Anda di halaman 1dari 7

WANITA: HALA TUJU DAN CABARAN DALAM DAKWAH

Dr. Haslina Ibrahim


Timbalan Pengarah
Masjid Sultan Haji Ahmad Shah
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM)
haslina@iium.edu.my
Tel: 603-61965902
Fax: 603:61965204
Abstrak
Penglibatan kaum wanita dan gerakerja dakwah di negara adalah ini sangat
memberangsangkan. Bahkan banyak isu dan kemelut masyarakat yang telah
mendapat sentuhan golongan pendakwah wanita. Kaum wanita juga pada hari ini
amat multi-tasking dan ini menuntut mereka untuk menyeimbangkan tanggungjawab sebagai isteri, ibu, pekerja (bagi yang berkerjaya) dan juga pendakwah.
Cabaran dan isu yang pelbagai juga menuntut mereka untuk mempunyai
persediaan ilmu dan kemahiran yang berkaitan dengan lapangan dakwah yang
diceburi. Kertas kerja ini berhasrat mengupas isu-isu yang realistik dan strategik
demi memperkasakan gerakerja dakwah kaum wanita masa kini.
PENDAHULUAN
Perkembangan mutakhir ini menyaksikan terbentuknya pelbagai organisasi bukan kerajaan,
badan kemanusiaan dan persatuan Islam yang memperjuangkan isu-isu kemasyarakatan. Dalam
masa yang sama, agensi-agensi kerajaan yang berkaitan juga bergerak aktif dalam lapangan
dakwah. Sebahagian daripada agensi-agensi tersebut digerakkan secara bersama oleh kaum
Adam dengan kaum Hawa menjadi sayap kirinya, dan ada juga yang digerakkan sepenuhnya
oleh kaum Hawa. Kepelbagaian ini perlulah diraikan. Kita sewajarnya bersyukur kerana
wujudnya kesedaran dan usaha-usaha murni pelbagai pihak dan agensi dakwah dalam
memastikan kelangsungan hidup masyarakat Islam yang makmur dan diberkati Ilahi.

Merenung sejenak usaha gigih gerakerja dakwah wanita hari ini, penulis berpendapat bahawa
masih ada lagi ruang penambahbaikan yang boleh diusahakan. Di samping itu, kita mungkin
perlu menilai semula isu-isu strategik, tumpuan dan sasaran dakwah agar tidak berlaku
pertindanan yang merugikan, keciciran isu dan salah langkah di dalam menangani permasalahan
masyarakat. Hal ini perlu dielakkan lebih-lebih lagi di zaman ini di mana agama Islam menjadi

mangsa pertuduhan golongan liberalis sekular yang menolak kehidupan beragama sebagai suatu
cara hidup.1
Wanita Dan Hala Tuju Dakwah
Wujudnya pelbagai agensi dakwah sememangnya memberi rahmat kepada masyarakat. Namun
kepelbagaian ini juga boleh menimbulkan beberapa isu berhubung hala tuju dakwah khususnya
dakwah wanita di negara ini. Apakah penglibatan wanita bersifat ad-hoc atau sekadar mengisi
ruang yang dirasakan kosong. Bolehkah kita memastikan agar objektif dan modus operandi
dakwah pada hari ini lebih bersifat mencegah daripada mengubat. Mahukah kita turut beriltizam
untuk memperbaiki metod dan pendekatan dakwah sejajar dengan cabaran semasa. Apakah kaum
wanita yang terlibat di dalam dakwah turut prihatin dengan kelangsungan usaha dakwah mereka
daripada perspektif sumber dan dana serta ilmu dan kemahiran. Persoalan-persoalan ini
sewajarnya diperdebatkan bagi memperkemaskan lagi penglibatan kaum wanita di dalam
gerakerja dakwah di negara ini.

