Anda di halaman 1dari 20

Pengenalan

Geografi adalah satu bidang ilmu yang mempunyai hubung kait yang sangat rapat
dengan alam sekeliling. Menurut Mohamad Suhaily Yasri Che Ngah (2002)
Erastosthenes merupakan orang yang pertama mengelarkan diri sebagai ahli geografi
di mana beliau yang mencipta perkataan geografi yang berasal dari Yunani.
Erastosthenes menerangkan bahawa geo membawa maksud bumi manakala graphien
membawa maksud menulis atau menerangkan tentang bumi. Geografi turut dikenali
sebagai disiplin ilmu alam iaitu bidang ilmu yang akan menerangkan tentang benda
hidup (biotik) dan benda bukan hidup (abiotik) yang wujud di alam sekeliling. Komponen
benda hidup ini terdiri daripada organisma hidup seperti manusia, haiwan, dan
tumbuhan manakala benda bukan hidup terdiri daripada tanih, hujan, udara, mineral,
cahaya matahari dan sebagainya.
Perkataan biologi berasal daripada kata dasar Yunani iaitu bios yang bererti
kehidupan dan logos yang bererti kajian. Bersangkutan itu, biologi ialah satu bidang
ilmu yang mengkaji tentang hidupan, persekitaran, dan interaksi antara hidupan dengan
persekitaran. Pengetahuan tentang biologi membolehkan manusia memahami diri
sendiri dan hubungan antara manusia dengan organisma lain serta fenomena yang
berlaku hasil daripada hubungan tersebut. Biologi merupakan bidang yang luas dan
terbahagi kepada beberapa bidang kajian seperti fisiologi, patologi, anatomi, botani,
zoologi, taksonomi, bioteknologi, mikrobiologi, ekologi, dan genetik.
Salah satu cabang geografi adalah biogeografi yang menggabungkan geografi
dan biologi yang membincangkan tentang biosfera iaitu bahagian alam yang menjadi
tempat pertumbuhan tumbuh-tumbuhan dan juga habitat haiwan yang menempati zon
yang agak kecil tetapi sangat padat, termasuk proses biologinya yang kompleks dan
mengawal aktiviti haiwan dan tumbuhan. Jika diteliti dengan lebih mendalam,
biogeografi lebih menumpukan kepada kajian tentang tumbuh-tumbuhan, haiwan, dan
manusia mempengaruhi taburan serta pertalian persekitaran kepada pertumbuhan
hidupan-hidupan (Ismail Ahmad, 1989). Oleh itu, dalam biogeografi terdapat dua proses
utama yang perlu diketahui iaitu pertalian hidupan dengan benda tidak hidup dan
pertalian antara manusia dengan biosfera.
1

Proses-proses Biogeografi dalam Menyebarkan (dispersal) Spesies ke Serata


Tempat.
Penyebaran tumbuhan
Penyebaran dan perpindahan adalah perkara yang berbeza walaupun mempunyai
hubung kait yang rapat. Penyebaran melibatkan penyebaran daripada induk atau
penyebaran sesuatu spesies ke tempat yang baru manakala perpindahan lebih kepada
kejayaan sesuatu spesies itu tumbuh dan menghuni di sesuatu tempat secara tetap.
Terdapat pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan daripada kumpulan Plantae yang membiak
melalui penghasilan biji benih setelah berlakunya proses persenyawaan (Fertilization)
bunga betina dan bunga jantan pada tumbuhan jenis Dioceous. Biji benih yang terhasil
akan terbentuk dengan struktur ovul yang mengandungi Angiosperm dan Gymnosperm,
biji benih mempunyai tiga bahagian yang utama iaitu bahagian embrio, bahagian
nutrien yang membekalkan tenaga dan bahagian kulit (Snedden, R. 2011).
Biji benih yang sudah matang perlu disebarkan ke sesuatu tempat yang lain agar
tidak tumbuh di kawasan yang sama dan bersaing dengan tumbuhan induk ataupun
tumbuhan yang sama atau berlainan spesies untuk mendapatkan keperluan asas
seperti cahaya, makanan, air, dan sebagainya bagi meneruskan kehidupan.
Penyebaran biji benih memungkinkan jatuh di suatu tempat yang lebih sesuai untuk
pertumbuhan dan perkembangan biji benih. Oleh itu, tumbuhan mempunyai cara dan
jalannya yang tersendiri untuk menyebar biji benih ke tempat yang jauh daripada
tumbuhan induk. Penyebaran ini berlaku ketika embrio berada dalam keadaan dorman.
Pada peringkat dorman, biji benih yang disebarkan dengan selamat akan bercambah
sekiranya jatuh di kawasan yang sesuai. Perikarpa yang tebal dan kukuh mampu untuk
melindungi biji benih yang disebarkan daripada sebarang kerosakan. Terdapat juga
buah yang berwarna-warni, berbau wangi, dan sedap membuatkan haiwan tertarik
kepada buah tersebut dan membantu penyebaran buah. Penyebaran biji benih
merupakan satu proses yang berterusan untuk memastikan pembiakan tumbuhtumbuhan terus berlaku.
2

Penyebaran biji benih adalah terhad berbanding dengan proses penyebaran


haiwan yang boleh berhijrah dengan cara terbang, berjalan, berlari, berenang dan
sebagai berbanding dengan pokok yang tidak mampu untuk bergerak untuk
menyebarkan spesiesnya. Kaedah penyebaran tumbuh-tumbuhan boleh berlaku dalam
pelbagai cara seperti secara letupan buah, angin, air, manusia, geologi dan binatang.
Penyebaran melalui angin
Angin sangat membantu dalam proses penyebaran tumbuhan dan proses
penyerbukan atau pembuahan beberapa jenis tumbuhan sehingga proses pertumbuhan
semula dapat berlangsung. Angin mampu mengangkut beberapa jenis biji benih dan
buah sampai suatu jarak yang sangat jauh. Biji dan buah akan turun secara perlahanlahan ke permukaan bumi setelah kelajuan angin semakin perlahan dan kehilangan
keupayaan untuk menampung berat biji benih. Biji benih yang ringan akan berada di
udara selama yang mungkin menyebabkan biji benih semakin jauh jaraknya daripada
pokok induk. Menurut Polunin, N. (1994) biji benih yang sering disebarkan oleh angin
akan memiliki beberapa sifat yang membolehkan biji benih diangkut seperti ringan,
saiznya yang kecil, berbentuk leper, bersayap dan berbulu. Sifat-sifat ini membolehkan
biji terapung di udara dengan mudah dan diterbangkan jauh oleh angin seperti biji benih
Asclepias dan Acer pseudoplatanus yang terdapat pada gambar rajah 1.
Rajah 1: biji benih Asclepias dan Acer pseudoplatanus yang disebarkan oleh angin

