Anda di halaman 1dari 1

Pendahuluan

Rancangan Malaysia Keempat (RMK-4) 1981-1985 merupakan satu lagi langkah utama bagi
mencapai matlamat-matlamat jangka panjang pembangunan ekonomi dan perpaduan Negara.
Di bawah RMK-4 yang masih bertunjangkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), kerajaan
merangka pelbagai program dalam usaha memesatkan dan meningkatkan lagi pendapatan dan
taraf hidup rakyat negara ini.
Strategi di bawah RMK4 untuk membangun sosio ekonomi rakyat adalah:
1. menggunakan dengan lebih berkesan modal, tenaga manusia, teknologi dan sumber lain
dalam Malaysia
2. mempelbagai dan mengukuhkan ekonomi melalui peluang-peluang pasaran luar dan dalam
negeri
3. meningkatkan daya pengeluaran rakyat dalam semua sektor
4. membuka dan memulih tanah untuk meningkatkan taraf hidup petani dan bidang pertanian
5. mengurangkan jurang perbezaan pendapatan dan pekerjaan kaum
6. menggalak penguasaan modal saham kepada 70% untuk rakyat Malaysia
7. memastikan pembangunan industri
RMK-4 sebenarnya dilancarkan ketika negara dilanda kemelesetan ekonomi terutamanya
akibat kejatuhan harga pasaran dunia bijih timah dan getah. Fenomena ini menyebabkan
negara mengalami berbagai-bagai masalah ekonomi seperti kemerosotan dalam imbangan
bayaran, kejatuhan harga dan penurunan pendapatan eksport sektor komoditi, kelembapan
sektor swasta dan peningkatan kadar pengangguran.
Namun begitu, langkah-langkah pembangunan ekonomi tetap diteruskan. Peruntukan yang
disediakan untuk RMK-4 ini adalah sejumlah RM40 ribu juta. Daripada jumlah ini 57.9
peratus diperuntukkan untuk pembangunan ekonomi, 16.2 peratus diperuntukkan untuk
pembangunan sosial, 23.8 peratus diperuntukkan untuk keselamatan dan 2 peratus untuk
pentadbiran awam. Daripada pembahagian ini, penekanan masih diberikan kepada sektor
pertanian dan luar bandar dengan peruntukan sejumlah 21.3 peratus sektor perdagangan dan
perindustrian pula sejumlah 13.8 peratus, pengangkutan sejumlah 10.5 peratus tenaga dan
kemudahan awam sejumlah 8.3 peratus, pelajaran dan latihan sejumlah 7.6 peratus dan
perkhidmatan sosial sejumlah 7.1 peratus.

Anda mungkin juga menyukai