Merujuk kepada isu-isu strategik dakwah, apakah kita telah menetapkan prioritinya (awlawiyat)
berdasarkan kekuatan ilmu dan kemahiran yang kita ada? Sudahkan kita mempunyai calon-calon
pendakwah yang mempunyai ilmu dan kemahiran yang diiktiraf? Apakah perancangan kita
terhadap itu? Mungkinkah juga kita perlukan suatu analisa seumpama risk management yang
menganalisa pendekatan dakwah pada hari ini dan masa akan datang? Persoalan-persoalan ini
bukanlah bertujuan untuk merendah-rendahkan usaha dakwah yang dilakukan oleh sebahagian
besar daripada kita. Sebaliknya ia mengajak kita berfikir untuk merancang hala tuju, pendekatan
dan modus operandi dakwah dengan lebih berhikmah.

Wanita Dan Cabaran Dakwah Masakini


Kaum wanita di negara ini rata-ratanya berpendidikan. Sebahagian besar daripadanya berkerjaya
dan berkeluarga. Walaupun tiada kajian statistik dilakukan, namun secara kasarnya, kebanyakan

Golongan ini tidak putus asa mempromosikan fahaman sekular sebagai suatu cara hidup di Malaysia sehingga
tergamak mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama yang disebut di dalam perlembagaan.
http://www.themalaysianinsider.com/sideviews/article/arguing-for-a-secular-state-ahmad-farouk-musa/

mereka yang melibatkan diri di dalam gerakerja dakwah adalah terdiri daripada mereka yang
berpendidikan, berkerjaya dan juga berkeluarga. Terdapat juga di antara wanita ini yang
menjadikan dakwah sebagai karier professional mereka. Apapun juga pilihan kaum wanita, tidak
dapat dinafikan bahawa bagi yang telah berkeluarga, mereka juga terikat dengan tanggungjawab
asasi sebagai isteri dan ibu. Hal ini sememangnya menjadi cabaran utama para pendakwah
wanita dan ianya diakui sendiri oleh mereka.2 Tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan para
pendakwah wanita memikul tanggungjawab yang pelbagai (multitasking) dan ini sedikit
sebanyak memberi kekangan terhadap gerakerja dakwah mereka.

Cabaran seterusnya ialah cabaran ilmu dan kemahiran. Tidak dapat dinafikan, bahawa fitrah
kaum wanita lebih mudah tersentuh dengan fenomena kebejatan moral yang berlaku di
sekelilingnya. Masalah pembuangan bayi, penderaaan kanak-kanak, kandungan luar nikah, rogol,
sumbang mahram, penderaan isteri, kecurangan perkahwinan dan seumpamanya, lebih memberi
kesan terhadap jiwa kaum wanita. Oleh yang demikian, ramai di antara pendakwah wanita
merasa terpanggil untuk menyediakan bantuan yang bersifat segera seperti pusat perlindungan,
khidmat nasihat dan kaunseling serta apa jua yang dirasakan boleh membantu golongan kanakkanak dan wanita yang malang. Semangat ini amatlah mulia. Namun, perlu diingati bahawa,
semangat tanpa ilmu dan kemahiran boleh membantutkan niat dan usaha murni dakwah. Kita
mendapati, sebahagian pusat perlindungan berhadapan dengan masalah kewangan, tenaga kerja
yang mempunyai kemahiran yang diperlukan seperti psikologi, kaunseling dan perundangan.
Kekangan seumpama ini tentunya menjadi bebanan yang tidak sepatutnya kepada kerja-kerja
dakwah. Sememangnya tidak ada kerja dakwah yang mudah namun tidak bermakna bahawa
kerja dakwah mesti dilakukan dengan penuh kekurangan dan ketidaksempurnaan. Sehubungan
dengan itu, penulis menyarankan agar agensi kerajaan membantu dalam usaha membekalkan
ilmu dan kemahiran yang diperlukan kepada penggiat-penggiat dakwah yang terbabit. Hal ini
2