Sumber: Polunin, N. (1994)


Lebih berkesan lagi, penyebaran melalui pusaran angin yang mampu
mengangkut biji benih ke lapisan atas udara yang tinggi khususnya bagi spora
cendawan dan bakteria. Penyebaran seperti ini mampu mencapai jarak beribu-ribu batu
di dalam udara dan spora mampu bertahan tanpa mengalami kerosakan untuk memulai
pertumbuhannya di kawasan yang baru. Pada umumnya, spora mampu bertahan
sekiranya di bawa angin ke kawasan yang panas mahupun sejuk serta tempat-tempat
lain yang jauh daripada tumbuhan induk. Sebagai contohnya bencana tornado yang
pernah berlaku di Worcester dan sekitar Massachusetts pada Julai 1953 telah
membawa serpihan genting, pokok, dan bahan atap sejauh 20 batu daripada tempat
yang diserang pusaran angin. Oleh itu, pusaran udara tersebut telah membantu
penyebaran tumbuhan ke satu wilayah yang baru. Tambahan lagi, tiupan angin yang
luar biasa di pelbagai daerah telah meniup biji benih, buah, atau seluruh tumbuhan di
atas ais yang kukuh di kawasan Kutub Utara pada musim dingin. Hal yang demikian,
tiupan angin mengakibatkan terjadinya penyebaran parasit kulat atau saprofit. Pada
masa dahulu kawasan Hemisfera Utara hanya dilitupi dengan ais tetapi kini merupakan
bahagian yang padat dengan tumbuhan. Lantaran itu, angin memainkan peranan yang
sangat penting dalam sejarah penyebaran tumbuhan di kawasan yang terletak jauh di
bahagian selatan dan bahagian utara.
Mekanisme penyebaran oleh angin umumnya mempunyai lima cara iaitu spora,
biji berbentuk serbuk, biji bersayap, biji berjambul (Asclepias), rumput gulung dan biji
berbulu. Spora merupakan penyebaran untuk kebanyakan tumbuhan seperti paku
pakis, cendawan, Coprinus comatus, dan banyak lagi. Tumbuhan ini mempunyai
keupayaan menghasilkan jumlah spora yang banyak. Sebagai contoh kulat mampu
menghasilkan sebanyak 1800,00.00 spora manakala spesies Coprinus comatus pula
menghasilkan 5240,000.00 spora. Pada umumnya saiz spora yang kecil dan mudah
untuk diterbangkan oleh angin ke kawasan yang sangat jauh serta ada kalanya dibawa
oleh angin tanpa turun ke bumi. Tambahan lagi, spora mempunyai daya tahan yang
tinggi terhadap keadaan suhu yang rendah dan kering sehingga mampu hidup
bertahun-tahun lamanya.
4

Biji berbentuk serbuk dan buah yang kecil kebanyakan cenderung untuk ditiup
oleh angin kerana biji benihnya sangat kecil dan ringan. Pokok yang menyebarkan biji
benih berbentuk serbuk adalah pokok orkid manakala tumbuhan yang buah mempunyai
satu biji benih kecil seperti parasit Balanophoraceae yang banyak terdapat di kawasan
tropika. Cara penyebaranya hampir sama dengan spora. Selain daripada itu,
Penyebaran bagi biji bersayap pula dapat dilihat pada biji benihnya yang mempunyai
lebihan kulit yang nipis berbentuk sayap dan apabila kulit buahnya pecah, biji benih
tersebut akan diterbangkan oleh angin. Pokok yang menghasilkan biji benih yang
bersayap ialah pokok damar minyak, mahogani, dan pain. Keadaan ini menyebabkan
biji benih jatuh secara perlahan-lahan dan berpotensi dipindahkan ke tempat yang lebih
jauh sekiranya berlaku tiupan angin yang kencang.
Kebiasaannya biji berjambul ini datang daripada kalangan tumbuh-tumbuhan
yang berbatang lembut seperti Epilobium, Dandelion dan Asclepias yang banyak
terdapat di kawasan terbuka. Biji berjambul memiliki bulu di bahagian hujung biji benih
seperti biji benih yang dibebaskan daripada buah Asclepias. Setelah buah Asclepias
pecah maka bijinya akan dilepaskan sedikit demi sedikit atau satu per satu. Biji
benihnya mampu di tiup oleh angin sehingga mencapai jarak ratusan batu. Selain itu,
bunga Dandelion juga menghasilkan banyak biji benih yang kecil dan berbulu serta bulu
halus tersebut membentuk sejenis payung terjun di hujung setiap biji benih seperti yang
ditunjukkan dalam rajah 2. Biji benihnya melekat rapuh pada pokok bagi membolehkan
tiupan angin menyebarkannya ke sesuatu tempat yang jauh. Kebanyakan biji benih
dibawa lebih daripada 100 meter dan terdapat juga biji benih dibawa oleh angin
melebihi satu kilometer (Walker, D. 2011).
Rajah 2: Bunga dandelion

