Anda di halaman 1dari 6

Amalan Gaya hidup Sihat

Amalan membentuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.


.
.
..........Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa
impak positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang
sihat ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang masalah yang
boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula. Sudah pasti dalam kehidupan
era moden yang begitu banyak tekanan ini gaya hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu
dicapai segera. Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai
matlamat ini.
.
..........Tindakan awal ialah seseorang itu perlu mengamalkan satu bentuk pemakanan yang
seimbang dalam kehidupannya. Dalam keadaan kehidupan sebenar, orang ramai lebih suka
mengambil makanan yang bersifat mudah seperti mengamalkan pengambilan makanan ringan
ataupun makanan segera. Tidak kurang juga masyarakan kita hari ini yang lupa kesan
pengambilan makanan berlemak ataupun makanan yang mempunyai kandungan garam, gula atau
sodium glutamit yang tinggi. Hal ini boleh mendatangkan pelbagai penyakit kronik seperti sakit
jantung, darah tinggi ataupun kencing manis yang juga menjadi punca kematian tertinggi di
negara kita. Orang ramai juga mesti menjauhi amalan buruk seperti merokok atau meminum arak
kerana kesannya amat membahayakan. Jelaslah, diet yang seimbang membolehkan kita semua
mencapai kehidupan yang ceria kerana semua nutrien yang diperlukan oleh badan diperoleh
menerusi pemakanan yang seimbang.
.
..........Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan yang dijalani oleh
seseorang itu lebih sihat dan menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti seperti bersukan,
berekreasi, berjalan atau berlari bersendirian atau bersama-sama keluarga ketika hujung minggu.
Aktiviti senaman seperti ini diakui oleh pakar perubatan mampu menjadikan sistem peredaran
darah manusia lebih baik serta menjadikan sistem imunisasi mereka tinggi. Mereka yang gemar
bersukan biasanya memiliki badan yang sihat dan minda yang cerdas berbanding dengan orang
yang jarang bersukan. Jelasnya, semakin kerap senaman dilakukan maka semakin tinggilah tahap
kesihatan seseorang itu kerana minda yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas.
.
..........Orang ramai juga perlu mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan
mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi,
berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian.
Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya
mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum
makan, menutup makanan dengan baik agar tidak diharung lalat mahupun memilih gerai atau
tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa masyarakat dalam aspek
berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus diutamakan agar
dapat membentuk gaya hidup yang sihat dalam kalangan masyarakat.
.
..........Pada masa yang sama selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, masyarakat juga
perlu menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan
dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, orang ramai

digalakkan mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan taman perumahan dengan


membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih.
Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk,
lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah
seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun
ditukar. Dengan cara demikian, orang ramai akan dapat menjauhkan diri mereka daripada
pelbagai penyakit serta membentuk kehidupan yang sihat.
.
..........Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka
yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih
bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan
masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan
keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Masyarakat digalakkan menjalin hubungan
komunikasi yang mesra bersama-sama rakan atau jiran tetangga. Hubungan baik yang
berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan.
Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup
yang sihat ini.
.
..........Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu
bagi menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan
seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik
tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat
memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Kepada mereka yang
menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar
motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami
boleh menjuruskan seseorang pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau
melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda seseorang itu maka
semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapainya kelak.
.
..........Kesimpulannya, gaya hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua amalan yang
dipaparkan tadi. Gaya hidup sihat hanya boleh dicapai sekiranya masyarakat mengamalkan
semua aspek kehidupan berlandaskan ciri-ciri manusia sihat. Cuma sikap masyarakat yang masih
memandang rendah kepentingan gaya hidup sebeginilah yang menyebabkan pelbagai masalah
kesihatan timbul kelak. Kita semua perlulah memahami bahawa mencegah lebih baik daripada
mengubatinya.