Hal ini telah dikupas oleh di dalam beberapa siri temuramah dengan pendakwah wanita terkenal
di Malaysia antaranya Siti Norbahyah Mahmood dan Prof. Madya Dr. Sharifah Hayati Syed
Ismail al-Qudsi. Kedua-dua mereka mengakui bahawa wujudnya kekangan terhadap pendakwah
wanita namun ianya boleh dikurangkan dengan adanya kerjasama daripada pasangan di samping
pengurusan masa yang betul. Norbani Ismail, Muslim Women and Religious Authorities in the
Mass Media in Malaysia 38th Annual Conference of the Association of Muslim Social Scientists
of North America (AMSS), The University of Virginia USA, September 25& 26 2009.

boleh dilaksanakan dengan menganjurkan bengkel dan seminar yang yang melibatkan para
pendakwah wanita. Perlu juga diadakan sebagai sebahagian modul bengkel ialah projek turun ke
lapangan di mana para pendakwah boleh belajar daripada pengalaman secara langsung bertemu
dengan masyarakat.

Memandangkan kekangan dan hambatan tanggung-jawab yang bertindan, pendakwah wanita


juga sewajarnya bersikap realistik dan lebih strategik dalam usaha dakwahnya. Ada baiknya
sekiranya pendakwah wanita mengenal pasti isu-isu besar yang relevan untuk ditangani. Penulis
menyentuh hal ini dalam perspektif mencegah lebih baik daripada mengubat. Benar bahawa
kita tidak redha dengan penderitaan yang dialami oleh sebahagian daripada masyarakat. Tetapi
kita juga bukan malaikat atau tuhan yang boleh menyelesaikan semua penderitaan manusia. Kita
juga perlu menumpukan usaha mencegah kemungkaran seperti yang telah disebutkan daripada
terus terjadi. Maka kita perlu memanfaatkan sebahagian besar daripada masa, dana dan kekuatan
untuk mendidik masyarakat terutamanya generasi muda agar mereka cenderung memilih
kebaikan dan membenci kemungkaran. Penulis secara peribadi berpendapat bahawa mendidik
generasi muda adalah lebih strategik dan berkesan daripada segi jangka masa panjang, bahkan
hal ini boleh dianggap sebagai langkah pemuliharaan yang effektif.

Bercakap dalam konteks ini, kita menyeru agar pendakwah wanita juga menumpukan usaha
meyakinkan jabatan agama di peringkat negeri dan kebangsaan untuk memperkemaskan modul
dan silibus kursus perkahwinan dengan harapan masalah-masalah perkahwinan dapat
dikurangkan berikutan kefahaman yang jelas terhadap tanggungjawab dalam perkahwinan. Isu
poligami contohnya hendaklah dikupas secara adil. Modul khas perlu diwujudkan bagi
perkahwinan poligami dan perkahwinan dengan saudara baru. Masalah kahwin lari atau kahwin
di luar negara tidak seharusnya diselesaikan dengan denda oleh mahkamah sahaja. Penulis
percaya terdapat ruang-ruang dakwah yang lebih luas dalam isu ini yang boleh diusahakan oleh
pendakwah wanita lebih-lebih lagi mereka yang berkhidmat dengan agensi kerajaan.

Pendakwah wanita juga sewajarnya turut menumpukan jihad mempertingkatkan kualiti


pendidikan awal kanak-kanak. Hari ini kebanyakan wanita berkarier menghadapi masalah
penjagaan anak-anak yang sangat serius. Bukan sedikit kes deraan kanak-kanak oleh orang gaji
4

asing mahupun kemalangan dan kehilangan nyawa anak-anak kecil di rumah pengasuh mahupun
di pusat asuhan kanak-kanak. Sehingga ke saat ini, selain daripada projek PERMATA
NEGARA, kita tidak nampak adanya usaha secara tersusun dan kolektif oleh badan agama bukan
kerajaan mahupun kerajaan melakukan usaha dakwah dalam konteks ini. Jika adapun, ianya
lebih kepada inisiatif individu dan tidak memberi impak secara langsung dan signifikan kepada
ummat.