Sumber: www.groundsguys.com
Rumput gulung mempunyai biji benih di bahagian batang dan batangnya
lembut dan mudah patah. Seterusnya, bahagian batang yang patah akan bergulunggulung ditiup angin. Rumput gulung digunakan untuk menggambarkan biji benih yang
terkeluar daripada batangnya yang bergulung-gulung di permukaan tanah akibat ditiup
oleh angin sehingga biji benih tersebar di sepanjang kawasan yang dilaluinya.
Tumbuhan yang melakukan penyebaran ini seperti rumput grinting (Spinifex sp) yang
hidup di pantai, Salsola pestifer yang hidup di Amerika Utara dan Erynngium

di

kawasan utara Sahara di Mesir.


penyebaran melalui air
Air memainkan peranan yang sangat penting dalam penyebaran tumbuhan di
dalam air atau di sekitarnya. Kebanyakan biji benih yang ringan berkemungkinan besar
disebarkan oleh air dan biji benih hendaklah mempunyai tahap kemampuan untuk
mengapung dan harus memiliki daya ketahanan yang tinggi. Daya ketahanan amat
diperlukan oleh biji benih semasa proses penyebaran berlaku bagi mengelakkan biji
benih daripada tenggelam, menjadi busuk, dan mati. Hal yang demikian, biji benih
perlu mempunyai daya apungan, daya ketahanan, dan sifat tidak telap air sebagai
syarat untuk penyebaran melalui air. Sifat tidak telap air amat penting bagi biji benih
tetapi tidak bagi rumpai air (Elodea canadensis), dan Alga

yang hidup di bawah

permukaan air serta dihanyutkan mengikut arus air.


Tumbuhan yang terapung di permukaan air seperti kiambang halus (Duckweed)
tersebar dengan meluasnya. Hal ini kerana kiambang halus berada di atas permukaan
air dan mudah untuk dihanyutkan oleh air. Kiambang memerlukan suhu 22 C hingga
30 C untuk hidup dan membiak dengan subur (Muhammad Irsyaduddin Hasman,
2012). Selain itu, kiambang juga dapat menyesuaikan diri pada suhu serendah 15 C
dan pada suhu setinggi 35 C. Pada umumnya, terdapat juga biji benih yang asalnya
tenggelam ke bawah permukaan air tetapi setelah biji benih mengalami proses
pertumbuhan, biji benih akan timbul di permukaan air.

Terdapat pelbagai cara penyebaran melalui air bagi menghanyutkan biji benih
jauh daripada pokok induk seperti melalui arus laut, sungai dan alur, tasik dan
penghanyutan oleh banjir. Melalui arus laut, biji benih dapat disebarkan dalam jarak
1000 batu. Penyebaran cara ini memerlukan biji benih yang tidak telap air atau tidak
menyerap air sehingga tenggelam dan mampu hidup di kawasan yang berpasir serta
berlumpur. Sebagai contoh buah kelapa yang memiliki lapisan kulit luar yang nipis kirakira 0.14 mm dan mempunyai permukaan licin. Kulit luarnya berwarna hijau, kuning dan
jingga mengikut kematangan buah. Sekiranya bahagian kulit ini tidak diganggu dengan
torehan maka kulit luar kedap air. Tambahan lagi, kelapa juga mempunyai sabut
sebanyak 35% daripada berat buah dan juga satu lapisan yang keras dikenali sebagai
tempurung.
Rajah 3: Buah kelapa yang disebarkan oleh air

Sumber: krossx.wordpress.com
Rajah 3 menunjukkan sabut kelapa dan lapisan kulit luar yang kuat serta kalis air
menyebabkan buah kelapa mampu terapung di dalam air. Struktur kulit buah kelapa
yang kukuh membolehkan buah kelapa dapat bertahan di dalam air sekitar 80 hari
tanpa terdapat kerosakan dan juga tanpa mengalami sebarang proses pertumbuhan.
Tanaman kelapa berasal dari Amerika Selatan dan juga terdapat pendapat bahawa
kelapa berasal dari Asia Tenggara kerana banyak pokok kelapa yang tertua ditemui di
Philippine dan Sri langka. Negara tersebut telah menanam pokok kelapa sejak 3000
tahun yang lalu, kemudian disebarkan oleh air dari suatu pantai ke pantai yang lain
(Warisno, 2003). Pada umumnya, kebanyakan biji benih dan buah tumbuhan daratan
7

yang di bawa oleh arus sungai ke laut akan mati kerana tidak dapat hidup dan membiak
di kawasan air masin.
Sungai mengalir daripada atas bukit sehingga ke laut, kebiasaannya sungai akan
mengangkut buah-buahan, biji benih, daun, dan sebagainya dari hilir ke hulu sungai.
Penyebaran melalui aliran sungai mengalami sedikit kesukaran dan halangan kerana
tumbuhan yang dibawa oleh sungai merupakan tumbuhan daratan yang tidak sesuai
untuk hidup di kawasan air masin atau sekitar pantai. Oleh itu, biji benih tidak dapat
bertahan dengan lama ketika terapung di lautan. Tetapi biji benih, buah dan tumbuhtumbuhan yang di bawa oleh arus sungai kebanyakannya dimendapkan di kawasan hilir
sungai. Hal yang demikian kawasan hilir amat sesuai untuk pertubuhan tumbuhan
kerana tanah tersebut mempunyai banyak bahan organik yang terdiri daripada bahanbahan tumbuhan yang telah menjalani proses pereputan yang dimendapkan di
kawasan tersebut. Contohnya, tumbuhan yang sering disebarkan oleh sungai ialah
bunga teratai (Nuphar lutea). Benih teratai tersimpan di dalam buah yang bentuknya
seperti kon yang menghala ke atas. Apabila biji benih sudah matang, ia akan mengecut
dan longgar daripada kelongsong lalu jatuh ke dalam air. Menurut Berita Harian (2008)
terdapat satu kajian ahli sains mendapati biji teratai yang dorman selama 10000 tahun
boleh bercambah apabila berada dalam keadaan yang sesuai untuk pertumbuhannya.
kejadian hujan yang lebat menyebabkan berlakunya larian air permukaan yang
mempunyai keupayaan untuk membawa biji benih atau spora jauh daripada pokok
induk. Tambahan lagi, hujan yang turun dalam jangka masa yang lama sehingga sistem
saliran seperti sungai tidak dapat menampung kuantiti hujan sehingga menyebabkan
kejadian banjir. Menurut Rahmad Zakaria (2008) Banjir yang berlaku telah membawa
penyebaran tumbuhan secara besar-besaran kerana aliran air banjir mampu membawa
pelbagai jenis tumbuhan dan biji benih dalam kuantiti yang banyak. Contohnya kejadian
banjir menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh yang menyebabkan biji benih
dan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di kawasan tersebut telah tumbang, kemudian
diangkut atau dipindahkan oleh air daripada kawasan bukit ke kawasan tertentu. Oleh
itu, biji benih akan bercambah di kawasan yang baru. Penyebaran ini lebih sesuai untuk
tumbuhan seperti ubi kayu, ubi kentang, ubi keledek dan sebagainya. Selain itu, cara
8

