Anda di halaman 1dari 4

1

KEPENTINGAN NILAI PATRIOTISME DALAM KALANGAN PELAJAR


Detik 12 malam tanggal 31 Ogos tahun 1957, turunya bendera Union Jack diiringi dengan
laungan Merdeka! Merdeka! Merdeka! oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama,
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Detik bersejarah yang tersemat kukuh dalam sanubari
setiap rakyat Tanah Melayu. Andai patah sayap rajawali, bertongkat jua saya kemari. Bukan
sekadar ingin menghibur hati, tetapi saya membawa anda semua untuk sama-sama kita
menyelami, mendalami dan berkongsi mauduk bicara yang berbunyi Kepentingan Nilai
Patriotisme dalam kalangan pelajar
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Sekalung penghargaan saya hulurkan buat saudari pengerusi majlis, kombinasi intelektual
pendidik bervisi, seterusnya anak bakti bangsa Malaysia yang dikasihi.
Patriotisme seringkali dikaitkan dengan kesetiaan dan kecintaan seseorang terhadap
negaranya sendiri. Seseorang itu dianggap patriot apabila tindakan dan amalannya
menepati ciri-ciri patriotisme yang berteraskan kecintaan dan kesetiaan kepada negara.
Patriotisme merangkumi usaha-usaha yang dapat meningkatkan martabat bangsa dan
negara serta menyumbang kepada ketamadunan manusia. Tuntasnya definisi pidato saya
ini menjurus kepada kebaikan yang diperolehi pelajar yang mengamalkan semangat
cintakan negara.
Hadirin pencetus revolusi minda,
Semangat patriotisme melahirkan rasa cintakan negara merupakan hujah saya yang
pertama. Di dalam dunia globalisasi dan ledakan era teknologi maklumat, semangat
patriotisme amat penting sekali.

Tun Mahathir Mohamed pernah mengingatkan tanpa

semangat ini, kita tidak boleh yakin kita dapat bertahan dan kekalkan hak kita. Kemungkinan
kita akan tinggal nama sahaja dalam sejarah.
Bagi generasi yang melalui pengalaman berbeza, fokus patriotismenya mungkin berbeza
walau pada hakikatnya ia tetap berpaksi pada makna yang sama. Semangat patriotisme
rakyat terutamanya generasi pasca merdeka perlu sentiasa dipertingkatkan demi melahirkan
para pelajar yang mencintai negara seterusnya berani dan sanggup mempertahankan
kedaulatan negara.

Hadirin pemacu kegemilangan negara,

2
Meniti hujah saya yang kedua di bawah kata kunci Disiplin dibentuk berteraskan
semangat patriotisme. Remaja acap kali dikaitkan dengan kebejatan sosial dan budaya
hedonistik yang merebak bagaikan virus epidemik. Maka, tindakan yang pragmatik perlu
diambil demi memastikan virus ini tidak memusnahkan remaja kita. Penerapan nilai cintakan
negara dapat mengekang masalah ini daripada berterusan. Pelajar yang memiliki rasa cinta
kepada tanah air tidak akan terjebak dengan jenayah mahupun masalah disiplin sebaliknya
mereka akan menunjukkan potensi kecemerlangan diri demi negara tercinta. Dato Nicol Ann
David contohnya merupakan seorang pemain skuasy wanita yang menjadi wanita pertama
Asia menduduki tangga pertama dunia dalam sukan skuasy. Semangat cintakan negaranya
telah membentuk disiplin diri yang mampu melonjakkan nama negara.
Sidang hadirin yang dirahmati sekalian,
Prestasi pembangunan modal insan atas bicara kata Semangat cintakan tanah air
menjana pelajar produktif. Pelajar yang berusaha dan produktif adalah mereka yang rajin,
gigih dan sentiasa mempertingkatkan usaha serta tabah menghadapi cabaran. Mereka juga
melibatkan diri dalam pembangunan negara serta peka terhadap isu-isu semasa dalam dan
luar negara seperti isu pemeliharaan alam sekitar dan sebagainya. Ayuh kita imbau kisah
seorang tokoh pejuang kemerdekaan negara bergelar Mat Kilau. Sifat kepimpinan dan
pemikiran yang matang telah menjadikan beliau seorang yang disegani dek keberaniannya
menegakkan kebenaran. Rasa patriotisme telah membentuk individu yang mampu memberi
sumbangan besar terhadap negara.
Sidang hadirin yang budiman,
Kemerdekaan dalam erti kata sebenar merujuk kepada pembebasan mutlak daripada gejala
negatif. Hal ini bermakna semangat patriotik yang tumbuh dalam jiwa individu pelajar dapat
membentuk nilai-nilai positif kearah pembentukan modal insan yang cemerlang dan
gemilang. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Semua pihak harus
berganding tenaga demi memastikan generasi muda pasca merdeka ini menghayati erti
kemerdekaan serta mendalami semangat patriotik yang sebenar-benarnya demi mencapai
matlamat transformasi negara untuk melahirkan masyarakat yang sejahtera.
Saya menutup tirai pidato saya pada hari ini dengan serangkap pantun.
Mekar menguntum molek hiasan,
Harum dahlia malam purnama;
Idea dicantum teguhkan wawasan,
Kepada belia sasaran utama.
2

