Anda di halaman 1dari 2

BERSUCI (ISTINJAK)

Apa maksud istinjak?


Istinjak bermaksud membasuh tempat keluar najis iaitu zakar/faraj dan dubur selepas membuang air
kecil (yakni kencing) atau air besar (yakni berak). Hukumnya adalah wajib.
Apakah bahan yang harus digunakan untuk istinjak?
Bahan untuk beristinjak ialah air. Anas r.a. memceritakan; Adalah Nabi s.a.w. apabila keluar
membuang air, aku akan bawakan untuknya satu bekas air untuk beliau beristinjak. Diharuskan juga
menggunakan benda-benda kesat seperti batu, kertas dan sebagainya yang boleh menanggalkan
najis. Banyak hadis menceritakan Nabi s.a.w. beristinjak menggunakan batu.
Menurut mazhab Syafiie, paling baik ialah menggabungkan kedua-duanya; iaitu menyapu najis
dengan benda kesat (tisu atau sebagainya), kemudian disusuli dengan membasuh dengan air. Cara
ini adalah terbaik kerana dapat menjimat air dan mengelak tangan dari terlalu banyak menyentuh
najis. Harus menggunakan salah satu cara iaitu dengan air sahaja atau dengan benda kesat sahaja,
namun beristinjak dengan air adalah lebih afdhal kerana lebih menyucikan.
Tangan manakah yang hendak digunakan ketika beristinjak?
Beristinjak sunat menggunakan tangan kiri. Beristinjak dengan tangan kanan adalah makruh, kecuali
tidak dapat dielakkan. Kata Nabi s.a.w.; Sesiapa dari kamu kencing, janganlah ia memegang
zakarnya dengan tangan kanannya dan janganlah juga ia beristinjak dengan tangan kanannya.[1]
Apakah syarat-syarat beristinjak dengan benda kesat?
Namun jika hendak beristinjak dengan benda-benda kesat sahaja (tanpa menggunakan air), mesti
memenuhi syarat-syarat di bawah;
1. Hendaklah dengan sekurang-kurangnya tiga kali sapuan, tidak boleh kurang darinya.[2] Salman r.a.
menceritakan; Nabi s.a.w. menegah kami dari beristinjak kurang dari tiga batu (yakni tiga sapuan
batu).[3] Jika tiga kali sapuan tidak mencukupi, wajib ditambah dan sunat tambahan itu ganjil (yakni
lima, tujuh dan sebagainya).
2. Hendaklah najis tidak melepasi papan punggung atau hasyafah (yakni kepala zakar). Jika najis
meleleh melepasi kawasan tersebut, wajib istinjak dengan air.
3. Hendaklah sebelum najis kering. Jika najis telah kering, wajib istinjak dengan air.
4. Bahan yang digunakan hendaklah bersih dan kering. Sifatnya hendaklah boleh meanggalkan najis,
iaitu tidak terlalu licin atau terlalu kasar kerana tujuan intinjak ialah untuk menanggalkan najis, maka
hendaklah bahan yang digunakan boleh memenuhi tujuan tersebut.
5. Bahan yang digunakan bukan dari makanan manusia atau jin seperti tulang. Kata Nabi s.a.w.;
Janganlah kamu beristinjak dengan tahi binatang, dan juga dengan tulang kerana ia adalah makanan
saudara kamu dari kalangan jin.[4]
Apakah adab-adab semasa membuang air kecil atau air besar?
1. Jangan membuka aurat sebelum masuk ke dalam tandas. Apa yang selalu atau kadang-kadang
dilakukan oleh sebahagian dari kita hari ini iaitu menyelak atau mengangkat kain hingga nampak
aurat sebelum masuk tandas adalah menyalahi Syarak. Hukumnya adalah haram.
2. Ketika memasuki tandas dahulukan kaki kiri dan sebelum melangkah masuk, bacalah terlebih
dahulu;

(Riwayat Imam al-Bukhari)
3. Keluar dari tandas, dahulukan kaki kanan dan apabila telah berada di luar tandas bacalah;

(Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah)