penyebaran biji benih di kawasan tasik sama seperti penyebaran oleh sungai. Tetapi
penyebaran terhad hanya di kawasan tasik sahaja.
Penyebaran melalui haiwan
Tumbuhan merupakan pengeluar utama dalam rantaian makanan manakala
haiwan merupakan pengguna. Oleh itu, haiwan merupakan agen yang terpenting dalam
penyebaran tumbuh-tumbuhan atau biji benih ke kawasan baru. Penyebaran biji benih
dapat dilakukan oleh haiwan melalui dua cara iaitu penyebaran luaran dan juga
dalaman. Menurut www.unhas.ac.id (2012) penyebaran luaran ialah penyebaran
melalui biji benih yang melekat di anggota badan haiwan atau dipanggil ektozoik,
manakala penyebaran dalaman pula ialah

penyebaran tumbuhan melalui saluran

pencernaan haiwan atau dikenali sebagai edozoik. Biji benih atau buah yang
disebarkan oleh haiwan memiliki ciri-ciri yang menarik perhatian haiwan tersebut seperti
warna yang menarik, berair, dan berbau harum. Biji benih yang dimakan oleh haiwan
tidak dapat dicernakan kerana biji benih keras dan akan dikeluarkan oleh haiwan
melalui penyahtinjaan. Manakala melalui ektozoik, biji benih bersifat melekat pada bulu
binatang ataupun manusia seperti buah kelulut (Arctium) dan kemuncup. Rajah 4
menunjukkan buah kelulut melekat pada badan haiwan berbulu lebat yang sering
berkeliaran atau ketika melakukan migrasi ke tempat lain. Ketika haiwan ini melalui
kawasan yang ditumbuhi pokok kelulut, kemungkinan besar buah kelulut akan melekat
pada badan haiwan tersebut. Haiwan tersebut akan menjatuhkan buah kelulut ketika
membersihkan badannya daripada kekotoran. Selain itu, terdapat juga biji benih yang
disebarkan oleh angin kemudian melekat pada badan haiwan. Terutamanya badan
haiwan yang basah berpotensi untuk biji benih melekat. Oleh itu, biji benih akan
tersebar atau jatuh ke tanah apabila badan haiwan yang terlekat biji benih sudah kering
atau dibersihkan oleh haiwan.

Rajah 4: Buah kelulut yang disebarkan oleh haiwan

Sumber: prpm.dbp.gov.my
Haiwan merupakan agen yang sangat penting untuk menyebarkan biji benih ke
tempat yang jauh seperti burung yang mempunyai keupayaan untuk terbang. Burung
berupaya terbang melintasi beberapa pulau atau lautan yang luas dan menyebarkan biji
benih di kawasan yang disinggahinya. Burung akan membawa biji benih yang
dimakannya, atau melekat pada bulunya kemudian dibawa terbang dari suatu kawasan
kemudian dilepaskan di sesuatu kawasan yang lain. Tambahan lagi, lumpur yang
terdapat pada kuku dan juga paruh burung sebenarnya mempunyai biji benih yang
melekat di dalam lumpur tersebut. Terdapat kajian yang dilakukan dengan mengambil
lumpur yang melekat pada kuku seekor ayam diletakkan di dalam gelas kemudian
lumpur tersebut dihancurkan dan dimasukkan air. Hasilnya ialah

lebih 82 jenis

tumbuhan yang terdapat di dalam lumpur yang melekat pada kaki ayam tersebut. Oleh
itu, tidak mustahil lumpur yang terdapat di kuku burung juga mempunyai biji benih dan
dibawa terbang pada jarak yang jauh. Contohnya burung merpati yang mempunyai
keupayaan terbang sejauh 60 km sehingga 70 km dalam masa satu jam, hal ini
menjelaskan bahawa biji benih yang melekat pada kaki atau anggota badan burung
akan di bawa merentasi beberapa pulau dan benua.
Sebuah Pulau berhampiran di Kutub Selatan yang terletak kira-kira 650 km
daripada daratan mempunyai hampir 35 jenis tumbuhan. Dipercayai tumbuh-tumbuhan
telah dibawa dan disebarkan oleh burung-burung laut yang menjadi penghuni di pulau
tersebut. Burung-burung laut telah membuat penerbangan ke serata tempat seperti
Amerika Selatan dan pulau-pulau yang berhampiran dengan Pulau Macquarie.
10