Fokus Karangan Bahan Rangsangan SPM 2010 Amalan Gaya Hidup Sihat
Dengan berdasarkan Soalan Percubaan Bahagian A (Karangan Bahan Rangsangan) beberapa
buah negeri, antara isu yang perlu difokuskan ialah amalan gaya hidup sihat.
Antara negeri yang memfokuskan isu tersebut ialah Terengganu dan Negeri Sembilan. Di
samping itu, soalan negeri Pahang turut memfokuskan isu yang sama tetapi dalam bahagian B
iaitu soalan 2 yang berkaitan dengan peranan ibu bapa untuk melahirkan keluarga yang sihat
(berformat ceramah).
Soalan contoh (Rujuk Soalan Karangan Kertas 1 Bahagian A, Peperiksaan Percubaan Bahasa
Melayu negeri Terengganu 2010).
Gambar rajah di bawah menunjukkan sebahagian daripada amalan gaya hidup sihat. Huraikan
pendapat anda tentang amalan gaya hidup sihat yang sewajarnya dipraktikkan oleh setiap
individu. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
Rangka Karangan
Pendahuluan
- kepentingan amalan gaya hidup sihat
Isi-isi
- amalan pemakanan seimbang
- bersukan dan beriadah
- Pemeriksaan kesihatan
Penutup
- amalan tersebut perlu dijadikan budaya untuk melahirkan rakyat yang sihat

Amalan gaya hidup sihat memang banyak kepentingannya kepada manusia. Dengan
mengamalkan gaya hidup sihat, seseorang akan sentiasa sihat, cergas dan bertenaga. Oleh itu,
setiap orang hendaklah melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh iaitu, sekurangkurangnya tiga kali seminggu. Tindakan ini ibarat menyediakan payung sebelum hujan, iaitu
seseorang itu akan dapat mengekalkan kecergasan dan seterusnya badan akan menjadi sihat
melalui aktiviti senaman. Amalan ini seterusnya akan melahirkan rakyat yang sihat dan produktif
selaras dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan produktiviti negara.
Satu amalan yang penting untuk diamalkan adalah dengan mengambil makanan yang
seimbang. Oleh itu, tubuh orang yang mengamalkan pemakanan seimbang ini akan mendapat
khasiat dan vitamin yang diperlukan. Sebagai contohnya, seseorang itu perlu banyak mengambil
makanan yang berserat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan makanan
yang berlemak atau mengandungi kolesterol yang tinggi. Dengan cara itu, penyakit berbahaya
seperti penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi dan diabetis akan dapat dielakkan kerana
mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatinya.
Amalan lain yang perlu diamalkan adalah dengan bersukan atau beriadah. Aktiviti sukan dan
riadah yang dilakukan akan menyihatkan seseorang kerana aktiviti itu akan melancarkan
perjalanan darah dan badan akan mengeluarkan peluh. Seseorang itu boleh bersukan seperti
bermain badminton, bola sepak, menunggang basikal, berjoging, atau berenang. Jika badan
seseorang itu sihat dan cergas, sudah pastilah daya pemikirannya juga cerdas kerana otak yang
cerdas datangnya daripada tubuh yang cergas.
Selain itu, setiap orang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Hal ini akan
memastikan anggota dalaman tubuh seseorang itu seperti, jantung, hati, buah pinggang, dan
pankreas berfungsi dengan baik. Melalui cara itu juga, penyakit berbahaya seperti penyakit
jantung koronari, diabetis, dan tekanan darah tinggi dapat dapat dikesan lebih awal melalui
peralatan moden dalam bidang perubatan. Dengan cara itu, langkah pemulihan akan dapat
dilakukan dengan segera. Hal ini demikian kerana, alat-alat perubatan moden dapat mengesan
sesuatu penyakit lebih awal dan tidaklah sudah terhantuk baru nak tengadah.
Secara keseluruhannya, amalan gaya hidup sihat memang perlu dijadikan budaya untuk
melahirkan rakyat yang sihat. Jadi, Kementerian Kesihatan perlulah mengambil langkah yang
proaktif untuk merealisasikan impian negara kita itu. Sekiranya langkah tersebut tidak diambil,
sudah tentu hasrat untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas tidak akan menjadi
kenyataan. Oleh itu, hasrat untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas akan menjadi realiti
jika semua pihak saling bekerjasama iaitu, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

Fokus Karangan Bahan Rangsangan SPM 2010 Kebaikan mengadakan


sambutan kemerdekaan negara.