3
PIDATO - MENANGANI GEJALA SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA MASA KINI

Menangani Gejala Sosial Dalam Kalangan Remaja Masa Kini. Mari kita ungkap
pendefinisian tajuk pidato saya secara frasa demi frasa agar yang buntu kian tahu, yang
mengerti kian pasti. Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4, menangani boleh ditafsirkan
sebagai membanteras, gejala sosial pula bermaksud petanda buruk yang berkaitan dengan
masyarakat, dalam kalangan remaja boleh ditakrifkan sebagai lingkungan golongan yang
mulai dewasa dan masa kini pula membawa maksud ketika ini. Secara keseluruhannya,
pidato yang akan saya huraikan pada hari ini bermaksud membanteras petanda buruk yang
berkaitan dengan golongan yang mulai dewasa ketika ini.

Hadirin sekalian,
Dalam era globalisasi ini, hampir setiap hari media di negara kita menyiarkan berita tentang
gejala sosial dalam kalangan remaja. Dalam era modenisasi ini juga, bukan khidmat
pesanan ringkas atau SMS sahaja yang cepat, namun godaan budaya kuning juga hebat
menyebabkan banyak remaja kita yang sudah jauh tersesat. Belum sempat kita mengatasi
masalah penagihan dadah, kita berhadapan pula dengan gejala pergaulan bebas yang
semakin parah. Dan terkini, gejala mat rempit membuatkan kita naik darah. Siapakah yang
bersalah? Sabar-sabar. Banyakkan beristifar. Oleh itu, marilah bersama-sama saya
menghayati 3 sapek utama hala tuju bicara menangani gejala sosial. Yang pertama,
peranan pihak kerajaan. Yang kedua, peranan ibu bapa dan yang ketiga, peranan
masyarakat.

Saudara saudari warga dewan,


Bicara pertama, peranan pihak kerajaan. Sebaik-baik sahaja tamat sesi persekolahan,
remaja mempunyai masa terluang mulai selepas tamat sesi persekolahan sehingga
keesokan paginya. Dalam tempoh ini, mereka akan terdedah pada banyak aktiviti dan
berkemungkinan terjebak ke dalam gejala sosial. Menyedari kemungkinan ini, pihak
kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia telah merancang perbagai strategi bagi
mengisi masa senggang pelajar. Antaranya mewujudkan aktiviti ko-kurikulum. Sebanyak
14.1 juta ringgit Malaysia telah diperuntukkan untuk melaksanakan aktiviti ko-kurikulum di
sekolah. Pada tanggal 28 Mei 2003 dalam satu mesyuarat kabinet, pihak kerajaan telah
meluluskan cadangan pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara dan Akta Latihan
Khidmat Negara 2003. Akta ini mewajibkan mereka yang berumur tidak kurang daripada 16
tahun mengikuti Program Latihan Khidmat Negara. Sesungguhnya, langkah dan pendirian
yang diambil oleh pihak kerajaan amat tepat pada waktunya.

Ahli dewan sekalian,


Bicara kedua, peranan ibu bapa. Tanggungjawab menangani gejala sosial tidaklah terletak
di bahu pihak kerajaan sahaja. Sebenarnya ibu bapa memainkan peranan penting dalam hal
ini. Ibu bapa haruslah menerapkan didikan akhlak yang sempurna sejak kecil bak kata
pepatah Melayu,Melentur buluh biar dari rebung sebagai perisai kepada serangan gejala
sosial yang semakin hebat. Ibu bapa juga perlu mengawasi aktiviti anak-anak terutamanya
dalam membatasi pergaulan mereka agar mereka tidak terjebak dalam gejala sosial. Dalam
hal ini, ibu bapa tidak harus bersikap lepas tangan dan mengabaikan kebajikan anak-anak
kerana Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna.
3

Hadirin sekalian,
Bicara ketiga, peranan masyarakat. Sikap masyarakat yang peka dan prihatin diperlukan
untuk mengatasi masalah ini. Masyarakat haruslah memberi kerjasama yang sepatutnya
kepada pihak berkuasa. Maklumat yang dibekalkan kepada pihak berkuasa dapat digunakan
untuk melancarkan operasi secara mengejut. Tegasnya, masyarakat tidak seharusnya
bersikap Bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing sekiranya
masalah ini ingin ditangani secara menyeluruh.

Sidang hadirin warga dewan,


Sebagai kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu bak kata pepatah Melayu,
Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah untuk menyelesaikan kerumitan yang
melibatkan masa depan negara. Sekiranya masalah ini dibiarkan begitu sahaja, impian
negara untuk merealisasikan Wawasan 2020 tidak akan tercapai kerana wujudnya
pemimpin masa hadapan yang tidak bermutu. Natijahnya, gejala sosial yang menghantui
segenap lapisan masyarakat pada hari ini haruslah ditangani dengan bijak dan kerjasama
daripada semua pihak amat diperlukan.
Hidup ini satu pilihan dan setiap pilihan yang kita lakukan akan ada kesannya pada masa
hadapan. Jangan sampai kita menyesal pada hari kemudian hanya kerana salah membuat
pilihan pada hari ini. Takut-takut ada yang jatuh ditimpa tangga, jangan sampai ayam
ditambat disambar helang