Tumbuh-tumbuhan yang terdapat di kawasan tersebut bukanlah tumbuhan tempatan,


hal ini membuktikan bahawa burung yang melakukan migrasi telah membawa bersama
biji benih ke pulau tersebut. Terdapat satu penemuan di mana burung Albatros menjadi
agen penyebaran tumbuhan di Pulau Macquarie kerana didapati terdapat biji benih di
dalam kuku burung tersebut.
Keberkesanan Penyebaran secara endozoick bergantung kepada ketahanan
terhadap pencernaan dan juga tempoh biji benih berada dalam tubuh burung.
Kadangkala biji benih yang dimakan oleh burung tidak mengalami proses pencernaan
kerana burung akan memuntahkan kembali biji benih yang dimakan pada suatu jarak
yang tertentu. Sebagai contohnya, hutan Hujan Tropika amat bergantung pada kelawar
dalam penyebaran biji benih melalui pemakanannya yang terdiri daripada serangga dan
buah-buahan (Mohd. Tajuddin, 2012). Kelawar akan menyebarkan najisnya yang
mengandungi biji benih tumbuhan ke merata tempat bagi meneruskan pembiakan
tumbuhan. Penyebaran biji benih secara endozoick dapat bercambah dan tumbuh lebih
cepat berbanding biji benih yang jatuh daripada pokok induk. Biji benih cepat
bercambah kerana terdapat bantuan daripada cairan pH 2 yang terdapat dalam badan
haiwan, di mana cairan tersebut dapat membantu melembutkan kulit biji benih yang
keras. Berbanding Biji benih yang jatuh daripada pokok induk yang masih dilitupi
dengan isi dan juga kulit. Oleh itu, biji benih mengambil masa yang lama untuk proses
percambahan (Tatang Mitra Setia, 2008). Walaupun haiwan yang memakan biji benih
mati secara tiba-tiba, biji benih yang terdapat dalam usus haiwan tersebut tetap akan
bercambah dan tumbuh di tempat haiwan itu mati.
Burung memakan bijih benih kemudian menyebarkan melalui penyahtinjaan
berbanding dengan monyet yang tidak memakan buah ketika mengumpul makan.
Ketika monyet sedang mengumpul buah-buahan, terdapat gangguan oleh binatang lain
menyebabkan buah-buahan tersebut terjatuh ke tanah. Buah yang jatuh ke tanah akan
dibiarkan begitu sahaja dan monyet akan memetik buah-buahan yang lain. Oleh itu,
Buah yang terjatuh akan membiak di kawasan tersebut. Selain itu, serangga juga
memainkan peranan dalam proses penyebaran spora-spora tumbuhan. Kulat
Stinkhorns mempunyai spora yang berlendir dan juga berbau busuk menyebabkan
11

serangga yang memakai bangkai seperti lalat tertarik terhadap kulat Stinkhorns. Lalat
akan menghinggapi kulat tersebut dan spora akan melekat pada kaki dan badan lalat,
kemudian spora akan diterbangkan atau dipindahkan ke tempat yang lain.
Penyebaran melalui letupan
penyebaran melalui letupan berlaku apabila buah masak pada ranting,
mengering, mengerut, dan berwarna koko akibat daripada pancaran sinaran matahari.
Apabila lapisan luar buah mengering dan juga mengerut menyebabkan berlakunya
ketegangan di dalam buah, kemudian dibantu dengan cuaca yang panas dan kering
menyebabkan kulit buah akan merekah secara tiba-tiba dan menyebarkan biji benihnya
yang licin dan keras seperti biji benih Geranium yang terdapat pada rajah 5. Biji benih
yang disebarkan melalui proses letupan ini tidak akan tersebar jauh daripada induk.
Tetapi sekiranya dibantu oleh angin atau binatang, biji benih dapat tersebar ke sesuatu
kawasan yang jauh. Contoh pokok yang menyebar biji benih melalui letupan ialah
pokok keembung (Impatiens balsamina), pokok saga merah, pokok getah, Andiantum
caudatum, Arceutobium, Geranium, Lupin dan sebagainya. pokok Arceutobium yang
bijinya berbentuk peluru dilaporkan mampu menyebarkan biji benih melalui proses
letupan sehingga mencapai jarak melebihi 66 kaki atau 20 meter. Tambahan lagi, buah
juga akan meletup secara paksaan sekiranya menerima gangguan daripada binatang
ataupun manusia. Buah pokok keembung misalnya akan pecah sekiranya disentuh oleh
manusia bagi pembiakan benih, dianggarkan bahawa biji benih pokok keembung akan
tersebar sejauh dua kaki daripada pokok induk. Selain itu, pokok Hura dan Hevea
merupakan spesies yang paling jauh menyebarkan biji benihnya iaitu sejauh 40 kaki.

12

Rajah 5: Biji benih Geranium yang disebarkan melalui letupan

Sumber: Walker. D. (2011)


Penyebaran spesies melalui manusia
Manusia telah menjadi agen untuk penyebaran tumbuhan dan juga binatang
serta mengubah persekitaran fizikal untuk kemajuan. Manusia telah membentuk satu
fasa organik yang hebat sehingga kadar penghijrahan tumbuhan dan haiwan telah
melebihi penghijrahan pada masa dahulu. Pada umumnya, manusia telah mengubah
keseimbangan spesies tumbuhan, haiwan dan organisasi lain kerana terdapat bilangan
julat spesies lebih tinggi berbanding dengan sesetengah spesies tertentu yang
menyebabkan spesies lain telah musnah sebahagian atau seluruhnya sama ada secara
langsung atau tidak langsung. Tambahan lagi, manusia juga telah menstrukturkan
semula spesies yang utama di seluruh dunia. Penyebaran spesies oleh manusia dapat
dibahagikan kepada dua bahagian iaitu penyebaran secara sengaja atau tidak
disengajakan.
Tumbuhan dan haiwan disebarkan secara sengaja oleh manusia secara meluas
setelah berlakunya perkembangan teknologi di mana manusia telah mencipta sistem
pengangkutan seperti kereta, kapal terbang, kargo, dan sebagai. Penciptaan ini telah
mempercepatkan pertubuhan perdagangan dan juga kemajuan cara perhubungan
antara benua dengan cepat dan pantas. Oleh itu, kemajuan sistem perhubungan telah
13

