Anda di halaman 1dari 3

Soalan:

Penyakit H1N1 yang melanda negara kita telah


menyebabkan banyak warganegara kita menghadapi kematian.
Sebagai insan yang prihatin, apakan peranan atau tindakan anda
untuk mencegah penyakit ini?
Pada bulan April 2009, penyakit H1N1 yang juga terkenal sebagai influenza A
telah merebak dari Mexico ke seluruh dunia. Sesungguhnya penyakit ini
merupakan selesema babi yang lazimnya berjangkit dalam tubuh badan
binatang ini. Penyakit ini telah mengalami perubahan genetik sehingga mula
menjangkiti badan manusia. Ternyata penyakit ini bukan sahaja menggugat
kesihatan manusia sejagat malah menyebabkan banyak nyawa melayang di
seluruh dunia. Setakat awal bulan Ogos 2010, sebanyak 11,500 orang
penduduk Malaysia telah menghidap penyakit ini dan sebanyak 91 orang
telah menemui ajal di negara kita. Penyakit ini telah mengancam
sosioekonomi negara kita, terutamanya sektor pelancongan dan
perkhidmatan. Sebagai insan yang bertanggungjawab, saya perlu
mengetahui cara-cara yang berkesan untuk mencegah penyakit ini.
Untuk mencegah penyakit ini, terlebih dahulu saya perlu melengkapkan diri
dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan maklumat yang lengkap tentang
penyakit ini. Hal ini demikian kerana pengetahuan dan maklumat yang betul
dapat membantu saya untuk menjauhi penyakit tersebut, terutamanya
informasi tentang punca berlakunya penyakit , simptomnya dan cara-cara
untuk mencegahnya. Seperti peribahasa, Hendak seribu daya, tak hendak
seribu dalih. Sehubungan dengan itu saya akan berusaha memperoleh
maklumat tersebut daripada pelbagai wahana, seperti televisyen, Internet,
dan Kempen Anti-H1N1 yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan
Malaysia. Dengan kata lain, setiap insan perlu memiliki pengetahuan sebelum
bertindak untuk mencegah penyakit yang membawa maut ini.
Amalan menjaga kebersihan diri dan persekitaran merupakan inisiatif yang
prioriti kepada setiap individu untuk mencegah penyakit berjangkit,
termasuklah wabak H1N1. Rentetan daripada itu, saya perlu sentiasa
memastikan fizikal saya sentiasa bersih. Kata orang tua-tua, Kebersihan
merupakan satu keimanan. Saya akan sentiasa mencuci tangan dengan
cara yang betul dan menggunakan sabun antibakteria, terutamanya balik
dari luar. Selain itu saya akan memastikan persekitaran rumah saya bersih.
Dalam konteks ini, saya akan mengadakan gotong-royong di rumah. Setiap
anggota keluarga saya akan bekerjasama bagai hati gajah sama dilapah, hati
kuman sama dicecah untuk menjalankan pembersihan, tamsilnya mencuci
tandas, mengelap lantai dan meja. Kegiatan sedemikian bukan sahaja dapat
mengintimkan silaturahim sekeluarga tetapi juga dapat mencelikkan
kesedaran sekeluarga tentang kepentingan menjaga kebersihan persekitaran.
Amalan menjaga kebersihan merupakan tindakan berjaga-jaga untuk
menghadapi semua jenis penyakit berjangkit.

Tindakan menerima suntikan vaksin juga merupakan cara pencegahan yang


bijaksana. Kita harus sedar bahawa golongan yang berisiko tinggi harus
disuntik vaksin sebagai tindakan berjaga-jaga. Antaranya, golongan yang
berisiko tinggi ialah golongan tua, kanak-kanak, berpenyakit asma, ibu yang
berbadan dua dan sebagainya. Jika saya sering menghadapi penyakit asma
atau sistem pernafasan yang bermasalah, saya harus menerima suntikan
vaksin di hospital atau klinik yang berdekatan. Hal ini dapat mencegah saya
daripada penyakit H1N1 yang dapat membawa maut kepada hayat saya.
Bagaimanapun vaksin yang sedia ada belum lagi menjamin keselamatan
yang seratus peratus dan barang kali terdapat kesan sampingan.
Di samping itu, saya harus memakai topeng mulut (penutup mulut dan
hidung) sebagai tindakan pencegahan. Ketika demam dan batuk, sebagai
insan yang bertanggungjawab, saya harus memakai topeng mulut agar tidak
menyebarkan bakteria atau wabak kepada keluarga dan rakan saya. Pada
masa yang sama, saya perlu sentiasa memakai topeng mulut seandainya
ada orang yang sentiasa batuk di sekeliling saya. Ketika berada di tempat
tumpuan khalayak ramai, bertopeng mulut adalah amalan yang terbaik
untuk menjauhkan diri daripada pelbagai wabak. Sebagai contohnya, setelah
dilanda penyakit SARS, penduduk Hong Kong sentiasa bertopeng mulut di
tempat awam seperti di MRT dan pasar raya. Hakikatnya mereka berjaya
meminimumkan kadar kematian ketika dilanda penyakit Wabak H1N1. Oleh
itu, saya juga akan menasihati ahli keluarga dan rakan saya yang sedang
demam atau berbatuk supaya memakai topeng mulut sebagai
tanggungjawab mereka untuk meminimumkan penyakit ini. Hal ini selaras
dengan peribahasa, cegah sebelum parah.
Pada masa yang sama, saya perlu senantiasa mengamati simptom influenza
A yang mungkin berlaku pada diri sendiri atau orang lain. Simptom wabak ini
ialah demam hingga 38 C, batuk, bersin dan berhingus . Jika saya
mendapati bahawa saya terdapat simptom tersebut, saya segera mendapat
rawatan dari hospital atau klinik yang berdekatan. Selain banyak minum air
dan mengambil ubat yang ditetapkan , saya perlu mengkuarantin diri
sekurang-kurangnya 7 hari. Jika keluarga saya atau kenalan saya yang baru
balik dari negara yang sedang dilanda penyakit tersebut, saya pasti akan
memujuknya supaya mengkuarantin diri di rumah beberapa hari untuk
berehat walaupun belum dikesan ada simptom tersebut. Tidak dapat
dinafikan bahawa wabak dapat disebar secara global kerana sistem
penerbangan yang canggih sekarang. Ingatlah seruan Kementerian
Kesihatan, pencegahan wabak merupakan tanggungjawab kita bersama. Jika
kita semua dapat berjaga-jaga dan sanggup mengkuarantin diri ketika
terdapat simptom wabak tersebut, H1N1 tidak akan berleluasa secara
drastik.

Secara tuntasnya, jika setiap individu dapat memikul tanggungjawab untuk


mencegah penyakit H1N1, saya pasti bahawa penyakit ini dapat dibendung
sehingga mencapai kadar sifar. Pihak Kementerian Kesihatan dan kabinet
kerajaan harus sentiasa bertindak bijaksana bagai menarik rambut dalam
tepung terhadap penyakit berjangkit. Tindakan sediakan payung sebelum
hujan harus dilakukan oleh para pegawai kesihatan untuk menghadapi
sebarang penyakit berjangkit. Segenap lapisan masyarakat juga perlu dididik
dan dinasihati supaya mempunyai kesedaran untuk mencegah semua jenis
penyakit. Bak cogan kata, Rakyat Sihat, Negara Maju.