Satu lagi isu yang tidak mendapat tindakan sewajarnya ialah isu aqidah yang seringkali
membangkitkan sentimen umat Islam di negara ini. Walaupun kita dibimbangkan oleh kes-kes
murtad (samada ianya dilapurkan secara adil atau tidak) tidak ramai pendakwah wanita yang
melihat peluang dakwah terhadap fenomena yang malang ini. Penulis berpendapat, pendakwah
wanita sewajarnya melihat isu ini dengan fitrah keibuan yang cenderung untuk mendidik
berbanding menghukum. 3 Generasi muda perlu dididik menyayangi dan menghargai aqidah
mereka. Sudah sewajarnya lebih banyak program yang mendidik generasi muda mengenali Islam
dan ajaran Islam dianjurkan. Perlu juga diingatkan bahawa program tersebut perlu mengambil
kira kecenderungan generasi muda ini yang cenderung menyoal banyak perkara daripada
menelan bulat-bulat maklumat yang diterima lebih-lebih lagi dalam soal yang membabitkan
agama dan tanggung-jawab. Generasi muda pada hari ini juga terlalu banyak terdedah dengan
nilai-nilai sekular berbanding nilai agama. Persoalannya, apakah program-program dakwah hari
ini membantu golongan muda membuat pilihan yang bertepatan dengan fitrah mereka?

Penulis berpendapat, para pendakwah wanita juga perlu mengambil kesempatan menggunakan
peluang berdakwah di hujung jari yang sangat terbuka luas pada hari ini. Sebahagian besar
daripada kita adalah pengguna setia laman sosial, penulis atau pelayar blog yang tegar. Sejauh
manakah badan dakwah bukan kerajaan mahupun kerajaan merebut peluang ini. Pengalaman
penulis sewaktu melayari laman-laman web badan dakwah di negara ini bagi mendapatkan bahan
pengajaran adalah sangat mendukacitakan. Kebanyakan laman web tersebut jarang dikemas-kini,
tidak menarik dan sangat membosankan berbanding dengan laman web oleh badan dakwah

Ini sejajar dengan seruan Hasan al-Hudaybi yang menyebut dalam bukunya Pendakwah bukannya penghukum.

antarabangsa.4 Amat ironi sekali kerana para pendakwah wanita boleh sahaja menggunakan
peluang berdakwah di alam siber tanpa perlu keluar daripada rumah. Penulis dengan ini menyeru
agar hal ini diberi perhatian serius oleh para pendakwah wanita dan organisasi yang terbabit.

Akhir sekali, cabaran paling utama dalam dakwah wanita pada hari ini ialah untuk
memperkenalkan Islam sebagai alternatif terbaik. Ianya tidak cukup dengan slogan Islam
sebagai cara hidup semata-mata. Dakwah yang proaktif sifatnya bermula dengan diri
pendakwah itu sendiri sebagai qudwah hasanah. Para pendakwah perlu menjadi contoh ikutan
yang baik daripada segi akhlak, personaliti bahkan juga keluarga. Seluruh ahli keluarga
pendakwah sebenarnya adalah sasaran dakwah yang pertama. Inilah jihad awal individu
pendakwah. Hal ini mungkin ringan bagi sebahagian daripada kita. Tetapi inilah sunnah
Rasulullah s.a.w. Baginda berdakwah dengan saudara terdekat sebelum melebarkan sayap
dakwah kepada kaumnya. Cabaran para pendakwah wanita ialah untuk memastikan agar suami
dan anak-anaknya juga mengamalkan Islam sebagai cara hidup agar tidak berlaku apa yang
disebut sebagai kera di hutan disusukan, ayam di kepuk mati kelaparan atau kuman seberang
laut nampak tetapi tidak gajah di depan mata.

