Anda di halaman 1dari 4

Refleksi Pengajaran:

Pengenalan
Saya telah menjalankan aktiviti pengajaran yang melibatkan pelajar tingkatan 2 Ibnu
Sina seramai 16 orang. Pelajar-pelajar di dalam kelas ini terdiri daripada pelajar yang beraras
sederhana cerdas. Saya menjalankan pengajaran mata pelajaran Sains untuk sesi pengajaran
ini.
Tema pengajaran yang saya pilih ini ialah Perkembangan Teknologi Industri Dalam
Masyarakat. Hasil pengajarannya adalah pelajar dapat menyenaraikan dua faktor yang
mempengaruhi kestabilan sesuatu objek. Saya menetapkan objektif pembelajaran, kemahiran
proses sains, serta beberapa kemahiran yang lain yang bersesuaian. Saya juga telah
menyediakan beberapa bahan bantu mengajar yang bersesuaian dan menjalankan pengajaran
mengikut rancangan pengajaran yang dirancang lebih awal. Sesi pengajaran ini telah dijalankan
selama 70 minit di dalam makmal sains bagi memudahkan pelajar menjalankan aktiviti
berkumpulan.

Kebaikan
Dalam sesi pengajaran yang telah saya jalankan ini, terdapat beberapa kekuatan atau
kebaikan dapat dikesan. Antaranya ialah guru merancang set induksi yang menarik minat
pelajar untuk meneruskan pembelajaran. Ia juga tidak melibatkan keseluruhan pelajar di dalam
kelas tersebut. Hanya dua orang pelajar sahaja dipanggil untuk tampil ke hadapan bagi tujuan
membuat simulasi iaitu dengan berdiri sebelah kaki atau dua belah kaki. Dengan kaedah
simulasi ini, minda pelajar-pelajar dapat diransang untuk mengaitkan pengajaran dan
pembelajaran (pdp) pada hari ini. Guru menekankan tentang definisi kestabilan bagi
memudahkan pelajar mengikuti isi pelajaran yang seterusnya.
Penerangan guru jelas dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Penerangan dan intonasi
guru yang jelas dapat membantu pelajar memahami apa yang disampaikan oleh guru dengan
lebih berkesan. Guru sentiasa memastikan semua pelajar dapat mendengar dan melihat
dengan jelas bahan bantu mengajar yang ditunjukkan semasa pdp. Guru juga peka terhadap
pelajar dengan memberikan bantuan dan tunjuk ajar dalam memahami sesuatu konsep.
[12]

Sebagai contoh, guru memberikan tunjuk cara kepada pelajar ketika menjalankan aktiviti
berkumpulan.
Bahan bantu mengajar yang disediakan guru juga bersesuaian. Terdapat beberapa alat
bantu mengajar yang menarik minat pelajar seperti gambar-gambar berwarna di dalam slaid
Power Point. Alat bantu mengajar yang fleksibel dan menjimatkan masa seperti lembaran kerja
dan slaid Power Point membantu proses pdp berjalan lebih lancar tanpa perlu mengambil masa
yang lama untuk menulis nota dan arahan aktiviti di papan putih serta gambar.
Guru merancang aktiviti berkumpulan yang bersesuaian bagi membolehkan pelajar
merasai dan melihat sendiri faktor yang mempengaruhi kestabilan struktur. Aktiviti seumpama
ini dapat membuatkan pelajar lebih faham dan mudah untuk mengingati isi pelajaran iaitu faktor
yang mempengaruhi kestabilan objek. Guru memberikan tunjuk ajar di setiap kumpulan bagi
memastikan pelajar dapat menjalankan aktiviti dengan betul. Aktiviti ini juga dapat menjana
minda pelajar berdasarkan lembaran kerja yang diberi. Soalan tugasan memuatkan arahan
yang jelas bagi membolehkan pelajar dapat membuat aktiviti dengan baik. Pelajar juga dapat
membaca dan memahami arahan dengan baik.
Aktiviti berkumpulan yang dijalankan melibatkan semua pelajar. Ini mendorong pelajar
untuk melibatkan diri dengan aktif sepanjang pengajaran dijalankan. Saya dapat melihat ramai
pelajar berusaha untuk mencuba aktiviti yang disediakan secara sukarela. Aktiviti ini juga dapat
menggalakkan komunikasi antara rakan mereka kerana mereka perlu bekerjasama dan
berbincang untuk menjalankan aktiviti dengan betul. Melalui aktiviti ini juga, saya dapat melihat
beberapa nilai murni yang ditonjolkan oleh pelajar seperti berani, sedia membantu, kerjasama,
teliti dan tekun. Setelah aktiviti selesai dijalankan, semua pelajar menunjukkan sikap yang
positif dan mematuhi arahan yang diberikan oleh guru. Sebagai contoh, pelajar mengumpulkan
bahan dan alat yang digunakan ke dalam kotak seperti sewaktu mengambilnya daripada guru,
dan memulangkan barang-barang tersebut dengan sempurna dan teratur.
Pembentangan hasil aktiviti yang dijalankan dapat membantu pelajar mempunyai daya
keberanian untuk bercakap di khalayak ramai. Pelajar juga memberikan kerjasama yang terbaik
kepada guru serta mematuhi semua arahan yang diberikan.
Dalam fasa aplikasi idea, guru menekankan aspek penting dalam kemahiran proses
Sains iaitu mengenal pasti pemboleh ubah. Aspek ini sangat penting dan guru berjaya
menyampaikan dengan menjawab soalan yang bersesuaian dengan aktiviti yang telah
[13]