Dengan berdasarkan soalan percubaan Bahagian A (Karangan Bahan Rangsangan) negeri Perak,
isu yang diketengahkan ialah kebaikan mengadakan sambutan kemerdekaan negara.
Soalan contoh (Rujuk Soalan Karangan Bahagian A, Peperiksaan Percubaan Bahasa Melayu
negeri Perak 2010 daripada blog Cikgu Zaki).
Gambarajah di bawah menunjukkan sebahagian daripada sambutan kemerdekaan negara.
Huraikan pendapat anda tentang kebaikan-kebaikan mengadakan sambutan kemerdekaan
negara pada setiap tahun. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah
perkataan.
Rangka Karangan
Pendahuluan
Hari ulang tahun kemerdekaan yang kita sambut setiap tahun mempunyai banyak
kepentingannya
Isi-isi (Sudah disediakan dalam bahan rangsangan)
Memupuk semangat patriotik
Memupuk perpaduan kaum
Menghargai dan mengenang jasa pejuang kemerdekaan
Penutup

Hari ulang tahun kemerdekaan negara kita perlulah disambut oleh semua rakyat
Karangan Contoh
Hari ulang tahun kemerdekaan negara yang kita sambut setiap tahun mempunyai kebaikan
dan kepentingannya yang tersendiri. Hari tersebut merupakan hari kebesaran negara yang perlu
disambut dan dihayati oleh semua rakyat yang cinta akan negara ini. Pelbagai acara dijalankan
untuk menyambut hari ulang tahun kemerdekaan ini seperti mengadakan majlis perarakan atau
perbarisan, memasang bendera pada bangunan, kenderaan dan sebagainya. Oleh itu, sambutan
hari tersebut hendaklah diteruskan agar generasi muda yang menjadi tonggak negara pada masa
hadapan akan mengerti dan menghayati kebaikannya.
Kebaikan sambutan hari ulang tahun kemerdekaan ini adalah dapat memupuk semangat
patriotik atau cinta akan negara. Dengan menyambut hari ulang tahun kemerdekaan, seseorang
itu akan merasai pengalaman itu sendiri dan berasa megah dengan hari kemerdekaan negaranya
sendiri. Perkara ini demikian kerana, tak kenal maka tak cinta, iaitu seseorang itu
akan menghayati hari kemerdekaan tersebut dengan lebih bermakna melalui penglibatan dan
penyertaannya dalam sambutan hari ulang tahun kemerdekaan atau menyaksikan majlis
sambutan tersebut secara langsung.
Selain itu, dengan menyambut hari ulang tahun kemerdekaan, kita dapat memupuk
perpaduan kaum. Hal ini demikian kerana, pelbagai kaum yang terdapat di negara kita akan
bekerjasama dan berganding bahu dengan melibatkan diri semasa sambutan diadakan. Kita
dapat melihat semua kaum, seperti kaum Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, dan Bajau turut
serta dalam sambutan terebut. Perkara ini tentunya akan menjadi bukti bahawa perpaduan kaum
dapat dipupuk dan disuburkan melalui sambutan hari ulang tahun kemerdekaan negara.
Melalui sambutan hari ulang tahun kemerdekaan juga, kita dapat menghargai dan mengenang
jasa pejuang kemerdekaan negara. Kita akan memahami dan menghayati pengorbanan serta
perjuangan pejuang-pejuang kemerdekaan negara kita suatu masa dahulu. Mereka sanggup
berkorban harta, nyawa dan tenaga iaitu seperti lilin yang membakar diri untuk menerangi
orang lain, semata-mata untuk memerdekakan negara kita. Dengan cara itu, sebagai rakyat
negara ini, kita akan sedar dan berazam untuk mempertahankan kemerdekaan negara kita sampai
bila-bila.
Intihanya, ulang tahun hari kemerdekaan negara kita perlulah disambut oleh semua rakyat
negara ini dengan penuh penghayatan. Oleh itu, kerajaan hendaklah menjalankan kempen
melalui media massa untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan sambutan ulang tahun
tersebut. Hal ini bersesuaian dengan konsep 1Malaysia yang diuar-uarkan oleh pucuk pimpinan
negara kita pada masa ini yang mementingkan aspek perpaduan kaum. Sekiranya usaha ini tidak
dijalankan, sudah pasti rakyat negara kita kurang menyedari kepentingan sambutan hari ulang
tahun kemerdekaan negara.