meningkatkan julat penyebaran pelbagai spesies yang dahulunya terhad di sesebuah


benua atau hemisfera. Hal yang demikian, pelbagai jenis tumbuhan telah tersebar
seperti ubi kentang, jagung, dan tembakau Ireland telah dibawa masuk ke Eropah
manakala pokok getah yang berasal daripada Brazil telah dibawa ke Asia Tenggara
bagi penanam secara ladang (Tivy, J. 1992). Permintaan yang tinggi terhadap getah
telah mempercepatkan perkembangan dan penyebaran spesies getah di dunia. Selain
itu, penyebaran haiwan sama seperti penyebaran tumbuhan di mana sebelum orang
Eropah menduduki Amerika Utara hanya beberapa tumbuhan dan haiwan sahaja yang
terdapat di situ. Tetapi manusia telah membawa masuk pelbagai jenis tumbuhan dan
haiwan untuk aktiviti pembiakan. Kebanyakan haiwan dibawa masuk dari satu kawasan
ke kawasan yang lain secara sengaja seperti perkembangan dan pembiakan arnab
serta rusa merah yang dibawa masuk ke New Zealand dari Eropah, manakala tupai
kelabu yang dibawa masuk dari Amerika Utara telah membiak berganda-ganda di
Eropah.
Kemajuan dan kepantasan sistem pengangkutan telah meningkatkan bilangan
spesies yang disebarkan secara tidak sengaja. Spesies tumbuhan dan haiwan
dipindahkan sebagai pelarian bijian atau makanan haiwan, dalam kayu balak, atau
melekat pada badan manusia, kenderaan yang dinaiki dan binatang. Risiko untuk
spesies hidup adalah sangat tipis kerana hanya sebilangan kecil sahaja yang dapat
hidup di kawasan yang asing bagi spesies. Selebihnya akan mati ketika dalam
perjalanan atau tersebar ke kawasan yang tidak sesuai untuk percambahan biji benih,
amat sukar bagi tumbuhan asing untuk hidup dan bersaingan untuk meneruskan
kehidupan dengan tumbuhan yang sudah hidup subur di kawasan tersebut.
tumbuh-tumbuhan yang mudah melekat pada bulu atau pakaian manusia seperti
Mimosa pudica dan kemuncup. Kemuncup mudah melekat pada pakai manusia
sekiranya terdapat manusia melalui kawasan yang banyak ditumbuhi kemuncup seperti
kawasan padang. Kemudian manusia akan membuang kemuncup yang melekat pada
pakaian lalu dibuang ke tempat baru. Ada kalanya biji benih rumput kemuncup
terkumpul dan dibawa bersama dengan tanaman selepas penuaian bijirin. Oleh itu,
banyak spesies rumput telah berpindah ke lain dan merebak ke seluruh dunia. Terdapat
14

juga tumbuhan diangkut bersama perahu atau kapal seperti tumbuhan alga. Perahu
yang melalui kawasan mempunyai alga berpotensi menjadi agen penyebaran di mana
alga akan melekat pada perahu dan terus dipindahkan ke kawasan jauh daripada
tempat asal.
Penyebaran haiwan
Penyebaran haiwan berlaku melalui penghijrahan atau perpindahan dari suatu
kawasan ke kawasan yang lain yang lebih baik dengan cara terbang, berenang,
berjalan, mengesot dan sebagainya (Huggett, Richard J. 2004). Contohnya, gajah
berjalan dan boleh berenang untuk menyeberangi lautan untuk melakukan penghijrahan
serta harimau juga mampu berenang sehingga 29 km di kawasan sungai dan 15 km di
kawasan laut. Pada umumnya, haiwan berhijrah kerana berlakunya kesesakan populasi
atau kemerosotan kualiti, kuantiti makanan, musim kemarau, musim sejuk, panjang
siang dan malam dan sebagainya. Penghijrahan memberi suatu kaedah yang teratur
sebagai tindak balas haiwan terhadap faktor persekitaran yang buruk, membantu
penakluk kawasan pembiakan baru, dan bertindak menyeratakan sebaran populasi.
Melalui proses penghijrahan inilah menyebabkan haiwan-haiwan tersebar ke seluruh
alam.
Penghijrahan dari satu habitat ke satu habitat yang lain merupakan perkara
yang penting dalam kehidupan haiwan. Menurut Atkins Michael, D. (1998) penghijrahan
haiwan dapat dibahagikan kepada tiga kelas iaitu kelas pertama, haiwan yang hidup
terhad kepada satu musim yang berpindah keluar dari kawasan pembiakan, tersebar,
bertelur dan mati. Kelas kedua ialah haiwan yang berhijrah dari kawasan pembiakan ke
tempat makanan dan pulang selepas oogenesis untuk bertelur di tempat asal atau baru.
Kelas ketiga pula haiwan yang berhijrah dari kawasan pembiakan ke tempat hibernasi
atau aestivasi dan akan pulang dalam tahun berikutnya ke tempat asal untuk bertelur.
Penghijrahan kelas pertama sangat berbeza dari segi jarak atau masa seperti
penghijrah belalang Schistocerca gregaria dan Acrididae di kawasan tropika dan
subtropika. Belalang akan bergerak dari kawasan pembiakan yang mengalami musim
kemarau ke kawasan baru yang mendapat hujan dan mempunyai tanaman hijau yang
15