4. Janganlah bercakap-cakap semasa di dalam tandas kecuali tidak dapat dielakkan. Malah Nabi
s.a.w. tidak menjawab salam ketika baginda sedang buang air. Ibnu Umar menceritakan; Seorang
lelaki telah lalu berhampiran Nabi s.a.w. yang sedang kencing. Ia memberi salam kepada baginda,
namun baginda tidak memjawab salamnya.[5]
5. Jangan membawa masuk barang-barang yang terdapat nama Allah atau ayat al-Quran atau
sebagainya yang dimuliakan oleh agama.
5. Jika terpaksa membuang air di tempat yang tidak mempunyai tandas (seperti di hutan dan
sebagainya), hendaklah menjaga adab-adab berikut selain dari adab-adab di atas tadi;
a) Hendaklah mencari tempat yang jauh dari orang ramai.
b) Jangan mengadap ke arah qiblat atau membelakanginya.
c) Hendaklah mencari tempat yang sesuai. Elakkan dari buang air di jalan lalu lalang orang ramai,
tempat berteduh mereka, laluan air, di bawah pohon yang berbuah atau sebarang tempat yang
menjadi tumpuan orang ramai. Hal tersebut amat dilarang oleh Nabi s.a.w. kerana mengundang
laknat orang terhadap pelakunya.
d) Jangan buang air di air yang tenang. Jabir r.a. berkata; Nabi menegah kencing di air yang tenang
d) Jangan buang air di lubang yang telah tersedia kerana ia dikhuatiri didiami oleh binatang atau jin.
Abdullah bin Sarjis r.a. berkata; Nabi s.a.w. melarang kencing ke dalam lubang[6].
Apa hukum kencing sambil berdiri?
Diriwayatkan dari Huzaifah r.a. yang menceritakan; Aku bersama Nabi s.a.w.. Apabila sampai di satu
tempat pembuangan sampah, Nabi s.a.w. kencing di situ sambil berdiri. Aku pun berpaling menjauhi
baginda. Namun baginda berkata kepadaku; Hampirilah. Aku pun menghampiri Nabi hingga aku
berdiri hampir dengan dua tumitnya. Setelah selesai kencing, Nabi mengambil wudhuk dengan
menyapu dua khufnya. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menunjukkan keharusan kencing sambil berdiri, bukan menunjukkan kebiasaan Nabi s.a.w..
Kebiasaan Nabi s.a.w. ialah kencing sambil duduk sebagaimana riwayat dari Saidatina Aisyah r.a.
yang berkata; Jika ada sesiapa menceritakan kepada kamu bahawa Nabi s.a.w. kencing berdiri,
maka jangan kamu mempercayainya. Nabi tidak kencing melainkan sambil duduk. (Riwayat Imam
Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai dan lain-lain. Menurut Imam Nawawi; sanad hadis ini adalah baik).
Berdasarkan hadis ini, sebahagian ulamak menegaskan; hukum kencing berdiri adalah makruh
kecuali jika ada sebarang keuzuran. Menurut mereka; perbuatan Nabi kencing berdiri dalam hadis
pertama di atas adalah kerana ada keuzuran bagi baginda; kemungkinan susah bagi baginda untuk
duduk pada ketika itu memandangkan tempat itu ialah tempat pembuangan sampah atau mungkin
juga baginda mengalami sakit tulang belakang. Menurut Imam Syafiie; orang Arab jika mereka
mengalami sakit belakang, mereka akan kencing berdiri.
Di kalangan para sahabat sendiri terdapat khilaf tentang kencing berdiri. Terdapat riwayat
menceritakan bahawa Saidina Umar, Ali, Zaid bin Tsabit, Ibnu Umar, Abu Hurairah dan Anas r.a.
pernah kencing sambil berdiri. Antara sahabat yang memakruhkannya pula ialah Ibnu Masud dan
diikuti oleh Imam as-Syabi dan Ibrahim bin Saad.
Kesimpulannya; kencing berdiri hukumnya adalah harus atau makruh mengikut perbezaan ulamak di
atas. Namun yang terbaik ialah kencing sambil duduk. Ini ditegaskan oleh Imam Ibnu al-Munzir;
Kencing sambil duduk lebih aku sukai. Namun kencing berdiri hukumnya adalah harus. Keduaduanya ada dalil dari Nabi s.a.w..