita dengan bumi, pergerakan yang
sepenuh jiwa, sepenuh rasa hina dan mengharap kepada Allah SWT dan penyerahan secara total
seorang hamba terhadap Penciptanya dalam menerima serta mematuhi segala perintah dan
larangan dari-Nya. Jangan sampai berlaku, hanya di dalam solat sahaja kita sujud tetapi di dalam
kehidupan seharian kita bersifat "jauh api dari panggang" didalam erti kata yang lain kita tidak
tunduk, tidak taat dan tidak menyerah secara total kepada peraturan dan sistem Allah yang Maha
Sempurna.

Sayugia dilakukan setiap melakukan rukun sujud ketika solat sentiasalah

membaharui ingatan kepada Allah SWT (Al-Khaliq). Manakala tunduk meletakkan dahi ketika
sujud hendaklah merasakan bahawa ia sedang menghina diri kepada suatu Zat Allah Yang Maha
Agung dan apabila ia merasa kehebatan Allah Yang Maha Agung maka ketika itu ia juga harus
merasai dirinya itu amat kecil dan terlalu kerdil di hadapan Zat Yang Maha Agung. Sujud bererti
seseorang itu telah meletakkan wajahnya ditempat yang paling rendah di atas tanah ini bermakna
ia telah meletakkan seluruh dirinya di atas tanah. Dengan sujud itu bererti telah mengingatkan
dirinya terhadap punca asal kejadian manusia itu dari tanah dan mengembalikan dirinya kepada
tanah. Apabila ia telah sanggup menghantar dahinya dan juga dirinya ke tempat yang hina maka
tidak mungkin ia akan bersikap sombong lagi terhadap Allah yang menciptakan dirinya dari
tanah itu.

Sujud bukan sahaja mendekatkan kita dengan Allah SWT tetapi dari sudut perubatan pun ada
hikmahnya. Antara hikmah sujud menurut keterangan perubatan ialah:1. Membetulkan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya.
2. Membetulkan pundi peranakan yang jatuh.
3. Melegakan sakit hernia.
4. Mengurangkan sakit senggugut ketika haid.
5. Melegakan bahagian paru-paru dari ketegangan.
6. Mengurangkan kesakitan pada apendiks atau limpa.
7. Meringankan bahagian pelvis.
8. Menggerakkan otot bahu, dada, leher, perut, punggung ketika akan sujud.
9. Gerakan otot-otot ini menjadikannya lebih kuat dan elastik, secara automatik memastikan
kelancaran darah.
10. Bagi wanita gerakan otot ini menjadikan buah dadanya lebih baik dan mudah berfungsi untuk
menyusukan bayi.
11. Gerakan bahagian otot memudahkan wanita bersalin, organ peranakan mudah kembali ke
tempat asal .
12. Mengurangkan kegemukan.
13. Otak manusia (organ terpenting) menerima banyak bekalan darah dan oksigen.
14. Kedudukan sujud paling baik untuk berehat dan mengimbang lingkungan bahagian belakang
tubuh.
15. Memberi dorongan untuk mudah tidur.
Selain itu kesan sujud yang lama akan menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh
mengelakkan pening kepala dan migrain, menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran sekali
gus menguatkan mentaliti kita (terutama ketika sujud waktu solat Subuh). Kesimpulannya solat
adalah suatu aktiviti fizikal unik yang mampu memelihara kesinambungan sistem fisiologikal
manusia meliputi kesihatan fizikal, mental, rohani dan emosi. Dengan memahami hikmah dan
kebaikan yang dizahirkan daripada pergerakan solat yang sempurna, akan merangsang muslimin
dan muslimat dalam menunaikan ibadat dengan khusyuk dan tawaduk.