banyak. Kawasan pembiakan belalang sentiasa berubah lokasinya disebabkan corak


hujan bermusim yang sentiasa berubah. Penghijrah belalang berlaku dengan bantuan
angin bermusim untuk membantunya terbang merentasi jarak di antara sesuatu habitat.
Kumpulan belalang disesarkan ke kawasan bawah angin dan dengan demikian
bertembung di kawasan yang menerima hujan lalu menjadikan kawasan tersebut
tempat untuk pembiakan.
Nyamuk merupakan spesies yang mengamalkan penghijrah kelas kedua,
nyamuk betina selalunya meninggalkan kawasan habitat larva bagi mendapatkan darah
yang diperlukan untuk perkembangan telur. Larva mendapat makanan melalui lapisan
di habitat akuatik, manakala nyamuk betina akan mencari rumah vertebrat yang jauh
daripada badan air. Setelah mendapat bekalan makanan dan oogenesis, nyamuk akan
mencari habitat akuatik yang sesuai untuk bertelur. Seterusnya, penghijrahan kelas
ketiga dapat dijelaskan kepada spesies burung. Burung melakukan penghijrahan
dengan mengambil kebaikan daripada kitaran musim yang berlaku untuk bergerak
mencari kawasan yang mempunyai sumber makanan yang banyak. Ia bergerak dari
satu tempat ke satu tempat sehingga mampu merentasi halangan-halangan semula jadi
yang terdapat di permukaan bumi. Burung mula melakukan penghijrahan meninggalkan
tempat tinggalnya pada musim luruh untuk mencari kawasan makanan baru untuk
mengelakkan mengalami kekurangan makanan apabila tiba musim sejuk. Burung di
Hemisfera Utara berhijrah ke selatan dan bertumpu di kawasan tropika dan subtropika
pada musim luruh dan akan pulang ke utara pada musim bunga untuk membiak (Nur
Ziana Abdullah Sani, 2005).
Terdapat juga serangga yang melakukan penghijrahan yang jauh ketika sebelum
musim bunga atau selepas musim bunga seperti kupu-kupu Monarch Butterfly. Kupukupu ini amat terkenal dengan melakukan penghijrahan dalam jumlah yang luar biasa
dan satu-satunya kupu-kupu yang dapat melakukan penghijrahan yang lengkap. Kupukupu Monarch berhijrah menuju ke Hemisfera Selatan untuk mengelak daripada musim
sejuk dan akan kembali ke Hemisfera Utara pada musim bunga. Memandangkan
perjalanan pergi dan balik mengambil masa yang lebih lama daripada jangka hayat
seekor kupu-kupu, maka dalam perjalanan tersebut kupu-kupu betina akan bertelur dan
16

meninggalkan telur untuk generasi berikutnya ketika menuju ke wilayah Selatan. Bagi
melengkapkan satu kitaran penghijrahan, generasi yang berikutnya akan meneruskan
perjalanan dari Hemisfera Selatan ke Hemisfera Utara. Kupu-kupu dewasa hasil
daripada generasi akhir di Kanada berpindah ke tempat rehat musim sejuk di California,
Mexico, dan Florida.
Penyebaran melalui geologi
Pada tahun 1925, Alfred Wegener telah mengemukakan satu teori hanyutan benua di
mana beliau menyatakan bahawa dahulunya hanya terdapat satu benua sahaja yang
dikenali sebagai pangaea. Kira-kira 200 juta tahun dahulu, pangaea telah berpecah dan
membentuk dua kawasan benua yang luas iaitu Laurasia dan Gondwanaland.
Seterusnya benua tersebut terpisah menjadi jisim tanah yang lebih kecil, kemudian
dihanyutkan sehingga membentuk benua yang terdapat pada masa kini.

Benua

Laurasia telah hanyut ke utara menjadi benua Amerika Utara, Eropah dan Asia.
Manakala Gondwanaland pula berpecah dan hanyut ke selatan menjadi benua Amerika
Selatan, Afrika, India, Antartika dan Australia (Kimball John, W. 1992). Hal ini
membuktikan pemecahan pangaea menyebabkan penyebaran spesies kerana terdapat
haiwan dan tumbuhan yang sama di antara benua dengan benua yang lain.
Pada tahun 1876 Alfred Russel Wallace telah membahagikan wilayah
persebaran fauna kepada enam wilayah yang mempunyai sejumlah spesies yang unik
dan wilayah tersebut merupakan tempat asal usul spesies. Rajah 6 menunjukkan
Wilayah persebaran spesies terbahagi kepada Enam wilayah iaitu Ethiopia, Palearktik,
Oriental, Australia, Neotropis dan Neartik. Wilayah Ethiopia melitupi seluruh daratan
Benua Afrika, Madagaskar dan daratan Arab bahagian selatan. Wilayah ini memiliki
Guruh Sahara yang menjadi pemisah antara Paleartik dan Etiopian. Haiwan yang
terdapat di wilayah Etiopian seperti gorila, zebra, zirafah, antelop, dan burung unta.
Terdapat haiwan yang sama di antara wilayah Ethiopian dan wilayah Oriental seperti
anjing, tikus kelawar babi hutan dan banyak lagi. Wilayah Oriental meliputi benua Asia
seperti Sumatera, Jawa, Sulawesi Filipina, Srilangka, dan Kalimantan. Sebahagian
besar wilayah ini beriklim tropika sehingga terdapat pelbagai jenis flora dan fauna
seperti harimau, gajah, orang utan, monyet, tapir dan banyak lagi. Menurut Villee
17

Claude, A. (1990) Asia Selatan dan Asia Tenggara pernah menjadi satu daratan dengan
Afika kerana terdapat haiwan yang sama di wilayah Ethiopian seperti kucing, anjing,
badak dan harimau
Rajah: wilayah penyebaran spesies

Sumber: Huggett, Richard J. (2004)


Selain itu, wilayah Austrlia

meliputi Australia, Selandia Baru, Irian (Papua),

Maluku dan pulau-pulau di sekitarnya. Wilayah ini mengalami iklim sederhana dan
haiwan yang hidup di wilayah ini ialah cenderawasih, kura-kura, buaya, koala dan
kanggaru. Fauna yang terdapat di wilayah Irian sama dengan fauna yang terdapat di
wilayah Australia seperti kanggaru, kasuari, dan burung cenderawasih. Manakala
wilayah Paleartik pula merangkumi hampir seluruh benua Eropah, Eurasia, Himalaya,
Afganistan, Afrika, dan Jepun. Haiwan yang dapat menyesuaikan diri dengan keadaan
wilayah ini seperti landak, kucing, unta dan panda. Binatang daripada wilayah lain
adalah tikus, kelawar, dan kijang.
Wilayah Neartik meliputi seluruh wilayah Amerika Utara dan Greenland. Amerika
Utara di bahagian timur memiliki hutan gugur, di bahagian tengah terdiri daripada
padang rumput dan bahagian utara dilitupi hutan konifer. Haiwan yang terdapat di
wilayah Neartik sama dengan haiwan di wilayah Palearktik seperti kelawar, kucing, dan
anjing. Akhir sekali wilayah Neotropik meliputi Amerika Tengah, Amerika Selatan, dan
sebahagian besar Mexico. Wilayah Neotropika mengalami iklim tropika dan di bahagian
18