PENUTUP
Memandangkan kekangan yang dihadapi oleh pendakwah wanita, dan realiti hari ini masalah
datang silih berganti, penulis menyarankan agar dianjurkan pertemuan yang lebih kerap di
peringkat kebangsaan yang mempertemukan para pendakwah wanita daripada pelbagai
organisasi dakwah. Pertemuan ini boleh dijadikan platform untuk berkongsi ilmu, pengalaman
dan maklumat, mencapai kesepakatan dan kesatuan pemikiran berkaitan gerakerja dakwah.

Penulis juga mencadangkan agar setiap badan dakwah kerajaan dan bukan kerajaan berganding
bahu dengan pusat pengajian tinggi untuk melakukan penyelidikan terhadap isu-isu yang

Antara laman web dakwah antarabangsa yang sarat dengan maklumat dan ilmu ialah http://www.islamicity.com/
yang diusahakan oleh Human Assistance & Development International (HADI) yang berpusat di USA. Antara laman
web badan dakwah di Malaysia yang boleh dicontohi ialah h p://www.ismaweb.net/v4/ yang diusahakan oleh
Ikatan Muslimin Malaysia.

melibatkan dakwah dan masyarakat.5 Penyelidikan sangat penting bagi memperoleh perspektif
yang lebih objektif tentang sesuatu isu. Perspektif yang jelas akan memandu jalan penyelesaian
dan mengelakkan tindakan berlandaskan sentimen dan emosi semata-mata. Oleh yang demikian,
geran penyelidikan hendaklah diwujudkan bagi membolehkan kajian lapangan dan unjuran
statistik dapat dilakukan demi mendapatkan gambaran yang objektif terhadap sesuatu isu yang
melanda masyarakat.

Selain daripada itu, para pendakwah wanita boleh diberi peranan, ilmu dan kemahiran berkaitan
dakwah di hujung jari oleh badan-badan dakwah di negara ini. Kemahiran yang dimaksudkan
bukan sahaja terhad kepada kemahiran menggunakan software malah melibatkan kemampuan
ilmu dan kebolehan menulis yang berkesan. Sudah tiba masanya badan-badan dakwah di
Malaysia memanfaatkan ruang berdakwah di hujung jari yang sangat terbuka luas.

Penulis mengharapkan agar konvensyen ini boleh mengadakan resolusi untuk pelan bertindak
yang dapat merealisasiskan cadangan-cadangan yang telah dibincangkan di dalam kertas kerja
ini mahupun yang akan dibincangkan di dalam konvensyen ini. Semoga ianya berupaya memberi
momentum yang positif terhadap gerakerja dakwah di negara ini.

RUJUKAN
Norbani Ismail, Muslim Women and Religious Authorities in the Mass Media in Malaysia,
38th Annual Conference of the Association of Muslim Social Scientists of North America
(AMSS), The University of Virginia, Charlottesville, Virginia, USA September 25-26, 2009
Mimi Hanida Abdul Mutalib, Pembinaan dan pengukuhan identiti Sebagai Dai: Pengalaman
Pendakwah Wanita di Malaysia, Geografia Online Malaysia Journal of Society and Space 7
Issue 3, (66-74), 2011
Muhamad Hanif Hasan, Keperluan Kepada Penglibatan Wanita Di Medan Dakwah,
h p://images.haniyah.mul ply.mul plycontent.com/a achment/0/Ru3x9AoKCroAAD2nDzo1/ar kelwanita%20di%20medan%20dakwah.pdf?key=haniyah:journal:310&nmid=58186872

Penulis berpeluang mengadakan penyelidikan yang dibiayai oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan bagi mengkaji
fenomena murtad dan kefahaman remaja terhadap isu murtad di Seremban Negeri Sembilan pada tahun 2008.
Jabatan Mufti juga telah memperuntukan dana bagi mengkaji isu pengkid dan kesedaran pesalah di penjara.

Anda mungkin juga menyukai