dijalankan oleh pelajar. Guru sentiasa memberikan bimbingan kepada pelajar untuk menjawab
soalan dengan baik dan berkesan.
Guru juga turut memberikan penghargaan dan kata-kata pujian kepada pelajar yang
berani mencuba dan menjawa soalan dengan tepat. Elemen ini dapat mengeratkan hubungan
antara pelajar dengan guru. Mereka juga akan merasa selesa untuk bertanya atau berkongsi
idea bersama guru mereka.
Akhir sekali, kebaikan yang dapat dikesan ialah guru tidak lupa untuk bertanyakan
rumusan pelajaran pada hari ini kepada pelajar. Kebolehan pelajar merumuskan isi pelajaran
dapat menguji kejayaan pdp pada hari ini.

Kelemahan
Setiap guru tidak lari dari melakukan kesilapan dan mempunyai kelemahan dalam
pengajarannya. Saya turut menyedari kelemahan yang terdapat dalam pengajaran ini menerusi
penyediaan ringkasan mengajar dan tayangan semula video rakaman. Beberapa kelemahan
saya ialah tidak menyediakan alat penunjuk seperti pembaris panjang bagi memudahkan saya
menunjuk gambar dan perkataan yang terdapat pada slaid Power Point saya. Selain itu, pelajar
juga tidak di panggil ke hadapan kelas untuk membentangkan hasil ujikaji mereka sebaliknya
hanya berdiri di bangku mereka sahaja. Ini menyebabkan pelajar tersebut membelakangi rakan
mereka yang lain serta ada sebahagian rakan mereka yang terpaksa menoleh ke belakang
untuk mendengar dan melihat rakan yang membuat pembentangan.
Pelajar juga hanya duduk semasa menjalankan ujikaji, sedangkan pelajar hendaklah
berada dalam keadaan berdiri bagi membolehkan mereka Nampak semua pergerakan yang
dilakukan sama ada rakan dalam kumpulan sendiri atau kumpulan lain. Guru seharusnya
menggalakkan para pelajar untuk bangun dan lebih bersedia dalam melakukan ujikaji.
Selain itu, fasa aplikasi idea juga mengambil masa terlalu lama iaitu lebih kurang 30
minit kerana terdapat pelbagai aktiviti yang dirancang oleh guru iaitu menjawab lembaran kerja
2, pelajar menyenaraikan objek dan situasi kestabilan, penerangan oleh guru dan pelajar
menjawab lembaran kerja 3. Seharusnya guru merancang dua atau tiga aktiviti yang singkat
dan menjimatkan masa agar pelajar tidak merasa bosan.

[14]

Guru yang baik seharusnya dapat memastikan pengurusan masa yang sesuai dengan
aktiviti yang dirancangkan. Jika masa tidak dirancang dengan baik dan tidak bersesuaian
dengan aktiviti yang dijalankan sudah pasti pdp tidak dapat dijalankan dengan sempurna.
Pengurusan masa saya juga perlu dimanfaatkan sebaik mungkin memandangkan masih
terdapat baki minit sesi pdp.

[15]