selatan beriklim sederhana. Haiwan yang terdapat di wilayah ini seperti tenggiling,
kelawar, kuda, tapir dan alpaka.
Kesimpulan
Tumbuhan dan haiwan perlu membiak untuk mengekalkan kelangsungan
spesiesnya dan mengelak daripada kepupusan. Salah satu cara bagi tumbuhan dan
haiwan untuk mengekalkan spesiesnya adalah melalui proses penyebaran spesies.
Pada umumnya, penyebaran spesies terbahagi kepada dua iaitu penyebaran secara
aktif dan penyebaran secara pasif. Penyebaran secara aktif cenderung kepada haiwan
di mana penyebarannya berlaku secara berjalan, berenang, terbang dan lain-lain tanpa
bantuan daripada mana-mana agen. Tumbuh-tumbuhan pula melakukan penyebaran
secara pasif kerana kedudukan tumbuh-tumbuhan adalah statik dan tidak dapat
bergerak untuk menyebarkan biji benihnya. Penyebaran biji benih tumbuh-tumbuhan
memerlukan beberapa ciri yang khusus seperti berbentuk kecil, ringan, mempunyai
sabut, mempunyai sayap, warna yang menarik dan sebagainya. Tumbuh-tumbuhan
memerlukan bantuan agen seperti angin, air, haiwan, dan manusia bagi menyebarkan
spesiesnya ke kawasan lain.
Proses penyebaran spesies dapat menambahkan pergaulan kelompok gen dan
mempercepatkan sebaran mutasi yang bermanfaat. Dari segi ekologi, penyebaran
membolehkan sesuatu spesies keluar daripada habitat yang sesak sehingga terpaksa
bersaingan dengan pelbagai spesies lain untuk memperoleh keperluan asas seperti air,
makanan, cahaya matahari, nutrien dan sebagainya untuk meneruskan kehidupan.
Penyebaran spesies ke kawasan yang kurang populasinya atau ke habitat yang
mempunyai banyak sumber yang sesuai mampu menggalakkan percambahan spesies.
Harus diingatkan bahawa tidak semua spesies yang disebarkan mampu hidup
terutamanya biji benih. Menurut Jamaluddin Md. Jahi (1988) percambahan biji benih
bergantung kepada faktor aboitik untuk membolehkan biji benih bercambah. Faktor
abiotik yang mempengaruhi percambahan biji benih seperti suhu, cahaya matahari,
kelembapan, tanah, cerun, dan topografi permukaan bumi.

19

Bibliografi
Atkins Michael, D. (1998). Tinjauan Terhadap Serangga ( Syed Tajuddin Hassan,
terjemah). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hutan Dibalak, Hutan Ditebang Habis dan Kebun Getah di Lembah Sungai Beris, Sik,
Kedah. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.
Huggett, Richard J. (2004). Fundamentals of Biogeography. London: Routledge.
Ismail Ahmad (1989). Biogeografi Kajian Tentang Tumbuh-tumbuhan di Daratan.
Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jamaluddin Md. Jahi (1988). Pengantar Geografi Fizikal. Kuala Lumpur: Tropical Press.
Kimball John, W. (1992). Biologi (Tjitrosomo dan Nawangsari Sugari, terjemah).
Jakarta: Erlangga.
Mohamad Suhaily Yasri Che Ngah (2002). Pengantar Persekitaran Fizikal. Tanjong
Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Mohd. Tajuddin (2012). Cecandu Gunung Kecil. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Muhammad Irsyaduddin Hasman (2012). Potensi Kiambang (Pistia Stratiotes) dalam
Mengolah Air Sisa Perbandaran. Tesis Sarjana yang tidak diterbitkan, Skudai:
Universiti Teknologi Malaysia.
Nur Ziana Abdullah Sani (2005). Kajian Perbandingan Komuniti Burung di Kawasan.
Peranan Biji Benih dalam Pembiakan Tumbuhan. (2008, Mac 19). Berita Harian.
Pendidikan Konservasi Alam Bodogol dan Pusat Riset Bodogol, Taman Nasional
Gunung Gede Pangrango, Jawa Bara. Fakulti Biologi Universitas Nasional, 1(1).
Perkembangan dan Ekologi Benih (2012). Diperoleh pada Mac 13, 2014 daripada
www.unhas.ac.id.
Polunin, N. (1990). Pengantar Geografi Tumbuhan dan beberapa Ilmu Serumpun
(Tjitrosoepomo dan Wibisono Soerodikoesoemo). Yogyakarta: Gajah Mada
University Press.
Rahmad Zakaria (2008). Ekologi Tumbuhan Di Hutan Pulau Pinang Dengan Penekanan
Kepada Hutan Simpan Teluk Bahang. Tesis Sarjana yang tidak diterbitkan, Pulau
Pinang: Universiti Sains Malaysia.
Snedden, R. (2011). Pembahagian Sel dan Genetik (Institusi Terjemahan Negara
Malaysia Berhad, terjemah). Kuala Lumpur: Naz Sdn.Bhd
Tatang Mitra Setia (2008). Penyebaran Biji oleh Satwa Liar di Kawasan Pusat.
Tivy, J. (1992). Biogeografi: Kajian Tumbuhan dalam Ekosfera (Rosiyah Abd. Latif dan
Chan Ngai Weng, terjemah). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Walker, D. (2011). Tumbuhan Hijau ( Mohd Nizam Jantan, terjemah). Kuala Lumpur:
Institusi Terjemahan Negara Malaysia Berhad. (Karya asli diterbitkan 2006).
Warisno (2003) Budi Daya Kelapa Genjah. Kanisius: Yogyakarta.
Villee Claude, A. et al (1999). Zoologi Umum (Nawangsari Sugari, terjemah).
Jakarta:Erlangga.

20